Thursday, November 27, 2008

Bahasa kita tanggungjawab kita

Pengenalan

“Kuasa yang lebih keras adalah lebih baik daripada kuasa yang lebih baik.” Rakan penulis terbahak-bahak dek akan kejanggalan ayat tersebut sehingga menyebabkan penulis sendiri turut serta ketawa. Mengapakah ayat sampai tahap sebegitu rupa? Akan tetapi, kalau kita benar-benar amati, apakah ayat yang lebih sesuai untuk terjemahan sedemikian rupa. Itulah yang disiarkan dalam Berita Harian, 1 November 2008, ruangan Rencana dengan tajuk “Persepsi berbeza Asia, Eropah soal bakal Presiden AS” oleh Dominique Moisi. Penulis andaikan rencana ini merupakan satu rencana terjemahan hasil kerjasama Berita Harian dengan apa yang dikatakan sebagai “Projek Syndicate 2008”.

Isu bahasa merupakan salah satu isu yang sering juga dilemparkan dalam dada-dada akhbar. Daripada isu bahasa SMS, bahasa rojak, pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, memartabatkan bahasa, papan tanda bahasa selain Bahasa Malaysia, penggunaan bahasa pasar dalam parlimen, sekolah berbahasa selain bahasa kebangsaan dan sebagainya. Kesemua persoalan yang dijelmakan itu penulis dapat rumuskan sebagai “kelangsungan Bahasa Melayu dalam menghadapi cabaran masa hadapan di Malaysia” Sebab apa Malaysia? Sebab penulis adalah rakyat Malaysia dan sepanjang pengetahuan penulis, isu bahasa ini bukanlah isu yang besar di negara lain (sila betulkan andai salah)

Sebagai bekas pelajar di Universiti Malaya, kajian ilmiah (disertasi) penulis adalah dalam Bahasa Inggeris. Antioxidant study of Curcuma longa Disebabkan ditulis dalam Bahasa Inggeris, sudah tentulah penyampaian semasa pembentangan kajian juga dalam Bahasa Inggeris. Banyak kuliah penulis juga dalam Bahasa Inggeris, walaupun tidak dinafikan ada juga dalam Bahasa Melayu/Malaysia. Penulis sebenarnya tidak begitu memberati sama ada perlu dibuat dalam bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris. Malah, penulis tidak begitu cekap berbahasa Inggeris. Namun, setiap masalah yang wujud sebenarnya adalah cabaran untuk penulis. Penulis akui, penulis jauh lebih selesa berbahasa Melayu berbanding bahasa Inggeris.

Andai sesuatu artikel satu muka surat yang penulis hasilkan adalah dalam bahasa Inggeris, masa yang diperlukan untuk menulis artikel tersebut hampir dua kali ganda berbanding masa yang diperlukan untuk menulis dalam Bahasa Melayu. Tetapi, andai berkesempatan dan ada kesanggupan, penulis cuba juga menulis dalam Bahasa Inggeris. Banyak buku-buku yang penulis baca adalah dalam Bahasa Inggeris. Karya-karya Sardar, Nasr, Alatas, Al-Attas, Mahathir Mohamad, Muhammad Abdul Rauf dan A. Kadir Jasin kebanyakkannya berbahasa Inggeris. Sedangkan Anwar Ibrahim yang lulusan Pengajian Melayu pun menulis Asian Renaissance dalam Bahasa Inggeris.

Kalau penulis hendak sentuh isu bahasa, memang panjang lebar jawabnya. Namun, penulis cuba ringkaskan sebaik mungkin. Apa yang lebih penting adalah perkongsian pendapat agar apabila tiba masanya, isu-isu ini dapat kita selesaikan bersama-sama. Mungkin penulis hanya melontarkan pandangan, mungkin diterima atau mungkin tidak. Namun, apa yang penting adalah perkongsian pandangan. Moga semua dapat manfaat bersama dan boleh saling memberi pandangan yang membina.

Solat atau Sembahyang?

Isu ini merupakan isu yang sangat hangat terutamanya setelah roh Islami bangkit dan subur mekar dalam masyarakat Melayu Muslim Malaysia. Penulis istilahkan keadaan ini sebagai pengaraban istilah dan budaya melayu (perlu dibezakan dengan pengIslaman budaya atau Islamisasi budaya atau Islamisasi Ilmu yang dicananag oleh Almarhum Ismail Raji’ Al-Farouqi dan/atau Naquib Al-Attas.) Hal ini berlaku disebabkan oleh timbulnya rasa roh Islam dengan mengarabkan sesuatu yang sedia ada. Disamping itu, terdapat juga pendapat yang mana kita perlu mengadaptasi sepenuhnya nahu atau tatabahasa kata pinjaman dengan sepenuhnya supaya maksud dipelihara.

Contoh pertama, contoh popular iaitu sembahyang adalah bahasa sanskrit dan solat adalah “bahasa Islam” (yang sebenarnya bahasa Arab). Hal ini juga nyata dalam pemikiran Abdullah Hussein dalam karyanya Imam, 2003 melalui wataknya Imam Haji Mihad yang bertegas menggunakan istilah solat kerana sembahyang mempunyai konotasi penyembahan dewa.

Begitu halnya dengan Tuhan lebih betul kalau diganti dengan istilah Ilah atau Rabb atau Allah. Timbullah gaya ayat “Tiada Ilah selain Allah” atau “Tiada Rabb selain Allah” (dan penulis sendiri terfikir kenapa tidak pula diwar-warkan pula Tiada Allah selain Allah?)

Contoh kedua ialah istilah Islam Hadhari yang dibawa oleh bakal bekas Perdana Menteri Malaysia kelima, Pak Lah. Idea beliau ditentang hebat oleh pihak seterunya dengan mengatakan bahawa Islam Hadhari adalah satu istilah baru seakan-akan bidaah yang boleh menjerumus orang ke arah kesesatan. Malahan ada sebuah buku yang diterbitkan bagi membidas penggunaan istilah ini dengan tajuk “Hadarah Islamiyyah, bukannya Islam Hadhari”

Satu lagi contoh penting ialah istilah muhrim bagi golongan yang haram seseorang itu berkahwin dengannya. Istilah yang lebih tepat yang dicadangkan ialah mahram kerana muhrim sebenar-benarnya merujuk kepada orang yang berihram untuk haji atau umrah. Maka timbul juga isu yang sangat besar mengenai hal ini sehingga memaksa perubahan dilakukan sehingga menyebabkan perubahan besar dalam istilah sumbang muhrim kepada sumbang mahram. Tekanan yang diberikan sememangnya membawa kejayaan dan hal ini dapat dilihat dalam penulisan akhbar utama kini yang cenderung menggunakan istilah mahram berbanding muhrim bagi perkara tersebut.

Isu-isu sebegini mahu tidak mahu sepatutnya dimasukkan dalam ruang lingkup bahasa juga. Walaupun pada dasarnya isu ini dilihat isu Islamik, sebenarnya isu ini lebih menjurus kepada bagaimanakah bahasa Melayu menghadapi adaptasi pengaraban terutamanya daripada pihak yang memperjuangkan agar penggunaan istilah dengan betul menurut “cara Islam” (atau sebenarnya lebih kepada nahu atau tatabahasa arab). Pada golongan ini, adalah penting untuk umat Islam sekarang ini beradaptasi dengan nahu sebenar Arab dan istilah sebenar Islam dan perlulah menjadikan apa sahaja pengistilahan Islam berbentuk Islam sepenuhnya.

Penulis tidak berniat untuk membangkang; kalau menyentuh pengistilahan “kurang Islamik” atau “lebih Islamik”; kurang betul dan lebih betul nescaya bukanlah penulis orang yang hendak menyanggahinya. Ilmu bahasa penulis tidak sampai ke mana. Namun, ingin penulis berkongsi pendapat yang penulis sendiri peroleh daripada pembacaan terhadap buku yang disusun oleh tokoh ilmuan Islam yang tidak kurang hebatnya.

Almarhum Hamka dalam Prof Dr. Hamka Membahas Kemusykilan Agama ada menerima persoalan yang sama; solat atau sembahyang dan Allah atau pun Tuhan dan nyata sekali pada pandangan beliau, istilah sembahyang dan solat bagi merujuk kepada perlakuan tertentu yang dimulai dengan takbir dan diakhiri dengan salam itu sebenarnya sama sahaja. Malah beliau tidak pula melarang penggunaan kata sembahyang kerana sudah dalam budaya Melayu bahawa sembahyang itulah merujuk kepada solat. Beliau juga berhujah akan batu bersurat yang dijumpai di Terengganu yang membawa kepada kesimpulan bahawa Islam telah hadir di Tanah Melayu dengan tulisan “Dewatha” pada batu tersebut merujuk kepada Tuhan iaitu Allah! Maka apakah kurangnya istilah sembahyang itu berbanding solat?

Ibrahim Ismail pula dalam “Isu Islam Semasa” juga mengutarakan satu tajuk yang provokatif, “Ada apa pada bahasa?” (Sila baca buku ini bagi mendapatkan penjelasan tentang tajuk ini, ulasan beliau meliputi istilah “alim-ulama” dan sebagainya.) Beliau berhujah bahawa selain ibadat sembahyang (atau solat) dan bahasa Al-Quran sendiri, tiadalah yang membataskan penggunaan bahasa dalam sebarang bentuk pembangunan dan aktiviti kehidupan semata-mata menurut bahasa Arab. Beliau ada mengutarakan konteks bahasa kini dicipta dan diekspolitasi oleh golongan tertentu untuk menggambarkan identiti penggunanya sama ada satu kelompok penutur bahasa Melayu yang lebih beragama atau sebaliknya.

Pandangan kedua-dua tokoh ini kepada penulis adalah penting untuk kita nilai. Pengaraban istilah dengan sepenuhnya tidak akan menjadikan seseorang itu lebih Islamik. Islam tidak dilihat daripada patah perkataan yang diucapkan sama ada lebih Arab atau tidak. KeIslaman seseorang itu lebih terbina daripada cara berbicara sama ada sopan atau tidak. Adakah seseorang itu dikatakan Islamik andai dalam tutur katanya penuh dengan kosa kata Arab dan dalam masa yang sama penuh juga dengan makian dan cacian?

Begitu halnya dengan bahasa. Andai kita benar-benar hendak “mengIslamkan” istilah kita, maka bukan sembahyang-solat sahaja yang menjadi isu. Bagaimanakah pula dengan istilah-istilah sanskrit lain yang sebenarnya mempunyai konotasi kedewaan sebelum pengIslaman masyarakat Melayu di Nusantara dahulu? Bagaimana pula dengan istilah dosa, pahala, syurga, neraka, puasa. Adakah sama istilah-istilah tersebut dalam konteks Islam dibandingkan dengan konteks kedewaan Hindu pra-Islam dahulu?

Malah,andai dilihat dari satu aspek lagi, kita sekarang cenderung pula menggunakan istilah “reformasi” bagi perubahan ke arah “kebaikan” sedangkan istilah itu sebenarnya wujud dalam ruang lingkup kegerejaan pada zaman pertengahan (medieval) semasa berlaku pertelingkahan golongan Katholik dan Protestant. Adakah reformasi yang dilaung-laungkan sekarang ini mempunyai konotasi berkait dengan gereja dan agama Kristian? Andai begitu, mengapakah kita menggunakan istilah tersebut kerana istilah ini pada asalnya mempunyai maksud kekristianan!

Dalam hal ini, penulis suka memilih jalan bersederhana. Besederhanalah kita dalam segala perkara. Jangat taksub membabi buta (istilah babi pun menjadi isu suatu ketika dahulu kerana khinzir kedengaran lebih “Islamik” sementara babi pula sebenarnya istilah tulen Bahasa Melayu – apakah penting Islamiknya atau kearabannya istilah tersebut sedangkan akhirnya merujuk kepada haiwan yang haram dimakan, najis berat lagi haram itu).

Dalam setiap perkara pun, budaya terdahulu bukan terbentuk secara ad hoc sebaliknya mendapat penyesuaian yang memakan masa yang lama. Selagi diri sendiri tidak bertindak untuk melakukan sesuatu yang berkait dengan mempersekutukan Allah, penulis kira kita perlu berserdehana dalam menegakkan pandangan kita tentang istilah. Jangan kita sempitkan perkara yang luas kerana kelak yang susah adalah diri sendiri dan umat Islam juga. Allah Maha Mengetahui akan segala-galanya lagi Maha Luas Pengetahuan-Nya.

Pengajian Sains, Matematik dan Bahasa

Beberapa ketika kebelakangan ini, sejak kerajaan menetapkan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, pelbagai reaksi timbul dan reaksi demi reaksi ini tidak pernah surut daripada diperkatakan saban masa. Pihak kerajaan begitu mempertahankan dasar tersebut dengan memberikan bukti mereka melalui keputusan peperiksaan awam yang dijalankan. Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris juga dilihat sebagai salah satu cara untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris oleh pelajar-pelajar.

Sementara satu pihak lagi (yang terdiri dari pelbagai latar belakang) menentang habis-habisan dasar ini kerana dasar ini dilihat mendatangkan masalah terutamanya bagi pelajar luar bandar. Selain itu, bagi pejuang bahasa misalnya, dasar ini dilihat sebagai mengagungkan keagungan (superiority) Bahasa Inggeris dan menindas Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan.

Pelbagai usaha telah dilakukan/terpaksa dilakukan bagi memenuhi dasar kerajaan bagi pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Guru-guru yang telah lama berkhidmat misalnya terpaksa/dipaksa menjalani “kursus” tambahan bagi memantapkan penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran kedua-dua subjek tersebut. Buku teks rasmi pula terpaksa digubal semula dan dicetak baru untuk diedarkan kepada sekolah-sekolah dan pelajar. Hal ini memberikan implikasi seolah-olah berlakunya Gestalt switch dalam sistem pendidikan negara yang menyebabkan pelajar dan guru dituntut untuk beradaptasi dengan perubahan yang berlaku.

Ada juga yang membangkitkan kesukaran pelajar memahami apa yang diajar oleh guru. Pelajar-pelajar terutamanya di luar bandar didakwa mempunyai masalah untuk menuruti pembelajaran dalam Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sehingga menyebabkan keinginan mereka untuk meceburi bidang tersebut terbantut. Kesan ini dikatakan berbeza di bandar-bandar kerana pelajar kononnya telah beradaptasi dengan cara dan gaya hidup bandar yang sedikit sebanyak mengadaptasikan mereka dengan penggunaan bahasa Inggeris.

Guru juga memberi pandangan dalam hal ini. Ada yang menyokong ada juga yang tidak. Ada guru yang mengatakan mereka mengalami masalah bagi mengajar subjek-subjek tersebut kerana mereka terdahulu mempelajarinya dalam bahasa ibunda. Ada yang mendakwa mereka terpaksa bekerja dua kali ganda kerana perlu mengubah cara pengajaran mereka bagi menyesuaikan keadaan mengajar dalam persekitaran bahasa Inggeris. Tidak kurang bagi mereka-mereka yang terpaksa pula mengikuti “kelas tambahan” bagi menguatkan lagi asas Bahasa Inggeris mereka agar mereka boleh mengajar dengan baik.

Begitulah senario bahasa dan Sains dan Matematik. Sehingga kini, masih terdengar laungan pihak-pihak tertentu betapa pembelajaran dua subjek tersebut perlu dikembalikan dalam Bahasa Melayu. Mereka memperjuangkan habis-habisan agar kerajaan mengkaji semula keberkesanan perubahan bahasa dan mengembalikan status Bahasa Melayu ke tempatnya.

Penulis secara jujur cenderung kepada pembelajaran kedua-dua subjek tersebut dalam Bahasa Melayu. Andai penguasaan Bahasa Inggeris yang menjadi permasalahan, seharusnya langkah memperkasakan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris itu sendiri yang sepatutnya diperbaiki. Maklumlah, sehinggakan ada laporan kejadian guru Bahasa Inggeris yang mengajar past tense bagi put (letak) ialah putted! Tidak tahu sama ada guru ini memang ditauliah mengajar Bahasa Inggeris ataupun guru yang pengkhususannya mengajar subjek lain, namun di sekolah terpaksa mengajar Bahasa Inggeris – penulis istilahkan sebagai guru desperado.

Akan tetapi, pastilah pandangan penulis akan berkecenderungan (bias) kerana latar belakang penulis sendiri lahir dari persekitaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu. Penulis adalah antara sesi terakhir yang menggunakan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu. Namun begitu, penulis sendiri kurang setuju dengan dorongan agar dasar ini dikembalikan kepada asal dalam keadaan tergesa-gesa. Kenapa?

Sebab utamanya adalah ketergesaan kerajaan membuat polisi penukaran bahasa jugalah yang menyebabkan permasalahan sekarang timbul. Kerajaan dilihat seolah-olah tidak mengambil kira pandangan orang lain yang dari awal lagi menentang perubahan bahasa ini sehingga menyebabkan keadaan sekarang kelam-kabut. Akhirnya, golongan-golongan ini masih lagi menyuarakan pendapat mereka dan mereka juga mempunyai hujah-hujah mereka sendiri yang rata-ratanya kuat. Oleh yang demikian, adakah akan berlaku perbezaan andai kerajaan secara tergesa-gesa sekali lagi menukar kembali pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu semula. Sudah tentu! Masalah lain pula akan timbul. Buku teks, gaji guru (hendak dikurangkan kah insentif Bahasa Inggeris Sains dan Matematik?) silibus, rangka kerja. Semua perkara tersebut PERLU diambil kira dalam mengubah dasar. Adakah guru terpaksa menterjemahkan buku teks yang dalam bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu pula andai buku teks tidak ditukar?

Setiap keputusan ad hoc belum tentu memberikan kesan yang baik pada jangka masa panjang. Mengapakah kita sentiasa melaung-laungkan istilah Kaizen dalam kursus motivasi (walhal istilah tersebut sebenarnya bukan lahir dari latar belakang motivasi; akan tetapi lahir dari latar belakang industri) namun tidak pula kita aplikasikan “penambahbaikan secara berterusan walaupun sedikit” itu dalam sistem pendidikan negara. Mungkin benar kerajaan membuat kekhilafan dalam dasar namun andai segala-galanya bertukar, adakah akan selesai jua segala-gala masalah?

Penulis ingin menyampaikan pandangan daripada salah seorang bekas guru (sekarang bertugas di Kementerian Pelajaran Malaysia, Putrajaya) bahawa adakah dasar itu yang hendak dipersalahkan seandainya guru yang mengajar subjek-subjek tersebut yang tidak dapat mengajar dengan baik dalam Bahasa Inggeris? Kedengaran pandangan ini keras namun itulah hakikatnya. Penulis yakin bahawa sebagai bekas seorang guru, beliau faham dengan situasi yang berlaku sekarang ini. Namun pada pandangan beliau, adakah kita perlu mengubah segala-galanya andai berlaku kekurangan yang sebenarnya boleh diperbaiki?

Isu bahasa dan pengajian Sains dan Matematik sebenarnya salah satu polemik yang penulis ingin ulaskan. Seterusnya penulis ingin ulaskan permasalah memartabatkan bahasa pula dalam konteks tatabahasa bagi mereka-mereka yang melaung-laungkan memartabatkan Bahasa Melayu.

Prof. Datuk atau Datuk Prof?

Sebagai bekas pelajar Universiti Malaya, universiti tertua di Malaysia, penulis dapati satu perkara pelik yang berlaku semasa penulis mengikuti pembelajaran di universiti tersebut. Bagaimanakah sebuah universiti yang mempunyai sebuah Akademi Pengajian Melayu (khusus untuk pembelajaran Melayu dan bahasa Melayu) dapat berambiguiti dalam penggunaan tatabahasa? Penulis bukan seorang penuntut pengajian bahasa sebab itulah penulis pelik. Yang manakah istilah yang betul? Prof Datuk atau Datuk Prof? Prof Tan Sri atau Tan Sri Prof? Mengapakah Datuk Prof Dr. Hashim Yaacob dan kenapa pula Prof Datuk Dr. Razali Agus (NC dan TNC pada masa penulis belajar)

Nampak macam remeh tetapi hakikatnya itulah susunan bahasa. Pangkat mana yang didahului dan pangkat mana yang menuruti. Hukum DM. Pada penulis perkara ini penting kerana kalau tidak, kita sebenarnya membolehkan penggunaan perkataan seperti ekspres bas, cili sos, goreng pisang (pelik juga kenapa boleh pula timbul istilah makanan “goreng pisang”, tidak pula “goreng keledek”, “goreng cempedak?”). Dalam akhbar selalunya ada perbezaan; Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (lebih popular susunan begini) atau Tengku Datuk Seri Adnan Tengku Mansor (pelik bunyinya namun sepatutnya susunan kedua ini yang betul). Atau mungkinkah sebagaimana kes Perdana Menteri (yang sepatutnya Menteri Perdana) kes susunan perkataan Datuk Seri Tengku Adnan diberikan pengecualian?

Hal inilah yang penting untuk diselesaikan oleh pakar bahasa. Ya, kita perlu memartabatkan bahasa namun memartabatkan bahasa juga perlu kepada kekuatan tatabahasa yang baik, barulah bahasa benar-benar termartabat! Penulis masih ingat lagi masalah “ramai orang” dan “banyak orang”; saling berubah hukumnya. Sekejap, orang hanya boleh guna perkataan “ramai” , sekejap lagi “banyak orang” sebenarnya boleh. Begitu halnya dengan perkataan “mengenai” dan “tentang”. Kononnya sebagai contoh “saya bercerita mengenai” tidak boleh digunakan kerana mengenai merujuk kepada sesuatu yang mengenakan (sepatutnya saya bercerita tentang) Tetapi banyak sahaja ayat-ayat dalam akhbar dan buku sendiri yang menggunakan istilah mengenai! Belum lagi istilah kecapaian, beda, ya ampun! yang sebenarnya ada asosiasi dengan Bahasa Indonesia.

Sebagai seorang yang cintakan (atau cinta akan; yang mana satu betul?) Bahasa Melayu, penulis kira hal-hal asas sebegini perlu diselesaikan dahulu. Bagaimana mungkin kita memartabatkan bahasa dalam erti kata sebenar andai ayat dalam tulisan rasmi mahupun akhbar tunggang-langgang! Adakah kita perlu membolehkan kesilapan sebegini sedangkan andai kita tegar mempelajari Bahasa Inggeris mahupun Arab, amat penting untuk seseorang itu memahami tatabahasa! Oleh sebab itu, penulis kira perlulah hal-hal ini diselesaikan dahulu dan diberi perhatian serius sebab tiada orang yang akan mempertahankan bahasa selain bangsanya sendiri!

Kita juga sudah menghadapi masalah orang Melayu yang lebih selesa berbahasa Inggeris berbanding Bahasa Melayu. Guru Bahasa Inggeris penulis (sebelum mengajar dahulu, beliau membuat Linguistic English di New Zealand) pernah melahirkan rasa jelek dengan perangai anak buahnya yang gemar menonjolkan diri ala-kebaratan dan keinggerisan sedangkan mereka berbangsa Melayu.

Penulis setuju sangat usaha memartabatkan Bahasa Melayu. Bahasa kita memang menjadi tanggungjawab kita untuk kita pertahankan. Bahasa adalah alatan penting untuk penyampaian ilmu dan maklumat dan sebagai wadah bicara untuk menyuarakan pendapat. Namun, setiap usaha yang kita lakukan, hendaklah selaras dan seiring dengan matlamat sebenar. Janganlah kita salahkan sistem pendidikan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris kononnya menghakis identiti kemelayuan sedangkan kita tutup sebelah mata pula apabila akhbar utama kita dengan sewenang-wenangnya melaporkan dengan tatabahasa yang tunggang-terbalik. Permasalahan tatabahasa perlulah diselesaikan segera oleh pakar bahasa agar penerangannya disampaikan kepada rakyat semua supaya penggunaan ayat kelak menjadi lebih sempurna. Selepas itu, barulah kita boleh berbicara tentang martabat Bahasa Melayu. Bagaimanakah pula dengan bahasa rojak dan bahasa SMS?

Yg mn st btul?

Permasalahan bahasa SMS dan bahasa rojak merupakan satu lagi cabaran yang dihadapi dalam isu bahasa. Secara realitinya, bahasa SMS merupakan satu hal, bahasa rojak merupakan satu hal lagi. Namun, kedua-duanya merupakan pencerobohan terhadap Bahasa Melayu. Misalnya, bahasa singkatan yang sewenag-wenangnya mungkin membawa negara kita sebagaimana Indonesia; semua istilah mahu disingkatkan sehingga rakyat sendiri mungkin jadi tidak faham! Korsel sebagai Korea Selatan, SBY sebagai Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan sebagainya.

Malang sekali, bahasa kependekan ini telah menular sehingga ke dalam pembelajaran pelajar di sekolah. Istilah yg, tp, nape krn digunakan untuk menjawab soalan-soalan peperiksaan! Penulis sarankan agar semua pihak (ibu bapa, guru dan pejuang bahasa) perlu mengambil peranan bagi menyelesaikan masalah bahasa kependekan ini. Akhbar juga perlu memain peranan untuk menyediakan laporan yang baik dan tidak dicampur dengan bahasa-bahasa kependekan terutamanya dalam ruangan tabloid hiburan.

Turut menjadi masalah ialah bahasa rojak. Bahasa rojak kini bukan sahaja menular ke dalam Bahasa Melayu, juga dalam Bahasa Inggris. Sehingga wujud istilah Manglish (Malaysian English – sebagaimana Singlish untuk Singaporean English). Penulis sebagai orang muda juga tidak terkecuali terikut-ikut juga keadaan sebegini. Disebabkan itu, penulis cuba sedaya upaya menjadikan penulisan sebaik mungkin tanpa terlalu banyak bercampur bahasa.

Di sinilah keperluan pakar bahasa. Seharusnya pakar bahasa cuba mencari istilah yang lebih sesuai digunakan dalam Bahasa Melayu bagi menerangkan Bahasa Inggeris. Lebih-lebih lagi, begitu banyak sekali istilah baru yang diwujudkan disebabkan perkembangan sains dan teknologi yang menyebabkan keperluan penterjemahan bertambah penting. Istilah seperti laman sesawang, cakera liut, Teluk Danga merupakan satu permulaan yang baik.

Cadangan penulis adalah memperkasakan penterjemahan. Ambil contoh buku agama; suatu masa dahulu, agak sukar untuk memperoleh buku agama yang benar-benar ditulis mengikut gaya bahasa Bahasa Melayu Malaysia. Hal ini disebabkan lebih banyak buku-buku agama yang diterbitkan di Indonesia dibawa masuk ke Malaysia. Oleh yang demikian, gaya bahasa Indonesianya masih dikekalkan dan sememangnya merupakan satu cabaran untuk seseorang pembaca yang ingin memahaminya dalam gaya bahasa Malaysia. Tafsir Al-Quran misalnya, Tafsir H. Mahmud Yunus lebih dahulu beredar di Malaysia dengan banyaknya berbanding Tafsir Pimpinan Ar-Rahman (terbitan awal tafsir ini dalam tulisan jawi). Namun kini, nampak sungguh perubahan ketara apabila begitu banyak penerbit tempatan yang menerbitkan buku-buku agama ini yang ditulis oleh ulama Malaysia dan dalam gaya Bahasa Melayu Malaysia.

Mungkin dari segi penterjemahan, Indonesia sememangnya jauh meninggalkan Malaysia. Penulis pernah menjumpai The Interpertation of Dreams yang ditulis oleh Sigmund Freud diterjemahkan dalam Bahasa Indonesia namun masih tidak dapat menjumpai judul yang sama yang diterjemah dalam Bahasa Melayu Malaysia terbitan Malaysia. Disebabkan itulah, penterjemahan buku-buku ilmiah amat penting kerana penterjemahan menjadi medium untuk penguasaan ilmu. Hal ini terbukti pada zaman kegemilangan Islam, karya-karya yang ditulis oleh zaman Yunani diterjemah ke dalam Bahasa Arab dan dengan penterjemahan sebeginilah umat Islam pada zaman keemasan menguasai dunia melalui adaptasi dan asimilasi ilmu pengetahuan. Penterjemahan bukan sahaja akan memberikan kepada kita ilmu pengetahuan baru malah akan mengkayakan bahasa kita dengan istilah baru.

Penutup: Cadangan dan Harapan.

Penulis sekali lagi menegaskan bahawa dalam menghadapi sebarang permasalah, beserdehana merupakan sikap yang terbaik bagi mengelakkan kewujudan pihak eksteam pada mana-mana pihak. Memang beserdehana nampak seakan-akan mengalah namun hakikatnya, besederhana membolehkan kita berfikir secara rasional dalam segala isu tanpa dibebani dengan sebarang stigma yang berat sebelah. Memang betul, Bahasa Melayu perlu dimartabatkan dan penulis sama sekali tidak akan menolak usaha ke arah sedemikian. Namun, kita juga turut perlu mengakui bahawa Bahasa Inggeris juga penting kerana keadaan semasa yang memerlukan kita menguasainya.

Salah satu idea yang dikemukakan oleh Prof Diraja Ungku Abdul Aziz ialah pembelajaran dan pengajaran dwibahasa. Pembelajaran dan pengajaran perlu dilakukan dalam dwibahasa agar lengkap penguasaan Bahasa Melayu dan Inggeris pelajar. Idea beliau kelihatan seperti terlalu idealistik namun idea sedemikian merupakan satu idea yang seharusnya dipertimbangkan untuk generasi akan datang. Sudah tentulah bagi melaksanakan sesuatu dasar yang kompleks sedemikian memerlukan kajian yang rencam dan mendalam tentang modus operandinya. Apa yang lebih penting adalah pelajar akan dapat menguasai Bahasa Inggeris tanpa menindas penguasaan Bahasa Melayu. Hal ini membolehkan generasi akan datang menguasai kedua-dua bahasa dengan secekapnya.

Kegiatan penterjemahan juga perlu dilakukan dengan usaha yang berlipat kali ganda. Banyak karya-karya dan tulisan penting kesarjanaan barat yang perlu diterjemahkan agar rakyat Malaysia mendapat manfaat bersama. Hal ini lebih kepada memanfaatkan idea dan pengetahuan barat. Bagaimanapun, kita tidak pula perlu mengubah sepenuhnya pandangan alam kita terhadap sesuatu isu tersebut.Untuk menjadikan aspek tambah nilai, cuba kita wujudkan kedua-dua versi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris bagi karya yang dihasilkan di Malaysia agar pembaca dapat memanfaatkan kedua-dua bahasa sebaiknya.

Kita juga perlu menyedari bahawa sudah tiba masanya kita cuba menguasai pelbagai bahasa. Menguasai Bahasa Cina misalnya bukan bermaksud menjadikan kita orang cina. Janganlah kita sibuk sangat mengarabkan Bahasa Melayu kita tanpa mempelajari Bahasa Arab yang baik.Andai kita telah mempelajari Bahasa Arab dengan baik, jangan kita pula berusaha mengarabkan pula Bahasa Melayu! Manfaatkan kelebihan yang ada dengan penterjemahan pelbagai karya ilmuan dahulu dan sekarang yang dapat memberikan faedah kepada umat manusia khususnya di Malaysia.

Tegasnya, kita seharusnya cuba menguasai pelbagai bahasa untuk menjadikan kita lebih kaya dari segi pengetahuan bahasa dan ilmu pengetahuan. Oleh sebab itu, kegiatan penterjemahan akan dapat dilakukan dengan lebih luas lagi dan seterusnya kita akan dapat memanfaatkan ilmu bangsa lain pula. Bukankah kemahiran pelbagai bahasa memberikan kelebihan kepada kita tanpa mengurangi sebarang manfaat pun kepada kita?

Kesimpulannya, sememangnya menjadi tanggungjawab kita untuk memartabatkan bahasa kita. Usaha yang berganda diperlukan dan kita seharusnya menyokong usaha-usaha tersebut. Semua pihak, ibu bapa, guru, kerajaan dan pakar bahasa seharusnya bekerjasama menjurus ke arah memartabatkan bahasa menurut kemampuan masing-masing. Namun untuk menjadi satu bangsa yang benar-benar berjaya, marilah kita menanamkan kesedaran bahawa kita memerlukan juga pengetahuan bahasa lain untuk memantapkan ilmu dan pengetahuan kita. Kegemilangan yang dikecapi umat silam adalah hasil mereka beradaptasi dengan kepelbagaian ilmu dan maklumat yang sedia ada. Untuk memartabatkan bahasa kita tidak boleh tidak kita juga perlu mengetahui bahasa asing juga. Oleh yang demikian, berhentilah daripada asyik bertelagah tentang bahasa mana yang lebih agung dan mulakan usaha ke arah memartabatkan bahasa dengan sebenar-benarnya!

No comments: