Showing posts with label Islam. Show all posts
Showing posts with label Islam. Show all posts

Wednesday, December 4, 2013

UMNO dan Ahli Sunah Wal Jamaah


 
 
Catatan pascaterbitan (8/12/2013)
 
Nampaknya, sangkaan baik penulis bahawa 'Perlembagaan Persekutuan' yang diusulkan untuk dipinda bagi memasukkan konsep Ahli Sunnah Wal Jamaah di dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun ini agak pramatang apabila tuan Presiden mengkhususkan pindaan tersebut kepada 'Perlembagaan parti.' Aduh, jangkaan penulis nampaknya meleset dan perlu dikendurkan semula terutamanya berkaitan mengkanunkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai akidah rasmi belum kesampaian!
 
Bagaimanapun, permulaan untuk mengkonsepkan Ahli Sunnah Wal Jamaah di dalam parti UMNO itu sendiri sebenarnya satu langkah yang amat berani kerana setakat ini pun, UMNO merupakan parti politik pertama yang hendak berbuat demikian bagi mentakrifkan fahaman akidah yang dipegang di dalam perlembagaan parti . Sekiranya benar dan berjaya dilakukan, maka hal itu turut boleh dikatakan sebagai membuka lembaran baharu bagi perjuangan parti politik Malaysia dalam memperjuangkan akidah yang benar.
 
Hal ini secara langsung akan menidakkan orang Melayu yang berfahaman bukan-Ahli Sunnah Wal Jamaah untuk menyertai UMNO dan melucutkan sama sekali ahli UMNO yang bukan berfahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Mungkin ada parti lain yang boleh dijadikan sebagai alternatif?
 
Semoga perjuangan menegakkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara ini kekal relevan bagi membasmi ajaran-ajaran sesat yang menular di dalam masyarakat muslim yang semakin membimbangkan.   

Mungkinkah atau mungkirkah bersama

Tuesday, December 3, 2013

Sunday, November 24, 2013

Cuti Jumaat dan kesannya


 
 
 
Pascasuntingan dan terbitan
 
Sepanjang penulis berurusan dengan perkhidmatan kerajaan di Johor semasa hari Jumaat masih dijadikan sebagai hari bekerja, penulis telah dimaklumkan dengan dogma dua hari yang kalau boleh, tak perlulah berurusan dengan kerajaan iaitu hari Isnin dan hari Jumaat. Isnin ialah disebabkan sindrom Monday blues sementara hari Jumaat ialah disebabkan solat Jumaat. Apa yang berlaku ialah seolah-olah satu kewajipan yang diperintahkan oleh Allah telah dijadikan alasan untuk penangguhan perlaksanaan urusan harian kerana orang yang bertanggungjawab menguruskannya perlu menunaikan solat Jumaat!
 
Sedangkan pada dasarnya, kerajaan telah memberikan masa yang cukup anjal kepada penjawatnya untuk melaksanakan tanggungjawab itu; ditambah boleh makan tengah hari lagi (12.15 tengah hari hingga 2.45 petang). Ada pejabat kerajaan yang bertindak untuk tutup kaunternya seawal 12.00 tengah hari dan dibuka semula hanya selepas 3.00 petang!  Dalam sela masa sedemikian pun, mereka beralasan 'terkejar-kejar' untuk melaksanakan solat Jumaat dan sukar untuk khusyuk.
 
Maka, apa yang diharapkan ialah selepas perlaksanaan cuti hari Jumaat di Johor kelak, perlu ada satu petanda khusus untuk membuktikan bahawa kecekapan dan keberkesanan sistem perkhidmatan awam bertambah baik kerana sudah tidak ada alasan yang konkrit untuk berlengah-lengah pada sebarang hari pun! Sebagaimana yang telah disyorkan oleh ulama-ulama kerajaan, hari Jumaat kini boleh dijadikan hari untuk beribadah dan mudah-mudahan kesemua rakyat beroleh ketenangan, termasuklah kakitangan awam. Johor akan bersama-sama Kedah, Kelantan dan Terengganu mempunyai masa kerja yang lebih baik kerana tiada lagi hari untuk 'terkejar-kejar' ke sini sana dan mereka akan mampu fokus pada kerja dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
 
Tentang sama ada lebih Islami atau pun tidak bercuti hari Jumaat, penulis merasakan tanggapan itu adalah sesuatu yang kosmetik sahaja  kerana kelihatan lebih Islami dan menurut jejak langkah kebayakkan Negara-negara Arab. Tiada bukti secara nas Al-Quran dan Hadis bahawa umat Islam perlu bercuti pada hari Jumaat dan perlu menumpukan kepada ibadah sebagaimana yang digembar-gemburkan; sebaliknya kesemua itu sekadar adat kebiasaan yang diamalkan selepas zaman Nabi sallallahu alaihi wassalam dan Khulafa Ar-Rasyidin.
 
Dalam Surah Al-Jumaah, 62, ayat kesepuluh jelas Allah memberikan keizinan kepada orang-orang yang beriman untuk bertebaran di atas muka bumi untuk mencari kurniaan daripada-Nya. Maka secara langsung ayat ini menafikan bahawa seseorang itu perlu bercuti pada hari Jumaat dalam rangka menjadi seorang yang 'lebih Islam' (lebih warak).

Memetik HAMKA dalam tafsirannya pada ayat 10 Surah Al-Jumaah, beliau menjelaskan berikut selepas menafsirkan ayat 'maka bertebaranlah di bumi dan mencari kurniaan Allah' sebagai,

'Dengan demikian, nyatalah bahawa dalam agama Islam, Jumaat itu bukanlah hari istirahat buat seluruhnya, melainkan hari buat melakukan ibadah bersama-samanya, iaitu sembahyang Jumaat. Apabila Jumaat telah selesai, bolehlah bergiat kembali, bertebaranlah di bumi iaitu, "Dan carilah kurnia Allah."  Kurnia dari bertani dan berladang, usaha dari menggembala dan beternak, usaha dari berniaga dan jual beli, usaha dari macam-macam rezeki yang halal.'
 
Tambahan pula, sebenarnya wujud nas yang melarang untuk kita mengkhususkan ibadah tertentu pada malam dan hari Jumaat. Misalnya hadis daripada Abu Hurairah riwayat Muslim yang menyebut Nabi Sallallahu alalihi wasallam melarang pengkhususan solat malam (qiyamulail) pada malam Jumaat dan berpuasa pada hari Jumaat. Dan daripada sudut lain pula, menjadikan hari Jumaat sebagai hari cuti semata-mata kerana Solat Jumaat seolah-olah menyamai agama lain pula yang pada asalnya bercuti daripada bekerja pada hari tertentu kerana hendak beribadah!
 
 
Memang benar, Jumaat merupakan hari yang paling istimewa berbanding hari-hari lain di dalam seminggu dan kita dituntut melebihkan amal ibadah pada hari tersebut. Namun, bukanlah bermaksud kita boleh beribadah dengan menambah-nambah amalan tak tentu pasal (beramal amalan bidaah) semata-mata kerana harinya hari Jumaat. Kesemua amalan yang hendak dilakukan perlulah berlandaskan sunnah sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Sallallahu alaihi wasallam.
 
Intiha, penulis tiada masalah dengan cuti hari Jumaat. Namun, menurut hemat penulis, setelah perlaksanaan cuti hari Jumaat kelak di Johor, rakyat yang berkewajipanlah yang sebenarnya perlu menyedari kini, tiada alasan lagi untuk tidak bekerja dengan baik dan sempurna. Juga, yang lebih penting lagi, tiada alasan bagi yang wajib untuk tidak berjumaat kerana cuti telah diberikan pada hari itu. Barangsiapa yang tidak melaksanakan kewajipan itu kelak, sememangnya akan menanggung dosa yang sangat besar, lebih dahsyat mungkin berganda lagi dosanya kerana kerajaan dah  beri cuti pada hari itu! 

Saturday, November 9, 2013

Tak cukup tarbiyah

 

Apabila PAS mengumumkan tahaluf siyasi dengan sebuah parti ultrasekular seperti DAP, ramai yang mengharapkan dengan usaha sebegitu dan kepimpinan melalui ulama yang begitu alim lagi warak, akan memberikan sinar baru dalam politik negara. Seseorang yang lurus akan mengharapkan parti seperti DAP yang selama ini menzahirkan sifat sekular akan bertambah faham dengan Islam. Malah, DAP mungkin akan lebih menerima perlaksanaan 'hukum Islam' dan 'negara Islam' (baca: berkebajikan) yang diperjuangkan oleh PAS sejak awal penubuhannya.

Malangnya, bukan sekali dua pimpinan tertinggi parti DAP mengeluarkan kenyataan yang sangat-sangat bertentangan dengan sifat dan sikap orang yang telah faham dengan Islam dan faham. Seakan-akan, semakin rapat DAP dan PAS, semakin jahil DAP untuk memahami roh perjuangan Islami PAS dan agama Islam itu sendiri! Sedangkan PAS begitu lantang dan sensitif kepada parti seagama dan sebangsa seperti UMNO namun begitu lunak dan bertoleransi dengan parti yang semenjak kewujudannya sering mempersoalkan isu-isu berkaitan bangsa Melayu dan agama Islam.

Dan Karpal Singh pun telah berkali-kali mengeluarkan kenyataan yang sentiasa mempertikaikan status quo yang telah diamalkan dalam negara ini terutamanya berkaitan Islam, Melayu dan Raja. Beliau juga tidak pernah menarik semula sebarang kenyataan yang dibuat yang dikecam oleh pihak lain. Begitulah halnya dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan olehnya yng dilihat sangat-sangat mengancam kedudukan Islam namun dibiarkan sahaja oleh pimpinan tertinggi PAS. Biasanya, Tok-tok guru PAS menerangkan pula sebab kepada kenyataan Karpal Singh dengan menjawabnya 'itu pandangan peribadi.' Apa ke halnya itu pandangan peribadi sedangkan kenyataan itu keluar daripada mulut seorang yang berjawatan 'Pengerusi Kebangsaan DAP.'

Adakah PAS masih tidak memahami hierarki kepimpinan DAP (atau tidak memahami apa itu hierarki kepimpinan)? Atau adakah kata-kata Karpal itu sekadar kata-kata kakak tua yang tidak mempunyai pemberat di sisi kepimpinan DAP? Sungguh, kata-kata Karpal Singh itu bukannya bersifat peribadi, tetapi kenyataan itulah sebenarnya kenyataan mewakili DAP! Seorang pengerusi syarikat misalnya, apabila mengeluarkan sesuatu kenyataan dalam satu sidang terbuka  bagi pihak syarikat ialah kenyataan ‘mewakili syarikat terbabit;’ dan bukannya kenyataan peribadi si pengerusi. Maka, mengapakah PAS masih cuba merasionalkan kenyataan seorang pengerusi parti sebagai kenyataan 'peribadi?'

Seharusnya PAS mengambil kira pandangan yang telah dibuat oleh Dewan Ulama untuk mengkaji kembali kerjasama politik dengan DAPkerana sangat-sangat jelas bahawa pihak yang paling banyak terpaksa termakan budi dan tergadai body ialah PAS. Tatkala pemimpin Pakatan yang lain sentiasa daripada masa ke maasa mengeluarkan kenyataan yang jelas mencabar kedudukan Islam di dalam negara, datang pula pimpinan tertinggi PAS yang kalaulah tidak menyokong kenyataan itu, bertindak sebagai pembela pasif pula dengan menyandarkan kenyataan itu bersifat peribadi. Sudahlah perjuangan negara Islam terpaksa dikebajikankan, kalimah Allah hendak dikompromikan, kini segala kenyataan pihak Pakatan yang lain yang bertentangan dengan keberadaan PAS sendiri terpaksa dibela dengan 'memperibadikan' kenyataan itu!

Sedangkan dalam banyak perjuangan Islami oleh PAS, mereka tidak akan pernah mendapat sokongan dan dokongan daripada pihak Pakatan yang lain. Sehinggakan pernah berlaku Exco agama peringkat negeri pun tidak diberikan kepada PAS bagi negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan dengan kerusi minoriti PAS. Maka, bolehlah dikatakan sekutu PAS sendiri tidak yakin dengan pembawaan agama oleh PAS.

Maka, relevenkah lagi PAS dalam Pakatan hanya untuk dipergunakan untuk memancing undi Melayu?

Wednesday, November 6, 2013

Hadis-hadis penting dalam timbangan untuk beribadah

Sarang labah-labah dan hijrah

 

Hari ini genaplah 1435 tahun perkiraan tahun dan bulan dalam Islam dan di Malaysia, hari ini dijadikan sebagai satu lagi hari untuk bercuti dan menyambutnya. Perkiraan bulan dan tahun ini dilaksanakan dengan mengambil kira peredaran bulan dan sangat popular dengan gelaran takwim qamari.

Barangkali nama arab (' قمر  ' qamar = bulan) yang digunakan dalam Bahasa Melayu bagi menjelaskan jenis perkiraan tersebut menyebabkan mungkin ramai yang menyangka hanya 'tahun/bulan Islam' sahaja yang menggunakan peredaran bulan sebagai asas kalender mereka. Sedangkan, kebanyakkan etnik dan bangsa turut menggunakan pergerakkan bulan sebagai asas kepada kalender mereka seperti Cina, Korea, Jepun, Vietnam dan India.

Sebab itulah penulis sangat tidak setuju dengan istilah yang digunakan di Singapura yang merujuk 'Lunar New Year' sebagai sambutan 'Gong Xi Fa Chai' atau Tahun Baru Cina kerana melalui definisi, Awal Muharam juga ialah sejenis 'Lunar New Year.' Hal ini  membangkitkan pertikaian dasar di Singapura yang seolah-olah tidak mengiktiraf kewujudan bangsa Cina di negara itu dan tidak sensitif terhadap kewujudan kalender lain yang turut menggunakan takwim qamari sebagai asas pengiraan kalender mereka, seperti kalender Hijriah dan kalender India.

Kembali kepada Hijrah; takwim Islami ini mengambil kira masa penghijrahan Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam bersama-sama sahabat baginda, Abu Bakar As-Siddiq radiallahuanhu daripada Makkah ke Madinah. Apa yang menarik ialah pengkisahan hijrah itu disertai dengan peristiwa di sebuah gua yang dikenali sebagai Gua Tsur yang menjadi tempat persembunyian kedua-dua Nabi SAW dan Abu Bakar daripada musyrikin Makkah yang sedang mengejar mereka.

Salah satu keajaiban yang dikhabarkan dalam peristiwa di gua itu ialah peranan labah-labah dan burung yang membina sarangnya di pintu gua tersebut. Hal ini menyebabkan musyrikin Makkah yang sedang mencari mereka tidak berkeinginan untuk masuk atau tunduk ke lubang gua tersebut kerana kewujudan kedua-dua alamat tadi (sarang labah-labah dan burung) cukup untuk meyakinkan tiada siapa yang telah memasuki gua tersebut.

Justeru, mengambil manfaat daripada kejadian sarang labah-labah itu, kerajaan Malaysia telah menggunakan gambaran sarang labah-labah sebagai simbol kepada sambutan Awal Muharam peringkat kebangsaan yang lebih popular digelar Maal Hijrah. Simbol itu digunakan daripada tahun ke tahun dan seolah-olah menjadi simbol atau logo rasmi sempena sambutan Maal Hijrah. Kelihatan sungguh cocok sekali sambutan Maal Hijrah dengan simbol sarang labah-labah dengan huruf ha di tengah-tengahnya itu.

Simbol Maal Hijrah

Namun, hasil penerbitan naskhah-naskhah baharu yang membuat analisis dan perbandingan terhadap pengkisahan-pengkisahan yang popular dan berlegar di dalam masyarakat, didapati bahawa kisah bantuan labah-labah, burung dan sarang mereka itu boleh dipertikaikan kesahihannya. Misalnya karya Khadijah Bukan 40 Tahun ketika berkahwin dengan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, membawa sejumlah laporan ulama-ulama yang mendhaifkan kisah tersebut sama ada terus kepada kisah itu mahupun berasaskan kepada perawi-perawi yang meriwayatkan kisah tersebut  (Mohd Dzul Khairi Mohd Noor, 2012, 71-75). Pun begitu, pengarang turut menyertakan penghasanan hadis lain yang berkaitan seperti daripada  Ibn Hajar dan Ibn Kathir tanpa penglibatan watak burung.

Bahkan, sebelum ini pun dalam sebuah naskhah lain turut meletakkan kisah labah-labah dan burung di pintu gua Thur itu sebagai kisah yang dhaif. Naskhah tersebut ialah Kisah Para Nabi yang Tidak Boleh Dijadikan Hujjah. Bagaimanapun, perlu dijelaskan di sini penulis naskhah pertama berguru kepada penulis naskhah kedua; maka tidak hairanlah sekiranya pendapat yang ditakqulkan adalah sama. Akan tetapi, hal ini sudah cukup untuk meletakkan kisah ini mempunyai pertikaian-pertikaian yang perlu dibincangkan sekiranya kisah tadi hendak dijadikan dalil atau hujjah mengangkat peranan labah-labah dalam hijrah Nabi sallallahu alaihi wasallam.

Ada yang mungkin berhujjah, sesungguhnya peranan labah-labah dan sarangnya itu sabit di dalam Al-Quran sehinggakan ada di antara surah di dalam kitab suci itu dinamai Al-Ankabut (bermaksud labah-labah). Maka, hujjah ini boleh dijawab sebagaimana berikut.

Pertamanya, penamaan surah dalam Al-Quran tidak semestinya menunjukkan pengiktirafan terhadap subjek yang diangkatkan sebagai nama. Misalnya, surah Al-Baqarah tidak mengangkat lembu betina sebagai subjek perbahasan yang paling utama, apatah lagi hendak memberikan kelebihan kepada haiwan tersebut. Sementara Surah Muhammad yang sebahagian besarnya membincangkan hal-hal berkaitan jihad terhadap orang kafir, sememangnya merupakan satu penghormatan kepada Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam daripada segi penamaan.

Keduanya, sebagai hujjah penguat kepada hujjah pertama iaitu labah-labah dan sarangnya yang dipetik permisalan oleh firman Allah Taala bukanlah berbentuk pengiktirafan. Sebaliknya, perbandingan yang Allah firmankan dalam Surah Al-Ankabut ialah betapa rapuhnya iktiqad golongan musyrikin yang menyembah dan meminta perindungan daripada selain Allah seumpama betapa rapuhnya sarang atau rumah yang dibina oleh labah-labah. Firman-Nya dalam Al-Quran yang bermaksud:

‘Bandingan orang yang menjadikan yang lain daripada Allah sebagai pelindung ialah seperti labah-labah yang membuat sarang, sesungguhnya sarang-sarang yang paling reput ialah sarang labah-labah; sekiranya mereka mengetahui.’ (Surah Al-Ankabut, 29 ayat 41)

Memetik pendapat Al-Qurtubi, perbandingan terhadap sarang labah-labah itu adalah untuk memberikan gambaran tentang rapuhnya sarang itu, tidak dapat memberikan sebarang pertolongan dan perlindungan daripada cuaca panas dan sejuk (Salahuddin Abdullah dan Omar Khalid, 2009, 468). As-Sa'di berpendapat bahawa labah-labah ialah haiwan yang sangat lemah rumahnya pula ialah rumah yang paling rapuh. Manakala membina rumah yang rapuh itu tiadalah memberikan kekuatan kepada si labah-labah melainkan bertambah lagi kelemahannya. Maka begitulah juga orang-orang yang meminta pelindung selain daripada Allah, maka mereka bertambah lemah, bertambah reput malah tidak dapat sebarang pertolongan sekecil mana pun daripada sembahan-sembahan mereka itu. (2007, 487).

Nyata di sini penyebutan ibarat labah-labah dan sarangnya bukannya hendak mengangkatnya sebagai haiwan yang kecil namum berjasa atau cukup berjaya dalam berperanan dalam Islam atau sejarah Islam, sebaliknya menjadi kiasan kepada sembahan-sembahan yang lemah, dan yang si penyembahnya pula semakin dilemahkan oleh kelakuan menyembah yang lemah. Oleh sebab itu, labah-labah dijadikan misalan kepada orang yang meminta kepada yang selain daripada Allah yang tidak mengetahui bahawa mereka akan semakin rugi daripada pertolongan Allah.

Justeru, dengan kisah yang diragui statusnya dan tafsiran ayat Al-Quran yang bertentangan dengan gambaran asal dibuat untuknya, adakah sarang labah-labah masih releven untuk dijadikan simbol Maal Hijrah? Mungkin ada haiwan lain yang boleh dijadikan sebagai simbol hijrah seperti lebah kerana dalam kalam-Nya itu jelas mempunyai isyarat untuk memikirkan kejadian lebah, sarangnya dan madunya (boleh rujuk surah An-Nahl).

Ataupun, untuk bersikap lebih neutral dan tidak terlalu taksub kepada haiwan, bolehlah dibuat satu logo lain yang menerapkan gesaan untuk berhijrah ke arah kebaikan. Walaupun sebenarnya memang diakui, sambutan Maal Hijrah tidak semestinya memerlukan logo.

Namun, tidak juga menafikan penggunaaan logo sarang labah-labah sebagai simbol sambutan boleh dilihat sebagai bertentangan dengan isyarat yang dibawa oleh  Al-Quran itu sendiri, kerana sarangnya yang rapuh itu tidak memberikan kebaikan kepada dirinya sendiri, apatah lagi kepada orang lain. Justeru agak menyimpang daripada hasrat asal mengingati peristiwa hijrah yang merupakan titik permulaan ketamadunan Islam di atas muka bumi ini.

 

Rujukan

Abdurrahman bin Nashir As-Sa'di, Taisir Al-Karim Ar-Rahman fi Tafsir Kalam Al-Mannan, jld 5, terj. Muhammad Iqbal et. al., Jakarta: Pustaka Shifa, 2007.

Mohd Dzul Khairi Mohd Noor, Khadijah Bukan 40 Tahun Ketika Berkahwin dengan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, Seremban: Creative Publika, 2012.

Salahuddun Abdullah dan Omar Khalid, Tafsir Mubin, jld 4, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2009.

Saturday, October 19, 2013

Jangan kata PAS, UMNO pun tak de

 

Sehari sebelum umat Islam negara ini ingin menyambut Aidil Adha tahun ini, mereka diberitakan dengan satu keputusan mahkamah yang masih bersifat sementara iaitu larangan penggunaan kalimah Allah dalam terbitan Kristian yang kononnya khusus untuk edaran di Sabah dan Sarawak. Barangkali yang di Semenanjung kurang peka dengan permasalahan di sana yang telah ditimbulkan oleh mubaligh Kristian 'zaman tok kaduk' kerana mereka telah mendakyahkan agama Kristian di komuniti setempat dengan mengisyaratkan gelaran tuhan bagi orang Kristian ialah Allah.

Kita pun tidak mahu memperpanjangkan persoalan tentang asas kepada mengapakah pendakyah Kristian ketika itu sanggup menggunakan satu kalimah yang sudah cocok dengan agama Islam. Sedangkan, tiada satu pun negara majoriti Kristian dan yang mempunyai ketua negaranya sebagai ketua agama Kristian negara terbabit yang menggunakan kalimah Allah merujuk kepada tuhan dalam perbincangan keagamaan mereka. Dalam konteks Bahasa Inggeris misalnya, tiada pernah mereka menggunakan frasa, 'Allah, the Son and the Holy Spirit.'

Kembali kita ke Malaysia, dikhabarkan sebenarnya tiada ijmak pun yang tercapai antara pemimpin Kristian di negara ini yang membolehkan penggunaan kalimah Allah secara mutlak. Di kalangan pemimpin politik, orang yang begitu lantang menyuarakan tuntutan agar penganut Kristian dibenarkan menggunakan perkataan Allah bukannya beragama Kristian pun! Begitulah adatnya sebuah negara berbilang bangsa dan agama terpaksa mendepani cabaran seperti ini kerana ketidaksempurnaan sistem pemerintahan dan pelbagai tekanan luaran mahupun dalaman terhadap pembuat dasar dan pemerintah. Sehinggakan ada pemimpin di dalam parti politik Islam pun menyampaikan sokongan penggunaan kalimah Allah oleh orang Kristian!

Tambahan pula, keputusan yang dibuat oleh tiga orang hakim Mahkamah Rayuan kelmarin telah mendapat reaksi pihak tertentu yang memperkecilkan kredibiliti hakim-hakim yang terlibat. Misalnya, reaksi peguam politik terkenal, Zaid Ibrahim, yang juga terkenal sebagai seorang ahli politik terjun sana terjun sini. Di dalam twitternya, beliau menyifatkan hakim-hakim tersebut seolah-olah telah menjadi pakar teologi Kristian pula untuk menentukan mana yang penting dan mana yang tidak dalam agama terbabit. Bagaimanapun, pandangan Zaid sememangnya satu pandangan yang boleh diramal kerana beliau ialah antara tokoh politik yang agak lebih ‘terbuka’ dalam soal-soal berkaitan agama Islam.

Pada masa yang sama, media arus perdana tempatan turut serta menghangatkan lagi suhu politik tempatan dengan menghentam PAS kerana kurang vokal dalam isu kalimah Allah. Hal ini seolah-olah bagi mengakuri tuntutan tahaluf siyasi yang menjadi tunjang kepada hubungan parti Islam terbabit dengan dua parti tunjang Pakatan Rakyat dalam rangka untuk mengalahkan kerajaan yang ditunjangi BN. Ramai yang mempersoalkan ke manakah perginya taring PAS dalam menghadapi isu yang sangat-sangat kritikal membabitkan kesucian Islam. Sedangkan, asal kewujudan parti Islam terbabit yang mempunyai matlamat menjadikan negara Malaysia sebagai negara Islam (baca: Berkebajikan), tetapi kini sering memperlihatkan sisi lain yang tidak menggambarkan matlamat asal iaitu ke arah pembentukkan daulah Islamiyah.

Tiada sebarang tunjuk perasaan yang dibuat bagi menunjukkan sokongan kepada langkah Menteri Dalam Negeri pada ketika itu yang menghalang penerbitan akhbar Kristian menggunakan kalimah Allah. PAS tidak pula bersungguh-sungguh membuat rapat raksasa untuk mengecam tindakan penerbitan Kristian terbabit daripada menggunakan kalimah Allah persis parti terbabit menyertai himpunan BERSIH yang menuntut pembersihan dalam pilihan raya Malaysia atau pelbagai lagi himpunan pembangkang dan antikerajaan yang lain. Malah, kita pun sebenarnya tak nampak akan sebarang himpunan raksasa yang menuntut kepada mempertahankan kesucian Islam sebagaimana yang pernah di lakukan satu ketika dahulu. Adakah matlamat, awlawiyat dan kawaid parti Islam terbabit sudah berubah?

Kalau dahulu, jangan sesekali ada pihak itu menghina Islam dan mereka sanggup menyertai tunjuk perasaan mengutuk, mencerca kebiadaban pihak tertentu yang mempermainkan Islam (contohnya isu karikatur Nabi SAW oleh NSTP), dan suatu ketika, mencerca, mengutuk meluahkan perasaan keinginan pihak Majlis Peguam dalam mewujudkan semacam suruhanjaya agama. Kini, dalam hal yang paling suci dalam agama Islam iaitu nama Tuhan Yang Maha Esa, Yang Satu-satunya Untuk Bergantung Harap, Yang tidak beranak, lagi tidak tidak diperanakkan, dan tiada satu pun yang setara dengan-Nya Yang Maha Esa, tak banyak yang kita dengar daripada mereka. Ironinya ada pimpinan PAS yang menyokong agar kalimah Allah digunakan oleh orang Kristian walaupun sayap ulama dalam PAS sudah menetapkan bahawa tiadalah boleh kalimah Allah sewenang-wenangnya digunakan oleh bukan Islam.

Begitulah antara persoalan demi persoalan yang diutarakan oleh media arus perdana berkaitan isu pendirian PAS terhadap kalimah Allah. PAS kini disifatkan sebagai sangat dingin, tidak sebagaimana respon PAS yang dahulu dalam isu-isu berkaitan Islam. NGO-NGO berkait Melayu/Islam menyelar tindakan PAS yang tidak menunjukkan sebarang respon yang signifikan dalam usaha mempertahankan penggunaan kalimah Allah dalam ruang lingkup Islam sahaja. Dalam himpunan prakeputusan Mahkamah Rayuan pada hari Isnin yang lalu, tiada pun kelihatan kumpulan yang mewakili suara PAS (Nasharuddin Mat Isa tak kira sebab beliau ialah ahli terbuang) untuk memberikan sokongan terhadap usaha kerajaan memastikan agar kalimah Allah tidak digunakan dalam terbitan Kristian Katholik Malaysia, sebagaimana misalnya sokongan terhadap Anwar Ibrahim dalam keputusan Liwat 2.0. Akan tetapi, seandainya kritikan ditujukan kepada PAS, bagaimana pula dengan UMNO yang sebenarnya turut tidak vokal dalam isu yang sama, malah dalam kebanyakkan isu berkaitan Islami?

Kebenarannya, UMNO juga turut tidak menzahirkan sebarang sokongan yang jelas terhadap usaha menidakkan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam sebagaimana yang dilaksanakan oleh NGO-NGO Melayu/Islam yang ada. Malah, diteorikan bahawa kegagalan kedua-dua parti majoriti Melayu/Islam untuk memberikan respon yang bererti kepada isu-isu berkaitan Islam menjadi sebab kewujudan NGO berteras Melayu/Islam yang muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Daripada sudut sejarah, itulah sebenarnya kelakuan UMNO yang agak malu-malu dalam menampilkan diri sebagai pembela agama. Malah, kegagalan UMNO dalam bersikap vokal dalam mempertahankan Islam pada zaman tok kaduk dahululah yang membawa kepada pembentukkan PAS. Jadi, UMNO sebenarnya sejak dahulu lagi tidak lantang mempertahankan Islam secara terang-terangan dan hanya sekadar beretorika, paling pun hanya dalam majlis perhimpunan agungnya sahaja. Sangat jarang sekali UMNO sebagai sebuah parti ke hadapan dalam isu-isu berkaitan dengan Islam walaupun mengaku bahawa mereka berjuang untuk agama, bangsa dan negara.

Kalau hendak diikutkan, 'himpunan sokongan' pada hari Isnin di Istana Kehakiman itu pun tidak menonjolkan parti UMNO sebagai salah satu daripada kumpulan pendesak, maka bagaimana mungkin boleh dikatakan UMNO sebagai pejuang Islam dan turut terlibat secara aktif dalam mempertahankan kalimah Allah? Barangkali UMNO perlu faham faktor pemisahan kuasa antara legislatif, eksekutif dan perjuangan marhaen menyebabkan usaha seorang menteri yang berasal daripada UMNO bukannya usaha parti UMNO secara langsung. Hal ini dikatakan demikian kerana seorang menteri akan dilihat akan bertindak atas kapasiti kerajaan dan bukannya parti. Walaupun pak menteri (daripada UMNO) yang mengusahakan halangan terhadap pihak Kristian Katholik untuk tidak menggunakan kalimah Allah dalam terbitan mereka, usaha itu sebenarnya hanya dapat dilihat atas kapasiti beliau sebagai seorang menteri dan anggota kerajaan, dan bukannya sebagai ahli parti UMNO.

Perkara ini nampak remeh namun itulah hakikatnya yang harus difahami oleh UMNO sendiri dan media-media arus perdana yang menyokongnya. Dalam menuju era politik yang lebih matang, tindakan seseorang menteri atau kerajaan tidak harus dilihat sebagai tindakan atas kapasiti parti walaupun menteri itu seorang ahli parti. Tambahan pula, hanya menteri-menteri sahaja yang diangkat sebagai satu-satunya yang berusaha dalam konteks isu kalimah Allah ini tanpa ditonjolkan iltizam yang berterusan daripada pihak kepimpinan dan ahli lain dalam UMNO hanya menunjukkan usaha itu ialah usaha sang menteri sahaja. Tindakan tuntutan UMNO dalam isu kalimah Allah langsung tidak tergambar dalam usaha mereka yang berterusan dan masih menyandarkan kepada situasi sebab menteri orang UMNO, dikira sebagai suara UMNO. Oleh sebab itu, tidak hairanlah sekiranya ada di kalangan ahli akar umbi yang mendakwa UMNO semakin kurang singnifikan dalam menjuarai isu-isu penting seperti agama Islam dan bangsa Melayu. Kedua-dua perkara ini banyak ditunjangi oleh usaha berpuluh-puluh NGO yang ditubuhkan untuk memperjuangkan isu-isu sebegini sedangkan pada masa 'kegemilangannya,' UMNOlah tunjang utama mempertahankan ketuanan Melayu.

Ke manakah perginya pemimpin UMNO yang lantang bersuara dalam isu berkaitan kalimah Allah ini. Di manakah suara-suara tegas yang bukan sahaja dizahirkan sekadar di media massa, namun dengan tindakan konkrit seperti menghantar memorandum, kenyataan resolusi yang tegas kepada pihak gereja dan badan-badan Kristian supaya jangan memanjangkan sama sekali isu ini dan membiarkan status quo dihormati dan dipatuhi demi keharmonian dan keamanan antara kesemua agama dan kaum? Manakah suara ketua pemuda dan pemuda, sebuah jawatan dan sayap parti yang secara tradisinya lantang mengemukakan tuntutan penting yang berkait agama Islam dan orang Melayu.

Bisu?

Pendek katanya, tak perlulah sesiapa pun yang mempersoalkan kenapa PAS tidak sebegitu vokal untuk memperjuangkan isu kalimah Allah kerana sememangnya ada di kalangan 'ulama' PAS (al-maklumlah kesemua ahli PAS ialah ulama, kata salah seorang pemimpin parti tersebut) yang berfatwa bahawa kalimah itu boleh sahaja digunakan oleh orang bukan Islam. Malah, yang perlu dibangkitkan ialah sejauh manakah istiqomahnya UMNO memperjuangkan isu-isu yang penting seperti agama Islam sebagai matlamat penting perjuangannya dan dipertonjolkan kepada umum. Kita perlu ingat, perjuangan itu bukan sekadar dipertontonkan apabila sesama sendiri sahaja, sebaliknya perlulah dizahirkan kepada yang bukan ahli sekali. Hal ini bolehlah dinisbahkan sebagaimana iman yang bukan sahaja setakat pengakuan di hati, dan ucapan di bibir, malah perlu dizahirkan dalam amal perbuatan. Sebaliknya, semakin hari, semakin jelas bahawa iltizam perjuangan berkait Melayu dan Islam hanya tampak diperjuangkan oleh NGO Melayu yang wujud jauh selepas kewujudan UMNO. Pastilah hal ini akan menimbulkan persoalan, sejauh manakah relevennya UMNO dalam memperjuangkan Islam?

Justeru, adakah suara UMNO tentang Islam sudah sepi selama-lamanya?

Monday, October 14, 2013

Wukuf

 

Wukuf di Arafah ialah rukun haji terpenting kerana tanpanya, tidak sah haji seseorang yang berniat untuk menunaikannya di Makkah pada musim haji. Calon haji yang tidak sempat melaksanakannya pada masa dan tempat yang ditetapkan, tidak akan mendapat 'haji' walaupun beliau berjaya memenuhi rukun-rukun dan wajib-wajib haji yang lain sesempurnanya. Sungguhpun yang meninggalkan wukuf itu membayar dam yang ditetapkan kerana meninggalkan amalan itu, pembayaran dam itu tidak dapat menampung kekurangan rukun haji dan calon haji tetap perlu menunaikan hajinya sekali lagi pada tahun yang akan datang.

Sebab itulah kita sering mendengar laporan di televisyen yang menerangkan usaha yang akan dilakukan oleh Tabung Haji untuk sedaya-upaya membawa jemaah Malaysia yang sakit atau telantar tiada daya untuk ke padang Arafah sebelum atau pada 9 Zulhijjah untuk setidak-tidaknya dapat berwukuf kerana amalan ini ialah puncak amalan haji pada tahun tersebut. Hal ini bertepatan dengan hadis Nabi SAW riwayat Abu Daud dan yang lainnya daripada Abdul Rahman bin Ya'mur,

'bahawa Nabi SAW meminta seseorang untuk menyeru, "haji itu ialah Arafah. Barangsiapa yang datang pada malam sebelum terbitnya fajar (10 Zulhijjah), maka dia telah mendapat Arafah." '

Hadis ini sudah cukup menunjukkan pentingnya wukuf di Arafah sambil mengisyaratkan hanya mereka yang dapat wukuf pada tempoh dan tempat yang ditetapkan sahajalah yang akan mendapatkan haji. Masakan tidak, hanya ibadah wukuf sahaja satu rukun yang memerlukan seseorang itu menunaikannya pada waktu yang spesifik iaitu selepas gelincir matahari 9 Zulhijjah sehingga waktu malamnya (i.e. malamm 10 Zulhijjah) dan sekiranya gagal, maka tak hajilah jawabnya calon haji itu!

Bagi mereka yang dipilih sebagai tetamu Allah, sudah tentulah ibadah wukuf ini akan dipenuhi dengan segala bentuk amalan memperingati-Nya dan berdoa kepada-Nya dengan harapan segala permintaan yang dimohon akan dimakbulkan oleh-Nya. Berpakaian serba putih, tanpa ada perbezaan antara yang berada atau yang miskin, yang berpangkat ataupun yang kuli, atau yang berkedudukan atau sekadar orang kebanyakkan, ibadah wukuf sering dianggap sebagai gambaran pada hari Mahsyar kelak semasa semua manusia dihimpunkan di hadapan Allah Taala selepas Hari Qiamat.

Bagi mereka yang masih belum terpilih untuk menunaikan haji, maka biasanya pada permulaan malam 10 Zulhijjah, akan bermulalah tempoh untuk dilafazkan takbir membesar dan memuji Yang Maha Kuasa sebagai simbol peribadatan dan kekerdilan diri. Mereka yang sempat berniat berpuasa sunat dan berpuasa pada siangnya (9 Zulhijjah), maka mereka telah menjalankan satu sunnah yang pernah disarankan oleh Nabi SAW. Namun, sekiranya tidak sempat/dapat berbuat itu, maka laksanakanlah yang masih boleh dibuat. Apatah lagi kesunnahan bertakbir Aidil Adha selepas sembahyang, berlangsung paling kurang selama empat hari selepas hari wukuf.

Dan esok, umat Islam akan menyambut Aidil Adha, salah satu daripada dua hari raya yang disyariatkan. Haiwan korban akan ditumbangkan dan gotong-royong akan dilaksanakan. Umat Islam yang memerlukan akan dicukupkan dengan daging korban yang akan diagihkan kepada mereka sebagai pengubat duka pada hari raya. Pengorban-pengorban pula mengharapkan penghampiran diri dan ketaqwaan kepada Rabbnya dengan harapan amalan mereka akan diterima.

Dalam konteks umat Islam Malaysia pula, hari wukuf tahun ini memberikan satu lagi sebab kepada kesyukuran kerana buat masa ini, kalimah Allah masih terpelihara untuk mereka dan tidak boleh diseleweng guna oleh agama lain untuk diertikan sebagai Tuhan bagi agama mereka. Mahkamah Rayuan melalui tiga orang hakimnya telah menetapkan bahawa kalimah Allah tidak dibenarkan untuk digunakan dalam terbitan Kristian Katholik di Malaysia. Sebelum ini, pelbagai usaha yang telah dibuat oleh bukan Islam untuk mengelirukan masyarakat terhadap penggunaan kalimah tersebut dalam terbitan akhbar mereka sedangkan tiadalah di dalam dunia ini, negara majoriti Kristian yang berkenan hendak menterjemahkan tuhan sebagai Allah. Maka apa ke halnya pihak gereja Malaysia berkeras mahu menggunakan Allah sebagai ganti nama bagi tuhan mereka?

Tampak sekali agenda pluralisme yang cuba disemai dalam masyarakat Malaysia dalam usaha menyamaratakan ehwal keagamaan di Malaysia sedang giat dilancarkan oleh golongan-golongan tertentu. Walhal, telah terpahat dalam perlembagaan persekutuan klausa agama Islam sebagai agama Persekutuan. Sepatutnya, asas itu mesti dihormati dan diakuri oleh setiap rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama kerana kewujudan negara bangsa adalah berpaksi kepada Perlembagaan Malaysia. Sebaliknya, perlembagaan itu sekadar diwar-warkan apabila sesuatu perkara yang hendak dituntut itu selari dengan matlamat sendiri sahaja.

Pihak tersebut mungkin tidak akan berhenti setakat di situ sahaja. Mereka mungkin akan merayu, dan akan terus merayu ke mahkamah yang lebih tinggi lagi (selagi ada mahkamah) dan berhelah dalam usaha menjayakan agenda mengelirukan rakyat Malaysia. Jelas mereka mempunyai pengaruh politik untuk cuba membawakan isu ini agar dijadikan sebagai kaedah memancing undi bukan Islam dan memperlihatkan kononnya kerajaan Malaysia jumud dan tidak adil. Itulah hakikatnya yang sedang dihadapi oleh umat Islam kini.

Justeru, pada hari wukuf ini, tatkala saudara-saudara Muslim seagama sedang menunaikan amalan terpenting dalam ibadah haji, ada eloknya kita yang tak pergi haji ini bermuhasabah dan mengambil iktibar daripada ibada wukuf itu sendiri. Jutaan umat Islam tanpa mengira mazhab, keturunan, harta kekayaan, aliran politik, geografi kedudukan, sedang bersatu berhimpun di padang yang sama dalam rangka beribadah kepada Tuhan Yang Satu. Maka alangkah eloknya semangat dan roh sedemikian dapat ditanamkan ke hati sanubari umat Islam Malaysia; dalam mempertahankan akidah yang sama!

Monday, October 7, 2013

Risalah Tauhid

 

Selain daripada Idaman Penuntut, nama Abdul Ghani Yahya turut muncul dalam sebuah lagi kitab bertajuk Risalah At-Tauhid yang digunakan sebagai salah satu daripada teks rujukan untuk sistem persekolahan agama Kerajaan Johor bersama-sama seorang lagi nama penyusun iaitu Omar Yusof. Kitab ini merupakan suntingan kepada terjemahan asal oleh Yang Dipertua Jabatan Agama Johor Dato' Abdullah Abdul Rahman daripada sebuah kitab tauhid dari Mesir. Matlamat asal penyuntingan semula kitab ini oleh kedua-dua penyunting/penyusun ialah untuk menambahbaikkan aspek bahasa Melayu dalam naskhah terjemahan asal yang telah digunakan sebagai silibus pengajaran dan pembelajaran tauhid sejak tahun 1907. Susunan/suntingan baru telah diterbitkan pada 1953 sebagai membaiki jalan bahasa yang digunakan agar lebih mirip kepada lenggok bahasa Melayu dalam tulisan jawi.

Kini, kitab ini telah diterbitkan oleh Al-Hidayah Publications dengan alih tulisan daripada jawi ke rumi dan setidak-tidaknya telah diulang cetak semula pada 2012. Dalam konteks makalah ini juga, penulis merujuk kepada edisi rumi Al-Hidayah terbabit dalam mengulas isi kandungannya.

 

Gambar Muka Hadapan Kitab Risalah At-Tauhid Al-Hidayah Publication

 

 

Secara umumnya, Risalah At-Tauhid ialah sebuah kitab yang membincangkan akidah Asya’riyah dan Al-Maturidiyah yang lebih mudah dicirikan sebagai iktikad sifat 20. Sesuai dengan doktrin Asya’riyah dan Al-Maturidiyah, hampir separuh daripada kandungan di dalam kitab ini membahaskan tentang sifat wajib, pembahagian sifat-sifat tersebut dan selebihnya berkaitan rukun-rukun iman yang lain. Topik-topik berkaitan sifat Allah meliputi sifat 20 yang wajib dan mustahil, sifat harus, sifat nafsiyah, salbiyah, maa'ni dan maknawiyah, sifat taa'luk dan dua kategori sifat istighna dan sifat iftiqar.

Kesemua topik-topik berkaitan sifat Allah dan rukun-rukun iman yang lain akan disimpulkan sebagai akaidul iman yang terkandung dalam kalimah 'la ilahaillallah Muhammad ar-rasulullah' dengan paling sedikit iaitu 50 dan paling banyak iaitu 68. Sebab itulah juga antara gelaran yang diberikan kepada iktikad ini ialah Tauhid 50 atau Tauhid 68. Dan sebagai maklumat tambahan, kesemua pelajaran yang wujud dalam Risalah At-Tauhid masih lagi menjadi topik-topik pengajaran dalam silibus baru sepanjang pembelajaran penulis dalam sistem sekolah agama Kerajaan Johor daripada tahun 1994 hingga tahun 2000.

Kebanyakan topik-topik awal di dalam perbahasan sifat 20 sebenarnya masih mudah dihadam sehinggalah pelajar berhadapan dengan persoalan taaluk sifat Allah. Perbincangan topik ini memerlukan seseorang itu benar-benar memahami konsep taaluk sifat Allah yang agak samar. Penulis harus akui cabaran aqliah untuk memahami konsep taaluk ini semasa belajar dan sehingga kini pun penulis masih kurang jelas tentang natijahnya.

Kewujudan konsep Al-Uluhiyah dalam perbincangan Risalah At-Tauhid meletakkannya sebagai iktikad hibrid dengan jalur Salafi/Wahabi. Kumpulan Salafi/Wahabi mempunyai tiga konsep tauhid yang dianuti dan salah satunya ialah Tauhid Al-Uluhiyah. Dua lagi konsep tauhid ialah Tauhid Ar-Rububiyah dan Tauhid Al-Asma wa Al-Saffat. Seingat penulis, ketiga-tiga pembahagian tauhid itu turut disentuh dalam pembelajaran subjek Tauhid semasa penulis masih bersekolah di sekolah agama, namun apa yang penulis faham ialah konsep Al-Asma Wa Al-Saffat Al-Asya’riyah/Al-Maturidiyah berbeza dengan Salafiyah/Wahabiyah.

Apa yang difahami tentang Al-Asma wa Al-Saffat dalam konteks Al-Asya’riyah/Al-Maturidiyah ialah persoalan-persoalan sifat 20 dan huraian panjang lebar tentangnya (sifat salbiyah, taaluk dsb), dan nama-nama Allah yang 99 sebagaimana tersenarai dalam hadis riwayat Tirmizi. Sementara itu, kumpulan Salafiyah/Wahabiyah tidak dapat menerima bahawa sifat yang wajib bagi Allah itu hanya 20, mendakwa bahawa sifat wajib 20 walaupun mempunyai asas pendalilan daripada Al-Quran, namun konsepnya lebih kepada mantik/akal, dan enggan memuktamadkan senarai 99 nama Allah menurut apa yang disebutkan dalam riwayat At-Tirmizi; kerana mendakwa hadis berkenaannya ialah hadis dhaif.

Kitab Risalah At-Tauhid turut mengemukakan pendapat yang agak bertentangan dengan iktikad masyhur bagi Asya’riyah/Maturidiyah pada sifat Allah yang disebut dalam Al-Quran yang mempunyai maksud yang sama dengan anggota manusia, misalnya tangan dan muka. Khusus bagi kedua-dua anggota tadi, kitab ini menyatakan terdapat dua pendapat berkenaannya dalam topik perbahasan mukhalafatuhu taala lilhawadis (m.s. 31-32). Pertama ialah pendapat ulama mutaqaddimin (sahabat, tabiin dan tabi at-tabiin) yang beriktikad bahawa kedua-duanya sabit secara yang layak kepada Allah, mensucikan Allah daripada sifat yang baharu dan menyerahkannya kepada pengetahuan Allah jua tentang bagaimanakah ia. Pendapat kedua ialah pendapat ulama mutaakhirin dengan mentakwilkan sifat tersebut kepada maksud lain, misalnya tangan ditakwilkan sebagai kuasa Allah. Kitab ini menyatakan bahawa pandangan mutaqaddiminlah yang lebih selamat (i.e. sentosa).

Pandangan yang mengisyaratkan bahawa kaedah mutaqaddimin lebih baik, jelas bertentangan dengan pendapat masyhur pendukung Asya’riyah/Maturidiyah yang sering menggunakan kaedah mentakwil sifat-sifat anggota bagi Allah kepada maksud yang lain. Dalam pendapat yang masyhur di kalangan mereka yang mengaku berpegang kepada Asya’riyah/Maturidiyah, mengatakan 'tangan Allah' sebagai tangan Allah telah menjisimkan dan menyamakan Allah dengan makhluk, sekali gus bersalahan dengan sifat mukhalafatuhu taala lil hawadis (bersalahan Allah dengan makhluk). Sebab itulah mereka lebih gemar mentakwilkan tangan Allah dengan 'kuasa Allah' supaya penyamaan sifat Allah dengan makhluk-Nya tidak berlaku.

Oleh hal yang demikian, bolehkah dikatakan walaupun isi kitab Risalah Tauhid ialah cenderung kepada pandangan Asya’riyah/Maturidiyah dalam soal sifat Allah, pengaruh fahaman lain yang mengunggulkan pemikiran Salaf tetap ada, kalaupun tidak semua. Penulis kurang arif tentang pembelajaran subjek Tauhid sebelum silibus baharu diperkenalkan pada 1994. Tetapi pada hemat penulis, sekiranya hanya isi kitab ini sahaja yang digunakan sepenuhnya dalam pembelajaran ilmu tauhid sehingga Darjah Khas, nescaya silibus yang penulis gunakan itu lebih lengkap kerana ditambahi dengan topik-topik tentang sejarah dan ciri-ciri ajaran sesat dan mengelirukan seperti Syiah, Khawarij dan Muktazilah, ajaran Bahaiyah, Ahmadaniyah dan lain-lain. Topik Syiah misalnya diajar dua kali pada darjah lima dan enam. Selain itu, soal-soal berkenaan takdir As-sami'yat, Rasul, Kitab, akhirat, juga mempunyai ulasan yang lebih panjang.

Bagaimanapun, hal ini sama sekali tidak mengurangkan kelebihan Risalah At-Tauhid sebagai rujukan penting dalam ilmu berkaitan dengan akidah. Pembaikan bahasa yang dijadikan sebagai matlamat utama tampak tercapai, walaupun perlu diakui juga, mungkin boleh diperbaik lagi. Potensi menjadikannya sebuah kitab yang lebih baik boleh dibuat dengan menambahkan syarah atau penerangan yang releven pada topik-topik yang mencabar pemikiran dan pemahaman. Paling istimewa ialah dengan teks sedia ada, perkaitan antara akaid 50 dan 68 sebenarnya tampak jelas pada penutup kitab bagi menjelaskan kalimah la ilaha illallah dan Muhammad Rasulullah sebagai senarai yang perlu diimani oleh seseorang yang mengaku sebagai pendukung fahaman Asya’riyah dan Abu Mansur Al-Maturidi.

Wednesday, October 2, 2013

Sindiran berdesing Al-Ustaz Hanafiah

 

'Mak bapak sekarang ni, balik-balik menyanyi je. Cubalah ajak anak-anak berzikir ke, ini tidak, asyik-asyik nyanyi aje. Dah sekarang ni,

"Aku yang dulu bukanlah yang sekarang,

Dulu ku ditendang, sekarang ku diterajang." '

Personaliti ini agak kerap muncul di televisyen dalam pentas keagamaan dengan forte-nya membincangkan permasalahan sosial yang melanda umat Islam. Isu-isu seperti remaja mengandung anak luar nikah, pergaulan seks bebas, pelacuran, penagihan dadah dan keruntuhan akhlak sememangnya banyak meniti di bibirnya. Pendek katanya beliau bolehlah dinisbahkan sebagai pegawai D7 PDRM kerana usaha dakwah beliau lebih terarah kepada sasaran divisyen terbabit. Malah, beliau turut terlibat dalam usaha dakwah di pedalaman Malaysia dalam rangka penyebaran agama Islam dan turut menyelitkan pengalamannya itu dalam kuliah-kuliahnya.

Penulis perlu akui amat jarang berkesempatan mengikuti penyampaian Ustaz Hanafiah Abd Malek. Namun, acap kali berkesempatan menontonnya, penulis dapati ada keistimewaan tersendiri yang dipamerkan olehnya. Walaupun perlu diakui penyampaiannya bukanlah penuh dengan patah-patah Al-Quran dan Al-Hadis setiap saat dan ketika, atau begitu banyak diselitkan dengan pendapat-pendapat ulama besar, isu yang diketengahkan oleh beliau cukup dekat dengan masyarakat Melayu/Islam di Malaysia. Kebejatan sosial di kalangan ummah bukanlah satu perkara yang baru dan penyelesaiannya sangat didambakan oleh umat Islam. Usaha beliau dalam menangani permasalahan ini merupakan satu usaha yang cukup mulia apatah lagi beliau sendiri turut turun padang bagi memahami masalah tersebut secara terus.

Dalam siri Al-Kuliyyah yang terakhir yang ditayangkan untuk tahun ini (menurut pengacaranya), Ustaz Hanafiah dijemput bagi memperihalkan dosa-dosa kering dan pastinya beliau turut mengulas tentang kelakuan remaja Muslim masa kini. Penulis tertarik dengan dua perkara yang beliau bangkitkan berkenaan topik tersebut.

Pertamanya ialah betapa pengakuannya yang sungguhpun beliau bukanlah al-ustaz penuh dengan ilmu syariah sebagaimana ustaz-ustazah yang lain (dan beliau sendiri mengakui bahawa mereka yang lain itu lebih tinggi taraf keilmuannya dan beliau memuliakan mereka), beliau tetap telah menjalankan tanggungjawab untuk berdakwah dan melaksanakan amat makruf nahi mungkar. Dengan pengakuan dan ayat-ayat seumpama itu, seolah-olah ada isi tersirat yang cuba disampaikan iaitu soal tanggungjawab dakwah sehingga ke tahap akar umbi. Misalnya beliau terlibat untuk ke lorong-lorong gelap tempat wanita melacurkan diri mereka untuk mendapatkan sumber pendapatan, dan ke kawasan pedalaman dalam rangka usaha dakwah kepada mereka yang tinggal di sanasampaikan rombongannya tersekat dek segerombolan babi di dalam hutan. Secara berlapik, beliau sebenarnya membangkitkan isu berkenaan gerak kerja dakwah ke peringkat yang lebih rendah iaitu secara langsung kepada subjek sasaran.

Hal ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sebetulnya rakyat pun boleh tertanya-tanya mengapakah kebejatan sosial dalam masyarakat Islam itu berterusan dengan fitnah yang hadir daripada segala penjuru alam. Mengapakah pula masih berlaku gejala murtad di kalangan orang yang sedia lahir dalam Islam ataupun mereka yang baharu sahaja masuk Islam. Sedangkan penstrukturan Jabatan Agama negara ini bolehkah dianggap sebagai sangat-sangat baik dan sepadanlah dengan imej negara yang menproklamasikan dirinya sebagai negara Islam. Ustaz-ustaz pendakwah bebas kita pula pada masa sekarang ini pun merupakan ikon selebriti yang cukup dikenali dan dihormati sehingga tak menang tangan untuk memenuhi undangan ceramah, kuliah dan sesi soal jawab. Mereka kini hadir ke majlis-majlis kuliah setidak-tidaknya dengan kenderaan yang cukup sempurna, kalau pun bukan yang mewah; namun jauh sekali memandu kereta capuk bercap Datsun dengan enjin meragam yang boleh kedengaran berbatu jauhnya. Meskipun begitu, mengapakah masih wujud dan berterusan gejala negatif sosial di kalangan umat Islam masa kini sedangkan kalau masa program ustaz-ustaz sebegini diadakan, penuh sampai ke luar masjid gamaknya orang hendak mendengar pelajaran!

Syiar agama tidak pernah dilarang dalam Malaysia, malah menerima bantuan daripada pihak kerajaan pula. Ustaz-ustaz selebriti sebegini begitu diraikan lantaran keilmuan mereka dan cara penyampaian yang memikat atau memberikan motivasi kepada penonton yang hadir dengan penuh berkarisma, maka sukar sangatkah untuk berdakwah kepada orang asli, mat rempit, kupu-kupu malam dan penagih tegar? Bukanlah penulis mahu mengangkat setinggi-tingginya Ustaz Hanafiah kerana berpeluang melaksanakan usaha-usaha terbabit, maklumlah tiada lagi insan yang maksum selepas kewafatan Nabi SAW. Cuma usaha dakwah dan tarbiyah seumpama itu sebenarnya amat jarang diangkat sebagai model dan tugasan yang perlu dibanggakan dan dituruti.

Paling habis pun ustaz selebriti sekarang ini, buat sesi soal jawab spontan, bagi jawapan, solek sikit jawapan itu dengan lawak jenaka, biar jemaah ketawa sambil menunggu punch line-nya, lalu tergelak besar. Dan apabila pulang ke rumah, akan terkeluarlah daripada mulut jemaah tadi, 'Ustaz tadi best la. Power giler, kelakar betul,' sedangkan ilmu dan dakwahnya tak diingat langsung! Sejak bila pula tugas ustaz-ustazah ialah sebagai menghiburkan orang ramai dengan gelak-tawa komedi?

Jarang sangat kita dapat menonton siri ustaz menyebu kelab malam, menegur anak muda Muslim remaja yang terpesong pegangan hidupnya sehingga menjadikan arak sebagai minuman harian, dadah sebagai makanan harian dan seks bebas sebagai mainan harian. Sedangkan sepatutnya penonton kepada pendakwah hebat bukan sahaja mereka yang datang ke masjid atau yang menonton mereka media massa, sebaliknya harus melibatkan mereka yang tak pernah menjejak kaki ke rumah Allah, tidak pernah berdiri di tikar sembahyang dan asyik dan bergembira di rumah syaitan.

Isu kedua yang dibangkitkan oleh Al-Fadhil Ustaz dalam sesi Al-Kuliyyah itu menyentuh berkenaan minat ibu bapa sekarang agar anak-anak mereka berhibur dengan menyanyi. Walaupun Ustaz Hanafiah hanya menyanyikan parodi bait-bait lagu itu, majoriti penonton boleh agak lagu apa dan siapa yang menyanyikannya. Justeru beliau menyeru agar ibu bapa berubah dengan menerapkan pendekatan zikir, agar si anak lebih mengingati Allah sebagai alternatif kepada sekadar menyanyi. Walaupun beliau hanya menyentuh hal ini sekali lalu sahaja, makna tersirat sebenarnya boleh dicerap.

Dunia hiburan terlalu berlebihan sehinggakan anak-anak pun dimasukkan dalam bidang ini. Mereka menjadi selebriti dan menjalani kehidupan sebagai artis dan memenuhi undangan hiburan, sama ada menyanyi mahupun berlakon ke serata ceruk negara. Golongan artis cilik ini biasanya akan memperoleh pendapatan yang lumayan dan mampu menyara keluarga pula. Akan tetapi, apabila terjun ke dalam bidang hiburan seawal usia, risiko mereka terjebak dengan permasalahan dalam bidang hiburan turut tinggi. Contoh Hollywood sangat sesuai apabila kita dapat melihat bukan satu dua artis yang bermula pada awal usia, namun menimbulkan masalah besar kepada diri sendiri dan keluarga tatkala menginjak usia dewasa. Ada di kalangan selebriti cilik yang apabila sudah menjadi dewasa, merasakan dirinya dipergunakan oleh ibu bapanya pada ketika kecil lalubertindak untuk 'bercerai' daripada ibu bapanya. Sudah tentulah hal ini akan menyebabkan keruntuhan sebuah keluarga.

Selain itu, ibu bapa sekarang turut terlibat mempromosikan kanak-kanak sebagai artis dan hal ini boleh dilihat dalam stesen televisyen dan radio (pekerja stesen tv juga banyaknya berpangkat ibu bapa). Mereka cukup pantas mengambil peluang, misalnya penyanyi cilik Indonesia untuk dipasarkan di Malaysia, malah memberikan masa yang seluas-luasnya kepada penyanyi cilik terbabit untuk mempromosi diri. Pada masa yang sama, tindakan sebegini seolah-olah memberikan galakan kepada anak-anak supaya mereka mengikuti jejak langkah budak itu untuk menjadi selebriti dan menyara keluarga. Al-maklumlah, kalau dahulu belajar di sekolah pun tak mampu, sekarang ini nak belajar di sekolah pun dah tak sempat.

Kesannya ialah penghasilan generasi anak muda yang lebih berminat untuk menceburi bidang hiburan berbanding bidang lain yang diperlukan bangsa. Misalnya, ada artis-artis remaja yang rela menghadiri majlis berkaitan hiburan atas pelbagai alasan, berbanding lebih menumpukan pembelajaran; walaupun pada ketika itu mereka sedang berada dalam musim peperiksaan utama. Adakah suatu hari nanti, apabila dirinya sudah tidak lagi laku dan menghadapi pelbagai krisis sementelah usia semakin tua, mereka akan mengeluarkan kenyataan klise bahawa mereka tidak lagi dihargai oleh peminat seni, setelah sudah mengorbankan diri untuk menghiburkan orang lain? Kita bukanlah bersikap kejam terhadap penggiat hiburan yang sudah senior namun, pada hakikatnya perjuangan seni itu hanya berlaku sekiranya kita laku. Suatu masa, yang dipuja barangkali akan ditinggalkan. Pada ketika itu, janganlah menyalahkan orang lain pula kalau masa itu bukan lagi masa untuknya.

Tambahan pula, keperluan pemuda harapan bangsa yang menggalas tanggungjawab dalam bidang yang kritikal namun masih mengekalkan paksi agama semakin mendesak. Namun, usaha-usaha tersebut sekadar dipromosikan secara bermusim sahaja, tidak seperti program hiburan yang sentiasa berterusan sepanjang tahun, dua puluh empat, tujuh. Dicampur lagi, dengan kepesatan teknologi komunikasi dan maklumat dan gajet-gajet terkini yang sentiasa berubah, anak-anak muda masa kini lebih terdedah dengan gejala hedonisme bagi memenuhi kehendak kendiri. Agenda dakwah dan tarbiyah yang boleh mengeksploitasikan penggunaan internet kini bersaing sengit dengan pelbagai genre lain seperti hiburan nyanyian yang turut mendapat perhatian pelayar-pelayarnya, dan akhirnya yang akan lebih dominan mendapat sambutan tentulah yang bukan berkaitan agama. Kesannya, penyanyi-penyanyi baru mungkin akan dapat dilahirkan setiap hari namun, doktor yang hafiz, jurutera yang faqih atau setidak-tidaknya ahli politik yang berintegriti pun belum tentu mampu dilahirkan setiap tahun.

Justeru, peringatan yang disampaikan oleh Ustaz Hanafiah bolehlah diibaratkan sebagai kejutan kepada kumpulan sasar daripada para dai' dan para ibu bapa untuk menghalusi semula peranan mereka dalam mempertahankan kelangsungan masyarakat Islam di Malaysia. Sesungguhnya menyeru kepada makruf dan mencegah kemungkaran ialah tugas yang harus dipikul oleh setiap orang dalam komuniti Islami namun, siapakah lagi yang seharusnya menunjukkan uswatun hasanah kepada orang ramai dan anak-anak kalau bukan al-ustaz-ustazah dan ibu bapa? Ditambah pula dengan pelbagai lagi ujian dan cabaran yang melanda umat Islam di seluruh pelusok dunia yang menuntut ulama dan ibu bapa melaksanakan tanggungjawab mereka dalam rangka dakwah yang mampu memastikan syiar Islam terpelihara.

Untuk mereka yang bergelar ulama, kurangkanlah perbalahan hanya kerana perbezaan ideologi politik dan turunlah ke bawah bersama-sama umat, bukan sekadar di masjid-masjid dan majlis-majlis ekslusif sahaja. Dan untuk ibu bapa, memang berhibur itu dapat mengurangkan tekanan anak-anak dan barangkali boleh dijadikan sebagai punca rezeki keluarga, namun sedarlah bahawa umat masa kini terlalu dahagakan generasi Al-Quran yang mampu memberikan manfaat sejagat dan meraih kebaikkan duniawi dan ukhrawi.

Monday, September 30, 2013

Idaman Penuntut

 

Tatkala penulis melihat-lihat judul buku-buku yang dijual di Badan Cemerlang yang terletak di Plaza Angsana, penulis terpandang tiga jilid buku yang relatifnya lebih nipis berbanding buku-buku yang lain sekitarnya. Tambah menarik, buku-buku tersebut bersaiz lebih kurang A4, satu saiz yang amat jarang bagi buku-buku terkini dengan kulit nipis. Penulis menatap sungguh-sungguh kulit buku tersebut sambil terasa sangat teruja dengan apa yang sedang penulis pegang. Dua daripadanya bertulisan rumi sementara satu lagi bertulisan jawi. Memang tidak salah lagi, ketiga-tiganya ialah susunan penulis yang sama iaitu Al-ustaz Abdul Ghani Yahya. Ketiga-tiga naskhah tersebut ialah siri Ilmu Fiqh yang dinamai Idaman Penuntut pada Menghuraikan yang Kusut.

Penulis harus akui tidak banyak yang penulis tahu tentang penyusun atau pengarang kitab terbabit selain daripada apa yang tercatat di Pendahuluan. Setidak-tidaknya, apa yang penulis difahamkan ialah beliau ialah seorang guru agama dan terlibat dalam penyusunan silibus pembelajaran sekolah agama dalam sistem persekolahan agama Kerajaan Johor suatu ketika dahulu. Atas permintaan anak-anak muridnya, beliau menyusun kitab Idaman Penuntut ini sebagai rujukan pelajaran ilmu fiqah kepada pelajar-pelajar terutamanya yang berada antara Darjah 4 hingga Darjah Khas sekolah agama Kerajaan Johor. Hasrat yang disampaikan bermula selepas beliau berpencen pada 1967 dan hanya mula direalisasikan pada akhir 1982. Jilid pertama bagi siri kitab ini diterbitkan pada April 1983 dengan penekanan terhadap topik-topik Ibadah dengan topik pertama ialah tentang bersuci dan topik terakhir berkenaan makanan. Bolehlah dikatakan jilid pertama meliputi kesemua pelajaran berkenaan ibadah fardhu ain meliputi sembahyang, puasa, jenazah, zakat, dan haji dan umrah.

Jilid kedua pula menyusul dengan topik-topik yang berkaitan dengan dua bidang fiqah iaitu muamalat dan munakahat sementara jilid ketiga menyentuh topik-topik berkenaan faraidh dan jenayah Islam. Oleh hal yang demikan, ketiga-tiga jilid bagi siri ini menyentuh segenap perbincangan tentang fiqah Islami. Edisi awal ketiga-tiga jilid ialah dalam tulisan jawi sebelum pada masa kini, sekurang-kurangnya dua jilid terawal dialihtulisankan kepada tulisan rumi. Penyusun/pengarang kitab tersebut ada menyatakan bahawa rujukan utamanya dalam penyusunan kitab itu ialah Matla'al Badrain, Al-Baijuri dan Bujairimi Iqna' yang masing-masing merupakan naskhah-naskhah lama yang cukup diraikan dalam pengajian agama sama ada formal mahupun tidak formal. Kitab-kitab rujukan itu, sungguhpun cukup berjasa dalam pengajian Islam dalam masyarakat Melayu/Islam di Malaysia dan Kepulauan Melayu, jelas mempunyai laras bahasa yang agak keterbelakang berbanding Bahasa Melayu terkini selain susunan berbentuk satu perenggan berterusan yang hanya dipisahkan dengan penanda wacana.

Oleh sebab itu, penyusunan Idaman Penuntut memudahkan orang ramai, terutamanya pelajar sekolah agama Kerajaan Johor untuk menelaah pelajaran fiqah yang menjadi subjek-subjek teras bermula Darjah empat hingga Darjah Khas. Sekadar berkongsi pengalaman sendiri, pembelajaran fiqah di sekolah agama Kerajaan Johor meliputi lima mata pelajaran iaitu Ibadat, Muamalat, Munakahat, Faraidh dan Jenayat. Sebelum zaman penulis, kitab seperti Matla'al Badrain masih lagi menjadi pilihan rujukan bagi tenaga pengajar sekolah agama walaupun kitab/risalah khas untuk setiap subjek sudah disediakan oleh pihak Jabatan Agama Johor. Jadi, Idaman Penuntut memudahkan pelajar (tidak kurang guru juga) membuat rujukan fiqah lantaran susunannya lebih sistematik, dihadirkan dalam bentuk tajuk besar, tajuk kecil dan poin-poin yang memudahkan rujukan pembaca. Kewujudan edisi rumi tambah memudahkan lagi pembacaan penelaah yang tidak begitu fasih membaca jawi.

Idaman Penuntut Jld 1

 

Secara umumnya pula, Idaman Penuntut ialah sejenis kitab fiqah Mazhab Syafie sesuai dengan suasana dan keadaan masyarakat Islam Malaysia. Dari hal itu, pembaca yang berpegang pada mazhab itu tidak banyak menemui pandangan yang bertentangan dengan pegangan masyhur Mazhab Syafie di Kepulauan Melayu (seperti mughalazahnya seluruh babi, anjing dan kacukan mereka berdua, sunatnya qunut Subuh dan talkin mayat). Pun begitu, pandangan penyusun seperti tidak wajar menambahkan perkataan Saidina semasa berselawat kepada Nabi selepas tahiyat akhir (jilid 1, nota kaki 1., m.s. 27) dan membidaahkan orang datang berkumpul untuk jamuan makan di rumah si mati (jilid 1, m.s. 63) memperlihatkan sedikit sisi perbezaan pendapatnya berbanding dengan amalan dan kepercayaan tradisional yang didakwa sebagai pandangan Mazhab Syafie yang masyhur.

Dan daripada segi pendalilan, jelas sekali pengarangnya sangat bergantung kepada tiga sumber rujukan utama sambil kadang-kala membandingkan kewujudan perbezaan pendapat antara ketiga-tiga kitab itu. Misalnya dalam persoalan ungkapan Saidina dalam selawat tadi, beliau mengutarakan pendapat bagi kedua-dua kitab rujukannya iaitu Al-Baijuri dan Bujairimi Iqna', lalu mengunggulkan isyarat daripada Bujairimi Iqna' untuk tidak menambah kalimah tersebut semasa selawat dalam sembahyang. Akan tetapi, beliau berdiplomasi dengan menjelaskan kesetujuannya agar perkataan Saidina ditambah dalam selawat di luar sembahyang. Dalam banyak keadaan, pengarang memberikan pendalilan terhadap sebarang rukun, jenis dan syarat namun bukan kesemua perkara diberikan dalilnya. Matlamat penulisan kitab ini pun lebih kepada memenuhi tuntutan pelajaran sekolah agama, jadi pengisiannya jelas cukup sesuai untuk peringkat asas pengenalan fiqah.

Secara keseluruhannya, harapan penyusunan kitab bagi memudahkan pelajar untuk menelaah ilmu asas fiqah bolehlah dikatakan tercapai dengan pembaikan kepada gaya bahasa yang lebih mudah difahami. Tambahan pula bilangan muka suratnya yang tidak tebal cukup ideal memudahkan pembelajaran isi-isi penting berkaitan ibadat, muamalat, jenayat, faraidh dan munakahat. Sungguh pun diterbitkan pada 1984, ciri-ciri seperti menonjolkan pandangan daripada kitab-kitab fiqah melayu klasik/semiklasik cukup membuatkan Idaman Penuntut seperti ringkasan atau penerangan ringkas ilmu yang terkandung dalam kitab Melayu klasik/semiklasik. Bagaimanapun, untuk mengangkatnya sebagai kitab fiqah yang benar-benar lengkap dengan pendalilan dan ulasan panjang lebar mengenai fiqah Mazhab Syafie mungkin menuntut syarah/ulasan dibuat terhadap teks asalnya. Atau kitab ini perlu dijadikan teks pengkuliahan di majlis-majlis ilmu seperti di masjid-masjid agar penerangan yang lebih konprehensif dapat diberikan oleh tok-tok guru yang mengkuliahkannya.

Apa pun, perkara ini tidak sama sekali menafikan keistimewaan Idaman Penuntut sebagai kitab-kitab rujukan untuk ilmu fiqah permulaan yang sewajarnya diketahui oleh setiap umat Islam. Sekurang-kurangnya, kitab ini menjadi antara rujukan tambahan yang penting bagi kurikulum sekolah agama Kerajaan Johor sehinggalah pada tahun 1994 yang menyaksikan permulaan era baru rujukan rasmi sistem persekolahan tersebut. Dan penulis ketika itu merupakan 'batch' pertama peralihan daripada kitab nipis tanpa sebarang gambar kepada buku teks sederhana tebal yang bergambar hitam putih terbitan Synergymate.

Friday, September 20, 2013

Antara McDonald's, Marlboro dan mamaks

 

Penulis telah menulis secara ekstensif tentang isu halal (boleh klik pada tags Halal, Haram) dan sekali lagi, isu halal kembali bergema dengan syarikat makanan segera yang biasa yang menjadi mangsanya. Bukan sahaja isu halal, McDonald's turut pernah menghadapi isu berkaitan keuntungan syarikat diagih kepada Israel dalam rangka melancarkan serangan dan pembunuhan terhadap umat Islam Palestin.

Mangsa yang sama sering menghadapi tuduhan yang sama saban masa. Barangkali, secara kebetulan juga produk berkait McDonald's seperti minuman Coca Cola turut mendapat tempiasnya.

Biasanya, apabila pertubuhan bukan kerajaan Islami yang menggesa agar umat Islam memboikot jenama-jenama tertentu yang berpusat di Barat, tidak boleh tidak, kedua-dua jenama ini akan muncul sebagai antara yang tersenarai. Puas jugalah bahagian perhubungan awam syarikat terbabit terpaksa memberikan penerangan dan membeli iklan di media massa untuk meyakinkan pelanggan Muslim bahawa mereka menjual produk yang disahkan halal oleh JAKIM dan tidak terlibat dalam pemberian dana kepada pihak Israel. Cuma, daripada satu segi, mereka ialah pemain besar dalam industri, jadi apalah sangat kena jawab persoalan-persoalan sebegitu dan terpaksa melabur jutaan ringgit hanya untuk menerangkan kepada umum yang mereka tak bersalah.

Apa yang agak menghairankan ialah mengapakah pihak penggesa/penekan tidak istiqomah dalam perjuangan mereka untuk menggesa tindakan umat Islam terhadap pihak-pihak lain yang barangkali turut terlibat sama ada dalam isu halal mahupun isu berkait sumbangan dana kepada Israel. Nampak sangat bahawa usaha mereka menumpukan syarikat multinasional yang berpusat di US dan cakupan soal halal lebih tertumpu kepada makanan/minuman mutlak. Bagaimana pula dengan produk seperti tembakau yang jelas turut menjadi penyumbang utama kepada regim Israel? Mengapakah tidak ada gesaan untuk memboikot Phillip Morris dan British American Tobbaco yang menjadi pemilik jenama seperti Marlboro, Sampoerna A, Dunhill dan Benson & Hedges dengan berterusan?

Lebih penting daripada itu, mengapakah badan penggesa ini tidak benar-benar menggesa pengharaman rokok kepada umat Islam atas faktor pembaziran dan menyumbang masalah kesihatan yang kritikal seperti serangan jantung dan kanser paru-paru? Mengapakah mereka tidak begitu agresif membawa perkara ini ke media arus perdana dan mempropagandakannya agar kerajaan dan rakyat menurutinya sebagai satu ketetapan umum? Kita mahukan tindakan yang benar-benar substansial seperti pengkanunan dan penguatkuasaan undang-undang terhadap pengharaman rokok dan bukannya sekadar tersekat di peringkat fatwa negeri sahaja.

Itu isu rokok, bagaimana pula dengan isu halal restoran-restoran yang menghidangkan makanan yang dimakan oleh orang Melayu/Islam sendiri. Restoran sebegini boleh jadi milik orang Melayu/Islam mahupun yang bukan Melayu/Islam. Tanpa mengira genre masakan, sejauh manakah gesaan pihak NGO Islami ini agar kesemua restoran dan kedai makan untuk mendapatkan persijilan halal yang sah daripada JAKIM dan JAIN?

Tidak. Apa yang penulis maksudkan bukan semata-mata kopitiam sahaja sebaliknya meliputi SEMUA genre masakan daripada Melayu, Siam, mamak, Cina, Arab, Korea, Jepun, Amerika Latin, Barat dan lain-lain lagi. Janganlah disebabkan namanya masakan makanan laut ala-Thai, maka mereka diampunkan daripada sebarang gesaan untuk mendapatkan status halal. Janganlah sebab orang Melayu/Islam suka makan di mamak dan mamak pula dikatakan sebagai penyedia makanan India-Muslim, maka mereka dikecualikan daripada keperluan persijilan halal. Berapa banyak restoran mamak (misalnya) yang diserbu oleh JAKIM/JAIN dan dikenakan tindakan kerana menyalahgunakan lambang-lambang yang berkait dengan Islam seperti gambar masjid/Kaabah, Bismillah, ayat-ayat Al-Quran ataupun memperdengarkan pembacaan ayat-ayat Al-Quran! Ada kalanya dapur masakan sesebuah restoran bergelumang dengan serangga kotor dan tikus, sementara pemprosesan bahan mentah yang tidak menepati piawaian kebersihan dan tidak mendapatkan bekalan daripada pihak yang telah disahkan halal!

Pendek kata, setiap gesaan kepada sesuatu entiti yang memberikan perkhidmatan/produk kepada masyarakat, lebih-lebih lagi untuk umat Islam hendaklah dibuat secara istiqomah dan tidak memihak semata-mata hanya disebabkan oleh umum melihatnya sebagai berunsurkan kemelayuan/keislaman. Sudah berkali-kali kita melihat cubaan untuk menjatuhkan kredibiliti si penyedia produk dan perkhidmatan kerana sentimen tertentu, walaupun pihak yang ditekan sudah pun mendapat pengiktirafan halal daripada pihak berwajib. Sedangkan ada pihak lain yang mungkin lebih teruk lagi daripada segi kehalalan dan kebersihan; tetapi terselamat daripada sebarang kecaman atau gesaan sebegitu kerana dihiaskan dengan unsur Melayu/Islam atau mendapat tempat dalam komuniti muslim.

Lebih-lebih lagi, ada produk yang lebih besar kepentingannya kepada umat Islam seperti tembakau (baca: rokok) yang jarang-jarang menerima tekanan sebegitu hebat untuk diharamkan secara mutlak dengan menjadikannya sebagai kesalahan undang-undang syariah. Perkara ini mungkin disebabkan hendak menjaga periuk nasi penanam tembakau atau pak-pak syeikh dan kenalan mereka sendiri yang menghisap rokok.

Ikhlaskanlah diri kita untuk menuntut yang halal dan janganlah perkiraan itu dibuat atas nama jenama sahaja. Kalau takut sangat status halal ke tidak, sampai tahap nak uji molekul babi, silalah tanam sendiri, ternak sendiri, sembelih sendiri dan masak sendiri. Bukankah hal yang demikian lebih baik lagi awla?

Nota hujung: Penulis mengaku TIDAK dibayar oleh McDonald's ataupun Coca Cola untuk menulis makalah ini. Dan penulis berpendapat adalah lebih tepat jika badan berkuasa pensijilan halal yang mengeluarkan kenyataan selepas siasatan dibuat dan bukannya pihak yang dituduh kerana badan tersebut telah mengeluarkan sijil halal kepada pihak terbabit. Kenyataan badan pengiktiraf lebih boleh dipercayai berbanding pihak syarikat. Di pihak syarikat pula, jawatankuasa pematuhan syariah bagi syarikat lebih layak mengeluarkan kenyataan berkaitan isu halal.

Tuesday, September 10, 2013

Syiah: Kedudukannya di sisi kerajaan sunni Malaysia

  • Syiah di bumi Malaysia bukanlah perkara yang baru. Malah, kehadiran pengaruh Syiah dikatakan sudah mendahului pengaruh Sunni dalam konteks penyebaran Islam di Kepulauan Melayu sejak dahulu lagi. Menurut Mahayuddin Yahya (2001, 165), pengaruh Syiah sudah mula bertapak di Kepulauan Melayu melalui Kerajaan Perlak dan Kerajaan Pasai-Samudera. Menurutnya lagi, fakta ini turut diperkuatkan dengan penemuan manuskrip ajaran Syiah seperti Bahru Lahut yang lebih tua daripada Kitab Aqaid Al-Nasafi yang dikatakan sebagai kitab tasauf berorientasikan Sunni (Mahayuddin Yahya, 2001, 43-54). Dalam sepucuk surat memorandum kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, yang tidak dapat penulis disahkan kebenarannya, pengarang surat menegaskan bahawa sememangnya pengaruh Syiah terlebih dahulu tiba di Kepuauan Melayu; malah turut menyatakan dengan terang bahawa amalan-amalan keagamaan tertentu dalam masyarakat Melayu kini sebenarnya diadaptasi   daripada amalan Syiah seperti membaca tahlil arwah, barzanji, maulid dan memakai songkok (Boleh carian Google tentang memorandum ini pada tahun 2011).

 

  • Akan tetapi, dalam konteks kerajaan dan pentadbiran agama negara masa kini, secara jelas telah ditetapkan bahawa umat Islam di Malaysia mengamalkan paradigma Ahli Sunnah wal Jamaah dengan majoritinya beramal dengan Mazhab Syafie. Perkara ini telah dikanunkan oleh Jawatan kuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 5 Mei 1996 dan hampir keseluruhan enakmen syariah negeri di Malaysia.  Justeru, dengan keadaan yang sudah menjadi berfatwa-fatwa, sudah tentulah soal Syiah bukanlah satu soal yang boleh dipandang ringan oleh masyarakat Islam Malaysia.

 

  • Syiah ialah manifestasi ketidakpuasan pengikut-pengikut Sayidina Ali r.a. atas kematian beliau dan sentimen itu bertambah lagi dengan pembunuhan anak beliau, Hussein di Karbala. Kebanyakkan sumber Sunni akan mengaitkan kewujudan Syiah didalangi oleh Abdullah bin Saba,’ seorang Yahudi yang masuk Islam, namun mempunyai rencana yang jahat untuk memecah-belahkan umat Islam. Sedangkan bagi pihak Syiah, mereka menafikan sama sekali kewujudan watak Abdullah bin Saba’ kerana berpendapat watak tersebut sekadar ciptaan pihak-pihak tertentu untuk memburuk-burukkan imej mereka dan mengaitkan fahaman mereka dengan Yahudi. Gerakan Syiah pada awalnya lebih berbentuk sokongan dan pembelaan terhadap Sayidina Ali dan Ahli Bait, namun berubah kepada gerakan politik dan ideologi selepas kematian Sayidina Ali.

 

  • Dalam konteks Malaysia, ajaran Syiah sering diperihalkan sebagai satu ajaran yang sesat dan membahayakan akidah umat Islam. Bagaimanapun, sebagaimana seputar isu-isu yang lain, isu Syiah sekadar menyinggah di laman-laman media cetak ketika panas dan akan menjadi suam kuku menjelang masa. Putaran sebegini akan berterusan tanpa akhir, daripada satu generasi pemimpin ke generasi pemimpin yang lain. Seolah-olah kesan kepada isu sebegini sekadar dibincangkan dalam persidangan atau seminar sahaja, sedangkan penganutnya semakin bertambah lantaran kekurangan tindakan yang konkrit bagi menyelesaikan masalah tersebut.

 

  • Tidaklah dinafikan bahawa kerajaan telah berbuat sesuatu, namun adakah tindakan itu sudah mencukupi? Mengapakan mereka tidak bertindak sebagaimana yang dikenakan kepada kumpulan Al-Arqam yang ditahan beramai-ramai dan diberikan program pemulihan akidah agar mereka kembali kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah? Mungkinkah Syiah merupakan masalah yang lebih global sehingga melibatkan pengaruh hubungan diplomatik dengan negara-negara tertentu sehingga pihak berkuasa tidak dapat bertindak sebagaimana tindakan mereka kepada ajaran-ajaran sesat yang lain? Persoalan sebegini bermain di minda-minda rakyat golongan awam kerana mereka juga inginkan agar ada kata putus dan tindakan yang tampak (tangible) dalam usaha membendung fahaman yang mendominasi mazhab akidah di Iran dan Iraq ini.

 

  • Malah, dikatakan bahawa pemimpin parti politik tertentu menyokong gerakan Syiah di Malaysia sambil membenarkan ahlinya dikalangan gerakan tersebut. Hal ini sudah tentulah akan menimbulkan persoalan, Islam jenis apakah yang diperjuangkan oleh parti politik itu? Kalau Syiah pun diberikan ruang, apa kurangnya Ayah Pin, Al-Arqam dan ajaran-ajaran sesat yang lain? Al-maklumlah, mereka turut mengakui bahawa mereka memperjuangkan kalimah Tuhan Yang Maha Esa dan menyeru manusia agar selamat dunia- akhirat! Pada masa yang sama juga, terdapat pula pertengkaran ‘manja’ sesama ulama kelompok Sunni sendiri yang promazhab dengan yang Salafi/Wahabi dalam mendepani isu Syiah sambil berlaku tuduh- menuduh antara satu sama lain. Hal sebegini sudah pasti akan  mengelirukan sama sekali orang awam yang kemungkinan besar akan menyebabkan mereka berasa bosan dan enggan lagi sama sekali untuk ambil tahu sebarang permasalahan dan isu akidah yang melanda umat Islam Malaysia.

 

  • Cukup-cukuplah kita bercerita tentang politik kerana isu akidah sebegini lebih berat berbanding politik. Sebab kadang-kala orang politik sanggup membuat apa sahaja untuk mencapai apa yang dihajatkan. Kini, sudah tiba masanya hala tuju dan perhatian ulama-ulama dan cendekiawan kita menghala ke arah pembentukan kesatuan ummah dalam menghadapi kebejatan akidah di kalangan umat Islam dalam negara ini. Dan apabila menyebut tentang kenegaraan dalam konteks Syiah, perkara ini bukanlah membawa konotasi nasionalisme, bukan pula membawa konotasi patriotisme. Sebaliknya, kita sedang berhadapan dengan permasalahan akidah yang menuntut tok-tok guru kita berganding bahu menyelesaikannya bersama-sama.
    Moga-moga tok-tok guru kita memahami perkara tersebut hendak-Nya.

 

Rujukan

Mahayudin Haji Yahya (2001) Islam di Alam Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tuesday, June 18, 2013

Tadabbur Kalamullah

 

Jujur penulis katakan bahawa penulis sudah hilang minat dengan politik negara kerana kelakuannya sangat tidak memberangsangkan. Politik keterlaluan yang diamalkan menyebabkan segala benda hendak dipolitikkan. Pendek kata, kalau anak jatuh terjelepuk sebab tersandung batu pun hendak kaitkan dengan politik. Tak habis dengan itu, semua orang pun pakat hendak menjadikan isu sebagai isu politik.

Kesemua ini tidak sukar untuk difahami. Apabila ada satu pihak yang tidak 'yakin' dengan keputusan yang diperoleh dan sanggup membawanya 'sehingga kejalanan,' maka kita tidak sukar untuk memahami apakah yang akan berlaku seterusnya. Mungkin keazaman politik pengikut-pengikut mereka tidak sehebat 'baju merah' dan 'baju kuning' di Thailand. Mungkin seruan merdeka dan laungan demokrasi mereka tidak sekuat di Dataran Tahrir, Mesir. Mereka mungkin tidak sehebat orang Turki yang sanggup berminggu-minggu menentang Erdogan dek hanya kerana isu pembangunan tanah. Namun, kita tidak pasti apa akan berlaku akan datang. Sedang kita pernah mendengar di Indonesia, ada orang yang menjadikan tunjuk perasaan sebagai pekerjaan!

Ditambah pula dengan kadar tindakan pihak berkuasa dalam menangani isu-isu berkaitan agama, raja dan sekali lagi, identiti bangsa Malaysia seperti lagu 'Negaraku' sekadar menjadi topik bualan dan polemik di kedai kopi, penulis sedar bahawa impian melihat Malaysia tanpa sebarang polemik politik ialah satu utopia yang mungkin tak tercapai. Maka, akhbar utama kekal memainkan isu yang sama saban hari tentang pelbagai masalah kenegaraan dan politik yang tak sudah-sudah.

Hal-hal sebegitulah yang menyebabkan penulis berputus asa hendak membincangkan hal-hal politik lagi; buat masa ini. Malah, penulis pun sudah kurang mengikuti kisah politik lagi. Dengar pun dah macam nak muntah. Malas rasanya hendak cerita atau pun baca akhbar sebab semua benda pun politik. Bola sepak Malaysia pun dah masuk main politik sampai ke 'dapur' tempat masak pun dah jadi bahan cerita dalam bola!

Justeru, penulis mengambil langkah untuk mengurangkan aktiviti membincangkan politik sama ada dalam penulisan mahupun perbincangan dengan rakan-rakan. Mereka agak kaget kerana penulis agak senyap apabila mereka berbincang mengenainya dan hanya mengeluarkan kenyataan, 'Huh, itu semua politik. Sampai bila pun macam tu!' Ada yang merasakan nada penulis nada kecewa. Macam orang merajuk. Ada juga yang menyindir, 'itu sebab BN kalah la tu monyok je. Harapan menjadi layu...' sambil menyayikan lagu kumpulan Hyperact. Akan tetapi, itu bukan soalnya. Walaupun penulis biasa difahami oleh teman rapat sebagai seorang yang memihak ke sebelah kerajaan, jujurnya penulis seorang yang apolitikal. Cuma apabila politik itu yang menjadi subjek perbincangan melampau, penulis lemas memikirkannya.

Mungkin kepada mereka yang aktif berpolitik akan sedar gejala ini bukan melanda penulis sahaja. Di US, ramai dikalangan rakyatnya yang tidak celik politik dan ramai juga dikalangan rakyatnya sudah tidak mempedulikan politik. Hidup mereka dikelilingi oleh politik. Mereka menghadapi pilihan raya saban tahun; setiap tahun. Datuk Bandar pun kena pilih, ahli majlis tempatan pun kena pilih, peguam daerah pun kena pilih, syerif pun kena pilih, gabenor negeri pun kena pilih, ahli kongres pun kena pilih, senator pun kena pilih dan sudah tentulah presiden pun perlu dipilih. Akhirnya, orang pun tak peduli siapa yang dipilih dan siapa yang kena pilih kerana mereka rimas memilih. PRU di US sering mencatatkan peratus keluar mengundi yang rendah dek kerana ketidakpedulian rakyat terhadap sistem pemerintahan.

Malah, di Malaysia pun bukannya sesuatu yang asing seandainya kita mendengar rakan kita berkata, 'aku tak peduli siapa yang menang asalkan sekian-sekian...' yang cukup menunjukkan mereka tidak peduli dengan politik. Dicampur pula dengan sifat mereka yang atas pagar dan hanya terkesan dek situasi, mereka pun mungkin tidak mengambil pusing pun apa yang berlaku.

Buruk baik itu hanya takdir yang menentukannya. Namun, sudah tentulah dalam rangka pembinaan negara bangsa, sikap tak ambil peduli secara mutlak terhadap politik hanya akan merugikan pihak pemerintah dan stakeholder (baca: parti politik) sahaja.

Maka, penulis pun cubalah mengambil inisiatif sendiri bagi memenuhkan masa dan diri dengan perkara lain pula. Masa cerita politik diisikan dengan perkara lain. Masa yang terluang tidak lagi dihabiskan dengan membuat 'analisis politik,' 'sebab-akibat,' dan sebagainya dok fikirkan nasib anak bangsa memanjang tak sudah; sedangkan anak bangsa tidak pula mempunyai inisiatif untuk memikirkan nasib sendiri. Ditambah pula dengan kerosakan laptop penulis yang agak parah juga menyebabkan penulis perlu mengisi masa terluang ini dengan sesuatu.

Arakian, Tuhan mendatangkan ilham-Nya sambil mengingatkan diri penulis untuk kembalikan kepada kitab-Nya dan sunnah rasul-Nya. Moga-moga bermanfaat kepada diri sendiri. Masa-masa itulah yang digunakan untuk penulis tadabbur Al-Quran kembali merenung kepada firman-firman-Nya. Dan, penulis dapat rasakan bahawa usaha ini setidak-tidaknya memenuhkan kembali jiwa penulis yang satu ketika menjadi kosong dek kerana politik memanjang!

Tafsir Al-Azhar oleh Prof Dr Hamka

Sebab akhirnya segalanya adalah kehendak Dia, tiada Tuhan lain yang selayaknya disembah melainkan-Nya, Yang Maha Esa lagi Maha Tempat Bergantung Harap; yang tiada beranak dan diperanakkan dan tiada sesuatu yang sama setara dengan Dia yang Satu.

Sunday, May 12, 2013

Mendoakan rahmat kepada mereka

 

Dalam Al-Quran, terdapat beberapa ayat yang menyeru supaya umat manusia (lebih-lebih lagi umat Muhammad) untuk menghormati dan menyayangi ibu bapanya dan mendoakan rahmat kepada mereka. Misalnya dalam Surah Al-Isra’ 17 ayat 23- 24, Allah berfirman:

Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya kamu tidak menyembah melainkan kepada-Nya dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua orang tua/ibu bapa. Jika salah satu atau kedua-dua daripada mereka telah benar-benar sampai (usia) tua maka janganlah kamu berkata kepada mereka berdua, ‘Ah!’ dan janganlah kamu menengking mereka berdua, dan (tetapi) katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (baik dan lembut). Dan hendaklah kamu merendah diri (bertawaduk/rendahkan sayap) kepada kedua-duanya dengan rahmat/kasih sayang dan katakanlah (berdoalah), ‘Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana keduanya memeliharaku/mendidikku semasa kecil.[1]

Dalam satu lagi ayat Al-Quran, melalui firmannya:

Dan kami wasiatkan/perintahkan kepada manusia untuk berbuat baik kepada ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya (dengan) kelemahan di atas kelemahan (mengandung, melahirkan & menyusui) dan tempoh cerai susunya dalam masa dua tahun, bersyukurlakh kamu kepada-Ku dan kedua ibu bapamu, kepada-Kulah tempat kembali. Dan jika mereka berdua memaksa supaya ka,mu mempersekutukan-Ku sesuatu yang tiada engkau ketahuinya maka janganlah kamu taat kepada mereka, dan bergaulah kepada mereka berdua di (pada masa hidup mereka di) dunia dengan baik (berbakti dan bersilaturrahim), dan turutlah jalan orang yang kembali kepada-Ku (mentaati-Ku) dan kemudian kepada-Kulah tempat kembali kamu semua maka Aku akan memberitahu kamu semua tentang apa yang kamu semua telah kerjakan.[2]

Tidak ketinggalan hadis Nabi SAW yang turut menekankan ketaatan dan kebaktian kepada ibu bapa sebagaimana sabdanya daripada Ibnu Mas’ud:

Aku pernah bertanya kepada Nabi SAW, ‘Apakah amalan yang paling afdhal?’ Jawabnya, ‘Sembahtang pada waktunya.’ Kataku, ‘Kemudian, apa lagi?’ Kata baginda, ‘Berlaku baik/berbakti kepada kedua ibu bapa.’ Kataku, ‘Kemudian, apa lagi?’ Kata baginda, ‘Berjihad fi sabilillah.’[3]

Dalam sebuah hadis yang lain, Abdullah bin Amru telah menjelaskan kepadanya bahawa berbakti kepada kedua ibu bapa semasa mereka masih hidup sebaik-baiknya itu lebih utama dan mendapat pahala daripada Allah sebelum berjihad ke jalan Allah. Justeru, Nabi SAW meminta sahabatnya itu pulang untuk berbakti kepada mereka lain.[4]

Barangkali kita terlupa, betapa firman Allah Taala dan hadis Rasulullah SAW tidak meletak pembatas sebarang hari untuk berbakti kepada ibu bapa dan mentaati kedua-duanya selagi tidak bertentangan dengan had-had Islam seperti kemaksiatan dan kesyirikan. Sedangkan sekiranya mereka bukan Islam sekali pun, masih ada tanggungjawab yang perlu disempurnakan kepada mereka.

Cuma hendak diingatkan dalam kita berhujah untuk berlaku ihsan, berbuat baik dan berbakti kepada kedua-dua ibu bapa, hendaklah kita menggunakan hujah yang syarie dan sahih, kerana teras agama dibina oleh asas-asas pendalilan yang sahih. Cukup-cukuplah kita menyiarkan drama yang watak maknya mengucapkan kepada anaknya bahawa ‘syurga engkau pun aku yang tentukan’ seolah-olah seorang ibu itu mempunyai kuasa Tuhan untuk nak menentukan anaknya masuk syurga atau neraka. Dogma ini sekali gus melebih-lebihkan ungkapan Nabi SAW yang menyeru agar si anak melakukan kebaikan kepada ibunya kerana syurga di bawah tapak kaki ibu. Kebaktian kepada ibu itu yang dituntut, mudah-mudahan dengan amal tersebut dapat membawa kepada si anak ke syurga dan bukannya segala-galanya ditentukan oleh si ibu lantaran dia penentu natijah anaknya semasa di akhirat kelak.

Pendek kata, anak-anak tak perlulah menunggu hari tertentu untuk melaksanakan tanggungjawab mereka kepada ibu bapa mereka. Sambutan tahunan seperti 'Hari Ibu' atau 'Hari Bapa' mungkin ada nilainya namun, apakah nilai tersebut andai hendak dibandingkan dengan hak-hak sebenar yang perlu dipenuhi oleh anak-anak terhadap orang tuanya selama mereka (orang tua) masih hidup. Justeru, hargailah mereka sekiranya ingin dihargai suatu hari nanti.

 

Nota hujung


[1] Maksud Surah Al-Isra’ 17, ayat 23-24 disesuaikan daripada Ahmad Hatta, Tafsir Al-Quran Perkata, 2010 (Chemor, Perak: Maghfirah Pustaka Al-Madani Enterprise, 2012).

[2] Maksud Surah Luqman 31, ayat 14-15 disesuaikan daripada Ahmad Hatta, Tafsir Al-Quran Perkata.

[3] Maksud hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Mas’ud. Rujukan lihat An-Nawawi, Yahya bin Syaraf, Ringkasan Riyadhus Solihin oleh Syaikh Yusuf Al-Nabhani terj. Abu Khodijoh Abdurrohim (Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn Bhd, 2010), 348.

[4] Intipati hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim daripada Abdullah bin Amru. Rujukan hadis lihat An-Nawawi, Ringkasan Riyadhus Solihin, 349.