Friday, December 18, 2009

Lebih berharga dari yang lain

Seolah-olah telah memenangi kejohanan Sukan Sea 2009. Begitulah gamaknya "harga" dan euphoria yang dirasai oleh para peminat sukan dan pemain bola sepak negara apabila pasukan negara berjaya mengakhiri kemarau 20 tahun pingat emas dalam sukan tersebut. Kemenangan tersebut juga menjadi pingat emas terakhir yang dikutip oleh kontingen negara pada temasya dwi tahunan yang di adakan di Laos tersebut. Sesungguhnya, Laos adalah bumi bertuah buat sukan bola sepak negara.

Hadir sebagai underdog, malah kalah dengan lawan yang sama pada peringkat kumpulan, Malaysia berjaya merangkul pingat emas tersebut dengan penuh kejutan kerana Vietnam sudahpun bercanang-canang untuk mencatat sejarah untuk buat kali pertama dikalungkan pingat tersebut. Maka, apakah yang begitu berharganya pingat emas yang satu itu (walaupun dikalungkan kepada lebih 11 orang pemain, tetap dikira sebagai satu) berbanding dengan yang lain?

Pertama adalah betapa penantian yang dirasai oleh segenap lapisan peminat sukan popular tersebut. Sehinggakan, ada yang berpendapat "kalau tak dapat yang lain, bola sepak emas sudah cukup lah.." Hal ini cukup meletakkan bola sepak pada kelasnya yang tersendiri di mata peminat sukan Malaysia walaupun sukan lain seperti badminton, renang, olahraga, silat, tinju turut menyumbang pingat yang sama. Faktor popular merupakan galang ganti kepada yang lain.

Kedua, berasaskan prestasi semasa yang terumbang ambing, siapa sangka skuad muda yang dibentuk oleh Rajagopal (sekarang sudah self-proclaim Raja Sukan Sea) berjaya memenangi pingat tersebut berbanding dengan lawan masing-masing. Malaysia diletakkan dalam kumpulan yang sangat sukar – Thailand dan Vietnam merupakan lawan yang jauh lebih baik berdasarkan prestasi semasa. Kejayaan menumpaskan Thailand untuk mara ke separuh akhir sudahpun menjadi satu "sejarah" tersendiri. Dapat emas pula....! Ini sudah satu yang ganjil dan mengujakan!!!!

Namun, dengan sorak sorai tawa gembira yang dizahirkan oleh setiap pemain bola sepak negara, terkandung juga satu harapan menggunung buat mereka – untuk pergi lebih jauh pada masa akan datang. Perlu diingat, bola sepak Sukan Sea menampilkan pemain negara berumur 23 tahun dan ke bawah, maka sudah semestinya kehadiran Vietnam, Thailand, Singapura dan Indonesia dibarisi oleh skuad pelapis mereka berbanding skuad utama. Ada pemain skuad Singapura yang dikhabarkan boleh bermain untuk dua atau tiga Sukan Sea lagi – maka apakah emas Sukan Sea itu boleh disimpulkan sebagai kejayaan mutlak bola sepak negara?

Satu fakta yang menarik juga, pemain Malaysia secara teknikalnya TIDAK pernah menjaringkan gol semasa menentang Vietnam. Nampak sekali di sini bahawa gol-gol Malaysia terhasil daripada kesilapan pasukan Vietnam – bukan menafikan bahawa gol tersebut tidak sah atau Malaysia tidak berhak mendapat gol – tetapi sebetulnya, pemain Malaysia masih belum menjaringkan gol!

Sukan Sea secara keseluruhannya pula berjaya mencapai matlamat yang rendah yang ditetapkan oleh MOM dan MSN. Bagaimanapun, masih ada penambahbaikan yang luar biasa yang perlu dilakukan oleh beberapa acara yang sepatutnya menghasilkan emas buat negara. Sukan menembak misalnya, dengan kehadiran pemain bertaraf antarabangsa, skuad Malaysia GAGAL langsung memperoleh emas dari lapang sasar. Perkara ini sebenarnya perlu diberi perhatian – jangan dek tenggelam dengan euphoria kemenangan bola sepak semata-mata. Begitu juga dengan takraw, memanah dan lain-lain sukan potensi emas. Pembangunan badminton wanita misalnya telah menampakkan hasil, akan tetapi bagaimana pula dengan yang lelaki? Adakah kita hendak tewas dengan Vietnam atau Laos pula dalam sukan-sukan berpotensi besar dan berkemarau berpuluh-puluh tahun dahulu baru kita hendak bangkit?

Kembali kepada bola sepak, kemenangan emas Sukan Sea Laos merupakan titik permulaan bola sepak negara. Bola sepak Malaysia seharusnya sudah lama melangkaui peringkat Asia Tenggara – dengan memberi cabaran peringkat Asia pula. Prof Emiretus Tan Srr Dr Khoo Kay Kim misalnya, menyarankan agar skuad ini mengekalkan momentum kemenangan untuk kejohanan bola sepak akan datang pula, seperti Piala Asia, Sukan Asia. Maka seharusnya segala-galanya bermula di sini. Bukan mengakhiri kemarau yang panjang yang kita cari. Sebaliknya, menuai hasil yang lebat selepas tanah subur dijaga dan dibaja. Mempertahankan emas pada temasya akan datang itu sudah mesti. Benar-benar menggugat di peringkat yang lebih tinggi, itu yang seharusnya dimulai!

Jangan puji melangit sehingga kejayaan tersebut dicapai.....

Wednesday, December 16, 2009

Bantai BTN

Secara tiba-tiba, isu tentang Biro Tata Negara menjadi topik hangat di dada akhbar apabila kerajaan Selangor dilaporkan tidak membenarkan kakitangan kerajaan dan agensi kerajaan negeri serta penuntut institut pengajian kerajaan negeri untuk menyertai kursus yang dianjurkan oleh biro berkenaan. Hal ini diikuti dengan tindakan kerajaan negeri PR yang lain yang dikhabarkan turut serta menguatkuasakan larangan tersebut. Bagaimanapun, berbanding dengan Selangor yang mempunyai "program" perkembangan sahsiahnya sendiri (digelar sebagai SPIES), kerajaan PR yang lain tidak pula menyatakan galang ganti bagi BTN seandainya BTN diharamkan di negeri terbabit.

Isu BTN juga tidak terlepas daripada diulas oleh dua orang bekas PM iaitu Tun Dr Mahathir dan Tun Pak Lah. Namun, sebagaimana biasa, keadaan persekitaran semula jadi masa kini lebih menghighlight pandangan Dr Mahathir berbanding yang lain apabila beliau meluakan betapa kandungan kursus BTN sekarang ini adalah cukup baik (sebagaimana Pak Lah pun memberi respon yang sama). Lalu, pandangan ini dikomen oleh Menteri di JPM, Nazri Aziz bahawa kandungan BTN sekarang perlu diubah selaras untuk mencapai hasrat 1Malaysia. Lalu, pertikaman lidah berlaku antara mereka berdua yang masing-masing agaknya mempunyai kepentingan dalam BTN?!

Penulis tidak sedar sudah berapa kali penulis mengikuti program BTN. Penulis benar-benar ingat penulis ada menyertai satu program BTN yang dianjurkan di UM semasa penulis tahun satu. Program tersebut dianjurkan untuk kesemua pelajar tahun satu secara berperingkat pada hari Sabtu. Pada hari tersebut, pihak universiti telah menyediakan bas dari kolej kediaman untuk ke Perdana Siswa bagi mengikuti kursus berkenaan. Isi kandungan kursus BTN tersebut tidak berapa terpahat di ingatan penulis; yang paling penulis ingati adalah betapa itulah kali pertama penulis berpeluang untuk menaiki bas universiti!

Tidak banyak yang penulis ingati tentang ceramah yang disampaikan oleh pihak BTN. Hanya ada satu slot yang mana penceramahnya begitu bongkak dan takbur dengan berkata, " Si polan polan tersebut, presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM, saya kenal dia. Tapi dia tak kenal saya." Apakah penting sangatkah orang mengenali penceramah BTN sampaikan kalau beliau kenal si polan tetapi si polan tak kenal beliau, maka beliau ungkitkan dalam ceramah BTN?

Mungkin penulis juga ada mengikuti kursus anjuran BTN semasa di MRSM dahulu. Memang dalam salah satu kursus yang penulis sertai, ada menerangkan tentang perlembagaan persekutuan, hak istimewa orang Melayu dan sebagainya – kononnya bagi memupuk semangat patriotisme. Bagaimanapun, penulis bersyukur kerana ramai sekali rakan-rakan penulis yang pernah menyertai kursus tersebut; sama ada atas alasan tuntutan tempat kerja (kerja gomenlah nak dikatakan...), disebabkan tuntutan biasiswa (namapun biasiswa kerajaan persekutuan...) mahupun tuntutan IPT. Apakah yang istimewanya kursus BTN, memanglah penulis kurang arif tentangnya.

Dikhabarkan kepada penulis oleh seorang rakan bahawa dalam satu sesi kursus BTN, penceramah yang memberikan kuliah membawa pendengar kepada "realiti politik masa kini" dengan mempersembahkan pecahan parti yang memenangi pilihan raya pada 2008. Lalu, pecahan tersebut dipelbagaikan pula berasaskan bangsa dominan parti politik pula i.e. UMNO dan PAS dikira parti dominan Melayu, MCA dan DAP sebagai parti dominan Cina dan sebagainya lalu menerangkan kesannya terhadap Perkara sekian sekian dalam Perlembagaan Persekutuan.

Penulis dikhabarkan lagi, dalam salah satu sesi yang lain bagi kursus BTN, peserta diberikan kepada situasi untuk membuat keputusan terhadap pemilihan pemenang untuk "tender" yang direbut oleh tiga buah syarikat: Pertama adalah syarikat asing yang mempunyai kepakaran, mungkin mengenakan kos yang tinggi, kedua adalah syarikat tempatan yang menyokong pihak kerajaan tetapi tidak mempunyai kemahiran atau sumber yang mencukupi dan syarikat ketiga pula adalah syarikat yang mempunyi kapabiliti yang baik namun menyokong pembangkang. Maka peserta diminta untuk memilih dan memberikan alasan yang munasabah terhadap pemilihan tersebut.

Pada hemat penulis, tak kiralah namanya BTN ke, atau SPIES ke, sasarannya kena jelas. Kalau hendak wujudkan semangat cintakan negara dan memberikan kefahaman tentang artikel sekian-sekian dalam perlembagaan, maka penerangan yang sejelas-jelasnya harus dibuat agar tidak menimbulkan kekeliruan. Dan bagi pihak yang selalu mempertikaikan hak istimewa orang itu dan ini, seharusnya mereka diberitakan tentang kenapa hak tersebut diberikan kepada itu dan ini. Dan kesemua pihak harus sedar bahawa mendahulukan emosi merupakan punca kepada segala rusuhan yang berlaku di dunia ini.

Mungkin benar kursus BTN perlu diubah. Perubahan harus dilakukan bukan kerana memenuhi kehendak politik ataupun 1Malaysia per se, perubahan penting bagi merencamkan agenda memupuk semangat patriotisme dan memberikan kesan kepada peserta perasaan kekitaan sebagai bangsa Malaysia. Seeloknya slot seperti "realiti politik semasa" boleh kita abaikan dalam kursus BTN kerana setiap parti di Malaysia pun mempunyai realiti politik mereka sendiri. Tinggalkanlah politik dalam hal memupuk patriotisme walaupun agak sukar melakukannya. Kalau semua berbaur politik, maka seeloknya kerajaan menganjurkan kursus Biro Politik Negara pula!

Cadangan lain yang boleh dikemukakan kepada BTN adalah menjadikan kursus tersebut lebih berbentuk menyemai sifat-sifat baik yang universal melangkaui agama, bangsa mahupun politik. Dengan kehidupan manusia yang semakin sophisticated, harus sekali BTN memainkan peranan untuk memupuk kembali nilai-nilai universal yang semakin ditinggalkan orang disebabkan ledakan sains dan teknologi. Apa salahnya BTN memberikan penekanan terhadap hidup berjiran (tak kira bangsa), gotong-royong saling membantu satu sama lain sama ada di peringkat tempat kerja, kawasan perumahan, sekolah mahupun masyarakat. Oleh sebab itu, peserta yang menghadiri BTN juga perlu heterogeneous dari segi demografinya supaya mesej dan nilai yang hendak diterap itu sampai tepat kepada "penonton" (audience) yang diharapkan.

Bagimana pula seandainya BTN dijadikan sebagai penghubung kepada sektor awam dan swasta? Walaupun kerajaan telah banyak sekali mengumumkan insentif bagi merapatkan kedua-dua sektor tersebut di peringkat pengurusan tertinggi seperti jalinan kerjasama, peluang pelaburan dan sebagainya, apakah kerajaan tidak bercadang untuk merapatkan kedua-dua sektor itu di peringkat personel pula? Maka selayaknya BTN-lah yang menjadi satu platform bagi usaha ke arah itu. Kita sering mendengar keluhan dan gesaan kedua-dua belah pihak awam dan swasta tentang betapa mereka kekurangan ini dan itu, tidak dapat ini dan itu dan merekalah yang paling menyumbang ini dan itu kepada pembangunan negara. Maka selayaknya BTN menjadi medium untuk kedua-dua belah pihak berkenalan satu sesama lain untuk membolehkan masing-masing mengetahui peranan yang dimainkan oleh diri sendiri dan orang lain di sektor yang berbeza dalam memacu pembangunan negara.

BTN merupakan satu aset latihan (training) pembangunan yang begitu bernilai seandainya peranannya direncamkan dan ditambahbaikkan dari semasa ke semasa. Dari segi namanya – tata memberikan konotasi prinsip dan kerukunan – sebagaimana tatabahasa, tata susila, tata tertib. Maka seharusnya peranan yang dimainkan oleh BTN lebih luas lagi ke arah mewujudkan rakyat yang benar-benar ikhlas membangunkan negara bangsa. Jangan disempitkan peranannya semata-mata menyedarkan orang ramai tentang realiti politik semasa sedangkan pembinaan tamadun bangsa kita pinggirkan!


 

Saturday, December 12, 2009

Soal siat SPRM

Tatkala sebuah mahkamah memberikan keputusan penghakiman bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya dibenarkan membuat soal siasat pada waktu pejabat sahaja, maka timbul persoalan fundemantal rentetan keputusan tersebut – Apakah kedudukan keterangan suspek selepas waktu pejabat sebelum keputusan “soal siasat hanya waktu pejabat” diputuskan? Apakah keterangan suspek selepas waktu pejabat itu terpaksa ditolak kerana dilakukan luar masa SPRM boleh membuat soal siasat?

Lebih penting lagi daripada itu, timbul pula persoalan berikut, apakah selama ini SPRM tidak mengetahui bahawa batasan masa mereka boleh membuat soal siasat? Apakah tidak termaktub dalam akta SPRM tentang masa soal siasat dijalankan – kehilangan klausa-klausa tertentu yang menyebabkan pihak-pihak tertentu boleh menyaman kembali SPRM kerana mengambil keterangan di luar waktu yang ditetapkan?!

Apa yang perlu pada masa kini adalah untuk SPRM menilai kembali prosedur-prosedur tertentu yang dijalankan oleh mereka agar tidak mendatangkan sebarang kemusykilan terhadap tindak tanduk mereka. Mereka perlu sedar bahawa pihak-pihak tertentu (baca: politik) akan sentiasa menggunakan SPRM sebagai kambing hitam terhadap sebarang isu rasuah yang melanda baik pihak kerajaan BN mahupun pihak Pakatan. Ayat-ayat biasa kalau orang BN kena tahan adalah – “Itu menunjukkan dia buat rasuah!” Atau “Sahlah dia berasuah!” Atau lebih sinis lagi “Itu semua propaganda pihak BN mencantas ahli sendiri.” Tetapi kalau pihak Pakatan yang terkena tangkap, maka ayat-ayat seperti “SPRM alat BN mengenakan Pakatan!” atau “Kredibiliti SPRM dipersoal” atau lebih sinis lagi, “BN dah tak da modal lah tu, sampai isu lembu pun dijadikan asas rasuah.”

Kejatuhan Indeks Persepsi Rasuah Malaysia bukanlah sesuatu yang perlu dihairankan; nama pun persepsi. Persepsi boleh dibayangi oleh persekitaran, pengalaman dan “word of mouth” yang belum tentu objektif. Persepsi orang yang melihat sebuah kereta dipandu laju, celok sana dan celok sini pastilah negatif pada mata ramai orang namun seandainya pemandu tersebut sedang membawa orang sakit tenat; atau ibu yang hendak melahirkan anak – siapa yang tahu.

Contoh lain, selain persepsi negatif rasuah, kita juga menghadapi persepsi negatif orang Indonesia yang mendakwa kita mencuri tarian mereka, walaupun sudah terang lagi bersuluh bahawa dokumentari yang diterbitkan tersebut BUKAN DITERBITKAN oleh media Malaysia yang jelas sebenarnya ingin mewujudkan konfrantasi hubungan Malaysia-Indonesia. Kita juga menghadapi persepsi buruk masyarakat antarabangsa bahawa kita menjadi transit penyeludupan manusia sedangkan kita pun sedia maklum, kalau orang luar datang Malaysia tanpa dokumen pun (PATI) untuk mencari rezeki di Malaysia juga dikira sebagai orang yang terseludup.

Dari hal tersebut, adalah wajar untuk kesemua pihak terutamanya parti politik tidak terlaku emosional terhadap hasrat murni kewujudan SPRM bagi membanteras rasuah. Kekhilafan yang berlaku pada SPRM memanglah sangat-sangat janggal, akan tetapi hal tersebut bukan bermakna mereka tidak boleh melaksanakan penambahbaikan berterusan. Ada sahaja pihak yang tidak akan berpuas hati dengan badan pelaksanaan undang-undang, namun kalau kita tidak percaya kepada kesemuanya, adakah kita boleh hidup sendiri tanpa mereka?

Kita boleh sentiasa berteriak bahawa sekian-sekian adalah agen kepada sekian-sekian. Kita boleh terus-menerus menjadi orang yang tidak mempercayai sesiapa melainkan golongannya sahaja. Kita boleh sentiasa membuat perbandingan itu dan ini; namun pada akhirnya, keunikan masyarakat kita yang membezakan segala-galanya. Kita ada pelbagai bangsa yang kesemuanya menuntut hak itu dan ini, kita ada pelbagai agama yang masing-masing menuntut haknya. Adalah lebih baik kita meraikan perbezaan tersebut dengan berhemah daripada asyik terus menerus membabitkan hal-hal politik dalam segenap acara dalam hidup kita.

Kaitkan semua dengan politik, tak payah tidur malam sembang politik!

Friday, December 11, 2009

Akhil dan tauliah JAIS

Akhbar Harian Metro pada minggu lepas [1] memaparkan satu isu yang menarik perhatian penulis iaitu berkaitan dengan seorang ustaz selebriti, Akhil Hayy yang dihentam oleh Jabatan Agama Islam Selangor sebagai tidak mempunyai kelayakan mengajar ilmu agama. Latar belakang beliau yang dirujuk sebagai bukan daripada golongan agama, kisah penceraian beliau dengan bekas isteri beliau dan ceramah-ceramah beliau yang suka memperkecilkan artis lain dijadikan hujah oleh pihak JAIS dalam merasionalkan mengapa Akhil Hayy dikatakan sebagai "dangkal ilmu agama" dan tidak diberi tauliah oleh JAIS.

Akhil Hayy dalam jawapan balasnya [2] menyarankan agar pihak tersebut menilai betapa tempoh 15 tahun beliau berdakwah tidak wajar dipandang sempit oleh pihak JAIS. Menurut beliau, walaupun beliau bukanlah dari latar belakang agama, beliau ada mempelajari agama dan bermuhasabah di pusat pengajian agama di negara jiran. Ceramah agama beliau adalah berlandaskan Al-Quran dan Hadis dan menjurus ke arah kebaikan.

Pada hemat penulis, perkara ini merupakan satu lagi taktik pihak media melakukan akhbar mereka dengan membangkitkan isu-isu popular sebagaimana kes ini. Mungkin tiada berita yang lebih panas untuk dipampangkan di muka hadapan; lebih-lebih lagi isu tauliah, Akhil Hayy (yang merupakan seorang selebriti) masih lagi segar, maka tup-tup kait kiri kait kanan maka wujudlah pula cerita ini pula.

Beberapa persoalan perlu diberikan penjelasan kepada umum. Pertamanya, apakah yang dimaksudkan dengan "latar belakang agama" tersebut. Adakah seseorang itu perlu memiliki Ijazah Syariah atau Usuluddin ataupun lulusan Al-Azhar atau Jordan; baru dikira sebagai mempunyai latar belakang agama? Apakah kalau seseorang itu tidak belajar sampai ke tahap tersebut akan tetapi, beliau belajar pondok atau madrasah, atau mana-mana institusi pengajian agama yang bukannya universiti; maka beliau tidak memiliki latar belakang agama? Atau seandainya sesorang itu pada awalnya tidak memasuki bidang agama, namum selepas beberapa ketika dalam hayatnya timbul keinginan untuk mendalami agama lalu pergi berguru di masjid, surau, madrasah, pesantren di Indonesia; maka dia dikatakan sebagai tidak memiliki latar belakang agama? Atau bagaimanakah pula seandainya seseorang itu belajar sekolah agama pada awalnya namun tidak pula mendalami ilmu agama pada peringkat universiti – maka apakah beliau dikira mempunyai/tidak mempunyai latar belakang agama? Maka seharusnya pihak-pihak yang berkepentingan (stakeholder) membuat definisi yang jelas tentang "latar belakang agama" kerana kesamaran tentangnya akan menimbulkan kekeliruan dalam mentakrifkan seseorang itu layak berceramah ataupun tidak.

Keduanya adalah persoalan terhadap tauliah itu sendiri – mengapakah dalam banyak-banyak Jabatan Agama Islam, hanya Selangor sahaja yang digembar-gemburkan tentang isu tauliah tersebut? Mengapakah Jabatan Agama Islam lain tidak dihebahkan tentang isu tauliah. Apakah hanya JAIS sahaja yang mewujudkan tauliah atau hanya JAIS sahaja yang menguatkuasakan isu tauliah? Satu lagi perkara ialah sebagaimana yang telah penulis bangkitkan sebelum ini, apakah pak syeikh jemaah tabligh yang melalukan pergerakan dari satu masjid/surau ke masjid/surau yang lain seharusnya mempunyai tauliah?

Isu tauliah JAIS sebenarnya kalau lebih luas daripada yang disangka. Tatkala PM Najib menafikan pembabitan kerajaan Malaysia dalam penangkapan Dr Asri yang lalu, Menteri Di JPM Jamil Khir yang hadir ke dalam konflik itu sebagai orang tengah antara Dr Asri dan seterunya, Timbalan Menteri JPM, Dr Mashitah pula dengan lantang mempertahankan tauliah JAIS tersebut. Tatkala kerajaan Persekutuan dilihat cuba meletakkan masalah ini ke bahu Kerajaan Negeri Selangor, hadir seorang Timbalan Menteri JPM yang mempertahankan isu tauliah tersebut bagi pihak JAIS. Salah seorang MP Pakatan di Selangor pula minta Sultan Selangor supaya campur tangan agar penceramah agama di Selangor tidak lagi perlu meminta tauliah daripada JAIS. Maka siapakah dalang sebenar isu tauliah ini?

--------------------------------------

Nota hujung


  1. Terbitan Jumaat, 4 Disember 2009 dengan tajuk Tak Layak Ajar Agama.

  2. Usah serkap jarang, dalam Harian
    Metro, 5 Disember 2009

Wednesday, December 9, 2009

Doaku Untukmu

Sekali lagi, YAB Tuan Guru Pok Nik menyuarakan satu hasrat beliau yang agak kontroversi iaitu akan mendoakan kecelakan terhadap karier politik YAB Perdana Menteri Najib Razak seandainya royalti minyak untuk rakyat Kelantan dinafikan. Perkara tersebut disambut dengan sokongan penuh ahli PAS terhadap hasrat tersebut; juga pelbagai reaksi positif dan negatif terhadap hasrat beliau. Dan ini bukanlah kali pertama beliau yang sangat alim menyuarakan hasrat yang kontroversi. Semasa era reformasi yang lalu, beliau pernah mengeluar kenyataan seperti sanggup bekerjasama dengan syaitan sekalipun bagi mengalahkan UMNO dan sekutu-sekutunya yang sekular.[1]

Doa yang beliau maksudkan lebih berbentuk sebab dan akibat. Kalau PM tidak memberi royalti, maka beliau akan doakan kehancuran karier politik PM atas alasan menzalimi rakyat Kelantan. Hal ini bermaksud rakyat Kelantan tertindas kerana tidak mendapat royalti tersebut dan sebagai kesan kepada keadaan tersebut, PM wajar diturunkan kemusnahan oleh Allah Taala atas sebab kezaliman tersebut. Dalam kata lain juga, seandainya royalti tersebut diberi, maka Pok Nik tidak akan berdoa keburukan dan musibah kepada PM Najib.

Soal sama ada doa memburukkan sesama muslim itu boleh ataupun tidak telah mendapat respon oleh ramai ulama – ada yang membolehkan dan ada yang menidakkan. Tidak kurang juga ada yang meletakkan syarat kenapa boleh dan kenapa tidak boleh [2]. Pada hemat penulis, isu ini seharusnya ditangani dengan objektif kerana isu ini membabitkan satu amalan yang mulia – DOA. Kalau berasaskan kepercayaan politik semata-mata, maka sudah pastilah kita akan membolehkan sebarang apa yang tidak dibolehkan atas dasar politik.

Contohnya, dibolehkan bekerjasama dengan golongan yang sememangnya sekular dan tidak akan mengiktiraf dan memungkinkan kewujudan "daulah Islamiyyah" atas dasar mereka (golongan sekular terbabit) berpaksi kepada keadilan dan turut menentang golongan yang "sekular" dan menzalimi rakyat. Maka, lahirlah paradoks bahawa PAS bekerjasama dengan DAP dan PKR yang sekular untuk menentang UMNO dan BN yang sekular bagi mencapai negara Daulah Islamiyyah?! Bagi golongan PAS, pastilah mereka telah menyediakan dalil aqli dan naqli tentang keharusan untuk bekerjasama dengan pihak sekular demi untuk menjatuhkan kerajaan sekular (Baca: BN) tersebut dan dalil aqli dan naqli mereka pastilah lebih sohih bertaraf hampir kepada mutawatir berbanding hujah-hujah dan hentaman-hentaman yang dibuat oleh mereka yang tidak bersetuju dengan cara tersebut.

Begitulah seandainya politik yang dijadikan bahan ukur untuk sesuatu perbandingan. Maka, dengan sebab itu jugalah, bagi menunjukkan betapa DAP itu memunyai nilai-nilai Islam, dijajalah dengan sehebah-hebahnya bahawa Lim Guan Eng menuruti Khalifah Umar Abdul Aziz di dalam pentadbiran beliau (kononnya pergi bertemu Presiden Iran, Ahmadinejad). MB Kedah yang sememangnya Islam tidak disebut mengikut Khalifah; MB Selangor jauh sekali hendak mereka bandingkan dengan khalifah, maka Lim Guan Eng yang sememangnya sekular itu menuruti jejak langkah daulah khalifah! Dengan mudah sekali mereka menyamakan tokoh Islam tersebut dengan Guan Eng !

Penulis tidak salahkan Pok Nik. Mungkin benar pihak media terutamanya media utama yang dikawal oleh kerajaan memutarbelitkan kata-kata beliau. Mungkin apa yang dikata oleh beliau lain, tetapi diterjemah dan ditulis pula lain dalam akhbar utama. Akan tetapi, sebagai seorang ahli politik yang Islamik dan dikelilingi oleh cerdik pandai permainan politik dan hukum- hakam pun, tak kanlah mereka-mereka ini hendak membiarkan nama Pok Nik juga yang menjadi buruk?

Pok Nik pun selepas ini harus mengambil pengajaran (sebab dah berulang-ulang kali dah) supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataannya dalam media. Kalau sudah tahu akan diputaralamkan, elok kata "no comment"sahaja. Cukuplah meluahkan rasa kesal kepada PM dan kerajaan Malaysia kerana tidak mengurniakan royalti minyak tersebut terus kepada kerajaan Kelantan. Nak doa, doalah supaya PM Najib dikurniakan Allah hidayah memberi royalti minyak tersebut kepada mereka. Bukankah Nabi pernah berdoa untuk memperkuatkan Islam dengan salah satu daripada dua Umar; maka Allah Taala kabulkan doa tersebut dengan pengislaman Umar Al-Khattab [3]. Maka, selayaknya Pok Nik yang begitu alim dan takarrub dengan Allah Taala mendoakan agar Najib kembali ke pangkal jalan; atau lebih baik lagi, perkuatkan PAS dengan Islamnya salah satu daripada dua Lim?

Maka pada hemat penulis, doa-doa tadi lebih banyak mendatangkan impak positif berbanding doa menghancurkan hidup orang lain. Tambahan pula kita diajar menyebut "Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang" (Basmalah) maka kita agungkan sifat Allah yang begitu mulia kepada hamba-Nya; lalu siapakah kita yang hendak mendoakan kehancuran hidup orang lain?


 

___________________________________

Nota hujung

1. Polemik tentang bekerjasama dengan syaitan telah diulas panjang lebar oleh Almarhum Prof Dr Syed Hussein Alatas dalam akhbar Mingguan Malaysia tentang bagaimana Tuan Guru Pok Nik pada ketika itu berkata bahawa beliau sedia bekerjasama dengan DAP bagi menjatuhkan BN; bahkan pertolongan syaitan pun beliau akan terima. Walaupun Tuan Guru menjelaskan bahawa perkataan syaitan itu sekadar bunga bahasa, Setiausaha Akhbarnya pada ketika itu tampil menyokong kenyataan untuk meminta bantuan daripada syaitan dengan mengemukakan dalil-dalilnya tertentu. Lanjutan daripada itu, beliau ada juga mengemukakan bahawa betapa harusny berdoa kepada Allah Taala terhadap kehancuran musuhdan ditimpa bencana. Rukujan lanjut boleh dibuat pada Peranan Syaitan Dalam Perjuangan Islam dan Islam dan Doa Musnahkan Musuh dalam Syed Hussein Alatas, Ke Mana Dengan Islam, Utusan Publication & Distributors, 2002.


 

2 .Satu perbincangan yang baik telah dilakukan oleh bekas Mufti Perlis tentang doa dengan memberikan contoh-contoh keadaan bilakah doa kemusnahan kepada yang zalim itu dimaksudkan. Rujukan lanjut baca Minda Dr. Maza: Antara Doa dan Politik, Mingguan Malaysia, 6 Disember 2009, p. 8.


 

3. Diriwayatkan bahawa Nabi SAW pernah berdoa kepada Allah Taala agar mengislamkan salah satu daripada dua Umar iaitu bapa saudara baginda Amr bin Hasyim (Abu Jahal) dan Umar Al-Khattab. Allah Taala mengabulkan doa Nabi tersebut dengan pengislaman Umar Al-Khattab yang seterusnya menjadi Khalifah Kedua selepas kewafatan Nabi SAW.

Tuesday, December 8, 2009

Ledakan Teknologi dan Masa Hadapan

Kerosakan skrin komputer riba menyukarkan penulis untuk mencari maklumat di dalam internet dan juga berkarya dalam blog penulis. Begitulah kebergantungan kita terhadap teknologi komputer dan makumat. Apabila berlaku masalah yang tidak disangka-sangka, maka kita seolah-olah tempang tanpa sebarang kontigensi bagi menghadapi masalah seperti kegagalan fungsi komputer dan internet. Seandainya kita menyediakan “back up file” sekalipun, fail-fail tersebut hanya boleh dicapai dengan menggunakan komputer – tetapi bayangkan kalau satu dunia punya komputer kesemuanya telah jahanam! Atau secara tiba-tiba, dengan kemajuan kecerdikkan palsu (artificial intelligent) maka kesemua komputer di dalam dunia ini bangkit melakukan kudeta menghapuskan bangsa manusia?! Apakah kita bersedia untuk menghadapi kemungkinan sedemikian?

Hal ini membawa kepada dua buah filem pasca-moden yang mempunyai kaitan yang amat rapat dengan masa hadapan dan teknologi computer, komunikasi dan maklumat. Filem pertama (atau sebenarnya adalah rangkaian filem) adalah siri Terminator manakala filem kedua adalah Die Hard 4.0 (atau tajuk di USA ialah Live Free or Die Hard) yang mempamerkan jagoan i.e John McClane menentang pengganas siber yang berjaya “merampas” sistem pertahanan, pengangkutan, kewangan dan komunikasi dengan menggunakan internet.

Persoalan yang dibawa oleh kedua-dua filem tersebut adalah menarik untuk kita fikirkan. Apakah kita tidak menjangkakan bahawa dengan kebergantungan kita yang erat dengan teknologi akan kelak memusnahkan kita? Dan adakah kita telah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan terhadap kegagalan teknologi yang kita? Kita telahpun sedia maklum bahawa ada sahaja helah orang yang berkepentingan dalam penggunaan teknologi siber; maka sebab itulah wujudnya perisian seperti anti-virus, anti spam, anti itu dan anti ini. Seandainya kewujudan virus tersebut yang mengakibatkan kewujudan perisian anti virus, maka bukankah sangat jelas bahawa terdapat pihak yang berkepentingan (dalam erti kata kepentingan wang) dalam kewujudan kedua-dua virus dan anti virus?

Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi tidak dapat tidak menyebabkan kita semakin kehilangan nilai pertemuan sesama manusia (kesemuanya boleh dilakukan secara online), maka apakah kita juga akan kehilangan nilai kemanusiaan apabila kita hanya bergantung semata-mata kepada kepada komputer dan mesin untuk melakukan tugasan dan urusan seharian? Lebih penting lagi, adakah kita sudah bersedia menghadapi sebarang kegagalan dan ancama siber yang tidak dibatasi sempadan geografi apabila kebergantungan kita terhadap teknologi menjadi hampir 100 peratus?

Mempertikaikan tekologi merupakan satu paradoks apabila sedar atau tidak, kewujudan blog ini dan kebolehcapaian artikel ini juga merupakan “sumbangan” teknologi. Mungkin bukan kita yang akan megubah dunia siber kini, namun kesedaran kita terhadap implikasi dan cabaran masa hadapan menyebabkan kita sedar dan sanggup mengadapi risiko yang mendatang. Lagipun, apakah nilainya artikel ini kepada pembaca (yang ditaip menggunakan komputer, dan diterbitkan melalui internet ke dalam blog) seandainya tiada tekonogi?!

Friday, November 27, 2009

Korban lepas, korban kini

Tatkala kini, sebahagian umat Islam yang terpilih sedang berada di kawasan sekitar kota suci Makkah untuk melaksanakan ibadah haji – puncak ibadah bagi seseorang muslim. Dan sebahagian yang lain sedang bertarung nyawa mereka dan dalam ketakutan takut-takut dibedil oleh senjata musyrikin laknatullah. Sebahagian besar yang lain berada di negeri masing-masing dalam keadaan aman/separa aman menyambut Aidil Adha. Separa aman sebab kawasan seperti di Kelantan dan Terengganu tengah dilanda bah, ada lembu atau kambing yang mati sebelum terkorban!

Penulis pulang ke Kulai (dari Tampoi) untuk menyaksikan beberapa fenomena yang mungkin pada tahun sebelum ini, tidak berlaku – kedai makan buka meriah di sini sana pada malam raya – kedai makanan tomyam – apa demo tok balek ke klate/siye ka...?

Ada yang balik ada yang tidak. Yang pasti, mereka mempunyai jawapan mereka sendiri sebab apa mereka tidak tutup kedai. Mungkin ada yang berpendapat buat apa balik, jalan pun banjir. Atau ada yang merasakan bahawa ekonomi tengah gawat, tak boleh nak tutup kedai... Kita hanya boleh buat andaian.

Ibadah korban sebenarnya adalah satu ibadah yang begitu mulia, kalau ikut mazhab Syafie sunat muakkad. Daging korban disedekah kepada fakir miskin dan ahli qariah untuk dinikmati – aula diberikan secara mentah. Pun begitu, sudah ada usaha pihak ulama luar negara (seperti di negara arab) yang membolehkan daging itu ditinkan agar dapat diberikan ke kawasan yang dicurahi dengan peluru perang, atau dilanda kebuluran melampau – sedangkan umat Islam di situ tidak mampu untuk membuat apa-apa sambutan pun. Maka pada penulis, kegiatan sebegitu merupakan satu kegiatan yang begitu bernas dan tepat pada masanya. Kita tidak boleh hanya berada di takuk lama memikirkan bahawa daging korban itu sekadar beredar di daerah kita sedangkan dengan berjuta-juta ternakan yang terkorban, takkanlah kita tidak boleh agihkan ke tempat yang lebih memerlukan?

Dahulu, Malaysia juga pernah dilanda demam korban unta apabila ada pihak tertentu yang sanggup mengimport unta datang ke Malaysia dengan alasan daging unta itu berbeza dan ia menurut sunnah. Pada hemat penulis, alangkah baiknya kita mengadakan industri penternakan unta sebab kita hendak bersunnah dengan sunnah nabi? Wang yang lebih daripada mengimport unta tersebut (sudah pasti lebih mahal harganya daripada lembu/kambing tempatan) alangkah baiknya kita gunakan untuk belikan lagi kambing atau lembu supaya orang ramai boleh menikmati daging korban?

Dan satu gejala tatkala korban adalah cop mengecom bahagian lembu korban. Apabila seekor lembu sudah ditumbangkan, sudah ada suara-suara yang menyeru, " Hah, ini kepala aku, yang itu ekor aku!" Begitulah gamaknya orang berkehendakkan kepala dan ekor korban!

Kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya bersyukur kerana kita dapat meraikan Aidil Adha sekali lagi dengan tahmid, tasbih dan takbir memuji kebesaran-Nya dengan aman dan damai, tanpa sebarang kekacauan dan huru-hara. Sewajarnya kita mengambil manifestasi ibadah korban itu sendiri untuk kita aplikasikan dalam kehidupan kita supaya kita lebih bertoleransi sesama kita sendiri tanpa perlu mewujudkan sebarang ketegangan yang memungkinkan kita mengorbankan sesama kita sendiri! Sikap berhemah, berhikmah, rasional dan empati harus mengatasi prejudis dan emosional.

Ingat, Korban berkorban; jangan terkorban! Salam Aidil Adha kepada semua.


 

Ke manakah perginya identiti kita?

Ke manakah perginya identiti kita?

Tajuk dan ulasan pojok /rencana hiburan di dalam akhbar kadang kala menarik dan wajar kita perhatikan akan kerelevenannya. Selain dari tajuk-tajuk popular seperti PR ini terlebih sudu dari kuah, atau artis itu sudah tidak tinggal sebumbung dengan suami/isterinya, ataupun artis sekian rapat dengan VVIP atau artis sekian, tajuk "Entah bila kita nak sedar" yang disiarkan akhbar Harian Metro
[1]
merupakan tajuk dan rencana yang menarik untuk kita bincangkan.

Dalam artikel tersebut, dibangkitkan isu dua ikon hiburan Indonesia (sebuah adalah kumpulan dan sebuah lagi penyanyi solo) menyanyikan semula lagu artis Malaysia yang popular dan bertaraf "malar hijau." Tindakan tersebut telah mengundang reaksi negatif oleh salah seorang daripada ahli kumpulan di Indonesia yang antara lain mengajak peminat dan penggiat seni Indonesia melestarikan lagu Indonesia yang indah-indah dan jangan lagi menyanyikan lagu Malaysia [2]. Lalu, artikel tersebut membuat ulasan yang panjang lebar tentang betapa teguh dan protectifnya media di Indonesia dalam mempertahankan seni budaya mereka dan betapa longgarnya pula media di Malaysia dalam bukan sahaja mempertahankan seni kita, malah dalam usaha mereka (pihak media) memahsyurkan seni budaya dan lagu Malaysia sendiri di arena sendiri.

Penulis kira, apa yang dibincangkan dalam artikel tersebut ada kebenarannya dan seandainya dilihat dari skop yang lebih luas, maka perkara yang sama juga akan dapat kita rasai. Selain daripada kita membiarkan dengan sewenang-wenangnya tayangan drama "mengarut" dan alunan muzik Indonesia di kaca televisyen dan corong radio, kita juga dengan mudah membiarkan sahaja warisan batik kita yang sudah semestinya jauh berbeza daripada batik Indonesia dimilikwariskan kepada negara Indonesia. Kita juga hanya mendengar dan bergosip situ dan sini tanpa sebarang tindakan drastik tatkala penyokong Manohara Odelia Pinot mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran mengutuk Malaysia dan membakar bendera Malaysia [3] sedangkan seharusnya mood pada ketika itu adalah mood pemilihan Presiden Republik Indonesia! Dalam erti kata lain, SBY menang sebab peduli apa SBY menang Mereka rela mempertahankan Manohara yang kononnya dalam keadaan sakit "didera" kerabat Kelantan yang sanggup pergi melakukan road show ke hulu dan ke hilir seolah-olah beliau dizalimi oleh Yang Maha Zalim lalu melambai-lambai dan melemparkan senyuman "pahit" daripada mendengar ucapan manifesto presiden daripada calon-calon presiden pada ketika itu![4] Blog-blog dan forum-forum tertentu begitu berkobar-kobar memburukkan Malaysia dan melaknat rakyat Malaysia disebabkan isu Manohara sahaja!

Sebaliknya, rakyat Malaysia tidak bersikap demikian. Mereka rela untuk menerima segala-galanya dengan pasrah. Tak apalah kalau batik itu menjadi "warisan Indonesia." Tak apalah melambak-lambaknya lagu-lagu Indonesia. Sedap didengar. Kita harus memberi peluang kepada kumpulan Indonesia bertapak di Malaysia. Mereka memberikan pulangan dan membuat pertukaran budaya. Kita pasrah apabila ada anak gadis kita yang dilarikan ke Lombok. Pasrah sahajalah. Berilah peluang anak gadis kita itu jadi warga Indonesia pula. Tak pun, kalau keluarga mereka di Indonesia itu hendak datang ke Malaysia, dapatlah tinggal bertahun-tahun di Malaysia, jadilah PR Malaysia. Kita mudah sekali hendak memberikan kembali kewarganegaraan Malaysia kepada rakyat Malaysia yang sudah melepaskan kewarganegaraan Malaysia sebab hendak jadi warganegara negara lain. Ahli politik kita memperjuangkan hak bekas warganegara. Kita begitu bersungguh-sungguh mempertahankan sekolah vernakular bagi menjaga budaya dan bahasa rakyat kita walaupun tindakan tersebut akan kekal mempolarisasikan kaum dalam rakyat Malaysia. Ahli politik kita berjuang biar satu papan tanda itu penuh dengan tulisan pelbagai bahasa; kalau boleh, bahasa Iban, Semang-Negrito, Senoi, Bidayuh pun kita hendak letak dalam satu papan tanda. Ahli parlimen/ADUN kita pun lebih selesa berbahasa Inggeris apabila menjawab soalan daripada wartawan – almaklumlah hendak jadi global gamaknya! Kita pasrah dengan kewujudan "China Town", "Souk Arabia", "Little Ranggon" "Little Africa" di bandar-bandar besar negara. Kita pun pasrah dengan kehadiran pak hitam datang kononnya belajar ke Malaysia tetapi ada diantara mereka yang membuat masalah itu dan ini di sini!

Dua puluh tahun nanti, kita pun tidak tahu apa yang akan berlaku dalam masyarakat Malaysia. Mungkin kita akan dipenuhi pelbagai unsur luar negara yang datang ke Malaysia... bak mengikut tagline pelancongan kita... Malaysia Truly Asia....!

P/s: Ke manakah perginya identiti kita....?

_____________________________

Nota hujung

[1] Ditulis oleh Norhadiani Baharom, 24 November 2009.

[2] Disiarkan dalam portal hiburan Kapanlagi.com.

[3] Penulis ada mengulas tentang kenapa berlaku reaksi yang berbeza antara Malaysia dan Indonesia, rujuk artikel penulis Perlunya Memahami Graviti di blog penulis, terbitan 15 September 2009.

[4] Perkara tersebut merupakan bingkisan pengalaman rakan penulis yang kebetulan berada di kota Jakarta tatkala pemilihan presiden yang terbaharu berlangsung. Apabila ditanya bagaimanakah keadaan penyokong politik di Indonesia, rakan penulis menjawab, "Tak ada perhimpunan kempen presiden... Yang ada ialah tunjuk perasaan besar-besaran menghentam Malaysia disebabkan isu Manohara. Begitulah hebatnya penangan Manohara, lebih hebat daripada calon presiden. Kalaulah pada ketika itu Manohara tawar diri jadi calon presiden, nescaya Manoharalah pemenangnya!

Sunday, November 15, 2009

Perangkap-memerangkap siapa terperangkap?

Kesungguhan bekas Menteri de fecto undang-undang, Zaid Ibrahim untuk mendaftarkan Pakatan Rakyat sebagai sebuah entiti politik yang sah mengundang pelbagai implikasi yang boleh berlaku seandainya Parti Rakyat Malaysia (PRM) itu benar-benar sah. Implikasi tersebut boleh jadi positif kepada PR/PRM dan boleh jadi juga negatif kepada mereka.

Implikasi pertama ialah betapa PR akan dapat bertanding sebarang pilihan raya dengan menggunakan satu saja lambang. Perkara tersebut secara tidak langsung akan memberikan kesan psikologi kepada pengundi apabila hendak mengundi kelak. Satu sahaja lambang telah memberikan konotasi kepada pengundi bahawa mengundi calon UMNO bemaksud mengundi MCA, MIC dan komponen BN yang lain. Hal yang sama juga akan berlaku di dalam PR. Mengundi calon DAP bermaksud mengundi PAS dan PKR dan dalam masa yang sama, mengundi calon PAS juga bermaksud mengundi DAP dan PKR. Dilema tersebutlah yang mungkin akan melanda pengundi apabila hendak mengundi kelak.

Kedua adalah betapa selepas ini, ketiga-tiga parti yang terbabit i.e. PAS, PKR dan DAP perlu melantik seorang "Pengerusi" atau "Ketua" kepada parti tersebut. Penaja PRM misalnya mencadangkan Tuan Guru Pok Nik sebagai ketua umum/pengerusi kepada PRM. Malah, beliau juga meminta Anwar Ibrahim, Hadi Awang dan Lim Kit Siang memberi laluan kepada Pok Nik untuk mengetuai PRM. Hal ini mengundang pelbagai reaksi daripada pihak PR sendiri kerana masing-masing pastilah mahu ketua parti masing-masing sebagai ketua PR. Adalah tidak dapat dipastikan apakah "ketua PRM" itu adalah kelak menjadi PM seandainya PRM menang pilihan raya.

Ketiga adalah akan wujud apa yang dikatakan sebagai sistem politik "dua parti" sebagaimana yang diramalkan oleh sebahagian penganalisis politik dan kewujudan sistem tersebut kononnya akan membantu memacu Malaysia ke arah sebuah negara maju. Hujah bagi keadaan tersebut adalah dengan membandingkan sistem politik negara-negara lain sebagaimana Amerika Syarikat.

Keempat adalah pendaftaran tersebut sekaligus menunjukkan kepada rakyat bahawa PR atau PRM benar-benar serius ingin menjadi parti yang memerintah Malaysia dan sebagai alternatif terbaik terhadap BN. Hal ini secara tidak langsung akan "memakan diri" BN yang selama ini mempertikaikan PR akan kesediaan mereka bersatu di bawah satu lambang dan entiti politik yang sama. Sebagaimana yang dinyatakan tadi, kini mengundi DAP bermaksud mengundi PAS; maka ada kemungkinan pengundi Melayu di kawasan majoriti cina akan lebih mudah memangkah DAP berbanding BN.

Seandainya pendaftaran tersebut berjaya, kesamaran kewujudan PR akan berubah menjadi lebih nyata. Bagaimanapun, ada juga kemungkinan kewujudan PR dalam satu entiti yang sama akan menjerat sama ada BN ataupun PR sendiri. Mainan politik pihak BN dan PR nampaknya tidak mungkin akan surut sehingga berlaku pilihan raya ke 13. Pun begitu, belum tentu politiking tersebut tamat seandainya keputusan PRU 13 tidak konklusif seperti yang berlaku dalam PRU 12. Rakyat akan hanyut dalam permainan politik yang mereka mainkan. Tidak hairanlah, seandainya terdapat piala dunia politik, ada kemungkinan Malaysia boleh menjadi juara!

Tuesday, November 10, 2009

PAStikah PAS?

Situasi di dalam PAS seminggu dua ini mendapat banyak perhatian pemerhati politik tentang hala tuju dan kepimpinan di dalam parti tersebut. Setelah Pok Nik selaku Mursyidul Am PAS meluahkan di dalam blog beliau bahawa PAS perlu "membersihkan parti" daripada pemimpin-pemimpin tertentu, satu seminar pula diadakan bagi "memperkasakan PAS kembali." Maka, seminar itu pula dijadikan sebagai medan oleh sebahagian ahli PAS dan penganalisis jemputan untuk sama ada melontarkan idea bagi memperkukuhkan parti dan/atau menghentam kepimpinan parti yang berada dalam keadaan ambiguiti. Sehinggakan, akhbar utama telah melaporkan tentang ahli parti yang mempertikaikan siapa sebenarnya "nakhoda" di dalam PAS? Pok Nik ataupun Pok Hadi?

Pada pendapat penulis, perkara tersebutlah yang menjadikan struktur organisasi Pakatan Rakyat begitu unik dan kompleks. Setiap parti mempunyai sekurang-kurangnya dua orang yang "berpengaruh" sama ada dari segi pangkatnya ataupun dari segi gelaran yang diberikan kepadanya. PAS misalnya, mempunyai Presiden; bagaimanapun, ada satu autoriti yang setanding dengan Presiden walaupun tidak mengalami pemilihan parti iaitu Mursyidul Am. Begitu juga PKR, Presiden mereka masih kekal Wan Azizah namun yang dicanang-canang sebagai ketua umum (yang tidak bertanding pun dalam pemilihan parti untuk mendapat pangkat "ketua umum") adalah Anwar Ibrahim. Malah, dalam semua hal pun, peranan Ketua Umum PKR jauh lebih penting berbanding Presiden. DAP pula lebih istimewa. Walaupun ada pengerusi (Karpal Singh) namun Setiausaha Agung mereka jauh lebih berpengaruh berbanding pengurusi.

Hal sedemikian sebenarnya akan menimbulkan tanda tanya seandainya benar-benar Pakatan Rakyat berkuasa pada PRU 13. Siapakah yang bakal menjadi PM? Memanglah yang dicanang-canang adalah Anwar, namun Presiden PKR sebenar adalah Wan Azizah! Seandainya kerusi parlimen yang dimenangi PAS atau DAP lebih besar berbanding PKR, maka adakah mereka akan berkompromi juga untuk membenarkan Ketua Umum PKR itu menjadi PM? Kita mungkin ada TPM yang ramai namun apakah heiraki kuasa itu membolehkan mereka bekerjasama sebagai sebuah pakatan yang mantap?

Berbalik semula kepada PAS, gejala "tidak boleh dikritik" sememangnya dari dahulu sampai sekarang pun ada dalam parti tersebut. Terbaru, seorang ahli akademik UIAM yang selalu menyumbang artikel dalam akhbar rasmi PAS dan sentiasa memihak kepada PAS dalam isu kudeta di Perak dan pelbagai isu berkaitan perlembagaan dan ketelusan pilihan raya, tampil ke seminar pengukuhan tersebut dan mengkritik PAS, ahli PAS nampaknya tidak boleh terima kritikan tersebut dan menuduh beliau "tali barut" UMNO pula! Segala kritikan yang tidak enak didengar di telinga pihak pembangkang akan dilabel sebagai tali barut UMNO dan kerajaan. Begitulah yang berlaku kepada bukan sahaja Prof Aziz Bari, malah Dr Ridhuan Tee Abdullah. Ahli PAS (dan PR) akan bersorak sorai gembira tak terkata seadainya pandangan ahli akademik memihak kepada mereka dan akan mencerca nista seandainya sebaliknya berlaku.

Satu lagi dapatan seminar tersebut adalah betapa PAS kononnya telah kehilangan sokongan orang muda terhadap parti tersebut; satu sindrom yang telahpun dialami oleh seteru kuat PAS iaitu UMNO. Siapakah yang paling beruntung apabila keadaan tersebut berlaku? Sudah pastilah bukan PAS dan UMNO melainkan altarnatif daripada PAS dan UMNO. Golongan muda bukan semuanya lulusan arab dan agama yang mahir menggunakan ayat Quran dan Hadis bagi menghalalkan tindak tanduk mereka. Oleh sebab itu, PAS sebenarnya bukan telah kehilangan sokongan orang muda, namun PAS mungkin salah anggap yang dimaksudkan sebagai "golongan muda." Golongan muda urban mana yang hendak datang ke ceramah-ceramah Tok Guru PAS? PAS perlu mendekatkan diri dengan orang muda bukan dengan imej lebai ketayap putih janggut sejemput lalu bercerita kepada orang muda tentang undi PAS/DAP/PKR masuk syurga, undi yang lain maka nerakalah jawabnya....

Mungkin satu perkara yang sentiasa difikirkan oleh bukan sahaja penyokong-penyokong PAS malah rakyat pada umumnya ialah apakah hala tuju PAS sebenarnya? PAS memiliki dua negeri yang dikuasai PR. Pun begitu, PAS sebenarnya masih lagi diperlekehkan oleh pihak PR. Banyak tindakan yang cuba mereka lakukan dihalang oleh rakan baik tidur sebantal mereka iaitu PKR dan DAP. PAS kini sebenarnya dilihat seolah-olah kehilangan prinsip, kalau dahulu tegar mengatakan "kita tidak bekerjasama dengan UMNO kerana menyokong kuffar laknatullah; maka sekarang ini mereka sebenarnya sedang menjilat sendiri ludah dan tomahan mereka apabila bertindak sami'na wa ato'na pula dengan segala rakan PR lain. Apakah PAS tidak yakin dengan perjuangan mereka sendiri sehingga sanggup membontotkan diri mereka mengikut bayang-bayang orang lain?

Satu lagi perkara yang penulis musykilkan adalah betapa PAS seharusnya menjadi agen kepada penyebaran Islam di kalangan orang bukan Melayu – namun apakah tanggungjawab itu telah dilaksanakan? Memanglah tanggungjawab dakwah itu terletak ke atas tangan semua muslim namun sebagai parti yang mengaku diri mereka lebih Islam daripada yang lain dan membawa penyokong mereka memasuki syurga, apakah cukup sekadar penyokong mereka menyokong Ngeh dan Teresa lalu mereka akan dikira memasuki Islam secara keseluruhannya? Seharusnya mereka yang digelar sebagai Parti ISLAMlah yang menjadi pendulu kepada tindakan untuk menyebarkan agama Islam dengan berkesan, dan bukannya bermuka-muka bahawa mereka lebih Islam di hadapan satu pihak dan bertindak sebagai Islam yang lebih fleksibel di satu pihak yang lain!

Akhir kalam, PAS sebenarnya sebuah parti yang sangat berpotensi untuk mara ke hadapan dan lebih jauh. Ramai orang bukan Islam yang kini semakin terbuka untuk menerima PAS sebagai pilihan mereka. Pun begitu, janganlah biarkan mereka menyokong PAS kerana mereka bencikan BN/UMNO per se. Hal ini menyebabkan potensi PAS sebagai sebuah parti yang dihormati dan menunjangi perjuangan Islam akan direncatkan dengan sokongan palsu daripada mereka. PAS seharusnya membentangkan halatuju yang lebih baik bersama-sama kepimpinan yang lebih jelas bagi meyakinkan kembali penyokong-penyokong mereka kepada parti tersebut. Jangan dibuai mainan politik yang mengasyikkan sehingga mereka terkena sumpahan yang sedang melanda UMNO. Jangan biarkan kesucian parti yang membawa pengikutnya ke syurga itu dijijak-jijak oleh pihak-pihak berkepentingan lain!

Saturday, November 7, 2009

Bonus oh bonus

Tatkala Belanjawan Negara 2010 yang telah disampaikan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menerima reaksi positif dan negatif, ada juga harapan mereka yang berharap tidak menjadi kenyataan. Perkara ini merujuk kepada bonus untuk penjawat awam yang dicanang-canang ole Cuepacs sebanyak 2 bulan gaji. Selepas harapan tersebut tinggal harapan, Presiden Cuepacs pula dengan bersungguh-sungguh ingin mengadakan pertemuan dengan PM bagi membincangkan isu bonus 2 bulan gaji tersebut (dan juga isu-isu lain yang berbangkit). Respon PM ? "Adalah salah dari segi moral untuk Cuepacs membuat tuntutan bonus pada ketika negara masih lagi dalam fasa kegawatan ekonomi dan kewangan!"

Presiden Cuepacs, Omar Osman pula dalam mengulas kenyataan "salah dari segi moral" tersebut menyatakan bahawa permintaan bonus 2 bulan itu adalah hasil daripada mesyuarat kongres dan bukannya bersifat peribadi. Menurut beliau lagi, tuntutan itu adalah bagi memperjuangkan hak kakitangan awam yang antara lain tidak menerima kemudahan seperti bonus tahunan sebagaimana yang dinikmati oleh kakitangan swasta. Beliau turut kecewa dengan pernyataan salah dari segi moral tersebut (Berita Harian, 6 November 2009)

Beberapa perkara perlu penjelasan dalam menyetuh isu ini. Pertamanya adalah soal moral. Penulis sejujurnya tidak memahami sudut manakah moral seseorang itu dianggap salah seandainya membuat tuntutan. Mungkin yang dimaksudkan PM adalah tidak wajar untuk membuat tuntutan bonus tersebut kerana negara tidak mempunyai perbendaharaan untuk memenuhi tuntutan tersebut. Disebabkan keadaan kegawatan ekonomi, maka adalah tidak sesuai untuk kongres berkenaan mengadakan tuntutan.

Bagaimanapun, tuntutan sebenarnya adalah sekadar satu tuntuan dan isu kesalahan moral sebenarnya tidak timbul dalam tuntutan ini. Isu yang timbul lebih kepada kewajaran membuat tuntutan sedemikian rupa. Cuepacs pun bukannya membuat mogok lapar ataupun tunjuk perasaan sambil berbogel bagi menuntut bonus tersebut. Sebenarnya, tuntutan lebih kepada mencacatkan kredibiliti kerajaan yang tidak dapat memenuhinya atas dasar kekurangan dana untuk membayarnya.

Keduanya adalah isu apakah yang dimaksudkan dengan bonus? Apakah bonus itu wajib dikurniakan oleh majikan kepada pekerjanya? Apakah isu bonus itu adalah perkara yang termaktub dalam persefahaman hak-hak pekerja terhadap majikannya? Perkara ini pun mesti jelas. Memang benar kakitangan swasta menikmati pelbagai manfaat apabila bekerja dalam sektor swasta tetapi hal yang demikian bukan bermaksud kakitangan kerajaan tidak menerima sebarang manfaat daripada kerja tersebut dan hanya memperhambakan diri sahaja untuk berkerja dengan kerajaan.

Penulis mempunyai ramai kenalan sektor swasta yang bekerja sehingga 6 hari seminggu dari jam 9 pagi hingga 5.30 petang semata-mata untuk menikmati apa yang dikatakan sebagai "kelebihan seperti bonus tahunan" yang diwar-warkan oleh Omar Osman. Ada juga yang diberhentikan kerja kerana tidak lagi sanggup digaji oleh majikan dan ada juga yang dipaksa bercuti tiga hingga empat hari seminggu bagi memotong kos operasi syarikat tersebut disebabkan kegawatan. Dan mereka yang bercuti tiga hingga empat hari seminggu tersebut pastilah hanya mendapat gaji sebanyak "empat atau tiga hari berkerja"sahaja (bebanding mereka yang bekerja penuh). Akan tetapi, mereka tetap terus bekerja juga atas dasar itulah caranya untuk mendapatkan sesuap nasi dan menikmati secebis rezeki.

Bilakah pekerja swasta ini mendapat "kelebihan bonus tahunan" yang begitu didambakan oleh kongres pekerja awam? Jawapannya adalah apabila bisnes syarikat mereka memperoleh keuntungan bersih melebihi kos operasi yang ditanggung oleh syarikat. Kalau tidak ada keuntungan atau syarikat itu rugi, bagaimana pula? Jawabnya TAK DA BONUS lah....! Apa yang boleh pekerja swasta ini buat? Takadapapa.... Nak buat pinjaman bank? Sekarang ni memang susah nak dapat...(Kakitangan awam lebih mudah mendapat pinjaman bank....) Nak buat mikrokredit? Skim mikrokredit pun lebih mengutamakan kakitangan awam. Jadi, apalah sangat " kelebihan bonus tahunan" pekerja swasta berbanding yang pekerja awam.

Hal tadi adalah isu bilakah masanya orang mendapat bonus. Isu yang ketiga adalah layakkah kakitangan awam kita medapat bonus? Apakah bonus itu merupakah HAK PEKERJA? Penulis pun tidak pernah membaca kontrak atau terma syarat bekerja sebagai penjawat awam; sebab setiap kali penulis pergi temuduga SPA tak pernah lulus! Maka penulis sebetulnya tidak tahu adakah di dalam kontrak atau terma syarat bekerja tersebut disertakan dengan klausa sekian-sekian yang melayakkan kakitangan awam menerima bonus walau apapun yang berlaku di dalam dunia ini. Bonus yang diberikan kerajaan bukannya bersifat hadiah kerajaan sebaliknya adalah hak pekerja awam.

Namun, layakkah bonus bagi perkhidmatan awam yang mana agensinya memesan dua buah komputer riba dengan harga lebih RM 84 000? Layakkah perkhidmatan awam menikmati bonus yang mana kakitangannya memoncongkan muka apabila orang kebanyakkan datang ke kaunter untuk berurusan dengan mereka? Layakkah bonus bagi perkhidmatan awam yang melambat-lambatkan prosedur biasa yang sepatutnya boleh diselesaikan sehari dua tetapi hanya diselesaikan berbulan-bulan? Layakkah perkhidmatan awam mendapat bonus apabila pelanggan selalu menerima karenah birokrasi yang maha dahsyat daripada penjawat awam semata-mata untuk mendapatkan perkhidmatan daripada mereka? Pergi kaunter sini disuruh pergi kaunter sana.... Tanya orang ini katanya bukan tanggungjawab dia.... tanggungjawab orang lain tapi dia tak datang la.....

Penulis pergi ke sebuah klinik haiwan Jabatan Perkhidmatan Haiwan bagi mendapatkan ubat untuk kucing – kucing belakang rumah penulis selesema (kasihan...). Di kaunter perkhidmatan pelanggan kelihatan seorang wanita umur pertengahan sedang menerima ubat untuk kucingnya. Dia berbual-bual dengan pekerja di kaunter itu tentang ubat-ubat yang perlu diberikan kepada kucingnya sedangkan dia tidak membawa kucingnya datang ke situ (kononnya dua tiga ekor). Selepas habis perjumpaannya dengan pekerja kaunter, penulis pula bertanya kepada pekerja tersebut tentang ubat selesema untuk kucing.

"Tak bawa kucing itu?" tanya pekerja kaunter klinik haiwan.

"Saya tinggal jauh, dari Kulai datang ke sini. Kucing tu liar, tak kan nak tangkap bawa ke mari?" jawab penulis.

"Oh, kat Kulai kan ada klinik haiwan. Kenapa tak ke sana sahaja?" tanya pekerja tersebut penuh skeptik.

"Saya tak tahu pula ada klinik haiwan kat sana...tapi nak mintak ubat saja Nak menangkap dia bawak masuk dalam kereta susah.... kucing liar bukannya bela, kesiankan dia saja..." jawab penulis.

"Saya tak tahu la. Masa perkhidmatan dah habis ni. Awak tak baca ke jadual kat luar. Jadual itu ada tulis tentang masa. Awak tak baca ke? Saya tak boleh buat apa-apa ini. Awak patutnya tahu jadual kat sini... Bla...bla...bla..." bebel pekerja tersebut pasal jadual.

Layakkah pekerja perkhidmatan awam tersebut mendapat BONUS?


 

 

Wednesday, November 4, 2009

Isu Dr Asri: Cabaran autoriti agama Malaysia

Terlebih dahulu, penulis ingin jelaskan bahawa penulis bukan penyokong setia atau pembangkang setia Dr Asri. Walaupun selalu membaca kolum beliau, bukan bermakna kita menyokong segala apa yang beliau lontarkan. Pun begitu, bukan pula bermaksud bahawa apa yang beliau kemukakan dalam kolum beliau itu salah. Dalam beberapa sudut, beliau agak agresif mempertahankan pendirian beliau tentang isu-isu berkaitan percanggahan pendapat antara ulama. Tetapi, hal itu tidak pula menafikan taraf keilmuan beliau yang tinggi dan sentiasa mengemukakan nas yang munasabah.

Isu utama yang berlegar sekitar ketidakpuasan sebahagian autoriti agama terhadap beliau adalah lebih kepada soal-soal percanggahan pendapat mereka dengan beliau. Lalu dengan percanggahan pendapat itu, ada yang mungkin diperbesar-besarkan sehingga timbul pula isu yang beliau menolak fahaman ahli sunnah wal jamaah, atau menolak Hadis Bukhari (hal ini pada penulis adalah sangat-sangat ironi kerana beliau sendiri mempunyai kedoktoran dalam ilmu hadis) atau menghina Imam Al-Ghazali dan lain-lain lagi. Mungkin, kesimpulan yang boleh pihak autoriti agama yang tidak menyukai beliau adalah dengan mengatakan bahawa beliau adalah seorang Wahabi.

Satu perkara perlu jelas, perbezaan pandangan dengan imam-imam muktabar dalam isu berkaitan fiqh bukanlah bermaksud kita telah keluar daripada Islam. Kalau tidak, masakan wujud mazhab-mazhab fiqh yang empat dewasa ini! Kalaulah beliau kurang bersetuju dengan imam sekian-sekian, bukanlah bermaksud beliau menghina imam tersebut. Sesuatu kesimpulan hendaklah dibuat dengan logik akal dan semangat pemikiran yang munasabah.

Sebagai contoh, kalaulah statistik Jabatan Perangkaan menunjukkan peningkatan pelancong yang datang ke Malaysia pada tahun ini berbanding tahun lepas dan tahun ini merupakan tahun yang mana negara dilandai virus selesema babi, apakah sesuai untuk kita simpulkan bahawa selesema babi meningkatkan kehadiran pelancong datang ke Malaysia? Sudah pasti itu satu kesimpulan yang janggal.

Begitu juga dengan pendapat fiqh dalam agama. Kalaulah Dr Asri tidak bersetuju dengan kenduri arwah dengan membelanjakan wang si mati, apakah ini bermaksud beliau telah mencerca amalan tersebut? Apakah beliau menghina imam-imam besar yang mengesyorkan amalan tersebut? (Malah, dalam berhujah tentang tidak wajarnya mengadakan kenduri arwah menggunakan wang si mati, beliau sendiri telah merujuk kitab fiqh mazhab Syafie susunan Mustofa Al-Khin, Mustafa Al-Bugha dan Ali Sabarji)

Polemik tentang percanggahan fiqh bukannya satu perkara yang baru. Dari dahulu lagi, telah berlaku perselisihan faham antara ulama dalam hal-hal berkaitan dengan ibadat, muamalat, munakahat, faraid mahupun jenayah. Puncak kepada polemik tersebut adalah apabila perselisihan tersebut telah merebak-rebak hingga memasuki isu akidah pula dengan tindakan saling membidaah antara satu sama lain. Hal ini akhirnya menyebabkan terdapat ulama yang saling mengkafir antara ulama pula! Malaysia juga tidak kurang dengan isu saling mengkafir, namun kita tidak pula melihat autoriti agama (Baca: Jabatan Agama) menangkap/menahan orang yang saling mengkafir tersebut sedangkan mengkafirkan sesama Islam adalah ditegah dalam ajaran Islam!

Isu penahanan disebabkan tiada tauliah juga boleh dipertikaikan. Seandainya tauliah itu yang menjadi faktor penahanan, maka sewajarnya autoriti agama tersebut menahan sesiapa sahaja yang berceramah di ceruk kampung (kita pun tak tahu siapa yang ada tauliah dan siapa yang tiada...?!) atau surau-surau atau masjid-masjid. Semua yang hendak bagi ceramah perlulah hadir ke pejabat agama dan perlu dikurniakan tauliah oleh pejabat agama tersebut. Tiada lagi tok syeikh yang boleh buat taalim. Tiada lagi jamaah tabligh yang boleh memberikan kuliah/tazkirah sebab mereka pun perlu ditahan kerana tiada tauliah daripada jabatan agama!

Sebetulnya, isu tauliah yang digunakan adalah sekadar isu yang menghalalkan penahanan Dr Asri, bukannya isu pokok sebab kepada penahanan beliau. Dalam hal ini, nyata sekali bahawa JAIS tidak membenarkan Dr Asri untuk berceramah kerana takut ceramah yang Dr Asri berikan akan menyampaikan pandangan-pandangan beliau yang berbeza dengan jabatan agama. Tambahan pula, beliau adalah satu-satunya mufti (dan kini bekas mufti..) yang tidak diberi "tauliah" daripada JAIS; maka JAIS seharusnya terlebih dahulu menerangkan kepada masyarakat atas dasar apa mereka tidak memberi tauliah kepada Dr Asri.

Disebabkan lontaran telah dibuat oleh pihak JAIS, maka adalah menjadi tanggungjawab JAIS untuk membuktikan bahawa tahanan yang dibuat itu bukanlah "tahanan terpilih." Dalam masa yang sama, pihak yang menyatakan bahawa Dr Asri adalah penganut Wahabi, telah mencerca Imam Al-Ghazali dan An-Nawawi, tidak mengiktiraf ahli sunnah wal jamaah PERLULAH membuktikan secara terperinci tentang tuduhan-tuduhan tersebut. Seandainya tidak, maka sesungguhnya kita telah menzalimi seorang ilmuan dan menjatuhkan kredibiliti beliau sedangkan firman Allah dalam Al Quran, "Fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh."

Renung-rengungkanlah sebelum mengata orang....

Saturday, October 31, 2009

Bukan masalah tiada gred A+....

Ada pembaharuan dalam sistem pemarkahan SPM bermula tahun ini. Kini, diwujudkan pula satu gred yang lebih A daripada A iaitu A+. Secara definisinya, A+ ialah satu pangkat yang lebih tinggi berbanding dengan A. Sistem A+ B- ini diperkenalkan bagi menggantikan sistem gred 1A, 2A yang dilaksanakan selepas pembubaran sistem pangkat. Sistem ini dikhabarkan akan menjadikan penggredan SPM lebih telus dan akan memudahkan pihak berkenaan untuk memilih yang terbaik daripada pelajar yang cemerlang untuk sama ada mendapatkan tempat di IPT mahupun menjadikan kaedah penapisan pelajar untuk pengurniaan biasiswa lebih objektif.

Pada pendapat penulis, gred itu satu hal, syarat-syarat untuk mendapat gred itu pula satu hal lagi. Apakah prasyarat yang diperlukan untuk mendapat gred tersebut sedikit sebanyak membezakan keberkesanan penggredan. Syarat markah itu seharusnya lebih jelas dan terang berbanding dengan penggredan baru itu sendiri. Hal inilah sebenarnya yang membezakan pelajar cemerlang berbanding pelajar yang biasa.

Semasa persekolahan penulis, pelajar-pelajar dimomokkan bahawa betapa sebenarnya berlaku fluktuasi antara gred-gred yang diberikan dalam peperiksaan awam (PMR & SPM). Kononnya, sesuatu gred itu diberikan mengikut bagaimanakah calon menjawab pada tahun tersebut. Kalau prestasi pelajar tahun itu kurang baik, maka markah penggredan (cut off point) pun akan diturunkan. Begitulah yang akan berlaku sebaliknya.Contohnya, kalau 2002 markah A adalah 85, boleh jadi pada tahun 2003 markah A adalah 80, atau 75; bergantung kepada keadaan penjawab.

Pada pendapat penulis, seandainya momokan itu betul, hal inilah sebenarnya yang akan menyebabkan "yang terbaik dikalangan yang terbaik" itu sukar hendak diperoleh. Bagaimanakah pihak yang menanda dan menggred menjustifikasikan soalan tahun sekian lebih sukar daripada soalan tahun sekian sehingga menyebabkan markah A untuk tahun sekian lebih rendah/tinggi berbanding tahun lain? Lalu, apabila ada pelajar yang mengambil berbelas-belas mata pelajaran dan beliau memperloleh berbelas-belas A, maka hal ini akan menjadi masalah kepada pihak penaja biasiswa kerana beliau (yang mengambil berbelas A) biasanya akan dijadikan sebagai penanda aras kepada masyarakat umum tentang kepandaian pelajar dalam menjawab SPM....

Penulis syorkan supaya gred baru A+ ini diberikan kepada mereka yang benar-benar layak. Mereka yang ada tambah nilai yang nyata di dalam jawapan mereka. Bukannya diberi atas dasar skema pemarkahan. Bukan juga diberi atas dasar turun naik graf markah pelajar. Jangan biarkan dengan mudah pelajar mendapat gred tersebut sehingga wujud pula beratus-ratus orang yang mendapat 10 A+. Apabila sudah beratus-ratus yang sudah mendapat A+, itu tandanya taraf A+ itu sendiri telah seakan-akan direndah. Akhirnya, apakah kerajaan hendak buat gred A++ pula?

Berikan gred istimewa ini kepada mereka yang benar-benar layak sahaja...

Friday, October 30, 2009

Hero kita di parlimen dan pak menteri

Peristiwa yang berlaku di parlimen beberapa hari yang lepas (Khamis, 29/10/2009) menarik perhatian penulis. Kelantangan Ahli Parlimen Sri Gading kembali bergema apabila beliau mempertikaikan mengapakah Presiden MCA kini yang kononnya tidak mendapat kepercayaan ahli MCA sendiri tidak melepaskan jawatan menteri.

Beliau juga turut mengaitkan Presiden Gerakan yang kalah pilihan raya Mac 2008 dengan mempertikaikan mengapakah Presiden Gerakan tersebut tidak melepaskan jawatan menteri kerana hal yang demikian menyebabkan isu kredibiliti dan bebanan yang ditanggung oleh Perdana Menteri bertambah. Menurut beliau lagi, bagaimanakah seorang yang tidak mampu untuk mendapat kepercayaan orang bawahan sehingga kalah satu negeri dapat menjadi menteri yang menjaga KPI? Lalu beliau turut berkata bahawa Presiden Gerakan tersebut suka mengampu kerana hanya hadir parlimen apabila PM hadir sahaja.

Beliau menegaskan bahawa beliau adalah orang lama di dalam politik dan boleh berkata apa sahaja. Teguran, amaran dan nasihat yang beliau berikan pada sidang itu mendapat tepukan dan sorakan ahli dewan YB bukan sahaja daripada kalangan penyokong kerajaan, malah penyokong pembangkang pun memberi tepukan yang gemuruh. Begitulah hebatnya wakil rakyat tersebut di parlimen.

Penulis kira beberapa penjelasan perlu dibuat terutamanya berkaitan dengan Presiden Gerakan yang menjadi "menteri dari jalan belakang". Dalam satu perkara, siapa sebenarnya yang melantik seseorang itu menjadi menteri? Adakah seseorang itu perlu melobi untuk mendapat jawatan tersebut? Kalau itulah halnya, maka teguran, kritikan yang telah diberikan oleh YB Sri Gading memanglah tepat dan bernas. Tetapi perkara ini turut akan mengundang persoalan lain iaitu sejauh manakah telusnya dan adilnya seseorang menteri itu – kerana dia kena melobi kepada PM untuk menjadi menteri..!

Namun, seandainya perlantikan menteri itu adalah hak mutlak perdana menteri – untuk menasihatkan Yang Di Pertuan Agong bagi melantik seseorang menteri, maka YB Sri Gading tersalah audience gamaknya dalam menegur dan mengkritik. Bukan Presiden Gerakan yang sepatutnya beliau hamburkan persoalan dan kritikan; sebaliknya wajar sekali beliau mempersoalkan tindakan Perdana Menteri itu sendiri untuk melantik orang yang kalah menjadi Menteri KPI..! Seramai 139 orang ahli Parlimen BN yang menang dan berada di Dewan Rakyat; takkan satu pun yang tidak layak untuk menjadi menteri jaga KPI? Bukan itu sahaja, mengapakah diberi pula Datuk Seri Sharizat Jalil menjadi menteri yang menjaga hal ehwal wanita sedangkan beliau pun kalah semasa pilihan raya yang lepas?

Berbuih YAB PM berteriak tentang KPI kementerian itu dan kementerian ini, mengapakah kementerian beliau sendiri tidak pernah beliau kemukakan cara pengukuran KPI? Bukankah hal yang sedemikian barulah menunjukkan kepimpinan melalui teladan? Beliau seharusnya menerangkan apakah yang beliau cadangkan untuk dijadikan sebagai KPI bagi Kementerian Kewangan dan JPM, barulah pak menteri-pak menteri lain tahu dan faham contoh yang beliau berikan. Barulah ini yang dinamakan sebagai kepimpinan melalui teladan. Namun, kini, apakah perkembangan itu berlaku di dalam kerajaan Malaysia? Adakah ada ahli YB dari BN yang mempersoalkan kejanggalan tersebut?

Kritikan, teguran yang diberikan oleh ahli YB biasanya bernas, namun kadang kala kita yang sebenarnya lebih sudu dari kuah. Tiadakah ahli YB dari pihak BN yang berani untuk mengkritik secara membina PM sendiri. Tidak berpuas hati dengan PM, kritik dari belakang (kritik menteri), walhal, siapa yang memilih menteri? Kalau yang kepalanya tidak betul, bagaimanakah orang bawahan hendak betul?

Penulis bukan penyokong Presiden Gerakan mahupun Presiden MCA (yang entah betul atau tidak kepresidenannya) namun penulis rasakan hal ini perlu diperjelas. Kita boleh mengkritik dengan baik namun kita juga mesti bertanggungjawab dengan apa yang kita kritikkan. Seandainya salah apa yang penulis utarakan maka betulkanlah. Penulis pun sebenarnya masih muda lagi, baru setahun jangung. Tak banyak makan asam garam lagi pun....

Satu perkara yang ingin penulis cadangkan adalah perlantikan menteri-menteri kabinet melalui profesional perlu diperbanyakkan. Pertamanya bagi mengurangkan masa beliau memegang jawatan tersebut (ahli bukan politik biasanya dilantik melalui jawatan senator dan had jawatan senetor di negara ini adalah sebanyak 2 penggal sahaja i.e. 6 tahun.) Keduanya adalah bagi mengurangkan politiking dalam struktur eksekutif Malaysia itu sendiri.

Apabila seseorang itu menjadi menteri bukan melalui tiket politik (i,e, menang pilihan raya kah, atau jadi ketua parti kah, atau anak PM kah, atau menantu PM kah....) hal ini sekaligus akan mengurangkan unsur politik dalam sesebuah kementerian itu. Memanglah seandainya seseorang itu dilantik atas dasar profesional belum tentu akan mengurangkan birokrasi, nepotisme dan sebagainya, tetapi, sekurang-kurangnya, gejala politik dalam turus eksekutif dapat dikurangkan. Orang yang jadi menteri tak perlu lagi hendak fikir tentang sokongan parti lah, jawatan ketua bahagian lah, hendakkan sokongan semasa pemilihan partilah... Sebaliknya beliau boleh menumpukan kerja beliau sebagai menteri dan melaksanakan (execute) apa yang seharusnya dibuat. Jadi tidak timbulah paradoks dalam parlimen yang mana ahli YB kerajaan mengkritik menteri yang merupakan ahli YB kerajaan sendiri...?!?

Sekadar pendapat untuk kita timbang-timbangkan....

 

Sunday, October 25, 2009

Dari hal sejadah berdiri

Seharusnya isu ini tak perlu diulas. Namun, setelah melihat kepada kesan yang mungkin yang lebih besar seandainya perkara-perkara hocus pocus ini tidak diselesaikan, maka semakin banyak lagilah sejadah duduk lah, batu nama Allah lah, air suci dari batu lah, kayu menunjuk kalimah Allah lah, pokok ayat Al-Quran dan lain-lain keajaiban yang suka digembar-gemburkan oleh media. Kesannya, ada pula makhluk menurun ekor apabila berhadapan dengan "keajaiban" sedemikian!!!

Beberapa perkara perlu dipertegas. Mukjizat adalah milik Nabi-nabi. Karamah adalah milik Wali-wali. Makbul doa adalah milik Allah. Semua yang terjadi adalah dengan izin Allah. Maka, seandainya ada sejadah yang berdiri/duduk antara dua sujud/sujud dan sudah terang lagi nyata bahawa sejadah sedemikian tersusun dalam satu kawasan /surau/masjid, maka tidak lain dan tidak bukan perkara tersebut adalah kerja-kerja budak yang nakal atau orang yang hendak mengambil kesempatan hendak mendapat keuntungan atau hendak menjadi popular sebentar. Tercapailah hasrat pihak-pihak yang berkepentingan tersebut apabila stesen televisyen termakan dengan kesensasian sejadah berdiri tersebut!!!

Pihak media juga memainkan peranan penting untuk sejadah pelbagai bentuk yang dihebah-hebahkan. Kalaulah tiada liputan media untuk sejadah duduk antara dua sujud, maka pastilah tidak pula orang memperdulikannya. Akan tetapi, dek kerana taksub dengan keuntungan, maka sejadah sujud pun menjadi berita utama di dada-dada akhbar. Penulis akui, tidak boleh menyalahkan media 100 peratus namun TIDAK PULA media tidak boleh dipersalahkan!!! Kesan sinergistik antara tayangan media dan perasaan ingin tahu pembaca dan penonton memberikan kesan besar terhadap bagaimana sesuatu isu itu digarap.

Pendek kata, masyarakat Malaysia masih lagi terpengaruh dengan cerita-cerita tahyul yang seharusnya tidak diperbesarkan. Cerita-cerita seperti ini seharusnya tidak perlu diterbitkan dalam media utama dan sebaiknya diulas panjang lebar dalam majalah berbentuk misteri dan mistik yang banyak di pasaran. Dunia ini masih penuh dengan keajaiban yang benar-benar wujud (seperti kewujudan langit dan bumi, sifat-sifat air, cahaya – gelombang atau jirim? Serta pelbagai lagi keajaiaban ciptaan Ilahi) untuk kita kaji berbanding dengan sejadah yang direnyukbentukkan!!!

Thursday, October 22, 2009

Begitulah Mentaliti Kelas Ketiga...

GST... Apa benda tu!!!

Perbentangan belanjawan 2010 sangat-sangat dinantikan oleh mereka yang mengambil berat tentang perbelanjaan negara dan pekerja kerajaan yang mengharapkan agar dikurniakan bonus. Menyentuh isu bonus, terdapat cakap-cakap bahawa antara sebab prestasi BN begitu teruk adalah kerana pekerja perkhidmatan awam begitu terkilan kerana tidak diberi bonus pada tahun 2009. Hal yang demikian menyebabkan mereka berasa tidak dihargai dan bertindak untuk meluahkan ketidakpuasan hati di atas kertas undi (Penulis secara peribadi pernah berbual dengan golongan sebegini...!)

Berbalik semula kepada Belanjawan 2010, belanjawan ini merupakan belanjawan yang cukup bermakna kepada YAB Perdana Menteri kerana inilah kali pertama, beliau sebagai PM baru akan membentangkannya. Disebabkan tradisi Menteri Kewangan tiba-tiba berubah, maka PM kini turut memegang portfolio Kewangan (perkara ini mula berlaku setelah pemecatan Anwar Ibrahim daripada Kebinet dan BN). Dan kali ini, pastilah Najib Tun Razak akan membentangkan satu belanjawan yang sedap didengar di telinga bagi memikat rakyat Malaysia dalam menjayakan slogan 1Malaysia; Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Maka, penulis tidak ketinggalan untuk mendengar perbincangan yang diadakan di kaca televisyen tentang apakah yang diharapkan di dalam belanjawan kali ini (di TV1). Pihak stesen penyiaran telah menjemput individu-individu yang berkaliber dari pakar ekonomi ke ahli akademik bagi membincangkan apakah yang mereka ramalkan dan harapkan untuk diucap oleh PM. Pelbagai andaian dan cadangan yang diusulkan kepada penonton bagi memberikan gambaran tentang belanjawan tersebut. Penulis secara peribadi pun kurang fasih dengan istilah-istilah seperti fiscal, belanjawan defisit, GST dan sebagainya.

Cuma yang menarik untuk dibincangkan ialah tentang cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang kononnya sepatutnya dilaksanakan sedari tahun 2005 lagi (namun ditangguhkan..). Terdapat salah seorang ahli penel bual bicara yang menegaskan betapa kerajaan semakin lambat untuk memperkenalkannya; maka dalam masa yang sama juga, semakin sukar untuk melaksanakannya. Hal ini disebabkan idea asas kepada GST adalah "sesiapa yang mengguna lebih, maka dia perlulah bayar lebih." Maka mahu tidak mahu, kita akan berhadapan dengan kenaikan harga barang.

Akan tetapi, kenaikan harga barang (dan perkhidmatan) merupakan tindakan terakhir yang boleh kerajaan laksanakan kerana tindakan tersebut tidak popular dan pasti mengundang rungutan daripada rakyat...! Seterusnya akan menyebabkan frasa "Rakyat Didahulukan" tidak dipatuhi/mengalami ketidakakuran (non-conform), lalu menyebabkan persepsi rakyat terhadap kerajaan menjadi buruk (atau bertambah buruk...; kenangkanlah kesan kenaikan harga petrol RM2.70...!)

Tambahan pula, ketua pembangkang negara yang kononnya lebih tahu daripada segala orang di dalam dunia ini tentang ekonomi boleh memanipulasikan persepsi ini seterusnya mengundang provokasi kepada rakyat bahawa tindakan kerajaan merupakan tindakan kezaliman dan menegaskan bahawa beliaulah yang selayaknya memegang tampuk pemerintahan kerana beliau lebih tahu untuk mengurus ekonomi untuk kepentingan dan keadilan rakyat!

Selain itu, akan timbul juga isu keadilan dalam melaksanakan GST ini.... Kalau satu keluarga yang ramai, bagaimanakah untuk tidak berbelanja lebih dari purata (above average) disebabkan mereka perlu menanggung bilangan keluarga yang besar? Takkanlah hendak salahkan ibu yang mengandung anak yang ramai? Perbelanjaan untuk menyara 5 hingga 6 orang anak pastilah lebih besar daripada hendak menyara 2 hingga 3 orang anak sahaja. Bukankah ini kelak akan mengundang ketakpuasan hati mereka yang berkeluarga besar dan terpaksa berbelanja lebih? (Hujah ini pernah diutarakan semasa pemberian baucer RM650 untuk kenderaan kurang 2000 cc kerana bukan semua yang menggunakan kenderaan 2000 cc ke atas merupakan keluarga berpendapatan tinggi – mereka terpaksa membeli kereta/MPV besar dan berkuasa besar demi menampung anak yang ramai...!)

Maka seeloknya kerajaan melakukan satu kajian menyeluruh sebelum melaksanakan dasar kurang popular tersebut. Kelengkapan dan pengetahuan yang mencukupi amat-amat perlu disediakan untuk rakyat sebelum dasar sebegini dilaksanakan. Andai tidak, maka dasar sebegini akan menjadi dasar yang backfired semula kepada kerajaan. Soal agihan pungutan cukai juga perlu diperjelaskan kerana rakyat berhak mengetahui ke manakah perginya wang yang telah mereka bayar. Diharapkan, seandainya GST ini benar-benar akan dilaksanakan pada masa akan datang (atau diumumkan pada belanjawan kali ini.... mana tahu...?), perkhidmatan awam yang disediakan oleh kerajaan akan bertambah baik selaras dengan berbuihnya mulut pak menteri untuk melaksanakan KPI demi kepentingan rakyat.


Minda nan terkebelakang: Isu agihan kepada Alam Sekitar

Satu lagi perkara menarik untuk dibincangkan adalah betapa terkebelakangnya minda masyarakat Malaysia tentang ekonomi alam sekitar. Dalam tinjauan yang dilaksanakan oleh RTM bagi salah satu rancangan bual bicara tentang pra-belanjawan 2010, hanya 4 peratus sahaja responden yang mengambil bahagian dalam tinjauan SMS yang menyatakan bahawa belanjawan negara pada kali ini harus mengutamakan pemeliharaan alam sekitar. Hal ini bermaksud, daripada 100 orang di Malaysia seandainya diambil secara rambang, hanya 4 orang yang merasakan alam sekitar itu penting untuk mereka dan harus diberi perhatian oleh pihak kerajaan...! Sedangkan kita baru sahaja menyaksikan "penangan alam" dari gempa bumi dan taufan yang membadai Asia Tenggara.

Penulis bukan seorang environmentalist. Pun begitu, isu alam sekitar adalah isu sejagat dan seharusnya diberi perhatian oleh segenap lapisan rakyat Malaysia. Negara kita ketinggalan dalam banyak hal apabila berkaitan dengan alam sekitar. Sedangkan, sebenarnya etimologi ekonomi dan ekologi itu berasal daripada akar yang sama, i.e. oikos yang bermaksud rumah. Kalau rumah kita sudah jahanam dan punah ranah, usah kita hendak berteriak tentang ekonomi lagi....!

Pada hemat penulis, seandainya ekologi yang kita ambil kira, maka ekonomi juga akan turut mendapat faedahnya. Sampai bila kita hendak bergantung kepada sumber tidak boleh diperbaharui seperti minyak dan gas? Adakah tatkala kedua-duanya telah kering-kontang barulah kita hendak mencari alternatif lain pula? Dan seandainya kita mengharapkan tenaga nuklear sebagai alternatif kepada sumber negara, sudah bersediakah kita secara fizikal dan mental untuk menghadapi kesan daripada penggunaannya ? (Kecil atau besar, nuklear tetap nuklear...!)

Seharusnya kerajaan memberikan tumpuan terhadap alam sekitar kerana tumpuan kepadanya sangat berbaloi. Seandainya kerajaan dapat membuat peruntukan untuk kitar semula, misalnya, lalu kempen itu juga berjaya, kerajaan akan dapat menjimatkan sejumlah wang yang besar bagi mengurangkan tapak pelupusan sampah. Kos pengurusan pencemaran juga akan dapat dikurangkan. Sumber bahan kitar semula mampu menjana pendapatan rakyat seterusnya memberi peluang pekerjaan kepada rakyat. Maka dengan sebab itu, persepsi rakyat terhadap kerajaan juga akan dapat ditambahbaikkan.

Namun, penulis insaf bahawa banyak kempen berkaitan alam sekitar kurang mendapat sambutan; hatta di negara maju sekalipun. Bukan mudah untuk melakukan sesuatu yang baik kepada orang lain..., lebih-lebih lagi makhluk lain. Tatkala bumi ini semakin uzur ditelan usia, kita masih lagi bertelagah tentang siapa yang lebih betul, siapa yang sebenar-benarnya pengganas, siapa yang layak menjadi presiden/perdana menteri, siapa yang patut memenangi hadiah Nobel Keamanan; sedangkan umat di dalam dunia ini masih terperangkap dalam minda kelas ketiga dibayangi biasan kemodenan/pasca-moden yang mengasyikkan...


 

Friday, October 16, 2009

Pindaan Perlembagaan UMNO 2009: Antara perubahan tulisan dan perubahan fikiran

Menonton YAB Presiden UMNO, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak bersyarah buat julung kalinya untuk ucapan dasar presiden merupakan sesuatu yang dinantikan oleh ramai ahli UMNO sendiri. Gaya perawakannya untuk meretorikkan keadaan cukup membuatkan penulis terhibur dengan telatah beliau.

Bagaimanapun, yang lebih menarik perhatian penulis adalah sesi wawancara yang diadakan di TV3 sempena ucapan dasar Presiden tersebut. Wawancara itu dihadiri oleh dua orang tokoh penganalisis politik tanah air yang bukan calang-calang iaitu Prof Dr Atory Hussein dan Prof Madya Dr Agus Yusof. Pengacaranya juga (seorang berpangkat Prof Madya, namun penulis tak berkesempatan menangkap nama beliau) sangat-sangat cemerlang mengutarakan persoalan yang kritis, perkaitan itu dan ini; begitu fasih berbahasa Arab dan mengeluarkan nas-nas Al-Quran, Hadis dan kata-kata para sahabat RA. Sekali sekala penulis terasa seperti berada dalam program Al-Kuliyyah lah pulak...!

Pada pendapat penulis, program bual bicara itu berjalan dengan baik sekali. Cukup ramuan dan cukup rasanya. Cuma mungkin untuk hidangan yang lengkap, barangkali tidak mencukupi tatkala masa begitu pantas berlalu apabila kedua-dua orang ahli penal saling berebut untuk menjawab. Namun, dengan moderator yang baik, maka selayaknya program tersebut dikategorikan sebagai program yang baik dan wajar diteruskan.

Penulis sangat tertarik dengan pendapat Dr Agus yang menegaskan bahawa perubahan dalam UMNO perlulah selaras dari peringkat struktural hingga ke peringkat atitudinal. Pindaan perlembagaan UMNO tidak dinafikan merupakan tindakan yang sangat berani dan mampu meraih kembali perhatian pengundi kepada UMNO, namun di peringkat ahli UMNO sendiri, mereka perlu berubah sikap daripada yang lama kepada yang baru. Modus operandi untuk mendekatkan diri mereka ke hati rakyat juga perlu berubah sama sekali.

Tatkala Dr Agus memetik pengalaman mengajarnya di UKM dengan meluahkan betapa generasi muda kini tidak lagi melihat perjuangan UMNO itu sebagaimana generasi terdahulu melihatnya (dari segi mencapai kemerdekaan, hak istimewa orang Melayu, DEB dan sebagainya) penulis teringat artikel yang telah penulis uploadkan ke blog ini bertajuk Erti Kemerdekaan. Penulis ada mengulas tentang bagaimana berbezanya orang muda zaman kini berbanding mereka yang merasai payah jerih untuk merdeka.

Sesungguhnya, perspektif orang muda kini berbeza dengan mereka yang hidup pada zaman DEB. Dan perbezaan inilah yang gagal dikesan oleh UMNO sejak awal-awal lagi. Kegagalan UMNO dalam memahami cara orang muda berfikir menyebabkan mereka kehilangan banyak undi daripada orang-orang muda. Pendekatan "UMNO telah banyak berjasa", "hanya UMNO yang tahu", "UMNO pejuang tulen hak istimewa orang Melayu" dan sebagainya telah membawa persoalan besar kepada orang muda – apakah hanya UMNO yang "boleh" berjasa, apakah pentingnya DEB itu, perlukah orang melayu menerima hak istimewa tersebut??? Maka, UMNO memerlukan pendekatan baru yang lebih segar khusus untuk orang muda bagi mengelakkan diri mereka asyik terjerat di dalam paradoks siklik yang sentiasa berputar ini!!!

Perbincangan tersebut juga menggariskan betapa sikap dan kelakuan ahli UMNO itu sendiri yang perlu turut berubah. Mendemokrasikan pemilihan pucuk pimpinan merupakan satu perkara, namun menjadi seorang ahli yang benar-benar berkhidmat merupakan satu perkara lain yang berbeza. Imej ahli UMNO terutamanya mereka yang bertaraf pemimpin merupakan sesuatu yang perlu dijaga. Pemimpin UMNO perlulah memperlihat kepada orang ramai bahawa mereka rapat dengan rakyat, senang didekati dan tidak bersikap elitis terhadap rakyat.

Persepsi buruk yang terpalit pada UMNO kini memakan masa untuk diubah. Namun, pemimpin UMNO dan ahli UMNO yang perlu berusaha untuk mengubahnya. Lebih buruk lagi, pergolakan komponen BN juga akan mengheret UMNO ke kancah persepsi yang lebih buruk. Justeru, UMNO dan BN perlu kembali menginsafi perjuangan dan matlamat masing-masing bagi menjelmakan kelangsungan politik mereka pada masa akan datang.

Thursday, October 15, 2009

Dato’ Berseri Sri

Mengapakah sesuatu bahasa itu kuat? Adakah kerana ramai penuturnya? Atau ramai pengkajinya? Atau begitu besar negara asalnya? Satu fakta menarik bagi pernyataan yang terakhir adalah, penutur Bahasa Portugis terbesar dunia bukanlah negara Portugal, sebaliknya adalah negara Brazil. Bagaimanapun, bolehlah kita katakan bahawa sesuatu bahasa itu dianggap kuat seandainya nahu bahasa itu sendiri kuat dan kukuh.

Penulis bukan pejuang Bahasa Melayu. Jauh sekali seorang linguistik Melayu. Bagaimanapun, penulis cinta akan Bahasa Melayu. Penulis lebih mudah bertutur dalam Bahasa Melayu. Penulis senang menulis artikel pun di dalam Bahasa Melayu. Penulis tidak nafikan kepentingan Bahasa Inggeris sebagai bahasa global, namun Bahasa Melayu perlu dipertahankan.

Akan tetapi, apa yang penulis tidak dapat terima adalah betapa terlalu banyak ambiguiti di dalam Bahasa Melayu. Atau sebenarnya ketiadaan pihak pemantau/pengawal dalam memartabatkan Bahasa Melayu itu sendiri. Hal inilah yang menyebabkan, dalam hal titik bingik pun, kita tidak dapat selesaikan. Bagaimana mungkin Bahasa Melayu itu hendak kita martabatkan? Kata pepatah, kalau kail panjang sejengkal, lautan luas jangan diduga!

Obsesi penulis adalah pada tatabahasa yang sering kali kita baca di dalam akhbar. Bukannya dari segi subjek prediket. Jauh sekali terhadap kata ajuk dan kata pindah. Bukannya pada ayat jamak berlapis itu dan ini. Tidak juga pada susunan kata, laras bahasa. Namun, hanya sekitar ejaan dan susunan kata, yang mana didahulukan, yang mana patut dikemudiankan.

Ejaan mertua yang lama sekarang ini sudahpun ditukar kepada mentua. Penulis sudah tahu tentang perkara tersebut walaupun akhbar, televisyen masih lagi menggunakan mertua. Ramai jamak kepada manusia dan banyak jamak kepada bukan manusia masih lagi dalam keadaan samar. Ada akhbar yang "gatal" tangan menulis rukunegara – sesuatu perkara yang pada penulis patut berlaku. Kalau rukunegara berbanding rukun negara, tak kanlah rukunislam berbanding rukun Islam?

Penulis pernah menulis panjang persoalan tentang yang mana satu hendak kita dahulukan. Prof Tan Sri atau Tan Sri Prof? Namun tiada respon daripada pembaca. Kini, yang terbaharu yang penulis kesan adalah Dato' Sri berbanding Dato' Seri. Kalau Seri/Sri yang mana pun kita tak boleh nak tentukan, pada hemat penulis, elok kita gugurkan sahaja pangkat Seri/Sri selepas Dato' Sudahlah ada Dato' dan Datuk. Belum lagi Datuk Patinggi, Dato' Wira, Dato' Seri DiRaja, Dato' Seri Utama, Dato' Amar... Banyak sangat jenis Dato'/Datuk di Malaysia!

Pada pendapat penulis, Dato' diikuti Seri dan Tan diikuti Sri. Penulis tidak mengaji habis tentang darjah dan bintang kebesaran di Malaysia, namun sepanjang pengetahuan penulis, gelaran yang diberikan oleh Sultan-sultan di negeri-negeri selain Johor dan Kelantan adalah Dato' Seri dan bukannya Dato' Sri. Kalau hal remeh seperti gelaran Dato' pun kita boleh berambiguiti, bagaimana mungkin kita hentak berteriak tentang memartabatkan bahasa?

Maka, seharusnya perkara-perkara sebeginilah yang patut menjadi perhatian pencinta/pejuang/pengawal bahasa. Janganlah kita tutup sebelah mata dalam hal-hal sebegini sedangkan nama Dato'- Dato' itu terpampang di latar pentas dan mendapat liputan media antarabangsa. Cuba kita selaraskan penggunaan pangkat. Bukankah hal ini jauh lebih mudah berbanding daripada kepelbagaian versi pangkat itu dan ini? Mungkin di peringkat DBP, Jabatan Kebudayaan, Kementerian Pelajaran harus memainkan peranan mereka membetulkan mana yang silap ATAUPUN menerangkan kepada rakyat kenapa, kalau boleh untuk digunakan Dato' Sri?

Kita sedang sibuk memperkatakan sambutan bulan bahasa, itu dan ini patut dibuat sedangkan hal-hal berkaitan pangkat Dato' pun tak boleh kita uruskan.... Martabat bahasa apanya?????

Wednesday, October 14, 2009

Pasca Bagan Pinang: Realiti dan Cabaran

Keputusan pilihan raya kecil Bagan Pinang mencatatkan sejarah tersendiri pasca PRU 12. Buat pertama kalinya, BN/UMNO berjaya memenangi pilihan raya kecil di Semenanjung Malaysia dan buat pertama kali juga, PAS tewas pilihan raya kecil pasca 8 Mac. Masing-masing mungkin mempunyai interpretasi sendiri tentang kemenangan dan kekalahan parti yang bertanding.

Bagi pihak BN, kemenangan menunjukkan bahawa sokongan rakyat kepada BN tidak pernah pudar dan sentiasa bertambah. Kemenangan juga ditafsirkan sebagai penerimaan rakyat berbilang kaum terhadap gagasan 1Malaysia yang digembar gemburkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Razak.

Bagi pihak PAS pula, kekalahan menyebabkan parti tersebut perlu melakukan kajian semula terhadap strategi mereka untuk pilihan raya kecil/umum akan datang. Pok Nik ada menyebut kekalahan mungkin disebabkan kesilapan strategi kerana terlalu fokus terhadap kempen secara ceramah ala PAS. Kekalahan juga menjadi bukti kepada mereka bahawa sistem pemilihan pos di negara ini masih tidak telus. (walaupun PAS memenangi kesemua pilihan raya kecil pra Bagan Pinang !!!!)

Pada hemat penulis, tafsiran kepada keputusan Bagan Pinang perlu dibuat secara holistik. Walaupun kita hendak mewakilkan keputusan tersebut dengan persepsi rakyat seluruh negara terhadap BN dan PR, kita masih perlu mengambil kira bahawa pilihan raya kecil tetap pilihan raya kecil. Kemenangan besar BN/UMNO tidak bermaksud mereka telah kembali selesa di hati rakyat. BN mahu tidak mahu perlu menerima bahawa faktor populariti calon mereka menyumbang kepada kemenangan mereka; kalaupun bukannya SATU-SATUNYA faktor, ia tetap SALAH SATU FAKTOR!!!

Kemenangan itu juga masih belum konklusif bagi mengeneralisasikan bahawa semua kaum telah kembali menerima BN sebagai parti memerintah dengan bersenjatakan jargon 1Malaysia. Pecahan pengundi di sana condong kepada kaum India sebagai kaumkedua terbesar (20 %) dan penerimaan mereka mungkin sedikit sebanyak didorong oleh faktor isu Kampung Buah Pala, Makkal Sakti dan "Isa Samad yang telah banyak membantu kaum India di sana" – menurut Tun Dr. Mahathir.

Kemenangan itu juga sebenarnya membuktikan bahawa faktor "kubu kuat" juga boleh memainkan peranan dalam mencorak pemikiran pengundi. Sebagaimana gahnya PKR di Permatang Pauh, kita kena juga terima bahawa BN pun ada kubu kuat mereka sendiri (walaupun ironinya, parlimen Teluk Kemang pada ketika ini milik PKR!!!). Mungkin ada cara tersendiri yang perlu dilakukan oleh pihak PR untuk menyerang BN di kubu kuat mereka. Udah-udah lah asyik menyalahkan undi pos sebab kalau dibatalkan keputusan undi pos kali ini pun (dah tentulah undi pos yang memihak kepada PAS pun perlu dibatalkan...), BN masih menang lagi dengan majoriti yang agak selesa.

Oleh sebab itu, secara realitinya, keputusan di Bagan Pinang ini tidak lebih hanya sebagai penghibur hati yang lara bagi pihak BN terutamanya UMNO... kemenangan ini lebih bersifat moral booster kepada mereka berbanding kemenangan yang konklusif. Masih banyak lagi isu yang perlu mereka selesaikan seperti krisis dalaman MCA, MIC PPP dan segala krisis dalaman yang mereka hadapai. Seandainya mereka terpekik terlolong bahawa rakyat telah menerima mereka, telah menyokong mereka kembali; maka bolehlah mereka bersedia untuk gulung tikar PRU akan datang.

Bagi pihak PAS pula, realitinya mereka tidak tewas apa-apa. Mereka tewas bukan mempertahankan; oleh sebab itu sebenarnya mereka tidak rugi apa-apa. Cuma dari satu segi, kalau nak menyalahkan undi poslah, ketelusan SPR lah, senarai hantu lah, hendak tangguh pilihan raya kecil lah.... semua itu sebenarnya memperlihat ketidakmatangan mereka menerima kekalahan. Selama mereka menang, elok pulak undi pos itu? Elok pula senarai pengundi yang berdaftar? Tak kanlah bila kalah, nak menyalahkan pengundi juga????

Selain itu, kita juga memohon kepada Tuhan agar memanjangkan umur kita dan wakil-wakil rakyat kita agar kita tidak lagi perlu hendak adakan PRK. Kalau dah ajal nak buat macam mana....? Moga Tuhan panjangkan umur kita, murahkan rezeki kita dan beri kesihatan kepada kita.

Thursday, October 8, 2009

Bagan Pinang: Antara kelangsungan dua parti

Ada perkara yang menarik seandainya kita membincangka pilihan raya kecil terbaharu i.e. untuk DUN Bagan Pinang di Negeri Sembilan. Perkara tersebut adalah bagaimanakah keputusan yang bakal diterima daripada pengundi di kawasan tersebut memberikan tafsiran tertentu kepada tahap sokongan rakyat kepada sama ada BN mahupun PR secara umumnya. Mahu tidak mahu, BN perlu menerima bahawa pilihan raya kecil kali ini adalah seolah-olah penentu kepada kelangsungan politik mereka di Malaysia. Sementara bagi pihak PR pula, kemenangan di pilihan raya kali ini boleh diibaratkan sebagai petanda awal kemenangan yang mungkin boleh mereka kecapi pada PRU 13.

Dan didapati, BN menggunakan apa sahaja kaedah yang dianggap "munasabah" bagi memancing pengundi untuk mengundi mereka. Larangan bagi bendera bukan PAS daripada dikibarkan merupakan salah satu daripada taktik yang digunakan. Larangan sebegini secara tidak langsung akan memberikan impak psikologi kepada penggundi bukan Melayu yang ingin mengundi PAS.

Kewujudan bendera PKR dan DAP sebenarnya memainkan peranan penting di dalam memancing pengundi bukan Melayu di kawasan tersebut. Kewujudan bendera tersebut akan sekaligus memberikan satu tafsiran bahawa "mengundi PAS adalah sama dengan mengundi PKR dan DAP." Tambahan pula, pengundi bukan Melayu terutamanya kaum Cina kini lebih cenderung untuk mengundi parti pembangkang tak kiralah dari DAP, PKR mahupun PAS. Oleh yang demikian, ketiadaan bendera parti bersekutu secara tidak langsung akan memberikan impresi kepada pengundi bahawa PAS bergerak secara solo pada kali ini.

BN sangat-sangat perlu menang dalam pilihan raya kecil kali ini. Kemenangan itu bukan sahaja akan membuktikan rakyat masih menyokong mereka, kemenangan tersebut juga akan membuktikan bahawa paradoks "tidak semestinya orang yang bersih sahaja yang boleh menang" akan kekal berlaku. Tun Dr. Mahathir yang pada awalnya tidak menggemari "orang yang terpalit dengan kekotoran" kini tampil memberikan sokongan penuh kepada calon BN (malah meramalkan BN akan menang besar). Nyata sekali BN sangat-sangat perlu "menang besar" di dalam pilihan raya kali ini bagi membuktikan kerelevenan mereka.

Di pihak PAS pula, kemenangan akan memberikan petanda bahawa gagasan Islam yang dibawa oleh PAS kini sudah diterima oleh umum secara keseluruhannya. Harus sekali kemenangan PAS memberikan petanda kepada PR bahawa parti inilah yang paling dominan di dalam PR kerana secara teknikalnya, PAS memenangi kesemua pilihan raya kecil yang diadakan pasca 8 Mac 2008 (PKR tewas di Batang Air...). Seandainya pecahan undi Melayu lebih memihak kepada PAS (dengan anggapan bahawa pecahan undi bukan Melayu juga memihak kepada PAS), perkara ini membuktikan bahawa PAS kini lebih diterima dalam masyarakat Melayu dan sudah sedia untuk mengambil tempat UMNO yang selama ini mendominasi undi orang Melayu.

Kekalahan pihak BN hanya akan menjadikan perkara yang teruk bertambah teruk. (Bad turn worse). Kekalahan BN terutamanya UMNO sebenarnya hanya akan memperlihatkan betapa UMNO masih lagi tidak berupaya untuk berubah bagi memulihkan pengaruh mereka yang semakin hilang. Seandainya mereka kalah dan faktor calon dijadikan sandaran kekalahan, maka hal ini membuktikan bahawa UMNO sebenarnya tidak pernah berubah dan kelak akan menuju ke kebinasaan. Kekalahan akan mewujudkan persoalan tentang bagaimanakah rakyat di Bagan Pinang yang kononnnya mengkehendakkan Tan Sri Isa Samad untuk menjadi pemimpin mereka menolak pemimpin yang mereka kehendaki???

Pendek kata, pilihan raya kecil Bagan Pinang kelak lebih merupakan pilihan raya kecil penentu hala tuju UMNO. Tatkala berlaku perebutan kuasa dan ketaktentuan di dalam komponen lain BN, UMNO perlu tampil meyakinkan bahawa mereka adalah pemimpin kepada BN. Namun, seandainya mereka tumbang, bolehlah disimpulkan era baru politik negara semakin hari semakin pasti.

Selamat bertanding kepada calon...