Saturday, November 1, 2008

Sejarah: Antara tahun dan pengajaran



Assalamualaikum semua dan selamat sejahtera

Baru-baru ini penulis berkesempatan menghadiri majlis kenduri kahwin rakan sekuliah penulis di Segamat dan kesempatan itu penulis gunakan untuk bertanya khabar tentang apakah perancangan beliau selepas perkahwinan tersebut. Beliau yang kini berkhidmat dalam salah sebuah hospital swasta di Johor Bahru ada menyebut bahawa beliau sedang menunggu keputusan ujian untuk mengikuti kursus perguruan lepasan ijazah (KPLI) memandangkan beliau ada pengalaman menjadi guru sandaran selepas tamat sarjana muda.

Lulusan biologi, tidak ajar sains.

Apabila ditanya subjek apakah yang beliau ajar semasa menjadi guru sandaran; maka dijawabnya subjek Bahasa Melayu. Malah, beliau ada menyatakan betapa kurangnya guru yang mengajar Bahasa Melayu dan Sejarah pada masa kini. Untuk tujuan KPLI pun, beliau meminta bidang pendidikan khas (atau yang seumpama; penulis kurang arif tentang bidang perguruan) sambil menyatakan “tidak akan ada peluang” untuk memasuki bidang perguruan andai berkeras juga untuk mengajar subjek yang beliau pelajari semasa sarjana muda; subjek-subjek sains (dalam erti kata mudah, guru sains sudah melambak; bukan kata penulis, tetapi kata rakan penulis).



Kalau hendak membincangkan masalah “lambakan guru sains”, penulis kira mungkin penulis boleh buat satu tajuk lain untuk perbincangan dan pandangan penulis. Kekurangan guru Bahasa Melayu/Malaysia pun merupakan satu perbincangan yang menarik. Namun penulis lebih tertarik membincangkan kepentingan sejarah dalam konteks pendidikan lebih-lebih lagi dengan penekanan oleh kerajaan Malaysia baru-baru ini bahawa subjek tersebut akan mula diajar dan diwajibkan pada waktu sekolah rendah. Betapakah pentingnya subjek sejarah!

Kita dan sejarah

Walaupun penulis sendiri kurang fasih berbicara mengenai sejarah, penulis sama sekali tidak menafikan kepentingan sejarah dan bagaimanakah sejarah menjadi asas kepada pembentukan ketamadunan dan kemasyarakatan yang telah terbina pada hari ini. Sejarah akan menjawab persoalan mengapakah sesuatu perkara itu berlaku dalam sesebuah negara atau masyarakat.

Sebagai contoh kontemporari, mengapakah Malaysia mempunyai masyarakat berbilang kaum, mengapakah wujudnya terma “hak istimewa orang Melayu dan bumiputera” atau mengapakah wujud “kontrak sosial” atau mengapakah wujudnya “Dasar Ekonomi Baru”. Begitu juga dengan mengapakah wujudnya “sekolah vernakular” atau mengapakah mereka-mereka yang berlainan agama boleh mengamalkan agama masing-masing, atau mengapkah Malaysia menyambut perayaan pelbagai kaum, atau mengapakah sekarang ini ada kerajaan negeri yang sibuk hendak membuat papan tanda pelbagai bahasa sedangkan bahasa rasmi negara adalah Bahasa Malaysia dek kerana “kebebasan untuk bertutur dalam bahasa ibunda!”

Penulis kira hal ini cukup untuk menunjukkan sejarah sangat penting. Suasana kurang harmoni masa kini dengan pelbagai isu perkauman sebenarnya bermula daripada kurangnya pengetahuan dan penghayatan terhadap pengajaran yang boleh diambil dari sejarah. Sedang kita menuju ke hala masyarakat berteknologi tinggi dan masyarakat yang sofistikated dengan pelbagai ilmu baru bidang sains dan teknologi, kita lupa asal usul kita sehinggakan ada yang membuat tuntutan-tuntutan tidak munasabah atas nama memperjuangkan hak kaum.

Betapa sentengnya pemikiran orang-orang sedemikian dek kerana merasakan diri mereka tertindas, tiada tempat bergantung, atau merasa diri mereka dizalimi sedangkan dalam keadaan sekarang ini pun kita bebas bergerak ke mana sahaja yang kita sukai, berurusan bagi memenuhi keperluan kendiri, pergi ke tempat sembahyang menurut agama yang kita anuti tanpa perlu memikirkan ada atau tidak lancaran bom atau taburan peluru senjata automatik yang mengancam nyawa.

Memperkasakan Sejarah

Salah satu cara penyelesaian yang boleh dibuat bagi mengatasi kesentengan ini adalah memperkasakan subjek sejarah yang diajar di sekolah-sekolah. Umum mengetahui bahawa sekolah adalah tempat belajar dan semasa seseorang itu sedang meningkat ke usia remaja, hampir sebahagian masa dalam satu hari itu diperuntukkan untuk berada disekolah (kalau pelajar itu tidak ponteng) Oleh yang demikian, institusi pendidikan perlulah ditambahbaik dengan menyediakan pembelajaran yang berkesan terutamanya dalam pelajaran sejarah. Guru yang mengajar sejarah sepatutnya lebih kreatif dalam menerangkan kepada anak murid tentang pelajaran dalam sejarah; dan bukan semata-mata mengharapkan pelajar menghafal pada tahun sekian-sekian, kejadian sekian-sekian yang berlaku.

Trend “sejarah dan tahun” adalah trend yang penulis alami semasa berada di dalam alam persekolahan. Sejarah dikaitkan dengan nombor empat angka (4D) sementara penulis pula bukanlah seorang yang sangat menggemari subjek matematik yang sememangnya bermain-main dengan nombor. Ada cikgu sejarah yang mungkin mengambil pendekatan menjadualkan tarikh-tarikh penting dalam sejarah sambil mengharapkan pelajar menghafal tarikh-tarikh penting tersebut. Kaedah begini mungkin berkesan, tetapi untuk penulis yang lebih menyukai fakta berbanding angka, pastilah penulis akan mengabaikan kolum nombor empat angka dalam jadual tersebut!

Mungkin teknik penceritaan semula merupakan salah satu teknik yang berkesan dalam membantu guru menyampaikan mesej yang terkandung dalam sejarah. Seorang guru sejarah seharusnya pandai menceritakan semula mengenai acara-acara penting dalam sejarah agar pelajar lebih berminat untuk mengadaptasikan apa yang diajar dengan keadaan masa kini. Kita seharusnya sedar bahawa bukan gred semata-mata yang akan menentukan sejauh mana kefahaman dan penghayatan seseorang terhadap subjek yang diajar. (ambil contoh penulis sendiri, Biologi SPM dapat 5C tetapi kenapa pula sarjana muda ambil bidang biologi dan boleh lulus BSc. pula?).

Usaha lain yang boleh dibuat adalah penambahan guru-guru sejarah. Biarlah kalau boleh, sebagaimana hanya guru yang mengambil kursus pendidikan sains mengajar subjek sains, atau TESL mengajar Bahasa Inggeris, begitulah juga hanya guru yang mengambil pendidikan sejarah sahaja yang mengajar sejarah (penulis harap ada kursus pendidikan perguruan sejarah sebab sebetulnya penulis tidak tahu sama ada wujud atau tidak.) Hanya jauhari yang mengenal manikam. Janganlah harapkan guru desperado yang dimasukkan untuk mengajar dalam bidang berlainan daripada apa yang dipelajari; dapat mengajar dengan berkesan subjek yang beliau sendiri kurang arif. Keadaan ini serupalah dengan menyuruh tukang kunci membaiki kasut walaupun kedua-dua jawatan adalah “tukang.” Namun, hal ini tidak menafikan kewujudan guru yang bertaraf polymath yang mengetahui pelbagai bidang asalkan apa yang diajar adalah betul.

Bagaimanakah pula dengan peranan ibubapa? Dalam era kedua-dua ibu dan bapa turut serta mencari rezeki, adalah satu cabaran untuk mereka menanamkan penghayatan sejarah kepada anak-anak mereka. Akan tetapi, bukankah segala-galanya bermula di dalam rumah? Begitu halnya dengan penghayatan sejarah. Ibubapa juga perlu turut serta untuk memahami sejarah dan cuba berkongsi pengalaman mereka yang ada kaitan dengan sejarah. Institusi kekeluargaan sebenar-benarnya adalah asas kepada pembentukkan masyarakat yang bertamadun. Oleh sebab itu, disebalik ibubapa yang selalu mengharapkan anak-anak mereka cemerlang dalam bidang sains mahupun ikhtisas, ibubapa juga perlu turut serta memberi galakan dan berkongsi pengalaman kepada anak-anak tentang sejarah negara.

Penutup: Apa kata Pakar Sejarah

Apabila memperkatakan sejarah, tidak lengkap sekiranya tidak disertai dengan pendapat pakar sejarah tersohor negara, Prof Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim. Penulis pernah menonton satu temubual dalam program televisyen tentang pendidikan dan salah seorang panel yang dijemput adalah beliau. Beliau secara berseloroh memberitahu mengapakah beliau menceburi bidang sejarah? – kerana beliau gemar bersukan (bermain bola sepak) dan andai beliau memasuki bidang sains, akan berkuranglah masa untuk beliau bersukan dek terpaksa menyiapkan tugasan makmal yang biasanya berlarutan hingga ke petang. (Tugasan amali untuk pelajar BSc. Kimia di UM sememangnya berlarutan dari pagi hingga ke petang atau malam.)

Beliau sangat kritis dengan penulisan sejarah dan kerap kali menegaskan betapa fakta yang diajar di sekolah-sekolah kurang tepat. Sebagai contoh, negeri-negeri selat bukanlah semata-mata tiga buah negeri – Singapura, Melaka dan Pulau Pinang sebagaimana yang termaktub dalam buku teks sejarah (versi yang digunakan oleh penulis, versi lama. Penulis tidak tahu sama ada fakta itu telah diperbaharui atau tidak dalam buku teks baru.) Dan baru-baru ini, dalam sebuah forum tentang perpaduan kaum di UKM, beliau membawa satu lagi dimensi baru betapa orang Inggeris/British bukanlah semata-mata penyebab kepada kehadiran pelbagai kaum (Cina dan India) di Tanah Melayu! Kehadiran kaum Cina ada juga dikaitkan dengan kuasa Sultan di Tanah Melayu!

Dalam forum yang sama, beliau mendedahkan betapa 13 Mei 1969 bukanlah satu-satunya kejadian rusuhan kaum malah, sebelum merdeka (sekitar 1945 dan 1946) sudah berlaku rusuhan kaum di Tanah Melayu. Beliau juga menyatakan betapa tidak semua orang Cina di Tanah Melayu pada ketika itu yang menyokong aliran gerakan Komunis. Beliau menegaskan bahawa pergaduhan ahli politik masa kini mengenai isu-isu kaum adalah tidak berasaskan fakta (factual base) malah banyak bermain emosi sahaja. Beliau juga menitikberatkan betapa sekolah perlu memainkan peranan penting dalam membentuk pelajar yang dapat menghayati sejarah.

Beliau menegaskan bahawa persoalan tentang siapakah orang yang pertama yang tiba dahulu di sesuatu kawasan adalah tidak penting. Contohnya, kaum manakah yang sebenar-benarnya menjadi penduduk asal Tanah Melayu? Melayu ? Jawa? Minang? Rawa? Bugis? Banjar? Semang-Negrito? Senoi? Jakun? Hatta Cina atau India? (teringat penulis akan dialog drama teater yang diilhamkan oleh Almarhum guru penulis; “Tiada beza orang Minang dengan orang Rawa, tiada beza orang Melayu dengan orang Jawa, semua serumpun semua sebangsa!”) Yang penting bukannya siapa yang tiba dahulu sebaliknya yang lebih penting adalah kewujudan tamadun di sesebuah kawasan. Kewujudan kerajaan dan masyarakat yang berstruktur adalah aspek yang lebih dititikberatkan dalam pengkajian sejarah.

Pendapat –pendapat beliau penulis kira sangat penting dan sangat tepat pada masanya. Beliau menyeru agar penulisan sejarah Malaysia perlu diperbaharui supaya masyarakat mendapat gambaran sebenar mengenai sejarah negara. Banyak isu-isu yang sensitif yang dibangkitkan oleh sebilangan kecil rakyat negara ini adalah hasil daripada kegagalan kita menghayati sejarah. Kita bukan terlalu tua untuk mempelajari sejarah. Malah, kita juga bukanlah terlalu tua untuk mengatakan bahawa kitalah pakar dan tahu semua perkara mengenai sejarah. Kita tidak boleh kekal dengan mentaliti “aku lebih dulu makan garam” (penulis balas balik, sebab tu sekarang ini hang dok kena darah tinggi dengan sakit jantung; sebab dok makan banyak sangat garam!).

Tuntasnya, kita perlu kembali semula mengkaji asal usul kita, melihat sejarah sebagai pedoman untuk melangkah menuju hadapan dan bukan menjadikan apa yang dinyanyikan oleh Tomok “sejarah mungkin berulang”menjadi realiti.
Sekian. Wassalam.

No comments: