Apabila tersebarnya sebuah video klip perlakuan zina yang dikaitkan dengan parti pembangkang, si empunya badan tidak mengaku. Tak mengapalah kalau tak mengaku kerana itu hak dia. Tapi, dengan terus mengaitkan dengan UMNO dan BN, kita sudah boleh baca hala tuju perbincangan terhadap klip video itu; UMNOlah yang punya angkara.
Agak kebetulan juga, sebelum beredarnya klip video tersebut, salah seorang pemimpin peringkat negeri Perak daripada PAS pernah mengeluarkan kenyataan bahawa 'kalaulah Nabi (SAW) hidup semula, video seks baginda pun UMNO akan tonjolkan.' Adakah ini suratan atau kebetulan? Tup-tup, tiba-tiba video seks yang dikatakan dilakonkan oleh pemimpin parti Islam itu tersebar. Macam biasalah, UMNO punya angkara.
Begitu juga setiap kontroversi yang memalitkan atribut buruk kepada Pakatan Rakyat, kesemuanya dikatakan berasal daripada UMNO/BN. Liwat 1.0 konspriasi BN, Liwat 2.0 pun konspirasi BN, video Elizebeth Wong pun BN yang salah, kes Teo Beng Hock pun sebenarnya angkara BN, video orang yang 99.99 peratus mirip muka Anwar pun mainan politik BN, kini muncul pula satu lagi video yang diterbitkan oleh BN. Hebat....
Sedangkan, sudah ada risikan awal tertentu yang didedahkan oleh media bahawa angkara 'orang dalam' jualah sebabnya video itu diterbitkan, tapi mampus-mampus pun salah BN.
Kini, timbul pula satu isu baharu iaitu keabsahan Jawatan kuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang dipertikaikan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS). Mereka telah membuat pemilihan jawatan kuasa tersebut pada Disember 2012 dan dua minggu kemudian, urusetianya mengumumkan berlaku kesalahan yang besar dalam pengiraan undi untuk CEC yang dilantik. Hal ini menyebabkan ada dikalangan CEC yang sebelum ini memenangi jawatan tersebut secara undian popular perwakilan, terkeluar daripada senarai tersebut dan ada juga berlaku sebaliknya iaitu yang tak tersenarai, tiba-tiba mendapat undi cukup makan untuk menjadi CEC.
Perkara tersebut berlarutan sehingga terpecahnya tembelang bahawa ada dikalangan perwakilan yang layak mengundi, tidak diberikan surat jemputan ke majlis pengundian, sekali gus digugurkan hak untuk mengundi. Kemudian, laporan rasmi Mesyuarat Agung Tahunan juga lewat diserahkan kepada ROS dan penyata itu dan ini tak lengkap. Hal-hal yang demikian sebenarnya telah berlarutan selama empat bulan dan nampaknya DAP sendiri yang tidak mahu mengambil inisiatif untuk menyelesaikannya secepat mungkin sebelum PRU.
Jadi, apabila ROS mengeluarkan arahan untuk diadakan kembali pemilihan CEC atau menyeru supaya DAP menyelesaikan masalah mereka sendiri, mereka terus mengeluarkan reaksi dengan menggunakan helah politik 'asal boleh;' iaitu dengan mengeksploitasi fakta sedia ada dengan menjuruskan kesalahan tersebut kepada BN. BN zalim kerana membatalkan pertubuhan DAP!
Perlakuan sebegini memang licik dan itulah kelebihan terbesar Pakatan Rakyat. Mereka akan memutarkan isu itu tahap 'gaban' dan akhirnya tudingan jari tetap kepada BN. BN yang bersalah dan BN yang zalim.
Soalnya sekarang ini, ROS bukannya menggantung pun pendaftaran DAP. Bukannya orang DAP tak boleh menggunakan logo roket pada PRU akan datang ini. Tapi, BN tetap zalim.
Yup, dalam satu sidang media yang dilakukan, Lim Kit Siang begitu menyelar tindakan BN kerana bermain kotor untuk 'menggantung pendaftaran DAP.' Tidak pernah seorang pun PM sebelum ini yang melakukan demikian dalam pilihan raya. Macam biasalah, sidang media sebegini memang tidak ditayangkan di media arus perdana dan sangat cekap dihidu oleh media antarabangsa. Sudah tentulah yang paling hampir dengan kita ialah Singapura melalui proksi medianya, Channel NewsAsia dan berita setengah jam mereka. Cara bicaranya seolah-olah DAP telah digantungkan sama sekali pendaftarannya dan ahli parti diharamkan bertanding dalam PRU akan datang ini! (Sedangkan ROS Cuma mahukan pemilihan semula atau penyelesaian dibuat terhadap perkara berbangkit).
Begitulah adat politik belit ala-Pakatan dan sememangnya mereka sangat berjaya dalam hal ini. BN mungkin tak mampu kekal lama sekiranya mereka gagal menjawab putaran demi putaran yang dilaksanakan oleh Pakatan. Sebab dalam peperangan persepsi dalam mainan politik, pihak pembangkang sentiasa mendahului mereka dalam apa sahaja isu; maklumlah, nama pun pembangkang.
Justeru, sudah kedengaran bahawa DAP akan menggunakan sepenuhnya perkembangan baru ini untuk meraih sokongan rakyat dengan memperlihatkan sisi underdog mereka kali ini. Kalau dulu mungkin 'berilah peluang kami berkhidmat, cuba dulu, nilai kemudian' kini mungkin 'lihatlah kami telah dizalimi, sokonglah kami untuk menentang kezaliman' atau 'lihatlah penganiayaan yang bertimpa-timpa oleh BN jadi sokonglah kami untuk membanteras penganiayaan terhadap anda pula.' Sekarang mungkin lebih kepada menagih simpati pengundi laksana peminta sedekah pula.
Walhal, andai diteliti dengan akal yang sihat, tanpa prejudis kepada sesiapa dan tidak memihak daripada awal lagi, kita akan dapat mengetahui puncanya. Urusetia mereka sendiri yang mengakui ada kesilapan (sebenarnya kesilapan itu diletakkan kepada perisian komputer yang digunakan), urusetia mereka sendiri (dengan kebenaran Setiausaha Agung) yang membuat pengakuan SELEPAS dua minggu pemilihan CEC; ahli mereka sendiri yang membuat laporan penyelewengan kepada ROS memintanya menyiasat; ahli mereka sendiri jugalah yang mendedahkan ada dikalangan ahli yang boleh mengundi tapi tak dijemput oleh Setiausaha Agung pada hari pemilihan; ahli mereka sendiri yang turut menuntut diadakan CEC semula; dan tuntutan sama dibuat oleh ROS; dan Setiausaha Agung mereka sendiri yang berlengah-lengah dalam menghantar laporan mesyuarat dan dokumen lengkap kepada ROS dan tidak menghantar surat jemputan untuk ahli-ahli tertentu yang layak mengundi pada hari pemilihan.
Maka, dengan segala bala perkara yang pihak DAP dan ahli-ahlinya sendiri yang lakukan berkaitan kes mesyuarat CEC itu, jelas, nyata, terang lagi bersuluh kesemuanya melibatkan pengurusan, ahli dan parti DAP itu sendiri dan bukannya pihak luar yang kacau daun menggertak atau mengganggu-gugat DAP.
Ops, nanti dulu! Dengan penglibatan PAS dan PKR dalam Pakatan mungkin dapat membantu mengenalpasti mengapakah tindakan-tindakan tadi berlaku. Macam biasalah, apa sahaja perkara yang negatif yang berlaku kepada mereka, sebagaimana yang dinyatakan pada awal penulisan ini, kesemuanya sebenarnya salah BN/UMNO. Jadi, untuk mengaitkan bagaimana perkara yang terjadi itu menjadi salah, BN, kita gunakan satu doktrin yang sangat popular dikalangan Pakatan untuk menjawab persoalan-persoalan sebegini, iaitu 'semua orang yang terlibat tadi sebenarnya telah dibeli oleh BN.' Mereka telah dibayar oleh BN untuk mewujudkan masalah kepercayaan dan ketelusan dalam parti mereka.
Oleh hal yang demikian, urusetia yang melakukan kesilapan pengiraan (atau lebih tepat lagi perisian komputer itu) telah dibeli oleh BN (atau dalam konteks komputer, mungkin agaknya BN telah menghantar virus untuk memporak-perandakan data dalam komputer itu). Ahli yang membuat laporan kepada ROS telah dibeli oleh BN, ahli yang tidak mendapat surat untuk hadir ke pemilihan CEC ialah tali barut BN, ahli mereka yang menuntut diadakan semula pemilihan CEC ialah double agent BN dan, yang lebih mengojatkan ialah Setiausaha Agung Lim Guan Eng yang melambat-lambatkan penyerahan laporan kepada ROS dan langsung tidak mengendahkan desakan akar umbi sebelum ini, dan punca kepada segala masalah yang berlaku, ialah barua kepada BN!
Wow, hebat tu BN, Setiausaha Agung DAP pun disapunya untuk dibeli! Patutlah Lim Guan Eng bersikap acuh tak acuh untuk menyelesaikan konflik yang mula ditimbulkan seawal DUA MINGGU selepas pemilihan CEC sebab dia pun kena beli dek BN! Beliau selama ini buat tak tahu sahaja sampaikan Karpal Singh pun rasa risau dan sanggup membuat kenyataan media tentang hal ini bagi pihak Setiausaha Agung (agaknya Karpal tak tahu lagi yang Guan Eng dah dibeli oleh BN). Kini, disebabkan tindakan Guan Eng, empat bulan lamanya sudah berlalu dan penyelesaian masih belum dibuat!
Memang soheh, Lim Guan Eng telah dibeli oleh BN!
Pasca-penulisan: Lim Kit Siang mengaku ada info daripada SB yang Pakatan akan menang 170++ kerusi parlimen, apa DAP mahu takut lagi???
No comments:
Post a Comment