Wednesday, October 29, 2008

Halal : Antara Cap dan KeTuhanan

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Penulis pernah membangkitkan persoalan yang sama dalam sebuah forum Internet beberapa tahun lepas. Tetapi, penulis tidak mendapat respon dan rasanya, forum itu pun sudah tidak wujud lagi. Mungkin disebabkan gaya penyampaian penulis adalah berbentuk tulisan dan bukannya lukisan dan gambar; orang malas nak baca kot? Tetapi penulis rasakan penulis perlu juga menulis perkara ini atas rasa tanggungjawab dan ingin benar mengetahui apakah pandangan mereka-mereka yang mempunyai sedikit sebanyak pengetahuan mengenai isu halal di Malaysia.

Latar belakang pemasaran

Pemasaran merupakan salah satu kunci kepada kejayaan sesebuah perniagaan. Salah satu jargon dalam pemasaran adalah perlu mengambil kira 4P, Price, Product, Place dan Promotion. Kalau kita mengambil kira kesemua P ini, kita pastilah akan kaitkan juga dengan satu lagi P iaitu People. People adalah unsur penting dalam penentuan keempat-empat P dan lebih penting lagi apabila kita kaitkan dengan kesetiaan dan kepuasaan pelanggan terhadap produk dan perkhidmatan yang disediakan.

Oleh yang demikian, dalam memasarkan sesuatu produk ataupun perkhidmatan, faktor persekitaran makro dan persekitaran mikro perlu diambil kira bagi menjamin produk yang hendak dipasarkan itu sampai kepada sasaran yang diinginkan. Salah satu faktor dalam persekitaran adalah faktor demografi, faktor yang cukup signifikan dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia. Betapa pentingnya faktor demografi ini boleh dilihat dengan situasi di Malaysia yang penulis istilahkan sebagai Halal Conscious – masyarakat yang mempunyai kesedaran halal.

Kesedaran Halal (Halal Conscious)

Kesedaran halal ini sebenarnya sudah lama bertapak di Malaysia. Namun, disebabkan pada zaman 80 dan 90-an, capaian orang terhadap pengetahuan halal hanya terhad di madrasah-madrasah, atau sekolah-sekolah agama, atau surau-surau atau masjid-masjid sahaja; hanya mereka-mereka yang pergi ke tempat-tempat sebegitu sahaja yang lebih peka terhadap isu halal. Mereka-mereka ini biasanya adalah golongan yang sudah berumur atau mereka-mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan Islam.

Situasi kini berbeza dengan ledakan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) mengambil tempat dalam penyampaian maklumat. Ditambah pula dengan peningkatan peranan media massa yang begitu ketara menyebabkan kesedaran halal begitu meningkat dikalangan muslim. Pelbagai infomasi dapat dicapai dengan mengklik tetikus atau menyentuh skrin sahaja. Mereka dahulu yang mungkin menjadi ignorant mengenai hal-hal agama kini lebih mudah menerima pelajaran agama dengan kewujudan laman web, forum, dan saluran-saluran televisyen yang lebih “Islamik”

Malah, terdapat juga kecenderungan di kalangan orang melayu dan muslim untuk menjadikan diri lebih Islamik andai hendak dibandingkan dengan keadaan dahulu. Hal ini boleh dilihat melalui produk-produk biasa yang telah diIslamkan bagi menarik minat pasaran muslim. Sebagai contoh, produk selipar jepun yang lebih Islamik adalah “capal nabi”; ubat gigi telah ditambah “ekstrak kayu sugi”; kismis yang lebih mujarab adalah “kismis doa” dan sebagainya. Dan satu perkara yang lebih penting yang sangat dititikberatkan iaitu produk makanan atau yang lain-lain kalau boleh mesti ada “cap halal”

Halal, babi dan cop Jakim.

Agak malang sekali apabila kesedaran halal yang ada kini lebih terbatas kepada sama ada sesuatu itu ada cap halal atau tidak dan sesuatu itu ada campuran babi atau tidak. Sehingga kini, produk yang mengandungi gelatin dilabel sebagai tidak halal kerana dakwaan bahawa gelatin diambil daripada unsur babi. Hal ini menyebabkan syarikat-syarikat terutamanya pengeluar produk farmaseutikal terpaksa menerangkan bahawa produk gelatin yang mereka gunakan adalah berasaskan bovine (lembu) dan bukannya babi.

Kini, untuk semua barang seeloknya ada cap halal. Hatta ubat gigi pun hendak dicapkan cap halal logo Jakim. Persoalan yang ingin penulis bangkitkan adalah adakah halal itu dilihat daripada dua aspek itu sahaja? Ada cop halal dan tiada unsur babi! Halal sebenarnya merangkumi satu paradigma universal daripada sumber yang betul dan cara mendapatkan sumber itu yang betul. Oleh yang demikian, halal sebenarnya ada konotasi kerohanian yang perlu dipenuhi kerana akhirnya, apa yang kita gunakan dan kita makan itu akan menjadi sebahagian daripada diri kita. Kalau hendak mendapatkan beras yang ada logo halal tetapi cara kita dapatkannya adalah melalui mencuri, adakah halal beras itu dimakan? (pasti ada hujah-hujah yang boleh sahabat-sahabat utarakan)

Halal Jakim vs HDC

Bagi mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai “hub halal” kerajaan Malaysia telah mewujudkan Perbadanan Kemajuan Halal atau lebih dikenali sebagai HDC. Kononnya perbadanan ini adalah perbadanan yang bakal menerajui industri halal dan akhirnya menjadi peneraju bidang halal.

Namun, sebagaimana Malaysia ketinggalan dalam menjadikan Jatropa (pokok jarak) sebagai pengganti produk biofuel, Malaysia sekali lagi ketinggalan dalam hal hub halal dek kerana negara lain kini lebih “walk their talk” berbanding Malaysia yang lebih “talk their talk”. Khabarnya, Hong Kong sudah pun bergerak ke arah menjadi peneraju hub halal sedangkan Malaysia baru sahaja hendak merangka semula perbadanan halal yang didambakan. Infomasi yang penulis dapat daripada peserta Forum Halal Sedunia ialah betapa HDC baru sahaja dalam peringkat penstrukturan sedangkan negara lain sedang berlumba-lumba menguasai pasaran halal.


Sebagaimana pelbagai isu, penulis skeptik juga dalam isu pengesahan halal. Kalau dahulu, Jakim adalah pengeluar logo halal rasmi negara ini namun dengan kewujudan HDC, “keistimewaan” atau privilege itu menjadi milik HDC Bagaimanakah pengesahan halal dibuat oleh sebuah syarikat/perbadanan dan bukannya badan seliaan terus kerajaan seperti Jakim? Mungkin HDC akan dipanggil syarikat milik kerajaan (GOC) namun penulis tidak dapat menerima idea bahawa logo halal yang dicari-cari semua orang itu akan dikeluarkan oleh sebuah syarikat yang pastinya, salah satu sebab kewujudannya adalah bagi mengaut keuntungan. Mungkin mereka yang berkenaan boleh memberi komen mengenai persoalan yang penulis utarakan ini.

Penutup : Halal vs Pemasaran

Kesedaran tentang Islam dan cuba mengIslamikkan barang telah lama berlaku dalam masyarakat Melayu Malaysia. Dahulu, produk jenama Zaitun telah berjaya memecah pasaran Colgate-Palmolive dalam produk kosmetik dan penjagaan badan sehingga syarikat besar itu terpaksa membeli syarikat Zaitun bagi mengurangkan pecahan pembelian dan mendapatkan semula pasaran. Begitulah signifikannya pasaran barang-barang berunsur “melayu Islam”

Kini, hampir kesemua syarikat kosmetik dan penjagaan badan mempunyai nic “pengguna muslim”atau ada logo halal dalam barisan produk mereka. Sebab itulah wujudnya produk ubat gigi yang lebih “mukmin”, jenama-jenama yang terserlah lebih melayu dan Islam berbanding jenama konvensional. Iklan syampu pun telah berubah; kalau dulu menggunakan wanita berjurai-jurai rambutnya kini sudah dikomplemenkan dengan iklan wanita bertudung. Hal ini cukup membuktikan bahawa kesedaran Islam di Malaysia begitu terserlah pada zaman kini.

Begitu halnya dengan produk halal. Kesedarannya begitu membuak-buak dan menyebabkan idea mewujudkan hub halal. Pasaran halal nampaknya begitu terjamin (promising) sehinggakan banyak pelabur tidak mahu ketinggalan untuk turut serta dalam perlumbaan ini. Namun, sejauh manakah kita memahami tuntutan halal yang termaktub dalam kitab suci Al-Quran? Lebih menimbulkan persoalan, apakah justifikasi keadaan ini kelak, apabila pengeluar-pengeluar produk menggunakan “halal” sebagai satu senjata pasaran bagi menjatuhkan syarikat-syarikat saingannya?

Sebagai contoh kalau satu syarikat pengeluar makanan jenama A yang ada cop dan logo halal difitnah dalam internet atau akhbar tabloid bahawa mereka mencampurkan unsur babi dalam produk makanan mereka; bukankah itu menjadi satu kelebihan (advantage) kepada syarikat pesaing jenama A? Peperangan ini akan sentiasa berterusan sehinggakan masyarakat akan keliru yang mana satu lebih halal daripada yang lain! Adakah pasaran pengguna yang ada kesedaran halal membenarkan syarikat berlumba-lumba bersaing cara kotor untuk mendapatkan nic pasaran halal?


Apa yang lebih menyedihkan adalah sedang rakyat melayu Malaysia yang memang sudah mempunyai kesedaran Islam dan kesedaran halal dok bergaduh sesama sendiri tentang produk mana yang lebih Islam dan lebih halal; negara lain seperti di Singapura, Thailand dan Hong Kong terus memacu ke hadapan mengaut keuntungan hasil daripada peluang pasaran yang diwujudkan bagi memenuhi pasaran dan hub halal. Mereka sedang asyik meneroka pasaran halal di China dan Timur Tengah (sekarang ini, serban yang dijual di kota suci Makkah pun “Made in China”) sementara kita masih bertelagah tentang cara produk mana tidak dicampurkan dengan unsur babi. Ke manakah kita?

Wassalam

P/S: Penulis sangat-sangat mengharapkan komen pembaca yang boleh dibuat di laman blog penulis, http://lappanblablabla.blogspot.com. Pembaca boleh mencari entri untuk tajuk ini.

1 comment:

Unknown said...

salam..
saya tak pasti apakah saya terlewat untuk bagi comment untuk entry saudara ini... artikel yang sangat menarik ...terutama sekali "halal conscious". Halal conscious ni mmg pada saya dah menular di kalangan masayarat melayu kini, dengan adanya product2 yang mementingkan kehalalannye ("halal"ness). Tapi, pada saya itu tidak cukup, sedangkan kat luar saya, jika kita baca lebih lanjut mengenai pemakanan halal, halal conscious ini adalah masih tidak begitu menyeluruh. Dari segi cop halal, penjual dan juga pada peringkat pembeli. Dan saya juga terkejut, apabila saya dapati ada satu kedai buku yang berunsurkan ilmiah islamik menjual signange "halal food" secara terbuka... bayangkan sesiapa sahaja boleh memiliki signage itu termasuk juga non- muslim yang kurang peka mengenai konsep halal dan haram. Sesiapa sahaja boleh tertipu terutama sekali yang kurang berhati- hati (halal cautious.