Jujur kata, penulis bukan peminat marathon, jadi penulis tidak tahu sama sekali betapa popularnya satu-satu acara marathon itu. Lalu, apabila berlaku pengeboman di acara Marathon Boston, penulis tertanya-tanya, penting sangatkah marathon di sana sehingga ada orang yang sanggup mengebom di acara tersebut? Atau apakah ertinya orang cuba mengebom kawasan atau acara tersebut
Rupa-rupanya, kalau dipandang daripada perspektif sesetengah orang Amerika, ada kepentingannya acara itu.
Bagi sesetengah rakyat Amerika yang mempunyai stigma terhadap Islam, siapa lagi yang layak melakukannya kalau bukan pengganas Islam. Justeru, pengeboman Marathon Boston itu pantas mereka kaitkan dengan Hari Patriot di bandar raya tersebut dan pelakuknya siapa lagi kalau bukan muslim. Walaupun siasatan baharu sahaja dimulakan oleh pihak berkuasa, sudah ada analisis yang dikemukakan oleh pihak sekian-sekian yang mendakwa ‘pelakunya siapa lagi kalau bukan ekstrimis Islam.’ Kononnya sudah ada orang daripada negara Arab yang sudah ditahan untuk soal siasat. Untuk rekod, Hari Patriot versi ini (bulan April) hanya disambut di beberapa negeri di US (Massachusetts, Wisconsin dan Maine) sempena memperingati Perang Saudara Amerika dan BUKANNYA yang disambut seluruh US sempena 11 September setiap tahun (juga nama Hari Patriot; tetapi bukannya hari cuti).
Berbeza dengan kejadian di Norway beberapa tahun lepas, media antarabangsa nampaknya agak berhati-hati dalam melaporkan kejadian ini. Andai kita ingat semula kejadian di Oslo itu, media pantas sekali meletakkan kumpulan jihad sebagai pesalah utama sejurus kejadian pembunuhan beramai-ramai berlaku. Bagaimanapun, si penyerang rupa-rupanya seorang ekstremis Kristian, terus diisytiharkan sebagai pesakit mental apabila tangkapan berlaku. Perkataan 'terrorist' digugurkan terus daripada perbincangan di media masa dan kini, orang mengenali penyerangnya, Anders Behring Breivik sebagai orang yang mengalami gangguan mental.
Otaknya telah rosak dan mungkin memerlukan teknik psikoanalisis dari segi id, ego dan superegonya untuk memahaminya. Penyiasat mungkin perlu memahami sehingga ke tahap metod pemikiran Sigmund Freud atau Carl Gustav Jung untuk mengetahui punca kerosakan mental penyerang?? Setelah ditangkap, kesalahan terus dibebankan ke atas Breivik seorang diri walaupun beliau mengaku beliau bergerak secara berpasukan (maklumlah, dah mereng). Hal ini sekali gus mengukuhkan lagi pandangan bahawa sungguh pun apa yang dilakukannnya itu ialah tindakan ganas, keseluruhan tindakan beliau tidak diiktiraf sebagai tindakan pengganas (terrorist) kerana untuk mengkategorikan sesuatu serangan itu sebagai serangan pengganas, serangan perlulah dilakukan oleh sebuah ‘pertubuhan’ atau ‘kumpulan.’
Akan tetapi, kalau penyerangnya orang Islam, memang tidak syak lagi pengganaslah yang menyebabkan serangan itu. War of terror dan axis of evil adalah antara perkataan yang akan muncul di dalam dada-dada akhbar antarabangsa. Al-Qaeda, Taliban dan segala-bala perkataan yang berkait dengan 'pengganas Islam akan cuba dikaitkan dengan serangan tersebut. Sekiranya tak banyak, sikit pun jadilah untuk memalitkan bahawa yang bertanggung jawab dalam hal pengeboman itu ialah pengganas Islam.
Andai dikenang semula, kalaulah kejadian di Sandy Hook itu dilakukan oleh orang Islam, nescaya perkara lain pula yang dijadikan sebagai asas perjuangan. Mungkin bukannya mengehadkan penggunaan senjata api, tapi mungkin membenarkan senjata api digunakan untuk mempertahankan diri daripada pengganas. Atau meminta undang-undang kewarganegaraan diperketatkan untuk orang Islam. Soal prejudis tidak kenal bagaimanakah kejadian itu berlaku dan motif kejadian tersebut.
Kini, US menghadapi satu lagi 'ancaman' yang sangat besar selepas 11 September (9/11). Rakyat mereka digambarkan akan menerima ancaman pengganas yang dahagakan darah dan rakuskan nyawa manusia. Mereka perlu takut dan harus menanam segala ketakutan di dalam sanubari mereka. Mereka pernah diingatkan oleh bekas Presiden Bush bahawa pengganas ini menyerang rakyat US kerana mereka cemburukan/takutkan kebebasan US (they envy/ fear our freedom). Mereka perlu tahu bahawa pengganas-pengganas ini tidak akan berhenti menyerang selagi mereka mempertahankan 'kebebasan' yang mereka rasai. Itulah doktrin patriot seorang rakyat US.
Boneka besar pengganas yang digelar Osama bin Laden telah ditumpaskan oleh Obama. Barangkali, kejadian di Marathon Boston ini menjadi satu lagi titik penting dalam kerjaya Obama. Seandainya siasatan berjaya menemui bukti untuk mengaitkannya dengan sebarang kegiatan pengganas, sudah tentu peranan Obama dalam kes ini lebih luas lagi dan mungkin akan menjadikannya sebagai Presiden US paling berjaya melawan 'paksi kejahatan' dalam 'perang melawan pengganas' dalam era pasca-Perang Dingin. Begitu banyak kepala-kepala pengganas yang mati ditangan Osama.
Akan tetapi, sekiranya pengeboman itu sekadar satu lagi kes nadir yang dilakukan oleh 'golongan nakal,' maka hal yang sedemikian juga sekadar membuktikan bahawa US juga sebagaimana lain-lain negara; yang turut mempunyai permasalahan sehingga ada dikalangan rakyatnya yang melakukan kekacauan. Walaupun berlaku kematian dan kecederaan, keadaan tersebut masih tidak seteruk Sandy yang melanda negeri-negeri Atlantik Tengah, apatah lagi Katrina yang melanda New Orleans. Kematian akibat bencana besar jauh lebih besar berbanding satu-satu serangan bom pasca-9/11.
Maka, jika serangan bom dipanggil sebagai intervensi manusia sementara bencana alam sebagai intervensi Tuhan; kita tahulah siapa yang lebih berkuasa ke atas siapa.
No comments:
Post a Comment