PERINGATAN: Semua artikel yang ditulis oleh penulis adalah nukilan penulis sendiri melainkan telah dinyatakan sumbernya dan TIDAK mewakili organisasi yang telah/sedang penulis sertai. Tulisan bukan bermaksud membangkitkan sebarang sentimen yang menyebabkan perasaan kurang selesa kepada pembaca. Andai pembaca yang mendapati terdapat tulisan yang bersifat demikian, sila beri komen untuk tindakan selanjutnya. Terima kasih
Sunday, November 10, 2013
Monday, October 28, 2013
Sunday, October 27, 2013
Friday, October 25, 2013
Salah siapa dah tak penting
Jarang sangat penulis ke Cameron Highland dan acap kali ke sana, penulis tidak menghabiskan masa yang lama di sana. Paling lama pun rasanya sekitar tiga jam. Setiap kali ke sana, memang terasa hawanya lebih dingin berbanding apabila berada nun di bawah sana. Bagaimanapun, bagi mereka yang sering ke sana dalam satu jangka masa yang lama, atau mereka yang memang telah tinggal di sana, mereka akan merasai perbezaan yang nyata antara suhu sebelum dan selepas jangka masa tersebut. Cameron Highland dikatakan sudah semakin hilang identitinya sebagai kawasan yang mempunyai suhu ala-negara-negara di Eropah.
Kejadian banjir lumpur akibat pelepasan air di empangan Sultan Abu Bakar di kawasan Lembah Bertam menimbulkan pelbagai persoalan dan sehingga kini pun, pihak yang terbabit daripada mangsa banjir sehinggalah yang membuka pintu untuk pelepasan air di empangan saling menafikan merekalah sebenarnya penyumbang utama kepada kejadian yang buruk kelmarin. Apa yang jelas ialah setiap pihak yang terbabit ialah penyumbang besar kepada kejadian 'tsunami' di Cameron Highland. Kalau sekarang menuding jari kepada sesiapa pun, masing-masing akan mempunyai hujah untuk mempertahankan diri.
Misalnya, pihak TNB yang melepaskan air daripada empangan akan mendakwa bahawa segala yang dilakukan adalah menurut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan. Mereka mendakwa bahawa eksesais penyuraian atau pengosongan oleh penduduk. Malah, mereka turut mendakwa telah memberitahu pihak polis, pihak berkuasa tempatan dan ketua kampung tentang eksesais penyuraian penduduk. Siren amaran telah pun dibunyikan memberitahu agar penyuraian dilakukan. Lain pula di pihak penduduk. Ada yang mengatakan yang tiada siren amaran yang kedengaran. Malah, mereka turut mengkritik apa ke jadahnya untuk melaksanakan penyuraian pada waktu tengah malam sedangkan orang ramai sedang tidur?
Penulis sebagai ‘suku-environmentalis’ pula mempersoalkan, mengapakah dibenarkan penempatan di sebuah lembah yang mana kawasan tingginya mempunyai empangan? Sekiranya dibenarkan, maka siapa yang membenarkannya? Kalau tidak dibenarkan, maka kenapa tiada penguatkuasaan untuk melarang penempatan? Sampaikan sekolah pun di bina di kawasan tersebut, maka bayangkan seandainya banjir lumpur itu berlaku ketika murid-murid sekolah sedang belajar? Bukankah risikonya lebih besar?
Sekali lagi, persoalan tentang sejauh mana pentadbiran dan pengurusan oleh pihak berwajib yang sepatutnya menjadi perkara yang perlu dikedepankan dalam membincangkan permasalahan ini. Hal ini dikatakan demikian kerana kewujudan petempatan di kawasan yang berisiko tinggi menunjukkan keakuran pihak berkuasa terhadap penduduk-penduduk yang bertempat di situ. Maka, sekiranya berlaku sebarang bencana dan kesulitan sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian, maka tidak siapa yang akan dapat dipertanggungjawabkan kerana masing-masing pun lepas tangan sahaja.
Ingat lagi satu lagi bencana satu lagi Highland (runtuhan kondominium Highland Tower). Sehingga kini pun tiada siapa yang dapat dipertanggungjawabkan walaupun segala prosedur standard telah dipatuhi. Bayangkanlah sekiranya segala-galanya telah dituruti, si pesalahnya masih belum mampu untuk dipertanggungjawabkan kerana wujudnya klausa 'imuniti' daripada sebarang tindakan. Apatah lagi dalam keadaan yang tiada siapa yang boleh dipertanggungjawabkan, lebihlah lagi tidak akan ada orang yang akan dipertanggungjawabkan! Akhirnya, kewujudan pihak berkuasa pun sekadar keperluan wujud dan bukannya mempunyai fungsi yang tepat untuk memastikan keselamatan rakyat yang bernaung di bawahnya. Mana lah tak sakit jantung seseorang itu kalau bukak sahaja mata, tau-tau dah berlayar di atas katil?
Akhirnya, tiada siapa yang boleh dipersalahkan. Akan datang, kemungkinan kejadian ini akan berlaku lagi dan kita akan dapati segala SOP telah pun dipenuhi. Maka orang ini akan kata,
‘aku dah bagi tau, kau tak nak dengar,’
sementara satu pihak lagi mungkin akan kata,
‘kau bagi tau pun bukannya aku boleh dengar, lagilah kau bagi tahu hanya beberapa ketika sebelum kau buat itu.’
Dalam keadaan tiada siapa yang boleh dipertanggungjawabkan, buat apa kita hendak cari siapa yang salah?
Monday, October 14, 2013
Wukuf
Wukuf di Arafah ialah rukun haji terpenting kerana tanpanya, tidak sah haji seseorang yang berniat untuk menunaikannya di Makkah pada musim haji. Calon haji yang tidak sempat melaksanakannya pada masa dan tempat yang ditetapkan, tidak akan mendapat 'haji' walaupun beliau berjaya memenuhi rukun-rukun dan wajib-wajib haji yang lain sesempurnanya. Sungguhpun yang meninggalkan wukuf itu membayar dam yang ditetapkan kerana meninggalkan amalan itu, pembayaran dam itu tidak dapat menampung kekurangan rukun haji dan calon haji tetap perlu menunaikan hajinya sekali lagi pada tahun yang akan datang.
Sebab itulah kita sering mendengar laporan di televisyen yang menerangkan usaha yang akan dilakukan oleh Tabung Haji untuk sedaya-upaya membawa jemaah Malaysia yang sakit atau telantar tiada daya untuk ke padang Arafah sebelum atau pada 9 Zulhijjah untuk setidak-tidaknya dapat berwukuf kerana amalan ini ialah puncak amalan haji pada tahun tersebut. Hal ini bertepatan dengan hadis Nabi SAW riwayat Abu Daud dan yang lainnya daripada Abdul Rahman bin Ya'mur,
'bahawa Nabi SAW meminta seseorang untuk menyeru, "haji itu ialah Arafah. Barangsiapa yang datang pada malam sebelum terbitnya fajar (10 Zulhijjah), maka dia telah mendapat Arafah." '
Hadis ini sudah cukup menunjukkan pentingnya wukuf di Arafah sambil mengisyaratkan hanya mereka yang dapat wukuf pada tempoh dan tempat yang ditetapkan sahajalah yang akan mendapatkan haji. Masakan tidak, hanya ibadah wukuf sahaja satu rukun yang memerlukan seseorang itu menunaikannya pada waktu yang spesifik iaitu selepas gelincir matahari 9 Zulhijjah sehingga waktu malamnya (i.e. malamm 10 Zulhijjah) dan sekiranya gagal, maka tak hajilah jawabnya calon haji itu!
Bagi mereka yang dipilih sebagai tetamu Allah, sudah tentulah ibadah wukuf ini akan dipenuhi dengan segala bentuk amalan memperingati-Nya dan berdoa kepada-Nya dengan harapan segala permintaan yang dimohon akan dimakbulkan oleh-Nya. Berpakaian serba putih, tanpa ada perbezaan antara yang berada atau yang miskin, yang berpangkat ataupun yang kuli, atau yang berkedudukan atau sekadar orang kebanyakkan, ibadah wukuf sering dianggap sebagai gambaran pada hari Mahsyar kelak semasa semua manusia dihimpunkan di hadapan Allah Taala selepas Hari Qiamat.
Bagi mereka yang masih belum terpilih untuk menunaikan haji, maka biasanya pada permulaan malam 10 Zulhijjah, akan bermulalah tempoh untuk dilafazkan takbir membesar dan memuji Yang Maha Kuasa sebagai simbol peribadatan dan kekerdilan diri. Mereka yang sempat berniat berpuasa sunat dan berpuasa pada siangnya (9 Zulhijjah), maka mereka telah menjalankan satu sunnah yang pernah disarankan oleh Nabi SAW. Namun, sekiranya tidak sempat/dapat berbuat itu, maka laksanakanlah yang masih boleh dibuat. Apatah lagi kesunnahan bertakbir Aidil Adha selepas sembahyang, berlangsung paling kurang selama empat hari selepas hari wukuf.
Dan esok, umat Islam akan menyambut Aidil Adha, salah satu daripada dua hari raya yang disyariatkan. Haiwan korban akan ditumbangkan dan gotong-royong akan dilaksanakan. Umat Islam yang memerlukan akan dicukupkan dengan daging korban yang akan diagihkan kepada mereka sebagai pengubat duka pada hari raya. Pengorban-pengorban pula mengharapkan penghampiran diri dan ketaqwaan kepada Rabbnya dengan harapan amalan mereka akan diterima.
Dalam konteks umat Islam Malaysia pula, hari wukuf tahun ini memberikan satu lagi sebab kepada kesyukuran kerana buat masa ini, kalimah Allah masih terpelihara untuk mereka dan tidak boleh diseleweng guna oleh agama lain untuk diertikan sebagai Tuhan bagi agama mereka. Mahkamah Rayuan melalui tiga orang hakimnya telah menetapkan bahawa kalimah Allah tidak dibenarkan untuk digunakan dalam terbitan Kristian Katholik di Malaysia. Sebelum ini, pelbagai usaha yang telah dibuat oleh bukan Islam untuk mengelirukan masyarakat terhadap penggunaan kalimah tersebut dalam terbitan akhbar mereka sedangkan tiadalah di dalam dunia ini, negara majoriti Kristian yang berkenan hendak menterjemahkan tuhan sebagai Allah. Maka apa ke halnya pihak gereja Malaysia berkeras mahu menggunakan Allah sebagai ganti nama bagi tuhan mereka?
Tampak sekali agenda pluralisme yang cuba disemai dalam masyarakat Malaysia dalam usaha menyamaratakan ehwal keagamaan di Malaysia sedang giat dilancarkan oleh golongan-golongan tertentu. Walhal, telah terpahat dalam perlembagaan persekutuan klausa agama Islam sebagai agama Persekutuan. Sepatutnya, asas itu mesti dihormati dan diakuri oleh setiap rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama kerana kewujudan negara bangsa adalah berpaksi kepada Perlembagaan Malaysia. Sebaliknya, perlembagaan itu sekadar diwar-warkan apabila sesuatu perkara yang hendak dituntut itu selari dengan matlamat sendiri sahaja.
Pihak tersebut mungkin tidak akan berhenti setakat di situ sahaja. Mereka mungkin akan merayu, dan akan terus merayu ke mahkamah yang lebih tinggi lagi (selagi ada mahkamah) dan berhelah dalam usaha menjayakan agenda mengelirukan rakyat Malaysia. Jelas mereka mempunyai pengaruh politik untuk cuba membawakan isu ini agar dijadikan sebagai kaedah memancing undi bukan Islam dan memperlihatkan kononnya kerajaan Malaysia jumud dan tidak adil. Itulah hakikatnya yang sedang dihadapi oleh umat Islam kini.
Justeru, pada hari wukuf ini, tatkala saudara-saudara Muslim seagama sedang menunaikan amalan terpenting dalam ibadah haji, ada eloknya kita yang tak pergi haji ini bermuhasabah dan mengambil iktibar daripada ibada wukuf itu sendiri. Jutaan umat Islam tanpa mengira mazhab, keturunan, harta kekayaan, aliran politik, geografi kedudukan, sedang bersatu berhimpun di padang yang sama dalam rangka beribadah kepada Tuhan Yang Satu. Maka alangkah eloknya semangat dan roh sedemikian dapat ditanamkan ke hati sanubari umat Islam Malaysia; dalam mempertahankan akidah yang sama!
Wednesday, October 2, 2013
Sindiran berdesing Al-Ustaz Hanafiah
'Mak bapak sekarang ni, balik-balik menyanyi je. Cubalah ajak anak-anak berzikir ke, ini tidak, asyik-asyik nyanyi aje. Dah sekarang ni,
"Aku yang dulu bukanlah yang sekarang,
Dulu ku ditendang, sekarang ku diterajang." '
Personaliti ini agak kerap muncul di televisyen dalam pentas keagamaan dengan forte-nya membincangkan permasalahan sosial yang melanda umat Islam. Isu-isu seperti remaja mengandung anak luar nikah, pergaulan seks bebas, pelacuran, penagihan dadah dan keruntuhan akhlak sememangnya banyak meniti di bibirnya. Pendek katanya beliau bolehlah dinisbahkan sebagai pegawai D7 PDRM kerana usaha dakwah beliau lebih terarah kepada sasaran divisyen terbabit. Malah, beliau turut terlibat dalam usaha dakwah di pedalaman Malaysia dalam rangka penyebaran agama Islam dan turut menyelitkan pengalamannya itu dalam kuliah-kuliahnya.
Penulis perlu akui amat jarang berkesempatan mengikuti penyampaian Ustaz Hanafiah Abd Malek. Namun, acap kali berkesempatan menontonnya, penulis dapati ada keistimewaan tersendiri yang dipamerkan olehnya. Walaupun perlu diakui penyampaiannya bukanlah penuh dengan patah-patah Al-Quran dan Al-Hadis setiap saat dan ketika, atau begitu banyak diselitkan dengan pendapat-pendapat ulama besar, isu yang diketengahkan oleh beliau cukup dekat dengan masyarakat Melayu/Islam di Malaysia. Kebejatan sosial di kalangan ummah bukanlah satu perkara yang baru dan penyelesaiannya sangat didambakan oleh umat Islam. Usaha beliau dalam menangani permasalahan ini merupakan satu usaha yang cukup mulia apatah lagi beliau sendiri turut turun padang bagi memahami masalah tersebut secara terus.
Dalam siri Al-Kuliyyah yang terakhir yang ditayangkan untuk tahun ini (menurut pengacaranya), Ustaz Hanafiah dijemput bagi memperihalkan dosa-dosa kering dan pastinya beliau turut mengulas tentang kelakuan remaja Muslim masa kini. Penulis tertarik dengan dua perkara yang beliau bangkitkan berkenaan topik tersebut.
Pertamanya ialah betapa pengakuannya yang sungguhpun beliau bukanlah al-ustaz penuh dengan ilmu syariah sebagaimana ustaz-ustazah yang lain (dan beliau sendiri mengakui bahawa mereka yang lain itu lebih tinggi taraf keilmuannya dan beliau memuliakan mereka), beliau tetap telah menjalankan tanggungjawab untuk berdakwah dan melaksanakan amat makruf nahi mungkar. Dengan pengakuan dan ayat-ayat seumpama itu, seolah-olah ada isi tersirat yang cuba disampaikan iaitu soal tanggungjawab dakwah sehingga ke tahap akar umbi. Misalnya beliau terlibat untuk ke lorong-lorong gelap tempat wanita melacurkan diri mereka untuk mendapatkan sumber pendapatan, dan ke kawasan pedalaman dalam rangka usaha dakwah kepada mereka yang tinggal di sanasampaikan rombongannya tersekat dek segerombolan babi di dalam hutan. Secara berlapik, beliau sebenarnya membangkitkan isu berkenaan gerak kerja dakwah ke peringkat yang lebih rendah iaitu secara langsung kepada subjek sasaran.
Hal ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sebetulnya rakyat pun boleh tertanya-tanya mengapakah kebejatan sosial dalam masyarakat Islam itu berterusan dengan fitnah yang hadir daripada segala penjuru alam. Mengapakah pula masih berlaku gejala murtad di kalangan orang yang sedia lahir dalam Islam ataupun mereka yang baharu sahaja masuk Islam. Sedangkan penstrukturan Jabatan Agama negara ini bolehkah dianggap sebagai sangat-sangat baik dan sepadanlah dengan imej negara yang menproklamasikan dirinya sebagai negara Islam. Ustaz-ustaz pendakwah bebas kita pula pada masa sekarang ini pun merupakan ikon selebriti yang cukup dikenali dan dihormati sehingga tak menang tangan untuk memenuhi undangan ceramah, kuliah dan sesi soal jawab. Mereka kini hadir ke majlis-majlis kuliah setidak-tidaknya dengan kenderaan yang cukup sempurna, kalau pun bukan yang mewah; namun jauh sekali memandu kereta capuk bercap Datsun dengan enjin meragam yang boleh kedengaran berbatu jauhnya. Meskipun begitu, mengapakah masih wujud dan berterusan gejala negatif sosial di kalangan umat Islam masa kini sedangkan kalau masa program ustaz-ustaz sebegini diadakan, penuh sampai ke luar masjid gamaknya orang hendak mendengar pelajaran!
Syiar agama tidak pernah dilarang dalam Malaysia, malah menerima bantuan daripada pihak kerajaan pula. Ustaz-ustaz selebriti sebegini begitu diraikan lantaran keilmuan mereka dan cara penyampaian yang memikat atau memberikan motivasi kepada penonton yang hadir dengan penuh berkarisma, maka sukar sangatkah untuk berdakwah kepada orang asli, mat rempit, kupu-kupu malam dan penagih tegar? Bukanlah penulis mahu mengangkat setinggi-tingginya Ustaz Hanafiah kerana berpeluang melaksanakan usaha-usaha terbabit, maklumlah tiada lagi insan yang maksum selepas kewafatan Nabi SAW. Cuma usaha dakwah dan tarbiyah seumpama itu sebenarnya amat jarang diangkat sebagai model dan tugasan yang perlu dibanggakan dan dituruti.
Paling habis pun ustaz selebriti sekarang ini, buat sesi soal jawab spontan, bagi jawapan, solek sikit jawapan itu dengan lawak jenaka, biar jemaah ketawa sambil menunggu punch line-nya, lalu tergelak besar. Dan apabila pulang ke rumah, akan terkeluarlah daripada mulut jemaah tadi, 'Ustaz tadi best la. Power giler, kelakar betul,' sedangkan ilmu dan dakwahnya tak diingat langsung! Sejak bila pula tugas ustaz-ustazah ialah sebagai menghiburkan orang ramai dengan gelak-tawa komedi?
Jarang sangat kita dapat menonton siri ustaz menyebu kelab malam, menegur anak muda Muslim remaja yang terpesong pegangan hidupnya sehingga menjadikan arak sebagai minuman harian, dadah sebagai makanan harian dan seks bebas sebagai mainan harian. Sedangkan sepatutnya penonton kepada pendakwah hebat bukan sahaja mereka yang datang ke masjid atau yang menonton mereka media massa, sebaliknya harus melibatkan mereka yang tak pernah menjejak kaki ke rumah Allah, tidak pernah berdiri di tikar sembahyang dan asyik dan bergembira di rumah syaitan.
Isu kedua yang dibangkitkan oleh Al-Fadhil Ustaz dalam sesi Al-Kuliyyah itu menyentuh berkenaan minat ibu bapa sekarang agar anak-anak mereka berhibur dengan menyanyi. Walaupun Ustaz Hanafiah hanya menyanyikan parodi bait-bait lagu itu, majoriti penonton boleh agak lagu apa dan siapa yang menyanyikannya. Justeru beliau menyeru agar ibu bapa berubah dengan menerapkan pendekatan zikir, agar si anak lebih mengingati Allah sebagai alternatif kepada sekadar menyanyi. Walaupun beliau hanya menyentuh hal ini sekali lalu sahaja, makna tersirat sebenarnya boleh dicerap.
Dunia hiburan terlalu berlebihan sehinggakan anak-anak pun dimasukkan dalam bidang ini. Mereka menjadi selebriti dan menjalani kehidupan sebagai artis dan memenuhi undangan hiburan, sama ada menyanyi mahupun berlakon ke serata ceruk negara. Golongan artis cilik ini biasanya akan memperoleh pendapatan yang lumayan dan mampu menyara keluarga pula. Akan tetapi, apabila terjun ke dalam bidang hiburan seawal usia, risiko mereka terjebak dengan permasalahan dalam bidang hiburan turut tinggi. Contoh Hollywood sangat sesuai apabila kita dapat melihat bukan satu dua artis yang bermula pada awal usia, namun menimbulkan masalah besar kepada diri sendiri dan keluarga tatkala menginjak usia dewasa. Ada di kalangan selebriti cilik yang apabila sudah menjadi dewasa, merasakan dirinya dipergunakan oleh ibu bapanya pada ketika kecil lalubertindak untuk 'bercerai' daripada ibu bapanya. Sudah tentulah hal ini akan menyebabkan keruntuhan sebuah keluarga.
Selain itu, ibu bapa sekarang turut terlibat mempromosikan kanak-kanak sebagai artis dan hal ini boleh dilihat dalam stesen televisyen dan radio (pekerja stesen tv juga banyaknya berpangkat ibu bapa). Mereka cukup pantas mengambil peluang, misalnya penyanyi cilik Indonesia untuk dipasarkan di Malaysia, malah memberikan masa yang seluas-luasnya kepada penyanyi cilik terbabit untuk mempromosi diri. Pada masa yang sama, tindakan sebegini seolah-olah memberikan galakan kepada anak-anak supaya mereka mengikuti jejak langkah budak itu untuk menjadi selebriti dan menyara keluarga. Al-maklumlah, kalau dahulu belajar di sekolah pun tak mampu, sekarang ini nak belajar di sekolah pun dah tak sempat.
Kesannya ialah penghasilan generasi anak muda yang lebih berminat untuk menceburi bidang hiburan berbanding bidang lain yang diperlukan bangsa. Misalnya, ada artis-artis remaja yang rela menghadiri majlis berkaitan hiburan atas pelbagai alasan, berbanding lebih menumpukan pembelajaran; walaupun pada ketika itu mereka sedang berada dalam musim peperiksaan utama. Adakah suatu hari nanti, apabila dirinya sudah tidak lagi laku dan menghadapi pelbagai krisis sementelah usia semakin tua, mereka akan mengeluarkan kenyataan klise bahawa mereka tidak lagi dihargai oleh peminat seni, setelah sudah mengorbankan diri untuk menghiburkan orang lain? Kita bukanlah bersikap kejam terhadap penggiat hiburan yang sudah senior namun, pada hakikatnya perjuangan seni itu hanya berlaku sekiranya kita laku. Suatu masa, yang dipuja barangkali akan ditinggalkan. Pada ketika itu, janganlah menyalahkan orang lain pula kalau masa itu bukan lagi masa untuknya.
Tambahan pula, keperluan pemuda harapan bangsa yang menggalas tanggungjawab dalam bidang yang kritikal namun masih mengekalkan paksi agama semakin mendesak. Namun, usaha-usaha tersebut sekadar dipromosikan secara bermusim sahaja, tidak seperti program hiburan yang sentiasa berterusan sepanjang tahun, dua puluh empat, tujuh. Dicampur lagi, dengan kepesatan teknologi komunikasi dan maklumat dan gajet-gajet terkini yang sentiasa berubah, anak-anak muda masa kini lebih terdedah dengan gejala hedonisme bagi memenuhi kehendak kendiri. Agenda dakwah dan tarbiyah yang boleh mengeksploitasikan penggunaan internet kini bersaing sengit dengan pelbagai genre lain seperti hiburan nyanyian yang turut mendapat perhatian pelayar-pelayarnya, dan akhirnya yang akan lebih dominan mendapat sambutan tentulah yang bukan berkaitan agama. Kesannya, penyanyi-penyanyi baru mungkin akan dapat dilahirkan setiap hari namun, doktor yang hafiz, jurutera yang faqih atau setidak-tidaknya ahli politik yang berintegriti pun belum tentu mampu dilahirkan setiap tahun.
Justeru, peringatan yang disampaikan oleh Ustaz Hanafiah bolehlah diibaratkan sebagai kejutan kepada kumpulan sasar daripada para dai' dan para ibu bapa untuk menghalusi semula peranan mereka dalam mempertahankan kelangsungan masyarakat Islam di Malaysia. Sesungguhnya menyeru kepada makruf dan mencegah kemungkaran ialah tugas yang harus dipikul oleh setiap orang dalam komuniti Islami namun, siapakah lagi yang seharusnya menunjukkan uswatun hasanah kepada orang ramai dan anak-anak kalau bukan al-ustaz-ustazah dan ibu bapa? Ditambah pula dengan pelbagai lagi ujian dan cabaran yang melanda umat Islam di seluruh pelusok dunia yang menuntut ulama dan ibu bapa melaksanakan tanggungjawab mereka dalam rangka dakwah yang mampu memastikan syiar Islam terpelihara.
Untuk mereka yang bergelar ulama, kurangkanlah perbalahan hanya kerana perbezaan ideologi politik dan turunlah ke bawah bersama-sama umat, bukan sekadar di masjid-masjid dan majlis-majlis ekslusif sahaja. Dan untuk ibu bapa, memang berhibur itu dapat mengurangkan tekanan anak-anak dan barangkali boleh dijadikan sebagai punca rezeki keluarga, namun sedarlah bahawa umat masa kini terlalu dahagakan generasi Al-Quran yang mampu memberikan manfaat sejagat dan meraih kebaikkan duniawi dan ukhrawi.
Friday, September 27, 2013
Kalau mak bapak pun dah macam tu...
Penulis membesar sebagai antara Generasi Y terawal yang lahir dan mengalami zaman remaja awal pada awal alaf ini. Menurut jargon kajian sosial dan pemasaran yang berpangkalan di US, Generasi Y dikatakan sebagai generasi 'dot com' yang terdedah dengan pelbagai kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi pada awal usianya. Tidak hairanlah juga kerana pembinaan produk perkhidmatan sosial bermula pada awal pertengahan dekad pertama milenia sambil capaian internet di Malaysia juga menjadi semakin rancak pada waktu itu. Kini, orang bercakap tentang capaian LTE berbanding sepuluh tahun dahulu yang menggunakan modem 'dial-up' dengan kelajuan yang standard.
Itulah serba sedikit hal tentang generasi penulis. Mereka inilah yang dikatakan semakin tak bertanggungjawab, tidak menghargai apa yang telah tersedia ada dan kurang matang. Peperiksaan dan penilaian di sekolah atau universiti pun penuh dengan kaedah cut and paste yang menghasilkan pelajar mesin cetak, sebagaimana yang pernah penulis beberkan dahulu. Pada masa yang sama, Generasi Baby Boomer yang paling banyak menjana pendapatan dunia masa kini semakin berkurang dan berkurang. Mereka semakin ditelan dek zaman dan kini, menjalani kehidupan pada usia senja. Tempat mereka sudah banyak diganti oleh Generasi X yang merupakan generasi Pasca-Perang Dunia ke-2. Generasi ini biasanya namun tak semestinya mempunyai zuriat yang kini dipanggil sebagai Generasi Z. Generasi Z sering dikaitkan dengan mereka yang lahir selepas kejadian pepijat alaf yang pernah menggemparkan dunia seluruhnya pada ketika itu. Dalam konteks sekarang ini, merekalah yang dikaitkan sebagai golongan yang bakal mewarisi kepimpinan pada masa hadapan dan merupakan 'anak-cucu kita' dalam frasa, 'Kita hanyalah meminjam sumber dan negara ini daripada anak-cucu kita.'
Itu sekadar sedikit ulasan penulis tentang generasi. Apa yang sebenarnya ingin penulis utarakan ialah mak bapak pada masa kini tanpa mengira generasi mana mereka dikelaskan dalam jargon sosial dan pemasaran. Mungkin tertakluk kepada persekitaran tempat tinggal penulis sahaja, namun ungkapan seperti 'aku tumbuk karang, bersepai muka!' atau 'kan aku dah bagitau, jangan ambil, bodoh!' dan ‘engkau ni bangang ke apa tak faham-faham bahasa’ merupakan antara ungkapan yang sering penulis dengari yang terkeluar daripada mulut seorang ibu kepada anaknya yang berumur bawah sepuluh tahun. Sangat sering perkataan bodoh itu diucapkan daripada seorang ibu kepada si anak.
Sudah tentulah perkara ini sangat membimbangkan kerana bukankah kata-kata si ibu itu satu doa? Penulis pun hairan mengapakah ibu bapa masih menggunakan kata-kata kesat menunjukkan ekspresi ketakpuasan hati kepada anak sedangkan kita sudah melepasi dekad pertama alaf ini dengan pelbagai capaian maklumat keibubapaan. Buku berkenaan keibubapaan berlambak di pasaran, apatah lagi dengan maklumat daripada internet. Begitu juga dengan rancangan televisyen yang turut menayangkan pelbagai rancangan-rancangan motovasi keibubapaan dengan ahli-ahli panel yang bukan calang-calang daripada ustaz-ustazah, doktor-doktor penceramah dan pencetus inspirasi dan tunjuk ajar. Itu belum dicampur dengan pelbagai program kem-kem motovasi dan seminar-seminar kekeluargaan atau keibubapaan yang biasanya akan melibatkan si ibu bapa dan anak-anak menitiskan air mata haru dan sebak lantaran penyedaran yang dibuat oleh si penceramah yang cukup terkesan oleh peserta.
Jadi, seandainya kita kembali kepada teori generasi tadi, generasi anak-anak sekarang ini ialah Generasi Z sementara majoriti ibu bapanya ialah Generasi X, adakah kita akan mengatakan Generasi X masih tak geti-geti lagi nak jaga anak sampai masih memaki-hamun anak-anak dengan carut-marut? Tak taulah sekiranya ada yang hendak mempertahankan perkataan bodoh itu ialah satu dialek yang biasa digunakan oleh daerah-daerah tertentu di Malaysia! Tentulah ada yang akan mengeluarkan andaian, bahawa keadaan itu ialah kes terpencil, atau penulis sekadar menyatakannya kerana hanya berlaku di persekitaran penulis, atau segala-galanya memang dah ada, terpulanglah kepada mak bapak sekarang ini nak ajar anak dia; jadi bukannya masalah generasi. Segala keperluan untuk menjadi ibu bapa yang baik telah tersedia dan terpulanglah kepada si ibu bapa untuk memanfaatkannya. Kalau ibu bapa tu tak tonton Semanis Kurma atau Motivasi Pagi atau Tanyalah Ustaz/Ustazah, bukannya salah semua orang!
Oleh sebab itu, sebagaimana tiada satu pun di antara kita tidak mahu dilabel dengan konotasi negatif, sebegitulah juga seharusnya stereotype itu perlu dihentikan bagi mengatakan generasi sekian ialah generasi yang tidak matang, tiada soft skill atau terlalu lembik untuk berhadapan dengan cabaran mendatang. Sebagaimana yang pernah diiklankan dalam satu drama bersiri daripada US yang bermaksud, perubahan ialah satu-satunya perkara yang malar. Jadi, seharusnya kesemua orang perlu menghargai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Banyak faktor yang menyebabkan anak-anak muda sekarang ini melihat dunia daripada kaca mata yang berbeza; sementelah mereka mungkin tidak merasai malam hari dengan pelita api dan mandi harian di sumur atau di sungai, bukan bermakna mereka tidak mensyukuri nikmat.
Kepada ibu bapa pula, tanpa mengira generasi yang mana, ingatlah bahawa anak-anak merupakan kurniaan Tuhan yang tiada nilai gantinya kerana merekalah yang akan menjadi salah satu amalan yang berterusan walaupun seseorang itu sudah meninggal dunia. Tambahan pula, anak-anak jualah yang diharapkan menjelang masa tua kelak untuk berbakti menjaga orang tuanya yang tidak berdaya dan menjaga nama mereka. Justeru, membodohkan anak-anak saban hari, setiap hari hanya kerana mereka tak dengar cakap tidak memungkinkan anak-anak akan membalas jasa orang tuanya; lebih-lebih lagi sekiranya doa membodohkan itu dimakbulkan Tuhan sehingga menjadikan si anak benar-benar bodoh, bahalol dan tolol!
Bukankah doa ibu bapa itu makbul?
Tuesday, September 17, 2013
Sambutan penyatuan negara bangsa
Satu ketika dahulu, kita hanya menyambut 31 Ogos sebagai satu hari yang penuh bermakna dan bersejarah untuk negara. Tarikh itu ialah keramat Tanah Melayu dibebaskan daripada naungan British dan upacaranya memperingatinya sering dizahirkan dengan perbarisan di Dataran Merdeka sambil dilengkapi dengan kenderaan-kenderaan keselamatan mahupun yang istimewa yang dipertontonkan kepada khalayak ramai. Al-maklumlah, penulis masih ingat bukan setakat kereta kebal sahaja yang dipertontonkan kepada orang ramai, 'traktor kebal' milik Jabatan Pertanian pun diangkut ke perarakan tersebut.
Umum pada ketika itu, lebih-lebih lagi di Semenanjung kurang sedar tentang peristiwa yang lebih bermakna dalam konteks kewujudan negara Malaysia iaitu pada 16 September. Tarikh tersebut hanya dijadikan sebagai tarikh peringatan dan tiada cuti yang di berikan kepadanya. Tahun berganti tahun dan suasana politik tanah air saling berganti dan kesedaran tentang tarikh tersebut akhirnya memuncak. Penulis masih ingat lagi membuat ulasan tentang hal yang sama dalam blog ini yang pada ketika itu berkisar tentang permulaan pemberian cuti oleh pihak kerajaan setelah dicanang oleh pihak-pihak tentu.
Rupa-rupanya, gesaan itu begitu serius dicanang sehingga kerajaan pun yang bersetuju untuk menjadikan hari memperingati pembentukan Malaysia sebagai satu cuti umum dan perkara ini menjadi kenyataan di bawah regim PM Najib. Asas kepada tuntutan ini berkisar tentang hakikat bahawa Malaysia tidak terbentuk hingga pada 16 September 1963 dengan kemasukan Sabah dan Sarawak.
Sekadar selingan politik, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah bercanang-canang menakluk Malaysia dengan mengetuai Pakatan Rakyat sejurus selepas kembalinya beliau di dalam arena politik tanah air secara rasmi pada 2008 dan beliau turut menamakan 16 September sebagai tarikh keramat itu. Bagaimanapun, nampaknya impian beliau masih tidak tercapai dan kini, beliau berterusan dalam usaha untuk mencapainya. Rakyat Malaysia menanti kehadiran beliau sebagai PM kerana katanya, kalaulah beliau berjaya menjawat jawatan itu, selesai segala masalah atas muka bumi ini, menurutnya...
Jadi, tiadalah Malaysia melainkan kedua-dua buah negeri Sabah-Sarawak bersama-sama dalam satu perikatan yang dibentuk pada hari dan tahun tersebut. Rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak sangat terasa kerana kehadiran mereka seolah-olah tidak diperingati lantaran kerajaan hanya mengiktiraf 31 Ogos sebagai hari merdeka dan perayaan kenegaraan sedangkan mereka hanya menyertai Persekutuan Malaysia enam tahun selepas itu. Secara deduksinya, Sabah dan Sarawak belum merdeka lagi semasa Semenanjung mengecap kemerdekaan. Jadi, erti sambutan 31 Ogos tidak terlalu tampak di hati dan sanubari orang Sabah-Sarawak. Hal inilah yang dicanang oleh mereka yang menuntut agar 16 September turut menjadi hari keraian yang sempurna dengan pemberian cuti kepada seluruh rakyat.
Justeru, tidak hairanlah apabila ada iklan di televisyen yang bertanyakan tentang apa ertinya menjadi rakyat Malaysia, lalu responden itu menjawab, 'We have the most holiday in the world!' Hal ini menggambarkan betapa meriahnya sambutan cuti di Malaysia kerana kita sering menikmatinya sebagai satu keistimewaan di Malaysia. Mungkin selepas diberi cuti ini, rakyat Malaysia tidak perlulah berkecil hati tentang penghargaan yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyatnya sempena 'kemerdekaan' masing-masing tanpa mengira daripada mana mereka datang.
Kebetulan pula, tahun ini ialah tahun ke-50 sambutan Hari Malaysia menyebabkan sebuah acara rasmi dilancarkan sempena jubli emas pembentukan negara ini dan kemerdekaan Sabah-Sarawak sehinggakan dibuat pula 'Sambutan 50 tahun Sarawak Merdeka dalam Malaysia.' Begitulah akhirnya iri itu mungkin akan dapat ditamatkan supaya kesemua rakyat akan merasai mereka ialah sebahagian daripada Malaysia.
Namun, barangkali kita terlupa Malaysia yang wujud pada 1963 berbeza secara komposisnya daripada Malaysia yang sedia ada pada sekarang ini. Pada awal penubuhannya, Singapura turut terbabit sebagai sebuah negeri dalam Malaysia. Akan tetapi, disebabkan isu politik dan pentadbiran, pulau tersebut diberikan status merdeka menjadi sebuah republik pada 9 Ogos 1965. Sehingga kini, mereka meraikan Hari Kebangsaan (National Day) pada tarikh tersebut tiap-tiap tahun dengan mengadakan perbarisan untuk hari berkenaan menjelang dan pada malam hari sambutan, dan dipenuhi dengan pertunjukan kekuatan aset ketenteraan, kebudayaan dan bunga api.
Dengan ketiadaan Singapura, Malaysia tetap kekal menjadi Malaysia sehinggalah ke saat ini dan sambutan Hari Merdeka kekal pada 31 Ogos setiap tahun dan 16 September disebut hari Malaysia. Walaupun hari cuti telah diberikan kepada kedua-dua hari tersebut, dikotomi terus wujud antara Semenanjung - Sabah/Sarawak lantaran suasana yang digambarkan berkenaan kedua-dua jenis sambutan. Hari Merdeka yang majoritinya disambut di Semenanjung dengan suasana yang lebih cocok dengan Semenjung dan jalan cerita yang melebihkan pensejarahan Semenanjung. Manakala Hari Malaysia pula melebihkan pengkisahan terbentuknya Malaysia, masuknya Sabah-Sarawak dalam Persekutuan Malaysia dan betapa kalaulah tidak Sabah-Sarawak memasuki Malaysia nescaya Malaysia tidak wujud. Begitulah yang berlaku sehinggakan berapa tahun Sabah-Sarawak merdeka dalam Malaysia pun dipertonjolkan dalam sambutan peringkat kebangsaan.
Sebetulnya, kedua-dua sambutan pun sama penting, kerana dampak kepada kedua-dua tarikh pun sama besar. Namun, dalam konteks penyatuan antara Semenanjung dan Sabah-Sarawak, sampai bilakah dikotomi ini akan berterusan dam hendak dikekalkan dan sambutan peringkat negara dengan bercuti itu hendak diteruskan? Sekiranya sambutan kenegaraan yang hendak ditonjolkan, bukankah elok sekiranya diadakan satu sahaja hari memperingati kedua-dua hari yang bersejarah dalam rangka penyatuan rakyat Malaysia secara keseluruhannya tanpa mengira sempadan geopolitik? Kerajaan berterusan mendakyahkan 1Malaysia, namun dalam sambutan kenegaraan pun mereka tidak mampu untuk membentuk satu sambutan penyatuan seluruh rakyat, bagaimana mungkin rakyatnya boleh merasa kekitaan duduk dalam negara yang sama menyambut hari negara yang sama?
Bayangkan keadaan berikut, walaupun pada dasarnya pada keadaan dunia alaf ini agak sukar berlaku namun siapa tahu? - sebuah wilayah lain hendak bergabung dengan Malaysia, adakah akan diadakan pula sambutan merdekanya wilayah atau negeri itu daripada negara asal? Atau sempena wilayah baharu menyertai Malaysia, maka dibuat pula Hari Malaysia Baharu atau Hari Lebih Malaysia?
Justeru, kerajaan eloklah memilih satu tarikh daripada kedua-dua tarikh untuk dijadikan sebagai Hari Kebangsaan Malaysia. Pada hari tersebut, propaganda yang hendak dimainkan perlulah menjurus kepada kenegaraan tanpa mengira batasan geografi, kaum mahupun agama. Kedua-dua pengkisahan hendaklah diangkat sama rata tanpa perlu sebarang kompartmentasi siapa lebih penting. Kemungkinan pihak kerajaan perlu memilih satu sahaja tarikh untuk sambutan terbabit iaitu antara 31 Ogos atau 16 September. Pastilah kebijaksanaan pihak pemerintah yang mempunyai ramai pakar sejarah dan perundangan mampu menyelesaikan pemilihan tersebut.
Apa yang mungkin boleh ditimbangkan ialah menjadikan sambutan kelahiran negara sebagaimana sambutan keputeraan DYMM Yang Di-Pertuan Agong yang menjadikan sambutan lebih kepada 'hari apa dalam minggu ke berapa bulan tertentu.' Misalnya hari Sabtu pertama bulan September. Jadi, sambutan akan menjadi lebih neutral dan membolehkan agenda penyatuan antara rakyat di Malaysia akan mampu dipupuk. Hari cuti ini bolehlah dijadikan sebagai sambutan rasmi negara untuk menghargai kemerdekaan negara dan pembentukan negara bangsa. Tarikh 31 Ogos dan 16 September kekal penting namun sambutan penzahirannya diadakan pada satu hari yang dipilih.
Negara kita ialah negara bertuah kerana semakin diiktiraf sebagai negara berdaya saing dan mampu mengekalkan keamanan walaupun mempunyai kepelbagaian kaum dan agama. Dan sebagaimana kata responden televisyen tentang Malaysia, kita ialah negara yang paling banyak cuti perayaan dan peringatan. Bukanlah tak boleh bercuti, tetapi kita pun tak tahu tambahan-tambahan cuti untuk masa akan datang. Sekiranya cuti sempena sambutan kenegaraan hanya menonjolkan sifat kewilayahan, apa ertinya sambutan tersebut sampai diberi cuti satu negara. Tak mahulah nanti orang luar kata, 'macam mana nak produktif kalau asyik cuti aja!'
Tambahan pula, dengan beberapa kejadian yang berlaku sejak dua menjak ini yang memperlihatkan sisi sebenar pemimpin dan rakyat negara ini yang sanggup melakukan apa sahaja untuk kepentingan diri dan politik. Ada yang bertindak untuk menaikkan bendera 'baru' kononnya hendak mengganti bendera Malaysia yang sedia ada, dan ada pula yang ke luar negara untuk memburuk-burukkan negara untuk menunjukkan dirinya lebih mulia daripada yang lain. Seharusnya kita mengkaji semula cara sambutan hari negara yang kita amalkan pada masa sekarang ini. Golongan sebegini sudah menayangkan gelagat mereka sedangkan mereka baru sahaja diberi amanah sedikit kuasa maka bayangkan sekiranya mereka berjaya memenangi negara! Maunya ditukar pula nama Malaysia!
Dalam keadaan pemimpin dan rakyat yang sudah mula menunjukkan kurang ajarnya kepada negara, tinggal masa sahaja untuk negara ini dipimpin oleh pemimpin yang sanggup menggadai negara demi mencapai cita-cita yang didambakan.
Semoga pimpinan kita sedia ada maklum tentang hal tersebut...
Saturday, September 14, 2013
Dr M bagi IC
Nampaknya aura Tun Dr Mahathir dalam perkembangan semasa oleh media tempatan tidak pernah surut meskipun telah lebih sepuluh tahun meninggalkan arena politik dan pentadbiran Malaysia. Dalam konteks terbaru, beliau telah dijadikan sebagai seorang saksi kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi memahami isu pendatang asing di Sabah. Nama beliau telah dikaitkan dengan program pemberian kad pengenalan (IC) kepada pendatang asing yang tidak layak mendapatkannya di Sabah. Bagaimanapun, beliau menafikan yangbeliau terlibat dalam kes seumpamanya sambil mengakui tidak mengetahui sebarang program berkaitan yang dibuat atas namanya dalam rangka memberi IC kepada rakyat asing.
Isu berkaitan pendatang asing bukanlah sesuatu yang baru dalam masyarakat kita. Dalam satu kajian, Zawawi Ibrahim (2006, m.s 46-47) telah memetik dengan mengatakan bahawa penggunaan tenaga buruh asing dalam sektor perladangan di Malaysia sejak tahun 1970-an lagi. Kajian itu mendapati persepsi pemilik ladang yang cenderung menggaji pekerja Indonesia dikatakan lebih murah, rajin dan cekap kos jika dibandingkan dengan warga tempatan (Zawawi Ibrahim, 2006, passim 48-50) Justeru, kajian itu dapat menyimpulkan kewujudan mitos malas yang kembali melanda negara selepas tahun 70-an dan sehingga sekarang pun, mitos tersebut masih menghantui masyarakat negara kita.
Kesan terbesar kepada kebanjiran pendatang asing ialah isu berkaitan keselamatan dan peluang pekerjaan kerana kerana kedua-duanya ialah perkara asas dalam kehidupan manusia. Kita sudah lihat apabila media melaporkan beberapa sindiket jenayah daripada dadah, pelacuran, penipuan internet, pemalsuan dokumen dan yang terbaru kongsi gelap turut disertai oleh pendatang asing. Ada kejadian jenayah yang berlaku akibat perselisihan antara mereka sendiri; yang menyebabkan ketakutan kepada rakyat tempatan. Ada dikalangan mereka yang bertindak agresif kerana merasakan mereka memiliki wilayah mereka sendiri di sesuatu kawasan; sehingga bertindak sesuka hati dengan mengganggu ketenteraman awam dan menyebabkan kegusaran dikalangan kejiranan tersebut.
Begitu halnya dengan peluang perniagaan yang diberikan kepada pendatang asing sehinggakan mereka menguasai beberapa pusat-pusat perniagaan dan pasar-pasar di ibu kota. Mereka kini sudah memiliki perniagaan sampaikan pasar/bazar Ramadan tempoh hari pun turut dikuasai oleh mereka. Ditambah pula dengan perniagaan barangan keperluan mereka sendiri yang dilakukan dengan begitu terang, sampaikan papan tanda pun dilengkapi dengan tulisan bahasa asal negara mereka, menjadikan kawasan tersebut kini bertukar wajah sebagai 'Little Dhaka,' 'Little Yangoon' atau 'Nepal Street.'
Maka, seharusnya kedua-dua isu keselamatan dan pendapatan inilah yang dijadikan sebagai asas kepada sebarang tuntutan yang dibuat kepada pihak kerajaan kerana kedua-dua perkara ini ialah asas keperluan manusiawi. Kedua-dua perkara ini merupakan asas kepada kehidupan dan dengan kewarganegaraan, kedua-duanya boleh dicapai dengan cara sah dan dilengkapi dengan kemudahan yang disediakan untuk warga negara oleh pihak kerajaan. Jadi, seandainya taraf kewarganegaraan itu diberikan sewenag-wenangnya kepada orang asing, sudah tentulah hal yang demikian akan memberikan ancaman yang besar untuk warga negara asal yang terdiri daripada bangsa status quo di Malaysia seperti Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan-Dusun.
Daripada segi keselamatan, sekiranya pemberian kewarganegaraan itu dibuat sewenang-wenangnya, pastilah rakyat akan tertanya-tanya sejauh manakah warga negara yang baru ini selamat dan tidak mengancam nyawa warga negara yang sedia ada. Insiden jenayah yang dilakukan oleh warga asing juga membimbangkan, hatta ada pembantu rumah yang terlibat dalam kecurian dan mendatangkan kecederaan kepada bayi atau anak kecil di bawah jagaannya. Dalam Ops 6P yang dihidupkan semula oleh KDN baru-baru ini, turut mencatatkan beberapa orang warga asing yang ditahan sebagai ahli kongsi gelap tempatan. Pun begitu, bukanlah bermakna kesemua pekerja asing sama ada berdafar atau pun tidak itu ialah penjenayah.
Juga daripada segi peluang mencari rezeki, pemberian kewarganegaraan sewenang-wenangnya akan menambahkan lagi persaingan warga tempatan asal untuk berniaga, lantaran mereka telah terlebih dahulu menguasai satu-satu kawasan perniagaan di ibu kota. Bayangkan sekiranya masa kini pun mereka sudah menguasai jalan-jalan tertentu di Kuala Lumpur, apatah lagi seandainya mereka diberi hak kewarganegaraan pula. Barangkali mereka akan menjadi 'tokan besar' pula di kawasan-kawasan perniagaan yang utama. Maka seharusnya pihak berkuasa yang terlibat memantau aduan-aduan oleh peniaga tempatan yang mahukan pihak kerajaan bertindak agar membendung pemilikan perniagaan warga asing yang tidak sepatutnya berniaga ketika berada dalam negara ini.
Itu belum lagi masuk isu kebejatan sosial yang wujud disebabkan kemasukkan pelacur-pelacur daripada luar negara. Dikatakan bahawa industri pelacuran warga asing didominasi oleh pelayan-pelayan warga Vietnam dan China yang menyebabkan kita tertanya-tanya, sampai bilakah hal ini harus dibiarkan? Adakah dalam konteks sindiket pelacuran dan kegiatan berorientasikan seks ini, kerajaan dan masyarakat terpaksa tunduk kepada permintaan dan penawaran? Bukankah satu ketika dahulu kerajaan telah mengadaptasi sistem biometrik yang canggih yang khabarnya boleh menghalang sama sekali kemasukan bakal-bakal pelacur dan/atau pelaku jenayah sebelum mereka melepasi pintu imigresen lagi (dikatakan sebagai kerjasama dengan China). Kedengaran kerajaan telah mengadakan tindakan yang begitu sofistiksted namun mengapakah hasilnya masih belum mampu dituai?
Maka seharusnya isu-isu sebegini yang dijadikan sebagai tunjang kepada sebarang tuntutan untuk mengawal kemasukan pekerja asing, lebih-lebih lagi yang datang tanpa sebarang permit atau yang menyalahgunakan pas lawatan sosial. Mereka telah melakukan kesalahan yang berat kerana memperlekehkan undang-undang negara ini sedangkan kehadiran mereka disambut dengan pelbagai kemudahan yang disediakan sebagai pelancong mahupun pelajar, bagaimanapun telah disalahgunakan segala kemudahan tersebut. Kadang-kala kita pun hairan betapa mudahnya pintu kemasukan di negara ini menerima pelbagai warga asing, sedangkan betapa susahnya pula rakyat negara ini untuk memasuki nehara-negara tertentu di dunia ini.
Justeru, penafian bekas PM, Dr Mahathir yang menjadi saksi dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja menuntut kepada siasatan yang mendalam tentang siapa yang bertanggung jawab dalam pemberian kad pengenalan secara sewenang-wenangnya terutamanya dalam kes ini di Sabah. Motif kepada pemberian kad pengenalan dengan begitu mudah perlu dikenalpasti kerana kelakuan tersebut memberikan dampak yang negatif kepada masyarakat awam warga negara.
Sungguh pun begitu, ada pihak-pihak tertentu yang lebih melihat isu pendatang diberi kad pengenalan ini daripada kaca mata politik menyebabkan perjuangan pihak-pihak tadi juga lebih mengutamakan kesudahan politik. Oleh sebab itu, isu pendatang tersebut dicanangkan oleh mereka sebagai betapa kerajaan telah memberi kad pengenalan kepada pendatang asing untuk hadir ke pilihan raya dan memangkah calon BN. Tak tahulah bagaimanakah golongan sebegini sangat yakin bahawa pihak pendatang yang diberikan kad pengenalan itu memang akan memangkah BN kerana tiada jaminan yang jelas mereka akan berbuat demikian. Ditambah pula dengan berita yang menggemparkan semasa PRU yang lepas iaitu seramai puluhan ribu warga Bangladesh dan/atau Nepal yang diimport masuk untuk membuang undi. Walaupun kedengaran tidak masuk akal dan masih belum mampu dibuktikan secara susbstansial, perkara tersebut telah didakyahkan dengan begitu berkesan sehinggakan ramai yang telah dan masih mempercayainya. Akhirnya, soal berkaitan pendatang asing diberikan kad pengenalan hanya sekadar berlegar tentang kelangsungan politik murahan sedangkan bahana yang lebih besar lagi boleh terjadi seandainya benar perkara ini berlaku.
Tuntasnya, soal memberikan hak kewarganegaraan kepada mereka yang tidak layak ialah satu pengkhianatan yang besar kepada warga negara asal kerana orang yang diberikan keistimewaan itu tidak cukup padan untuk menikmatinya. Pada satu sudut yang lain, mengekalkan pengkhianat dalam negara setelah mereka terus-menerus melakukan perkara yang tidak sepatutnya, dan mencemar taraf diri sebagai warga negara juga satu pengkhianatan kepada warga negara yang taat kepada negara. Maka seharusnya pihak berkuasa yang diberikan amanah untuk bertindak mengikut undang-undang yang sedia ada. Petualang sebenar bagi kes pemberian kewarganegaraan sewenang-wenangnya harus dicari dan dihukum, tanpa mengira di mana letaknya hierarki diri orang tersebut. Pada masa yang sama, warga negara yang tidak mensyukuri nikmat sebagai warga negara dan bertindak mencalarkan nama baik negara sepatutnya turut dikenakan tindakan kerana melakukan mereka sangat keji. Tidak ada pemimpin dalam dunia ini yang lebih rakus memburuk-burukkan nama negara semasa mereka berada di luar negara selain pemimpin politik di Malaysia. Malah, sudah ada dikalangan rakyat di negara ini yang sudah berani memburuk-burukkan simbol negara; sesuatu yang satu ketika dahulu tidak pernah dibuat oleh orang. Oleh yang demikian, sekiranya amaran pun tidak diendahkan sementelah tiada pula sebarang tindakan dikenakan, maka tinggal apalah lagi nilai seseorang itu sebagai warga negara?
Rujukan
Zawawi Ibrahim (2006) Return of The Lazy Natives: Explaining Malay/Immigrant Labour Transition in Terenggnu Plantation Society, dlm Riaz Hassan (ed), Local and Global: Social Transformation in Southeast Asia: Essays in Honour of Professor Syed Hussein Alatas, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, m.s. 45-69.
Tuesday, September 10, 2013
Syiah: Kedudukannya di sisi kerajaan sunni Malaysia
- Syiah di bumi Malaysia bukanlah perkara yang baru. Malah, kehadiran pengaruh Syiah dikatakan sudah mendahului pengaruh Sunni dalam konteks penyebaran Islam di Kepulauan Melayu sejak dahulu lagi. Menurut Mahayuddin Yahya (2001, 165), pengaruh Syiah sudah mula bertapak di Kepulauan Melayu melalui Kerajaan Perlak dan Kerajaan Pasai-Samudera. Menurutnya lagi, fakta ini turut diperkuatkan dengan penemuan manuskrip ajaran Syiah seperti Bahru Lahut yang lebih tua daripada Kitab Aqaid Al-Nasafi yang dikatakan sebagai kitab tasauf berorientasikan Sunni (Mahayuddin Yahya, 2001, 43-54). Dalam sepucuk surat memorandum kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, yang tidak dapat penulis disahkan kebenarannya, pengarang surat menegaskan bahawa sememangnya pengaruh Syiah terlebih dahulu tiba di Kepuauan Melayu; malah turut menyatakan dengan terang bahawa amalan-amalan keagamaan tertentu dalam masyarakat Melayu kini sebenarnya diadaptasi daripada amalan Syiah seperti membaca tahlil arwah, barzanji, maulid dan memakai songkok (Boleh carian Google tentang memorandum ini pada tahun 2011).
- Akan tetapi, dalam konteks kerajaan dan pentadbiran agama negara masa kini, secara jelas telah ditetapkan bahawa umat Islam di Malaysia mengamalkan paradigma Ahli Sunnah wal Jamaah dengan majoritinya beramal dengan Mazhab Syafie. Perkara ini telah dikanunkan oleh Jawatan kuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 5 Mei 1996 dan hampir keseluruhan enakmen syariah negeri di Malaysia. Justeru, dengan keadaan yang sudah menjadi berfatwa-fatwa, sudah tentulah soal Syiah bukanlah satu soal yang boleh dipandang ringan oleh masyarakat Islam Malaysia.
- Syiah ialah manifestasi ketidakpuasan pengikut-pengikut Sayidina Ali r.a. atas kematian beliau dan sentimen itu bertambah lagi dengan pembunuhan anak beliau, Hussein di Karbala. Kebanyakkan sumber Sunni akan mengaitkan kewujudan Syiah didalangi oleh Abdullah bin Saba,’ seorang Yahudi yang masuk Islam, namun mempunyai rencana yang jahat untuk memecah-belahkan umat Islam. Sedangkan bagi pihak Syiah, mereka menafikan sama sekali kewujudan watak Abdullah bin Saba’ kerana berpendapat watak tersebut sekadar ciptaan pihak-pihak tertentu untuk memburuk-burukkan imej mereka dan mengaitkan fahaman mereka dengan Yahudi. Gerakan Syiah pada awalnya lebih berbentuk sokongan dan pembelaan terhadap Sayidina Ali dan Ahli Bait, namun berubah kepada gerakan politik dan ideologi selepas kematian Sayidina Ali.
- Dalam konteks Malaysia, ajaran Syiah sering diperihalkan sebagai satu ajaran yang sesat dan membahayakan akidah umat Islam. Bagaimanapun, sebagaimana seputar isu-isu yang lain, isu Syiah sekadar menyinggah di laman-laman media cetak ketika panas dan akan menjadi suam kuku menjelang masa. Putaran sebegini akan berterusan tanpa akhir, daripada satu generasi pemimpin ke generasi pemimpin yang lain. Seolah-olah kesan kepada isu sebegini sekadar dibincangkan dalam persidangan atau seminar sahaja, sedangkan penganutnya semakin bertambah lantaran kekurangan tindakan yang konkrit bagi menyelesaikan masalah tersebut.
- Tidaklah dinafikan bahawa kerajaan telah berbuat sesuatu, namun adakah tindakan itu sudah mencukupi? Mengapakan mereka tidak bertindak sebagaimana yang dikenakan kepada kumpulan Al-Arqam yang ditahan beramai-ramai dan diberikan program pemulihan akidah agar mereka kembali kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah? Mungkinkah Syiah merupakan masalah yang lebih global sehingga melibatkan pengaruh hubungan diplomatik dengan negara-negara tertentu sehingga pihak berkuasa tidak dapat bertindak sebagaimana tindakan mereka kepada ajaran-ajaran sesat yang lain? Persoalan sebegini bermain di minda-minda rakyat golongan awam kerana mereka juga inginkan agar ada kata putus dan tindakan yang tampak (tangible) dalam usaha membendung fahaman yang mendominasi mazhab akidah di Iran dan Iraq ini.
- Malah, dikatakan bahawa pemimpin parti politik tertentu menyokong gerakan Syiah di Malaysia sambil membenarkan ahlinya dikalangan gerakan tersebut. Hal ini sudah tentulah akan menimbulkan persoalan, Islam jenis apakah yang diperjuangkan oleh parti politik itu? Kalau Syiah pun diberikan ruang, apa kurangnya Ayah Pin, Al-Arqam dan ajaran-ajaran sesat yang lain? Al-maklumlah, mereka turut mengakui bahawa mereka memperjuangkan kalimah Tuhan Yang Maha Esa dan menyeru manusia agar selamat dunia- akhirat! Pada masa yang sama juga, terdapat pula pertengkaran ‘manja’ sesama ulama kelompok Sunni sendiri yang promazhab dengan yang Salafi/Wahabi dalam mendepani isu Syiah sambil berlaku tuduh- menuduh antara satu sama lain. Hal sebegini sudah pasti akan mengelirukan sama sekali orang awam yang kemungkinan besar akan menyebabkan mereka berasa bosan dan enggan lagi sama sekali untuk ambil tahu sebarang permasalahan dan isu akidah yang melanda umat Islam Malaysia.
- Cukup-cukuplah kita bercerita tentang politik kerana isu akidah sebegini lebih berat berbanding politik. Sebab kadang-kala orang politik sanggup membuat apa sahaja untuk mencapai apa yang dihajatkan. Kini, sudah tiba masanya hala tuju dan perhatian ulama-ulama dan cendekiawan kita menghala ke arah pembentukan kesatuan ummah dalam menghadapi kebejatan akidah di kalangan umat Islam dalam negara ini. Dan apabila menyebut tentang kenegaraan dalam konteks Syiah, perkara ini bukanlah membawa konotasi nasionalisme, bukan pula membawa konotasi patriotisme. Sebaliknya, kita sedang berhadapan dengan permasalahan akidah yang menuntut tok-tok guru kita berganding bahu menyelesaikannya bersama-sama.
Moga-moga tok-tok guru kita memahami perkara tersebut hendak-Nya.
Rujukan
Mahayudin Haji Yahya (2001) Islam di Alam Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sunday, September 1, 2013
Sejak bila penjenayah menggunakan SOP???
Apabila salah seorang timbalan menteri meluahkan rasa ketidakpuasan hatinya lantaran kes polis menyerbu dan menembak mati sekumpulan ahli kongsi gelap di Pulau Pinang, apa yang bermain di fikiran penulis ialah 'Wow, kini penjenayah pun mempunyai hak untuk diambil tindakan menurut SOP!' Soal timbalan menteri itu mewakili ras mana bukanlah satu isu kerana pak timbalan menteri dan orang ramai mesti faham dan tahu, bahawa jenayah tidak sama sekali mengenal warna kulit. Tiadalah perompak itu mempertimbangkan akan ras semasa dia hendak merompak. Tiadalah seseorang penyamun itu walaupun mereka Melayu akan mempertimbangkan 'hak istimewa orang Melayu' tatkala hendak melakukan samun.
Apa yang berlaku pada situasi sebegini bolehlah dikaitkan dengan kecenderungan ahli politik dan mereka yang berkepentingan untuk mempolitikkan sebarang tindakan oleh kerajaan demi meraih perhatian rakyat bahawa mereka ialah 'pejuang rakyat.' Kebetulan pula sesebuah 'pertubuhan' jenayah itu melibatkan satu kaum sahaja, lantas dijadikan sebagai isu besar dan berbaur perkauman seandainya pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kumpulan tersebut. Sedangkan pada asalnya kegiatan jenayah tidak mengira bangsa apakah mangsa dan pemangsa dan tiada sebarang prosedur standard semasa si pelakunya melakukan kerja terkutuk itu. Jadi, mengapakah polis perlu melakukan operasi standard untuk berhadapan dengan situasi tak standard?
Polis kini mudah sahaja dikambing-hitamkan untuk sebarang kegiatan jenayah dan penjenayah. Sekiranya berlaku peningkatan jenayah, polis dituduh sebagai tidak cekap dan berkesan dalam menjalankan tanggung jawab dan 'makan gaji buta.' Apabila terdapat seorang dua anggota yang terlibat dalam jenayah, keluarlah pula skrip 'dah kalau polis pun yang jahat, macam mana pula dia orang nak tangkap penjahat!' Apabila penjahat terlepas, polis dituduh sebagai tak menjalankan tugas dengan baik. Apabila polis membuat sekatan jalan, terkeluarlah dialog, 'dah tak de kerja lain ke dia orang ni? Dia punya pasal dah tak pasal traffic jam berjam-jam. Tak ada otak ke?' Apabila penjenayah menembak mati polis, polis akan dituduh sebagai tidak efisyen dan ketinggalan zaman. Apabila polis terlibat dalam mempertahankan kedaulatan negara daripada pencerobohan, mereka berkata 'ini ialah sandiwara yang maha dahsyat, nampak sangat nak mengejar mileage politik!' Dan kini apabila polis membuat operasi terhadap penjenayah sehingga penjenayah tertangkap atau mati, polis pula dituduh tidak ikut prosedur operasi standard!
Oleh hal yang demikian, hanya masa sahaja yang menentukan sekiranya penjenayah tampil membuat tunjuk perasaan untuk menuntut hak untuk melakukan jenayah. Hal ini dikatakan demikian kerana sudah ada timbalan menteri yang mempersoalkan operasi standard yang diambil oleh polis, maka tidak hairan nanti kesemua tindak-tanduk polis akan dipersoalkan agar hak mendapatkan keadilan bagi pihak penjenayah. Ingat, seseorang tidak boleh dikatakan penjenayah selagi MAHKAMAH tidak menetapkan seseorang itu sebagai penjenayah dan sekiranya dia disabitkan sebagai penjenayah, dia masih berhak untuk merayu di mahkamah yang lebih tinggi terhadap pertuduhannya.
Akhirnya, kita sebenarnya boleh menilai hala tuju politik dalam negara ini untuk mewujudkan real politic ala-anarki. Kebenaran hanya dicapai sekiranya pihak tertentu sahaja yang mengiktirafnya. Mereka mahukan golongan mereka terpelihara walau apa cara sekali pun untuk menjamin pengaruh dan kelangsungan politik mereka. Politik 'asal boleh' ini membahayakan masyarakat kerana akhirnya ketenteraman tidak akan mampu ditegakkan. Biarkanlah isu keselamatan negara tidak dijadikan sebagai alat untuk mendapat kemasyhuran politik kerana soal keselamatan terlalu penting untuk dijadikan isu politik. Habiskanlah cerita politik sekadar dalam kisah-kisah parti, idealisme perjuangan, 'aku nak sangat jadi PM sebab kalau aku jadi PM maka selesai masalah dunia.'
Takkanlah apabila ada dikalangan kenalan baik kita, atau mungkin keluarga kita yang menjadi mangsa jenayah, maka perkara pertama yang kita akan bangkitkan ialah, 'adakah mereka melakukan jenayah mengikut SOP? Sebab kalau ikut SOP, maka kita tak boleh buat apa-apa?!?’
Sunday, May 12, 2013
Mendoakan rahmat kepada mereka
Dalam Al-Quran, terdapat beberapa ayat yang menyeru supaya umat manusia (lebih-lebih lagi umat Muhammad) untuk menghormati dan menyayangi ibu bapanya dan mendoakan rahmat kepada mereka. Misalnya dalam Surah Al-Isra’ 17 ayat 23- 24, Allah berfirman:
Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya kamu tidak menyembah melainkan kepada-Nya dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua orang tua/ibu bapa. Jika salah satu atau kedua-dua daripada mereka telah benar-benar sampai (usia) tua maka janganlah kamu berkata kepada mereka berdua, ‘Ah!’ dan janganlah kamu menengking mereka berdua, dan (tetapi) katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (baik dan lembut). Dan hendaklah kamu merendah diri (bertawaduk/rendahkan sayap) kepada kedua-duanya dengan rahmat/kasih sayang dan katakanlah (berdoalah), ‘Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana keduanya memeliharaku/mendidikku semasa kecil.[1]
Dalam satu lagi ayat Al-Quran, melalui firmannya:
Dan kami wasiatkan/perintahkan kepada manusia untuk berbuat baik kepada ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya (dengan) kelemahan di atas kelemahan (mengandung, melahirkan & menyusui) dan tempoh cerai susunya dalam masa dua tahun, bersyukurlakh kamu kepada-Ku dan kedua ibu bapamu, kepada-Kulah tempat kembali. Dan jika mereka berdua memaksa supaya ka,mu mempersekutukan-Ku sesuatu yang tiada engkau ketahuinya maka janganlah kamu taat kepada mereka, dan bergaulah kepada mereka berdua di (pada masa hidup mereka di) dunia dengan baik (berbakti dan bersilaturrahim), dan turutlah jalan orang yang kembali kepada-Ku (mentaati-Ku) dan kemudian kepada-Kulah tempat kembali kamu semua maka Aku akan memberitahu kamu semua tentang apa yang kamu semua telah kerjakan.[2]
Tidak ketinggalan hadis Nabi SAW yang turut menekankan ketaatan dan kebaktian kepada ibu bapa sebagaimana sabdanya daripada Ibnu Mas’ud:
Aku pernah bertanya kepada Nabi SAW, ‘Apakah amalan yang paling afdhal?’ Jawabnya, ‘Sembahtang pada waktunya.’ Kataku, ‘Kemudian, apa lagi?’ Kata baginda, ‘Berlaku baik/berbakti kepada kedua ibu bapa.’ Kataku, ‘Kemudian, apa lagi?’ Kata baginda, ‘Berjihad fi sabilillah.’[3]
Dalam sebuah hadis yang lain, Abdullah bin Amru telah menjelaskan kepadanya bahawa berbakti kepada kedua ibu bapa semasa mereka masih hidup sebaik-baiknya itu lebih utama dan mendapat pahala daripada Allah sebelum berjihad ke jalan Allah. Justeru, Nabi SAW meminta sahabatnya itu pulang untuk berbakti kepada mereka lain.[4]
Barangkali kita terlupa, betapa firman Allah Taala dan hadis Rasulullah SAW tidak meletak pembatas sebarang hari untuk berbakti kepada ibu bapa dan mentaati kedua-duanya selagi tidak bertentangan dengan had-had Islam seperti kemaksiatan dan kesyirikan. Sedangkan sekiranya mereka bukan Islam sekali pun, masih ada tanggungjawab yang perlu disempurnakan kepada mereka.
Cuma hendak diingatkan dalam kita berhujah untuk berlaku ihsan, berbuat baik dan berbakti kepada kedua-dua ibu bapa, hendaklah kita menggunakan hujah yang syarie dan sahih, kerana teras agama dibina oleh asas-asas pendalilan yang sahih. Cukup-cukuplah kita menyiarkan drama yang watak maknya mengucapkan kepada anaknya bahawa ‘syurga engkau pun aku yang tentukan’ seolah-olah seorang ibu itu mempunyai kuasa Tuhan untuk nak menentukan anaknya masuk syurga atau neraka. Dogma ini sekali gus melebih-lebihkan ungkapan Nabi SAW yang menyeru agar si anak melakukan kebaikan kepada ibunya kerana syurga di bawah tapak kaki ibu. Kebaktian kepada ibu itu yang dituntut, mudah-mudahan dengan amal tersebut dapat membawa kepada si anak ke syurga dan bukannya segala-galanya ditentukan oleh si ibu lantaran dia penentu natijah anaknya semasa di akhirat kelak.
Pendek kata, anak-anak tak perlulah menunggu hari tertentu untuk melaksanakan tanggungjawab mereka kepada ibu bapa mereka. Sambutan tahunan seperti 'Hari Ibu' atau 'Hari Bapa' mungkin ada nilainya namun, apakah nilai tersebut andai hendak dibandingkan dengan hak-hak sebenar yang perlu dipenuhi oleh anak-anak terhadap orang tuanya selama mereka (orang tua) masih hidup. Justeru, hargailah mereka sekiranya ingin dihargai suatu hari nanti.
Nota hujung
[1] Maksud Surah Al-Isra’ 17, ayat 23-24 disesuaikan daripada Ahmad Hatta, Tafsir Al-Quran Perkata, 2010 (Chemor, Perak: Maghfirah Pustaka Al-Madani Enterprise, 2012).
[2] Maksud Surah Luqman 31, ayat 14-15 disesuaikan daripada Ahmad Hatta, Tafsir Al-Quran Perkata.
[3] Maksud hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Mas’ud. Rujukan lihat An-Nawawi, Yahya bin Syaraf, Ringkasan Riyadhus Solihin oleh Syaikh Yusuf Al-Nabhani terj. Abu Khodijoh Abdurrohim (Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn Bhd, 2010), 348.
[4] Intipati hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim daripada Abdullah bin Amru. Rujukan hadis lihat An-Nawawi, Ringkasan Riyadhus Solihin, 349.
Wednesday, May 8, 2013
Tsunami berulang
Barangkali kini perbincangan politik lebih menjurus kepada sama ada benar-benar berlaku tsunami masyarakat Cina dalam PRU ke-13. Perkataan 'tsunami masyarakat Cina' ini pertama kali diperdengarkan kepada pihak umum apabila PM Najib memberikan ucapannya di PWTC selepas BN berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti mudah pada awal pagi semalam. Sudah tentu ada yang memberi respon apa yang bahawa yang berlaku bukannya hanya kepada masyarakat Cina, malah turut berlaku kepada masyarakat Melayu. Sudah ada golongan penulis, politik mahu pun akademik yang melihatnya sebagai 'tsunami Malaysia.' Benarkah begitu?
Pada hemat penulis, penggunaan istilah baru seperti tsunami Cina atau Malaysia itu sendiri tidak tepat. Tsunami ialah fenomena alam yang mendatangkan kejutan, yang boleh menyebabkan kematian, kecederaan dan kemusnahan alam dan segala binaan dan buatan manusia. Pada kebiasaannya, elemen kejutan pasti wujud; secara tiba-tiba sahaja. Kalau ada 'amaran' (alarm) pun, masa untuk menyelamatkan diri mungkin sangat suntuk atau tiada pun.
Bagaimana pun, dalam konteks menisbahkan apa yang berlaku pada PRU ke-13, keputusan yang diperolehi sebenarnya lebih kurang sama dengan apa yang berlaku sebelum ini. Orang ramai terkejut tetapi bukanlah semua yang terkejut. Malah, ada dikalangan ahli politik turut menyatakan secara jelas, memang kerusi sekian-sekian akan kalah. Apa yang berlaku pada 2008 yang disebut sebagai ‘tsunami politik,’ sebenarnya berulang kembali pada 2013, cuma magnitudnya sahaja lebih kuat. Kejutan mungkin lebih kepada betapa kerasnya pimpinan tertinggi BN berkerja terutamanya Najib untuk meraih mandat yang lebih baik, namun sebaliknya yang berlaku. Usaha tersebut agak tidak berbaloi untuk BN dan Najib.
Namun, sekiranya kejutan benar-benar berlaku, Najib bukanlah PM sekarang ini.
Orang tak iktiraf keputusan PRU secara umumnya, hal itu cerita lain. Perkara sedemikian ialah agenda orang tersebut. Realitinya, orang yang tak iktiraf itu tak dapat jadi PM. Dan sekiranya beliau tidak mengiktiraf pilihan raya pada kali ini, secara automatiknya beliau sendiri tidak mengiktiraf kemenangan beliau dan pakatan beliau sendiri. Jadi beliau hendak buat tunjuk perasaan, menunjukkan yang beliau sebenarnya yang sepatutnya jadi PM dan pilihan raya tak bersih. Sekiranya beliau ikhlas untuk membersihkan pilihan raya, laporkanlah secara terperinci kepada yang berkuasa bersama-sama bukti dan saksi bahawa di manakah yang dikatakan pilihan raya tak bersih, bukannya terus buat sidang media tuduh itu, ini kata itu ini. Media yang datang itu pun yang antarabangsa pula; yang cukup-cukup menyayanginya.
Kembali kepada persoalan tsunami, adakah kejadian PRU ke-13 ini boleh dikatakan mengejutkan? Maka hal ini penganalisis perlu jujur berkenaannya. Pada mulanya, penulis turut terperanjat juga dengan keadaan yang berlaku. Tetapi, setelah dibuat penelitian semula dan dirasionalkan, maka penulis simpulkan seandainya fakta yang benar diberikan kepada rakyat, maka perkara tersebut tidak perlu diterperanjatkan. Apa yang berlaku ialah hasil kepada kegagalan BN dalam menyelesaikan keperluan yang didambakan oleh golongan sasar yang memilih untuk tidak mengundi BN.
Sebagaimana yang penulis pernah bincangkan sebelum ini, golongan pertengahan tinggi dalam pendapatan ekonomi keluarga merupakan mereka yang lebih cenderung kepada Pakatan. Hal ini dikatakan demikian kerana limpahan yang dicurahkan kepada kerajaan tidak sampai kepada mereka. Ada dikalangan mereka yang merasakan 'apalah sangat bantuan sekolah RM 100 kalau nak dibandingkan dengan cukai yang aku bayar.' Lebih-lebih lagi ialah golongan pekerja sendiri atau swasta. Mereka membayar cukai dan bekerja mungkin lebih (ada hingga 6-7 hari seminggu) daripada kakitangan kerajaan namun manfaat yang diperoleh daripada kerajaan tak dapat dinikmati. Kita perlu berlapang dada dalam hal ini dan bukan niat penulis hendak mempertikaikan apa yang kakitangan kerajaan buat dan apa yang kakitangan kerajaan dapat.
Pada penulis, inilah sindrom kerajaan BN yang asyik menyebut tentang 1.4 juta pekerja kerajaan namun, bagaimana dengan yang lain? Sedangkan jumlah pengundi di Malaysia sahaja sudah lebih 13 juta!
Ada keinginan ‘lain’ yang mungkin tidak dipenuhi terhadap golongan sebegini. Golongan sebegini mungkin tak peduli pun siapa yang pegang kerajaan dan sama ada 'hak istimewa orang Melayu' itu dipertahankan (kalau dia orang Melayulah dan lebihlah lagi kalau dia bukan Melayu). Hal ini terjadi bukan kerana mereka tidak menghargai apa yang diberikan kepada kerajaan, sebaliknya mereka tak terasa apa yang telah kerajaan berikan kepada mereka atau merasakan 'apa yang orang lain tak dapat' (macamlah mulia sangat...). Mereka hidup setidak-tidaknya pada zon yang agak selesa atau pun zon ‘mintak bantuan kerajaan tapi tak dapat-dapat!’ (maka dengan kudratku sendiri aku berusaha!)
Keperluan golongan sebegini mungkin berbeza dan bukannya semata-mata bantuan kewangan sahaja yang boleh memuaskan hati mereka. Mungkin mereka tak ingin pun beratur panjang untuk kutip bantuan kewangan daripada wakil rakyat. Mungkin mereka merasa sendiri kerenah birokrasi daripada kerajaan yang terpaksa dilalui hari ke hari. Atau mereka sendiri terlibat dalam duit kopi yang terpaksa dihulurkan hanya untuk mempercepatkan proses di jabatan kerajaan atau untuk melepaskan diri daripada penguatkuasaan yang berlebih-lebihan. Atau disebabkan pergaulan mereka sesama rakan-rakan mereka yang merasai kesemua itu menyebabkan mereka merasa terpanggil untuk turut serta bersikap kurang senang dengan kerajaan.
Justeru, walaupun perkara sebegini telah sering diutarakan, yang bermasalah sebenarnya bukanlah kerajaan sebaliknya 'pegawai kerajaan' dan/atau prosedur mereka. Golongan ini tidak boleh menukar pegawai-pegawai kerajaan dan mengubah sistem yang ada dalam jabatan kerajaan, jadi alternatif lain yang boleh dibuat ialah dengan menukar sendiri kerajaan. Namun, bukan niat penulis untuk menghentam kesemua prosedur dan pegawai kerajaan kerana ramai dikalangan mereka yang benar-benar ikhlas bekerja dan memenuhi tanggung jawab mereka. Mungkin yang bermasalah cuma dalam peratusan yang sedikit. Tapi, penulis ‘terkena’ juga dengan mereka yang negatif.
Penulis sendiri menghadapi saat sukar untuk memohon lanjutan lesen barangan di pejabat KPDNKK hanya kerana keinginan tambahan 'bos' di pejabat tersebut pada benda yang remeh-temeh sedangkan segala dokumen sokongan yang dicatat pada borang permohonan sudah disediakan. Kemudian, pihak di pejabat tersebut meminta penulis untuk mengeposkan sampul ekspres sendiri kepada mereka bagi membolehkan mereka mengepos lesen tersebut kepada penulis. Sudahlah kebetulan, pada ketika itu pejabat pos di sekitar kawasan tiada menjual sampul ekspres saiz yang dikehendaki, jadi satu kerja pula yang perlu dilakukan untuk mencari benda itu.
Soal penguatkuasaan KPDNKK penulis tak mahu ceritalah; nanti terlibat kes feloni pula. Bagaimana pun, jujur penulis katakan masyarakat peniaga boleh dikatakan anti kepada kerajaan lantaran perkara-perkara sedemikian. Ingat, bukan semua peniaga mengikuti program TUKAR atau merasa nikmat daripada barangan 1Malaysia yang disediakan oleh kerajaan (malah, mereka mungkin menganggapnya sebagai saingan). Apatah lagi bagi mereka yang bekerja dengan jualan benda-benda yang berkait rapat dengan subsidi kerajaan dan 'dipantau oleh kerajaan.' Itu tidak termasuk betapa rakusnya kerajaan membina dan/atau membenarkan pasar raya dan pasar raya besar di kawasan perumahan yang pada asalnya sudah berkedai! Ditambah pula dengan kerajaan sendiri memasuki bidang perniagaan yang menyebabkan periuk nasi mereka yang telah sedia berniaga terjejas. Dan kesemua itu tadi pun belum lagi termasuk pelbagai sektor lain yang melibatkan hubungan dengan kerajaan.
Dan itu pun belum lagi masuk perkhidmatan yang kerajaan sendiri mesti sediakan dan selesaikan seperti isu longkang, sampah kumbahan, air dan lain-lain. Apabila kita bercakap tentang ‘kerajaan,’ yang ramai orang faham ialah kerajaan Malaysia dan bukannya segmentasi ‘oh, ini kerajaan negeri,’ ‘oh ini kerajaan pusat,’ dan ‘ini kerajaan tempatan atau orang majlis.’ Ada yang tak sedar dan/atau tidak peduli pun entiti-entiti tersebut wujud dan bidang kuasa mereka berbeza. Boleh dikatakan, hal-hal berkaitan infrastruktur tempatan di bawah kerajaan tempatan dengan pengaruh kerajaan negeri. Tapi, orang pun peduli apa? Oleh hal yang demikian, secara mudahnya untuk membangkitkan isu-isu sebegini ialah melalui peti undi lima tahun sekali itu. Sekali lagi, golongan pekerja sendiri dan swasta tidak berupaya menukar pekerja kerajaan, jadi apa yang boleh dibuat ialah dengan menukar kerajaan!
Kemudian kita bercakap tentang golongan muda dan perkara ini sering menjadi satu enigma juga kepada BN. Dah chat bersama, facebook bersama, tweet bersama, instagram bersama, ketawa bersama menangis bersama; mengapa tidak mengundi parti sama? Golongan ini ada yang tak peduli dan ada yang begitu peduli. Penulis kira biasanya, idealisme mereka yang mula menceburkan diri ke dalam kesedaran politik biasa dikaitkan dengan pihak pembangkang. Masakan tidak, pembangkang bekerja keras untuk mendapatkan mereka dan menggunakan khidmat mereka dan BN tidak boleh salahkan pembangkang. Keterdepanan pihak Pakatan untuk mendekati golongan muda tidak boleh dipertikaikan walaupun rancangan televisyen sentiasa memaparkan sisi betapa 'belia bersama BN.'
Contoh klasik yang boleh dikemukan ialah PAS. Mereka telah mula mengindoktrinasikan bakal-bakal belia mereka seawal tadika lagi dan perkara ini bukan rahsia. Satu ketika dahulu, gejala pijak gambar Mahathir merupakan satu aktiviti di tadika mereka. Kemudian, menjelang muda tatkala di IPT, mereka sudah mewujudkan kader-kader mereka melalui persatuan Islam dan 'AJK Surau yang rata-rata akan menjadi anti-establishment. Seterusnya mereka inilah yang turut serta menyertai PAS setelah mereka berkerjaya nanti.
Mungkin ada yang akan sinis dengan pandangan penulis, kerana bukan semua yang akan menjadi penyokong dan ahli PAS kelak. Namun, susur-galur pembentukan pemikiran siyasah sudah pun diwujudkan seawal kanak-kanak lagi dan sekiranya ibu bapanya menghantar anak-anak ke sekolah Islam pro-PAS (yang sememangnya wujud), mereka telah mengajar dan berinteraksi dengan bakal-bakal penyokong dan ahli mereka di setiap tahap perkembangan dan pembangunan seorang insan dan hal ini merupakan satu proses yang bersistem untuk pembentukan jiwa penyokong PAS sejati.
BN pula tidak berbuat demikian (atau tidak boleh berbuat demikian). Walaupun sekiranya daripada kecil anak-anak di sekolah tadika KEMAS misalnya sudah diajar tentang PM (adakah perkara ini diajar???), tidak ada sukatan pelajaran mereka untuk memijak-mijak gambar pemimpin pembangkang. Walaupun ramai mahasiswa yang dikatakan menyokong BN, kesan mereka tidak seramai tindakan yang dilakukan oleh kumpulan mahasiswa yang dipengaruhi oleh pembangkang. Lebih teruk lagi, corak pemilihan majlis pewakilan mahasiswa dijadikan pula indikator kepada 'orang muda' menyokong BN dan akhirnya, BN hanya syok sendiri sahaja atau data sebenarnya mungkin tiada korelasi!
Mahasiswa kini menuntut pendidikan tinggi percuma dan sering membandingkan secara epal dan durian dengan negara lain. Boleh dikatakan juga, slogan ubah juga menjadikan orang muda begitu teruja mengeksesaiskan hak mereka untuk berubah. Hasilnya, peningkatan penyertaan orang muda (dan peratus keluar mengundi) dalam PRU kali ini dan tidak dapat dinafikan, ramai dikalangan mereka yang teruja untuk memangkah pihak 'ubah.'
Hal-hal sebegitu belum masuk lagi idealisme pihak Pakatan yang menampakkan keidealan/utopia yang menyebabkan orang muda terpengaruh dengan kempen-kempen yang disampaikan oleh pihak tersebut. Malah, penglibatan pembangkang melalui golongan muda perlu diakui lebih menarik minat golongan tersebut berbanding apa yang disediakan oleh BN. Soal peserta beramai-ramai menyertai sesuatu program, lain. Soal peserta turut menyokong parti yang menganjurkan program, lain pula. Dan soal menarik sokongan peserta yang menyertai program supaya mereka betul-betul menyokong parti penganjur program, turut menjadi satu perkara yang berbeza! Jadi, BN barangkali terkabur mata jua dengan kehadiran peserta program mereka kononnya mereka menyokong BN; atau barangkali peserta-peserta yang datang itu tidak berdaftar pun untuk mengundi pada pilihan raya!
Kesimpulannya, kedua-dua faktor ini (pengundi muda, belia) dan golongan kelas menengah tadi gagal ditangani oleh BN dengan sebaiknya sedari 2008 lagi (atau dalam konteks sebenar, selepas 2004). Untuk kali ini, mereka tahu bahawa pihak Pakatan telah melancarkan Ubah, namun mereka tidak mampu menjawab slogan itu dengan berkesan dan akhirnya, kedua-dua golongan ini mengambil tindakan untuk ‘berubah.’ BN tidaklah perlu untuk menyalut gulakan (sugar coated) keadaan yang berlaku dan perlu terima hakikat; jika pun mereka mengatakan sokongan kedua-dua pihak ini meningkat kepada BN, peningkatan itu tidak cukup untuk menentang arus ‘Ubah’ yang dicanang oleh parti lawan.
Apa yang perlu kali ini ialah untuk mengkaji strategi kemenangan Pakatan bagi menyimpulkan apa yang kedua-dua pihak ini mahukan. Apa yang mereka mahu ubahkan? Terlalu lama dah BN memerintah, makanya hendak ubah? ‘Korupsi? Kronisme? Nepotisme? Despotisme? Jingoisme’ Hal ini dikatakan demikian kerana amat malanglah seandainya think tank BN tak mampu mencari sebabnya, menstrategikan dan menyelesaikannya kerana jujurnya, ‘isme-isme negatif’ tadi pun turut ada dalam pihak Pakatan.
Friday, May 3, 2013
Anak-anak kita
'Nampaknya undang-undang di Malaysia lebih longgar kerana masih membenarkan anak-anak kecil ditinggalkan di rumah dijaga oleh adik-beradik yang lebih tua. Kalau di sini, maunya ibu bapa kepada anak kecil itu kena saman kerana telah melanggar undang-undang penjaga anak bawah umur,' begitulah lebih kurang ayat dalam rencana yang pernah penulis baca. Dalam rencana itu, pengarang rencana membandingkan beberapa peraturan di negara Eropah yang beliau diami kerana belajar di sana dengan negara Malaysia.
Konotasi kepada kenyataan tersebut ialah, nasib baiklah undang-undang di Malaysia tidak cukup tegas sampai kakak pun tak boleh jaga adik seandainya kakak bawah umur. Kalau tidak, tentulah penjagaan kanak-kanak di Malaysia lebih rumit dan akan mengganggu kehidupan orang dewasa pula. Masakan tidak, adik-beradik yang bawah umur menjaga adik pun tak boleh, bagaimana mungkin ibu bapa atau penjaga hendak berenggang daripada mereka walau seketika. Semua anak-anak kena dibawa bersama atau mereka perlu kepada pertolongan dewasa lain untuk menjaga anak-anak.
Hal ini dikatakan demikian kerana anak yang lebih tua, tetapi masih di bawah umur tidak boleh menjaga adiknya. Misalnya kakak yang tingkatan tiga, masih belum layak menjaga adiknya yang darjah dua. Abang yang berumur 17 tahun kiranya masih tidak boleh menemani adik yang lebih muda daripadanya. Keterikatan ini akan menyebabkan ibu bapa tidak mempunyai pilihan lain selain meminta sama ada saudara mara mereka turut serta membantu untuk menjaga anak-anak atau menggaji penjaga untuk keperluan tersebut.
Adakah sedemikian rupa undang-undang di Malaysia?
Bahkan, negara yang mempunyai undang-undangnya yang tersendiri untuk kanak-kanak. Undang-undang di negara ini turut menjaga hak kanak-kana agar mereka tidak berhadapan dengan situasi yang tidak boleh dipertanggungjawabkan. Cuma, perlaksanaan hak-hak kanak-kanak inilah yang boleh dipersoalkan. Kita sering mendengar, 'kalau di negara lain, segini segini' seolah-olah negara ini tidak mempunyai undang-undang yang sama. Sedangkan undang-undangnya wujud namun perlaksanaannya masih lagi tak nampak. Setidak-tidaknya, tanggungjawab untuk memastikan keselamatan anak-anak semasa di bawah jagaan ibu bapa wujud di negara ini.
Akan tetapi, senario yang selalu berlaku memperlihatkan betapa kurangnya kepekaan ibu bapa terhadap anak-anak. Budak tadika dibiarkan ke kedai untuk 'membelikan barang' untuk membantu si emaknya. Pening jugalah kadang-kala si peniaga hendak mengetahui apa sebenarnya yang dikehendaki oleh budak itu kerana budak masih pelat bercakap. Begitu juga budak sekolah rendah ke pasar malam seorang diri untuk membeli makan malam. Budak awal belasan tahun membawa motorsikal bapanya berjalan-jalan; atau kadang-kala sudah pandai berlumba haram dengan rakan-rakan sebaya.
Jika tidak berlaku apa-apa, tidak ada masalah yang timbul. Soalnya, ialah apabila berlaku sesuatu, maka siapakah yang hendak dipersalahkan?
Dalam beberapa jenayah yang berstatus terkenal, anak-anak yang menjadi mangsa kepada penculikan sehingga membawa kematian, maka keadaan mereka diculik ialah ketika mereka tidak di bawah jagaan ibu bapanya. Ada yang berjalan seorang diri di tempat keramaian dan ada yang bersama dengan adiknya di kawasan permainan. Seandainya keadaan demikian berlaku di 'negara Barat,' nescaya ibu bapanya disaman dan anak-anak tersebut dirampas lantaran 'tidak cukup padan (fit)’ untuk menjaga anak. Tetapi, di sini tidak. Hal ini dikatakan demikian kerana hendak menjaga hati ibu bapa yang sedang bersedih angkara kehilangan orang yang tersayang.
Malah, di Malaysia, begitu ramai daripada anak muda yang menunggang motorsikal atau memandu kereta tanpa sebarang lesen. Mereka ini sama ada memang dibenarkan oleh ibu bapa untuk berbuat demikian atau ada yang melakukannya secara curi-curi. Tatkala berhadapan dengan sekatan polis dan disebabkan takut, mereka akan melakukan perkara bukan-bukan seperti melawan arus cuba melarikan diri. Ada dikalangan mereka yang ditimpa kecederaan kerana hendak lari daripada pihak polis. Sehinggakan wujud kes dek kerana kekhilafan polis sampai anggota polis melepaskan tembakan kepada kereta yang dipandu oleh budak bawah umur yang membawa kepada kematiannya. Tentu perkara ini tidak berlaku sekiranya mereka dapat dihalang sama sekali daripada berbuat demikian oleh ibu bapanya.
Kecederaan dan kematian telah berlaku namun sebagaimana di Malaysia, ibu bapa tidak dikenakan sebarang tindakan kerana kasihan kepada ibu bapa yang menghadapi keadaan jatuh di timpa tangga. Akhirnya, ambil pengajaran sendiri sahajalah.
Sementelah, wujud undang-undang dalam negara ini yang boleh mensabitkan ibu bapa yang cuai sehingga menyebabkan kecederaan mahu pun kematian anak-anak kerana kecuaian mereka menjaga anak sendiri. Pelbagai jawapan yang akan diberikan, senang cerita, 'perkara dah nak jadi, nak salahkan siapa?' Atau 'orang yang melanggar/menyebabkan kematian/menculiklah sebenarnya yang bersalah!'
Sebab itulah daripada satu segi, kerajaan Malaysia memang baik kerana tidak menguatkuasakan undang-undang berkaitan kecuaian ibu bapa/penjaga yang mengakibatkan jenayah, kecederaan atau kematian kanak-kanak. Malah, ada dikalangan politikus yang menjadikan isu penguatkuasa yang bersalah kerana menyebabkan kehilangan, kecederaan atau kematian kanak-kanak. Justeru, tidak hairanlah ada orang yang menyalahkan parti pemerintah yang menyebabkan anak jatuh basikal.
Sudahnya, ibu bapa akan terus menerus meletakkan tanggungjawab keselamatan anak-anak sendiri kepada polis dan pasukan keselamatan semata-mata. Walhal mereka yang sebenarnya membawa anak-anak itu ke dunia sekali gus bertanggungjawab terhadap anak-anak mereka sendiri.
Sunday, April 28, 2013
Drama wanita
Saban hari dalam drama Melayu, persoalan yang sering diketengahkan dalam televisyen ialah percintaan muda-mudi dan perkahwinan. Perkahwinan itu pula selalunya, tapi tak semestinya melibatkan pasangan yang terpaksa berkahwin lantaran pelbagai sebab-musababnya. Sama ada untuk pengembangan bisnes keluarga atau sebagai syarat 'tebus' jasa-jasa nan lalu, atau untuk menutub keaiban si anak perempuan yang mengandung luar nikah.
Senario sebegini sering dipaparkan dalam skrip drama-drama Melayu dan jarang pula diterbitkan dalam drama bahasa dan bangsa lain. Drama Cina Singapura misalnya, mempunyai pelbagai genre yang memaparkan pelbagai latar masa dan budaya. Misalnya drama masa lampau (period drama), memaparkan latar semasa zaman prapenjajahan Jepun sehinggalah selepas kemerdekaan. Drama masa moden pula mempunyai kepelbagaian persoalan daripada jenis masalah kekeluargaan, cinta, prosedur penyiasatan polis, mistik dan lain-lain.
Bagaimana pun, di sini drama Melayu kekal dengan genre cinta muda-mudi, si lelaki yang ego dan si perempuan yang mengikut sahajalah cakap lelaki itu secara telus dan tulus. Apatah lagi dicampur dengan pengadaptasian novel-novel cinta popular yang mencampur-adukkan antara cinta dan sedikit sejamah unsur keIslaman yang menjadikan wujudnya dua keadaan yang kontra; satu bergelumang dengan dosa, satu lagi di tikar sembahyang memohon doa kepada yang Maha Esa.
Cuma penulis tertarik dengan watak dan perwatakan yang dibawa oleh heroin dalam cerita sebegini. Setakat yang penulis perasan ada yang jenis terlalu memberontak sehingga sanggup menggadai maruah sebagai isteri. Ada pula yang menunjukkan sikap begitu tidak reda kepada suami kerana kahwin paksa; dan ada juga yang bersikap terlalu tulus dan telus kepada suami sehingga kelihatan diperhambakan sedangkan suami berbuat sesuka hatinya.
Kesemua ini memaparkan sisi watak wanita yang sama ada bersifat terlalu menentang atau pun terlalu akur sehingga menimbulkan persoalan kepada penulis, adakah ini realiti semasa wanita hari ini? Lebih-lebih lagi bagi perwatakan yang begitu pasrah mendengar dan menerima apa sahaja tengkingan dan makian daripada si suami lantaran 'tidak tahu memasak.' Hal ini turut menimbulkan satu lagi persoalan sampingan, adakah wanita sekarang ini tidak geti memasak? Teruk benar agaknya sampaikan nak masak pun tak geti, macam mana hendak jadi suri rumah tangga?
Kesemua ini memberikan imej yang buruk kepada wanita Melayu sendiri apabila mereka digambarkan sama ada terlalu havoc atau pun terlalu tunduk kepada segala apa yang diperlakukan kepadanya. Seolah-olah adat Melayu membenarkan wanita diperlakukan sebegitu rupa dan tunduk seadanya kepada lelaki. Adakah ini yang cuba ditunjukkan dalam drama Melayu? Adakah ini sahaja konflik yang mampu diterbitkan oleh pengarang dan penulis skrip?
Mungkin ada yang mengatakan bahawa naskhah macam inilah yang akan mengangkat martabat wanita. Wanita sanggup diperguna segala-galanya kerana cinta kepada jantan lain atau kepada suami sendiri, Bahkan, hujah ini ialah hujah kepada mempersoalkan perwatakan drama bagi wanita yang terlalu memperhambakan sahaja dirinya kepada apa sahaja tindak tanduk si lelaki dan bukannya hujah untuk mengangkat martabat wanita. Martabat wanita diangkat melalui kedatangan Islam yang membela segala bentuk hak dan kebajikan untuk wanita. Wanita tidak lagi diperhambakan dan dipergunakan sesuka hati oleh kaum lelaki walaupun suami sendiri. Malangnya, sebaliknya yang berlaku apabila suami menjadikan isterinya sebagai alat untuk melepaskan geram, ditengkingnya dan dimarahnya isteri itu macamlah isteri itu sampah. Konflik sebegini yang sering diutarakan boleh dibaca dan kadang-kala terlalu klise.
Memanglah pada akhir drama sebegini akan menunjukkan suami-isteri hidup rukun damai dan bahagia, atau sang jejaka dan wanita berkahwin, namun pada realitinya adakah hal sedemikian yang berlaku? Kita pun selalu membaca kisah di dada akhbar, seandainya hinggap sepenampar di muka isteri, terus boleh membawa ke kes cerai. Pada hemat penulis, perkara tersebut memang wajar kerana si jantan menjadikan wanita sebagai tempat melepaskan barannya. Kalau satu kesalahan ditempeleng, mau kalau perkara besar, si wanita akan dijadikan sebagai puncing beg pula! Silap-silap, hal-hal kerja pun si lelaki akan meluahkan perasaan marahnya kepada si wanita.
Pendek kata, kreativiti drama Melayu masa kini patut dipelbagaikan dan bukannya tertakluk kepada 'pengorbanan wanita sehingga lunyai sebelum diangkat sebagai heroin' yang hidup bersama 'jantan keparat yang hidupnya tak sedar diuntung.' Maruah wanita perlu diletakkan pada tahapnya yang telah unggul untuk membolehkan orang ramai memahami status sebenar wanita dalam Islam dan di Alam Melayu. Seandainya watak mereka hanya sekadar merelakan segala perlakuan buruk sama ada fizikal mahu pun mental sahaja, perkara ini hanya menampilkan sisi negatif dalam masyarakat Melayu. Sedangkan kini, wanita di Malaysia sudah berdiri teguh untuk 'mempertahankan' hak-hak mereka.
Justeru, tampilkanlah penghargaan kepada mereka dalam karya-karya kita...