Wednesday, November 4, 2009

Isu Dr Asri: Cabaran autoriti agama Malaysia

Terlebih dahulu, penulis ingin jelaskan bahawa penulis bukan penyokong setia atau pembangkang setia Dr Asri. Walaupun selalu membaca kolum beliau, bukan bermakna kita menyokong segala apa yang beliau lontarkan. Pun begitu, bukan pula bermaksud bahawa apa yang beliau kemukakan dalam kolum beliau itu salah. Dalam beberapa sudut, beliau agak agresif mempertahankan pendirian beliau tentang isu-isu berkaitan percanggahan pendapat antara ulama. Tetapi, hal itu tidak pula menafikan taraf keilmuan beliau yang tinggi dan sentiasa mengemukakan nas yang munasabah.

Isu utama yang berlegar sekitar ketidakpuasan sebahagian autoriti agama terhadap beliau adalah lebih kepada soal-soal percanggahan pendapat mereka dengan beliau. Lalu dengan percanggahan pendapat itu, ada yang mungkin diperbesar-besarkan sehingga timbul pula isu yang beliau menolak fahaman ahli sunnah wal jamaah, atau menolak Hadis Bukhari (hal ini pada penulis adalah sangat-sangat ironi kerana beliau sendiri mempunyai kedoktoran dalam ilmu hadis) atau menghina Imam Al-Ghazali dan lain-lain lagi. Mungkin, kesimpulan yang boleh pihak autoriti agama yang tidak menyukai beliau adalah dengan mengatakan bahawa beliau adalah seorang Wahabi.

Satu perkara perlu jelas, perbezaan pandangan dengan imam-imam muktabar dalam isu berkaitan fiqh bukanlah bermaksud kita telah keluar daripada Islam. Kalau tidak, masakan wujud mazhab-mazhab fiqh yang empat dewasa ini! Kalaulah beliau kurang bersetuju dengan imam sekian-sekian, bukanlah bermaksud beliau menghina imam tersebut. Sesuatu kesimpulan hendaklah dibuat dengan logik akal dan semangat pemikiran yang munasabah.

Sebagai contoh, kalaulah statistik Jabatan Perangkaan menunjukkan peningkatan pelancong yang datang ke Malaysia pada tahun ini berbanding tahun lepas dan tahun ini merupakan tahun yang mana negara dilandai virus selesema babi, apakah sesuai untuk kita simpulkan bahawa selesema babi meningkatkan kehadiran pelancong datang ke Malaysia? Sudah pasti itu satu kesimpulan yang janggal.

Begitu juga dengan pendapat fiqh dalam agama. Kalaulah Dr Asri tidak bersetuju dengan kenduri arwah dengan membelanjakan wang si mati, apakah ini bermaksud beliau telah mencerca amalan tersebut? Apakah beliau menghina imam-imam besar yang mengesyorkan amalan tersebut? (Malah, dalam berhujah tentang tidak wajarnya mengadakan kenduri arwah menggunakan wang si mati, beliau sendiri telah merujuk kitab fiqh mazhab Syafie susunan Mustofa Al-Khin, Mustafa Al-Bugha dan Ali Sabarji)

Polemik tentang percanggahan fiqh bukannya satu perkara yang baru. Dari dahulu lagi, telah berlaku perselisihan faham antara ulama dalam hal-hal berkaitan dengan ibadat, muamalat, munakahat, faraid mahupun jenayah. Puncak kepada polemik tersebut adalah apabila perselisihan tersebut telah merebak-rebak hingga memasuki isu akidah pula dengan tindakan saling membidaah antara satu sama lain. Hal ini akhirnya menyebabkan terdapat ulama yang saling mengkafir antara ulama pula! Malaysia juga tidak kurang dengan isu saling mengkafir, namun kita tidak pula melihat autoriti agama (Baca: Jabatan Agama) menangkap/menahan orang yang saling mengkafir tersebut sedangkan mengkafirkan sesama Islam adalah ditegah dalam ajaran Islam!

Isu penahanan disebabkan tiada tauliah juga boleh dipertikaikan. Seandainya tauliah itu yang menjadi faktor penahanan, maka sewajarnya autoriti agama tersebut menahan sesiapa sahaja yang berceramah di ceruk kampung (kita pun tak tahu siapa yang ada tauliah dan siapa yang tiada...?!) atau surau-surau atau masjid-masjid. Semua yang hendak bagi ceramah perlulah hadir ke pejabat agama dan perlu dikurniakan tauliah oleh pejabat agama tersebut. Tiada lagi tok syeikh yang boleh buat taalim. Tiada lagi jamaah tabligh yang boleh memberikan kuliah/tazkirah sebab mereka pun perlu ditahan kerana tiada tauliah daripada jabatan agama!

Sebetulnya, isu tauliah yang digunakan adalah sekadar isu yang menghalalkan penahanan Dr Asri, bukannya isu pokok sebab kepada penahanan beliau. Dalam hal ini, nyata sekali bahawa JAIS tidak membenarkan Dr Asri untuk berceramah kerana takut ceramah yang Dr Asri berikan akan menyampaikan pandangan-pandangan beliau yang berbeza dengan jabatan agama. Tambahan pula, beliau adalah satu-satunya mufti (dan kini bekas mufti..) yang tidak diberi "tauliah" daripada JAIS; maka JAIS seharusnya terlebih dahulu menerangkan kepada masyarakat atas dasar apa mereka tidak memberi tauliah kepada Dr Asri.

Disebabkan lontaran telah dibuat oleh pihak JAIS, maka adalah menjadi tanggungjawab JAIS untuk membuktikan bahawa tahanan yang dibuat itu bukanlah "tahanan terpilih." Dalam masa yang sama, pihak yang menyatakan bahawa Dr Asri adalah penganut Wahabi, telah mencerca Imam Al-Ghazali dan An-Nawawi, tidak mengiktiraf ahli sunnah wal jamaah PERLULAH membuktikan secara terperinci tentang tuduhan-tuduhan tersebut. Seandainya tidak, maka sesungguhnya kita telah menzalimi seorang ilmuan dan menjatuhkan kredibiliti beliau sedangkan firman Allah dalam Al Quran, "Fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh."

Renung-rengungkanlah sebelum mengata orang....

No comments: