Sunday, October 12, 2008

Apabila Dato' melambak lambak


Malaysia adalah negara yang paling banyak monarknya iaitu sebanyak 9 orang. Negeri-negeri lain yang tiada monark mempunyai Yang Dipertua Negeri, sebanyak empat orang. Setiap monark dan Dipertua pula boleh menganugerahkan bintang kebesaran dan pingat bagi negeri masing-masing.. Di peringkat persekutuan, Yang DiPertuan Agong pun boleh menganugerakan pingat dan bintang kebesaran menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang begitu banyak bintang kebesaran dan pingat.

Malah, untuk kebanyakan bintang kebesaran ada gelaran tertentu pula. Walaupun dari segi kekananan, S.P (sebagaimana gambar) merupakan pingat tertinggi negara (tapi tak ada gelaran), S.M.N dan S.S.M yang memberikan gelaran Tun lebih tinggi pula statusnya dengan sapaan Yang Amat Berbahagia. Kalau dahulu, gelaran cuma Dato' dan diikuti pangkat (seperti Dato' Amar Diraja), gelaran Dato' sekarang sudah pelbagai dari Dato' Seri, Dato' Panglima, Dato' Seri Utama, Dato' Seri Diraja, Dato' Wira, Dato' Seri Panglima. Sedangkan kalau merujuk buku protokol terbitan DBP, pingat yang membawa gelaran Dato' yang paling kanan ialah S.P.M.J yang yang membawa gelaran Dato'. Titik. Tak ada tambahan “Seri” ke “Diraja” ke, “Panglima” ke...

Setelah daripada itu, timbul pula isu tentang penerima anugerah Dato’. Ada negeri yang banyak sekali penerima Dato’ sehingga mencecah ratus pada satu-satu masa. Ada negeri pula yang tidak ada langsung penerima Dato’. Isu layakkah penerima Dato’ menerima Dato’ juga dibangkitkan apabila ada ahli sukan yang telahpun menerima Dato’ pada usia 20-an sedangkan ada ahli akademik yang memanjang dengan gelaran Dr. (bukan professor) sahajapun sukar sekali menerima Dato’. Situasi terkini, pelakon hindustan pun diberi anugerah Dato’. Begitulah penganugerahan Dato’ di Malaysia.

Soalnya, perlukah anugerah yang begitu berprestij seperti Dato’ ini diberikan dengan banyakknya kepada orang ramai? Penulis kira, kalau kita anologikan gelaran Dato’ ini dengan sistem di British, Dato’ boleh kita samakan dengan gelaran Sir. Namun, kalau dilihat sistem di British, seseorang yang menerima bintang yang membawa gelaran Sir (seperti K.B.E) pun tidak boleh menggunakan gelaran Sir andai beliau bukannya seorang rakyat British. Atau mungkin Malaysia tidak mengikuti cara British dalam penganugerahan bintang berprestij sebab Malaysia ada sistem sendiri dalam pemberian gelaran.

Penulis harap kerajaan persekutuan dan setiap kerajaan negeri mengkaji benar-benar gelaran Dato’ untuk individu. Penulis bukannya tidak menyokong penganugerahan bintang dan pingat ini tetapi biarlah prestijnya dijaga. Biarlah orang yang menerimanya benar-benar layak menerima dan menjadi contoh kepada masyarakat. Penulis akur bahawa hak memberi gelaran Dato’ terletak kepada pemerintah, tetapi sudah tiba masanya gelaran berprestij ini diprestijkan semula agar orang awam benar-benar menghayati kewujudan Dato’ sebagai role model masyarakat.

Dato’ adalah simbol betapa tingginya status dan menjadi inspirasi kepada masyarakat. Dato’ seharusnya dijadikan sebagai satu gelaran yang benar-benar mencapai maksud penganugerahan, dan bukan semata-mata jasa sahaja. Pemilihan calon seharusnya meliputi peribadi, bidang yang diceburi dan jangkamasanya, CSR yang dilaksanakan, dampak positif yang diberikan kepada masyarakat, juga disebabkan pandangan tinggi masyarakat terhadap penerima gelaran. Bukannya Dato’ yang baru berjasa pada satu perkara sudah dapat gelaran atau Dato’ yang melambak-lambak dan buat terbelit lidah hendak membaca pangkatnya.

Mohon ampun kalau terkasar bahasa, wassalam.

No comments: