Saturday, November 8, 2008

Kenapakah Yoga Sahaja?

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Baru-baru ini, salah seorang ulama Malaysia ada membangkitkan isu bahawa yoga mempunyai unsur yang akan menggugat akidah umat andai pengamal mengamalkannya. Hal ini mengundang respon kilat daripada Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa pihak mereka akan berbincang dan akan memutuskan keputusan fatwa berkaitan yoga.

Penulis bukanlah seorang pengamal yoga, apatah lagi hendak mengetahui unsur yang manakah yang akan menggugat akidah Islamiyah andai diamalkan. Penulis juga tidak mahu mengulas apakah yoga, prinsip-prinsipnya dan hal-hal teknikal berkaitan yoga(Boleh cari sendiri dalam Internet) Bagaimanapun, penulis ingin membangkitkan persoalan adakah yoga sahaja yang perlu diambil kira dalam menyelesaikan permasalahan ini.

Kalau hendak tanya tentang sesuatu amalan itu menggugat akidah atau tidak, nescaya bukanlah penulis orang yang mahir membincangkan hal tersebut. Bagaimanapun, tatkala kita hanya melihat satu isu sahaja, mengapakah tidak kita luaskan lagi isu ini kepada ruang lingkup amalan-amalan “senaman” dan “perubatan” yang lain pula. Kita perlu sedar dan sedia maklum, untuk setiap amalan berasaskan etnik dan agama, pastilah ada unsur-unsur kebudayaan yang akan disadurkan dalam amalan tersebut. Sebagai contoh, yoga dikaitkan dengan budaya India dan Hindu. Begitu juga silat dikaitkan dengan budaya Melayu dan Islam. Tai chi, Wu Shu dan Qi Gong pastilah dikaitkan dengan budaya Cina. Reiki dengan Jepun dan sebagainya.

Budaya pula sedikit sebanyak dikaitkan dengan ketamadunan dan keagamaan. Sesebuah pandangan alam (weltanschauung) yang membentuk budaya pastilah dikaitkan dengan unsur keagamaan. Oleh sebab itu, terdapat kepercayaan yang unik untuk setiap amalan yang diamalkan. Semua amalan itu pula mempunyai teras yang sama – menuju “ketenangan”. Atau mengembalikan semula imbangan unsur dalaman. Unsur dalaman bagi yoga pastilah berbeza dengan unsur dalaman Reiki (yang penulis tahu, salah satu unsur Reiki ialah Cakra). Begitulah juga unsur bagi senaman dan perubatan Cina sangat-sangat menekankan perimbangan Qi, Ying dan Yang.

Kesemua istilah-istilah tersebut mempunyai nuansa berbeza; menuju ke arah yang berbeza walaupun secara “teknikalnya” menuju ke arah imbangan atau ketenangan. Apakah pandangan alam India dan Hindu sama dengan pandangan alam kaum Cina? Sudah tentulah pandangan alam umat Islam dan Melayu berbeza dengan pandangan alam orang yang bukan Islam. Samakah Cakra dengan Qi ? Atau samakah unsur-unsur seperti cakra, qi, ying dan yang itu dengan unsur kerohanian Islam seperti unsur nafsu, nafas qalbu dan roh?

Oleh yang demikian, adalah penting untuk kita memahami bahawa setiap amalan yang dilakukan walau secara zahirnya kelihatan menuju ke arah yang sama, sebenarnya ada perbezaan bagi mengecapi maksud arah tujuan tersebut. Kalau kita rigid dan hanya menyandarkan keputusan kita dengan mengambil kira kaedah mencapai “ketenangan” atau imbangan sahaja, maka penulis kira, bukan yoga semata-mata yang perlu kita persoalkan. Sebaliknya kalau kita flexible dan mengambil kira tujuan membuat amalan atau senaman, maka kita boleh mensyaratkan sesuatu untuk pengamal muslim mengamalkan amalan tersebut. Atau, kita sememangnya taat dengan kaedah matlamat tidak menghalalkan cara... Terpulang kepada kebijaksanaan ulama kita, Apa sahaja keputusan, penulis hormati dan akan patuhi. Moga Tuhan mengurniakan taufik dan hidayah kepada mufti-mufti kita, agar beliau-beliau benar-benar selayaknya digelar Sahibus Samahah.

No comments: