Sunday, April 28, 2013

Drama wanita

 

Saban hari dalam drama Melayu, persoalan yang sering diketengahkan dalam televisyen ialah percintaan muda-mudi dan perkahwinan. Perkahwinan itu pula selalunya, tapi tak semestinya melibatkan pasangan yang terpaksa berkahwin lantaran pelbagai sebab-musababnya. Sama ada untuk pengembangan bisnes keluarga atau sebagai syarat 'tebus' jasa-jasa nan lalu, atau untuk menutub keaiban si anak perempuan yang mengandung luar nikah.

Senario sebegini sering dipaparkan dalam skrip drama-drama Melayu dan jarang pula diterbitkan dalam drama bahasa dan bangsa lain. Drama Cina Singapura misalnya, mempunyai pelbagai genre yang memaparkan pelbagai latar masa dan budaya. Misalnya drama masa lampau (period drama), memaparkan latar semasa zaman prapenjajahan Jepun sehinggalah selepas kemerdekaan. Drama masa moden pula mempunyai kepelbagaian persoalan daripada jenis masalah kekeluargaan, cinta, prosedur penyiasatan polis, mistik dan lain-lain.

Bagaimana pun, di sini drama Melayu kekal dengan genre cinta muda-mudi, si lelaki yang ego dan si perempuan yang mengikut sahajalah cakap lelaki itu secara telus dan tulus. Apatah lagi dicampur dengan pengadaptasian novel-novel cinta popular yang mencampur-adukkan antara cinta dan sedikit sejamah unsur keIslaman yang menjadikan wujudnya dua keadaan yang kontra; satu bergelumang dengan dosa, satu lagi di tikar sembahyang memohon doa kepada yang Maha Esa.

Cuma penulis tertarik dengan watak dan perwatakan yang dibawa oleh heroin dalam cerita sebegini. Setakat yang penulis perasan ada yang jenis terlalu memberontak sehingga sanggup menggadai maruah sebagai isteri. Ada pula yang menunjukkan sikap begitu tidak reda kepada suami kerana kahwin paksa; dan ada juga yang bersikap terlalu tulus dan telus kepada suami sehingga kelihatan diperhambakan sedangkan suami berbuat sesuka hatinya.

Kesemua ini memaparkan sisi watak wanita yang sama ada bersifat terlalu menentang atau pun terlalu akur sehingga menimbulkan persoalan kepada penulis, adakah ini realiti semasa wanita hari ini? Lebih-lebih lagi bagi perwatakan yang begitu pasrah mendengar dan menerima apa sahaja tengkingan dan makian daripada si suami lantaran 'tidak tahu memasak.' Hal ini turut menimbulkan satu lagi persoalan sampingan, adakah wanita sekarang ini tidak geti memasak? Teruk benar agaknya sampaikan nak masak pun tak geti, macam mana hendak jadi suri rumah tangga?

Kesemua ini memberikan imej yang buruk kepada wanita Melayu sendiri apabila mereka digambarkan sama ada terlalu havoc atau pun terlalu tunduk kepada segala apa yang diperlakukan kepadanya. Seolah-olah adat Melayu membenarkan wanita diperlakukan sebegitu rupa dan tunduk seadanya kepada lelaki. Adakah ini yang cuba ditunjukkan dalam drama Melayu? Adakah ini sahaja konflik yang mampu diterbitkan oleh pengarang dan penulis skrip?

Mungkin ada yang mengatakan bahawa naskhah macam inilah yang akan mengangkat martabat wanita. Wanita sanggup diperguna segala-galanya kerana cinta kepada jantan lain atau kepada suami sendiri, Bahkan, hujah ini ialah hujah kepada mempersoalkan perwatakan drama bagi wanita yang terlalu memperhambakan sahaja dirinya kepada apa sahaja tindak tanduk si lelaki dan bukannya hujah untuk mengangkat martabat wanita. Martabat wanita diangkat melalui kedatangan Islam yang membela segala bentuk hak dan kebajikan untuk wanita. Wanita tidak lagi diperhambakan dan dipergunakan sesuka hati oleh kaum lelaki walaupun suami sendiri. Malangnya, sebaliknya yang berlaku apabila suami menjadikan isterinya sebagai alat untuk melepaskan geram, ditengkingnya dan dimarahnya isteri itu macamlah isteri itu sampah. Konflik sebegini yang sering diutarakan boleh dibaca dan kadang-kala terlalu klise.

Memanglah pada akhir drama sebegini akan menunjukkan suami-isteri hidup rukun damai dan bahagia, atau sang jejaka dan wanita berkahwin, namun pada realitinya adakah hal sedemikian yang berlaku? Kita pun selalu membaca kisah di dada akhbar, seandainya hinggap sepenampar di muka isteri, terus boleh membawa ke kes cerai. Pada hemat penulis, perkara tersebut memang wajar kerana si jantan menjadikan wanita sebagai tempat melepaskan barannya. Kalau satu kesalahan ditempeleng, mau kalau perkara besar, si wanita akan dijadikan sebagai puncing beg pula! Silap-silap, hal-hal kerja pun si lelaki akan meluahkan perasaan marahnya kepada si wanita.

Pendek kata, kreativiti drama Melayu masa kini patut dipelbagaikan dan bukannya tertakluk kepada 'pengorbanan wanita sehingga lunyai sebelum diangkat sebagai heroin' yang hidup bersama 'jantan keparat yang hidupnya tak sedar diuntung.' Maruah wanita perlu diletakkan pada tahapnya yang telah unggul untuk membolehkan orang ramai memahami status sebenar wanita dalam Islam dan di Alam Melayu. Seandainya watak mereka hanya sekadar merelakan segala perlakuan buruk sama ada fizikal mahu pun mental sahaja, perkara ini hanya menampilkan sisi negatif dalam masyarakat Melayu. Sedangkan kini, wanita di Malaysia sudah berdiri teguh untuk 'mempertahankan' hak-hak mereka.

Justeru, tampilkanlah penghargaan kepada mereka dalam karya-karya kita...

No comments: