Thursday, April 25, 2013

Mengapa sampai begitu?

 

Negara kita dikejutkan dengan satu letupan yang berlaku di sebuah ceramah BN di Nibong Tebal. Seorang petugas cedera di kaki kerana terkena serpihan sampah (PVC) yang meledak angkara letupan tersebut. Sudah semestinya hal yang demikian akan mencetuskan ketakutan kepada peserta ceramah terbabit. Bagaimana pun, tiada sebarang kemalangan jiwa yang berlaku dan polis turut menyatakan letupan terbabit adalah untuk ‘menakut-nakutkan’ sahaja peserta yang hadir. Perbuatan itu ialah satu perbuatan yang profesional kerana sasarannya sekadar menghasilkan bunyi yang kuat menyebabkan orang ramai ketakutan. Dikatakan terdapat satu lagi bahan letupan yang dijumpai selepas siasatan tempat kejadian dilakukan ileh pihak polis.

Sebelum ini, semasa hari keputusan kes Liwat 2.0 pun, berlaku keadaan yang sama apabila beberapa letupan berlaku sekitar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Kecederaan turut berlaku namun tiada siapa yang meninggal dunia. Siasatan polis telah dijalankan tetapi sehingga kini pun, tidak akan tangkapan atau pengakuan yang dibuat sempena kejadian tadi.

Budaya bom dalam rapat umum awam merupakan satu budaya yang asing dalam Malaysia. Kelakuan menakut-nakutkan orang awam dengan letupan sangat jarang berlaku; sebaliknya kejadian tersebut berlaku pula sempena PRU ke-13 kali ini. Mungkin pelakunya tidak dapat di tangkap, akan tetapi kelakuan sedemikian harus dielakkan sama sekali. Kita tidak mahu kejadian sedemikian akan menyebabkan pihak-pihak tertentu mengambil inisiatif untuk meniru gaya sedemikian dalam tempat umum lain pula.

Cukup-cukuplah kita melihat kejadian di luar negara; di negara yang tika saat ini turut mengadakan pilihan raya di Iraq dan Pakistan, betapa ramai rakyat yang mati kerana dibom oleh pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab. Anehnya, kedua-dua negara tersebut merupakan negara ‘Islam,’ maka mudah benar mereka menghalalkan darah sesama Islam. Adakah negara kita sedang menghala ke arah lorong sedemikian?

Kini, hendak salahkan sesiapa pun tidak memadai kerana tiada bukti yang mencukupi untuk menuduh sesiapa pun. Dalam keadaan arena politik yang sedang memuncak, diharapkan tiada pihak politik yang menuduh ‘perkara ini ialah kerja pihak yang satu lagi,’ atau pun ‘perkara ini ialah sandiwara pihak itu sendiri.’ Kejadian pengeboman sebegini terlalu besar untuk dijadikan sandiwara sesiapa, jadi walaupun ahli politik berkempen bersungguh-sungguh untuk memburukkan orang yang lain (adatlah politik Malaysia ini yang gemar menggunakan serangan peribadi), melainkan wujud bukti yang nyata, jelas dan tidak spekulatif, barulah boleh menuduh sekian yang buat sekian.

Kemudian, dengan kematian yang berlaku di Kelantan lantaran bertekak isu politik juga, rakyat diharapkan untuk lebih berhemah ketika hendak meluahkan perasaan. Bagi yang sudah memang ada sejarah darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung tu, janganlah galak sangat hendak bertekak dengan pihak lawan kerana kalau terjadi apa-apa pun, ‘keluarga dan parti juga yang akan kehilangan ahli.’

Macam orang kat Bukit Aman kata, dalam pilihan raya politik ini, pertandingan yang berlaku ialah pertandingan minda dan bukannya secara fizikal. Kalau bergaduh pun, yang menang tidak akan bawa sebarang makna sebaliknya yang mendapat undi yang lebih banyak pada hari mengundi nanti yang diisytiharkan sebagai pemenang. Ingatlah, keganasan bukan satu opsyen untuk kita memilih pemerintah!

No comments: