Terkini
- Berita Harian
1/11/11 melaporkan ugutan yang disampaikan oleh Pengerusi PAGE bahawa
kesatuan mereka akan memberikan undi kepada pembangkang andai PPSMI tidak
ditawarkan kepada pelajar sekolah.
- Apa yang boleh
dilihat disini ialah sudah ada pembauran politik di dalam perjuangan PAGE
dan PPSMI sehingga menyebabkan pembangkang mendapat manfaat yang besar
sama ada PPSMI diteruskan ataupun tidak!
- Sekali gus
menunjukkan pengenalan PPSMI tempoh hari merupakan bala ciptaan BN/UMNO
sendiri yang memberi kelebihan kepada pembangkang.
- Justeru perkara
sebegini memberi pengajaran yang sangat-sangat memahitkan kepada pihak
kerajaan supaya lebih berhati-hati, lebih berwaspada, lebih teliti dan
lebih bersedia untuk melaksanakan dasar-dasar baru yang membabitkan
kepentingan rakyat dan generasi rakyat seperti dasar pendidikan.
- Kerana ternyata
dalam beberapa aspek sekali pun, selepas perlaksanaan dasar tersebut, yang
akan mendapat sokongan ialah pembangkang juga andai dasar yang
dilaksanakan separuh masak!
Pendahuluan: Tarik tali
PPSMI
- Blog ini telah beberapa kali membincangkan bahasa[1].
- Sedari awal kewujudannya, PPSMI masih dilaksanakan lagi; sehinggalah dasar ini dicadangkan untuk dimansukhkan.
- Di peringkat penyokong kerajaan, UMNO Johor merupakan antara penentang dasar ini daripada dilaksanakan[2].
- Di peringkat pembangkang; nampaknya dasar ini beria-ia sungguh ditentang; namun tidak tahulah sama ada yang menentang itu disebabkan bahasa Inggerisnya (jadi bukan bahasa ibunda) yang dijadikan pengantar atau benar-benar hendak memartabatkan Bahasa Melayu.
- Masakan tidak, DAP sendiri suka menggunakan isu SJKC dipinggirkan, dianaktirikan; dan bukannya tuntutan agar SJKC menjadi sekolah kebangsaan yang menggunakan Bahasa Melayu.
- Di peringkat ahli akademik, PPSMI juga ditentang oleh Prof Diraja Ungku Aziz[3] dan Prof Shahrir Mohd Zain[4].
- Kemuncak penentangan adalah apabila tunjuk perasaan dilaksanakan mebabitkan parti pembangkang dan golongan pendesak yang diadakan bagi menyerahkan memorendum untuk memansukhkan PPSMI[5].
- Untuk rekod, sebelum kejayaan tunjuk perasaan tersebut, badan pendesak telah pun membuat satu piket di Sogo; akan tetapi, disebabkan tindakan mereka tidak menyertakan sekali pihak politik, piket tersebut kelihatan gagal.
- Bagaimanapun, apabila A Samad Said pun diajak berceramah di pentas PAS, pihak PR pun tumpang sekaki menyertai tuntutan tersebut; lain pula ceritanya.
- Perarakan dilakukan ke Istana Negara yang disertai oleh ribuan penyokong membuktikan betapa ramainya rakyat Malaysia yang menentang PPSMI.
- Tetapi, sama ada orang ramai yang ikut turut serta bergerak dalam tunjuk perasaan itu faham ke tidak akan perjuangan sebenar kumpulan penganjur, tidak dapat dipastikan.
- Setelah bertegas dalam 'perjuangan' mereka ini, akhirnya berbaloi juga hasilnya.
- PM Najib setuju untuk menggantikannya kepada dasar baru yang akronimnya panjang dan mengelirukan: MBMMBI; yang intisarinya adalah untuk mengembalikan semula pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu dan memperkasakan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris.
- Dasar tersebut dijadualkan berkuatkuasa 2012.
- Ramai bersorak kerana kejayaan mengembalikan martabat Bahasa Melayu.
- Namun, sorakan tersebut tidak bertahan; kembali sunyi.
Tuntutan PAGE
- Kini, wujud pula badan pendesak dengan hasil kajian mereka yang menyebut majoriti ibu bapa mahukan anak-anak mereka belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.
- Mereka saban hari mengemukakan hujah, dan keluar di media massa bagi merasionalkan pengekalan PPSMI.
- Mereka inilah yang digelar PAGE[6].
- Mereka mahukan ibu bapa diberi pilihan untuk menetapkan sama ada anak-anak mereka belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu (tak ke pening kepala cikgu nanti???).
- Hanya masa sahaja yang akan menentukan sama ada akan wujud pembabitan ahli politik yang mahu mempertahankan PPSMI.
- Oleh sebab itu, janganlah kita hendak hairankan kelak akan ada tunjuk perasaan, berarak ke Istana Negara, rumah Najib, parlimen, atau Kementerian Pelajaran bagi mempertahankan PPSMI.
- Macam yang penulis pernah utarakan sebelum ini, andai ditanya pendapat penulis, sudah tentu pandangan penulis memihak kepada Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu - semua sebab persekitaran pembelajaran penulis.
PAGE sendiri tak sokong
PPSMI dahulu??? – carilah sokongan ahli politik!
- Namun, secara politiknya juga, PAGE sendiri tidak langsung menyokong kerajaan semasa kerajaan sedang melaksanakan PPSMI.
- Mereka tidak bertindak membela kerajaan, melakukan langkah proaktif terlebih dahulu bagi merasionalkan mengapa PPSMI penting.
- Perjuangan mereka hanya kelihatan wujud setelah pengumuman PPSMI dimansukhkan.
- Dan kini, mereka berteriak dengan bersungguh-sungguh mahukan PPSMI dikekalkan - apa kehal?
- Apa ke halnya semasa orang dok beramai-ramai serbu istana negara PAGE ini tidak menjadi barisan hadapan untuk mempertahankan dasar negara?
- Kenapa sedari awal lagi PAGE tidak membuat kajian sendiri bagi menunjukkan bukti yang PPSMI berkesan?
- Sebagaimana yang telah dinyatakan tadi, hanya tunggu masa sahaja untuk perjuangan PAGE ini mendapat sokongan pihak politik.
- Mereka mestilah pandai membuat rapport dengan parti politik (tak kiralah kerajaan ke pembangkang) bagi membolehkan himpunan ramai, kaliber pemimpin untuk memperjuangkan PPSMI dalam sistem pendidikan negara.
- Soal parti politik itu, pandai-pandai parti tersebut untuk putar alam mengatakan mereka sokong PPSMI – sebab korupsi ke, sebab ketirisan ke, sebab ketaktelusan ke, soal kepentingan bangsa ke, soal kehendak ibu bapa ke, soal kemajuan negara ke, soal bahasa antarabangsa ke... itu mereka memang pakar dok buat hari-hari!
Kemelut BM di universiti
- Itu tadi cerita PPSMI.
- Bahasa Melayu juga hendak diperkukuhkan penggunaannya di peringkat universiti.
- Universiti tempatan telah digesa untuk menggunakan Bahasa Melayu dalam pembelajarannya.
- Malah, Menteri Pengajian Tinggi menyarankan untuk menjadikan kreteria kenaikan pangkat pangkat pensyarah membabitkan penerbitan bahan akademik dalam Bahasa Melayu.
- Pensyarah disaran untuk menerbitkan artikel jurnal dalam Bahasa Melayu supaya bahasa ini akan mampu dimartabatkan di peringkat yang lebih tinggi lagi.
- Malah, TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin pun menggesa Universiti Kebangsaan Malaysia menjadi pendulu kepada usaha menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
- Malangnya, hala tuju pengajian tinggi Malaysia bukan kesemuanya memihak ke arah menggunakan bahasa kebangsaan sendiri dalam sama ada penerbitan, persidangan, simposium dan lain-lain.
- Jurnal yang dipetik ISI[7]; begitulah antara gesaan pihak pentadbir universiti kepada bukan sahaja pelajar pascasiswazah malah kepada pensyarah sendiri bagi meningkatkan kedudukan universiti di dalam senarai universiti dunia kerana penerobosan artikel di senarai petikan ISI akan meningkatkan pemarkahan universiti di dalam senarai prestij tersebut.
- Sedangkan ramai yang sedia maklum, terbitan-terbitan yang dipetik oleh ISI majoritinya ditulis dalam bahasa Inggeris.
- Malah, bukannya mudah untuk menerbitkan artikel di dalam jurnal-jurnal yang dipetik oleh ISI kerana kreterianya mungkin tinggi, memerlukan masa yang panjang untuk diterbitkan kerana senarai akan terbitnya sudah berderet-deret; sehingga kadang-kala, hantar artikel tahun ini, tahun depan pun belum tentu terbit.
- Bukan hendak menidakkan keperluan penarafan dan pemarkahan (ranking & rating) universiti-universiti di Malaysia namun, keperluan memartabatkan ilmu Malaysia juga penting agar bidang akademik kita berkembang mengikut acuan kita dan dapat memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat kita sendiri.
Cadangan pangkalan data
keilmuan dalam Bahasa Melayu
- Justeru dengan kewujudan jurnal atau terbitan Bahasa Melayulah yang akan menjadi antara langkah yang boleh dilaksanakan bagi tujuan meningkatkan keupayaan Bahasa Melayu kerana penggunaan bahasa juga mencerminkan bangsa; bak kata pepatah, bahasa jiwa bangsa!
- Terbitan Bahasa Melayu bukan sahaja perlu diperkasa, malah perlu dirai oleh ahli akademik sendiri kerana apalah gunanya andai terbitan dalam Bahasa Melayu berlambak-lambak namun tidak pula dikaji, dipetik atau dimanfaatkan oleh ahli akademik sendiri.
- Oleh yang demikian, bagi merealisasikan seruan, gesaan Menteri Pengajian Tinggi dan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, satu pangkalan data terbitan Bahasa Melayu perlulah diwujudkan untuk menyediakan runag dan peluang ilmuan mengkaji, melapor dan menerbitkan hasil kajian dalam Bahasa Melayu.
- Selain itu, apabila wujudnya pangkalan data tersebut, universiti/IPT di Malaysia hendaklah mengambil kira terbitan dalam Bahasa Melayu pula dalam sebarang usaha penarafan institusi peringkat domestik. Hal ini bermaksud, setiap universiti perlu memastikan sama ada ahli akademiknya atau pelajarnya (pra atau pascasiswazah) menerbitkan tulisan yang dipetik oleh pangkalan data ini pula (iaitu mestilah dalam Bahasa Melayu).
- Pada masa yang sama, setiap IPT juga hendaklah diwajibkan untuk memetik sumber terbitan dalam Bahasa Melayu dalam setiap penulisan mereka tak kiralah penulisannya ini ditulis dalam Bahasa Melayu mahupun bahasa lain misalnya Inggeris.
- Dengan cara ini, artikel atau sumber dalam Bahasa Melayu akan dapat diperbanyakkan, kualitinya pula boleh dijaga dan impaknya pula akan dapat diperkenalkan dan diperluaskan.
- Juga akan menyebabkan makalah, tulisan dan buku-buku dalam Bahasa Melayu lebih diraikan oleh ahli akademik dan pelajar pengajian tinggi.
- Dan usaha sebegini pastilah memerlukan kerjasama kesemua institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia sama ada awam mahupun swasta seperti kewujudan jawatankuasa peringkat nasional untuk mengawal selia, dan menyunting terbitan-terbitan tersebut.
- Pangkalan data ini perlulah sentiasa dikemaskini bagi memastikan kekiniannya dan sentiasa releven.
- Setelah daripada itu, barulah kita boleh menjalankan usaha mengantarabangsakan terbitan kita ke luar negara, melibatkan sama institusi-institusi di alam Melayu dan Nusantara untuk menyertai dan membabitkan diri dalam terbitan berbahasa Melayu seterusnya diperluaskan lagi ke peringkat Asia dan dunia.
- Barulah usaha memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu menjadi lebih konkrit dan kelangsungan Bahasa Melayu dapat dipastikan dan diteruskan. Kemudian, usaha sebegini mampu meletakkan Bahasa Melayu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bahasa-bahasa ilmu yang lain seperti Bahasa Inggeris, bahasa Eropah dan Bahasa Jepun.
Sains, matematik dan bahasa
- Rumusannya, memartabatkan bahasa bukanlah semata-mata usaha berasingan ahli politik, ahli akademik, pihak kerajaan dan pihak institusi sahaja sebaliknya perlu digembleng bersama-sama agar sinergi antara semua pihak dapat diwujudkan dan kelebihan masing-masing akan dapat diteroka dan dimanfaatkan bersama.
- Soal pembelajaran Sains dan Matematik merupakan satu contoh apabila gangguan politik berjaya menjadikan sistem pendidikan huru-hara tanpa sebarang ketentuan. Janganlah hendaknya setelah tiga empat tahun kedua-dua subjek ini diajar dalam Bahasa Melayu selepas perlaksanaan MBMMBI, dasar ini ditukar semua; semuanya disebabkan intervensi ahli politik.
- Malah, pemberatan ‘Sains dan Matematik’ memperlihatkan betapa sistem pendidikan, dasar kerajaan dan ahli masyarakat Malaysia terlalu pentingkan sangat kedua-dua subjek tersebut seolah-olah Bahasa Melayulah Sains dan Matematik dan Sains dan Matematik itu ialah Bahasa Melayu.
- Sedangkan bahasa ialah medium, perantara, penyampai kepada hasrat dan matlamat kelimuan kedua-dua bidang tersebut.
Realiti Bahasa Melayu di
segenap aspek di Malaysia
- Bagaimanakah pula dengan bidang-bidang lain, perundangan misalnya yang mana sehingga kini pun, masih banyak menitikberatkan Bahasa Inggeris?
- Hujahan peguam/pendakwa, hujahan kehakiman masih banyak yang ditulis dalam bahasa Inggeris sampaikan Karpal Singh[8] pun berani pertikaikan hujah kehakiman sebagai ‘melanggar tuntutan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Bahasa Melayu pada tempat yang unggul.’ Bidang undang-undang di universiti misalnya masih menekankan keputusan Bahasa Inggeris sebelum dipertimbangkan dan penulisan dalam Bahasa Inggeris juga semasa mengikutinya.
- Begitu juga dengan bidang-bidang selain Sains dan Teknologi; pengantar yang dititikberatkan ketika di peringkat universiti berubah kepada Bahasa Inggeris, misalnya pentadbiran perniagaan, ekonomi, politik dan teknologi maklumat. Yang mungkin kekal ialah Sejarah dan Pengajian Islam, itu pun atas sebab-sebab yang tertentu, ada subjek Pengajian Islam yang memerlukan subjek diajar dalam Bahasa Arab.
- Bahasa Melayu sekadar dijadikan bahasa untuk TITAS, pengajian kenegaraan dan mungkin subjek-subjek am sahaja.
- Malah, ada universiti yang berorientasikan membantu bangsa Melayu namun tidak pula menggunakan pengantar dalam Bahasa Melayu. Paradoks apakah yang sesuai untuk kita namakan keadaan ini?
- Bukanlah menidakkan penggunaan Bahasa Inggeris untuk kegunaan pendidikan, cuma usaha juga perlu dilakukan untuk mengangkat pembudayaan Bahasa Melayu dalam segenap bidang yang wujud di peringkat pengajian tinggi.
- Kalau bukan keseluruhannya yang boleh dilaksanakan, jangan pula ditinggalkan langsung. Oleh sebab itu, pembangunan pangkalan data ilmu dalam Bahasa Melayu haruslah dilaksanakan dan diperkasakan.
- Agar usaha memartabatkan Bahasa Melayu bukan sekadar bertanam tebu di pinggir bibir, yang mana ahli bahasa, sasterawan dan mereka yang berkaitan hanya diambil peduli, digunakan dan disokong dengan sebab-sebab politik sahaja sedangkan selepas itu, menghilang begitu sahaja.
Diskriminasi bahasa di alam
pekerjaan[9]
- Itu pun belum lagi cerita sektor pekerjaan apabila Bahasa Melayu ‘diputusnasabkan’ langsung dalam keperluan bahasa semasa temu duga lantaran bahasa lain yang menjadi nilai tambah yang bererti.
- Memang betul, tak akan hilang kemelayuan Melayu yang berbahasa Melayu, tetapi tidak akan hilang juga identiti bangsa dan syarikat tersebut senadainya kakitangannya berbahasa Melayu.
Mana mereka yang
‘memperjuangkan bahasa?’
- Apabila kita bercerita tentang Bahasa Melayu, bukan cerita tentang bangsa Melayu semata-mata melainkan kedudukan dan kepentingannya yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
- Mengapa pejuang mansukh PPSMI tidak pula berarak bawa keranda melintasi Jalan Bukit Bintang, Jalan Sultan Ismail, sekitar KLCC bagi memprotes iklan-iklan yang ditulis dalam Bahasa Inggeris – andai benar Perkara 152 itu benar-benar hendak diperjuangkan?
- Atau buat protes besar-besaran ketika persidangan ekonomi dan kewangan domestik mahupun peringkat antarabangsa yang diadakan di Malaysia sendiri kerana sangat-sangatlah cenderung menggunakan Bahasa Inggeris.
- Bukankah perkara-perkara sedemikian turut mencabuli dengan serakus-rakusnya Perkara 152 itu?
Penutup bicara
- Pendek katanya, usaha memartabatkan Bahasa Melayu memerlukan sokongan semua pihak sama ada pihak kerajaan, institusi, pelajar institusi dan lebih-lebih lagi ahli politik.
- Kerana kebanyakkan ahli politik kita pandai mengambil peluang dan ruang.
- Suka berbicara umpama mahir bersepak dan terajang,
- Apabila matlamat dan hasrat politik tercapai.
- Jadilah dia (terhadap pejuang bahasa) daripada ‘Hai-hai’ kepada ‘Bye-bye!’
[1] Misalnya di blog ini bertajuk Bahasa
kita tanggungjawab kita, Bahasa
oh bahasa, Kata
permainan bicara dan Halal-haram:
Antara hukum, perlaksanaan dan implikasi serta blog yang satu lagi
seperti Apabila
sastera dipolitikkan.
[2] Lihat Abdul Ghani Othman, Hidup Melayu Bersatu, (Johor Bahru:
Pejabat Menteri Besar Johor, 2009), 109-127. Misalnya dalam konvensyen UMNO
yang menggesa agar peranan Bahasa Melayu dikembalikan semula ke tempat asalnya
dan hal inilah juga yang dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO. Beliau
mendedikasikan satu bab di dalam buku tersebut membincangkan isu bahasa.
[3] Prof Diraja Ungku Aziz menyifatkan dasar
PPSMI ini sebagai ‘gila.’ Lihat Isahak Haron, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz
yang kukenal, dlm. Hashim Yaacob et al., The
Renaissance Man (KL: UM Press, 2010), 144.
[4] Malah, Dr Shahrir Mohd Zain sendiri
bertindak sebagai Timbalan Pengerusi badan penekan yang digelar Gabungan
Mansuhkan PPSMI.
[5] Perarakan ini berlaku pada 7 Mac 2009 yang
digelar sebagai ‘Perarakan Keranda 152.’ Antara ahli politik yang menyertainya
ialah Sahibul Fadhilah Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Nasharuddin Mat Isa dan
‘pejuang tokoh merdeka’ Mohamad Sabu.
[6] Perjuangan mereka pun menggunakan
kata-kata ‘demi anak bangsa!’ Lihat laman web rasmi mereka di http://www.pagemalaysia.org/news.php.
[7] Institute of Scientific Knowledge milik
syarikat multibilion dolar Amerika, Thomson Reuters. Setiap tahun, ISI sendiri
akan mengeluarkan artikel berkaitan faktor impak (impact factors) untuk setiap
terbitan yang dipetik olehnya dan faktor impak inilah yang menjadi penanda aras
taraf atau perkiraan prestij jurnal-jurnal tersebut.
[8] Namun Karpal Singh sendiri menzahirkan rasa
malu apabila ada dikalangan YB yang kurang fasih berbahasa Inggeris menunjukkan
betapa oppurtunisnya peguam ini dalam ‘memperjuangkan Bahasa Melayu’ dan
janganlah disangka yang beliau ialah seorang ‘pejuang bahasa’.
[9] Isu ini turut dibincangkan oleh MB Johor
Dato’ Abdul Ghani Othman sebagai diskriminasi siswazah Melayu hanya sebab
dikatakan tidak fasih berbahasa Inggeris dan keperluan Bahasa Mandarin sebagai
prasyarat memasuki alam pekerjaan sebahagian syarikat di Malaysia. Lihat Abdul
Ghani Othman, Hidup Melayu Bersatu,
98-101.