Assalamualaikum semua pembaca yang budiman.
Baru sahaja penulis muat naik artikel mengenai isu perkauman, hari ini (17 Oktober 2008) telah dilaporkan mengenai peringatan Majlis Raja-Raja tentang isu kontrak sosial - yang ada kena mengena dengan kaum juga.
Penulis kira hal ini perlu jelas. Isu kontrak sosial dan perlembagaan bukan satu isu yang boleh dibuat forum terbuka atau perbincangan bebas di kedai kopi. Apabila seseorang itu tidak menghormati perlembagaan, sekaligus menunjukkan seseorang itu tidak menghayati Rukun Negara.
Raja-raja juga merupakan payung kepada kesemua rakyat Malaysia. Tidak boleh dilihat dari perspektif menaungi orang-orang Melayu sahaja. Kita perlu menghormati titah baginda-baginda agar tidak mempersoal kontrak sosial dan perlembagaan. Agak-agak tak suka dan rasa dianaktirikan, silalah gantung kewarganegaraan Malaysia dan jadilah warganegara negara lain.
Pesan penulis agak kasar tetapi itulah hakikatnya. Dalam setiap negara di dunia pun, pasti ada mekanisme tersendiri bagi menjamin kestabilan sosioekonomi negaranya. Mungkin ada tindakan yang dilihat "tidak adil" tetapi bukannya bermaksud kita tidak boleh keluar rumah untuk mencari rezeki. Tak begitu?
Berapa ramai juga orang Melayu yang diberi keistimewaan dalam pelbagai benda yang "sub" kan kelebihan miliknya kepada yang bukan melayu kerana dek kekurangan sumber. Hal ini bukan rahsia.
Pengalaman penulis sendiri dalam peruncitan, andai ada dua kedai runcit di sesebuah kawasan, satu dimiliki Melayu dan satu lagi dimiliki oleh bukan Melayu, ramai orang Melayu yang ada kecenderungan untuk ke kedai Cina atas alasan kedai Melayu jual mahal. Tak gitu ?
Apakah kita ultra-melayu pada ketika berpolitik sahaja; atau ketika isu-isu sensitif dibangkitkan, membahaskan hak istimewa orang melayu; rasa begitu kurang selesa dengan ungkitan yang dibuat oleh bukan Melayu terhadap kelebihan orang Melayu; sedangkan amalan kita, kerja seharian kita, muamalat kita kalau disusuri susur galurnya, akhirnya pergi ke kaum lain juga?
Begitu halnya yang bukan melayu? Tak sedarkah bahawa akhirnya orang melayu yang ultra-melayu ini terpaksa juga pergi ke kedai bukan melayu untuk membeli barang, atau mencari kelengkapan, atau membetulkan kenderaan, atau membeli barang mentah.. tak ada pula timbul isu hak dan keistimewaan pada ketika itu?
Umat manusia memang hipokrit. Sentiasa ada pemikiran dikotomi di dalam dirinya sehingga kadang kala apa yang dibahaskan terlalu berbentuk falsafah yang hanya tertulis di kitab-kitab buatan manusia yang belum tentu hujung pangkalnya benar. Manusia bercerita tentang idealisme yang tak jejak di bumi tetapi mengatakan bahawa idea mereka mampu membawa kepada utopia.
Sedarlah, Tuhan ciptakan manusia pelbagai bangsa ada sebabnya. Tak perlulah kita lihat dari perspektif Islam semata-mata, dari segi perspektif umumpun, semua agama dan ajaran mengkehendaki orang membuat baik kepada semua orang tak kira warna kulit. Toleransi, tolak ansur, memberi dan menerima adalah rencah untuk sampai ke tahap ketenangan dalam diri kepada Tuhan yang Esa.
Wassalam
No comments:
Post a Comment