Showing posts with label pendidikan. Show all posts
Showing posts with label pendidikan. Show all posts

Monday, October 7, 2013

Risalah Tauhid

 

Selain daripada Idaman Penuntut, nama Abdul Ghani Yahya turut muncul dalam sebuah lagi kitab bertajuk Risalah At-Tauhid yang digunakan sebagai salah satu daripada teks rujukan untuk sistem persekolahan agama Kerajaan Johor bersama-sama seorang lagi nama penyusun iaitu Omar Yusof. Kitab ini merupakan suntingan kepada terjemahan asal oleh Yang Dipertua Jabatan Agama Johor Dato' Abdullah Abdul Rahman daripada sebuah kitab tauhid dari Mesir. Matlamat asal penyuntingan semula kitab ini oleh kedua-dua penyunting/penyusun ialah untuk menambahbaikkan aspek bahasa Melayu dalam naskhah terjemahan asal yang telah digunakan sebagai silibus pengajaran dan pembelajaran tauhid sejak tahun 1907. Susunan/suntingan baru telah diterbitkan pada 1953 sebagai membaiki jalan bahasa yang digunakan agar lebih mirip kepada lenggok bahasa Melayu dalam tulisan jawi.

Kini, kitab ini telah diterbitkan oleh Al-Hidayah Publications dengan alih tulisan daripada jawi ke rumi dan setidak-tidaknya telah diulang cetak semula pada 2012. Dalam konteks makalah ini juga, penulis merujuk kepada edisi rumi Al-Hidayah terbabit dalam mengulas isi kandungannya.

 

Gambar Muka Hadapan Kitab Risalah At-Tauhid Al-Hidayah Publication

 

 

Secara umumnya, Risalah At-Tauhid ialah sebuah kitab yang membincangkan akidah Asya’riyah dan Al-Maturidiyah yang lebih mudah dicirikan sebagai iktikad sifat 20. Sesuai dengan doktrin Asya’riyah dan Al-Maturidiyah, hampir separuh daripada kandungan di dalam kitab ini membahaskan tentang sifat wajib, pembahagian sifat-sifat tersebut dan selebihnya berkaitan rukun-rukun iman yang lain. Topik-topik berkaitan sifat Allah meliputi sifat 20 yang wajib dan mustahil, sifat harus, sifat nafsiyah, salbiyah, maa'ni dan maknawiyah, sifat taa'luk dan dua kategori sifat istighna dan sifat iftiqar.

Kesemua topik-topik berkaitan sifat Allah dan rukun-rukun iman yang lain akan disimpulkan sebagai akaidul iman yang terkandung dalam kalimah 'la ilahaillallah Muhammad ar-rasulullah' dengan paling sedikit iaitu 50 dan paling banyak iaitu 68. Sebab itulah juga antara gelaran yang diberikan kepada iktikad ini ialah Tauhid 50 atau Tauhid 68. Dan sebagai maklumat tambahan, kesemua pelajaran yang wujud dalam Risalah At-Tauhid masih lagi menjadi topik-topik pengajaran dalam silibus baru sepanjang pembelajaran penulis dalam sistem sekolah agama Kerajaan Johor daripada tahun 1994 hingga tahun 2000.

Kebanyakan topik-topik awal di dalam perbahasan sifat 20 sebenarnya masih mudah dihadam sehinggalah pelajar berhadapan dengan persoalan taaluk sifat Allah. Perbincangan topik ini memerlukan seseorang itu benar-benar memahami konsep taaluk sifat Allah yang agak samar. Penulis harus akui cabaran aqliah untuk memahami konsep taaluk ini semasa belajar dan sehingga kini pun penulis masih kurang jelas tentang natijahnya.

Kewujudan konsep Al-Uluhiyah dalam perbincangan Risalah At-Tauhid meletakkannya sebagai iktikad hibrid dengan jalur Salafi/Wahabi. Kumpulan Salafi/Wahabi mempunyai tiga konsep tauhid yang dianuti dan salah satunya ialah Tauhid Al-Uluhiyah. Dua lagi konsep tauhid ialah Tauhid Ar-Rububiyah dan Tauhid Al-Asma wa Al-Saffat. Seingat penulis, ketiga-tiga pembahagian tauhid itu turut disentuh dalam pembelajaran subjek Tauhid semasa penulis masih bersekolah di sekolah agama, namun apa yang penulis faham ialah konsep Al-Asma Wa Al-Saffat Al-Asya’riyah/Al-Maturidiyah berbeza dengan Salafiyah/Wahabiyah.

Apa yang difahami tentang Al-Asma wa Al-Saffat dalam konteks Al-Asya’riyah/Al-Maturidiyah ialah persoalan-persoalan sifat 20 dan huraian panjang lebar tentangnya (sifat salbiyah, taaluk dsb), dan nama-nama Allah yang 99 sebagaimana tersenarai dalam hadis riwayat Tirmizi. Sementara itu, kumpulan Salafiyah/Wahabiyah tidak dapat menerima bahawa sifat yang wajib bagi Allah itu hanya 20, mendakwa bahawa sifat wajib 20 walaupun mempunyai asas pendalilan daripada Al-Quran, namun konsepnya lebih kepada mantik/akal, dan enggan memuktamadkan senarai 99 nama Allah menurut apa yang disebutkan dalam riwayat At-Tirmizi; kerana mendakwa hadis berkenaannya ialah hadis dhaif.

Kitab Risalah At-Tauhid turut mengemukakan pendapat yang agak bertentangan dengan iktikad masyhur bagi Asya’riyah/Maturidiyah pada sifat Allah yang disebut dalam Al-Quran yang mempunyai maksud yang sama dengan anggota manusia, misalnya tangan dan muka. Khusus bagi kedua-dua anggota tadi, kitab ini menyatakan terdapat dua pendapat berkenaannya dalam topik perbahasan mukhalafatuhu taala lilhawadis (m.s. 31-32). Pertama ialah pendapat ulama mutaqaddimin (sahabat, tabiin dan tabi at-tabiin) yang beriktikad bahawa kedua-duanya sabit secara yang layak kepada Allah, mensucikan Allah daripada sifat yang baharu dan menyerahkannya kepada pengetahuan Allah jua tentang bagaimanakah ia. Pendapat kedua ialah pendapat ulama mutaakhirin dengan mentakwilkan sifat tersebut kepada maksud lain, misalnya tangan ditakwilkan sebagai kuasa Allah. Kitab ini menyatakan bahawa pandangan mutaqaddiminlah yang lebih selamat (i.e. sentosa).

Pandangan yang mengisyaratkan bahawa kaedah mutaqaddimin lebih baik, jelas bertentangan dengan pendapat masyhur pendukung Asya’riyah/Maturidiyah yang sering menggunakan kaedah mentakwil sifat-sifat anggota bagi Allah kepada maksud yang lain. Dalam pendapat yang masyhur di kalangan mereka yang mengaku berpegang kepada Asya’riyah/Maturidiyah, mengatakan 'tangan Allah' sebagai tangan Allah telah menjisimkan dan menyamakan Allah dengan makhluk, sekali gus bersalahan dengan sifat mukhalafatuhu taala lil hawadis (bersalahan Allah dengan makhluk). Sebab itulah mereka lebih gemar mentakwilkan tangan Allah dengan 'kuasa Allah' supaya penyamaan sifat Allah dengan makhluk-Nya tidak berlaku.

Oleh hal yang demikian, bolehkah dikatakan walaupun isi kitab Risalah Tauhid ialah cenderung kepada pandangan Asya’riyah/Maturidiyah dalam soal sifat Allah, pengaruh fahaman lain yang mengunggulkan pemikiran Salaf tetap ada, kalaupun tidak semua. Penulis kurang arif tentang pembelajaran subjek Tauhid sebelum silibus baharu diperkenalkan pada 1994. Tetapi pada hemat penulis, sekiranya hanya isi kitab ini sahaja yang digunakan sepenuhnya dalam pembelajaran ilmu tauhid sehingga Darjah Khas, nescaya silibus yang penulis gunakan itu lebih lengkap kerana ditambahi dengan topik-topik tentang sejarah dan ciri-ciri ajaran sesat dan mengelirukan seperti Syiah, Khawarij dan Muktazilah, ajaran Bahaiyah, Ahmadaniyah dan lain-lain. Topik Syiah misalnya diajar dua kali pada darjah lima dan enam. Selain itu, soal-soal berkenaan takdir As-sami'yat, Rasul, Kitab, akhirat, juga mempunyai ulasan yang lebih panjang.

Bagaimanapun, hal ini sama sekali tidak mengurangkan kelebihan Risalah At-Tauhid sebagai rujukan penting dalam ilmu berkaitan dengan akidah. Pembaikan bahasa yang dijadikan sebagai matlamat utama tampak tercapai, walaupun perlu diakui juga, mungkin boleh diperbaik lagi. Potensi menjadikannya sebuah kitab yang lebih baik boleh dibuat dengan menambahkan syarah atau penerangan yang releven pada topik-topik yang mencabar pemikiran dan pemahaman. Paling istimewa ialah dengan teks sedia ada, perkaitan antara akaid 50 dan 68 sebenarnya tampak jelas pada penutup kitab bagi menjelaskan kalimah la ilaha illallah dan Muhammad Rasulullah sebagai senarai yang perlu diimani oleh seseorang yang mengaku sebagai pendukung fahaman Asya’riyah dan Abu Mansur Al-Maturidi.

Wednesday, October 2, 2013

Sindiran berdesing Al-Ustaz Hanafiah

 

'Mak bapak sekarang ni, balik-balik menyanyi je. Cubalah ajak anak-anak berzikir ke, ini tidak, asyik-asyik nyanyi aje. Dah sekarang ni,

"Aku yang dulu bukanlah yang sekarang,

Dulu ku ditendang, sekarang ku diterajang." '

Personaliti ini agak kerap muncul di televisyen dalam pentas keagamaan dengan forte-nya membincangkan permasalahan sosial yang melanda umat Islam. Isu-isu seperti remaja mengandung anak luar nikah, pergaulan seks bebas, pelacuran, penagihan dadah dan keruntuhan akhlak sememangnya banyak meniti di bibirnya. Pendek katanya beliau bolehlah dinisbahkan sebagai pegawai D7 PDRM kerana usaha dakwah beliau lebih terarah kepada sasaran divisyen terbabit. Malah, beliau turut terlibat dalam usaha dakwah di pedalaman Malaysia dalam rangka penyebaran agama Islam dan turut menyelitkan pengalamannya itu dalam kuliah-kuliahnya.

Penulis perlu akui amat jarang berkesempatan mengikuti penyampaian Ustaz Hanafiah Abd Malek. Namun, acap kali berkesempatan menontonnya, penulis dapati ada keistimewaan tersendiri yang dipamerkan olehnya. Walaupun perlu diakui penyampaiannya bukanlah penuh dengan patah-patah Al-Quran dan Al-Hadis setiap saat dan ketika, atau begitu banyak diselitkan dengan pendapat-pendapat ulama besar, isu yang diketengahkan oleh beliau cukup dekat dengan masyarakat Melayu/Islam di Malaysia. Kebejatan sosial di kalangan ummah bukanlah satu perkara yang baru dan penyelesaiannya sangat didambakan oleh umat Islam. Usaha beliau dalam menangani permasalahan ini merupakan satu usaha yang cukup mulia apatah lagi beliau sendiri turut turun padang bagi memahami masalah tersebut secara terus.

Dalam siri Al-Kuliyyah yang terakhir yang ditayangkan untuk tahun ini (menurut pengacaranya), Ustaz Hanafiah dijemput bagi memperihalkan dosa-dosa kering dan pastinya beliau turut mengulas tentang kelakuan remaja Muslim masa kini. Penulis tertarik dengan dua perkara yang beliau bangkitkan berkenaan topik tersebut.

Pertamanya ialah betapa pengakuannya yang sungguhpun beliau bukanlah al-ustaz penuh dengan ilmu syariah sebagaimana ustaz-ustazah yang lain (dan beliau sendiri mengakui bahawa mereka yang lain itu lebih tinggi taraf keilmuannya dan beliau memuliakan mereka), beliau tetap telah menjalankan tanggungjawab untuk berdakwah dan melaksanakan amat makruf nahi mungkar. Dengan pengakuan dan ayat-ayat seumpama itu, seolah-olah ada isi tersirat yang cuba disampaikan iaitu soal tanggungjawab dakwah sehingga ke tahap akar umbi. Misalnya beliau terlibat untuk ke lorong-lorong gelap tempat wanita melacurkan diri mereka untuk mendapatkan sumber pendapatan, dan ke kawasan pedalaman dalam rangka usaha dakwah kepada mereka yang tinggal di sanasampaikan rombongannya tersekat dek segerombolan babi di dalam hutan. Secara berlapik, beliau sebenarnya membangkitkan isu berkenaan gerak kerja dakwah ke peringkat yang lebih rendah iaitu secara langsung kepada subjek sasaran.

Hal ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sebetulnya rakyat pun boleh tertanya-tanya mengapakah kebejatan sosial dalam masyarakat Islam itu berterusan dengan fitnah yang hadir daripada segala penjuru alam. Mengapakah pula masih berlaku gejala murtad di kalangan orang yang sedia lahir dalam Islam ataupun mereka yang baharu sahaja masuk Islam. Sedangkan penstrukturan Jabatan Agama negara ini bolehkah dianggap sebagai sangat-sangat baik dan sepadanlah dengan imej negara yang menproklamasikan dirinya sebagai negara Islam. Ustaz-ustaz pendakwah bebas kita pula pada masa sekarang ini pun merupakan ikon selebriti yang cukup dikenali dan dihormati sehingga tak menang tangan untuk memenuhi undangan ceramah, kuliah dan sesi soal jawab. Mereka kini hadir ke majlis-majlis kuliah setidak-tidaknya dengan kenderaan yang cukup sempurna, kalau pun bukan yang mewah; namun jauh sekali memandu kereta capuk bercap Datsun dengan enjin meragam yang boleh kedengaran berbatu jauhnya. Meskipun begitu, mengapakah masih wujud dan berterusan gejala negatif sosial di kalangan umat Islam masa kini sedangkan kalau masa program ustaz-ustaz sebegini diadakan, penuh sampai ke luar masjid gamaknya orang hendak mendengar pelajaran!

Syiar agama tidak pernah dilarang dalam Malaysia, malah menerima bantuan daripada pihak kerajaan pula. Ustaz-ustaz selebriti sebegini begitu diraikan lantaran keilmuan mereka dan cara penyampaian yang memikat atau memberikan motivasi kepada penonton yang hadir dengan penuh berkarisma, maka sukar sangatkah untuk berdakwah kepada orang asli, mat rempit, kupu-kupu malam dan penagih tegar? Bukanlah penulis mahu mengangkat setinggi-tingginya Ustaz Hanafiah kerana berpeluang melaksanakan usaha-usaha terbabit, maklumlah tiada lagi insan yang maksum selepas kewafatan Nabi SAW. Cuma usaha dakwah dan tarbiyah seumpama itu sebenarnya amat jarang diangkat sebagai model dan tugasan yang perlu dibanggakan dan dituruti.

Paling habis pun ustaz selebriti sekarang ini, buat sesi soal jawab spontan, bagi jawapan, solek sikit jawapan itu dengan lawak jenaka, biar jemaah ketawa sambil menunggu punch line-nya, lalu tergelak besar. Dan apabila pulang ke rumah, akan terkeluarlah daripada mulut jemaah tadi, 'Ustaz tadi best la. Power giler, kelakar betul,' sedangkan ilmu dan dakwahnya tak diingat langsung! Sejak bila pula tugas ustaz-ustazah ialah sebagai menghiburkan orang ramai dengan gelak-tawa komedi?

Jarang sangat kita dapat menonton siri ustaz menyebu kelab malam, menegur anak muda Muslim remaja yang terpesong pegangan hidupnya sehingga menjadikan arak sebagai minuman harian, dadah sebagai makanan harian dan seks bebas sebagai mainan harian. Sedangkan sepatutnya penonton kepada pendakwah hebat bukan sahaja mereka yang datang ke masjid atau yang menonton mereka media massa, sebaliknya harus melibatkan mereka yang tak pernah menjejak kaki ke rumah Allah, tidak pernah berdiri di tikar sembahyang dan asyik dan bergembira di rumah syaitan.

Isu kedua yang dibangkitkan oleh Al-Fadhil Ustaz dalam sesi Al-Kuliyyah itu menyentuh berkenaan minat ibu bapa sekarang agar anak-anak mereka berhibur dengan menyanyi. Walaupun Ustaz Hanafiah hanya menyanyikan parodi bait-bait lagu itu, majoriti penonton boleh agak lagu apa dan siapa yang menyanyikannya. Justeru beliau menyeru agar ibu bapa berubah dengan menerapkan pendekatan zikir, agar si anak lebih mengingati Allah sebagai alternatif kepada sekadar menyanyi. Walaupun beliau hanya menyentuh hal ini sekali lalu sahaja, makna tersirat sebenarnya boleh dicerap.

Dunia hiburan terlalu berlebihan sehinggakan anak-anak pun dimasukkan dalam bidang ini. Mereka menjadi selebriti dan menjalani kehidupan sebagai artis dan memenuhi undangan hiburan, sama ada menyanyi mahupun berlakon ke serata ceruk negara. Golongan artis cilik ini biasanya akan memperoleh pendapatan yang lumayan dan mampu menyara keluarga pula. Akan tetapi, apabila terjun ke dalam bidang hiburan seawal usia, risiko mereka terjebak dengan permasalahan dalam bidang hiburan turut tinggi. Contoh Hollywood sangat sesuai apabila kita dapat melihat bukan satu dua artis yang bermula pada awal usia, namun menimbulkan masalah besar kepada diri sendiri dan keluarga tatkala menginjak usia dewasa. Ada di kalangan selebriti cilik yang apabila sudah menjadi dewasa, merasakan dirinya dipergunakan oleh ibu bapanya pada ketika kecil lalubertindak untuk 'bercerai' daripada ibu bapanya. Sudah tentulah hal ini akan menyebabkan keruntuhan sebuah keluarga.

Selain itu, ibu bapa sekarang turut terlibat mempromosikan kanak-kanak sebagai artis dan hal ini boleh dilihat dalam stesen televisyen dan radio (pekerja stesen tv juga banyaknya berpangkat ibu bapa). Mereka cukup pantas mengambil peluang, misalnya penyanyi cilik Indonesia untuk dipasarkan di Malaysia, malah memberikan masa yang seluas-luasnya kepada penyanyi cilik terbabit untuk mempromosi diri. Pada masa yang sama, tindakan sebegini seolah-olah memberikan galakan kepada anak-anak supaya mereka mengikuti jejak langkah budak itu untuk menjadi selebriti dan menyara keluarga. Al-maklumlah, kalau dahulu belajar di sekolah pun tak mampu, sekarang ini nak belajar di sekolah pun dah tak sempat.

Kesannya ialah penghasilan generasi anak muda yang lebih berminat untuk menceburi bidang hiburan berbanding bidang lain yang diperlukan bangsa. Misalnya, ada artis-artis remaja yang rela menghadiri majlis berkaitan hiburan atas pelbagai alasan, berbanding lebih menumpukan pembelajaran; walaupun pada ketika itu mereka sedang berada dalam musim peperiksaan utama. Adakah suatu hari nanti, apabila dirinya sudah tidak lagi laku dan menghadapi pelbagai krisis sementelah usia semakin tua, mereka akan mengeluarkan kenyataan klise bahawa mereka tidak lagi dihargai oleh peminat seni, setelah sudah mengorbankan diri untuk menghiburkan orang lain? Kita bukanlah bersikap kejam terhadap penggiat hiburan yang sudah senior namun, pada hakikatnya perjuangan seni itu hanya berlaku sekiranya kita laku. Suatu masa, yang dipuja barangkali akan ditinggalkan. Pada ketika itu, janganlah menyalahkan orang lain pula kalau masa itu bukan lagi masa untuknya.

Tambahan pula, keperluan pemuda harapan bangsa yang menggalas tanggungjawab dalam bidang yang kritikal namun masih mengekalkan paksi agama semakin mendesak. Namun, usaha-usaha tersebut sekadar dipromosikan secara bermusim sahaja, tidak seperti program hiburan yang sentiasa berterusan sepanjang tahun, dua puluh empat, tujuh. Dicampur lagi, dengan kepesatan teknologi komunikasi dan maklumat dan gajet-gajet terkini yang sentiasa berubah, anak-anak muda masa kini lebih terdedah dengan gejala hedonisme bagi memenuhi kehendak kendiri. Agenda dakwah dan tarbiyah yang boleh mengeksploitasikan penggunaan internet kini bersaing sengit dengan pelbagai genre lain seperti hiburan nyanyian yang turut mendapat perhatian pelayar-pelayarnya, dan akhirnya yang akan lebih dominan mendapat sambutan tentulah yang bukan berkaitan agama. Kesannya, penyanyi-penyanyi baru mungkin akan dapat dilahirkan setiap hari namun, doktor yang hafiz, jurutera yang faqih atau setidak-tidaknya ahli politik yang berintegriti pun belum tentu mampu dilahirkan setiap tahun.

Justeru, peringatan yang disampaikan oleh Ustaz Hanafiah bolehlah diibaratkan sebagai kejutan kepada kumpulan sasar daripada para dai' dan para ibu bapa untuk menghalusi semula peranan mereka dalam mempertahankan kelangsungan masyarakat Islam di Malaysia. Sesungguhnya menyeru kepada makruf dan mencegah kemungkaran ialah tugas yang harus dipikul oleh setiap orang dalam komuniti Islami namun, siapakah lagi yang seharusnya menunjukkan uswatun hasanah kepada orang ramai dan anak-anak kalau bukan al-ustaz-ustazah dan ibu bapa? Ditambah pula dengan pelbagai lagi ujian dan cabaran yang melanda umat Islam di seluruh pelusok dunia yang menuntut ulama dan ibu bapa melaksanakan tanggungjawab mereka dalam rangka dakwah yang mampu memastikan syiar Islam terpelihara.

Untuk mereka yang bergelar ulama, kurangkanlah perbalahan hanya kerana perbezaan ideologi politik dan turunlah ke bawah bersama-sama umat, bukan sekadar di masjid-masjid dan majlis-majlis ekslusif sahaja. Dan untuk ibu bapa, memang berhibur itu dapat mengurangkan tekanan anak-anak dan barangkali boleh dijadikan sebagai punca rezeki keluarga, namun sedarlah bahawa umat masa kini terlalu dahagakan generasi Al-Quran yang mampu memberikan manfaat sejagat dan meraih kebaikkan duniawi dan ukhrawi.

Monday, September 30, 2013

Idaman Penuntut

 

Tatkala penulis melihat-lihat judul buku-buku yang dijual di Badan Cemerlang yang terletak di Plaza Angsana, penulis terpandang tiga jilid buku yang relatifnya lebih nipis berbanding buku-buku yang lain sekitarnya. Tambah menarik, buku-buku tersebut bersaiz lebih kurang A4, satu saiz yang amat jarang bagi buku-buku terkini dengan kulit nipis. Penulis menatap sungguh-sungguh kulit buku tersebut sambil terasa sangat teruja dengan apa yang sedang penulis pegang. Dua daripadanya bertulisan rumi sementara satu lagi bertulisan jawi. Memang tidak salah lagi, ketiga-tiganya ialah susunan penulis yang sama iaitu Al-ustaz Abdul Ghani Yahya. Ketiga-tiga naskhah tersebut ialah siri Ilmu Fiqh yang dinamai Idaman Penuntut pada Menghuraikan yang Kusut.

Penulis harus akui tidak banyak yang penulis tahu tentang penyusun atau pengarang kitab terbabit selain daripada apa yang tercatat di Pendahuluan. Setidak-tidaknya, apa yang penulis difahamkan ialah beliau ialah seorang guru agama dan terlibat dalam penyusunan silibus pembelajaran sekolah agama dalam sistem persekolahan agama Kerajaan Johor suatu ketika dahulu. Atas permintaan anak-anak muridnya, beliau menyusun kitab Idaman Penuntut ini sebagai rujukan pelajaran ilmu fiqah kepada pelajar-pelajar terutamanya yang berada antara Darjah 4 hingga Darjah Khas sekolah agama Kerajaan Johor. Hasrat yang disampaikan bermula selepas beliau berpencen pada 1967 dan hanya mula direalisasikan pada akhir 1982. Jilid pertama bagi siri kitab ini diterbitkan pada April 1983 dengan penekanan terhadap topik-topik Ibadah dengan topik pertama ialah tentang bersuci dan topik terakhir berkenaan makanan. Bolehlah dikatakan jilid pertama meliputi kesemua pelajaran berkenaan ibadah fardhu ain meliputi sembahyang, puasa, jenazah, zakat, dan haji dan umrah.

Jilid kedua pula menyusul dengan topik-topik yang berkaitan dengan dua bidang fiqah iaitu muamalat dan munakahat sementara jilid ketiga menyentuh topik-topik berkenaan faraidh dan jenayah Islam. Oleh hal yang demikan, ketiga-tiga jilid bagi siri ini menyentuh segenap perbincangan tentang fiqah Islami. Edisi awal ketiga-tiga jilid ialah dalam tulisan jawi sebelum pada masa kini, sekurang-kurangnya dua jilid terawal dialihtulisankan kepada tulisan rumi. Penyusun/pengarang kitab tersebut ada menyatakan bahawa rujukan utamanya dalam penyusunan kitab itu ialah Matla'al Badrain, Al-Baijuri dan Bujairimi Iqna' yang masing-masing merupakan naskhah-naskhah lama yang cukup diraikan dalam pengajian agama sama ada formal mahupun tidak formal. Kitab-kitab rujukan itu, sungguhpun cukup berjasa dalam pengajian Islam dalam masyarakat Melayu/Islam di Malaysia dan Kepulauan Melayu, jelas mempunyai laras bahasa yang agak keterbelakang berbanding Bahasa Melayu terkini selain susunan berbentuk satu perenggan berterusan yang hanya dipisahkan dengan penanda wacana.

Oleh sebab itu, penyusunan Idaman Penuntut memudahkan orang ramai, terutamanya pelajar sekolah agama Kerajaan Johor untuk menelaah pelajaran fiqah yang menjadi subjek-subjek teras bermula Darjah empat hingga Darjah Khas. Sekadar berkongsi pengalaman sendiri, pembelajaran fiqah di sekolah agama Kerajaan Johor meliputi lima mata pelajaran iaitu Ibadat, Muamalat, Munakahat, Faraidh dan Jenayat. Sebelum zaman penulis, kitab seperti Matla'al Badrain masih lagi menjadi pilihan rujukan bagi tenaga pengajar sekolah agama walaupun kitab/risalah khas untuk setiap subjek sudah disediakan oleh pihak Jabatan Agama Johor. Jadi, Idaman Penuntut memudahkan pelajar (tidak kurang guru juga) membuat rujukan fiqah lantaran susunannya lebih sistematik, dihadirkan dalam bentuk tajuk besar, tajuk kecil dan poin-poin yang memudahkan rujukan pembaca. Kewujudan edisi rumi tambah memudahkan lagi pembacaan penelaah yang tidak begitu fasih membaca jawi.

Idaman Penuntut Jld 1

 

Secara umumnya pula, Idaman Penuntut ialah sejenis kitab fiqah Mazhab Syafie sesuai dengan suasana dan keadaan masyarakat Islam Malaysia. Dari hal itu, pembaca yang berpegang pada mazhab itu tidak banyak menemui pandangan yang bertentangan dengan pegangan masyhur Mazhab Syafie di Kepulauan Melayu (seperti mughalazahnya seluruh babi, anjing dan kacukan mereka berdua, sunatnya qunut Subuh dan talkin mayat). Pun begitu, pandangan penyusun seperti tidak wajar menambahkan perkataan Saidina semasa berselawat kepada Nabi selepas tahiyat akhir (jilid 1, nota kaki 1., m.s. 27) dan membidaahkan orang datang berkumpul untuk jamuan makan di rumah si mati (jilid 1, m.s. 63) memperlihatkan sedikit sisi perbezaan pendapatnya berbanding dengan amalan dan kepercayaan tradisional yang didakwa sebagai pandangan Mazhab Syafie yang masyhur.

Dan daripada segi pendalilan, jelas sekali pengarangnya sangat bergantung kepada tiga sumber rujukan utama sambil kadang-kala membandingkan kewujudan perbezaan pendapat antara ketiga-tiga kitab itu. Misalnya dalam persoalan ungkapan Saidina dalam selawat tadi, beliau mengutarakan pendapat bagi kedua-dua kitab rujukannya iaitu Al-Baijuri dan Bujairimi Iqna', lalu mengunggulkan isyarat daripada Bujairimi Iqna' untuk tidak menambah kalimah tersebut semasa selawat dalam sembahyang. Akan tetapi, beliau berdiplomasi dengan menjelaskan kesetujuannya agar perkataan Saidina ditambah dalam selawat di luar sembahyang. Dalam banyak keadaan, pengarang memberikan pendalilan terhadap sebarang rukun, jenis dan syarat namun bukan kesemua perkara diberikan dalilnya. Matlamat penulisan kitab ini pun lebih kepada memenuhi tuntutan pelajaran sekolah agama, jadi pengisiannya jelas cukup sesuai untuk peringkat asas pengenalan fiqah.

Secara keseluruhannya, harapan penyusunan kitab bagi memudahkan pelajar untuk menelaah ilmu asas fiqah bolehlah dikatakan tercapai dengan pembaikan kepada gaya bahasa yang lebih mudah difahami. Tambahan pula bilangan muka suratnya yang tidak tebal cukup ideal memudahkan pembelajaran isi-isi penting berkaitan ibadat, muamalat, jenayat, faraidh dan munakahat. Sungguh pun diterbitkan pada 1984, ciri-ciri seperti menonjolkan pandangan daripada kitab-kitab fiqah melayu klasik/semiklasik cukup membuatkan Idaman Penuntut seperti ringkasan atau penerangan ringkas ilmu yang terkandung dalam kitab Melayu klasik/semiklasik. Bagaimanapun, untuk mengangkatnya sebagai kitab fiqah yang benar-benar lengkap dengan pendalilan dan ulasan panjang lebar mengenai fiqah Mazhab Syafie mungkin menuntut syarah/ulasan dibuat terhadap teks asalnya. Atau kitab ini perlu dijadikan teks pengkuliahan di majlis-majlis ilmu seperti di masjid-masjid agar penerangan yang lebih konprehensif dapat diberikan oleh tok-tok guru yang mengkuliahkannya.

Apa pun, perkara ini tidak sama sekali menafikan keistimewaan Idaman Penuntut sebagai kitab-kitab rujukan untuk ilmu fiqah permulaan yang sewajarnya diketahui oleh setiap umat Islam. Sekurang-kurangnya, kitab ini menjadi antara rujukan tambahan yang penting bagi kurikulum sekolah agama Kerajaan Johor sehinggalah pada tahun 1994 yang menyaksikan permulaan era baru rujukan rasmi sistem persekolahan tersebut. Dan penulis ketika itu merupakan 'batch' pertama peralihan daripada kitab nipis tanpa sebarang gambar kepada buku teks sederhana tebal yang bergambar hitam putih terbitan Synergymate.

Wednesday, September 4, 2013

Kursus yang berguna untuk siswa?

 

Musim kemasukan baharu pelajar ke IPTA kembali lagi dan sudah semestinya harapan yang besar diletakkan kepada pelajar-pelajar ini untuk keluar dengan ilmu yang dikehendaki dan kemahiran insaniah yang diperlukan. Akhbar harian hari ini sampaikan menayangkan gambar bakal-bakal siswi dengan anak patung besar (teddy bear/teddy rabbit) masing-masing sebagai peneman mereka kelak di kolej kediaman dalam mengharungi cabaran sebagai seorang pelajar IPT. Biasanya nada yang disampaikan dalam berita-berita sebegini ialah berkenaan dengan 'bakal-bakal siswa harapan bangsa,' moga-moga mereka akan mencapai segulung ijazah setelah bergelumang dalam alam akademik selepas beberapa tahun di universiti.

Bagaimana pun, apa yang berlaku selepas tempoh masa tersebut tidaklah seindah yang disangka. Ada yang berjaya dalam perjalanan memanfaatkan sepenuhnya apa yang diajar ketika berkuliah bersama pensyarah-pensyarah mereka, dan tidak kurang juga jenis yang berakhir dengan belajar engineering tapi akhirnya menjadi tauke perniagaan di internet buat kek cawan. Ataupun mula-mula kerja sebagai doktor namun akhirnya bertukar kerjaya sebagai pengusaha pemasaran pelbagai aras atau dalam bahasa mudahnya 'multi-level marketing.'

Saban hari kita mendengar rintihan daripada belia yang tidak mendapat sebarang pekerjaan yang releven dengan apa yang dipelajari di institusi pengajian tinggi. Pak-pak menteri juga turut menggesa agar bakal-bakal siswa memilih 'dengan betul' sebarang kursus yang hendak diambil kelak di universiti agar mereka mendapat kerja selepas mereka tamat pengajian di menara gading. Dalam banyak keadaan, pihak pelajarlah yang biasanya dipersalahkan kerana tidak melengkapkan diri mereka dengan kemahiran insaniah yang berkesan bagi menghadapi cabaran semasa memburu pekerjaan. Siswa yang keluar daripada IPT dikatakan tidak memiliki 'skil kerja’ yang dikehendaki oleh pasaran yang menyebabkan mereka tidak mendapat kerja di pasaran.

Kendatipun, seandainya seseorang itu berjaya medapatkan pekerjaan dalam hidang yang dipelajarinya, bukanlah bermakna seseorang itu gagal dalam pembelajarannya di universiti atau gagal mengaplikasikan apa yang dipelajari semasa di IPT. Sebaliknya, peluang untuknya dalam bidang yang dipelajari di institusi itu sendiri yang tidak mencukupi. Akhirnya, disebabkan dia sendiri terdesak untuk mencari kerja dan mendapatkan pendapatan untuk membiaya diri, maka akhirnya dia akan berkeja juga dalam bidang yang dipelajarinya. Pada masa yang sama, kalau pun seseorang itu berjaya mendapatkan kerja dalam bidang yang dipelajarinya di universiti namun terjebak dalam peluang yang lain untuk 'meningkatkan potensi diri' dan memperoleh gaji yang lebih tinggi maka sudah tentulah pembabitannya dalam tugas yang lagi satu itu akan menjadi pilihan. Bayangkanlah kalau buat ‘part time’ pun sudah memperoleh pendapatan yang memuaskan hati, apatah lagi kalau bekerja sepenuh masa! Mestilah pendapatan lebih 'masyuk.'

Adakah ini satu kegagalan?

Persoalan ini sebenarnya terlalu retorik untuk ditanya. Kerana gagal apakah jika seseorang itu berjaya kerja dalam kerjaya yang memberikan pendapatan untuk dirinnya? Sedangkan daripada satu segi, bidang yang dipilihnya itulah yang gagal memberikan kerja kepadanya. Mungkin disebabkan lambakan calon yang telah menyertai bidang terbabit. Atau mungkin disebabkan nic pasaran bagi bidang tersebut lebih kecil daripada yang lain. Atau mungkin juga memang si calon itu sendiri yang tidak mempunyai 'kemahiran' yang diperlukan untuk menyertai bidang terbabit. Bagaimanapun, dia tetap mempunyai pekerjaan yang memberinya pendapatan yang memuaskan.

Akhirnya, kita kembali semula kepada saranan menteri dan orang-orang besar yang menggesa untuk bakal siswa untuk memilih kursus yang terbaik untuk pasaran kerja, maka kursus apa yang terbaik untuk pasaran kerja yang dimaksudkan itu? Kalau ditanya kepada pakar akademik pun nescaya mereka tidak mampu untuk memberi jawapan yang tepat bagi persoalan ini. Pasaran kerja; sebagaimana pasaran saham tidak akan mampu diterangkan secara tepat akan fenomenanya yang berlaku oleh pakar apa pun. Persoalan sebegini berbentuk multifaktor yang tidak mungkin dapat diterangkan dengan satu sebab sahaja.

Tambahan pula, dengan kejadian 'boom,' 'gelembung' serta 'letupan' ICT yang berlaku pada awal alaf ke-21 yang menyebabkan begitu ramai pelajar yang mengambil jurusan berkaitan ICT. Kesannya ialah 'lambakan' graduan ICT pada suatu ketika sehinggakan menimbulkan isu keberkesanan dan keperluan jurusan tersebut dikekalkan. (Penulis perlu akui bahawa situasi ini lebih kepada persepsi berbanding fakta kerana ada dikalangan kenalan penulis yang menafikan sama sekali ‘lambakan graduan ICT’ sambil menegaskan bahawa graduan jurusan itulah yang paling marketable.)

Begitu juga dengan beberapa kursus-kursus lain yang keperluannya menjadi samar lantaran keadaan semula jadi kursus tersebut. Misalnya perguruan yang begitu enigma kerana berlaku lambakan lepasan jurusan pendidikan sehingga terpaksa menunggu beberapa tahun untuk mula berkhidmat sedangkan pada masa yang sama, berlaku pula kekurangan guru di sekolah-sekolah tertentu menyebabkan kelas tergendala dan pihak sekolah terpaksa menggaji guru tak terlatih. Hal-hal sebegini hanya mereka yang mahir tentangnya sahaja yang faham mengapa perkara ini berlaku.

Justeru, soal pemilihan jurusan oleh pelajar pada masa sekarang ini masih lagi boleh dikatakan sebagai sesuatu yang kabur (fuzzy). Sama ada seseorang itu berjaya atau tidak dalam mengaplikasikannya dalam kehidupan dan pekerjaan terletaklah pada beberapa faktor, dan takdir, waktu dan keadaan memainkan peranan yang besar dalam perkiraan tersebut. Lebih-lebih lagi jurusan separa teknikal, separa akademikal dan separa business driven seperti sains tulen dan sains gunaan akan tertakluk kepada kecenderungan, keadaan, peluang dan ruang untuk pelajar itu benar-benar menggunakan apa yang dipelajari di dewan kuliah dan makmal.

Akhirnya, terkenang kembali apa yang pernah pensyarah penulis katakan dalam kuliahnya sebagai selingan, jika anda benar-benar ingin menggunakan apa yang dipelajari, maka jadilah seorang pensyarah! (If you really want to use what you’ve have learnt, then be a lecturer!)

Sunday, April 14, 2013

Karenah Sains & Matematik

 

‘If your want a job that uses what you have learn (in university), than be a lecturer’

Ong Hean Choi, Ex-Professor,

Faculty of Science, University of Malaya

Dalam kajian dan pelan tindakan pendidikan negara yang baru, sekali lagi mereka menyasarkan agar murid-murid di sekolah untuk menguasai Sains dan Matematik. Dasar ini bukanlah sekadar dipratktikkan baru-baru ini sebaliknya untuk sekian lamanya.

Pelajar yang cemerlang pada PMR, maka mereka boleh masuk dalam Sekolah Sains. Pelajar yang tak dapat ke Sekolah Sains, boleh mohon Maktab Rendah Sains. Mereka yang kekal di sekolah harian, tak dapat mana-mana, mereka dimasukkan ke dalam kelas Sains. Begitulah betapa istimewanya murid Sains kalau nak dibandingkan dengan yang lain.

Memanglah tak dapat nak disangkal, ada di sekolah harian biasa yang murid Sainsnya kurang berbanding yang Sastera. Namun, mereka yang belajar Sastera bukannya belajar 'sastera.' Tak ramai murid yang belajar Sastera dalam erti kata 'sastera.' (i.e ada yang ambil perdagangan, ekonomi, prinsip akaun...)

Ialah, kalau lihat istilah di universiti pun, nama ijazah sarjana mudanya sama ada 'sains' ataupun menganugerahkannya. Maksudnya tak kiralah seandainya kajian seseorang itu lebih berbentuk 'pengurusan' atau 'soal selidik' macam mana sekali pun, kalau fakultinya 'Sains' maka dapatlah calon yang lulus itu 'BSc.' Sebaliknya, seandainya kajian itu berbentuk 'futuristik,' hatta mungkin sampai masuk makmal, tapi fakultinya 'Sastera,' maka jadilah dia mendapat 'BA.'

Balik kepada persoalan budak nak ambil jurusan Sains dan Matematik, umumnya patut kena faham bukanlah yang dimaksudkan itu semasa SPM, budak itu mengambil matapelajaran 'sains' dan 'matematik.' Kalau jurusan Sains, dia tak ambil matapelajaran 'sains' pun, sebaliknya mengambil subjek Kimia, Fizik dan/atau Biologi. Macamlah juga pelajar aliran Agama, mereka tidak mengambil matapelajaran 'Pendidikan Islam' sebaliknya mengambil Al-Quran & As-Sunnah, Syariah Islamiyah dan Bahasa Arab.

Oleh hal yang demikian, subjek yang berkaitan Sains (Kimia, Fizik dan Biologi) itu akan dilebarkan lagi cakupannya dan sudah semestinya murid akan belajar lebih mendalam dalam subjek-subjek tersebut melebihi pelajar 'Sastera' yang belajar matapelajaran sains.

Apabila belajar pun lebih mendalam, peruntukan pun lebih besar. Itulah persoalan utama, mampukah kerajaan memenuhinya. Setiap subjek sains itu memerlukan makmal dan peralatan mereka tersendiri dan peralatan tersebut harganya bukan setakat seringgit dua. Tambahan pula dengan reagen dan larutan untuk eksperimen yang bukan sahaja mahal tapi berbahaya. Mampukah mereka menyediakannya untuk membolehkan pelajar merasa sendiri membuat eksperimen?

Selain itu, namanya pun 'uji kaji,' jadi walau seringkas mana pun eksperimen itu, ada yang jadi, ada yang tidak. Bagaimanakah masa yang singkat dapat dimanfaatkan oleh budak, kot kalau tersilap masuk 'asid hidroklorik' dalam balang 'asid fosforik;' sedangkan yang sepatutnya ialah sodium hidroksida; untuk menghasilkan tindak balas pembentukan 'garam' dan 'air.'

Hal yang sedemikian belum lagi masuk budak belajar jurusan Sains semasa SPM, akhirnya jadi peguam. Berapa ramai yang jurusan Sains yang akhirnya tidak bekerjaya sebagai seorang 'ahli sains?' Belum juga masuk orang yang belajar di universiti dalam jurusan sains dan teknikal yang akhirnya menjadi pegawai bank, pengawai pemasaran, guru, mahaguru MLM dan lain-lain jawatan yang tidak 'sains.'

Justeru, isu-isu sebegini boleh membangkitkan persoalan, berapa ramai sangatkah 'orang sains' yang diperlukan dan apakah kreteria 'sains' yang dimaksudkan oleh kerajaan? Mengapakah hala tuju 'Sains dan Matematik' ini begitu diberatkan dan apakah faedahnya kepada anak-anak kita pada sepuluh tahun akan datang? Ramai sangatkah saintis yang orang kerajaan hendakkan?

Mungkin ada yang berkata dengan sinis, isu kerjaya lain cerita, isu belajar lain cerita. Kita hendaklah melengkapkan diri dengan soft skill bagi kebolehpasaran diri kita. Pelajar-pelajar kita mesti diperkukuhkan dengan kemahiran insaniah bagi membolehkan mereka beradaptasi dengan sebarang kemungkinan dan keadaan dan kehendak pasaran kerja kelak. Era 'kerajaan menyediakan pekerjaan' sudah tamat sebaliknya lulusan itu sendiri perlu mencari kerja sendiri.

Pada hemat penulis, pemikiran dan jawapan tadi sebenarnya menjadi hujah kepada mempersoalkan keinginan kerajaan untuk membanyakkan budak belajar Sains dan Matematik, dan bukannya hujah untuk menyokong tindakan yang hendak dibuat oleh kerajaan itu. Kalaulah soft skill sangat penting untuk kebolehpasaran diri untuk bekerja, kenapa tidak wujudkan sahaja Ijazah Sarjana Muda Kemahiran Insaniah atau Bachelor Degree in Soft Skill di universiti awam tempatan?

Penulis bukannya hendak menentang seratus peratus cadangan yang mahukan lebih ramai murid mengambil jurusan Sains dan Matematik. Pada hemat penulis, rationale cadangan tersebut kena realistik. Budak kalau belajar macam mana hebat sekali pun, masuk makmal keluar makmal macam nak gila pun, akhirnya kerjanya tak masuk makmal, buat apa kerajaan pergi bazirkan duit untuk menyediakan makmal di sekolah atau universiti dengan banyak? Malah, sepanjang pengalaman penulis sendiri belajar dalam aliran Sains Tulen, penulis dapat rasakan bukan semua orang yang mengambil jurusan Sains akan tahan duduk di makmal membuat uji kaji dan akhirnya, apa yang jadi pun mereka tidak pedulikan. Mereka minat sains, tapi mereka tak minat duduk dalam makmal. Jadi, akhirnya mereka hilang minat terus pada sains.

Persoalan ini sebenarnya mengingatkan penulis kepada apa yang berlaku pada sekitar akhir 90'an dan awal milenium yang lalu apabila begitu ramai lepasan SPM yang mengambil jurusan IT/ICT sehinggakan terjadinya lambakan graduan dalam bidang tersebut. Hal ini terjadi apabila kerajaan pada ketika itu begitu menggalakkan orang mendalami IT dan menyebabkan ramai pelajar IT dihasilkan, namun pasaran kerja yang sebenar untuk IT tidaklah sebesar mana. Ramai graduan IT menganggur dan perlu berdikit mencari kerja lain yang mungkin tak setaraf ijazah yang ada. Ketika itu, Cyberjaya yang digembar-gemburkan menjadi lembah silikon Asia Tenggara pun tak siap seberapa. Kini, India telah mara bertapak-tapak dalam bidang ICT dan menjadi kuasa besar dalam bidang tersebut sehingga melahirkan jutawan; sementara Malaysia masih mencuba dan terus mencuba memanfaatkan 'pelan Cyberjaya' tadi. Mana silapnya? Soft skill?

Justeru, diharapkan dasar pendidikan Malaysia kali ini diharapkan benar-benar memanfaatkan murid-murid dan ibu bapa pada masa akan datang dan bukan sekadar menjadikan mereka sebagai 'tikus belanda' untuk segala eksperimen dasar kerajaan. Kajian menyeluruh sepatutnya telah dibuat dengan menganggarkan guna tenaga kerja bidang 'Sains dan Matematik' pada masa akan datang dan bekalan yang sedia ada pada masa kini. Hal ini penting bagi mengurangkan pembaziran dalam mencapai objektif dasar kerajaan tatkala hasil yang tercapai tidaklah seberapa.

Mungkin perlu diingatkan juga sebagaimana zaman 'kerajaan menyediakan pekerjaan telah pupus,' begitu halnya dengan zaman kerajaan tahu segala-galanya; turut telah berakhir. Apa yang diperlukan oleh rakyat sekarang adalah untuk memenuhi tahap keperluan mereka[i] dan kerajaan bertindak sebagai pemudah cara kepada rakyat. Ada ketikanya apa yang diperlukan oleh rakyat sama dengan apa yang disediakan oleh kerajaan. Adakalanya yang demikian tidak berlaku. Oleh sebab itu, sinergi antara apa yang disediakan oleh kerajaan dan apa yang diperlukan oleh rakyat hendaklah berasas; barulah sesuatu dasar itu memberi manfaat bukan sahaja kepada rakyat, malah kerajaan turut mendapat limpah kurnianya.

Sebagai satu cadangan, alangkah eloknya kerajaan turut memberatkan ibu segala disiplin ilmu iaitu mata pelajaran Sejarah.[ii] Hal ini dikatakan demikian kerana kerajaan sendiri berungut betapa menghargai tanah air dan patriotisme di kalangan rakyat semakin terhakis. Apakah lagi yang lebih mujarab melainkan sejarah? Pelajaran sejarah kini mendapat perhatian yang kurang berbanding subjek lain.

Mungkin ada yang mempersoalkan sejarah bukannya subjek yang mampu memberikan orang kerja pun, akan tetapi graviti subjek ini berbeza dengan subjek yang lain. Sejarah memberitahu kepada manusia apa yang telah terjadi pada masa dahulu dan mungkin boleh berlaku semula pada masa akan datang. Sejarah ialah ceritera realiti yang menunjukkan jatuh bangunnya tamadun bangsa dan pengetahuan yang demikian tidak kurang pentingnya dibandingkan sekadar hendak mengejar keuntungan duniawi.

Kita perlukan golongan profesional yang mempunyai jati diri yang tinggi. Kita perlukan peniaga, pengusaha yang tahu asal-usulnya. Kita juga inginkan anak muda bangsa kita faham tanggung jawab mereka bukan sekadar berlibur dengan apa yang telah tersedia ada. Justeru, di sinilah keperluannya pelajaran sejarah yang perkasa.

Akhir kalam, kerajaan kini menghadapi tekanan demi tekanan dalam membuat acuan untuk pendidikan anak bangsa. Apa yang pasti ialah penglibatan orang ramai turut memainkan peranan dalam pembinaan acuan ini supaya sistem pendidikan Malaysia kekal releven untuk masa akan datang. Tindakan kerajaan untuk 'memperkasakan' subjek Sains dan Matematik daripada satu segi merupakan satu manifestasi kehendak ibu bapa sendiri. Cuma, apa yang diharapkan ialah langkah tersebut berbaloi untuk anak murid yang mengambilnya kerana andai tidak, banyak yang perlu dibayar oleh kerajaan kita; dan anak-anak kita.

Nota hujung


[i] Maslow memperkenalkan apa yang dipanggil hierarki keperluan yang menteorikan bahawa keperluan tahap bawah hierarki perlulah dipenuhi terlebih dahulu sebelum meningkat ke tahap yang lebih tinggi.

[ii] Istilah ‘ibu segala ilmu’ ini dipinjam daripada apa yang diungkapkan oleh Prof. Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim yang menempelak salah seorang pegawai Persatuan Bola Sepak Malaysia yang menyindir beliau apabila berkata ‘Profesor ajar sejarah cuma tahu dan ajar sejarah sahaja...’ Ketika itu, akhbar Harian Metro menyiarkan isu berkait pergolakan FAM yang berlarutan sedangkan prestasi pasukan bola sepak negara dalam keadaan merosot.

Thursday, August 16, 2012

Dari hal Olimpik kita




Kebetulan Sukan Olimpik tahun ini berada dalam bulan yang mulia dan penuh barakah, maka perihalnya sudah tentulah akan diperkatakan juga oleh segenap lapisan masyarakat kita.

Kalau tak silap penulis, Olimpik punya pasal, ada mufti yang mengeluarkan fatwa bahawa peserta muslim boleh tangguh puasa kerana menjaga kesihatan dan kecergasan; berjuang demi nama negara – gamaknya! Teringat penulis ketika Piala Dunia 2002 di Korea/Jepun tatkala ulama di Senegal mengeluarkan fatwa bolehnya tangguh sembahyang Jumaat bagi rakyatnya menonton perlawanan bola sepak pada waktu Jumaat; sampai begitu sekali!

Mungkin ada juga yang mengeluarkan pendapat peserta tersebut sebenarnya sedang bermusafir, maka harus untuknya tidak berpuasa – terpulanglah kepada tafsiran ulama tersebut kerana hal-hal furu’ ini seeloknya mereka yang benar-benar mahir sahaja yang boleh menjawabnya.

Selain daripada atlet yang pergi ke London untuk berolimpik, pegawai pengiring juga turut ke sana. Cuma kadang-kala kita pun naik hairan juga kalau atlet yang dihantar untuk satu acara sekadar dua tiga orang, tetapi yang pengiringnya itu sudah taraf buat rombongan pula. Duit rombongan itu datang daripada mana?

Negara jiran kita Singapura sudah sah bergelar China Asia Tenggara sebab wakil mereka yang berjaya memenangi gangsa sukan ping pong pun berasal daripada negara Tembok Besar juga. Nampaknya sindrom Malaysia melanda negara Singa apabila hanya ping pong sahaja yang mampu memberi sinar pingat kepada mereka – itupun melalui proses ‘pembelian pemain daripada China.’ (Kalau Malaysia, badminton sahaja yang boleh bagi pingat; tetapi kali ini, dapat jugalah sebutir gangsa hasil sukan terjun!)

Barangkali negara kita tidak sampai ke tahap itu namun kalau difikirkan, ada pro kontranya neutralisasi pemain luar menjadi rakyat Malaysia. Bukannya kita tidak pernah ada atlet yang begitu.... namun  kalau difikirkan sebenarnya yang baiknya kalau begitu (beli pemain luar) kerana kita memberikan peluang kepada atlet yang memang sudah sedia berbakat pada tahap yang tinggi untuk bersaing di peringkat antarabangsa; kerana mungkin kekangan di negara sendiri tidak memberi peluang kepada mereka untuk berbuat demikian. Jadi, wang untuk latihan dan sebagainya dapatlah dijimatkan dan tinggal ‘touch up’ sahaja! – Kalau dipandang secara logik akalnya.....

Kendatipun, disebabkan harga diri dan peluang terpendam di kalangan rakyat sendiri, sudah tentu proses beli pemain luar untuk jadi warganegara merupakan proses yang bertentangan dengan semangat patriotisme yang terkandung dalam rakyat kita.

Pada masa yang sama juga, elok juga Olimpik kali ini tidak dimenangi oleh atlit muslim negara kita kerana bukan nak cakap apa, rekaan pingatnya itu terlalu menonjolkan sangat mitos kedewaan zaman Yunani satu ketika dahulu; dari satu sudut, tak elok kalau hendak menyimpan benda-benda yang ada rekaan ketuhanan agama yang lain. Tak gitu?


Andai mengambil topik sukan secara per se, nyatalah Olimpik membuktikan kepada kita bahawa jurang sukan antara Asia Tenggara berbanding rantau dunia yang lain (hatta Afrika sekali pun) sangat-sangatlah jauh ibarat langit dan bumi. Walaupun Asia Tenggara boleh berbangga dengan Sukan SEA dan kita pun berteriak yang kita menang pingat emas bola sepak sukan tersebut, sebenarnya rantau ASEAN sudah semakin jauh ketinggalan dalam bidang sukan berbanding rantau yang lain.

Tengok sahajalah pungutan pingat negara-negara ASEAN, semua pun lebih kurang sama sahaja. Kalaulah Sukan Olimpik dibuat secara merentas sub-benua, (Asia Tenggara, Asia Timur, Amerika Utara, Amerika Selatan dsb) alamatnya yang paling corot sekali ialah negara-negara ASEANlah jawabnya!!!

Justeru perkara sedemikian membangkitkan persoalan apakah rasionalnya kita beria-ia hendak buat Sukan SEA. Juara lumba lari 100 meter Sukan SEA pun tak mampu hendak menjadi wakil Asia Tenggara di peringkat Olimpik, jadi apa yang hendak dibanggakan sangat???

Jadi, tok sah lah sangat hendak menganjurkan sukan pelbagai acara (multiple events) sangat sebab pulangannya belum tentu dan impak kepada sukan dalam negara itu sendiri belum terbukti. Apa yang penting, budaya sukan itu sendiri yang dipupuk di peringkat sekolah, dan yang dimaksudkan budaya sukan itu termasuklah kepelbagaian jenis sukan yang membolehkan pelajar menyertainya. Sudah tentulah peralatan dan tenaga pengajarnya perlu profesional (guru PJK) yang benar-benar boleh membawa kepada matlamat 1Murid 1Sukan dan PENDIDIKAN JASMANI DAN KESIHATAN.

Artikel berkaitan

Mengoptimumkan PJK: Nasi lemak dan kesihatan

Sunday, December 4, 2011

Perbankan Islam: Alatan, pengkelasan dan pendekatan kefahaman

 

Pendahuluan

Bank Islam dan perbankan Islam merupakan sebuah sistem yang dihidupkan bagi memenuhi keperluan perkhidmatan yang berteraskan prinsip-prinsip syariah dan menjauhi sebarang unsur riba dan ketaktentuan. Sistem sebegini mendapat perhatian yang amat menggalakan daripada pelanggan-pelanggan perbankan dalam mencari alternatif kepada perbankan konvensional yang sudah bertapak secara bersistematik dalam tempoh yang agak lama. Bagaimanapun, dengan atribut 'Islam' itu sendiri pada namanya menjadikan persepsi yang tinggi daripada masyarakat terhadap bank Islam dan perbankan Islam.

Nama 'Islam' seolah-olah menggambarkan betapa jernih, tulus dan ikhlasnya sesuatu transaksi perkhidmatan tersebut sehingga dikaitkan dengan perlunya kadar yang dikenakan lebih 'murah' dan tidak berlaku sebarang 'kezaliman.' Oleh yang demikian, apabila pelanggan membandingkan secara zahir akan kadar yang ditawarkan oleh bank Islam dan perbankan Islam lebih tinggi daripada yang konvensional sudah tentulah mereka merasakan yang bank Islam dan perbankan Islam 'tak cukup Islam,' sama sahaja dengan perbankan konvensional ataupun lebih mahal daripada perbankan konvensional.

Oleh sebab itu dalam konteks Malaysia, kita dapat perhatikan beberapa tokoh ilmuan yang cuba memberikan penjelasan mengapakah penyimpangan imej bank Islam dan perbankan Islam ini timbul dengan mengemukakan hujah-hujah yang bernas bagi merasionalkan kesejadian (nature) bank Islam dan perbankan Islam. Terbitan-terbitan makalah di majalah, blog juga buku menjelaskan secara terperinci mengenai sistem perbankan Islam agar pembaca dapat memahami apakah sebenar-benarnya perbankan Islam.

Tulisan kali ini turut berhasrat untuk mengambil langkah yang sama melalui sudut pandangan yang berbeza iaitu cuma mengkategorikan jenis-jenis alatan perbankan Islam kepada kesejadiannya yang berbeza-beza. Hal ini demikian bagi membolehkan kita lebih memahami asas kepada perbankan Islam yang mempunyai pendekatan yang sama tetapi perlaksanaan dan alatan yang berbeza. Dengan itu, barulah kita boleh memahami mengapakah perbankan Islam boleh melakukan atau menyediakan harga-harga yang kelihatan 'tidak Islam' atau lebih mahal berbanding sistem perbankan konvensional. Bagi mencapai maksud tersebut, adalah penting juga kita mengetahui sedikit sebanyak produk-produk perbankan Islam yang ditawarkan di dalam pasaran sedia ada.

Produk-produk perbankan Islam.

Produk-produk perbankan Islam ialah alatan (instruments) yang digunakan bagi membolehkan urusan dilaksanakan antara pelanggan dan penyedia perkhidmatan. Produk-produk ini jugalah yang menyediakan kontrak-kontrak (akad) berbeza bagi tujuan berbeza mengikut 'kesesuaian' sesebuah urus niaga. Lazimnya, produk-produk ini didasari oleh kaedah-kaedah fiqh muamalat yang telah disusun oleh ulama-ulama muktabar berdasarkan Al-Quran dan Hadis. Akan tetapi, untuk tujuan terbitan ini, penulis menyenaraikan secara ringkas dan padat produk-produk popular yang wujud di pasaran perbankan Islam untuk membolehkan kita mengaitkannya dengan pengkelasan yang akan dibuat kelak.

Al-Ba‘i (selepas ini ditulis sebagai Al-Bai)

Secara literalnya bermaksud jual. Namun, biasanya digunakan untuk mengistilahkan 'jual-beli'[1] iaitu akad yang membolehkan pertukaran barangan oleh yang menjual dan yang membeli. yang dipersetujui nilai tukarannya melainkan dengan barang yang sama. Namun, perantara atau pertukaran yang biasanya difahami ialah antara barang/perkhidmatan dengan wang. Peranan wang suatu ketika dahulu sebagai 'perantara' kini telah bertukar menjadi objek. Antara produk al-Bai yang terkenal ialah:

  1. Murabahah iaitu jual-beli dengan tambahan keuntungan yang dicaj kepada pembeli berbanding kos keseluruhan sebenar dan tambahan tersebut diisytiharkan dalam akad tersebut. Alatan sebegini biasanya digunakan dalam pembiayaan perbankan dengan konsep bank membeli terlebih dahulu sesuatu aset ataupun produk lalu dijualkan kepada pengguna dengan harga yang ditambah dengan kos perkhidmatan dan keuntungan yang telah ditetapkan. Andai dilihat daripada satu sudut, alatan murabahah merupakan alatan yang paling telus kerana harga sebenar, kos perkhidmatan dan kadar keuntungan yang tetap telah termaktub di dalam perjanjian (akad/kontrak) jual beli. Bagaimanapun, keadaan yang ‘ideal’ untuk urus niaga ini ialah selesai dalam satu majlis yang sama. Perubahan kepada tata cara kontrak yang membawa kepada kaedah pembayaran ansuran yang dikenali sebagai pembayaran tangguh ialah Al-Bai bitaman ajil.
  2. Al-Bai bithaman ajil iaitu jualan sesuatu aset dengan pembayaran yang dibuat ialah dengan cara ansuran. Kontrak ini ialah bagi membolehkan klausa berkenaan masa dan tempat bagi majlis akad seperti yang termaktub dalam konsep murabahah menjadi sesuatu yang ‘ditangguh.’ Dalam bahasa mudah, pembayaran secara kredit. Contoh kepada pembiayaan sebegini ialah perumahan, kenderaan dan pendidikan. Secara amnya, kontrak pembelian secara ini masih menimbulkan pertikaian terutamanya bagi keterwujudannya yang disifatkan sebagai terlalu menyamai sistem konvensional.
  3. As-Salam iaitu jualan secara pesanan dengan bayaran didahulukan. Pada asasnya jualan sepatutnya pada satu jangka masa yang sama (i.e. majlis yang sama) dengan penerimaan produk dan pembayaran. Namun, jual-beli salam membenarkan barang tersebut diserahkan lewat. Biasanya kaedah ini digunakan bagi membolehkan tempahan seperti pakaian dan produk yang dibuat mengikut kekendak pelanggan (custom made).

Al-Ijarah Thumma Bai

Permasalahan Al-Bai bithaman ajil menjurus kepada keabsahan pihak bank menarik balik aset atau produk yang telah dijual seandainya si pembeli tidak membayar ansuran bulanan.[2] Juga berlaku permasalahan apabila kaedah ini menyebabkan seolah-olah pembeli membeli daripada penjual aset/produk, kemudian menjual kepada bank, akhirnya bank menjual semula kepada pembeli yang menyamai konsep Al-Inah yang diharamkan oleh majoriti ulama. Justeru, konsep sewa dahulu berakhir dengan pembelian dikatakan sebagai konsep yang lebih tepat kerana bayaran ansuran tersebut dikira sebagai bayaran ‘sewaan.’ Bagaimanapun, masih wujud pertikaian kerana seolah-olah wujud dua akad dalam satu kontrak sedangkan menurut pandangan fiqh klasik, tidak wujud dua transaksi dalam satu akad yang sama. Juga terdapat persoalan status kepada kebertanggungjawaban dan hak kerana terdapat keadaan berat sebelah yang memihak kepada bank seperti pembayaran cukai dan pampasan insuran/takaful.[3]

Mudharabah

Diterjemahkan secara bebas sebagai perkongsian (terutamanya dalam silibus sekolah menengah dan perniagaan asas di universiti!) namun hakikat sebenarnya ialah pelaburan.[4] Hal ini demikian mudharabah bukannya perkongsian kerja sebaliknya lebih bersifat pelaburan daripada pihak penanam modal dengan pelaksana peniagaan dengan keuntungan dibahagikan dengan kadar yang disepakati. Pihak bank Islam biasanya menggunakan konsep ini dengan menjadikannya sebagai ‘skim simpanan’ pelanggan dengan kadar keuntungan yang menarik. Namun, perlu diingat bahawa disebabkan kontrak ini merupakan kontrak pelaburan, seandainya berlaku kerugian dalam pelaburan yang dilaksanakan oleh bank sehinggakan tidak balik modal, secara fundamentalnya, bank tidak boleh disabitkan dengan sebarang tanggungan. Hal ini demikian kerana konsep mudharabah meletakkan tanggungan kerugian itu kepada penanam modal[5] dan pelaksana peniagaan telah pun ‘rugi’ kerana tidak dapat membuat ‘keuntungan.’ Dalam bahasa mudah, bank tidak boleh dipersalahkan seandainya berlaku kerugian yang membawa kepada kehilangan modal.

Musyarakah

Diterjemahkan secara bebas sebagai syarikat. Konsep ini merupakan konsep yang sangat luas dan tidak semata-mata menjurus kepada syarikat dalam erti kata 'syarikat perniagaan.' Misalnya satu konsep baharu yang bertujuan menggantikan bai bitaman ajil iaitu musyarakah mutanaqisah iaitu perkongsian pemilikan yang berakhir dengan pemilikan sebelah pihak (secara meningkat). Cara yang digunakan ialah melalui 'suntikan modal' terhadap baki bayaran yang perlu dibuat oleh pembeli dan kemudian, membuat dua kontrak iaitu sewaan (bayaran bulanan yang perlu dibuat oleh pembeli) dan jualan milikan aset/produk tersebut secara beransur kepada pembeli. Dalam erti kata mudah, 'sewaan' tadi seolah-olah berubah kepada pembelian menjelang masa yang telah ditetapkan.

Wadi'ah (dibaca wa-di-'ah)

Pada asalnya lebih menjurus kepada konsep simpanan barang dan kini digunakan dengan meluas untuk simpanan wang dalam bank. Seseorang itu menyimpan wang di dalam bank dengan pihak bank diberikan tanggungjawab sepenuhnya bagi menguruskannya dan mengizinkan pihak bank untuk menggunakan wang simpanan tersebut bagi menjana keuntungan bank dan pihak banklah yang paling berhak terhadap keuntungan tersebut (tetapi bank boleh berkongsi keuntungan tersebut dengan pihak pelanggan). Dalam maksud skim simpanan, kaedah wadi‘ah merupakan kaedah paling selamat kerana secara konseptualnya, apa yang disimpan itulah apa yang sepatutnya diterima semula sekiranya pelanggan mahu membuat pengeluaran. Namun, masih tidak diketahui sama ada prinsip sedemikian terpakai dalam mekanisme simpanan di bank Islam dan perbankan Islam di sini kerana seandainya simpanan tersebut besar (ratusan ribu atau jutaan ringgit misalnya), dan digunakan oleh pihak bank untuk perniagaan mereka, namun sekiranya bank menjadi bankrap angkara peniagaan tersebut, adakah simpanan tadi boleh terpelihara setidak-tidaknya pada jumlah asalnya?

Ar-Rahn

Ar-Rahn merupakan gadaian secara Islam iaitu produk atau harta yang digadai bagi mendapatkan pembiayaan. Macam iklan dalam televisyen, 'dapat pinjaman sehingga 60 peratus harga barang!' Dari beberapa sudut, gadaian merupakan sesuatu yang lebih jelas dan selamat untuk kedua-dua pembiaya dan yang dibiaya kerana setidak-tidaknya sudah ada sesuatu yang dicagarkan untuk memperoleh wang.

Takaful

Alatan ini dikatakan sebagar insuran secara Islam bagi menggantikan 'harga nyawa' yang 'dicagarkan/diperjudikan' oleh insuran konvensional. Konsepnya sebenarnya mudah iaitu saling-membantu antara satu sama lain dengan tabungan wang yang disediakan oleh pembekal perkhidmatan. Namun, timbul persoalan apabila wujud pandangan tertentu yang mengatakan bahawa adalah silap untuk mengatakan sistem konvensional mengaplikasikan unsur perjudian kerana pada asasnya, insuran yang mereka wujudkan bukanlah untuk 'memperjudikan' aset atau nyawa seseorang! Oleh yang demikian, golongan sebegini mengkritik pihak yang menganjurkan konsep takaful dengan menyandarkan hujah bahawa sistem insuran konvensional sebagai sebagai sistem yang mempunyai unsur perjudian.

Demikianlah beberapa alatan kewangan Islam yang diaplikasikan oleh sistem perbankan Islam. Setiap alatan yang diwujudkan mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing namun keterwujudannya sedikit sebanyak memberikan pilihan kepada pelanggan untuk melangkaui urus niaga yang mempunyai pengaruh riba. Suka diingatkan masih terdapat banyak lagi alatan-alatan perbankan Islam yang digunakan di pasaran namun cukuplah sekadar menyebut di sini beberapa jenis yang popular untuk tujuan bandingan.

 

Pengkelasan alatan kewangan Islam

Disebabkan alatan-alatan kewangan Islam ini merupakan derivatif daripada konsep fiqh muamalat yang muktabar, pembahagian asalnya lebih merujuk kepada ketersediaan kontrak terbabit. Salah satu cara ialah dengan membahagikannya kepada dua jenis iaitu kontrak pertukaran berbalas pemilikan harta dan kontrak partisipasi. Pengkelasan ini menjadi asas kepada penulisan Zaharuddin Abd. Rahman dalam bukunya Panduan Perbankan Islam[6]. Alatan yang dimasukkan dalam kontrak pertukaran berbalas pemilikan harta ialah seperti murabahah, bai bitaman ajil, bai as-salam dan ijarah. Sementara kontrak pratisipasi ialah mudharabah dan musyarakah. Dapatlah dilihat di sini pembahagian sebegini menjurus kepada kontrak yang berunsur 'jual-beli' dan yang berunsur 'usaha sama dan modal'. Cara begini lebih menampakkan bahawa terdapat alatan yang menjurus kepada bank sebagai penjual dan bank sebagai rakan kongsi perniagaan.

Cara kedua ialah yang dikemukakan oleh ElGindi et. al yang secara mudah membahagikan alatan-alatan tersebut kepada dua kumpulan iaitu yang berasaskan perkongsian keuntungan/kerugian dan yang tidak berasaskan perkongsian keuntungan/kerugian.[7] Alatan yang termasuk dalam kategori perkongsian tersebut ialah mudharabah dan musyarakah sementara yang tidak bersifat demikian ialah seperti Al-Bai, Ijarah dan Qard Hassan. Walaupun kelihatan seperti sama dengan usul pengkelasan yang dikemukakan oleh Zaharuddin, pengelasan ini lebih bersifat liberal apabila sebarang transaksi yang tidak berasaskan kepada perkongsian boleh dimasukkan ke dalam kategori bukan-perkongsian tadi. Dan nyata sekali, berasaskan kepada fahaman fiqh klasik, hanya dua alatan sahaja yang boleh diletakkan sebagai 'perkongsian' iaitu mudharabah dan musyarakah.

 

Rangka kerja pemahaman perbankan Islam

Apabila kita memperkatakan bank Islam dan perbankan Islam, lantas yang bermain difikiran kita ialah 'bank Islam' bersaing dengan 'bank konvensional' atau seolah-olah bagaimanakah sebuah sistem yang diterima pakai secara turun temurun itu hendak 'diIslamkan.' Hal sebegini menjadi cabaran kepada umat Islam kerana ketiadaan idea asli dan ampuh bagi membentuk acuan sistem perbankan Islam. Soalnya, adakah bank Islam perlu menyediakan keserupaan yang sama dengan sistem konvensional namun sekadar menjadikannya sebagai 'cara Islam?'

Untuk itu, kita kembali semula kepada konsep wang sebagai perantara dan bukannya objek kepada sesebuah transaksi, justeru menjadikan sebahagian besar daripada alatan perbankan Islam itu sendiri sebagai kontrak 'bukan-duit,' seterusnya menjadikan bank Islam itu sebagai sebahagian daripada 'syarikat jualan.' Hal ini bermaksud, kontrak-kontrak seperti pembiayaan perumahan dan kenderaan bukanlah dalam maksud 'biaya' itu sendiri malah sebenarnya lebih kepada jual-sewa-beli. Perkara ini sudah tentu boleh dikaitkan dengan pengkelasan yang telah dicadangkan sebentar tadi apabila wujudnya kontrak yang berbentuk pelaburan dan satu lagi kontrak yang berakhir dengan pemilikan oleh pelanggan.  Paradigma sebeginilah yang perlu diperkasakan oleh pihak yang berkepentingan dan pemasar perbankan Islam kerana dalam kebanyakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh bank dan perbankan Islam, pelanggan sebenarnya membeli/menyewa sesuatu aset/produk daripada bank dan akhirnya setelah bayaran penuh, maka harta terbabit akan menjadi milik pelanggan.

Cabaran utama bagi kaedah kefahaman sebegini ialah apabila melibatkan pembelian jangka sederhana seperti kereta kerana terdapat kecenderungan pelanggan yang membeli kereta hanya untuk digunakan sekitar tiga atau empat tahun dan kemudian ingin menjualnya kembali. Maka, ada wajarnya pendekatan yang lebih segar dan boleh diamalkan dirangka oleh ilmuan dan pemain industri supaya dapat menyelesaikan permasalahan yang berbangkit melalui transaksi sebegini.

 

Kesimpulan

Tuntasnya, penjelasan yang bersistematik dan lebih tepat harus digunakan oleh pihak pemasar perkhidmatan perbankan Islam bagi memudahkan pemahaman orang awam mengenainya dan agar dapat memberikan maklumat yang tepat kepada pengguna. Hal ini akan dapat membolehkan pengguna/pelanggan untuk memahami perbezaan yang amat ketara antara sistem perbankan Islam dengan perbankan konvensional sekali gus dapat menjana satu kefahaman yang lebih jelas dan tepat mengenai perbankan Islam dan bukanlah semata-mata 'mengIslamkan' apa yang telah wujud dalam sistem konvensional.

Usaha pihak kerajaan seperti hal-hal berkaitan peraturan dan undang-undang pun perlu diambil perhatian kerana adalah sesuatu yang janggal seandainya masalah berbangkit di dalam kapasiti syariah dibicarakan di dalam kamar mahkamah sivil sedangkan peruntukan berkaitan muamalah jelas sekali menjurus kepada bidang kuasa syariah. Pada masa yang sama, peraturan tentang hak pemilikan juga perlulah diselesaikan kerana bagaimanakah kita merasionalkan sesebuah aset/produk itu adalah milik seseorang sedangkan manfaatnya milik orang lain?[8]

Satu lagi perkara penting yang begitu sukar untuk diselesaikan ialah apabila jual-beli itu membabitkan sesuatu yang masih belum siap seperti projek perumahan yang masih sedang berjalan. Amalan perumahan baru di Malaysia menyebabkan timbul isu pembelian sesuatu yang masih belum pasti kerana rumah yang dibeli sebenarnya masih belum siap. Sedangkan pelanggan telah mengikat kontrak dengan pihak bank dan wang yang diperlukan oleh pemaju sudah pun diselesaikan. Malangnya, pemaju yang gagal menyelesaikan pembinaan rumah tersebut kini boleh ‘lari’ daripada tanggung jawab kerana urusan dengannya telah dikira ‘selesai.’ Bayar bank bulan-bulan lain cerita! Usaha untuk menjadikan kegagalan pemaju menyiapkan rumah sebagaimana masa yang ditetapkan dan mengikut spesifikasi yang dijanjikan sebagai satu jenayah merupakan langkah pertama bagi mengatasi masalah tersebut. Akan tetapi, langkah sebegini masih belum tentu dapat menyelesaikan keakuran syariah yang menuntut kepada produk/perkhidmatan/aset yang dijadikan untuk jual beli mestilah dapat dipastikan kewujudannya.[9]

Justeru, isu sebegini memerlukan usaha seluruh pihak yang berkaitan dan berkepentingan (stakeholders) untuk memperkasakan sebuah sistem yang benar-benar malar segar dan releven dengan perkembangan masa. Janganlah kiranya slogan 'Islam itu lengkap' sekadar bertanam tebu di pinggir bibir sahaja kerana kita masih lagi hendak memadankan sesuatu sistem yang mempunyai asas yang cukup berbeza. Usaha ini memerlukan iltizam yang tinggi dan semoga pemain industri dan pihak yang terbabit benar-benar berusaha bagi mewujudkan sebuah sistem perbankan yang sempurna dan setidak-tidaknya boleh diterima di serata dunia.

Nota hujung


[1] As-Sayyid Sabiq, Fiqh Sunnah Jilid 6 terj. Nor Hasanuddin dan Aisyah Saipuddin (Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publications, 2010), 34 dan Mustofa Al-Khin, et al. Kitab Fikah Mazhab Syafie Jilid 6 terj. Salehan Ayub (Kuala Lumpur: Pustaka Salam, 2005), 1285.

[2] Lihat Mahmood Zuhdi Abdul Majid, Transformasi Fikah Semasa (Batu Caves: PTS Islamika, 2010), 191-192.

[3] Lihat Zaharuddin Abd. Rahman, Panduan Perbankan Islam (Kuala Lumpur: Telaga Biru, 2009), 75-76.

[4] Walaupun tidak dinafikan sama sekali bahawa wujud unsur perkongsian keuntungan dalam hal mudharabah ini. Namun, yang menjadikannya kurang tepat ialah apabila konsep mudharabah ini dibandingkan pula dengan konsep perkongsian perniagaan sebagai salah sebuah cara untuk menjalankan perniagaan (i.e. perniagaan sendiri, perkongsian, syarikat sendirian berhad, syarikat berhad) kerana seandainya pemegang saham beratus orang sekali pun, tetapi urusan dilakukan dengan berasaskan sebelah pihak menyediakan modal dan sebelah pihak lagi menggunakan modal untuk menjana keuntungan secara asasnya tetap dinamakan sebagai mudharabah.

[5] Lihat Syed Mohd Ghazali Wafa et al., Pengantar Perniagaan Islam (Kuala Lumpur: Pearson Malaysia, 2003), 160.

[6] Bagaimanapun, dalam naskah tersebut beliau ada menjelaskan mengenai pembahagian jenis-jenis kontrak menurut perspektif Islam secara rajah ringkas dan padat. Lihat Zaharuddin, Panduan Perbankan Islam,10 & 17.

[7] ElGindi, T., Said, M. dan Salevurakis, J. W. ‘Islamic alternatives to purely capitalist modes of finance: A study of Malaysian Banks from 1999 to 2006,’ Review of Radical Political Economics vol 41. no. 4 (2009): 516-538. Naskah ini secara radikal telah membandingkan kaedah muamalah dalam Islam dengan sumber sejarah Kristian yang dikatakan sebagai mempunyai banyak persamaan.

[8] Perkara ini acap kali ditimbulkan oleh Zaharuddin Abd Rahman misalnya ketika membincangkan bai bithaman ajil apabila berlaku pertembungan kepentingan antara pemilik secara perundangan (legal ownership) dan pemilik manfaat (beneficial ownership). Lihat contohnya Zaharuddin, Panduan Perbankan Islam, 38-40.

[9] Perkara ini boleh dikaitkan dengan jualan susu yang belum diperah, atau bulu haiwan yang masih belum diketam atau buah-buahan yang masih belum masak. Lihat Mustofa Al-Khin et al., Kitab Fikah Mazhab Syafie, 1325-1329. Juga melanggari syarat mampu untuk diserahkan seperti menjual ikan dalam sungai, menjual burung yang sedang terbang. Lihat Sayyed Sabiq, Fiqh Sunnah, 48-49.

Wednesday, November 30, 2011

Sembah kubur Tok Pulau Manis.

 

Pemujaan merupakan satu amalan karut-marut yang masih lagi diamalkan oleh segelintir daripada umat Islam di Malaysia ini. Masih ada dikalangan manusia yang hadir ke kubur-kubur lama, menurun dan 'menaik' agar mendapatkan ilham nombor yang akan naik semasa cabutan permainan nombor ekor bagi memperoleh keuntungan dengan mudah. Malangnya, nombor ramalan atau ekor itu sendiri dikira sebagai berjudi dan sudah semestinya juga hasil daripadanya juga merupakan hasil yang haram.

Namun yang menganehkan ialah betapa kelakuan tersebut dibuat oleh golongan yang mempergunakan imej keagamaan untuk mengaburi amalan yang khurafat (merujuk tajuk 'Esakan di makam keramat,' Harian Metro, 29/11/11, 4). Mereka beserban dan berjubah untuk menyelindung diri yang sedang mengamalkan perkara yang ditegah oleh agama dan kemungkaran yang membawa kepada kesyirikan! Begitu mudah sekali dan betapa beraninya mereka ini menggunakan imej Islamik untuk melakukan sesuatu yang haram di sisi Islam. Berani sungguh mereka ini!

Pemujaan nombor ekor nampaknya masih lagi menjadi amalan sesetengah di kalangan orang Melayu yang tampaknya tidak insaf dengan kelakuan syirik tersebut. Membesarkan makam-makam para ulama (dalam maksud mengagungkan) dengan menjadikannya sebagai tempat memuja masig diamalkan sehingga kini walaupun capaian maklumat dan aspek rasional dikatakan semakin berkembang pada generasi kini. Sedangkan sistem pendidikan kita sudah pun memasukkan unsur-unsur akidah bagi menerapkan nilai-nilai tauhid di dalam jiwa sanubari pelajar ketika mempelajarinya, justeru membawa kepada persoalan, sejauh manakah sistem pendidikan keagamaan kita berkesan dan cekap untuk melahirkan insan yang tidak melakukan perkara-perkara yang syirik?

Kita boleh dengan mudahnya salahkan sistem, kita salahkan yang pendidikan sekarang kononnya masih tidak cukup Islam. Atau ada yang lebih keras lagi dengan melabelkan sistem pendidikan sekarang ini sekular. Namun, sejauh manakah pula mereka yang dikatakan sebagai alim, berilmu pengetahuan yang luas dalam bidang agama membanteras gejala-gejala seperti ini? Adakah golongan ustaz-ustaz di Malaysia ini hanya pandai berceramah pom-pang, pom-pang hentam sini sana tetapi dakwahnya sekadar di masjid? Bukankah mereka sepatutnya turut serta bekerja turun padang membanteras kelakuan jijik sedemikian dengan gerak usaha penyertaan dalam masyarakat bagi menggerakkan dakwah bil hal?

Kejadian pemujaan di makam orang saleh dan kelakuan khurafat bukanlah hanya unik di Malaysia. Serata dunia Islam pun menghadapi perkara yang sama. Semasa musim haji misalnya, dikhabarkan bahawa ada jemaah tertentu yang cenderung untuk menggunting kelambu Kaabah untuk dijadikan azimat. Kubur dan makam ulama tertentu di Mesir sangat digemari oleh golongan tertentu untuk dipuja. Wujud golongan yang terlalu mendewakan syeikh polan bin polan kerana kekeramatannya dan seterusnya selalu beribadah dan mengagungkan makam syeikh tersebut, Perkara sebegini bukanlah sesuatu yang unik di Malaysia sahaja.

Justeru membawa persoalan, sama ada adakah pendekatan Islam pada hari ini membolehkan pemujaan tersebut berlaku? Kita sering mendengar usaha ulama-ulama yang dikatakan sebagai Salafi daripada Ibn Taimiyah dan Muhammad Ibn Wahhab mempunyai cita-cita untuk menghapuskan sama sekali perlakuan 'bidaah' seperti pemujaan makam dan sebagainya, malangnya usaha mereka digenangi pula oleh isu-isu seperti Wahabi, takfir dan hal-hal pertikaian furu seperti bidaah itu sendiri. Akhirnya, idealisme ulama sebegini tenggelam dek pertikaian antara golongan yang menyokong mereka dan yang menentang mereka dalam hal-hal berkaitan ibadah!

Jangan silap faham. Penulis bukanlah hendak membela penyokong tegar Taimiyah, Wahabi atau Salafi. Pada hemat penulis, isu menyembah kubur ini jauh lebih besar daripada kita dok bertelagah tentang Nabi zikir dan doa secara jam'ie ataupun tidak. Isu berkaitan orang Islam menurun ekor di makam wali-wali ini jauh lebih dahsyat ertinya berbanding pertikaian tentang sembahyang tarawih berapa rakaat. Malangnya, perkara akidah sebegini yang jarang sekali diperbincangkan sesama cendikiawan Islam sendiri sebaliknya yang lebih diraikan ialah berkenaan siapa undi siapa masuk syurga, yang tak undi sekian-sekian itu faham-faham aje lah!

Kini, maruah dan martabat umat Islam sering diperendahkan dengan pelbagai cara hanya kerana ungkapan 'your taboo is not my taboo.' Sebabnya, umat Islam mudah sekali berpecah -belah hanya disebabkan ideologi politik dan tidak mahu mendahulukan akidah dan penyatuan umat terlebih dahulu. Akhirnya, kita akan dapati kaum yang memusuhi Islam akan semakin berani mencabar umat Islam, menuntut agar keIslaman umat Islam dikurangkan kononnya bagi membolehkan proses demokrasi berjalan lancar. Undang-undang di negara-negara Barat tertentu jelas menunjukkan penindasan terhadap muslim dan siapa yang hendak bangkit mempertikaikan yang tindakan sebegini menyalahi hak kebebasan beragama?

Kesemuanya hanya disebabkan umat Islam tidak mahu bersatu bagi memelihara akidahnya. Oleh yang demikian, tidak hairanlah akan wujud lagi mereka yang pergi ke kubur lama menyembah minta ilham nombor ekor sedangkan tok guru masih dok bertelagah undi siapa masuk syurga, undi siapa pergi neraka!

Dan mereka yang bukan Islam pun bolehlah terhibur dengan gelagat sedemikian.

Thursday, November 24, 2011

Syiah: Satu tinjauan awal

 

Soal penularan kegiatan syiah di dalam masyarakat Islam Malaysia telah bertambah dari semasa ke semasa.

Baru-baru ini, sudah kedengaran yang kumpulan cenderung Syiah telah membuat permohonan di mahkamah bagi mencabar keabsahan serbuan jabatan agama ke markaz kegiatan mereka[1].

Oleh yang demikian, sudah semestinya hal yang demikian mengundang persoalan tentang semenjak bilakah wujudnya kemasukan aliran akidah tersebut sedangkan umat Islam di Malaysia secara struktur dan amalannya adalah berpegang kepada Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan bermazhab Syafie[2].

Kehadiran aliran Syiah di Malaysia tidak boleh sama sekali disamakan dengan kewujudan mazhab akidah tersebut yang mendominasi Iran dan Iraq, dan menjadi mazhab akidah yang minoriti namun bererti di Lubnan dan negara-negara Asia Tengah.

Secara ‘konvensyennya’ aliran pemikiran akidah yang datang ke Tanah Melayu ialah Ahlus Sunnah Wal Jamaah[3].

Pengiktirafan Ahlus Sunnah Wal Jamaah sebagai pegangan rasmi boleh dilihat dengan kesemua negeri di Malaysia meletakkan sama ada mazhab Syafie atau Ahlus Sunnah Wal Jamaah sebagai pegangan rasmi bagi umat Islam di peringkat negeri[4].

Oleh sebab itu, bagaimanakah unsur Syiah itu boleh menyelinap masul ke dalam pemikiran sesetengah umat Islam dan kini menjadi satu ancaman untuk mengekalkan kelangsungan dominasi pemikiran sunni?

Untuk tujuan pemahaman konsep Syiah itu sendiri, adalah wajar untuk kita meneliti sejarah awal kewujudan perpecahan pandangan yang menyebabkan wujudnya mazhab-mazhab aliran akidah.

Pertembungan-pertembungan pendapat atau idealisme di kalangan umat Islam pada zaman Nabi SAW tidak dikira sebagai satu pertembungan yang serius kerana ketika itu, perselisihan tersebut lantas diselesaikan terus dengan merujuk Nabi SAW. Misalnya perselisihan sahabat-sahabat berkenaan sembahyang Asar di perkampungan Bani Quraizah yang dirujuk kepada Nabi SAW, dan ditaqrirkan oleh Nabi SAW sama ada puak yang melakukan sembahyang Asar semasa perjalanan tersebut dan puak yang mentak’hirkan sembahyang Asar hingga tiba ke perkampungan tersebut.

Sebarang perselisihan ketika itu dengan mudah diselesaikan kerana umat Islam ketika itu masih mampu ketemu Nabi SAW untuk bertanyakan soal-soal hukum-hakam dan pendapat.

Bagaimanapun, kontra dengan pemikiran bahawa pepecahan itu sudah mula berlaku sewaktu zaman Uthman ra atau setelah kematian Ali kwj, pepecahan dikalangan umat Islam yang sebenarnya telah muncul seawal kewafatan Nabi SAW lagi apabila ada dikalangan para sahabat yang tidak boleh menerima bahawa Nabi SAW sudah tiada di sisi mereka.

Sedangkan Umar Al-Khattab r.a, sahabat akrab Nabi SAW yang terkenal dengan ketegasan, keilmuan dan dikategorikan sebagai ‘yang dijamin syurga;’ pada awalnya tidak dapat menerima sama sekali kewafatan Nabi, sehingga mengancam untuk memenggal kepada sesiapa sahaja yang berkata Nabi SAW telah wafat!

Mujur dengan rahmat Allah melalui kebijaksanaan Abu Bakar As-Siddiq r.a yang dapat mententeramkan keadaan pada ketika itu dengan hikmah membacakan ayat-ayat Al-Quran yang antara lain mempunyai inti pati pertanyaan kepada umat Islam, seandainya Nabi SAW wafat atau terbunuh, maka mereka akan murtad kembali kepada agama lain/asal[5]?

Kemudian, timbul pula perselisihan berkenaan pemakaman Rasulullah SAW, warisan (harta) Nabi dan kemuncak kepada perselisihan tersebut ialah berkenaan kepimpinan umat Islam pada ketika itu selepas kewafatan Nabi SAW[6].

Isu berkenaan kepimpinan umat Islam pada ketika itu berlegar antara tuntutan kaum Muhajirin dan Ansar bagi jawatan pemimpin dan perselisihan inilah menjadi bibit-bibit sejarah kewujudan kaum Syiah di dunia ini.

Walaupun terdapat riwayat yang mengatakan bahawa perselisihan di Balai Bani Sa‘idah tersebut sekadar antara kaum Muhajirin dan Ansar sahaja, ada pendapat juga yang menyebut Ali sendiri yang inginkan agar beliau dilantik sebagai khalifah[7].

Ditambah pula dengan keengganan Ali kwj membai‘ah Abu Bakar r.a pada awalnya sehinggalah selepas enam bulan iaitu setelah kematian isterinya iaitu anak Rasulullah SAW Fatimah Az-Zahra[8].

Nuansa ini sudah cukup untuk merasionalkan mengapakah gerakan pembelaan Ali kwj itu wujud; kerana pada pendapat mereka, Sayidina Alilah yang sepatutnya dilantik sebagai khalifah, dan bukannya Abu Bakar.

Ditambah pula dengan hujah puak penyokong Ali kwj yang mendakwa Nabi SAW telah telah berwasiat agar pimpinan patut diturunkan kepada Ali kwj (disebut juga sebagai Hadis Ghadir Khum) sempena tempat yang didakwa Nabi menyampaikan wasiat/hadis tersebut) dan hadis-hadis lain yang menunjukkan kelebihan Ali disisi Rasulullah SAW[9].

Akan tetapi, letusan cetusan ketakakuran puak penyokong Ali kepada kekhalifahan Abu Bakar dan Umar dikatakan hanya berlaku setelah kedua-duanya meninggal dunia setelah pada ketika itu, Sayidina Uthman mati terbunuh dan Muawiyah bin Abu Sufyan berkehendakkan jawatan khalifah.

Maka, puak-puak ini membela terus menerus Sayidina Ali kwj dan Ali diangkat menjadi khalifah dalam suasana ketaktentuan pada ketika itu yang membawa kepada peperangan Siffin, majlis Tahkim dan akhirnya pembunuhan Khalifah Ali Abi Thalib.

Namun, pada peringkat awal, pembelaan terhadap Sayidina Ali kwj hanya bersifat politikal dan bukannya membabitkan aspek kepercayaan dan ibadah[10].

Kewujudah pembela Ali ini adalah sebagai respon kepada puak Khawarij yang satu ketika menyokong dan mengikuti Khalifah Ali namun bertindak sebaliknya apabila Khalifah Ali bersetuju untuk berunding dengan Muawiyah[11].

Kehuru-haraan politik pada ketika itu menunjukkan betapa umat Islam pada ketika itu menghadapi pertembungan ideologi yang membawa kepada pembunuhan demi pembunuhan sahabat r.hum.

Kesemua puak yang terbabit mengaku bahawa merekalah yang sebenar-benarnya paling benar dan hal yang demikian mengundang kepada pepecahan, peperangan, tikam-menikam daripada belakang.

Setelah dinasti Umaiyah diwujudkan, terdapat beberapa pemimpin mereka yang terlalu melampau dalam menghina dan mencaci Ali kwj untuk menaikkan imej Muawiyah dan Uthman Affan r.a yang lantas menyebabkan ketidakpuasan penyokong-penyokong Ali kwj[12].

Perubahan kepimpinan, pengaruh, pepecahan dan tokok tambah dalam kepercayaan bagi mengagungkan Sayidina Ali menyebabkan puak Syiah itu sendiri terbahagi kepada beberapa kumpulan seperti Imamiyah, Zaidiyah, Ismailiyah dan Sabaiyah[13].

Bagaimanapun, kumpulan Imamiyah merupakan kumpulan yang paling dominan dan sehingga kini mendominasi mazhab Syiah itu sendiri. Kumpulan ini mempercayai imam yang dua belas termasuklah Imam Mahdi yang didakwa akan muncul semula bagi menegakkan keadilan Islam.[14]

Jadi, kelangsungan pemikiran Syiah bolehlah dikatakan begitu kuat berbanding mazhab-mazhab akidah yang lain kerana kewujudannya sehingga kini yang menjadi perbezaan yang jelas antara Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Hal yang demikian boleh dilihat apabila mazhab akidah yang lain yang wujud ketika zaman sahabat dan dinasti Umaiyah, Abbasiyah seperti Muktazilah dan Khawarij sudah lenyap walaupun intisari dan kecenderungan yang menghala ke unsur-unsur kedua-duanya masih wujud.

Misalnya puak-puak yang mudah mengkafirkan orang lain dilihat sebagai cenderung mempunyai pemikiran Khawarij dan mereka yang gemar menggunakan pandangan akal atau logik akal dikatakan sebagai Muktazilah.

Sebaliknya, Syiah kekal membentuk satu kumpulan atau mazhab berbeza dan dominan daripada segi akidah di negara-negara tertentu seperti di Iran atau berjaya menembusi pemikiran dominan Sunni seperti di Malaysia. Wujud cakap-cakap tertentu juga bahawa terdapat pemimpin parti politik Islam di sini yang cenderung kepada aliran Syiah[15].

Pada masa yang sama, pengaruh Syiah tidak boleh dipandang sepi oleh Jabatan-jabatan Agama Islam andai mereka mahu mengekalkan status quo bahawa akidah dan sumber hukum yang dipegang di Malaysia ialah Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan Mazhab Syafie.

Hal ini demikian kerana cabaran Syiah membuka lembaran baru usaha mempertahankan status quo tersebut apabila selama ini, perkelahian yang tampak antara umat Islam sesama umat Islam masih dilingkungi pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah (seperti Syafie – Wahabi; Syafie – Salafi; Syafie – Hambali; UMNO – PAS daripada segi politik).

Justeru, sudah semestinya dakyah atau gerakan Syiah ini berasal daripada pemikiran Islam seawal zaman kehadiran Islam di Nusantara/Kepulauan Melayu/Tanah Melayu kerana sudah tentulah blueprintnya wujud pada masa tersebut.

Gerakan Syiah bukanlah sesuatu yang baharu dan asing daripada segi kewujudannya; oleh sebab itu, adalah wajar untuk diteliti sama ada pengaruh aliran tersebut hadir seawal kedatangan Islam ke Tanah Melayu lagi bagi memahami kewujudannya dan pengaruhnya dalam pemikiran akidah di Malaysia.

Hal ini sekali gus akan dapat memberikan kepada kita gambaran sebenar sejarah amalan dan ibadah yang telah sebati dengan masyarakat Islam di sini dan memberikan peluang untuk kita memahami perkembangan amalan-amalan tersebut sehingga menyebabkan umat Islam di Malaysia telah menerimanya sebagai amalan harian.

 

Nota hujung


[1] Laporan Bernama 31/10/11 yang antara lain menyebut salah seorang pengikut Syiah memfailkan saman terhadap JAIS dan Utusan berkenaan serbuan yang membawa kepada penangkapannya Disember tahun lepas. Hakim bagaimanapun telah membenarkan pembatalan saman oleh JAIS dan Ketua Pengarahnya pada ketika itu, Dato’ Khusrin Munawi.

[2] Di peringkat Jawatan kuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal ehwal Ugama Islam (dikenali sebagai Majlis Fatwa Kebangsan) pada 1996 misalnya telah memutuskan tujuh ketetapan berkaitan Syiah yang antara lain memansukhkan penerimaan amalan Syiah Zaidiyah dan Imamiyah di Malaysia dan menetapkan bahawa agama bagi Persekutuan dan negeri-negeri perlulah ditetapkan sebagai berasaskan Ahlus Sunnah Wal Jamaah daripada segi Akidah, Syariah dan Akhlak. Contoh lain ialah Keputusan Fatwa bagi Jawatan kuasa Perundingan Hukum Syarak (Fatwa) Negeri Selangor misalnya mendapati ajaran Syiah bersalahan dengan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah sambil menyatakan tiga cara penyebaran Syiah di Malaysia iaitu melalui 1. Lawatan pembesar daripada Iran, 2. Pelajar yang ditawarkan belajar di Iran dan 3. Hadiah buku kepada perpustakaan, umum dan kedai buku terkenal. Untuk rujukan lanjut teks sila lihat http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/syiah-di-malaysia dan http://www.e-fatwa.gov.my/tagging-kod-isu/1996khas.

[3] Sebenarnya, perkara inilah yang menjadi titik persoalan berkenaan kedatangan Islam di Kepulauan Melayu yang kini dibayangi oleh dogma yang mengatakan Islam hadir melalui ajaran Sufi dan bermazhab Syafie. Pun begitu, andai dirujuk kepada sumber primer seperti Sulalatus-Salatin sekalipun, tidak ada tanda-tanda pengarang menyatakan secara terus apakah mazhab yang dibawa oleh pendakwah Islam pada ketika itu semasa penyebaran agama Islam di kepulauan ini. Sama ada pertikaian mazhab akidah pada ketika itu dikira penting atau tidak untuk pengarang-pengarang ‘hikayat’ tersebut belumlah dapat dipastikan. Bagaimanapun, kajian-kaiian terkini sebenarnya membuktikan bahawa aliran kesufian yang mula-mula tiba di Kepulauan Melayu sebenarnya cenderung kepada pemikiran Syiah.

[4] Misalnya Fasal 54 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor yang menetapkan agar qaul yang muktamad hendaklah daripada Mazhab Syafie, namun andai kesukaran atau berlawanan dengan kepentingan awam maka subfasa (2) menetapkan Jawatan kuasa fatwa boleh mengikut qaul daripada Hanafi, Maliki atau Hanbali. Ayat-ayat yang hampir sama juga ditemui di dalam Seksyen 39, Akta 505 Pentadbiran Undang-undang Islam Wilayah Persekutuan dan Seksyen 54 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor. Bagaimanapun, di Perlis Seksyen 7(4) Enakmen Pentadbiran Undang-undang Ugama Islam menetapkan bahawa Jawatan kuasa Syariah perlulah menggunakan Al-Quran dan As-Sunnah dalam mengeluarkan fatwa.

[5] Surah Ali-Imran: 3 ayat 144. Bacaan ayat ini seterusnya disambung pula dengan kata-kata Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq, ‘Barang siapa yang menyembah Muhammad, maka sesungguhnya Muhammad telah wafat. Dan barang siapa yang menyembah Allah (sebahagian versi disebut ‘Tuhan Muhammad,’ membawa konotasi yang sama juga iaitu Allah), maka sesungguhnya Dia Maha Hidup, tidak sama sekali akan mati.

[6] Lihat Ahmad Muhd Abd. Ghaffar, Serpihan Ummah Jilid (Kuala Lumpur: Darul Nu’man 1999), 2-7.

[7] Lihat Ahmad Shalaby, Sejarah dan Kebudayaan Islam Jilid 1, Cetakan ke-8, (Singapura: Pustaka Nasional, 2000) 258-259. Sungguhpun wujud golongan yang menyokong Ali pada waktu perselisihan perlantikan kepimpinan selepas kewafatan Nabi, golongan ini tetap menerima perlantikan Abu Bakar As-Siddiq dan bekerjasama dengan beliau. Lihat Mahayudin Yahya, Sejarah Politik dan Sosiobudaya Masyarakat Islam (KL: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2009) 202.

[8] Pendidikan Sirah Darjah Enam, Edisi Jabatan Agama Johor, (Kajang: Synergymate Sdn Bhd, 1998), 45.

[9] Misalnya ‘Aku (Nabi SAW) adalah kota ilmu sedangkan Ali adalah pintunya.’ Hadis ini dan hadis Ghadir Khum merupakan hadis-hadis yang dianggap lemah atau palsu oleh ulama hadis Ahlus Sunnah. Lihat Ahmad Muhd, Serpihan Ummah, 13-14 dan Abdul Razak Muthalib, 40 Hadis Palsu Popular (Batu Caves: PTS Islamika Sdn. Bhd., 2011) 66-70 .

[10] Ahmad Muhd, Serpihan Ummah, 15 dan Mahayudin, Sejarah Politik dan Sosiobudaya Masyarakat Islam, 202. Akan tetapi, S. H. Nasr menyatakan sungguhpun pendapat tersebut benar (i.e. dikatakan sebagai pandangan orientalis), beliau tetap menegaskan bahawa wujud perbezaan keagamaan dan teologi berkenaan jawatan khalifah/imam . Menurut pandangan Sunni, khalifah ialah pemimpin di peringkat syariah bagi sesebuah komuniti sementara Syiah pula cenderung meletakkan khalifah/imam sebagai pewaris fungsi spiritual yang mewarisi ajaran Nabi. Lihat S. H. Nasr, Ideals and Realities of Islam (London: Allen & Unwin, 1966), 148.

[11] Mahayudin, Sejarah Politik dan Sosiobudaya Masyarakat Islam, 198 dan 201.

[12] Ahmad Muhd, Serpihan Ummah, 16

[13] Untuk doktrin golongan Syiah yang lebih panjang, boleh lihat Ahmad Muhd, Serpihan Ummah, dan Ab. Latif Muda dan Rosmawati Ali @ Mat Zin, Kemunculan Aliran Akidah dlm. Perbahasan Akidah Islam (KL: Pustaka Salam, 2007), 139-159 dan Nasr, Ideals and Realities of Islam, 147-176. Tulisan S. H. Nasr mempunyai banyak kecenderungan menyertakan pandangan Syiah apabila kebanyakan tulisannya mengenai aspek teologi/akidah cenderung untuk menonjolkan sudut perspektif ‘Mazhab Imam yang 12’ dan Ismailiyah; walaupun tidak dinafikan sama sekali beliau turut mengulas bersama-samanya sisi pandangan Sunni. Justeru, adalah selamat untuk mengatakan beliau cenderung kepada fahaman Syiah meskipun sering ditonjolkan sebagai mengikuti ‘mazhab Sufi.’

[14] Ahmad Muhd, Serpihan Ummah, 17 dan Mahayudin, Sejarah Politik dan Sosiobudaya Masyarakat Islam, 204.

[15] Disebabkan cakap-cakap ini bersifat spekulaitif, tiadalah penulis mahu memperincikan siapa yang dimaksudkan kerana bukti yang nyata masih belum dikemukakan atau ‘kesyiahannya’ masih belum ditonjolkan sendiri oleh pemimpin tersebut.