Penulis rasakan umat Islam di Malaysia terlalu banyak sangat disogokkan dengan ustaz-ustaz yang isi ceramahnya tak seberapa, tetapi kalau hendak buat lawak, mengata dan mencerca orang, bukan main lagi. Sebab itulah mereka ini dengan mudahnya belagak Tuhan menggelarkan orang segini binatang ini dan orang begitu binatang sebegitu bagi menunjukkan betapa berilmunya dia di sisi orang lain.[1] Memanglah Allah Taala ada menggelarkan manusia itu umpama binatang namun, bukanlah sewenang-wenangnya Dia memberikan andaian-andaian sebegitu kepada kesemua manusia. Malah, itu merupakan hak mutlak-Nya untuk memberikan perumpamaan sebagai pengajaran kepada umat manusia, bukannya hendak memperkecil-kecilkan ciptaan-Nya.
Penulis sempat ke sebuah toko buku pada hari cuti seumpama hari ini dan meneliti buku-buku yang berada di pasaran. Disebabkan toko buku ini bersifat Islamik, ditayangkanlah di televisyennya dengan ceramah ustaz atau ustazah. Memang beginilah keadaannya di kedai-kedai buku Islamik dengan ditayangkan ceramah-ceramah agama, nyanyian nasyid atau zikir munajat. Satu ketika dahulu pemilik toko sebegini kerap juga memainkan bacaan-bacaan ayat suci Al-Quran, namun mungkin disebabkan tuntutan sebenar bacaan Al-Quran sebenarnya mewajibkan orang sekitarnya diam dan mendengarnya dengan betul[2], maka kini mereka sudah menyelitkan kegiatan sebegitu dengan pemasangan ceramah agama pula.
Hendak dijadikan cerita, penulis disajikanlah dengan ceramah seorang ustaz yang begitu pekat sekali loghat pantai timurnya membincangkan berkaitan sembahyang dan menuntut ilmu. Untuk berlaku adil, penulis akui tidak mendengar sedari awal ceramah itu diperdengarkan, jadi tidaklah berapa adil untuk menuduh ustaz itu perkara yang bukan-bukan. Namun, caranya menyampaikan ceramah kadang-kala terlebih-lebih sehinggakan memberikan pengertian yang agak mengejutkan; sungguh pun niat dan matlamatnya betul.
Pada saat awal penulis tiba ke toko buku tersebut VCD rakaman sedang berada pada bahagian ketika beliau sedang begitu bersemangat sekali membandingkan api neraka Allah dengan api di dunia. Beliau mencabar golongan yang buat maksiat untuk membakar tangannya dengan api, lalu ditanya sakit ke tidak. Nampaknya cabaran itu merupakan cabaran yang wajar, namun agak klise juga mendengarnya. Bagaimana pun, penulis berpegang kepada tidak ada istilah klise dalam belajar agama, bahkan kita dituntut untuk memperkukuhkan kefahaman agama kita walaupun ilmu itu sudah kita ketahui.
'Itu baru api dunia!' seru beliau lagi sambil menyifatkan api di neraka jauh lebih panas lagi. Kemudian tayangan diteruskan dengan ceramahnya dan sudah mulalah terkeluar daripada mulut beliau kalimah-kalimah seperti lembu, binatang dan monyet. Saat itu, penulis masih dalam proses meneliti judul-judul buku; kurang peka dengan penyampaiannya.
Namun, selepas satu ketika, baharulah penulis menangkap dan perasan betapa banyak kalinya kalimah-kalimah berbaur binatang yang si ustaz ini sudah ucapkan. Ringkasnya, ungkapan beliau menjurus kepada konotasi berikut: orang yang mencari rezeki tak sembahyang, macam binatang; orang yang cari rezeki, tapi tak datang majlis ilmu pun binatang, belajar tinggi-tinggi tapi macam binatang (lalu disebutnya ijazah-ijazah tertentu seperti Master, PhD...) yang tak datang jemaah pun binatang, yang datang sembahyang Jumaat sahaja pun macam monyet; yang bukan binatang ialah cuma orang yang datang kuliah ilmunya sahaja! Pendek katanya, seolah-olah ore yang dok dengo ceramoh hok die, tu maknenye nate la jugok, sebab tak date majelih die la tu (dengo di CD saje)!
Kalaulah Nabi SAW menyampaikan dakwahnya kata yang ini binatang ini, yang itu binatang itu, nescaya Islam tidak akan berkembang seperti sekarang ini lantaran ajaran yang terlalu membinatangkan orang! Ustaz-ustaz sebegini memang ramai pengikutnya. Sebab beliau bercakap dan mengata orang tu memanglah banyak. Mulutnya sangat mudah untuk menggelarkan orang lain itu dan ini. Kalau ditegur, pengikut setianya pasti akan membelanya dengan ungkapan, 'Siapa kamu kalau hendak dibandingkan dengan Ustaz Polan bin Polan? Ilmu entah ke mana sedangkan ustaz itu belajar segini-segini, bertalaqi dengan syeikh sekian-sekian. Ilmu baru sebanyak tahi mata sudah hendak tegur orang lain!'
Terus terang, apa yang betul-betul penulis ingat dalam ceramahnya ialah orang segini binatang ini, orang itu binatang itu. Hikmahnya tidak ada! Ayat Al-Quran jauh sekali. Hadis Nabi tak seberapa. Kata-kata ulama pun tak ada. Kenapakah orang yang nampak semasa sembahyang Jumaat sahaja digelar monyet? Kenapa tidak selar mereka yang tidak pergi berjumaat? Kenapa dok mengata orang yang tidak mendengar ceramah ilmu yang disampainya? Kenapa tidak pertikaikan orang yang mempergunakan agama untuk kepentingan diri dan puak-puak sendiri? Kenapa memonyetkan orang yang pergi mencari rezeki tak kelihatan ketika sembahyang atau ceramah agama? Kenapa tidak memonyetkan golongan-golongan yang sememang terang melaksanakan kemungkaran seperti berzina, merompak, atau yang cukup mudah mengkafirkan orang lain dan cukup suka mengutuk, memfitnah, mencela, memaki hamun dan mengata? Bukankah fitnah itu lebih berbahaya daripada membunuh?[3]
Niat si ustaz memang baik, lantaran berucap mengenai usaha menyeru manusia hadir ke majlis ilmu, sembahyang berjemaah, ingat kepada Allah dan sebagainya; namun untuk melabel orang dengan gelaran binatang, monyet dan lembu hanya kerana ‘tidak nampak mukanya di mata si penceramah’ merupakan langkah atau cara yang tidak berhikmah dan merendahkan martabat keilmuannya sendiri lantaran hikmah dan mauizahtul hasanah tak kelihatan (apa lagi uswatun hasanah!) Kalau si ustaz boleh menggelar orang dengan gelaran-gelaran yang menyakitkan hati, maka si pendengar dan pengikutnya pun akan terjebak sama mencontohi beliau dengan mudah melabel orang dengan gelaran cipan, tenuk, unta dan lain-lain. Akhlak Islamiyah yang tulen tidak akan terpantul melalui cara sedemikian sebaliknya akan tertonjol sikap dan sifat umat Islam yang suka mencarut-marut dan mulut yang lepas.[4]
Sedangkan sumber hadis sendiri menyebut mengenai barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam, menghormati tetangganya dan memuliakan tetamunya.[5] Maka adakah dengan membinatangkan orang akan dapat memenuhi keperluan daripada hadis Bukhari Muslim itu? Sememangnya kata-kata membinatangkan orang dengan begitu melampau menunjukkan sikapnya bahawa dia sahajalah yang betul, orang laing tak betul. Anehnya, hal ini tidak berlaku di dalam banyak program dakwah yang dilakukan oleh yang bukan-Islam. Mereka tidak membinatangkan penganut mereka sendiri, mereka tidak mengeluarkan kata-kata kesat semasa berceramah sebaliknya menyampaikan ‘dakwah’ mereka dengan halus, bermatlamat tinggi dan mempunyai kebijaksanaan yang begitu memikat. Sebab itulah uslub dakwah yang bukan-Islam lebih berjaya berbanding umat Islam sendiri seterusnya menyebabkan ada dikalangan umat Islam yang bekeperluan yang sanggup pergi ke gereja untuk mendapatkan bekalan dan sokongan.
Terkenanglah kepada tafsiran Hamka berkaitan ayat yang kerap kali kita dengar semasa kita berhari raya mahupun berjumaat, ‘Maka berilah peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu ada manfaatnya bagi orang-orang yang beriman,[6]’ dan satu lagi ayat, ‘Maka berilah peringatan, sesungguhnya engkau (Muhammad) tidak lain ialah seorang pemberi ingat.’[7] Hamka bertanya, ‘adakah kedua-dua ayat ini berlawanan?’ Bahkan menurutnya yang pertama merujuk kepada cara kita memberi ingat sementara ayat kedua bersama sambungan selepasnya membawa maksud tiadalah Nabi SAW itu semata-mata hanyalah Rasul sahaja, tugasnya ialah menyampai sahaja; sedangkan yang memberi hidayah itu Allah. Tetapi, dalam hendak menyampai pun mestilah dengan cara yang betul, keadaan yang betul. Jangan dikuliahkan cara universiti kepada orang kampung dan janganlah diberikan hujah yang dangkal kepada yang terpelajar![8] Alangkah eloknya pendakwah jadikan kedua-dua Firman ini sebagai model terbaik dalam penyampaian dakwah dan nasihat?
Kalau dah ustak pun cakap hok yang ni binatang ini, yang itu binatang itu, dok buak lawak bodo, ada orang yang ngumpul sebab nak ngaji ilmu ngan ustak? Yang nontong seronok dok gelak apo yang ustak royat tu adalah! Tak tau dok gelak sebab lawak ustak atau gelakkang ustak sendiri!
Fikir-fikirkan sendiri dan renung-renungkan (Nak lawak berpada-pada, jangan sampai ilmu hilang di dada, kerap nanti kita merana, terjerumus sebab lidah binasa, masuk pula dalam neraka!). Seorang ustaz hendaklah dalam kuliahnya mengungkapkan apa yang Allah kata, apa yang Nabi sabda, apa yang ulama faham berasaskan kefahaman generasi salaf; supaya anak muridnya mendapat faedah daripada apa yang didengarinya; sama ada daripada peringatan mahu pun ancaman. Kaji bagaimana Nabi berdakwah yang pasti bukannya sehingga sahabat hoo ha, hoo ha gelak berdekeh-dekeh.
‘Kalau gitu bosanlah orang nanti tak mahu mari belajar agama!’ mungkin ada yang kata.
Maka memang benarlah, membawa agama itu berat. Sebab itu Allah utuskan Nabi kepada umat manusia menerangkan agama kepada mereka. Dan ulama itu ialah pewaris kepada kerja-kerja dakwah Nabi.[9] Ulama bukannya Nabi, tapi mereka harus setidak-tidaknya mengikut sunnah Nabi dalam cara berdakwah. Dan tiadalah yang lebih layak yang dibawa oleh seorang ulama dalam pengajarannya melainkan Al-Quran dan Hadis.[10]
Tambahan pula tugas kita bukanlah untuk menggelarkan orang lain berasaskan zahir apa yang kita lihat sahaja sebaliknya tugas kita adalah untuk beribadah kepada-Nya.[11] Jangan biarkan perasaan riak menyelubungi ustaz-ustaz kita sehingga mereka dengan sesuka hati menggelarkan orang lain itu dan ini, macamlah dirinya sehabis sempurna dan telah dijamin syurga. Hal ini kerana riak merupakan sehampir-hampirnya manusia kepada syirik. Tugas menggelarkan orang itu dan ini bukan tugas kita. Dan sesungguhnya hanya Allah Taala sahaja yang mengetahui tahap keikhlasan hamba-hamba-Nya.
[1] Kita pun pernah mendengar ungkapan seperti ‘Allah Taala pun mencarut’ daripada salah sebuah parti politik tanah air; seolah-olah merasionalkan dan menjadi dalil kalau Tuhan pun mencarut, manusia sebagai hamba-Nya lebihlah lagi boleh mencarut! Pernyataan sebegini dibidas oleh banyak ulama lain namun bagi penyokong tegar parti politik tersebut, dengan semudahnya melabelkan ulama sebegini sebagai jahil ilmu dan merupakan ulama UMNO. Misalnya di dalam Tafsir Mubin, pengarangnya ada mengulaskan isu Allah ‘memaki-hamun’ dan menurut mereka, kelakuan mengeluarkan kata-kata kesat, cacian, celaan dan makian itu sendiri diharamkan oleh Allah Taala berdasarkan Surah Al-Hujurat, 49 ayat 11. Seandainya wujud ayat-ayat yang bersifat makian, maka itu merupakan hak mutlak Allah sebagai Tuhan kita dan kita sebagai hambanya tidak berhak pula berbuat demikian. Lihat Salahuddin Abdullah dan Omar Khalid, Tafsir Mubin jld.6 (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2009), 693-695.
[2] Merujuk pendapat Mufti Pulau Pinang berkenaan memainkan bacaan ayat suci Al-Quran di corong masjid.
[3] Surah Al-Baqarah: 2, ayat 191 dan ayat 217. Perlu diakui di sini bahawa konteks bagi kedua-dua ayat ini ialah berkaitan peperangan dan kalimah ‘fitnah’ itu sendiri ditafsirkan sebagai berbuat kesyirikan sebagaimana Ibnu Kathir memetik pendapat Ibn Abbas, Abu Al-Aliyah, Mujahid, Al-Hasan, Qatadah, Ar-Rabi, Muqatil bin Hayyan, As-Suddi dan Zaid bin Aslam. Begitu juga menurut Tafsir Jalalayin yang menerangkan fitnah dalam konteks kedua-dua ayat itu bermaksud kesyirikan. Bagaimanapun, tafsir alam Melayu terkini seperti Tafsir Al-Azhar turut menerangkan berkenaan ‘fitnah, hasutan, gangguan dan seksaan sebermula kaum Muslimin memeluk Islam sehingga terpaksa berhijrah serta pelbagai ancaman fitnah sehingga terjadinya Perang Uhud dan hambatan Umrah ketika di Nabi SAW dan para sahabat r.hum di Hudaibiyah jauh lebih ngeri daripada pembunuhan.’ Lihat Hamka, Tafsir Al-Azhar, 1990, jld. 1 (Singapura: Pustaka Nasional, 2003), 446. Juga pendapat yang dikemukakan dalam Tafsir Mubin yang menjelaskan fitnah sebagai kelakuan ‘orang yang kafir yang bertindak ganas menghalang kebebasan umat Islam pada ketika itu untuk beragama.’ Lihat Salahuddin Abdullah dan Omar Khalid, Tafsir Mubin, jld. 1 (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2009), 135.
[4] Penulis dapat rasakan ada yang mungkin berhujah menggunakan gelaran sahabat seperti Abu Hurairah dan Abu Hafs menunjukkan betapa Nabi SAW pun ada menggelarkan sahabat dengan gelaran Bapa Kucing dan Bapa Singa. Tetapi tanya kembali diri sendiri, adakah gelaran tersebut berbentuk memuji atau mengeji? Bahkan Nabi SAW memberikan gelaran tersebut bagi menggambarkan kesukaan sahabat dengan haiwan dan sifat keberanian, kedua-duanya dalam erti kata pujian; maka adakah hal ini hendak disamakan dengan gelaran mengeji seperti monyet, lembu dan kerbau?
[5] Hadis riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah. Hadis ini disertakan dalam hadis 40 Nawawi. Lihat misalnya Mustafa Al-Bugha dan Muhyiddin Misto, Syarah Hadis 40 Imam Nawawi terj. Ibnu Amrullah Yusuf (Puchong: Jasmin Publications, 2012), 151-160. Naskah ini menyertakan kata-kata Umar r.a iaitu, ‘Sesiapa yang banyak bercakapnya, akan banyak salahnya; sesiapa yang banyak salahnya maka banyak dosanya; dan sesiapa yang banyak dosanya maka nerakalah yang patut baginya’ (m.s.154). Sementara Syed Ahmad Semait dalam membahaskan hadis ini menyertakan beberapa hadis tambahan berkenaan menjaga lidah sambil berpandangan menahan lidah daripada bertutur itu lebih utama berbanding bercakap yang kotor atau yang tidak senonoh. Sambil itu, ditegaskan agar manusia menggunakan lidahnya dengan mengajar agama, amar makruf nahi mungkar dan mendamaikan manusia. Lihat Syed Ahmad Semait, Kuliah Subuh Pada Membicarakan Hadis 40, 1994 (Singapura: Pustaka Nasional 2009), 291-305.
[6] Surah Al-A‘la, 87, ayat 9.
[7] Surah Al-Ghasyiah, 88, ayat 21
[8] Lihat Hamka, Tafsir Al-Azhar, jld. 10 (Singapura: Pustaka Nasional, 2003), 7982-7983.
[9] Berasaskan hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi daripada Abu Darda.
[10] Sebagaimana khutbah Nabi SAW dalam hadis riwayat Muslim dan lain-lainnya daripada Jabir bin Abdullah r.a, ‘Sebenar-benar perkataan ialah Kitab Allah, dan sebaik-baik jalan pimpinan ialah pimpinan Muhammad (SAW)
[11] Berasaskan Surah Az-Zariyat, 51, ayat 56.
No comments:
Post a Comment