Showing posts with label Isu tempatan. Show all posts
Showing posts with label Isu tempatan. Show all posts

Sunday, April 21, 2013

Polan melawan polan (Bahagian 2)

(Sambungan Polan melawan polan (Bahagian 1))

Kemudian di tempat tinggal penulis ialah pertembungan antara orang kuat PAS, Naib Presiden Salahudin Ayub dan penyandang iaitu orang kuat Uda Holding, Nur Jazlan Mohamed. Aura Tok Mat di Parlimen Pulai memang tidak boleh dipertikaikan hingga kini. Almarhum begitu berjasa di Pulai sebelum menyerahkan kerusi kepada Datuk Abdul Kadir Annuar pada 1999. Pada 2004 pula, Nur Jazlan diperkenalkan dalam arena politik tahah air secara serius apabila mengambil alih tempat Abdul Kadir dan berjaya mengekalkan kerusi tersebut kepada BN.

Beberapa isu tempatan yang menggenangi kawasan ini, daripada penempatan di kawasan Kampung Pasir hinggalah penempatan kawasan setinggan di kawasan Kempas. Misalnya, satu ketika dahulu, kawasan Jalan Persiaran Tanjung dipenuhi dengan kedai menjual kereta terpakai dan rumah-rumah setinggan, sehinggalah simpang masuk Hospital Permai lama. Kini, Hospital Permai pun sudah berpindah ke tempat baharu (dan lebih 'canggih'), semua rumah setinggan di kawasan tadi sudah dirobohkan sehinggakan kawasan tersebut menjadi botak licin. Pada masa yang sama, terpacaklah isyarat 'tanah ini milik Kementerian Kesihatan Malaysia.'

Kalau masa hendak merobohkan 'setinggarden' hari itu, bukan mainlah pihak Pakatan menggunakan isu itu semau-maunya. Kerajaan Johor zalim, menganiaya rakyat, memeras-ugut rakyat dan sebagainya. Malah, Khalid Samad daripada Shah Alam pun turun ke sini bersama-sama memprotes tindakan kerajaan yang tidak membela rakyat. Perkara inilah yang menjadi lobang besar yang membolehkan kepercayaan kepada pembangkang dipupuk di kawasan kuat BN ini sehingga menjadi satu peluang besar untuk Salahudin Ayub mencuba diri.

Perancangan telah dibuat agak lama, dan di tambah pula keengganan PAS Kelantan untuk mengemukakan 'calon luar' menjadikan misi Salahudin semakin jelas untuk beradu nasib di negeri kelahirannya sendiri. Bukannya beliau tidak pernah mencuba, melainkan percubaan tersebut menemui kegagalan. Biasalah, zaman sebelum 2004 dikatakan sebagai zaman kegemilangan BN/UMNO di Johor yang menjadi 'intan payung' dan 'jantung hati' parti pemerintah. Sebab itulah satu ketika dahulu keluar kenyataan 'kalau BN letak batu pun mereka boleh menang.' Selepas peristiwa ‘salah isi borang’ di DUN Senggarang, kubu kuat BN ini mula menampakkan kerapuhannya dan terbukti apabila pada PRU ke-12, DAP berjaya menempatkan lima orang wakil rakyat di Johor (satu parlimen, empat DUN) dan pihak PAS memperoleh dua kerusi (kedua-duanya DUN).

Bagi Nur Jazlan, peranannya sebagai Pengerusi UDA boleh digunakan (telah pun digunakan) oleh pihak lawan untuk menjatuhkan kredibilitinya. Perubahan hala tuju dan penjualan aset-asetnya dalam rangka 'penyusunan semula' UDA menjadi modal yang boleh digunakan untuk menghentam beliau. Bagaimana pun, beliau bukanlah orang yang tidak berbuat apa-apa langsung di tempatnya. Setidak-tidaknya, Plaza Angsana menjadi saksi kepada beberapa 'acara' pemimpin bersama rakyat. Kawasan perumahan pangsa Taman Cempaka misalnya telah dicat semula setelah puluhan tahun; sampai ‘diiklankan’ usaha tersebut dalam akhbar terbitan NST menjelang PRU kali ini. Taman Dahlia pun sudah dapat masjid baru. Baru-baru ini penduduk sekitar pun sudah dapat tong sampah yang baru. Perlu diakui kawasan perumahan SEDC ini agak jarang menghadapi masalah sampah.

Mungkin banyak lagi perkara yang telah beliau lakukan/selaraskan dengan pihak berkuasa yang tidak diketahui oleh umum. Sementelah pula, dalam peperangan persepsi dalam PRU ke-13 ini, persoalannya ialah sudah cukupkah apa yang beliau laksanakan untuk masyarakat tempatan dan sudah popularkah beliau untuk mengekalkan kerusi tersebut.

Jadi, pertemuan dua calon ini sangat menarik kerana kedua-dua calon merupakan calon yang berkaliber untuk parti masing-masing. Nur Jazlan misalnya pernah menyatakan hasrat untuk bertanding ke peringkat Timbalan Presiden UMNO dalam pemilihan parti terdahulu (tapi tak dapat sebarang pencalonan) dan Salahudin Ayub memanglah sudah mempunyai jawatan kukuh dalam PAS. Kemenangan mana-mana calon akan mengukuhkan lagi resume mereka sebagai penumbang nama besar parti lawan dan mungkin mampu menjadi batu loncatan kepada jawatan yang lebih signifikan sekiranya parti masing-masing turut menang pada PRU kali ini.

Seterusnya ialah di Lembah Pantai apabila berlaku pertandingan tiga penjuru di kawasan panas tersebut. Puteri Reformasi Nurul Izzah (dah boleh panggil Mak Reformasi) dijadualkan bertemu dengan Raja Nong Chik (BN) dan seorang calon bebas Rusli Baba. Penulis mengaku tidak mempunyai maklumat langsung tentang Rusli Baba namun mungkin beliau merasakan beliau boleh menang sekiranya beliau bertanding. Adat rasional, orang bertanding untuk menang, tidak begitu? Memang tak sangka pun ada calon lain selain Raja Nong Chik dan Nurul Izzah di Lembah Pantai. Oleh sebab itu, kehadiran pihak ketiga akan menjadikan pertarungan kali ini lebih enigma. Bukan untuk kerusi ini sahaja, malah di kerusi-kerusi berpenjuru yang lain juga.

Menarik di sini ialah corak pengundian orang Lembah Pantai kerana inilah kali pertama YB Nurul Izzah mempertahankan kerusinya. Sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh media arus perdana betapa penyandang kerusi dikatakan tidak berkhidmat kepada parlimennya, tak buat kerja, susah hendak bertemu dengannya dan pelbagai lagi kata-kata yang agak negatif yang dituju kepadanya. Namun, berkat usaha Menteri Wilayah Persekutuan, penduduk di Lembah Pantai mendapat pembelaan yang sepatutnya walaupun beliau bukanlah ahli parlimen yang dipilih di kawasan itu. Hal ini menjadikan Raja Nong Chik popular di kawasan itu kerana beliau orang tempatan, sering turun padang mengambil tahu masalah dan menyelesaikannya. Justeru, beliaulah yang layak menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

Hujah ini pun turut skeptikal bagi pendapat penulis. Kalaulah seorang YB yang menang, tak buat kerja apa-apa pun di kawasan yang ditandinginya tapi, kawasannya itu tetap mendapat pembelaan daripada orang lain, mengapa susah-susah pengundi hendak menukar YB di tempat itu? Kalau calon BN kalah pun, kawasan itu tetap mendapat pembelaan, jadi taruhan untuk kerusi tersebut semakin kecil. Bukan semua rakyat tahu apa yang ahli parlimennya buat di kawasan, jadi ada dikalangan mereka pun bukannya kisah apa ke benda pun! Sudahnya, rakyat di kawasan tersebut pun tak perlulah terlalu kritikal untuk memilih calon kerana ‘mereka tetap dibela oleh kerajaan meskipun ahli parlimen mereka daripada pembangkang!’

(Bersambung….)

Thursday, November 24, 2011

Syiah: Satu tinjauan awal

 

Soal penularan kegiatan syiah di dalam masyarakat Islam Malaysia telah bertambah dari semasa ke semasa.

Baru-baru ini, sudah kedengaran yang kumpulan cenderung Syiah telah membuat permohonan di mahkamah bagi mencabar keabsahan serbuan jabatan agama ke markaz kegiatan mereka[1].

Oleh yang demikian, sudah semestinya hal yang demikian mengundang persoalan tentang semenjak bilakah wujudnya kemasukan aliran akidah tersebut sedangkan umat Islam di Malaysia secara struktur dan amalannya adalah berpegang kepada Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan bermazhab Syafie[2].

Kehadiran aliran Syiah di Malaysia tidak boleh sama sekali disamakan dengan kewujudan mazhab akidah tersebut yang mendominasi Iran dan Iraq, dan menjadi mazhab akidah yang minoriti namun bererti di Lubnan dan negara-negara Asia Tengah.

Secara ‘konvensyennya’ aliran pemikiran akidah yang datang ke Tanah Melayu ialah Ahlus Sunnah Wal Jamaah[3].

Pengiktirafan Ahlus Sunnah Wal Jamaah sebagai pegangan rasmi boleh dilihat dengan kesemua negeri di Malaysia meletakkan sama ada mazhab Syafie atau Ahlus Sunnah Wal Jamaah sebagai pegangan rasmi bagi umat Islam di peringkat negeri[4].

Oleh sebab itu, bagaimanakah unsur Syiah itu boleh menyelinap masul ke dalam pemikiran sesetengah umat Islam dan kini menjadi satu ancaman untuk mengekalkan kelangsungan dominasi pemikiran sunni?

Untuk tujuan pemahaman konsep Syiah itu sendiri, adalah wajar untuk kita meneliti sejarah awal kewujudan perpecahan pandangan yang menyebabkan wujudnya mazhab-mazhab aliran akidah.

Pertembungan-pertembungan pendapat atau idealisme di kalangan umat Islam pada zaman Nabi SAW tidak dikira sebagai satu pertembungan yang serius kerana ketika itu, perselisihan tersebut lantas diselesaikan terus dengan merujuk Nabi SAW. Misalnya perselisihan sahabat-sahabat berkenaan sembahyang Asar di perkampungan Bani Quraizah yang dirujuk kepada Nabi SAW, dan ditaqrirkan oleh Nabi SAW sama ada puak yang melakukan sembahyang Asar semasa perjalanan tersebut dan puak yang mentak’hirkan sembahyang Asar hingga tiba ke perkampungan tersebut.

Sebarang perselisihan ketika itu dengan mudah diselesaikan kerana umat Islam ketika itu masih mampu ketemu Nabi SAW untuk bertanyakan soal-soal hukum-hakam dan pendapat.

Bagaimanapun, kontra dengan pemikiran bahawa pepecahan itu sudah mula berlaku sewaktu zaman Uthman ra atau setelah kematian Ali kwj, pepecahan dikalangan umat Islam yang sebenarnya telah muncul seawal kewafatan Nabi SAW lagi apabila ada dikalangan para sahabat yang tidak boleh menerima bahawa Nabi SAW sudah tiada di sisi mereka.

Sedangkan Umar Al-Khattab r.a, sahabat akrab Nabi SAW yang terkenal dengan ketegasan, keilmuan dan dikategorikan sebagai ‘yang dijamin syurga;’ pada awalnya tidak dapat menerima sama sekali kewafatan Nabi, sehingga mengancam untuk memenggal kepada sesiapa sahaja yang berkata Nabi SAW telah wafat!

Mujur dengan rahmat Allah melalui kebijaksanaan Abu Bakar As-Siddiq r.a yang dapat mententeramkan keadaan pada ketika itu dengan hikmah membacakan ayat-ayat Al-Quran yang antara lain mempunyai inti pati pertanyaan kepada umat Islam, seandainya Nabi SAW wafat atau terbunuh, maka mereka akan murtad kembali kepada agama lain/asal[5]?

Kemudian, timbul pula perselisihan berkenaan pemakaman Rasulullah SAW, warisan (harta) Nabi dan kemuncak kepada perselisihan tersebut ialah berkenaan kepimpinan umat Islam pada ketika itu selepas kewafatan Nabi SAW[6].

Isu berkenaan kepimpinan umat Islam pada ketika itu berlegar antara tuntutan kaum Muhajirin dan Ansar bagi jawatan pemimpin dan perselisihan inilah menjadi bibit-bibit sejarah kewujudan kaum Syiah di dunia ini.

Walaupun terdapat riwayat yang mengatakan bahawa perselisihan di Balai Bani Sa‘idah tersebut sekadar antara kaum Muhajirin dan Ansar sahaja, ada pendapat juga yang menyebut Ali sendiri yang inginkan agar beliau dilantik sebagai khalifah[7].

Ditambah pula dengan keengganan Ali kwj membai‘ah Abu Bakar r.a pada awalnya sehinggalah selepas enam bulan iaitu setelah kematian isterinya iaitu anak Rasulullah SAW Fatimah Az-Zahra[8].

Nuansa ini sudah cukup untuk merasionalkan mengapakah gerakan pembelaan Ali kwj itu wujud; kerana pada pendapat mereka, Sayidina Alilah yang sepatutnya dilantik sebagai khalifah, dan bukannya Abu Bakar.

Ditambah pula dengan hujah puak penyokong Ali kwj yang mendakwa Nabi SAW telah telah berwasiat agar pimpinan patut diturunkan kepada Ali kwj (disebut juga sebagai Hadis Ghadir Khum) sempena tempat yang didakwa Nabi menyampaikan wasiat/hadis tersebut) dan hadis-hadis lain yang menunjukkan kelebihan Ali disisi Rasulullah SAW[9].

Akan tetapi, letusan cetusan ketakakuran puak penyokong Ali kepada kekhalifahan Abu Bakar dan Umar dikatakan hanya berlaku setelah kedua-duanya meninggal dunia setelah pada ketika itu, Sayidina Uthman mati terbunuh dan Muawiyah bin Abu Sufyan berkehendakkan jawatan khalifah.

Maka, puak-puak ini membela terus menerus Sayidina Ali kwj dan Ali diangkat menjadi khalifah dalam suasana ketaktentuan pada ketika itu yang membawa kepada peperangan Siffin, majlis Tahkim dan akhirnya pembunuhan Khalifah Ali Abi Thalib.

Namun, pada peringkat awal, pembelaan terhadap Sayidina Ali kwj hanya bersifat politikal dan bukannya membabitkan aspek kepercayaan dan ibadah[10].

Kewujudah pembela Ali ini adalah sebagai respon kepada puak Khawarij yang satu ketika menyokong dan mengikuti Khalifah Ali namun bertindak sebaliknya apabila Khalifah Ali bersetuju untuk berunding dengan Muawiyah[11].

Kehuru-haraan politik pada ketika itu menunjukkan betapa umat Islam pada ketika itu menghadapi pertembungan ideologi yang membawa kepada pembunuhan demi pembunuhan sahabat r.hum.

Kesemua puak yang terbabit mengaku bahawa merekalah yang sebenar-benarnya paling benar dan hal yang demikian mengundang kepada pepecahan, peperangan, tikam-menikam daripada belakang.

Setelah dinasti Umaiyah diwujudkan, terdapat beberapa pemimpin mereka yang terlalu melampau dalam menghina dan mencaci Ali kwj untuk menaikkan imej Muawiyah dan Uthman Affan r.a yang lantas menyebabkan ketidakpuasan penyokong-penyokong Ali kwj[12].

Perubahan kepimpinan, pengaruh, pepecahan dan tokok tambah dalam kepercayaan bagi mengagungkan Sayidina Ali menyebabkan puak Syiah itu sendiri terbahagi kepada beberapa kumpulan seperti Imamiyah, Zaidiyah, Ismailiyah dan Sabaiyah[13].

Bagaimanapun, kumpulan Imamiyah merupakan kumpulan yang paling dominan dan sehingga kini mendominasi mazhab Syiah itu sendiri. Kumpulan ini mempercayai imam yang dua belas termasuklah Imam Mahdi yang didakwa akan muncul semula bagi menegakkan keadilan Islam.[14]

Jadi, kelangsungan pemikiran Syiah bolehlah dikatakan begitu kuat berbanding mazhab-mazhab akidah yang lain kerana kewujudannya sehingga kini yang menjadi perbezaan yang jelas antara Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Hal yang demikian boleh dilihat apabila mazhab akidah yang lain yang wujud ketika zaman sahabat dan dinasti Umaiyah, Abbasiyah seperti Muktazilah dan Khawarij sudah lenyap walaupun intisari dan kecenderungan yang menghala ke unsur-unsur kedua-duanya masih wujud.

Misalnya puak-puak yang mudah mengkafirkan orang lain dilihat sebagai cenderung mempunyai pemikiran Khawarij dan mereka yang gemar menggunakan pandangan akal atau logik akal dikatakan sebagai Muktazilah.

Sebaliknya, Syiah kekal membentuk satu kumpulan atau mazhab berbeza dan dominan daripada segi akidah di negara-negara tertentu seperti di Iran atau berjaya menembusi pemikiran dominan Sunni seperti di Malaysia. Wujud cakap-cakap tertentu juga bahawa terdapat pemimpin parti politik Islam di sini yang cenderung kepada aliran Syiah[15].

Pada masa yang sama, pengaruh Syiah tidak boleh dipandang sepi oleh Jabatan-jabatan Agama Islam andai mereka mahu mengekalkan status quo bahawa akidah dan sumber hukum yang dipegang di Malaysia ialah Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan Mazhab Syafie.

Hal ini demikian kerana cabaran Syiah membuka lembaran baru usaha mempertahankan status quo tersebut apabila selama ini, perkelahian yang tampak antara umat Islam sesama umat Islam masih dilingkungi pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah (seperti Syafie – Wahabi; Syafie – Salafi; Syafie – Hambali; UMNO – PAS daripada segi politik).

Justeru, sudah semestinya dakyah atau gerakan Syiah ini berasal daripada pemikiran Islam seawal zaman kehadiran Islam di Nusantara/Kepulauan Melayu/Tanah Melayu kerana sudah tentulah blueprintnya wujud pada masa tersebut.

Gerakan Syiah bukanlah sesuatu yang baharu dan asing daripada segi kewujudannya; oleh sebab itu, adalah wajar untuk diteliti sama ada pengaruh aliran tersebut hadir seawal kedatangan Islam ke Tanah Melayu lagi bagi memahami kewujudannya dan pengaruhnya dalam pemikiran akidah di Malaysia.

Hal ini sekali gus akan dapat memberikan kepada kita gambaran sebenar sejarah amalan dan ibadah yang telah sebati dengan masyarakat Islam di sini dan memberikan peluang untuk kita memahami perkembangan amalan-amalan tersebut sehingga menyebabkan umat Islam di Malaysia telah menerimanya sebagai amalan harian.

 

Nota hujung


[1] Laporan Bernama 31/10/11 yang antara lain menyebut salah seorang pengikut Syiah memfailkan saman terhadap JAIS dan Utusan berkenaan serbuan yang membawa kepada penangkapannya Disember tahun lepas. Hakim bagaimanapun telah membenarkan pembatalan saman oleh JAIS dan Ketua Pengarahnya pada ketika itu, Dato’ Khusrin Munawi.

[2] Di peringkat Jawatan kuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal ehwal Ugama Islam (dikenali sebagai Majlis Fatwa Kebangsan) pada 1996 misalnya telah memutuskan tujuh ketetapan berkaitan Syiah yang antara lain memansukhkan penerimaan amalan Syiah Zaidiyah dan Imamiyah di Malaysia dan menetapkan bahawa agama bagi Persekutuan dan negeri-negeri perlulah ditetapkan sebagai berasaskan Ahlus Sunnah Wal Jamaah daripada segi Akidah, Syariah dan Akhlak. Contoh lain ialah Keputusan Fatwa bagi Jawatan kuasa Perundingan Hukum Syarak (Fatwa) Negeri Selangor misalnya mendapati ajaran Syiah bersalahan dengan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah sambil menyatakan tiga cara penyebaran Syiah di Malaysia iaitu melalui 1. Lawatan pembesar daripada Iran, 2. Pelajar yang ditawarkan belajar di Iran dan 3. Hadiah buku kepada perpustakaan, umum dan kedai buku terkenal. Untuk rujukan lanjut teks sila lihat http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/syiah-di-malaysia dan http://www.e-fatwa.gov.my/tagging-kod-isu/1996khas.

[3] Sebenarnya, perkara inilah yang menjadi titik persoalan berkenaan kedatangan Islam di Kepulauan Melayu yang kini dibayangi oleh dogma yang mengatakan Islam hadir melalui ajaran Sufi dan bermazhab Syafie. Pun begitu, andai dirujuk kepada sumber primer seperti Sulalatus-Salatin sekalipun, tidak ada tanda-tanda pengarang menyatakan secara terus apakah mazhab yang dibawa oleh pendakwah Islam pada ketika itu semasa penyebaran agama Islam di kepulauan ini. Sama ada pertikaian mazhab akidah pada ketika itu dikira penting atau tidak untuk pengarang-pengarang ‘hikayat’ tersebut belumlah dapat dipastikan. Bagaimanapun, kajian-kaiian terkini sebenarnya membuktikan bahawa aliran kesufian yang mula-mula tiba di Kepulauan Melayu sebenarnya cenderung kepada pemikiran Syiah.

[4] Misalnya Fasal 54 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor yang menetapkan agar qaul yang muktamad hendaklah daripada Mazhab Syafie, namun andai kesukaran atau berlawanan dengan kepentingan awam maka subfasa (2) menetapkan Jawatan kuasa fatwa boleh mengikut qaul daripada Hanafi, Maliki atau Hanbali. Ayat-ayat yang hampir sama juga ditemui di dalam Seksyen 39, Akta 505 Pentadbiran Undang-undang Islam Wilayah Persekutuan dan Seksyen 54 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor. Bagaimanapun, di Perlis Seksyen 7(4) Enakmen Pentadbiran Undang-undang Ugama Islam menetapkan bahawa Jawatan kuasa Syariah perlulah menggunakan Al-Quran dan As-Sunnah dalam mengeluarkan fatwa.

[5] Surah Ali-Imran: 3 ayat 144. Bacaan ayat ini seterusnya disambung pula dengan kata-kata Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq, ‘Barang siapa yang menyembah Muhammad, maka sesungguhnya Muhammad telah wafat. Dan barang siapa yang menyembah Allah (sebahagian versi disebut ‘Tuhan Muhammad,’ membawa konotasi yang sama juga iaitu Allah), maka sesungguhnya Dia Maha Hidup, tidak sama sekali akan mati.

[6] Lihat Ahmad Muhd Abd. Ghaffar, Serpihan Ummah Jilid (Kuala Lumpur: Darul Nu’man 1999), 2-7.

[7] Lihat Ahmad Shalaby, Sejarah dan Kebudayaan Islam Jilid 1, Cetakan ke-8, (Singapura: Pustaka Nasional, 2000) 258-259. Sungguhpun wujud golongan yang menyokong Ali pada waktu perselisihan perlantikan kepimpinan selepas kewafatan Nabi, golongan ini tetap menerima perlantikan Abu Bakar As-Siddiq dan bekerjasama dengan beliau. Lihat Mahayudin Yahya, Sejarah Politik dan Sosiobudaya Masyarakat Islam (KL: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2009) 202.

[8] Pendidikan Sirah Darjah Enam, Edisi Jabatan Agama Johor, (Kajang: Synergymate Sdn Bhd, 1998), 45.

[9] Misalnya ‘Aku (Nabi SAW) adalah kota ilmu sedangkan Ali adalah pintunya.’ Hadis ini dan hadis Ghadir Khum merupakan hadis-hadis yang dianggap lemah atau palsu oleh ulama hadis Ahlus Sunnah. Lihat Ahmad Muhd, Serpihan Ummah, 13-14 dan Abdul Razak Muthalib, 40 Hadis Palsu Popular (Batu Caves: PTS Islamika Sdn. Bhd., 2011) 66-70 .

[10] Ahmad Muhd, Serpihan Ummah, 15 dan Mahayudin, Sejarah Politik dan Sosiobudaya Masyarakat Islam, 202. Akan tetapi, S. H. Nasr menyatakan sungguhpun pendapat tersebut benar (i.e. dikatakan sebagai pandangan orientalis), beliau tetap menegaskan bahawa wujud perbezaan keagamaan dan teologi berkenaan jawatan khalifah/imam . Menurut pandangan Sunni, khalifah ialah pemimpin di peringkat syariah bagi sesebuah komuniti sementara Syiah pula cenderung meletakkan khalifah/imam sebagai pewaris fungsi spiritual yang mewarisi ajaran Nabi. Lihat S. H. Nasr, Ideals and Realities of Islam (London: Allen & Unwin, 1966), 148.

[11] Mahayudin, Sejarah Politik dan Sosiobudaya Masyarakat Islam, 198 dan 201.

[12] Ahmad Muhd, Serpihan Ummah, 16

[13] Untuk doktrin golongan Syiah yang lebih panjang, boleh lihat Ahmad Muhd, Serpihan Ummah, dan Ab. Latif Muda dan Rosmawati Ali @ Mat Zin, Kemunculan Aliran Akidah dlm. Perbahasan Akidah Islam (KL: Pustaka Salam, 2007), 139-159 dan Nasr, Ideals and Realities of Islam, 147-176. Tulisan S. H. Nasr mempunyai banyak kecenderungan menyertakan pandangan Syiah apabila kebanyakan tulisannya mengenai aspek teologi/akidah cenderung untuk menonjolkan sudut perspektif ‘Mazhab Imam yang 12’ dan Ismailiyah; walaupun tidak dinafikan sama sekali beliau turut mengulas bersama-samanya sisi pandangan Sunni. Justeru, adalah selamat untuk mengatakan beliau cenderung kepada fahaman Syiah meskipun sering ditonjolkan sebagai mengikuti ‘mazhab Sufi.’

[14] Ahmad Muhd, Serpihan Ummah, 17 dan Mahayudin, Sejarah Politik dan Sosiobudaya Masyarakat Islam, 204.

[15] Disebabkan cakap-cakap ini bersifat spekulaitif, tiadalah penulis mahu memperincikan siapa yang dimaksudkan kerana bukti yang nyata masih belum dikemukakan atau ‘kesyiahannya’ masih belum ditonjolkan sendiri oleh pemimpin tersebut.

Beg plastik: Keuntungan peruncit atau pemeliharaan alam sekitar?

 

Masih segar dalam ingatan pada ketika itu, tatkala menapak di Tesco Kajang, penulis terlihat iklan yang berlatar hijau dengan lambang kerajaan Selangor tertera bersama-samanya yang membawa maksud Hari Sabtu ialah hari tanpa beg plastik. Iklan dan pengumuman yang sama dapat dilihat di hampir kesemua pusat membeli-belah di 'Negeri Selangor.' Kesemua itu mula berlaku sekitar 2009 yang menunjukkan begitu mendalam perhatian yang dimainkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor untuk memelihara alam sekitar.

Kini, langkah yang sama juga dimainkan oleh kesemua pusat membeli-belah di seluruh negara. Malah, kerajaan pusat (BN) sendiri mengiktiraf usaha pertama Kerajaan Selangor dengan tidak segan silu melaksanakan idea untuk memelihara alam sekitar itu. Begitu besarnya pengaruh langkah daripada Kerajaan Selangor ini sehinggakan kerajaan pusat pun mengikut langkah yang sama. Barangkali perlu diberikan kredit kepada mereka kerana usaha sebegini tidak pernah dilaksanakan sehinggalah PR berjaya memerintah Selangor.

Namun, usaha sebegini jugalah yang mendatangkan pertikaian oleh pengguna kerana bukanlah sepenuhnya 'hari tanpa beg plastik,' melainkan kalau mahukan juga beg plastik, maka pengguna bolehlah membayar dengan harga 10-20 sen sehelai. Kalau seseorang itu membeli-belah dengan banyak, yang memerlukan berbeg-beg plastik, maka perlulah dia membayar sekali beg-beg plastik tersebut sekali. Maknanya, kalau sepuluh helai beg plastik, sudah tentu sekitar dua ringgit! Usaha sebegini dilihat sebagai 'mencabar hak pengguna' kerana pengguna telah dicaj dengan harga yang tidak dibayar selama ini. Sudah tentulah perkara sebegini akan membebankan pengguna dan menyebabkan pengguna membayar lebih.

Hal yang demikian telah dibawa kepada Pak Menteri bertanggung jawab dan sekali lagi, ditegaskan kepada peniaga supaya 'tidak mengambil peluang untuk mengaut keuntungan berganda.' Seolah-olah usaha 'memelihara alam sekitar' ini sebenarnya berbaur 'mengaut keuntungan atas angin' lantaran pengguna perlu membayar lebih hanya untuk mendapatkan beg plastik. Tidak adil kepada pengguna kerana selama ini mereka tidak membayar beg plastik tersebut dalam urusan perbelanjaan harian mereka. Namun, kini mereka dipaksa pula untuk membeli beg plastik yang selama ini diberikan kepada mereka secara percuma.

Benarkah begitu?

Sekali pandang dan dengar, macam betul yang peniaga sebenarnya 'mengeksploitasi dasar pemeliharaan alam sekitar' dengan mengecaj pengguna untuk beg plastik, tetapi adakah dengan usaha sebegini semata-mata maka peniaga boleh menjadi kaya-raya? Penulis secara peribadi sendiri mengamalkan, kalau sudah tiada beg plastik hari Sabtu atau tak mahu membayarnya, tak payah datang membeli-belah pada hari Sabtu! Datanglah pada hari lain kalau nak sangat beg plastik tersebut! Barangkali sebenarnya pengguna tidak didedahkan dengan kos-kos alam sekitar yang perlu ditanggung oleh bumi ini sedangkan bumi ini tidak dibayar walau sesen pun.

Beg plastik ialah produk yang tidak boleh terbiodegradasi; dalam bahasa mudahnya tidak boleh direputkan secara semula jadi. Pertambahan penggunaannya hanya akan menambahkan lambakan beg plastik yang sudah terbuang dan tidak digunakan. Semakin banyak beg plastik, semakin banyak juga tempat yang perlu disediakan untuk 'melupuskannya.' Namun, plastik sebenarnya tidak boleh 'dilupuskan' kerana tidak reput. Oleh sebab itu, beg ini akan mendatangkan masalah pencemaran alam sekitar. Masalah seperti, beg hanyut dalam sumber air, menyebabkan pencemaran air dan kematian organisma air yang menyangkanya sebagai obor-obor (seperti penyu yang dikatakan selalu tersilap makan beg plastik).

Lebih daripada itu, beg plastik sebenarnya berasal daripada petroleum yang sudah tentulah menggunakan sumber yang tidak boleh diperbaharui. Kita pun telah diajar sedari sekolah rendah berkenaan bahan api fosil yang memerlukan masa jutaan tahun untuk dibentuk dan beg plastik pula merupakan sebahagian daripada hasil produk tersebut. Kalaulah sumber bahan api fosil ini habis (dan dikatakan sudah semestinya akan habis), bagaimanakah kita hendak menghasilkan beg plastik lagi? Sehinggalah saintis boleh menghasilkan kaedah untuk mengitar semula beg plastik kepada sumber bahan api, kita bukan sahaja menghadapi lambakan beg plastik, malah kekurangan sumber untuk membuat beg plastik. Tambahan pula kualiti beg plastik percuma yang kini bertambah teruk kerana tidak mampu tahan lama, beg plastik semakin dibuat dan semakin menambahkan lagi lambakan bahan yang takterderadasi!

Pengguna di Malaysia seolah-olah telah menerima satu statua quo bahawa plastik ialah barang yang percuma dan merupakan 'hak' mereka. Ada orang yang membeli minyak sepeket pun hendakkan plastik. Atau yang beli roti sebuku pun nak plastik. Nasib baiklah secara biasanya, rokok dan kad caj prabayar (top-up) tidak perlukan plastik; kalau tidak, nescaya pengguna hendakkan plastik juga untuk benda-benda sebegitu. Sedangkan beg plastik ialah kos yang perlu ditanggung oleh penjual untuk 'budi baik' (courtesy) kepada pembeli. Terlalu jarang pembeli yang membeli barang dengan membawa semula beg plastik. Oleh sebab itu, sudah menjadi semacam satu corak pemikiran bahawa penjualah yang sepatutnya menyediakan beg plastik dan terpaksa menanggung kos beg plastik. Sebungkus beg plastik saiz sederhana yang bercuping (tempat pegang) mempunyai kira-kira 50 helai dengan kos sekitar RM 2.00. Selama ini, peniagalah yang menanggung harga tersebut.

Sedangkan kos sebeginilah sebenarnya kos tersembunyi yang perlu diserap oleh peniaga. Ratusan atau ribuan ringgit perlu dibayar setiap minggu hanya untuk membeli beg plastik. Berasaskan kepada tahap perbelanjaan dan penggunaan yang semakin tinggi, beg plastik terpaksa disediakan dan dibeli oleh peniaga untuk memenuhi ‘budi baik’ tersebut. Malangnya, keadaan sebegini bukan sahaja akan meningkatkan kos berat sebelah kepada peniaga, malah mengancam alam sekitar dengan penggunaan beg plastik yang tidak berhemah.

Oleh yang demikian, kesatuan pengguna seharusnya mewar-warkan perspektif yang betul tentang beg plastik yang sebenarnya bukanlah semata-mata menambahkan kos harga barang, malah sebenarnya menambahkan pencemaran alam sekitar. Kos yang ditanggung sekarang ialah untuk menjamin generasi akan datang agar dapat hidup dengan lebih sempurna dan tidak menanggung bebanan kecelakaan, kesusahan dan kecemaran yang dilakukan oleh generasi kini. Daripada perspektif nilai keagamaan pula, apa yang kita lakukan pada hari ini ialah cerminan untuk apa yang akan kita peroleh di sana, jadi, usaha sedemikian sebenarnya sedikit sebanyak membantu amalan kita ke arah itu. Janganlah difikirkan sangat tentang duit kalau kita mampu berjimat dalam menggunakan beg plastik dan janganlah berkira sangat dengan duit kalau memang kita perlu menggunakannya.

Kalau tidak mahu membayar seringgit dua, sediakanlah beg serba guna bagi benar-benar menghayati usaha untuk memelihara dan memulihara alam sekitar. Kalau semua pun tak sanggup, janganlah sibuk-sibuk hendak bercinta, berkahwin dan beranak-pinak kerana tidak mahu mengorbankan yang sedikit untuk generasi yang akan datang. Dan kekikiran kita hanya menyebabkan anak cucu kita menderita disebabkan tangan-tangan kita.

Kalau tak nak bayar barang seringgit dua, bawalah raga sendiri!

Tuesday, November 15, 2011

Setelah 20 tahun, kilang haram pun terbakar

 

Berita-berita sebegini memberikan nuansa berbeza untuk pembaca menafsirkannya. Pertamanya kilang tersebut ialah kilang lama, sudah berusia dua dasawarsa. Kalau kita bandingkan dengan anak orang, dua puluh tahun bermaksud dia sudah melewati usia remaja. Barangkali ada yang sudah bekerja dan barangkali ada yang telah berumah tangga. Dua puluh tahun bukanlah satu jangka masa yang pendek andai kita melihat secara mikro.

Namun, selama dua puluh tahun juga, tidak ada inisiatif yang diambil sama ada daripada pihak berkuasa mahupun pihak pengilang untuk membuat sesuatu agar status haram itu bertukar halal atau dilesenkan. Dua puluh tahun juga kilang tersebut menikmati hasil tanpa sebarang kos yang perlu dibayar kepada pihak penguatkuasaan. Sedangkan pihak penguat kuasa suka sangat pergi meneroka premis-premis perniagaan yang sah dan mengeluarkan notis itu dan ini, saman itu dan ini serta gertak itu dan ini lantaran perniagaan yang dijalankan adalah perniagaan yang sah!

Perkara ini memusykilkan ialah mengapakah selama dua puluh tahun lamanya kilang haram itu boleh beroperasi tanpa dikesan oleh Majlis Bandaran (dalam konteks berita tadi, MBJB). Maknanya, kalau tidak terbakarlah kilang tersebut, maka kerja-kerja pembuatan dan perniagaan akan berjalan seperti biasa tanpa sebarang masalah dan mungkin boleh bertahan dalam dua puluh tahun lagi! Tanpa lesen, tanpa sebarang tindakan. Hebat!

Tetapi, kalau ada pula penguatkuasaan dilakukan, timbul pula isu kerajaan kejam. Mahu memusnahkan sesuatu yang telah seadanya wujud semenjak dua puluh tahun. Ibarat sekumpulan masyarakat yang duduk di sebuah kawasan setinggan, dan telah beranak-pinak kerana tinggal di kawasan tersebut dengan kadar yang sangat lama. Tentu sahaja dengan merobohkan premis haram dengan cara begitu akan ditonjolkan sebagai kejam, tidak berperikemanusiaan sedangkan itulah punca rezeki. Wang telah banyak dilabur untuk kelangsungan perniagaan tetapi diganggu oleh birokrat yang menuntut itu dan ini. Alangkah ruginya!

Apa yang pasti, tempoh selama itu menunjukkan betapa kadang-kala pihak berkuasa memilih bulu juga dalam melaksanakan penguatkuasaan. Mereka lebih mudah menguatkuasakan yang telah terkuat kuasa sebaliknya yang belum terkuat kuasa tidak pula mahu dikuatkuasakan. Sedangkan, sepatutnya yang boleh dilesenkan harus diutamakan terlebih dahulu bagi memastikan masalah berkaitan lesen. Bukan setakat majlis bandaran/PBT, malah seharusnya agensi-agensi kerajaan yang lain turut terlibat sebagai 'pemudah cara' rakyat. Namun, kadang-kala yang sudah berlesen yang dengan mudahnya dipersoal itu dan ini kerana kononnya melanggar ‘kontrak lesen.’

Kini, seperti apa yang di Bukit Kempas tempoh hari; sudah terbakar, atau ditimpa celaka barulah hendak diisytiharkan yang kilang itu kilang haram. Dan pada ketika itu, nak minta bayar cukai atau disuruh buat lesen pun sudah tak guna!

Wednesday, November 9, 2011

Korban-mengorban siapa terkorban


Korban atau Al-Udhiyyah (disebut al-ud-hi-yah) merupakan satu ibadah sunat muakad bagi umat Islam dan seandainya seseorang itu bernazar, hukumnya jatuh kepada wajib pula. Falsafah korban ialah untuk sanggup memberikan apa sahaja ke jalan Allah walaupun sesuatu itu sangat-sangat kita sayangi. Asal-usul ibadah ini mestilah dikaitkan dengan peristiwa Nabi Ibrahim a.s yang menerima titah oleh Allah Taala untuk mengorbankan anaknya Ismail a.s dan baginda menerima seadanya perintah tersebut walaupun dengan hati yang berat. Namun, kerana sokongan yang diberikan oleh anaknya sendiri maka diteruskan juga akan perintah Allah itu dan tatkala anaknya hampir di sembelih, Allah menggantikan Ismail a.s dengan seekor kibas; justeru Ismail tidaklah secara fizikal atau literal dikorbankan melainkan digantikan dengan haiwan kibas itu.

Selain konotasi peribadatan, ibadah korban juga membawa kepada tuntutan perkongsian dan membantu mereka yang memerlukan apabila sebahagian besar hasil daging korban diagihkan kepada umat Islam lain. Bagi korban nazar, wajiblah kesemua bahagian daging korban penazar disedekahkan kepada orang lain. Malah, ada juga pendapat ulama yang menyatakan daging tersebut boleh diberikan kepada kalangan miskin yang bukan Islam.

Ibadah korban ialah ibadah ritual yang dilaksanakan oleh umat Islam sebagaimana ritual-ritual lain yang dilaksanakan di dalam Islam. Tegasnya, ibadah korban dibuat atas dasar perintah Allah dan bukannya disebabkan oleh yang lain. Sejarah keagamaan samawi membuktikan bahawa unsur pengorbanan itu telah wujud seawal zaman Adam dan Hawa iaitu apabila anak-anak Adam iaitu Habil dan Qabil diperintahkan oleh Allah untuk berkorban hasil kegiatan pertanian atau ternakan mereka. Pada masa sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW pun berlaku peristiwa korban apabila Abdul Muthalib bernazar untuk mengorbankan anak lelakinya Abdullah, akan tetapi Allah telah bertitah agar anaknya itu digantikan dengan seratus ekor unta. Jelas sekali dalam sejarah samawi, ibadah korban itu benar-benar wujud dan kehadiran Islam menzahirkannya dengan korban haiwan ternakan tertentu (seperti kambing, lembu dan unta).

Malah, agama-agama lain pun mempunyai ritual korban dengan cara mereka tersendiri sebagai satu cara mendekatkan diri kepada Tuhan. Disebabkan agama-agama lain diiktiraf kewujudannya oleh Perlembagaan Persekutuan, tiadalah sama sekali halangan untuk mengamalkan ritual korban menurut agama masing-masing. Jadi, apakah sebenarnya isu yang ditimbulkan oleh MCCBCHST? (satu akronim yang begitu panjang yang menghimpunkan Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao). Amat menghairankan apabila mereka secara sekoyong-koyong mempertikai ibadah korban di kawasan 'terbuka.' Kalau tidak terbuka, di mana? Di kawasan tertutup? Berbumbung? Rumah penyembelihan sahaja? Sedangkan hendak melalukan penyembelihan di luar kawasan rumah penyembelihan sendiri memerlukan permit (nak buat korban, kena ada permit), jadi apakah isu sampai tidak boleh dilakukan di hadapan 'penduduk dan pelajar berbilang kaum' sedangkan korban itu tidak dilakukan di hadapan rumah orang, di sekolah jenis kebangsaan; di depan kuil, tokong atau gereja. Apakah sebenarnya yang cuba disampaikan oleh majlis pelbagai agama seperti ini?

Gejala mempertikaikan sesuatu yang sudah termaktub sebagai tuntutan keagamaan merupakan satu gejala yang kurang sihat dalam kehidupan beragama di Malaysia. Seolah-olah umat Islam telah menceroboh hak mereka yang bukan Islam dan melakukan kezaliman kepada mereka. Selama ini, umat Islam tidak pernah secara terbuka mempertikaikan ritual-ritual yang bukan Islam, maka apakah sebenarnya motif mereka ini mencetuskan pertikaian tersebut?

Pembaratan menyebabkan amalan sedemikian dipertikaikan. Tidaklah mengejutkan kalau pada Hari Raya Haji yang akan datang tiba-tiba ada pula tunjuk perasaan yang menuntut agar kelakuan penyembelihan binatang tidak dilakukan kerana yang demikian melanggar hak asasi manusia/binatang. Tidak syak lagi kebenaran pendapat oleh Mufti Perak Sahibus Samahah wal Fadhilah Tan Sri Dr Harussani Zakaria bahawa terdapat pihak tertentu yant cuba mengambil kesempatan mengutuk amalan korban dengan tujuan menghina (petikan rencana Razak Ghows, 'Kebiadapan pertikai ibadah korban cabar orang Melayu,' Berita Harian 9/9/11 m.s. 23).

Oleh yang demikian, pertikaian sedemikian menampakkan lagi unsur-unsur untuk menggugat pengiktirafan Islam sebagai agama rasmi negara. Ada semacam unsur 'mereka' melawan 'Islam' dan seandainya wujud sudut tertentu yang boleh dieksploitasi untuk dijadikan isu tuntutan, pastilah akan dilaksanakan sehingga kadang-kala pun, mendapat sokongan daripada golongan muslim sendiri. Andai kegiatan sebegini tidak dibendung, nescaya 'negara multi-budaya ideal' yang begitu lama didukung oleh Malaysia akan ranap sekelip masa. Kesemua pihak termasuklah pertubuhan politik perlulah memainkan peranan penting bagi menggemblen usaha menanamkan pemahaman segenap rakyat Malaysia beuntuk mencapai modus vivendi sekali gua dapat menjamin keharmonian negara. Ketepikanlah sentimen politik sebaliknya pupuklah semangat kesatuan di kalangan rakyat kerana merekalah pertubuhan yang paling popular dan dirai di kalangan persatuan-persatuan yang ada.

Malangnya, tatkala usaha kumpulan mereka ini sangat-sangat diperlukan, tatkala itulah juga agenda politik diutamakan. Cabaran utama negara kita kini sebenarnya adalah untuk merasionalkan kepelbagaian budaya sebagai satu sumber kekuatan dan bukannya kelemahan dan permasalahan.    

Tuesday, November 8, 2011

Mengurangkan kakitangan awam.

Umum mengetahui bahawa kakitangan awam merupakan sektor pekerjaan yang paling banyak menikmati imbuhan semasa Belanjawan 2011. Malah, dalam banyak keadaan pun kakitangan awam dan badan berkanun jugalah yang menikmati pelbagai kelebihan tatkala berada dalam perkhidmatan dan selepas bersara kelak.


Pinjaman kerajaan, pinjaman koperasi dan skim pinjaman tertentu semuanya lebih memihak kepada penjawat awam berbanding yang 'bukan-penjawat awam.' Begitu juga dengan pencen yang dinikmati oleh penjawat awam selepas mereka bersara daripada perkhidmatan.


Berbanding perkhidmatan swasta yang selalunya dikaitkan dengan buat duit untuk diri sendiri, keluarga, syarikat dan kerajaan. Keringat yang diperah tidak semestinya berasaskan waktu standard 9-5 dan limpahan cuti yang merata-rata. Ada yang bekerja pada Sabtu dan Ahad namun atas keadaan tertentu tidak pula boleh dicaj gaji 'overtime' (persis kategori 'pegawai' dalam sektor awam).


Walaupun imej mereka yang selalu dicemburui penjawat awam ialah 'bonus berbulan-bulan,' barangkali perlu diingat yang bukan semua syarikat menyediakan bonus tahunan dan bukannya tiap-tiap tahun pun akan dapat 'bonus berbulan-bulan.'


Justeru, perkara sebegini mengundang rasa tidak puas hati Setiausaha Publisiti Kebangsaan Tony Pua yang menjanjikan andai DAP berjaya memenangi PRU, maka kerajaan mereka akan mengurangkan sama sekali penjawat awam bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam. Hal ini juga didorong oleh keperluan kerajaan menyediakan insentif tambahan kepada mereka yang semestinya 'menambahkan kos kerajaan.'


Sekali lagi, frasa 'we as the government tax payer' akan dijadikan sebagai kata-kata merasionalkan tuntutan agar kerajaan menambahkan kecekapan khidmat kerajaan kerana mereka sebenarnya sebagai pemudah cara dan bukannya sebagai penguatkuasa semata-mata. Kakitangan kerajaan dimanjakan dengan pelbagai insentif kerajaan yang tidak mungkin akan dinikmati pekerja lain. Kalau pun kerajaan memberikan insentif umum seperti bantuan khas RM500 kepada yang berpendapatan rendah, penjawat awang yang berpendapatan rendah pun layak juga menerima insentif tersebut.


Akan tetapi, ada juga dikalangan pemerhati yang menyarankan tindakan 'janji' DAP melalui Tony Pua itu berbaur perkauman lantaran majoriti pekerja sektor awam ialah orang Melayu dan Bumiputera. Misalnya Berita Harian (8/11/11, m.s. 4) memetik Pengerusi Majlis Perundingan Melayu Malaysia Prof Datuk Dr Kamarudin Kachar menyatakan tindakan DAP itu sebagai 'bermatlamatkan mengurangkan orang Melayu dan Bumiputera dalam perkhidmatan awam.' Presiden NUTP, Hashim Adnan pula menyatakan ketidakcukupan jumlah kakitangan awam khususnya guru sedangkan jumlah murid yang memasuki alam persekolahan saban tahun bertambah.


Isu berkaitan bilangan kakitangan awam di Malaysia sebenarnya lebih berbentuk abstrak berbanding sesuatu yang tampak, jelas dan mudah difahami oleh segenap masyarakat Malaysia. Hal ini mungkin disebabkan sebaran maklumat mengenainya tidak meluas atau memang tiada kajian terperinci secara rasmi pun yang dibentangkan untuk isu sebegini. Yang paling mudah untuk dikaitkan dengan isu sebegini ialah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana merekalah yang mengawal selia, mengurus jawatan, penggajian, pencen dan pelbagai hal berkaitan penjawat awam sama ada guru, tentera, polis, PAR atau pegawai-pegawainya.


Cuma daripada satu segi, maklumat mengenai produktiviti penjawat awam merupakan sesuatu yang kekal menjadi enigma kerana wujudkah sebenar-benarnya kajian yang bersifat sedemikian? Selama ini, ramai yang sekadar memberikan pandangan dogmatik yang masih belum dibuktikan secara konstruktif. Bagaimanakah kita hendak menentukan sama ada produktif atau tidak untuk perkhidmatan awam? Sebab hanya dengan cara begitu barulah kita boleh bercakap soal kecekapan dan keberkesanan.


Merumitkan lagi keadaan, kualiti perkhidmatan tidak semestinya berkait rapat dengan produktiviti walaupun kedua-duanya sering diungkapkan bersama-sama. Maknanya, kalau Pak Abu berpuas hati dengan perkhidmatan jabatan A, berbanding jabatan B, belum tentu jabatan A itu lebih produktif berbanding jabatan B. Pak Abu cuma suka jabatan A lebih, tapi jabatan A tak semesti menyumbang lebih kepada kerajaan!


Oleh sebab itu, apabila kita mengatakan hal-hal berkaitan 'efisyen' dan 'produktif,' tidak dapat tidak kita perlu meletakkan parameter tertentu bagi membolehkan pengukurannya. Barangkali perlu diingat bahawa kedua-dua istilah itu sebenarnya sangat berkaitan dengan 'ekonomi' yang tidak dapat tidak, perlu menggunakan nombor juga dalam bual bicaranya.


Maka, apakah data-data itu sudah tersedia? Bagaimanakah kita hendak mengukur produktiviti guru misalnya, atau pekerja kaunter Jabatan Tanah dan Galian? Semua itu perlu dijelaskan terlebih dahulu sebelum kita membuat praanggapan kakitangan kerajaan tidak produktif atau tidak cekap.


Tetapi andai sudah wujud data-data tersebut, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membuat hebahan kerana perkara tersebut merupakan kepentingan awam. Penerangan perlu dibuat kepada rakyat tentang penjawatan, sasaran numerikal dan kecekapan dan produktiviti kakitangan mereka. Hal ini demikian kerana penjawat awam diberi kuasa tertentu yang dipelihara oleh undang-undang sehingga seandainya 'menghalang kerja penjawat awam' pun boleh dikira sebagai satu kesalahan. Jadi, kalau sebegitulah hebatnya penetapan klausa tersebut dalam undang-undang, sudah semestinya rakyat biasa pun mahu mengetahui sama ada penjawat awam benar-benar melakukan tugas mereka dengan adil bagi memenuhi fungsi mereka sebagai 'pemudah cara' rakyat Malaysia.


Kalau setakat kata 'bandingkan dengan negara sekian-sekian, ada kakitangan awam seramai sekian-sekian yang lagi ramai jumlahnya daripada kakitangan awam Malaysia' tidak memadai. Bukan semua perkara yang negara sekian-sekian itu perlu disamakan dengan Malaysia kerana struktur masyarakat yang berbeza, keperluan yang berbeza, struktur pekerjaan juga berbeza dan struktur negara yang juga berbeza.


Oleh sebab itu, secara objektifnya janji Tony Pua dan DAP sebenarnya telah berjaya membuka mata kepada pihak kerajaan supaya merasionalkan pengambilan kakitangan awam, penjawatan dan hebahan berkenaan kecekapan dan produktiviti penjawat awam. Sudah semestinya janji sedemikian ialah janji yang berbaur politik tetapi, menjadi tanggungjawab kerajaan juga untuk menjawab kenapa jumlah kakitangan awam adalah sebagaimana sekarang ini. Dan sudah semestinya dengan istilah-istilah muluk seperti KPI, NKRA, NKEA, GTP, harus sekali mereka menzahirkan 'kejayaan-kejayaan' mereka.


Malah, kerajaan DAP Pulau Pinang pun perlulah kini mengurangkan kakitangan peringkat negeri mereka selaras dengan idealisme untuk mengurangkan kakitangan awam bagi memastikan kecekapan dan produktiviti perkhidmatan awam negeri tersebut meningkat. Hal ini demikian kerana sekaranglah masanya bagi membuktikan cadangan mereka bernas kerana terbukti apabila kakitangan dikurangkan, kecekapan dan produktiviti meningkat. Barulah mereka boleh mengatakan yang cadangan mereka untuk kepentingan awam dan bukannya berunsur politik semata-mata.


Tambahan pula andai politiklah yang menjadi pemberat pengurangan kakitangan awam, pandangan sedemikian juga amat-amat kurang munasabah. Penulis secara peribadi bersahabat dengan penjawat awam, selalu berbual dengan mereka dan tidak menunjukkan pula tanda-tanda yang mereka lebih meyokong kerajaan BN/UMNO. Berapa ramai polis yang pernah berbual dengan penulis yang sebenarnya sering menzahirkan rasa tidak puas hati dan sinis dengan kerajaan sedangkan golongan inilah yang paling banyak dihentam oleh pembangkang terutamanya ketika berlakunya tunjuk perasaan.

Ada juga di kalangan kakitangan kerajaan yang secara terbuka mengisytiharkan mereka tidak menyokong BN pada PRU 2008 hanya kerana kerajaan tidak beri bonus. Ungkapan zaman Pak Lah yang lalu, 'cemerlang, gemilang, terbilang' sering diajuk dengan 'cemerlang gemilang temberang' oleh kakitangan awam sendiri. Ramai kakitangan kerajaan daripada kumpulan profesional lebih kritikal kepada pihak kerajaan berbanding menzahirkan sokongan tak berbelah bagi. Oleh sebab itu, apa yang hendak dirisaukan kerana sememangnya terbukti, penjawat kerajaanlah juga yang menyumbang kepada kemenangan monumental pembangkang tempoh hari!?


Dari hal itu, DAP kini perlulah ‘walk the talk’ dan bukannya kekal dalam kepompong lama sekadar talk the talk!

Friday, October 28, 2011

Majlis Ayam Negara



Pendahuluan: Gesaan boikot ayam

  • Pada hari Jumaat (28/10/2011), salah satu artikel ruangan ‘Surat’ akhbar Berita Harian menarik perhatian penulis untuk memberi ulasan mengenainya iaitu berkaitan 'boikot pembelian ayam.'
  • Dalam artikel tersebut, dinyatakan tentang betapa nilai wang kini semakin kecil kerana peningkatan harga barang dan perkhidmatan.
  • Peniaga seolah-olah memberikan jawapan standard bahawa kenaikan harga barang disebabkan oleh kenaikan harga pemborong dan harga pasaran global.
  • Jadi, menurut surat itu, seruan Presiden Cuepacs supaya ahlinya memboikot ayam sangat wajar dipenuhi.
  • Lalu artikel membawa pula perspektif ayam yang satu ketika dahulu bukan merupakan bahan komoditi kerana orang menternak ayam, tangkap ayak, sembelih ayam dan makan ayam itu sendiri.
  • Namun kini yang namanya mempunyai perkataan 'kampung' (ayam kampung, telur ayam kampung) jauh lebih mahal daripada ayam muda biasa (ayam pasar).
  • Ayam pula  boleh diganti dengan ikan dan daging.
  • Tapi, kini ikan dan daging yang lebih mahal daripada ayam (menyebabkan kedua-duanya tidak boleh menggantikan ayam lagi!)
  • Jadi, apa yang boleh dilakukan ialah usaha memboikot ayam.
  • Kalau beli seminggu tiga kali, bolehlah dikurangkan kepada setidak-tidaknya dua kali (boikot apa ke halnya cara begini?)
  • Majlis kahwin kini pun perlu bersatu untuk turut serta memboikot ayam.
  • Bolehlah digantikan menu ayam itu dengan lempeng pisang dan makanan ringan yang lain!
  • Perkara inilah yang akan mencetuskan transformasi makanan agar generasi akan datang boleh menerimanya (iaitu sebagai contoh, menu majlis kahwin: lempeng pisang dan makanan ringan yang lainnya).

Masalah suntingan atau pengarang?

  • Jujurnya, penulis teruja besar (gelaklah juga) apabila membaca artikel ini terutamanya menuju ke ayat 'majlis kahwin' dan 'diganti lempeng pisang.'
  • Tidak tahulah sama ada salah penyunting surat dalam akhbar atau memang hasrat sebenar pengarang surat untuk berbuat demikian.
  • Kadang-kala, penyunting akhbar hendak padatkan 'rencana' kita, itu yang ayat-ayat pelik pun boleh keluar.
  • Tetapi, terbitan kali ini mengambil kira zahir tulisan pengarang tersebut sahaja. Sunting ke tak itu soal kedua (kena salahkan penyuntinglah....)

Salah boikot?

  • Memang benar, ayam merupakan satu makanan yang paling kerap diperkatakan terutamanya menjelang perayaan besar negara.
  • Jarang kita mendengar harga ayam jatuh tergolek menjelang hari raya, raya haji atau cuti sekolah; biasanya naik sahaja trendnya.
  • Namun, harganya selalunya berfluktuasi, iaitu antara naik dan turun.
  • Naik harganya biasa ketika ada sambutan sesuatu dan turunnya, orang tak kata banyak sangat pun.
  • Tulisan surat pun mengakui bahawa harga daging dan ikan pun kini lebih tinggi berbanding ayam, jadi kenapa yang hendak diboikot ayam?
  • Mengapakah bukan seruan untuk memboikot daging dan ikan sedangkan harga kedua-duanya naik jauh lebih mendadak berbanding ayam kerana dahulu, kedua-duanya lebih murah berbanding ayam dan kini, harganya setara atau lebih mahal berbanding ayam.
  • Makanan mana yang naik lebih dalam hal ini?

Kenduri kahwin makan lempeng

  • Kemudian, semangat boikot diteruskan sehingga majlis kahwin pun kalau boleh ditukar menunya.
  • Menu biasa untuk majlis kahwin ialah nasi minyak.
  • Maknanya kalau ayam tidak boleh dijadikan menu (umpama ayam masak merah atau ayam tomato) maka yang sebenarnya harus dibuat ialah ditukar terus menunya; iaitu bukan nasi minyak lagi. Daging pun  turut mahal, ikan pun sudah mahal, tak payah hidang nasi! Hidang sahaja lempeng pisang!
  • Soalnya bukannya transformasi ke apa, soalnya boleh ke dibuat dan dapat diterima atau pun tidak seandainya lempeng pisang sahaja yang dijadikan menu utama dalam kenduri kahwin.
  • Adakah tetamu hendak makan nasi berlaukkan lempeng pisang?
  • Kita hendak meraikan tetamu, barangkali datang dari jauh, barangkali amat sukar atau jarang untuk bertemu, namun ketika itu sahajalah mungkin disebab jemputan, dia hadir juga; maka kita hidangkan lempeng pisang?
  • Kalau tidak hidang nasi minyak pun, barangkali nasi berlauk menjadi ganti. Bagi yang ada tradisi jawanya, mungkin nasi ambang 7 lauk. Di pantai timur mungkin makan kerabu.
  • Tetapi, adakah hendak dijadikan lempeng pisang mengganti juadah?

Peruncit tak untung sebesar mana...

  • Memang diakui harga barang-barang niaga meningkat mendadak; namun penjual pun kena bayar lebih untuk mendapatkannya.
  • Tapi, apabila mahu dijual; kena kekal harga sama - bagaimana?
  • Barang kawalan seperti beras, gula dan minyak peket; lagilah tak ada untung.
  • Beras berjenama 'Pilihan Muktamad' (ada gambar pelakon popular) harga datang untuk pek lima kilogram, RM12.80 hendaklah dijual harga kawalan kerajaan RM 13.00. Jual sepuluh pek baru dapat dua ringgit! (margin untung 1.6 peratus).
  • Mana hendak tampung bil air dan eletrik (yang sememangnya harga lebih tinggi daripada pengguna domestik), sewa kedai, lesen itu dan ini, cukai dan kos lain-lain?
  • Margin keuntungan runcit tidaklah sebesar yang disangka, lebih-lebih lagi peruncit barang tertentu sahaja seperti ayam, daging, ikan... Mereka berniaga bukannya semata-mata demi kebajikan masyarakat sahaja - tetapi hendak cari makan, bayar bil, sara anak-bini.

Cadangan Majlis Ayam Negara

  • Oleh sebab itu, disebabkan produk ayam yang diberatkan dalam terbitan kali ini, penulis mencadangkan agar kerajaan menubuhkan majlis ayam negara bagi memuaskan hati semua pihak.
  • Atau mungkin nama yang lebih sedap dan gah seperti Suruhanjaya Siasatan Diraja Industri Ayam.
  • Suruhanjaya/Majlis Negara ini akan merangkumi kesemuanya daripada soal ternakan ayam komersial (ayam muda), ternakan ayam kampung, industri telur ayam, penempatan ladang ayam, jumlah keperluan ayam negara, bilangan ayam yang sedia wujud, jaminan kualiti dan piawaian ayam dan yang terakhir sudah semestinya isu ‘halalan toyyiba berkaitan ayam.’
  • Badan ini hanya mempunyai skop ayam hidup, ayam telur, ayam tua dan ayam kampung sahaja; pendek katanya ayam terproses yang jadi nugget, tempura, daging cincang, sate frankfuter, sate segera dan bebola ayam tidak dimasukkan dalam skop kerjanya.
  • Hal ini memandangkan kepentingan ayam daripada sudut perspektif media dan badan penekan seperti kesatuan itu dan ini yang begitu penting sekali dalam menetapkan mahal-murah harga di sektor makanan.

Kepentingan ayam sebagai manifestasi kawalan harga

  • Cili merah misalnya, sekarang sudah mencecah RM15-RM20 sekilogram jarang dijadikan penanda aras kepada harga barang makanan - mungkin sebab orang tidak makan cili untuk kenyang, atau dibuat gulai lemak cili cili atau kari cili.
  • Ikan pun jarang orang dok cerita dan ungkit - mungkin sebab terlalu banyak kepelbagaian ikan. Kalau ikan segar tak ada, ikan benyek pun orang boleh beli. Nak sangat makan ikan tapi tak ada duit mungkin beli ikan bilis atau ikan sardin.
  • Tetapi ayam... Lain pula ceritanya. Sampaikan hendak boikot pun boikot ayam.

Yang sepatutnya diboikot

  • Kenapa tak boikot nasi sahaja, beras pun negara kita keluar, tapi jual RM2.60 sekilo (5 peratus hancur)? Lagi mahal daripada harga seliter petrol!
  • Kedai Rakyat 1Malaysia pun jual beras 5 peratus RM11.50 untuk 5 kilogram, bermakna RM2.30 sekilogram, masih lagi mahal daripada harga petrol.
  • Atau yang jauh lebih popular dan lebih masuk akal lagi munasabah, kenapa tak boikot rokok sahaja? Sudahlah kos tak seberapa, cukai melambak-lambak, harga mahal nak m*mp*s, memudharatkan alam sekitar (mencemarkan udara), penyakit lebih banyak diperoleh, manfaat hampir tiada dan barang Yahudi punya!

Penutup: Rumusan dan realiti

  • Kesimpulannya, produk makanan tak kiralah ayam ke, bawang ke, daging lembu ke sememangnya satu keperluan makanan di Malaysia dan kita mungkin boleh boikot, namun penyelesaian harus lebih menyeluruh selain daripada boikot.
  • Dan yang hendak diboikot pun biarlah munasabah hendak diboikot. Pemboikotan ayam memerlukan satu usaha yang cukup luar biasa untuk menggantikannya dengan lempeng pisang semasa walimah, misalnya.
  • Kalau setakat seminggu beli dua atau sekali sahaja ayam pun bukanlah boikot namanya.
  • Boikot ialah tak beli langsung dan menggantinya dengan yang lain!
  • Jangan pula kerana dek marahkan ayam, tetamu dihidang makanan ringan kerana ternyata makanan ringan pun tiada khasiat.
  • Andai sebab kesihatan untuk memboikot ayam, nescaya bukan ayam sahaja yang diboikot melainkan rokok, ayam, daging, nasi (beras), gula dan tepung yang lebih-lebih lagi perlu untuk diboikot. Tambahan pula, tiga yang terakhir itu penyumbang besar penyakit degeneratif seperti kencing manis dan yang pertama pula hampir tak bawa manfaat dan penyebab utama kanser dan penyakit-penyakit kronik lain.
  • Akhir sekali, kalau seserius itulah ayam menjadi penanda aras bahan makanan basah negara, maka kerajaan memang wajar mewujudkan Majlis Ayam Negara bagi membolehkah kesemua pihak berkepentingan (stakeholders daripada pihak penternak, penjual, ahli agama, pembeli, wakil pembeli, kerajaan dan media yang begitu pantas menyiarkan berita ayam) mengambil bahagian, memberikan sebab  kenaikan/penurunan harga dan permintaan dan melontarkan idea untuk menyelesaikan sama sekali permasalah ayam
  • Berpijaklah di bumi yang nyata. Bukan semua orang makan ayam, bukan semua orang yang makan daging, bukan semua orang boleh mengelak memakan ayam dan lebih-lebih lagi, bukan semua orang boleh menternak/membela ayam!

Thursday, September 29, 2011

Antara maruah negeri dan negeri bermaruah

Terkini (30/9/2011) 

Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor menzahirkan rasa tersinggung Baginda dengan kenyataan Lim Guan Eng memperkecilkan negeri Johor. Bagaimanapun, Baginda juga berpesan supaya 'jangan sesekali bertindak bagi pihak Baginda.' (dalam isu tuntutan menghalang KM Pulau Pinang itu menjejakkan kaki ke Negeri Johor). Pihak media petang ini melaporkan KM Lim telah memohon maaf kepada Baginda Tuanku dan rakyat Johor tetapi pada masa yang sama bertegas untuk menyaman 'media BN' kerana memanipulasikan ucapan/kenyataan beliau. Jelas beliau, sepatutnya majlis itu merupakan majlis tertutup (yang sepatutnya tidak dihadiri pihak media atau dirakam). Pada hemat penulis isu ini selesai dan terpulanglah kepada YAB KM untuk membuat saman.

Terbitan Asal

Kepala kerajaan negeri adalah Menteri Besarnya atau Ketua Menteri. Corak pemerintahan negeri banyak bergantung kepada ketua kerajaan negeri dan hala tuju sesebuah kerajaan itu bagi sama ada bidang ekonomi, politik dan sosial sedikit sebanyak terkesan dengan perangai orang yang di atas itu. Ada kalanya, ketua kerajaan berusaha lebih bagi memastikan pelaburan asing sentiasa ada bagi memastikan kelangsungan ekonomi negeri. Oleh yang demikian, terdapat ketua kerajaan negeri yang tertentu yang berusaha untuk mencari sendiri sendiri pelabur asing dengan keluar negara berjumpa dengan bakal pelabur dan membuat promosi kepada mereka agar datang melabur ke negerinya.

Pada masa yang sama, bagi sesebuah projek infrastruktur dan ekonomi yang bertaraf mega; seperti koridor-koridor ekonomi yang dilancarkan oleh bekas PM Tun Abdullah Badawi, sudah tentu memerlukan usaha yang lebih menyeluruh dan bersepadu antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri bagi membolehkan persembahan cadangan (proposal) kepada bakal pelabur akan menjadi lebih meyakinkan. Lebih daripada itu, kerajaan pusat pasti diharapkan akan dapat menyokong usaha-usaha menarik pelabur kerana sesungguhnya limpahan nikmat yang diperoleh melalui pelaburan asing semestinya akan dapat dinikmati di peringkat pusat juga.

Pendek katanya, kedua-dua tahap kerajaan akan memperoleh manfaat apabila ada pelabur asing yang ingin melabur di sesebuah negeri. Namun, bagi negeri yang dikuasai PR, lain pula ceritanya. Bagi beberapa jenis projek, situasi yang berlaku adalah sama ada kerajaan pusat tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan negeri ataupun kerajaan negeri yang ingin membuktikan kemampuan mereka tanpa ‘gangguan’ atau sokongan kerajaan pusat.

Baru-baru ini, umum didedahkan oleh Menteri MITI Dato’ Mustapha Mohamed berkenaan ucapan Ketua Menteri (KM) Pulau Pinang Lim Guan Eng yang secara terang-terangan memburukkan nama Negeri Johor dengan menyatakan bahawa negeri Johor tidak selamat dan mempunyai kebarangkalian culik lebih tinggi berbanding negerinya. Guan Eng juga tidak segan silu masuk bakul angkat sendiri dengan menyatakan kerajaan Pulau Pinang lebih berintegriti berbanding kerajaan yang ‘haprak.’

Nampak di sini pemikiran Guan Eng setara dengan Lee Kuan Yew yang satu ketika dahulu menyatakan perkara yang sama. Dikatakan (dengan merujuk ucapan Guan Eng di luar negara itu) ‘ramai yang kena culik di Johor,’ seolah-olahnya Johor umpama Mexico yang kini begitu ramai yang mati akibat amukan kartel-kartel dadah. Apakah sebenarnya motif seorang KM yang digelar Khalifah Umar Abdul Aziz ini sehingga memburukkan nama Johor sehingga seolah-olah penculikan itu selalu berlaku? Tidakkah Tuan Khalifah sedar yang jenayah berlaku di mana-mana dan apabila ada dikalangan sekutu pihak tuan sendiri yang menyarankan untuk melaksanakan undang-undang Islam, pihak tuan sendiri dengan tidak berfikir panjang untuk membantah cadangan tersebut?

Apa yang lebih mengujakan dalam ucapan tersebut adalah apabila Guan Eng kaitkan dengan, ‘andai di Johor; dan jika anda adalah rakyat Singapura....’ Wow! Penculik di Johor nampaknya begitu pandai memilih mangsanya kerana daripada ucapan KM Guan Eng, macam rakyat Singapura sahaja yang diculik oleh penjenayah. Adakah implikasi berikut hendak dinyatakan oleh Guan Eng: ‘Jadi, sewajarnya rakyat Singapura datang ke Pulau Pinang. Naiklah kapal terbang ka, atau pandulah kereta ka, untuk berurusan di Malaysia sebab di Johor, kebarangkalian diculik lebih tinggi berbanding di Pulau Pinang?’ Adakah itu isi hati Lim Guan Eng?

Lim Guan Eng dan PR selalu menggelarkan polis sebagai barua kerajaan BN. Rakan sekutu beliau, Mat Sabu pun menuduh polis yang menyebabkan kecederaan beliau semasa Bersih 2.0. Malah, polis juga dituduh mendalangi jenayah-jenayah tertentu. Andai polis menembak penjenayah, maka dipersoalkan pula kenapa polis tembak penjenayah itu sedangkan tiada bukti kukuh penjenayah itu serang polis (nak kena penjenayah tetak kepala polis baru boleh ditembak, agaknya...) Dan apabila polis tidak dapat tangkap penjenayah, polis pula dituduh tidak cekap bertugas. Kadar jenayah meningkat, disalahkan 100 peratus kepada polis dan kerajaan pusat. Tetapi apabila kadar jenayah menurun, ‘itulah kejayaan Kerajaan Pulau Pinang?’ Apa kejadahnya beliau ini masuk bakul angkat sendiri? Apakah beliau yang merangka apa yang dikatakan sebagai ‘NKRA’? Buku Jingga baru sahaja dilancarkan dan andai beliau merujuk kepada kejayaan tahun lepas, sudah semestinya bukan berhasil daripada dasar-dasar PR dan DAP!

Sebagai penduduk dan rakyat negeri Johor, apa yang dicakap oleh DAP tidak sepadan dengan pemerhatian penulis secara peribadi melalui kenderaan Singapura yang masuk ke Johor Bahru. Kalau hujung minggu di pusat membeli belah, ada sahaja kenderaan daripada Singapura memenuhi tempat letak kereta. Setiap hari, ada sahaja kenderaan negara singa itu yang mengisi minyak di pam-pam minyak dan setakat ini kerajaan Malaysia dan pemilik pam-pam minyak pun tidaklah membuat halangan itu dan ini menghalang mereka berbuat demikian (sungguhpun minyak di sini bersubsidi dan sungguhpun terdapat syarat-syarat tertentu bagi mereka.) Agak tidak munasabah andai Guan Eng memberikan implikasi ‘Johor tak selamat’ seadainya rakyat Singapura masih datang ke Johor Bahru walaupun sudah dua pemimpin daripada tunjang yang sama (PAP dan DAP) asyik membuat tuduhan yang sama.

Lim Guan Eng bukanlah orang pertama yang memburuk-burukkan Malaysia secara umumnya. Manusia yang dianggap sempurna serba-serbi oleh partinya, Anwar Ibrahim juga tidak kurang hebatnya mencanang perkara yang sama di luar negara tentang betapa buruknya negara dan pemerintahan negara. Orang sebeginikah yang hendak diangkat untuk menjadi pemimpin utama negara? Kita jarang mendengar kenamaan atau pemimpin parti pembangkang sesebuah negara mengutuk negara sendiri di luar negara melainkan PR. Dominique Strauss Khan tidak pernah mengutuk dan mencerca Perancis sebagai sebuah negara yang tidak mengamalkan demokrasi sungguhpun tuduhan serangan seksual yang diajukan kepadanya mungkin boleh ditafsirkan sebagai hendak menjatuhkan kredibiliti beliau sebagai salah seorang yang ingin menjadi calon Presiden Perancis. Pimpinan tertinggi DPJ sebelum mereka memenangi tampuk kerajaan Jepun tidak pernah menghina dan memburuk-burukkan Jepun.

Kelakuan memburuk-burukkan negara bukanlan sikap seorang pemimpin yang boleh dihormati. Hal yang demikian boleh menyebabkan negara lain tidak akan menghormati negara ini. Persepsi orang luar banyak dicerminkan oleh pembawakan ‘duta kecil’ negara ini ke tempat orang. Kalau rakyat sendiri memburukkan negara sendiri, tidak perlulah kita hendak hairankan kalau negara lain menghina negara kita. Apa yang lebih menjadi persoalan yang tidak diketahui lagi jawapan ialah, apakah jaminan bahawa andai pemimpin sedemikian berjaya memegang tampuk kerajaan melalui pilihan raya kelak, persepsi masyarakat antarabangsa akan berubah daripada negatif ke positif sedangkan pemimpin yang sama yang menyemai imej negatif negara ini kepada rakyat asing?

Sebagaimana yang pernah diutarakan dalam blog ini, Anwar Ibrahim adalah bakal PM yang paling disayangi oleh dunia luar. Malangnya, dunia luar pun sudah mula mempersoalkan kepimpinan beliau, dan ada yang melabelkan beliau dengan label yang kedengaran muluk namun sebenarnya memperlihatkan sikap sebenar beliau (Banyan: Malaysia's chameleon dlm The Economist). Lim Guan Eng mungkin ingin mempromosikan Pulau Pinang bagi menarik pelabur asing untuk melabur di Pulau Mutiara. Malangnya, ucapan beliau memperlihatkan kepada kita sikap beliau yang kiasu dan suka menghamburkan pujian kepada diri sendiri sedangkan bukan semata-mata usahanya sahaja yang menyebabkan kemakmuran negeri Pulau Pinang.

Pemimpin negeri/negara bermaruah, negeri/negara akan menonjolkan maruahnya. Pemimpin yang tak bermaruah, negeri/negara akan hilang seri maruahnya.

Pada masa yang sama, bagi sesetengah pihak seperti pimpinan UMNO, sudah-sudahlah hendak mengaitakan ucapan Guan Eng itu sebagai ‘menderhaka kepada Sultan.’ Jelas bahawa sikap sedemikian menggambarkan politik ‘kering idea’ orang UMNO terhadap isu-isu sebegini seolah-olah apa sahaja tuduhan dan cakap buruk daripada pembangkang, kalau boleh dikaitkan dengan istana, akan dikaitkan. Malah hal yang demikian telah pun penulis ramal! Institusi Diraja berada di atas politik; janganlah cuba hendak membabitkan ucapan masuk bakul angkat sendiri itu sebagai menghina Sultan kerana nyata sekali tiada kaitan langsung walaupun yang diperkecilkan itu merupakan kerajaan Johor. Daripada satu segi, yang diperkecilkan adalah ‘government’ dan bukannya ‘Royal Kingdom’ atau Duli Yang Maha Mulia (HRH). Jadi, apa isunya sampai hendak babitkan derhaka Sultan?

Yang mungkin hendak dijadikan isu adalah mungkin ‘menghina kerajaan’ atau ‘menghina Menteri Besar,’ atau ‘memfitnah rakyat Johor’ kerana kononnya banyak berlaku penculikan di negeri Johor. DYMM Raja-raja Melayu bertindak sebagai payung negara dan status tersebut perlu dikekalkan. Hal-hal politik tidak perlulah dicampur-gaulkan dengan kedaulatan Sultan. Andai Sultan pun hendak diheret sama di dalam isu ini, sudah tentulah seakan-akan merendahkan kedudukan Raja-raja Melayu yang terpaksa mencampuri urusan di peringkat ekskutif negeri sedangkan baginda-baginda sudah pun mempunyai tanggung jawab-tanggung jawab tertentu; dan pada masa yang sama, mempunyai pegawai-pegawai kerajaan yang seharusnya lebih berakauntibiliti dan berintegriti bagi menyelesaikan isu tersebut. Kalaulah isu Guan Eng pun hendak dibabitkan sekali baginda Sultan, buat apalah adanya ‘Menteri Besar’ dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, pegawai-pegawai kerajaan yang dilantik sedangkan mereka inilah yang sepatutnya menangkis, menafikan dan menambahbaikkan sebarang kekurangan yang berlaku di dalam negeri.

Begitulah adatnya. Hendak menjaga maruah negeri, janganlah kita rendahkan martabat Sultan kita bagi menyelesaikan masalah yang berkait kerajaan negeri. Lainlah kalau secara jelas, terang dan nyata seseorang itu menghina baginda Sultan di laman sosial atau terbitan akhbar misalnya, atau mencanang orang tertentu sebagai MB dan kononnya telah mendapat restu baginda Sultan; contohnya. Barulah ada hubungan jelas unsur-unsur memfitnah, menghina atau menggunakan nama Sultan. Kalau isu Guan Eng pun hendak ‘merajuk’ dan ‘merujuk’ kepada Sultan, buat penat sahaja rakyat mengundi pemimpin negara dan negeri kerana isu sebegitu pun hendak membabitkan Raja-raja.

Dari hal yang tersebut, jagalah maruah negeri dan maruah Raja; letakkanlah kedua-dua ke tempat sewajarnya.

Friday, September 23, 2011

Jalan-jalan di kotaku

Pengenalan
Jalan raya merupakan satu utiliti yang sangat penting bagi menampung keperluan asasi manusia, juga sebagai penyambung kelangsungan ekonomi negara. Pertambahan kenderaan saban tahun menunjukkan betapa pentingnya jalan raya dalam kehidupan rakyat Malaysia. Ramai di kalangan rakyat Malaysia menggunakan kenderaan sendiri seperti kereta dan motorsikal walaupun insentif penggunaan kenderaan awam giat dijalankan. Sungguh pun begitu, bukanlah bermakna kenderaan awam di Malaysia tidak mendapat sambutan kerana berlaku 'kesesakan' luar biasa di stesen-stesen LRT, bas dan komuter di ibu kota terutama pada waktu puncak.
Sebagai pengguna tegar jalan raya, adalah amat penting untuk jalan yang dilalui oleh penulis tiap-tiap hari lancar bagi mengelakkan sebarang kelewatan. Bagaimanapun, hal itu jarang-jarang sekali berlaku baik ketika penulis berada di Lembah Klang mahupun ketika berada di kampung halaman di Kulai. Hal ini disebabkan di kedua-dua tempat tersebut, kesesakan jalan raya merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan lagi. Keadaan hanya akan reda sedikit menjelang hari-hari minggu namun kesesakan di tengah-tengah kota tetap berlaku dek kerana begitu ramai manusia hadir untuk berlibur dan membeli-belah.
Akibat sesak
Hakikatnya, kesesakan jalan raya pada waktu puncak merupakan sesuatu yang merunsingkan pengguna jalan raya sehingga mungkin boleh menyumbang kepada pelbagai masalah lain seperti kelewatan, pertambahan kos kerana penggunaan minyak yang tidak efisyen dan tidak kurang juga menyebabkan tekanan psikologi. Bayangkan pengguna Lebuh raya Damansara-Puchong (LDP) perlulah keluar rumah mungkin seawal subuh bagi mengelakkan kesesakan yang berlaku antara jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi! Pengguna terpaksa keluar lebih awal bagi menggunakan lebuh raya tersebut sedangkan pada asasnya, masa 'punch card' adalah dua atau tiga jam selepas mereka keluar rumah. Andai kita pukul ratakan masa pergi dan masa balik lebih kurang sama, pengguna mungkin menghabiskan masa sekitar empat jam sehari atau hampir sehari dalam seminggu hanya untuk terlibat dalam kesesakan jalan raya!
Pertambahan perumahan di kiri dan kanan lebuh raya merupakan antara faktor terbesar yang menjadi penyumbang kepada kesesakan jalan raya. Sekali lagi mengambil contoh LDP, sepanjang lebuh raya tersebut tidak lekang dari perumahan sama ada baru ataupun lama; dari plaza tol di sempadan Kepong sampailah ke plaza tol di sempadan Serdang/Putrajaya. Malah, jalur jalan sepanjang Puchong akan bertambah lagi dengan perumahan-perumahan baru yang akan bakal menambahsesakkan lagi LDP.
Pembangunan tak dirancang?
Oleh yang demikian, adakah pembangunan kiri dan kanan jalan raya boleh dijadikan sebagai faktor utama penyumbang kesesakan jalan raya? Semakin bertambah perumahan di sepanjang jalan raya utama, semakin bertambah kebarangkalian jalan itu untuk menjadi sesak dek bertambahnya pengguna jalan tersebut. Aggapan sebegini ada kebenaranya kalau kita lihat kes LDP tadi. Kenderaan acap kali meningkat dan begitu juga perumahan. Begitu juga di lebuh raya Pasir Gudang apabila begitu banyak perumahan baru dibuka di sepanjang jalan yang berusia lebih sedekad itu. Dengan jalan yang masih kekal sama selama sedekad sedangkan kenderaan dan perumahan setiap masa bertambah, mana mungkin lebuh raya tersebut mampu menampung kenderaan yang menggunakannya!
Pertambahan perumahan juga menjadi punca kepada satu masalah terbitan iaitu pertambahan simpang di jalan raya. Pertambahan simpang pula akan mendorong aliran trafik yang lebih lembab dek kerana hendak melayan 'hak' pengguna yang ingin masuk/menyusur ke simpang tersebut. Kesannya, kenderaan yang melalui kawasan susur/simpang akan memperlahankan kenderaan mereka; ada yang dari lorong kanan hendak susur ke kiri begitu juga selepas simpang/susur, ada juga kenderaan dari kiri hendak ke kanan. Bagi bandar padat seperti Kulai, keadaan lebih kelam-kabut apabila laluan sehala pergi dan balik yang dipisahkan dengan penghadang jalan masih mempunyai simpang yang membolehkan kenderaan dari arah kanan masuk ke simpang yang berada di seberang kanan jalan (melintasi jalan yang berlawan arah).
Oleh yang demikian, sering kali berlaku kelewatan trafik apabila ada kenderaan yang mengeksesais hak mereka untuk masuk ke simpang sebelah kanan jalan dengan terpaksa berhenti di laluan bahagian kanan jalannya disebabkan untuk mencuri peluang 'melintas' jalan yang melawan arus. Pastilah kenderaan yang mengekori dari belakang akan menjadi mangsa kepada kenderaan hadapan yang ingin 'mengambil' simpang masuk ke kanan kerana terpaksa berhenti terlebih dahulu, menanti kenderaan lawan arus tiada dan barulah melintas masuk ke simpang tersebut. Hal tersebut tidak dapat tidak akan menyebabkan kesesakan lalu lintas lebih-lebih lagi pada waktu kenderaan padat.
Traffic light=traffic jam
Simpang-siur di jalanan biasanya akan cuba diselesaikan sama ada dengan membuat persimpangan bertingkat mahupun meletakkan lampu isyarat. Malangnya, bagi kedua-dua cara pun, ada sahaja masalah yang tercetus disebabkan 'penyelesaian' tersebut. Persimpangan bertingkat bermaksud susur ke kiri dan susur juga sebenarnya banyak menyumbang kepada pengguna memperlahankan kenderaan mereka kerana ada yang ingin menyusur ke kiri dan ada juga yang hendak keluar dari kiri. Kebanyakkan kesesakan lalu-lintas di Lembah Klang disebabkan perkara tersebut contohnya dari Angkasapuri ke jambatan kabel susur ke LDP (Kelana Jaya), juga dari arah bertentangan ke persimpangan ke Seremban.
Begitu halnya dengan lampu isyarat. Setiap lampu isyarat untuk setiap simpang akan menyebabkan aliran trafik yang kurang lancar. Simpang berlampu isyarat yang sangat berhampiran antara satu dengan yang lain juga menambahrumitkan keadaan. Cuba bayangkan seandainya pada waktu puncak, kenderaan banyak dan ada dua persimpangan berlampu isyarat yang sangat hampir antara satu dengan yang lagi satu. Di persimpangan pertama mungkin lampu berwarna hijau (jalan) namun di simpang kedua lampu masih merah. Bukankah hal demikian menyebabkan kenderaan masih tersekat di antara dua persimpangan sedangkan lampu isyarat pertama telah hijau. Lebih menambah rumit adalah apabila kenderaan hadapan masih tidak boleh bergerak sedangkan kenderaan di belakang sudah tiba di tengah-tengah simpang, lalu warna lampu isyarat yang hijau telah bertukar merah. Hal yang demikian akan menjadikan suasana kelam-kabut kerana apabila tiba peluang kenderaan lain melintas simpang tersebut bertembung dengan kenderaan yang masih tersekat di tengah-tengah simpang?! Hari ini, keadaan tersebut boleh dilihat terutamanya di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur seperti persimpangan Jalan Pudu, Jalan Imbi dan Jalan Bukit Bintang. Malah, keadaan yang hampir sama berlaku waktu petang di jalan utama Saleng menghala ke pusat bandar Kulai serta laluan bertentangan pada waktu pagi (dari Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim ke arah Senai) apabila pihak majlis dari semasa ke semasa sentiasa menambah persimpangan berlampu isyarat disebabkan mungkin tuntutan pengguna atau penambahan demi penambahan taman-taman perumahan di sekitar Kulai.
Kajian
Justeru, dengan graviti yang telah dibentangkan tentang pembangunan di kiri dan kanan jalan utama, adalah sangat penting untuk pihak berkuasa berkait pembangunan dan perancangan bandar untuk membuat kajian yang tuntas berkait dengan pembangunan bandar. Boleh saja kita luluskan pelbagai taman perumahan sebab dengan meluluskannya, kerajaan juga yang akan mendapat serba-serbi dari cukai pintunya, cukai tanahnya, lesen niaganya, tapi apabila bab jalan raya, tidak dibuat pula ramalan (forecasting) tentang berapa banyak kenderaan yang akan lalu, apakah kesan pembukaan simpang baru kepada simpang sedia ada, adakah kelebaran jalan yang sedia ada dapat menampung kepadatan kenderaan pada waktu puncak dan pelbagai lagi persoalan berkaitan jalan dan perancangan jalan. Mungkin nampak remeh tetapi hakikatnya, kelangsungan keharmonian sesuatu kota itu mungkin bergantung kepada kelancaran aliran trafik di bandar tersebut.
Kaliber kontraktor
Pun begitu, dalam keghairahan pihak berkuasa menyediakan yang terbaik untuk rakyat, janganlah pula sehingga apa yang hendak dibuat itu menambahburukkan lagi keadaan sedia ada. Kadang-kala, kecekapan kontraktor yang dilantik oleh mereka boleh dipertikaikan sehingga menyebabkan yang sesak bertambah sesak. Contohnya, apalah gunanya lobang di jalan itu ditampal atau jalan itu diturap semula hanya untuk menjadi sopak semula selepas seminggu. Atau kontraktor yang tidak cekap sehinggga masa yang diperlukan untuk naiktaraf bertambah-tambah (dan sudah tentulah kos pun bertambah). Contohnya di sepanjang kawasan HICOM Shah Alam yang penulis saksikan sedari 2008 (kali pertama melalui kawasan tersebut) keadaan jalan semacam 'under construction', sekarang ini, sudah bertukar kerajaan negeri pun masih sama sahaja keadaannya; macam jalan rosak yang semakin rosak!
Atau kini seperti di kawasan Senai yang pembinaannya berjalan seperti kura-kura sedangkan Senai merupakan kawasan perindustrian dan sudah pastilah mempunyai jumlah kenderaan yang banyak pada waktu pagi dan petang. Untuk makluman, simpang utama Senai kini dalam pembinaan persimpangan bertingkat dan pembinaan bolehlah dikatakan sudah berusia dua tahun. Kini, pekerja di kawasan Senai dari arah Johor Bahru perlu membuat pusingan-U di tapak plaza tol lama Kulai hanya untuk berjalan hampir dua kilometer untuk memasuki simpang ke kawasan perindustrian Senai. Oleh sebab itu waktu pagi misalnya, dicampur dengan kesesakan trafik di kawasan Saleng, mereka yang tinggal di Kulai akan menghadapi masalah kesesakan bertimpa-timpa dari Kulai, plaza tol lama Kulai (kerana menghadapi aliran trafik pemandu yang membuat pusingan-U dari arah JB) dan pembinaan persimpangan bertingkat di Senai. Tak kena gaya, masa yang diperuntukkan hanya untuk menghadapi kesesakan trafik bertimpa-timpa ini adalah sekitar satu jam!
Kesan trafik
Penyakit trafik sebegini tidak dapat tidak akan menyebabkan penyakit lain melanda manusia yang terlibat dengannnya. Tekanan emosi, perasaan marah, cabaran kesabaran dan tekanan fisiologi pasti akan dirasai oleh pengguna yang sering terbabit dengan kesesakan jalan raya. Tatkala trafik yang sesak, adrenalin akan meningkat mengakibatkan degupan jantung bertambah. Pada masa yang sama, tekanan darah dalam badan juga akan meningkat mengakibatkan rasa stress. Stress yang luar kawalan akan menyebabkan hipertensi. Hipertansi berterusan boleh menyumbang kepada penyakit jantung dan/atau angin ahmar (stroke). Sebab itu ada seorang pensyarah penulis di Universiti Malaya yang pernah berseloroh, 'Duduk di KL ni cepat mati. Sebab orang asyik tersekat di traffic jam je...' Kajian lanjut tentang trend kesesakan lalu lintas dan penyakit kronik wajar dijalankan kerana bukan sahaja kita dapat memahami kesan kesesakan trafik terhadap kesihatan, kita juga akan lebih memahami apakah tahap kesihatan generasi masa kini berbeza dengan yang terdahulu disebabkan faktor trafik?
Selain tekanan fisiologi dan psikologi, kesesakan trafik juga boleh kita kaitkan dengan ketidakpuasan hati masyarakat. Bayangkan seorang pekerja kolar putih yang terpaksa berhadapan dengan kesesakan trafik tiap-tiap hari, sudahlah di tempat kerja ada masalah, di jalan raya pun ada masalah, akhirnya mereka akan berasa bosan dengan masalah jalan raya yang sentiasa berulang. Perlu diingat juga kenderaan di jalan raya akan bertambah saban tahun; maka sudah pasatilah tekanan di jalan raya juga akan bertambah saban tahun! Rakyat sebenarnya sudah semakin bosan, tertekan dan menyampah dengan keadaan tersebut dan oleh sebab itu, mereka pasti hendak meluahkan kemarahan mereka terhadap ketidakcekapan jalan menanggung trafik. Sudahnya, di kertas undi jualah tempat mereka menyatakan protes. Mungkin agak samar untuk dikaitkan, namun kesesakan jalan raya sebenarnya boleh jadi pencetus awal rasa tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan dan perkara tersebut diakumulasikan dengan pelbagai faktor lain (seperti ketidakcekapan kerajaan, persepsi negatif daripada pihak pembangkang) menyebabkan rakyat terutamanya yang berada di bandar-bandar besar beralih arah menyokong pembangkang pada 2008. Masyarakat bandar jelas sekali mempunyai keperluan yang berbeza berbanding masyarakat luar bandar dan seandainya keperluan ini (seperti aliran trafik lancar) tidak diambilkira, mereka pasti mengambil alternatif lain untuk meluahkan rasa tidak puas hati melalui kertas undi. Kesannya, undi popular kerajaan BN di kawasan bandar nyata sekali merosot teruk kerana rakyat telah mengeksesais hak mereka.
Kesimpulan
Kesimpulannya, kesesakan jalan raya bukanlahs sesuatu yang boleh dipandang ringan oleh pihak-pihak yang berkepentingan dan pihak berkuasa. Perancangan pembangunan perlulah dipantau dan unsur trafik harus menjadi salah satu daripada atribut yang peelu diambilkira oleh pihak berkenaan. Lantiklah mereka yang layak untuk membaiki jalan dan janganlah biarkan tikus-tikus membaiki labunya. Lebih penting lagi, kerajaan harus merenung fakta berikut, cukai jalan dibayar, beli kenderaan pun bercukai, nombor plat kena bayar, cukai pintu dan cukai tanah kena bayar. Lesen memandu, lesen itu dan ini pun kena bayar. Lebih sakit lagi, kalau di Lembah Klang misalnya, hari-hari kena bayar tol hanya untuk tersekat dalam kesesakan lalu lintas; maka apakah nilainya wang yang dibayar?
Rakyat tidak hanya nilai prestasi parti tiap lima tahun sekali, rakyat juga menilai jalan raya yang mereka lalui tiap-tiap hari.....