Pada awal usia penulis
Penulis tatkala itu darjah 6, sedang berbual-bual dengan seorang rakan penulis tentang betapa berat sebelahnya dasar Amerika Syarikat (AS) dan presiden mereka ketika itu, Bill Cinton terhadap krisis di Asia Barat (Palestin dan Israel). Penulis melahirkan rasa benci yang amat sangat terhadap Bill Clinton pada ketika itu. Namun, rakan penulis pantas mengeluarkan kenyataan "Clinton bukan yang paling jahat sekali. Yang paling jahat adalah Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel." Itu ketika darjah enam. Umur 12 tahun. Entah bagaimana pada masa itu kami membincangkan isu semasa dunia. Budak kanyiar yang sebenarnya tidak tahu apa-apa cerita isu dunia.
Beberapa tahun selepas itu, berlakulah pilihanraya Presiden AS. Clinton yang sudah dua penggal memegang tampuk kerajaan AS tidak boleh bertanding lagi. Sebaliknya Demokrat akan diwakili oleh Al-Gore. Regim Republikan diwakili George W. Bush. Sentimen anti-Al-Gore penulis pada ketika itu membuak-buak dek kerana kelancangan mulutnya ketika persidangan APEC di Kuala Lumpur. Menyentuh isu Malaysia. Reformasi. Apakah sebenarnya yang hendak beliau sampaikan? Demonstrasi adalah demokrasi? Tunjuk perasaan, berarak ke hulu dan ke hilir adalah sesuatu yang memang patut dibuat oleh rakyat?
Disebabkan isu kebiadaban Al-Gore, penulis sangat mengharapkan kemenangan George W. Bush. Besar harapan penulis agar George W. Bush menang. Beliau dilihat sebagai ikon perubahan. Beliau dilihat mampu mengubah paradigma polisi luar AS. Penulis sangat mengharap agar polisi luarnya lebih memihak kepada dunia Islam. Tidak berat sebelah sebagaimana regim Demokrat. Tidak terlalu memenangkan satu pihak dan meminggirkan pihak yang lain. Harapan penulis dimakbulkan. Bush menang. Penulis masih ingat lagi bahawa dunia Arab adalah antara yang paling awal mengutuskan tahniah kepada beliau. Dunia Arab telah meletakkan harapan tinggi untuk beliau campur tangan dalam meredakan ketegangan Asia Barat.
Pasca-kemenangan Bush
Namun, selepas itu, segala-galanya adalah sejarah. 9/11, pencerobohan terhadap Afganistan, pencerobohan ke atas Iraq, pencerobohan demi pencerobohan, pengeboman di London. Siri pencerobohan dan keganasan berlaku dan terus berlaku. Kalau direnung semula, adakah itu harapan manusia sejagat tatkala Bush menang? Adakah itu yang kita harapkan ketika tersungkurnya regim Demokrat daripada rumah putih? Kini, tatkala Bush mengucapkan selamat tinggal kepada rumah putih terlaksanakah harapan yang dunia letakkan pada bahu beliau ketika beliau mula-mula menjadi presiden AS?
Al-Gore pula menjadi pemenang bersama bagi Hadiah Nobel melalui “The Inconvenient Truth” – dokumentari tentang pemanasan global. Pelik juga; perihal kesan rumah hijau, pencemaran alam sekitar yang berleluasa, bencana alam yang datang bertimpa-timpa sebelum ini, tidak adakah manusia dalam dunia ini yang lebih dulu mengkaji kesan-kesan ini sebelum kumpulan Al-Gore? Penulis kira dokumentari itu mantap sangat sampai boleh menang Hadiah Nobel.
Kesan Obamaisme
Pengalaman lepas mengajar kita. Sudah tiga kali pemilihan Presiden AS yang penulis ikuti.Bermula pemilihan presiden yang membabitkan Al-Gore dan Bush sehingga yang terbaru Mc Cain dan Obama. Walaupun tatkala belasan tahun, penulis tidak faham pun "electoral college vote", atau "popular vote",atau Debat Calon Presiden, namun penulis mengikuti jua serba sedikit pilihanraya Presiden AS pada ketika itu. Yang penting ialah mengetahui siapa yang menang.
Namun, apabila meningkat umur, pastilah perhatian kita lebih ekstensif lagi. Kalau dahulu penulis cenderung membuta tuli mengharapkan seseorang menang, pemilihan kali ini, tiada siapa pun calon yang penulis sandarkan untuk menang. Siapa yang menang sebenarnya tidak penting lagi. Siapa yang berjaya tidak langsung menyebabkan penulis begitu ternanti-nanti luar biasanya impaknya. Mc Cain atau Obama. Kedua-dua ada kelebihan masing-masing. Ramai yang mengharapkan Obama menang. Hasilnya, Obama menang. Beliau mencipta sejarah. Sejarah itulah yang akan dijaja oleh orang sebagai kemenangan demokrasi mutlak.
Pelik rasanya. Selama beratus-ratus tahun kewujudan negara yang begitu melaung-laungkan demokrasi; menggunakan senjata pemusnah besar bagi membela demokrasi; menceroboh negara orang kononnya untuk mengembalikan demokrasi, baru kini (tahun 2008) demokrasi benar-benar muncul dalam AS. Baru kini perbezaan warna kulit kononnya tidak ditonjolkan dalam pilihanraya. Demokrasi apakah jenis sebegini? Kuman seberang laut mampu dilihat; sedangkan gajah di hadapan mata tergolek-golek gagal dikesan oleh retina sendiri!(masalah bintik buta agaknya?!) Apakah penyokong demokrasi selepas ini sekoyong-koyong akan melaungkan betapa demokrasinya pemilihan presiden AS dan betapa kita sebagai sebuah negara perlu menuruti pendemokrasian sebagaimana AS? Hentikanlah teriakan kegembiraan anda andai anda bergembira dengan kemenangan Obama. Berpijaklah dibumi yang nyata.
Pentup: Harapan Perubahan Realistik
Walaupun "Change" atau perubahan yang menjadi ideologi kempen yang dibuat oleh Obama, penulis sangat skeptik dengan apakah sebenar-benarnya perubahan yang boleh beliau laksanakan. Skeptik tidak bermakna membangkang. Apa yang penulis nampak adalah beliau hanya boleh mengubah dasar ekonomi AS sahaja. Tugasan terberat beliau adalah untuk kembali meingkatkan ekonomi AS. Itu sahaja.
Bagaimanakah sebuah negara yang begitu mementingkan unsur-unsur kapitalisme, mengaut keuntungan berlebihan dan merasakan tidak mengapa kalau melakukan penindasan andai mendapat faedah keuntungan; boleh tersungkur dalam permainan ekonomi mereka sendiri. Disebabkan sikap mereka begitulah yang menyebabkan tumbangnya sistem ekonomi dan kewangan mereka.
Selepas 9/11, mereka takut dengan bayang-bayang sendiri. Mereka sanggup melakukan apa sahaja sehingga sanggup menjual gadaian atas gadaian. Maklumlah, logiknya harga hartanah akan meningkat menuruti masa. Keuntungan akan dapat dikaut lebih dek kerana kadar faedah berlipat kali ganda - hasil menindas orang yang kurang berharta Dampaknya - krisis gadaian sub-prima. Lingkupnya Lehman Brother. Tempangnya AIG. Bayangkan, kalau syarikat KEWANGAN yang sudah semestinya meniagakan wang multi-bilion dolar boleh bankrup, apakah lagi yang tinggal di atas muka bumi ini?
Itulah salah satu cabaran Obama. Cabaran yang kritikal mengatasi masalah ekonomi Amerika yang hampir lumpuh. Itulah sahaja yang mampu beliau ubah andai beliau ingin mengubah. Dasar luar? AS tetap AS. Tak kira siapa yang jadi kepalanya, kita tidak boleh terlalu mengharap perubahan dibuat terhadap dasar luarnya AS yang sememangnya berat sebelah. Janganlah kita puji melangit seorang warga "bukan kulit putih" pertama yang menjadi Presiden AS sedangkan pada akhirnya, kita mesti mengakui bahawa bukan beliau sahaja yang menjadi penentu dasar luar AS.
Kembalikan tentera Amerika dari Iraq? Itu sudah pasti akan berlaku jua. Selagi kerajaan boneka Iraq masih tidak stabil, mana mungkin tentera mereka akan dikembalikan. Malah silap-silap, tentera akan ditambah pula (mohon dijauhkan). Tetapi, lambat laun mereka (tentera) akan kembali juga. Paksi kejahatan ? Kita harapkanlah Obama lebih rasional memikirkan mengenai paksi kejahatan ini. Kenapa pula yang terang-terang sudah ada senjata nuklear (baca: Korea Utara) tidak diserang dulu ( mohon dijauhkan daripada bala bencana) sebaliknya Iran yang baru sahaja merangka kaedah-kaedah nuklear hendak diserang? Iraq kononnya ada senjata pemusnah besar; akhirnya alasan yang dapat diberikan adalah mengembalikan demokrasi! Demokrasi apakah ini semua? (Demokrasi ala Bush)
Walaupun penulis sukar mengharap perubahan polisi luar, tapi kita beri jualah harapan. Tetapi jangan terlalu tinggi menggunung harapan tersebut. Nanti patah hati, diri yang hampa. Hati yang kecewa. Patah hati sukar diubati... Moga Obama dapat beri perubahan juga pada dasar luar AS. Namun, dalam apa jua keadaan melanda, kita perlu mengambil kira mereka yang di belakang tabir yang menaikkan nama beliau. Mereka yang menyebabkan beliau berjaya menembusi sistem politik AS seterusnya berjaya menjadi Presiden AS. Merekalah yang mengangkat beliau dan melihat potensi beliau untuk menjadi proksi kepada mereka. Mereka ialah orang-orang Yahudi....Fikir-fikirkanlah....
Sekian, wassalam.
No comments:
Post a Comment