Monday, October 27, 2008

Apabila kepala dah tepu...

Jarang sebenarnya penulis sampai ke tahap tepu. Mungkin minggu ini mungkin mengalami keletihan (fatigue) kepala otak yang amat sangat. Lagipun, penulis juga menumpukan kepada mengulas dan memfowardkan emel yang telah dihantar kepada penulis.

Ada beberapa emel yang berorientasikan tazkirah sempat penulis baca; namun sebelum penulis memfowardkannya, penulis pasti akan mengulas sedikit sebanyak beberapa perkara di dalam emel tersebut yang penulis kira sangat penting. Blog ikutan penulis, kadirjasin telahpun mengepos beberapa entri baru yang mana penulis tak terulas; mungkin dek banyak sangat isu semasa yang berlegar di kepala penulis; atau sebenarnya penulis telah mencapai tahap blur.

Selain daripada itu, melangsaikan tanggungjawab sebagai seorang pelajar juga menjadi kekangan untuk mengulas kerana dek menyiapkan laporan dan menyediakan presentation. Oleh yang demikian, entri kali ini adalah sekadar menulis tentang diri sendiri tanpa mengulas sebarang isu semasa. Sekadar berkongsi pengalaman penulis yang tak seberapa; menjadi pelajar semula setelah menanam anggur hampir setahun. Anggur masak pun masam!

Betuah juga jadi pelajar; walaupun tidak banyak pengalaman industri namun peluang untuk menuntut ilmu dan pengetahuan lebih daripada biasa dapat dicapai. Al-maklumlah, alam universiti banyak menganjurkan seminar, ceramah dan bengkel yang sedikit sebanyak agak sukar untuk diperoleh secara percuma. Namun, ceramah, atau bengkel atau seminar bukannya semata-mata jenis ceramah atau bengkel atau seminar cara industri; (macam seminar meningkatkan soft skill, atau sebagaimana yang dianjurkan oleh INTAN dan sebagainya). Sebaliknya seminar yang dianjurkan ada juga menyentuh isu semasa; sesuatu yang cukup-cukup meningkatkan rembesan adrenalin penulis yang sekaligus merangsang keinginan untuk menurutinya.

Seminar pertama yang penulis ikuti sebelum bulan Ramadhan dahulu iaitu “Do Malaysian Differ in Thinking about Politics.” Seminar yang bagus namun diadakan di bilik yang sangat kecil. Penyampai membahaskan beberapa ketegori yang dikaji seperti gender, kawasan, etnik, generasi dan sebagainya dalam mendapatkan data tentang pandangan mereka terhadap politik. Sayangnya, kajian ini dibuat sebelum pilihanraya (iaitu dibuat pada tahun 2007) 8 Mac 2008, sebelum tunjuk perasaan di Terengganu dan sebelum Hindraf secara rasmi ditubuhkan; menyebabkan limitasi kajian terhadap adalah pada sela masa sebelum demam pilihanraya. Antara dapatan “pelik” kajian ini adalah betapa generasi muda lebih konservatif berbanding generasi yang lebih tua, orang yang lebih berharta lebih mudah “mengorbankan” demokrasi berbanding yang kurang berharta, rakyat Malaysia kurang gemar berorganisasi dan betapa rakyat Malaysia percaya kepada sistem kehakiman negara.

Kemudian, penulis mengikuti pula satu ceramah tentang topik yang lebih islamik iaitu Cendekiawan Islam: Realiti atau Fantasi. Ceramah disampaikan oleh Prof. Dato’ Mohd Yusuf Othman; seorang ilmuan dalam bidang fizik yang begitu passionate untuk mengkaji Sains Islam dan ilmu-ilmu yang berunsurkan Islam. Penulis mengenali nama beliau semenjak beliau belum lagi mendapat gelaran Dato’ dan selalu muncul di kaca televisyen untuk program Al-Kuliyyah, TV3. Panjang lebar mengenai tajuk ini mungkin akan penulis ulas kelak.

Seminar lain yang signifikan kepada penulis adalah mengenai standard MS 1900 iaitu pengurusan kualiti secara Islam dan pensijilan halal. Banyak juga persoalan yang timbul dek isu-isu ini namun tidak dapat pula jawapannya kerana dek kesuntukan masa.Namun, terbuka juga satu dimensi baru mengenai pengurusan menurut Islam dan sememangnya menyebabkan penulis berkeinginan untuk menyelami lebih mendalam hal-hal berkaitan dengan standard baru ini (siap dibangunkan pada 2004). Apa yang menarik mengenai standard ini ialah andai ada organisasi yang ingin mendapat pensijilan MS 1900 ini, mereka secara automatik akan mendapat pensijilan MS ISO 9000:2000; satu strategi serampang dua mata untuk sesebuah organisasi. Panjang lebar, ada masa, nanti cerita.

Kemudian, baru-baru ini, dengan kehangatan pemilihan parti (terutamanya komponen BN) dan kesibukkan beberapa pihak mempertikaikan asal usul kaum-kaum di Malaysia, penulis menghadiri satu forum yang dipenelkan oleh YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad, YBhg Prof Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim dan YBhg Prof Dato’ Dr Shamsul Amri; tiga orang tokoh yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Punyalah terkedunya penulis dek kerana tidak dapat bersama-sama di dalam dewan forum dek disebabkan dewan itu penuh. Nak balik, tak berbaloi, nak mengamuk, nanti esok keluar berita muka pertama “Incredible Hulk mana pulak yang mengamuk tengah malam-malam buta!” Sudahnya, terpaksa menghadap skrin besar di luar dewan bagi menonton forum tersebut. Forum tersebut bertemakan perpaduan dan penulis kira sangat penting sekali hujahan-hujahan yang disampaikan oleh panelis-panelis terhadap isu-isu yang dibangkitkan. Cerita panjang, nanti-nanti.

Begitulah kehidupan sebagai seorang pelajar. Setelah dok belajar bertahun-tahun, sambung belajar lagi setahun; silap-silap terus sambung lagi bertahun-tahun. Kalau boleh nak jadi Emeritus, simpan juga angan-angan moga berjaya. Kalau nak dapat DSc., lagilah panjang ceritanya, entahkan dapat entahkan tidak. Nak buat Ph.D pun belum tentu lepas. Agaknyalah penulis memang disektorkan dalam bidang pembelajaran; bukannya pengajaran. Banyak yang penulis belajar daripada mengajar. Bak kata “abang utara”, salah seorang senior penulis semasa di UM, “sebenarnya baca saja pun boleh dapat duit. Siapa tak nak, baca pun boleh dapat duit.” (apalah cerita abang utara. Last time jumpa di BioJohor 2007 di Persada Johor.) Lepas itu, muntahkan apa yang dibaca/diketahui kepada kawan-kawan. Sudahnya, kawan-kawan cuma melongo sebab tak tahu apa yang penulis katakan. Sudah sampai tahap falsafah kot. Atau memang kita sahaja yang syok sendiri cerita...

Mungkin sebahagian daripada kehidupan penulis terbentuk sejak kecil lagi dengan pergaulan penulis yang lebih mudah lekat dengan cerita isu semasa. (Dalam menyentuh hal ini, kita boleh bincangkan teori-teori Behaviorism dan Psychoanalysis dengan lebih mendalam pada masa akan datang). Tatkala budak lain tengah bercerita mengenai cinta monyet mereka, penulis cenderung bercerita tentang parti dacing lawan bulan masa darjah 5. Mujur ada seorang kawan penulis yang ada mempunyai minat yang sama untuk bercerita mengenai politik masa kecil dulu. Politik, kerajaan imaginasi dan isu semasa adalah rencah kami tatkala sekolah kebangsaan. Sekarang, kawan penulis tersebut sedang menapak untuk menjadi usahawan sementara penulis meneruskan usaha untuk jadi belajarwan. Moga semua berjaya mencapai “wan” yang kita idamkan.

Andai ditanya siapakah sebenar-benarnya yang ingin penulis jadi? Arah manakah penulis ingin tumpukan dalam kehidupan penulis. Jawapannya; penulis ingin menjadi seorang polymath yang dapat menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat. Mungkin kita ada sasaran dalam hidup kita. Mungkin kita ada cita-cita besar yang ingin kita capai. Ada yang hendak bergaji besar, beli rumah, memandu BMW 5 series, atau Nissan Skyline, dan mungkin juga pada umur yang penulis, ada yang hendak atau telah mendirikan rumah tangga; sudah fikirkan tentang life. Namun, bukanlah penulis tidak fikirkan semua itu. Tetapi... Hmm kompleks juga nak bagi alasan. Senang cerita, penulis nak buka syarikat dapat tersenarai di Bursa Saham lepas itu jadikan syarikat itu daripada sebuah Holding kepada Corporation dan yang terakhir, jadi Group. Macam IOI dengan CIMB... (Beso juga cita-cita ! Macam alam maya je..) Paling cikai, kalau dapat jadi BoD or NXD pun jadilah... Ye Tak ?

Begitulah bebelan penulis; apabila kepala menjadi tepu........
Wassalam

No comments: