Thursday, April 11, 2013

Ikon hapakabenda?!

 

Beliau sangat dikagumi oleh kawan dan lawan. Beliau diiktiraf dengan segala macam anugerah yang diberikan kepadanya, ketika beliau sendiri masih terbelenggu, tidak dapat menuntut segala anugerah tersebut. Kedudukan beliau diangkat, dijunjung mungkin setaraf dengan negarawan ulung persis Nelson Mendela.

Tatkala 'merpati' ini bebas daripada 'sangkarnya,' beliau disambut dengan sorak dan sorai dan terus menyertai pilihan raya Myanmar dan ke negara-negara Barat mengutip semua trofi yang dianugerahkan kepadanya.

Kesemua mata dunia yang dahagakan satu cereka demokrasi tekun memerhatikan dirinya. Terukir senyuman yang menawan, menandakan segala-galanya akan kembali ideal. Demokrasi akan berkuasa kembali di bumi Myanmar.

Atau itu hanyalah apa yang semua orang sangka!

Aung San Su Kyi memang digemari oleh ramai tokoh-tokoh politik antarabangsa, sama ada Timur mahupun Barat. Pernah sekali seorang tokoh politik Malaysia yang menyifatkan semangatnya perlu disuburkan dalam konteks politik tanah air kerana Malaysia 'belum cukup demokrasi.' Maklumlah, asyik parti yang sama sahaja yang memerintah; jadi tak cukup demo lagi. Tidak hairanlah Aung San Suu Kyi diangkat sebagai ikon demokrasi Myanmar. Agaknya, orang Myanmar tak kenal demokrasi kalau tak kenal Suu Kyi.

Malangnya, belang sebenar 'demokrasi' yang dibawa oleh Aung San Su Kyi terus terlondeh sejurus beliau berjaya bebas daripada tahanan rumah dan menyertai pilihan raya. Ketika itu, nun di negaranya sendiri, berlakulah pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya sementara beliau sedang sibuk menerima anugerah yang muluk-muluk daripada kerajaan Barat hasil 'perjuangan' beliau dari rumah! Saat dan ketika itu, tak sepatah 'haram' pun mulutnya menuturkan sebarang komen tentang genosida yang berlaku di negaranya sendiri.

Apakehal?!

Mana kalimah sakti menegakkan hak asasi manusia? Mana perginya sokongan terhadap insan yang kini dalam keadaan gerhana? Mana perjuangan insan menuntut jiwa merdeka? Mana bidasan pedas kekejaman terhadap Rohingya? Mana tindakan padu atas nama demokrasi dunia?

Nampaknya Aung San Suu Kyi tidak lebih selain satu produk yang diwujudkan oleh Barat dan media Barat untuk mengajar dunia erti demokrasi. Beliau hanyalah sekadar topeng yang cuba dioptimumkan bagi menerangkan produk dan perkhidmatan yang bernama 'demokrasi.' Beliau merupakan ikon yang diangkat oleh media massa, tetapi usahanya sekadar mencerminkan nuansa demokrasi Barat. Selagi pembaratan tidak berlaku di sesebuah negara, selagi itu negara itu akan cuba disemai dengan bibit-bibit demokrasi ideal ala-Barat.

Sehingga kini, masyarakat Islam etnik Rohingya masih lagi menghadapi tekanan demi tekanan kalau masih kekal di utara Myanmar. Siapa yang sudah tak tahan tekanan dan yang memberanikan diri, mereka akan cuba belayar mempertaruhkan nyawa untuk mencari suaka di luar negara. Sebagaimana Palestin, kaum ini juga tidak bertanah air dan lebih teruk, sehingga kini tiada siapa pun di atas muka bumi ini yang mengiktiraf kewujudan mereka. Tambah menyulitkan keadaan, perhatian yang diberikan dunia kepada etnik ini tidak sehebat konfik-konflik yang lain.

Dan andai kita hendak mengharapkan ikon demokrasi Myanmar sendiri, kita sedang meletakkan harapan palsu kepada insan-insan yang menghadapi kemungkinan akan sentiasa menjadi pelarian di negara-negara dunia. Tak hairanlah tatkala Barat dan sebahagian daripada Timur mengangkatnya sebagai ikon, ada juga dikalangan manusia yang melakukan tindakan drastik sehingga membakar gambar manusia bernama Aung San Su Kyi...

Aung San Su Kyi yang sepi daripada demokrasi???

No comments: