PERINGATAN: Semua artikel yang ditulis oleh penulis adalah nukilan penulis sendiri melainkan telah dinyatakan sumbernya dan TIDAK mewakili organisasi yang telah/sedang penulis sertai. Tulisan bukan bermaksud membangkitkan sebarang sentimen yang menyebabkan perasaan kurang selesa kepada pembaca. Andai pembaca yang mendapati terdapat tulisan yang bersifat demikian, sila beri komen untuk tindakan selanjutnya. Terima kasih
Thursday, November 28, 2013
Naik gaji pun nak bising
Sunday, November 24, 2013
Cuti Jumaat dan kesannya
Memetik HAMKA dalam tafsirannya pada ayat 10 Surah Al-Jumaah, beliau menjelaskan berikut selepas menafsirkan ayat 'maka bertebaranlah di bumi dan mencari kurniaan Allah' sebagai,
'Dengan demikian, nyatalah bahawa dalam agama Islam, Jumaat itu bukanlah hari istirahat buat seluruhnya, melainkan hari buat melakukan ibadah bersama-samanya, iaitu sembahyang Jumaat. Apabila Jumaat telah selesai, bolehlah bergiat kembali, bertebaranlah di bumi iaitu, "Dan carilah kurnia Allah." Kurnia dari bertani dan berladang, usaha dari menggembala dan beternak, usaha dari berniaga dan jual beli, usaha dari macam-macam rezeki yang halal.'
Saturday, November 2, 2013
GST: Antara BN dan PR
Melainkan berlaku sesuatu yang luar biasa dalam masa 17 bulan yang akan datang, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan mula dikuatkuasakan pada April 2015. Sebagaimana yang pernah penulis utarakan sebelum ini, perlaksanaan GST ialah satu 'kegilaan' pada pihak 'ahli ekonomi' dan 'ahli audit/cukai.' Maka, ada kemungkinan yang sangat-sangat besar, kumpulan-kumpulan inilah yang sebenarnya mendapat manfaat daripada perlaksanaan cukai tersebut kerana mereka yang beria-ia benar agar dasar itu dilaksanakan.
Lebih menyeramkan ialah ada di kalangan pakar-pakar ini yang menyarankan penurunan cukai persendirian dan korporat tidak perlu dilaksanakan bagi membolehkan GST itu lebih 'stabil' di dalam iklim ekonomi Malaysia. Lalu, selepas mencapai 'kestabilan,' barulah kerajaan boleh menurunkan kadar cukai persendirian dan korporat secara gradual sehingga mencapai 20 peratus. Persoalan yang boleh dibangkitkan ialah, bagaimana kalau sekiranya kalau keadaan cukai 'tak stabil?'
Bagaimanapun, setidak-tidaknya kita boleh menjangkakan tiada satu gelombang besar tunjuk perasaan jalanan yang akan diwujudkan oleh pihak pembangkang di Malaysia untuk menentang sekeras-kerasnya GST sebagaimana mereka pernah lakukan untuk menuntut pilihan raya yang lebih bersih. Atau dalam erti kata lain, mungkin tidak ada himpunan seumpama 'Himpunan Hijau' atau 'Himpunan Blackout 505' yang pernah dilakukan untuk menuntut itu dan ini.
Masakan tidak, Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) yang juga Perdana Menteri Bayangan Malaysia sendiri mengakui bahawa sistem GST yang akan dilaksanakan itu lebih baik daripada sistem sedia ada. GST dikatakan sebagai sistem percukaian yang cekap dan telus yang mampu memberikan kebaikan kepada negara. Walaupun mempunyai perincian tertentu, ternyata di peringkat kepimpinan tertinggi untuk PKR telah mengakui 'kebaikan' sistem GST.
Hal ini cukup berbeza dengan PAS yang kini dipaksa untuk menghadapi PRK Sungai Limau apabila mereka telah mula memainkan persepsi bahawa perlaksanaan GST akan membebankan rakyat. Malah, Presiden PAS, Al-Allamah Sohibul Fadhilah Al-Ustaz Datuk Seri Hadi Awang turut menegaskan yang 'pandangan Ketua Umum Pakatan Rakyat bukannya pandangan ijmak Pakatan Rakyat.' Masih belum jelas apakah pandangan sebenar dan rasmi darripada pihak PR berkaitan perlaksanaan GSTdan masa sahaja yang akan menentukannya.
Justeru, dasar PR terhadap GST hanya akan diketahui dalam tempoh 'peralihan' ini. Apa yang jelas ialah PM Bayangan Anwar Ibrahim mengakui akan terus melaksanakan GST seandainya PR berjaya mengungguli tampuk pemerintahan negara. Dalam maksud frasa yang berbeza, sekiranya PRU 13 memihak kepada PR, ada kemungkinan yang cukup besar bahawa mereka akan turut melaksanakan GST; tapi dengan nada yang lebih lunak dan indah. Malah mungkin akan menyalahkan pihak kerajaan BN kerana tidak melaksanakan kaedah cukai sebaik, secekap dan setelus GST semasa pemerintahan mereka yang berpuluh tahun!
Pendek kata, ruang untuk penentang-penentang GST semakin sempit kerana di peringkat politik pun, sudah wujud dua pandangan berlainan kutub yang agak ekstream. Hal ini tidak seperti BERSIH yang mendapat sokongan sepenuhnya PR dan bantahan Projek Lynas yang mendapat sokongan seluruh pimpinan PR; melainkan seorang. Dalam isu GST ini, dua orang pemimpin agung PR melalui PKR sudah mengaku secara prinsipnya, cukai jenis ini lebih baik daripada sistem sebelumnya.
Dan kalau ditanya kepada penulis pandangan tentang GST, penulis tetap dengan pendirian tempoh hari iaitu sekiranya kutipan cukai kerajaan sudah semakin cekap, telus dan memberikan pulangan yang baik, apakah pula jaminan kerajaan bahawa mereka semakin cekap, telus dan tidak sekadar memberikan gula-gula kepada kumpulan tertentu sahaja....
Saturday, October 5, 2013
Ayam masak tiga rasa
Dalam seminggu dua ini, kes berkaitan keracunan makanan melanda utara tanah air sehingga menyebabkan kematian kepada mangsa yang terkena. Disebabkan berlaku kematian akibat keracunan makanan, graviti berita tersebut bertambah, kerana melibatkan nyawa manusia. Hendak dijadikan cerita pula, kejadian-kejadian yang berlaku itu dikaitkan pula dengan hidangan ayam yang disediakan kepada mangsa yang memakannya.
Daripada sudut mikrobiologinya pula, bakteria yang biasanya dikaitkan dengan keracunan makanan untuk masakan ayam ialah Samonella. Bakteria Gram-negatif berbentuk rod ini biasanya akan memasuki sistem penghadaman manusia melalui makanan dan mereka akan menjangkiti saluran pemakanan yang dipanggil ‘usus.’ Di dalam usus ini pula, mereka terperangkap di dalam bendalir yang dikenali sebagai ‘mukos’ dan berkoloni dengan cepatnya sebagaimana kebanyakan organisma unisel yang lain. Keadaan inilah yang bertanggungjawab menyebabkan gangguan dalam usus yang mengakibatkan usus seolah-olah ‘berpintal,’ menyebabkan ‘sakit perut.’ Selain itu, mangsa akan mengalami cirit-birit dan muntah-muntah kesan serangan keracunan tersebut. Sebagaimana biasa, apabila cirit-birit berlaku, si mangsa akan kehilangan banyak air dan mineral akibat apa yang masuk banyak dikeluarkan semula melalui tinja. Mangsa akan menjadi lemah, sementelah ditambah pula dengan kelemahan sistem pertahanan badan dan sebarang kompilasi penyakit yang lain sama ada sebelum terkena jangkitan (contohnya HIV/AIDS) ataupun akibat daripada terkena jangkitan (kejutan dan kegagalan organ seperti jantung dan ginjal) memungkinkan kematian mangsa.
Kalau hendak diikutkan, bukanlah kali pertama kejadian keracunan makanan sebegini diwar-warkan dalam media. Boleh dikatakan acap kali juga laporan tentang keracunan makanan dijadikan bahan berita. Jadi, mengapakah kejadian yang sama berulang lagi seolah-olah tiada sesiapa yang mengambil pengajaran daripadanya?
Salah satu sebab yang mungkin boleh diutarakan ialah kegagalan penguatkuasaan terutamanya dalam rangka penjagaan kualiti kebersihan dan keselamatan dalam pengurusan makanan. Kita pun faham, apabila sebuah majlis terbesar keluarga seperti kenduri kahwin, penganjurnya (keluarga yang kahwin) mahu memastikan bahawa tiada sebarang kecacatan dalam majlis yang telah dirancang barangkali berbulan-bulan. Maka sebarang kekurangan dalam bekalan bahan mentah yang disediakan boleh menyebabkan kekecohan akan berlaku sekali gus mencacatkan majlis. Takkanlah ada sanak-saudara yang datang dari jauh terpaksa hampa dengan alasan lauk dah habis? Akan tetapi, penganjur juga perlu memahami bahawa kesan kepada pemakanan yang tercemar adalah buruk dan boleh jadi, membawa maut!.
Kes empat kematian orang jemputan menunjukkan kes keracunan makanan bukanlah satu kes yang boleh dipandang sebelah mata. Kadang-kala orang akan berseloroh mengenainya sambil mengatakan bahawa yang terkena itu mempunyai ‘perut yang manja,’ ‘perut tak cukup power’ dan seumpamanya. Namun, apabila kejadian menyebabkan nyawa, barulah kes ini hendak diambil berat. Insiden berlakunya kejadian keracunan makanan biasanya melibatkan mangsa yang ramai, justeru akan menambahkan lagi tekanan kepada pihak hospital untuk menerima pesakit. Sudahlah pesakit yang sedia ada pun masih tidak menang tangan untuk dilayan, inikan pula penambahan mendadak pesakit-pesakit baru yang keracunan makanan.
Dari hal itu, kesemua orang yang terlibat hendaklah mengambil pengajaran daripada sebarang insiden yang berlaku yang melibatkan keracunan makanan. Penyedia makanan kini perlu lebih tulus dan telus dalam menyediakan makanan dan mendahului kepentingan pelanggan yang memakannya melebihi majlis yang berlangsung. Selain daripada itu, pembekal ayam juga perlulah menjalankan tanggungjawab sebagai peniaga yang berhemah ketika membekalkan ayam untuk kegunaan yang banyak. Janganlah disebabkan keuntungan, ada pihak dalam rantaian pembekal-pengguna yang memandang ringan soal keselamatan makanan sehingga mengakibatkan kesusahan kepada pihak yang lain. Disinilah sebenarnya peranan penguatkuasaan undang-undang berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan kerana secara spesifik, pihak berkuasa boleh bertindak kepada setiap pihak yang terlibat dalam rantaian tersebut.
Namun, janganlah pula kita hendak harapkan semata-mata penguatkuasaan daripada pihak Jabatan Kesihatan kerana perkara tersebut hanya akan merumitkan lagi keadaan untuk pihak berkepentingan. Mahukah untuk kesemua majlis perkahwinan didaftarkan dahulu kepada pihak Jabatan Kesihatan? Mahukah kesemua tukang masak menjalani kursus keselamatan masakan walaupun hanya masak mungkin satu-dua hidangan besar sahaja? Mahukah kesemua kerja kahwin dan kenduri-kendara perlu dihadiri oleh wakil Jabatan Kesihatan untuk memastikan aspek keselamatan makanan?
Kita pun ada membaca berita sebelum ini bahawa ada pegawai Jabatan Kesihatan yang tak boleh diharapan. Dia yang kita harapkan untuk penguatkuasaan undang-undang, dia pula yang bertindak mencari mangsa duit kopi dengan menyeleweng, salah guna kuasa dan rasuah. Jadi, kepada diri sendirilah untuk menjaga bab-bab makanan ini, kerana pada akhirnya, yang kenyang pun diri sendiri, yang sakit pun diri sendiri.
Tak kira ayam masak jenis apa pun, apabila sudah tercemar, risiko untuk keracunan tetap ada!
Thursday, December 1, 2011
Calon boleh menang? Dah kalah macam mana nak menang?
Mantra sebenar PM Najib menjelang PRU akan datang ialah calon boleh menang. Mantra ini diulang-ulang daripada semasa ke semasa bagi membuktikan UMNO dan BN begitu serius untuk mengetengahkan calon yang terbaik buat rakyat. Calon boleh menang bukanlah semata-mata tertakluk kepada peringkatn parlimen, malah di peringkat dewan undangan negeri sekali. Calon boleh menang ini menjadi manifestasi kepada perubahan besar dalam UMNO dan BN untuk membuktikan mereka sudah berubah dan akur dengan kehendak rakyat. Benarkah begitu?
Istilah ‘calon boleh menang’ hanya akan menjadi omongan palsu seandainya calon itu tidak menang. Lebih memilukan, kalau calon itu bukan sahaja tidak menang, malah telah ditolak oleh pengundi pada PRU yang lepas. Maka, bagaimanakah UMNO dan BN ingin menetapkan kreteria yang dimaksudkan dengan ‘boleh menang itu?’ Masih kedengaran daripada mulut pemimpin tertinggi parti tersebut betapa mereka akan ‘akur’ dengan kehendak pucuk pimpinan seandainya mereka telah memutuskan calon yang sesuai. Jadi timbul persoalan, kenapa ketika itu tidak memperjuangkan calon yang lebih baik kalau rasakan calon pucuk pimpinan kurang ‘kebolehmenangnya?’
Hal sebeginilah yang menjadi cabaran retorika UMNO dan BN dalam mewar-warkan strategi bertanding mereka kepada umum. Semestinya isu calon menang ini mesti dikaitkan dengan PRU yang lepas apabila begitu ramai sekali orang-orang besar dalam BN yang tumbang kerana keadaan mereka pada ketika itu yang ternyata ‘tidak boleh menang.’ Sekadar menyebut beberapa nama popular, Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin (bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah), Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim (orang kuat, tulang belakang Putera UMNO) dan Senator Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil (sekarang Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat). Di antara nama-nama tersebut, ada yang bolehlah dikatakan sudah ditolak ketepi sebagai calon PRU akan datang, namun, bukankah ada juga yang sebenarnya disebabkan atas kapasiti di dalam parti, masih diharapkan untuk menjadi calon selepas ini?
Bayangkanlah nama-nama besar yang suatu ketika dahulu (malah sehingga kini pun) yang menjadi orang kanan di dalam UMNO/BN, apakah nasib mereka akan berbeza lantaran kedudukan mereka mengikut keadaan semasa di dalam parti? Bagaimanakah nasib Pak Lah misalnya yang sungguh pun kini tiada berpangkat namun masih berpengaruh setidak-tidaknya di kawasannya? Adakah seruan ‘yang lama berikan peluang kepada yang baru’ ini sekadar untuk YB-YB berumur pencen namun masih mendapat tempat di mata rakyat walaupun tidak sehebat dahulu? Bagaimanakah mereka hendak merasionalkan calon yang sebelum ini kalah, tetapi diberi peluang sementara calon yang menang dalam PRU lepas tetapi hendak disingkirkan untuk ‘memberi laluan kepada yang muda’ seandainya berlaku keadaan sedemikian kelak?
Sebenarnya, apabila PM Najib meletakkan syarat ‘calon boleh menang’ dengan sendirinya beliau telah menjerat pemimpin-pemimpin UMNO/BN yang ada pengaruh dalam parti tetapi tiada pengaruh di sisi masyarakat. Ungkapan yang beliau keluarkan itu sebenarnya amat sukar untuk dipenuhi oleh UMNO/BN sendiri kerana begitu banyak pertembungan kepentingan antara UMNO/BN dan kepentingan pengundi. Hal ini disebabkan kuasa politik parti itu lebih besar ertinya semasa PRU berbanding undi rakyat. Akhirnya, UMNO/BN akan sukar untuk mengotakan proklamasi sendiri disebabkan persoalan ‘bolehkah yang begitu berpengaruh di dalam parti hendak digadaikan hanya disebabkan dia kalah pada PRU yang lepas?’
Oleh yang demikian, UMNO dan BN sebenarnya terlebih dahulu bermuhasabah sama ada mereka boleh mengotakan janji mereka meletakkan calon boleh menang kerana ternyata, yang memberi kemenangan kepada calon tersebut pun ialah rakyat sendiri. Terdapat pemimpin atau ahli di dalam UMNO/BN yang ditolak oleh UMNO/BN sendiri ketika pemilihan parti namun lebih diterima oleh masyarakat setempat. Ada pemimpin yang dijulang setinggi-tingginya di dalam parti namun ternyata telah ditolak mentah-mentah oleh masyarakat setempat. Konotasi calon boleh menang itu sendiri sepatutnya ialah kombinasi penerimaan peringkat parti dan masyarakat; malah yang sebenarnya perlu diberatkan ialah di peringkat masyarakat kerana merekalah yang mengundi di PRU, bukannya ahli parti sahaja!
Dengan sogokan semboyan PRU semakin hampir, momokan calon boleh menang itu sendiri menjadi satu masalah besar kepada BN dan UMNO untuk menyediakannya. Sama ada mereka percaya kepada jenama parti atau lebih percaya kepada aura kepimpinan individu, hanya masa sahaja akan memperlihatkan keadaan sebenar. Tatkala kelebihan yang rata-rata memihak kepada pembangkang untuk menyerang segenap sudut kekurangan dan kelemahan BN dan UMNO pada PRU akan datang, masih menjadi enigma bagaimanakah UMNO dan BN akan bertindak bagi mengeluarkan calon boleh menang dengan begitu banyak halangan dan dugaan untuk merealisasikannya.
Pada ketika itulah baru kita akan dapat perhatikan sejauh manakah ahli dan pemimpin parti memerintah ini sanggup bekorban untuk kepentingan parti; dan lebih penting lagi untuk kepentingan rakyat!
Sunday, November 20, 2011
Seruan Tahrir bergema lagi?
Tuesday, November 15, 2011
Setelah 20 tahun, kilang haram pun terbakar
Berita-berita sebegini memberikan nuansa berbeza untuk pembaca menafsirkannya. Pertamanya kilang tersebut ialah kilang lama, sudah berusia dua dasawarsa. Kalau kita bandingkan dengan anak orang, dua puluh tahun bermaksud dia sudah melewati usia remaja. Barangkali ada yang sudah bekerja dan barangkali ada yang telah berumah tangga. Dua puluh tahun bukanlah satu jangka masa yang pendek andai kita melihat secara mikro.
Namun, selama dua puluh tahun juga, tidak ada inisiatif yang diambil sama ada daripada pihak berkuasa mahupun pihak pengilang untuk membuat sesuatu agar status haram itu bertukar halal atau dilesenkan. Dua puluh tahun juga kilang tersebut menikmati hasil tanpa sebarang kos yang perlu dibayar kepada pihak penguatkuasaan. Sedangkan pihak penguat kuasa suka sangat pergi meneroka premis-premis perniagaan yang sah dan mengeluarkan notis itu dan ini, saman itu dan ini serta gertak itu dan ini lantaran perniagaan yang dijalankan adalah perniagaan yang sah!
Perkara ini memusykilkan ialah mengapakah selama dua puluh tahun lamanya kilang haram itu boleh beroperasi tanpa dikesan oleh Majlis Bandaran (dalam konteks berita tadi, MBJB). Maknanya, kalau tidak terbakarlah kilang tersebut, maka kerja-kerja pembuatan dan perniagaan akan berjalan seperti biasa tanpa sebarang masalah dan mungkin boleh bertahan dalam dua puluh tahun lagi! Tanpa lesen, tanpa sebarang tindakan. Hebat!
Tetapi, kalau ada pula penguatkuasaan dilakukan, timbul pula isu kerajaan kejam. Mahu memusnahkan sesuatu yang telah seadanya wujud semenjak dua puluh tahun. Ibarat sekumpulan masyarakat yang duduk di sebuah kawasan setinggan, dan telah beranak-pinak kerana tinggal di kawasan tersebut dengan kadar yang sangat lama. Tentu sahaja dengan merobohkan premis haram dengan cara begitu akan ditonjolkan sebagai kejam, tidak berperikemanusiaan sedangkan itulah punca rezeki. Wang telah banyak dilabur untuk kelangsungan perniagaan tetapi diganggu oleh birokrat yang menuntut itu dan ini. Alangkah ruginya!
Apa yang pasti, tempoh selama itu menunjukkan betapa kadang-kala pihak berkuasa memilih bulu juga dalam melaksanakan penguatkuasaan. Mereka lebih mudah menguatkuasakan yang telah terkuat kuasa sebaliknya yang belum terkuat kuasa tidak pula mahu dikuatkuasakan. Sedangkan, sepatutnya yang boleh dilesenkan harus diutamakan terlebih dahulu bagi memastikan masalah berkaitan lesen. Bukan setakat majlis bandaran/PBT, malah seharusnya agensi-agensi kerajaan yang lain turut terlibat sebagai 'pemudah cara' rakyat. Namun, kadang-kala yang sudah berlesen yang dengan mudahnya dipersoal itu dan ini kerana kononnya melanggar ‘kontrak lesen.’
Kini, seperti apa yang di Bukit Kempas tempoh hari; sudah terbakar, atau ditimpa celaka barulah hendak diisytiharkan yang kilang itu kilang haram. Dan pada ketika itu, nak minta bayar cukai atau disuruh buat lesen pun sudah tak guna!
Tuesday, November 8, 2011
Mengurangkan kakitangan awam.
Tambahan pula andai politiklah yang menjadi pemberat pengurangan kakitangan awam, pandangan sedemikian juga amat-amat kurang munasabah. Penulis secara peribadi bersahabat dengan penjawat awam, selalu berbual dengan mereka dan tidak menunjukkan pula tanda-tanda yang mereka lebih meyokong kerajaan BN/UMNO. Berapa ramai polis yang pernah berbual dengan penulis yang sebenarnya sering menzahirkan rasa tidak puas hati dan sinis dengan kerajaan sedangkan golongan inilah yang paling banyak dihentam oleh pembangkang terutamanya ketika berlakunya tunjuk perasaan.
Ada juga di kalangan kakitangan kerajaan yang secara terbuka mengisytiharkan mereka tidak menyokong BN pada PRU 2008 hanya kerana kerajaan tidak beri bonus. Ungkapan zaman Pak Lah yang lalu, 'cemerlang, gemilang, terbilang' sering diajuk dengan 'cemerlang gemilang temberang' oleh kakitangan awam sendiri. Ramai kakitangan kerajaan daripada kumpulan profesional lebih kritikal kepada pihak kerajaan berbanding menzahirkan sokongan tak berbelah bagi. Oleh sebab itu, apa yang hendak dirisaukan kerana sememangnya terbukti, penjawat kerajaanlah juga yang menyumbang kepada kemenangan monumental pembangkang tempoh hari!?
Dari hal itu, DAP kini perlulah ‘walk the talk’ dan bukannya kekal dalam kepompong lama sekadar talk the talk!
Wednesday, November 2, 2011
Semua orang pun hendak pencen
- Pertamanya, tulisan kali ini bukannya hendak memperkecilkan jasa dan pengorbanan anggota keselamatan negara sama ada polis ataupun tentera.
- Namun apabila soal pencen askar yang dikemukakan di ruangan 'Surat' Berita Harian mendapat tempat dua kali dalam tempoh lima hari (Berita Minggu tiada Surat), penulis terpanggil untuk mengulasnya.
- Tambahan pula kerjaya askar ialah kerjaya yang 'berpencen' dan 'bersagu hati;' serta dikaitkan secara erat dengan 'pengorbanan jiwa dan raga' dan 'jasa kepada negara' menentang anasir-anasir yang mengganggu gugat keselamatan negara.
- Surat pertama ialah pada Jumaat (28/10/11) yang menyatakan dengan padat berkenaan permulaan masuk askar (sekitar penghujung 1970-an dan 1980-an) lawan komunis, berhenti askar sekitar 1990-an (umur sekitar 30-an), tak ada kerja lepas berhenti, jadi pak guard dan kini menagih simpati elaun daripada pihak kerajaan kerana kesempitan hidup, keperluan keluarga dan sebagainya.
- Surat kedua pula pada Rabu (2/11/11) yang menerangkan 'jalan yang salah' oleh pengarang surat pertama kerana berhenti awal.
- Pengarang surat kedua sendiri menyertai tentera pada 1965 dan tamat tempoh perkhidmatan dengan pangkat korporal pada 1988 (masa perkhidmatan ialah 23 tahun) yang sudah semestinya diberi pencen kerana sudah melepasi tempoh matang 21 tahun perkhidmatan. Lalu dipersoalkan mengapa pula kalau sudah niat asal masuk askar ialah untuk mempertahankan negara (daripada komunis dan ancaman asing misalnya) tetapi tidak pula meneruskan perkhidmatan sehingga 21 tahun?
- Penulis kira, ini merupakan kemelut yang dihadapi oleh anggota keselamatan negara terutamanya tentera kerana mereka sudah boleh berhenti lebih awal daripada perkhidmatan dan memperoleh ganjaran 'lump sum' atau mereka boleh terus berkhidmat sehingga tempoh 'matang' bagi memperoleh bukan sahaja sedikit-sebanyak 'ganjaran segelepok,' malah diberi juga pencen bulanan.
- Sebenarnya kes sebegini jelas; tidak kabur atau berunsur spekulatif kerana realitinya ada dikalangan anggota tentera kita mungkin inginkan kehidupan baru setelah lebih sepuluh tahun berkhidmat, lantas memilih untuk berhenti awal.
- Ada juga yang sanggup berkhidmat sehingga waktu 'berhenti dapat pencen,' jadi selepas itu, setidak-tidaknya berasa selamat kerana walau apa pun berlaku selepas bersara, setidak-tidaknya ada juga sumber kewangan yang diberikan kerajaan pada hari tua.
- Justeru, bagi mereka yang berkhidmat di dalam ketenteraan mahupun polis, andai berhenti awal, janganlah jadikan alasan 'lawan komunis' atau 'mempertahankan negara' bagi menuntut itu dan ini selepas terlebih dahulu bersara sebelum 'tempoh matang' pencen kerana kalaulah yang sedemikian berlaku dan dilayan juga oleh kerajaan, nescaya yang berkhidmat 10 tahun atau kurang pun menuntut pencen dengan menggunakan alasan yang sama!
- Semua orang mempunyai peranan masing-masing sama ada semasa zaman komunis ataupun zaman kini dan sama ada dalam perkhidmatan keselamatan, penguatkuasaan, bidang perkhidmatan awam yang lain dan pekerja swasta.
- Masakan tidak, pekerja swasta pun boleh kata yang mereka juga menyumbang kepada negara kerana syarikat mereka membayar cukai, mereka sendiri perlu membayar cukai dan cukai-cukai inilah yang digunakan untuk urus tadbir negara daripada menanggung kos-kos projek negara sehinggalah membayar gaji dan pencen perkhidmatan awam.
- Sedangkan pekerja swasta sendiri tidak diberi pencen dan banyak yang hidup melarat selepas bersara walaupun tabungan di KWSP mencecah ratusan ribu kerana dengan jangka hayat yang bertambah dan kos sara hidup yang meningkat menyebabkan purata pendapatan bulanan perjangka hayat berada pada tahap kemiskinan (lihat tajuk Pekerja lama hendak lama; yang baru nak campak mana? dan Belanjawan Negara 2012 yang kurang memihak kepada sektor swasta ).
- Oleh sebab itu, pihak pekerja sama ada sektor pertahanan, perkhidmatan awam dan juga swasta perlulah memahami bahawa hidup ini ialah berkenaan kemandirian dan duit tidak turun daripada langit hanya kerana kita 'berkhidmat untuk negara tercinta.'
- Tambahan pula dengan 'Stratergi Lautan Biru' yang dipopularkan oleh PM Najib terhadap ATM dan PDRM maka sepatutnya pesara-pesara tentera menggunakan sepenuhnya insentif yang sedia ada supaya dapat menampung sebarang kekurangan selepas menamatkan perkhidmatan.
- Semua orang ada peranan masing-masing, berhak untuk meminta hak itu dan ini namun bukan kesemua kemahuan kita boleh dipenuhi.
- Kerana kalau semudah itulah manusia mendapat ganjaran dan keistimewaan keduniaan -
- Pantasnya, semua pun tak payah kerja!
AUKU terpaku kaku!
- Laporan berita hari ini (1/11/11) bertumpu kepada keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati peruntukan seksyen 15(5)(a) dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) ialah bercanggah dengan Perlembagaan Persekuan.
- Sidang Mahkamah Rayuan membabitkan tiga orang hakim dengan keputusan 2-1 iaitu bermaksud walaupun secara majoriti, seksyen berkenaan dilihat bercanggah dengan Perlembagaan, ada juga hakim yang menyokong seksyen tersebut (iaitu ketua panel penghakiman tersebut sendiri).
- Yang terlibat juga dalam keputusan itu ialah tiga orang pelajar UKM yang digantung pengajiannya kerana dituduh melanggar peruntukan tersebut.
- Dalam hujah penghakiman, salah seorang hakim (iaitu Datuk Hishamuddin Mohd Yunus) mendapati adalah tidak munasabah untuk larangan berpolitik dibuat kepada pelajar kerana pelajar universiti yang sudah berumur 21 tahun, boleh menjadi pengarah syarikat, boleh memegang sebarang jawatan dalam pertubuhan, boleh menyaman dan disaman, boleh menyertai sebarang perjanjian dalam kontrak, boleh berkahwin dan seterusnya boleh juga menjalankan kewajipan berkeluarga.
- Namun kewujudan seksyen berkenaan tidak pula membolehkan mereka (pelajar universiti) menzahirkan sebarang sokongan sama ada menyokong atau membangkang sesebuah parti politik.
- Lalu hujah beliau dikaitkan pula dengan fakta bahawa parti politik ialah entiti yang sah dari segi undang-undang dan menteri, ahli parlimen, dan ADUN sendiri merupakan ahli kepada parti politik itu sendiri.
- Tafsiran yang lebih mudah, sedangkan pak menteri sendiri pun sebenarnya ialah ahli parti sekian-sekian dan pelajar itu pun boleh mengundi (kalau berdaftar), mengapakah pula dia dilarang untuk menyatakan sokongan atau bangkangan kepada parti politik sepanjang pengajiannya di universiti?
- Bukankah pelajar itu sendiri sudah boleh mengundi (dah tentulah dia sokong parti politik tertentu kalau dia pergi mengundi) dan kalau dia sokong kerajaan persekutuan kini pun, bukankah bermakna dia sokong 'kerajaan BN'?
- Takkanlah hanya kerana pelajar itu sokong parti pembangkang maka dia telah masuk ke arena 'politik' sedangkan kalau dia di pentas 'kerajaan' maka dia sebenarnya tidak melanggar peruntukan AUKU?
- Jadi, penghakiman sebegini memberikan tafsiran dan dimensi yang lebih jelas berkenaan 'politik' itu sendiri terutamanya berkaitan 'parti politik' dan 'kerajaan.'
- Misalnya peraturan guru kini sudah boleh melibatkan diri secara aktif dalam berpolitik sedangkan pegawai kerajaan yang lain tidak; merupakan paradoks yang hanya akan melihatkan ketaktelusan perkara berkaitan politik itu sendiri.
- Kembali kepada kes asal, kita pasti bahawa kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi akan melakukan sesuatu bagi menyelesaikan masalah ini; mungkin membawanya ke mahkamah yang lebih tinggi (Mahkamah Persekutuan) atau melaksanakan penelitian dan pindaan semula terhadap AUKU secara spesifiknya, seksyen berkenaan.
- Dan keputusan Mahkamah Rayuan ini mungkin menjadi titik-tolak pertama ke arah penambahbaikan undang-undang berkaitan universiti itu sendiri.
- Kalau kena pada tempatnya!
Monday, October 31, 2011
Politik dalam bahasa (jangan tak faham bahasa!)
- Berita Harian
1/11/11 melaporkan ugutan yang disampaikan oleh Pengerusi PAGE bahawa
kesatuan mereka akan memberikan undi kepada pembangkang andai PPSMI tidak
ditawarkan kepada pelajar sekolah.
- Apa yang boleh
dilihat disini ialah sudah ada pembauran politik di dalam perjuangan PAGE
dan PPSMI sehingga menyebabkan pembangkang mendapat manfaat yang besar
sama ada PPSMI diteruskan ataupun tidak!
- Sekali gus
menunjukkan pengenalan PPSMI tempoh hari merupakan bala ciptaan BN/UMNO
sendiri yang memberi kelebihan kepada pembangkang.
- Justeru perkara
sebegini memberi pengajaran yang sangat-sangat memahitkan kepada pihak
kerajaan supaya lebih berhati-hati, lebih berwaspada, lebih teliti dan
lebih bersedia untuk melaksanakan dasar-dasar baru yang membabitkan
kepentingan rakyat dan generasi rakyat seperti dasar pendidikan.
- Kerana ternyata
dalam beberapa aspek sekali pun, selepas perlaksanaan dasar tersebut, yang
akan mendapat sokongan ialah pembangkang juga andai dasar yang
dilaksanakan separuh masak!
- Blog ini telah beberapa kali membincangkan bahasa[1].
- Sedari awal kewujudannya, PPSMI masih dilaksanakan lagi; sehinggalah dasar ini dicadangkan untuk dimansukhkan.
- Di peringkat penyokong kerajaan, UMNO Johor merupakan antara penentang dasar ini daripada dilaksanakan[2].
- Di peringkat pembangkang; nampaknya dasar ini beria-ia sungguh ditentang; namun tidak tahulah sama ada yang menentang itu disebabkan bahasa Inggerisnya (jadi bukan bahasa ibunda) yang dijadikan pengantar atau benar-benar hendak memartabatkan Bahasa Melayu.
- Masakan tidak, DAP sendiri suka menggunakan isu SJKC dipinggirkan, dianaktirikan; dan bukannya tuntutan agar SJKC menjadi sekolah kebangsaan yang menggunakan Bahasa Melayu.
- Di peringkat ahli akademik, PPSMI juga ditentang oleh Prof Diraja Ungku Aziz[3] dan Prof Shahrir Mohd Zain[4].
- Kemuncak penentangan adalah apabila tunjuk perasaan dilaksanakan mebabitkan parti pembangkang dan golongan pendesak yang diadakan bagi menyerahkan memorendum untuk memansukhkan PPSMI[5].
- Untuk rekod, sebelum kejayaan tunjuk perasaan tersebut, badan pendesak telah pun membuat satu piket di Sogo; akan tetapi, disebabkan tindakan mereka tidak menyertakan sekali pihak politik, piket tersebut kelihatan gagal.
- Bagaimanapun, apabila A Samad Said pun diajak berceramah di pentas PAS, pihak PR pun tumpang sekaki menyertai tuntutan tersebut; lain pula ceritanya.
- Perarakan dilakukan ke Istana Negara yang disertai oleh ribuan penyokong membuktikan betapa ramainya rakyat Malaysia yang menentang PPSMI.
- Tetapi, sama ada orang ramai yang ikut turut serta bergerak dalam tunjuk perasaan itu faham ke tidak akan perjuangan sebenar kumpulan penganjur, tidak dapat dipastikan.
- Setelah bertegas dalam 'perjuangan' mereka ini, akhirnya berbaloi juga hasilnya.
- PM Najib setuju untuk menggantikannya kepada dasar baru yang akronimnya panjang dan mengelirukan: MBMMBI; yang intisarinya adalah untuk mengembalikan semula pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu dan memperkasakan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris.
- Dasar tersebut dijadualkan berkuatkuasa 2012.
- Ramai bersorak kerana kejayaan mengembalikan martabat Bahasa Melayu.
- Namun, sorakan tersebut tidak bertahan; kembali sunyi.
- Kini, wujud pula badan pendesak dengan hasil kajian mereka yang menyebut majoriti ibu bapa mahukan anak-anak mereka belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.
- Mereka saban hari mengemukakan hujah, dan keluar di media massa bagi merasionalkan pengekalan PPSMI.
- Mereka inilah yang digelar PAGE[6].
- Mereka mahukan ibu bapa diberi pilihan untuk menetapkan sama ada anak-anak mereka belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu (tak ke pening kepala cikgu nanti???).
- Hanya masa sahaja yang akan menentukan sama ada akan wujud pembabitan ahli politik yang mahu mempertahankan PPSMI.
- Oleh sebab itu, janganlah kita hendak hairankan kelak akan ada tunjuk perasaan, berarak ke Istana Negara, rumah Najib, parlimen, atau Kementerian Pelajaran bagi mempertahankan PPSMI.
- Macam yang penulis pernah utarakan sebelum ini, andai ditanya pendapat penulis, sudah tentu pandangan penulis memihak kepada Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu - semua sebab persekitaran pembelajaran penulis.
- Namun, secara politiknya juga, PAGE sendiri tidak langsung menyokong kerajaan semasa kerajaan sedang melaksanakan PPSMI.
- Mereka tidak bertindak membela kerajaan, melakukan langkah proaktif terlebih dahulu bagi merasionalkan mengapa PPSMI penting.
- Perjuangan mereka hanya kelihatan wujud setelah pengumuman PPSMI dimansukhkan.
- Dan kini, mereka berteriak dengan bersungguh-sungguh mahukan PPSMI dikekalkan - apa kehal?
- Apa ke halnya semasa orang dok beramai-ramai serbu istana negara PAGE ini tidak menjadi barisan hadapan untuk mempertahankan dasar negara?
- Kenapa sedari awal lagi PAGE tidak membuat kajian sendiri bagi menunjukkan bukti yang PPSMI berkesan?
- Sebagaimana yang telah dinyatakan tadi, hanya tunggu masa sahaja untuk perjuangan PAGE ini mendapat sokongan pihak politik.
- Mereka mestilah pandai membuat rapport dengan parti politik (tak kiralah kerajaan ke pembangkang) bagi membolehkan himpunan ramai, kaliber pemimpin untuk memperjuangkan PPSMI dalam sistem pendidikan negara.
- Soal parti politik itu, pandai-pandai parti tersebut untuk putar alam mengatakan mereka sokong PPSMI – sebab korupsi ke, sebab ketirisan ke, sebab ketaktelusan ke, soal kepentingan bangsa ke, soal kehendak ibu bapa ke, soal kemajuan negara ke, soal bahasa antarabangsa ke... itu mereka memang pakar dok buat hari-hari!
- Itu tadi cerita PPSMI.
- Bahasa Melayu juga hendak diperkukuhkan penggunaannya di peringkat universiti.
- Universiti tempatan telah digesa untuk menggunakan Bahasa Melayu dalam pembelajarannya.
- Malah, Menteri Pengajian Tinggi menyarankan untuk menjadikan kreteria kenaikan pangkat pangkat pensyarah membabitkan penerbitan bahan akademik dalam Bahasa Melayu.
- Pensyarah disaran untuk menerbitkan artikel jurnal dalam Bahasa Melayu supaya bahasa ini akan mampu dimartabatkan di peringkat yang lebih tinggi lagi.
- Malah, TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin pun menggesa Universiti Kebangsaan Malaysia menjadi pendulu kepada usaha menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
- Malangnya, hala tuju pengajian tinggi Malaysia bukan kesemuanya memihak ke arah menggunakan bahasa kebangsaan sendiri dalam sama ada penerbitan, persidangan, simposium dan lain-lain.
- Jurnal yang dipetik ISI[7]; begitulah antara gesaan pihak pentadbir universiti kepada bukan sahaja pelajar pascasiswazah malah kepada pensyarah sendiri bagi meningkatkan kedudukan universiti di dalam senarai universiti dunia kerana penerobosan artikel di senarai petikan ISI akan meningkatkan pemarkahan universiti di dalam senarai prestij tersebut.
- Sedangkan ramai yang sedia maklum, terbitan-terbitan yang dipetik oleh ISI majoritinya ditulis dalam bahasa Inggeris.
- Malah, bukannya mudah untuk menerbitkan artikel di dalam jurnal-jurnal yang dipetik oleh ISI kerana kreterianya mungkin tinggi, memerlukan masa yang panjang untuk diterbitkan kerana senarai akan terbitnya sudah berderet-deret; sehingga kadang-kala, hantar artikel tahun ini, tahun depan pun belum tentu terbit.
- Bukan hendak menidakkan keperluan penarafan dan pemarkahan (ranking & rating) universiti-universiti di Malaysia namun, keperluan memartabatkan ilmu Malaysia juga penting agar bidang akademik kita berkembang mengikut acuan kita dan dapat memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat kita sendiri.
- Justeru dengan kewujudan jurnal atau terbitan Bahasa Melayulah yang akan menjadi antara langkah yang boleh dilaksanakan bagi tujuan meningkatkan keupayaan Bahasa Melayu kerana penggunaan bahasa juga mencerminkan bangsa; bak kata pepatah, bahasa jiwa bangsa!
- Terbitan Bahasa Melayu bukan sahaja perlu diperkasa, malah perlu dirai oleh ahli akademik sendiri kerana apalah gunanya andai terbitan dalam Bahasa Melayu berlambak-lambak namun tidak pula dikaji, dipetik atau dimanfaatkan oleh ahli akademik sendiri.
- Oleh yang demikian, bagi merealisasikan seruan, gesaan Menteri Pengajian Tinggi dan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, satu pangkalan data terbitan Bahasa Melayu perlulah diwujudkan untuk menyediakan runag dan peluang ilmuan mengkaji, melapor dan menerbitkan hasil kajian dalam Bahasa Melayu.
- Selain itu, apabila wujudnya pangkalan data tersebut, universiti/IPT di Malaysia hendaklah mengambil kira terbitan dalam Bahasa Melayu pula dalam sebarang usaha penarafan institusi peringkat domestik. Hal ini bermaksud, setiap universiti perlu memastikan sama ada ahli akademiknya atau pelajarnya (pra atau pascasiswazah) menerbitkan tulisan yang dipetik oleh pangkalan data ini pula (iaitu mestilah dalam Bahasa Melayu).
- Pada masa yang sama, setiap IPT juga hendaklah diwajibkan untuk memetik sumber terbitan dalam Bahasa Melayu dalam setiap penulisan mereka tak kiralah penulisannya ini ditulis dalam Bahasa Melayu mahupun bahasa lain misalnya Inggeris.
- Dengan cara ini, artikel atau sumber dalam Bahasa Melayu akan dapat diperbanyakkan, kualitinya pula boleh dijaga dan impaknya pula akan dapat diperkenalkan dan diperluaskan.
- Juga akan menyebabkan makalah, tulisan dan buku-buku dalam Bahasa Melayu lebih diraikan oleh ahli akademik dan pelajar pengajian tinggi.
- Dan usaha sebegini pastilah memerlukan kerjasama kesemua institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia sama ada awam mahupun swasta seperti kewujudan jawatankuasa peringkat nasional untuk mengawal selia, dan menyunting terbitan-terbitan tersebut.
- Pangkalan data ini perlulah sentiasa dikemaskini bagi memastikan kekiniannya dan sentiasa releven.
- Setelah daripada itu, barulah kita boleh menjalankan usaha mengantarabangsakan terbitan kita ke luar negara, melibatkan sama institusi-institusi di alam Melayu dan Nusantara untuk menyertai dan membabitkan diri dalam terbitan berbahasa Melayu seterusnya diperluaskan lagi ke peringkat Asia dan dunia.
- Barulah usaha memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu menjadi lebih konkrit dan kelangsungan Bahasa Melayu dapat dipastikan dan diteruskan. Kemudian, usaha sebegini mampu meletakkan Bahasa Melayu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bahasa-bahasa ilmu yang lain seperti Bahasa Inggeris, bahasa Eropah dan Bahasa Jepun.
- Rumusannya, memartabatkan bahasa bukanlah semata-mata usaha berasingan ahli politik, ahli akademik, pihak kerajaan dan pihak institusi sahaja sebaliknya perlu digembleng bersama-sama agar sinergi antara semua pihak dapat diwujudkan dan kelebihan masing-masing akan dapat diteroka dan dimanfaatkan bersama.
- Soal pembelajaran Sains dan Matematik merupakan satu contoh apabila gangguan politik berjaya menjadikan sistem pendidikan huru-hara tanpa sebarang ketentuan. Janganlah hendaknya setelah tiga empat tahun kedua-dua subjek ini diajar dalam Bahasa Melayu selepas perlaksanaan MBMMBI, dasar ini ditukar semua; semuanya disebabkan intervensi ahli politik.
- Malah, pemberatan ‘Sains dan Matematik’ memperlihatkan betapa sistem pendidikan, dasar kerajaan dan ahli masyarakat Malaysia terlalu pentingkan sangat kedua-dua subjek tersebut seolah-olah Bahasa Melayulah Sains dan Matematik dan Sains dan Matematik itu ialah Bahasa Melayu.
- Sedangkan bahasa ialah medium, perantara, penyampai kepada hasrat dan matlamat kelimuan kedua-dua bidang tersebut.
- Bagaimanakah pula dengan bidang-bidang lain, perundangan misalnya yang mana sehingga kini pun, masih banyak menitikberatkan Bahasa Inggeris?
- Hujahan peguam/pendakwa, hujahan kehakiman masih banyak yang ditulis dalam bahasa Inggeris sampaikan Karpal Singh[8] pun berani pertikaikan hujah kehakiman sebagai ‘melanggar tuntutan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Bahasa Melayu pada tempat yang unggul.’ Bidang undang-undang di universiti misalnya masih menekankan keputusan Bahasa Inggeris sebelum dipertimbangkan dan penulisan dalam Bahasa Inggeris juga semasa mengikutinya.
- Begitu juga dengan bidang-bidang selain Sains dan Teknologi; pengantar yang dititikberatkan ketika di peringkat universiti berubah kepada Bahasa Inggeris, misalnya pentadbiran perniagaan, ekonomi, politik dan teknologi maklumat. Yang mungkin kekal ialah Sejarah dan Pengajian Islam, itu pun atas sebab-sebab yang tertentu, ada subjek Pengajian Islam yang memerlukan subjek diajar dalam Bahasa Arab.
- Bahasa Melayu sekadar dijadikan bahasa untuk TITAS, pengajian kenegaraan dan mungkin subjek-subjek am sahaja.
- Malah, ada universiti yang berorientasikan membantu bangsa Melayu namun tidak pula menggunakan pengantar dalam Bahasa Melayu. Paradoks apakah yang sesuai untuk kita namakan keadaan ini?
- Bukanlah menidakkan penggunaan Bahasa Inggeris untuk kegunaan pendidikan, cuma usaha juga perlu dilakukan untuk mengangkat pembudayaan Bahasa Melayu dalam segenap bidang yang wujud di peringkat pengajian tinggi.
- Kalau bukan keseluruhannya yang boleh dilaksanakan, jangan pula ditinggalkan langsung. Oleh sebab itu, pembangunan pangkalan data ilmu dalam Bahasa Melayu haruslah dilaksanakan dan diperkasakan.
- Agar usaha memartabatkan Bahasa Melayu bukan sekadar bertanam tebu di pinggir bibir, yang mana ahli bahasa, sasterawan dan mereka yang berkaitan hanya diambil peduli, digunakan dan disokong dengan sebab-sebab politik sahaja sedangkan selepas itu, menghilang begitu sahaja.
- Itu pun belum lagi cerita sektor pekerjaan apabila Bahasa Melayu ‘diputusnasabkan’ langsung dalam keperluan bahasa semasa temu duga lantaran bahasa lain yang menjadi nilai tambah yang bererti.
- Memang betul, tak akan hilang kemelayuan Melayu yang berbahasa Melayu, tetapi tidak akan hilang juga identiti bangsa dan syarikat tersebut senadainya kakitangannya berbahasa Melayu.
- Apabila kita bercerita tentang Bahasa Melayu, bukan cerita tentang bangsa Melayu semata-mata melainkan kedudukan dan kepentingannya yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
- Mengapa pejuang mansukh PPSMI tidak pula berarak bawa keranda melintasi Jalan Bukit Bintang, Jalan Sultan Ismail, sekitar KLCC bagi memprotes iklan-iklan yang ditulis dalam Bahasa Inggeris – andai benar Perkara 152 itu benar-benar hendak diperjuangkan?
- Atau buat protes besar-besaran ketika persidangan ekonomi dan kewangan domestik mahupun peringkat antarabangsa yang diadakan di Malaysia sendiri kerana sangat-sangatlah cenderung menggunakan Bahasa Inggeris.
- Bukankah perkara-perkara sedemikian turut mencabuli dengan serakus-rakusnya Perkara 152 itu?
- Pendek katanya, usaha memartabatkan Bahasa Melayu memerlukan sokongan semua pihak sama ada pihak kerajaan, institusi, pelajar institusi dan lebih-lebih lagi ahli politik.
- Kerana kebanyakkan ahli politik kita pandai mengambil peluang dan ruang.
- Suka berbicara umpama mahir bersepak dan terajang,
- Apabila matlamat dan hasrat politik tercapai.
- Jadilah dia (terhadap pejuang bahasa) daripada ‘Hai-hai’ kepada ‘Bye-bye!’