Sunday, April 21, 2013

Polan melawan polan (Bahagian 1)

 

Untuk mengambil kira kesemua kerusi yang dipertandingan dan hendak dibincangkan dalam sekadar semuka surat dua adalah mustahil. Namun penulis agak tertarik dengan beberapa keputusan awal tentang siapa lawan siapa sempena PRU ke-13 ini. Beberapa pertembungan ini popular dan sering diperkatakan semasa perbincangan PRU kali ini.

Pertamanya ialah pertembungan Gelang Patah yang bolehlah dikatakan sebagai pertembungan hidup-mati misi politik kedua-dua calon tersebut. Kalau hendak diikutkan usia, kedua-dua calon bolehlah dikatakan calon veteran bagi kedua-dua parti. Ghani Othman sudah berkhidmat sebagai MB Johor selama 18 tahun dan Lim Kit Siang, yang untuk sekian kalinya sejak 1969 telah menjadi calon untuk DAP dan dikatakan berjaya di semua tempat yang ditandinginya. Tak perlulah diterangkan panjang lebar perjalanan politik kedua-dua orang besar ini.

Cuma daripada satu seginya ialah strategi parti untuk meletakkan nama mereka berdua dalam satu gelanggang politik nasional. Peletakkan nama Lim Kit Siang di Gelang Patah dikatakan sebagai pembuka ruang kepada peluasan pengaruh pembangkang di selatan tanah air. Penulis sama sekali skeptikal dengan kenyataan tersebut. Kebenarannya, Johor bukanlah lagi satu kubu ‘for sure sapu bersih’ untuk BN. Hal ini terbukti pada dua PRU yang lepas. Malah, kalau hendak diikutkan, PRU ke-12 merupakan titik tolaknya wakil DAP hinggap ke Johor apabila calon mereka di Parlimen Bakri menang iaitu Tuan Er Teck Hwa. Jadi, beliaulah sebenarnya pioneer kepada pengembangan pasukan pembangkang ke negeri Johor dan status itu sendiri hendaklah diiktiraf oleh DAP. (atau sebenarnya YB daripada PAS yang menang tanpa bertanding pada 2004 kerana calon BN ‘salah isi borang.’)

Bagi pihak BN, kita pun nampak permainan politik mereka. Ghani Othman dijadikan galang-gantinya untuk dikemukakan bagi menentang Lim Kit Siang; bak kata Dr Mahathir, ‘kuburkan terus karier politik tokoh DAP itu. Ghani Othman pun seperti redha menerima ‘amanat’ daripada parti sambil merendah diri bahawa dirinya bukanlah untuk ‘menguburkan siapa-siapa.’ Tapi, kita pun tahu betapa sejak dua PRU yang lepas, nama beliau sebagai MB Johor disebut-sebut akan digugurkan daripada jawatan MB dan akan digantikan dengan Khaled Nordin. Dua percubaan pertama gagal, maka ‘third is the charm.’ Beliau pun telah meluahkan perasaan ‘leganya’ kerana dapat melepaskan tanggung jawab tersebut. Jadi, ada jugalah sebabnya kepada pengguguran jawatan MB beliau kali ini, iaitu untuk menentang orang besar pembangkang. Tetapi, hakikatnya kita boleh jangka. Andai menang pun belum tentu dapat apa-apa (jawatan menteri ke, etc), kalau kalah, memanglah tak dapat apa-apa.

Ada media alternatif cuba menjadikan pertarungan ini sebagai satu strategi perkauman BN dengan meletakkan calon Melayu di kawasan Cina. Pada hemat penulis, kenyataan itu sendiri sebenarnya merupakan satu kenyataan perkauman. Mentang-mentanglah DAP calonnya Cina, BN calonnya Melayu; terus dijadikan sebagai isu perkauman. Kalau hendak diteliti daripada segi pecahan kaum pengundi, jelas sekali pecahan itu memihak kepada kaum Cina. Oleh hal yang demikian, bagaimanakah pertarungan ini akan jadi pertandingan perkauman? Adakah media tersebut telah meramalkan bahawa kesemua orang Cina akan menyokong DAP, dan orang bukan Cina memang sah menyokong BN? Padahal, siapa sahaja boleh menang asalkan strateginya betul. Andainya pada mulanya sebelum Ghani diumumkan untuk bertanding di Gelang Patah, Lim Kit Siang dan pihak Pakatan dikatakan sudah meramal kerusi ini memang mudah untuk dimenangi atas alasan majoriti pengundi kaum Cina, bukankah itu sendiri satu kenyataan perkauman?

Sentimen sebegini jelas amat bijak dieksploitasi oleh pihak Pakatan kerana memutar satu isu untuk mendapat kelebihan daripada isu tersebut, padahal jelas tidak memihak kepada mereka. Dengan isu gantung CEC, DAP memperbesarkan isu tersebut kononnya ROS (baca: Kerajaan BN) telah mengharamkan parti mereka dan mereka tidak bisa lagi menggunakan lambang roket. Lim Kit Siang menangis-nangis menagih simpati terhadap ‘penganiayaan dan kezaliman’ ROS (baca: BN). Anaknya, Lim Guan Eng yang sepanjang perjalanan politiknya digambarkan sebagai orang yang tegas, mempunyai ego dan harga diri yang cukup besar sehingga digelarkan sebagai ‘CAT’ oleh rakan Pakatan; berucap dengan nada yang cukup sebak; macam orang merajuk ‘semacam’ dan memainkan sentimen yang sama dengan bapanya.

Dalam hal sebegini, pihak BN memang gagal sama sekali mengambil kesempatan untuk menemplak semula tindakan tersebut. Mereka tidak berani sama sekali membidas isu ini dengan mengaitkan penggantungan UMNO satu ketika dahulu untuk membuktikan ROS ialah badan yang bebas sama sekali. Sebaliknya, bekas orang pembangkang pula yang tampil mempersoalkan tindakan dan motif kedua-dua beranak itu. Apa ke hal? Di sinilah kelebihan pembangkang berbanding BN.

Permainan persepsi pembangkang cukup pantas dan licik sehingga mereka berjaya menjadikan isu yang jelas terang dan nyata disebabkan oleh kesalahan diri sendiri menjadi kesalahan orang lain. Ibaratnya kalaulah ada orang yang ditahan oleh polis, kerana melanggar lampu isyarat merah di jalan raya, dia akan terus menyalahkan lampu isyarat kerana berwarna merah dan polis yang menahannya. Dia tidak akan rasa bersalah kerana dia mempunyai ‘hak untuk memandu.’ Dia akan mempersoalkan, ‘kenapakah lampu itu bertukar kepada warna merah sedangkan saya nak jalan? Sudah dikalibrasikah lampu itu?’ Juga dia akan berhujah, ‘kenapa polis sibuk-sibuk nak menahan dan menyamannya sedangkan banyak lagi jenayah lebih berat lagi berlaku di seluruh negara yang polis sendiri tak dapat selesaikan?’

Oleh sebab itu, permainan politik di Gelang Patah akan memperlihatkan kepada kita pola pengundian masyarakat Cina apabila berhadapan dengan calon Cina melawan calon Melayu di kawasan majoriti Cina; sesuatu yang agak jarang dapat kita perhatikan. Tidak hairanlah ramai yang menganggap pertarungan ini sebagai pertarungan paling menarik dalam konteks PRU 13. Pendapat penulis, siapa pun boleh menang di mana-mana kerusi tanpa mengira siapa bangsanya kerana usaha calonlah yang akan mempengaruhi undian tersebut. Namun, kalau sebelah pihak dari awal lagi asyik memainkan isu ‘senarai pengundi tak bersih,’ ‘ada pengundi hantu,’ menjaja ke seluruh dunia akan ‘SPR tak telus,’ sepatutnya mereka tidak bertanding awal-awal lagi kerana mereka sendiri tidak yakin dengan SPR. Ops, SPR hanya telus kalau calon mereka menang, tidak begitu Ambiga?

(Bersambung…..)

No comments: