Showing posts with label Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts

Tuesday, June 18, 2013

Tadabbur Kalamullah

 

Jujur penulis katakan bahawa penulis sudah hilang minat dengan politik negara kerana kelakuannya sangat tidak memberangsangkan. Politik keterlaluan yang diamalkan menyebabkan segala benda hendak dipolitikkan. Pendek kata, kalau anak jatuh terjelepuk sebab tersandung batu pun hendak kaitkan dengan politik. Tak habis dengan itu, semua orang pun pakat hendak menjadikan isu sebagai isu politik.

Kesemua ini tidak sukar untuk difahami. Apabila ada satu pihak yang tidak 'yakin' dengan keputusan yang diperoleh dan sanggup membawanya 'sehingga kejalanan,' maka kita tidak sukar untuk memahami apakah yang akan berlaku seterusnya. Mungkin keazaman politik pengikut-pengikut mereka tidak sehebat 'baju merah' dan 'baju kuning' di Thailand. Mungkin seruan merdeka dan laungan demokrasi mereka tidak sekuat di Dataran Tahrir, Mesir. Mereka mungkin tidak sehebat orang Turki yang sanggup berminggu-minggu menentang Erdogan dek hanya kerana isu pembangunan tanah. Namun, kita tidak pasti apa akan berlaku akan datang. Sedang kita pernah mendengar di Indonesia, ada orang yang menjadikan tunjuk perasaan sebagai pekerjaan!

Ditambah pula dengan kadar tindakan pihak berkuasa dalam menangani isu-isu berkaitan agama, raja dan sekali lagi, identiti bangsa Malaysia seperti lagu 'Negaraku' sekadar menjadi topik bualan dan polemik di kedai kopi, penulis sedar bahawa impian melihat Malaysia tanpa sebarang polemik politik ialah satu utopia yang mungkin tak tercapai. Maka, akhbar utama kekal memainkan isu yang sama saban hari tentang pelbagai masalah kenegaraan dan politik yang tak sudah-sudah.

Hal-hal sebegitulah yang menyebabkan penulis berputus asa hendak membincangkan hal-hal politik lagi; buat masa ini. Malah, penulis pun sudah kurang mengikuti kisah politik lagi. Dengar pun dah macam nak muntah. Malas rasanya hendak cerita atau pun baca akhbar sebab semua benda pun politik. Bola sepak Malaysia pun dah masuk main politik sampai ke 'dapur' tempat masak pun dah jadi bahan cerita dalam bola!

Justeru, penulis mengambil langkah untuk mengurangkan aktiviti membincangkan politik sama ada dalam penulisan mahupun perbincangan dengan rakan-rakan. Mereka agak kaget kerana penulis agak senyap apabila mereka berbincang mengenainya dan hanya mengeluarkan kenyataan, 'Huh, itu semua politik. Sampai bila pun macam tu!' Ada yang merasakan nada penulis nada kecewa. Macam orang merajuk. Ada juga yang menyindir, 'itu sebab BN kalah la tu monyok je. Harapan menjadi layu...' sambil menyayikan lagu kumpulan Hyperact. Akan tetapi, itu bukan soalnya. Walaupun penulis biasa difahami oleh teman rapat sebagai seorang yang memihak ke sebelah kerajaan, jujurnya penulis seorang yang apolitikal. Cuma apabila politik itu yang menjadi subjek perbincangan melampau, penulis lemas memikirkannya.

Mungkin kepada mereka yang aktif berpolitik akan sedar gejala ini bukan melanda penulis sahaja. Di US, ramai dikalangan rakyatnya yang tidak celik politik dan ramai juga dikalangan rakyatnya sudah tidak mempedulikan politik. Hidup mereka dikelilingi oleh politik. Mereka menghadapi pilihan raya saban tahun; setiap tahun. Datuk Bandar pun kena pilih, ahli majlis tempatan pun kena pilih, peguam daerah pun kena pilih, syerif pun kena pilih, gabenor negeri pun kena pilih, ahli kongres pun kena pilih, senator pun kena pilih dan sudah tentulah presiden pun perlu dipilih. Akhirnya, orang pun tak peduli siapa yang dipilih dan siapa yang kena pilih kerana mereka rimas memilih. PRU di US sering mencatatkan peratus keluar mengundi yang rendah dek kerana ketidakpedulian rakyat terhadap sistem pemerintahan.

Malah, di Malaysia pun bukannya sesuatu yang asing seandainya kita mendengar rakan kita berkata, 'aku tak peduli siapa yang menang asalkan sekian-sekian...' yang cukup menunjukkan mereka tidak peduli dengan politik. Dicampur pula dengan sifat mereka yang atas pagar dan hanya terkesan dek situasi, mereka pun mungkin tidak mengambil pusing pun apa yang berlaku.

Buruk baik itu hanya takdir yang menentukannya. Namun, sudah tentulah dalam rangka pembinaan negara bangsa, sikap tak ambil peduli secara mutlak terhadap politik hanya akan merugikan pihak pemerintah dan stakeholder (baca: parti politik) sahaja.

Maka, penulis pun cubalah mengambil inisiatif sendiri bagi memenuhkan masa dan diri dengan perkara lain pula. Masa cerita politik diisikan dengan perkara lain. Masa yang terluang tidak lagi dihabiskan dengan membuat 'analisis politik,' 'sebab-akibat,' dan sebagainya dok fikirkan nasib anak bangsa memanjang tak sudah; sedangkan anak bangsa tidak pula mempunyai inisiatif untuk memikirkan nasib sendiri. Ditambah pula dengan kerosakan laptop penulis yang agak parah juga menyebabkan penulis perlu mengisi masa terluang ini dengan sesuatu.

Arakian, Tuhan mendatangkan ilham-Nya sambil mengingatkan diri penulis untuk kembalikan kepada kitab-Nya dan sunnah rasul-Nya. Moga-moga bermanfaat kepada diri sendiri. Masa-masa itulah yang digunakan untuk penulis tadabbur Al-Quran kembali merenung kepada firman-firman-Nya. Dan, penulis dapat rasakan bahawa usaha ini setidak-tidaknya memenuhkan kembali jiwa penulis yang satu ketika menjadi kosong dek kerana politik memanjang!

Tafsir Al-Azhar oleh Prof Dr Hamka

Sebab akhirnya segalanya adalah kehendak Dia, tiada Tuhan lain yang selayaknya disembah melainkan-Nya, Yang Maha Esa lagi Maha Tempat Bergantung Harap; yang tiada beranak dan diperanakkan dan tiada sesuatu yang sama setara dengan Dia yang Satu.

Saturday, August 18, 2012

Meraikan Raya

 

Syawal menjelang lagi menandakan tamatlah sudah bulan penuh barakah dan lubuk pahala untuk tahun ini. Kehadiran tanggal pertama Syawal dinanti-nantikan oleh segenap lapisan umat Islam bagi meraikan Aidil Fitri bersama-sama yang tersayang.

Umat Islam Malaysia biasanya menyambut Hari Raya dengan berkunjung ke rumah sanak-saudara dan sahabat handai. Kuih raya dibuat dan masakan tradisi disajikan daripada ketupat, lemang, rendang, kari dan lain-lain. Kesemua masakan tersebut mempunyai nilai kalori yang tinggi dan diharapkan kita dapat berpada-padalah dengan makanan tersebut.

Pada masa yang sama, kita juga akan dapati sebahagian daripada kita yang menyambut Hari Raya dengan suasana yang hiba. Media turut memainkan peranan menyedihkan keadaan dengan menayangkan cerita-cerita tragedi atau sedih di kaca televisyen dan memutarkan lagu-lagu yang hiba di corong radio. Irama yang mendayu-dayu kedengaran menyebabkan linangan air mata dek kerana mengenangkan kesedihan melodi, lagu dan seni kata.

Barangkali yang tak dapat pulang ke kampung, seni kata berikut akan menggamit perasaan:

Hanya ku sampaikan doa dan kiriman tulus ikhlas

Dari jauh ku pohonkan ampun maaf

Dan bagi yang terkenangkan pemergian yang tersayang, bait-bait berikut mungkin menjadikannya terkedu:

Tiada bisikan, lembut yang ku dengar, hanya suara azan sayup bergema,

Masih ku rasakan hangat tangan mu, di pagi raya bersalam dengan ku...

Ditambah pula dengan takbir raya Malaysia yang berirama 'balada' menambahkan lagi rasa sebak di dada mengenangkan perasaan kesunyian dan kesedihan.

Sedangkan hari raya sepatutnya (dan disyariatkan) untuk kita bergembira dan menzahirkan kegembiraan itu dengan harapan optimis dan amal ibadat. Kita bertakbir menandakan kemenangan dan kejayaan kembali kepada fitrah selepas mengharungi tarbiah Ramadan.

Kalaulah Ramadan itu sebuah institusi pendidikan, maka Aidil Fitri merupakan hari konvokesyennya. Jadi, adakah orang menangis kesedihan pada 'hari konvonya'?

Kegembiraan yang disambut sepatutnya seiring dengan syariat. Bukannya buat pesta tak tentu pasal, bagai orang hendak menyambut Tahun Baru!

Takbir dilaungkan seharusnya bersemangat bagi menzahirkan kesediaan kita untuk menjejaki masa 'luar Ramadan' dengan dikekalkan seboleh dan semampu mungkin apa yang telah kita alami dalam bulan barakah itu. Tetapi, sebab melodi balada takbir Raya kita sudah sebegitu, rasa semangat bertukar menjadi hiba. Bukanlah hendak mengata yang ini tak boleh, yang itu tak boleh, namun bertakbir asalnya adalah untuk membesarkan Allah, jadi sebutan dan laungan pun mestilah tegas, menggambarkan kita membesarkan-Nya.

Selain itu, kegembiraan kita juga terpancar dengan menghadiri solat sunat Aidil Fitri, mendengar khutbah sempenanya dan kemudian menziarahi keluarga dan sahabat handai. Kita sama-sama mendoakan agar segala amalan kita dan doa yang dipanjatkan akan dimakbulkan.

Cuma kadang-kala apa yang berlaku adalah sebaliknya. Ada dikalangan kita, apabila pulang ke kampung bertemu saudara-mara, menarik muka masam dek kerana dendam kesumat dan ketakpuashatian yang lama. Macam-macam yang menjadi penyebabnya; pasal tanahlah, pasal hartalah, pasal pesakalah pasal itu dan ini sehingga menyebabkan ceria menjadi duka, senang hati menjadi sakit hati.

Oleh yang demikian, diharapkan budaya bergaduh sesama keluarga pada hari raya dapatlah dielakkan. Hari raya untuk kita bergembira, bukannya bertepuk-tampar sesama kita.

Lebihlah lagi budaya raya di negara kita dikaitkan dengan saling-memaafkan, maka seharusnya kita memaafkan dan memohon maaf kepada orang lain. Budaya sebegini menjadi nilai tambah dalam sambutan raya agar kita sering berfikiran positif untuk memberikan dan meminta kemaafan pada hari yang mulia.

Kalau nak diikutkan, maaf-memaafkan sebenarnya bukan tertakluk pada hari raya sahaja. Namun, mungkin disebabkan kegembiraan menyambut raya itu mungkin memudahkan untuk orang memaafkan, maka agenda meminta maaf menjadi budaya pada hari tersebut. Justeru, memang wajarlah pada hari raya kita bergembira agar pintu kemaafan lebih mudah dibuka!

Akhir kata, Aidil Fitri menjadi satu sambutan yang sewajarnya dijadikan ibadat berbanding adat. Syawal juga memberi peluang kepada umat Islam melaksanakan ibadah puasa sunat yang dijanjikan pahala setahun gamaknya[1]! Sama ada berturutan atau tidak itu terpulang, dan soal niat serentak yang sunat dengan yang qada' pun sebenarnya khilaf[2]. Bolehlah tanya yang berilmu.

Apa yang penting, pembelajaran dalam pusat tarbiyah Ramadan memberi kesan kepada umat Islam selepas mengharunginya dan meraikan Aidil Fitri agar tercapailah maksud kepada ibadah puasa itu sendiri iaitu 'moga-moga kamu bertakwa!'


[1] Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Ayyub r.a. yang bermaksud ‘Barangsiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam daripada Syawal maka seolah-olah dia telah berpuasa selama setahun.’ Rujukan hadis misalnya dalam An-Nawawi, Yahya bin Syaraf, Ringkasan Riyadhus Solihin diringkaskan oleh Syaikh Yusuf Al-Nabhani, terj. Abu Khodijah Ibn Abdurrohim (KL: Telaga Biru, 2010), 228.

[2] Salah satu pendapat yang pernah penulis baca ialah daripada Almarhum Syed Abdillah Ahmad Al-Jufri ialah tidak boleh disatukan niat puasa enam Syawal dan qada’ dan haruslah didahulukan yang qada’ sebelum yang sunat. Wallau‘alam.

Thursday, August 16, 2012

Dari hal Olimpik kita




Kebetulan Sukan Olimpik tahun ini berada dalam bulan yang mulia dan penuh barakah, maka perihalnya sudah tentulah akan diperkatakan juga oleh segenap lapisan masyarakat kita.

Kalau tak silap penulis, Olimpik punya pasal, ada mufti yang mengeluarkan fatwa bahawa peserta muslim boleh tangguh puasa kerana menjaga kesihatan dan kecergasan; berjuang demi nama negara – gamaknya! Teringat penulis ketika Piala Dunia 2002 di Korea/Jepun tatkala ulama di Senegal mengeluarkan fatwa bolehnya tangguh sembahyang Jumaat bagi rakyatnya menonton perlawanan bola sepak pada waktu Jumaat; sampai begitu sekali!

Mungkin ada juga yang mengeluarkan pendapat peserta tersebut sebenarnya sedang bermusafir, maka harus untuknya tidak berpuasa – terpulanglah kepada tafsiran ulama tersebut kerana hal-hal furu’ ini seeloknya mereka yang benar-benar mahir sahaja yang boleh menjawabnya.

Selain daripada atlet yang pergi ke London untuk berolimpik, pegawai pengiring juga turut ke sana. Cuma kadang-kala kita pun naik hairan juga kalau atlet yang dihantar untuk satu acara sekadar dua tiga orang, tetapi yang pengiringnya itu sudah taraf buat rombongan pula. Duit rombongan itu datang daripada mana?

Negara jiran kita Singapura sudah sah bergelar China Asia Tenggara sebab wakil mereka yang berjaya memenangi gangsa sukan ping pong pun berasal daripada negara Tembok Besar juga. Nampaknya sindrom Malaysia melanda negara Singa apabila hanya ping pong sahaja yang mampu memberi sinar pingat kepada mereka – itupun melalui proses ‘pembelian pemain daripada China.’ (Kalau Malaysia, badminton sahaja yang boleh bagi pingat; tetapi kali ini, dapat jugalah sebutir gangsa hasil sukan terjun!)

Barangkali negara kita tidak sampai ke tahap itu namun kalau difikirkan, ada pro kontranya neutralisasi pemain luar menjadi rakyat Malaysia. Bukannya kita tidak pernah ada atlet yang begitu.... namun  kalau difikirkan sebenarnya yang baiknya kalau begitu (beli pemain luar) kerana kita memberikan peluang kepada atlet yang memang sudah sedia berbakat pada tahap yang tinggi untuk bersaing di peringkat antarabangsa; kerana mungkin kekangan di negara sendiri tidak memberi peluang kepada mereka untuk berbuat demikian. Jadi, wang untuk latihan dan sebagainya dapatlah dijimatkan dan tinggal ‘touch up’ sahaja! – Kalau dipandang secara logik akalnya.....

Kendatipun, disebabkan harga diri dan peluang terpendam di kalangan rakyat sendiri, sudah tentu proses beli pemain luar untuk jadi warganegara merupakan proses yang bertentangan dengan semangat patriotisme yang terkandung dalam rakyat kita.

Pada masa yang sama juga, elok juga Olimpik kali ini tidak dimenangi oleh atlit muslim negara kita kerana bukan nak cakap apa, rekaan pingatnya itu terlalu menonjolkan sangat mitos kedewaan zaman Yunani satu ketika dahulu; dari satu sudut, tak elok kalau hendak menyimpan benda-benda yang ada rekaan ketuhanan agama yang lain. Tak gitu?


Andai mengambil topik sukan secara per se, nyatalah Olimpik membuktikan kepada kita bahawa jurang sukan antara Asia Tenggara berbanding rantau dunia yang lain (hatta Afrika sekali pun) sangat-sangatlah jauh ibarat langit dan bumi. Walaupun Asia Tenggara boleh berbangga dengan Sukan SEA dan kita pun berteriak yang kita menang pingat emas bola sepak sukan tersebut, sebenarnya rantau ASEAN sudah semakin jauh ketinggalan dalam bidang sukan berbanding rantau yang lain.

Tengok sahajalah pungutan pingat negara-negara ASEAN, semua pun lebih kurang sama sahaja. Kalaulah Sukan Olimpik dibuat secara merentas sub-benua, (Asia Tenggara, Asia Timur, Amerika Utara, Amerika Selatan dsb) alamatnya yang paling corot sekali ialah negara-negara ASEANlah jawabnya!!!

Justeru perkara sedemikian membangkitkan persoalan apakah rasionalnya kita beria-ia hendak buat Sukan SEA. Juara lumba lari 100 meter Sukan SEA pun tak mampu hendak menjadi wakil Asia Tenggara di peringkat Olimpik, jadi apa yang hendak dibanggakan sangat???

Jadi, tok sah lah sangat hendak menganjurkan sukan pelbagai acara (multiple events) sangat sebab pulangannya belum tentu dan impak kepada sukan dalam negara itu sendiri belum terbukti. Apa yang penting, budaya sukan itu sendiri yang dipupuk di peringkat sekolah, dan yang dimaksudkan budaya sukan itu termasuklah kepelbagaian jenis sukan yang membolehkan pelajar menyertainya. Sudah tentulah peralatan dan tenaga pengajarnya perlu profesional (guru PJK) yang benar-benar boleh membawa kepada matlamat 1Murid 1Sukan dan PENDIDIKAN JASMANI DAN KESIHATAN.

Artikel berkaitan

Mengoptimumkan PJK: Nasi lemak dan kesihatan

Wednesday, August 15, 2012

17 Ramadan


17 Ramadan                                       

Bagi umat Islam di Malaysia, 17 Ramadan bukan sahaja menandakan mereka telah berpuasa 17 hari, malah turut mencerminkan tinggal lebih kurang 13 hari sahaja lagi hendak beraya.

Bagi mereka yang Islamik sedikit, 17 Ramadan dikenang sebagai hari Nuzul Al-Quran iaitu peristiwa turunnya wahyu Allah ke langit bumi. Untuk menambahkan lagi seri sambutan tersebut, beberapa buah negeri di tanah air mengisytiharkan cuti negeri sempena hari tersebut.

Namun perlu diingat bahawa cuti atau tidak seseorang itu tidak ada kaitan dengan 'keimanan' dan 'pengharapan' seseorang dalam berpuasa[1].

HAMKA turut mengaitkan 17 Ramadan dengan peristiwa Badar Al-Kubra yang menjadi titik tolak perjuangan mempertahankan agama secara peperangan.[2] Justeru terngiang-ngiang doa Nabi SAW yang dipanjatkan kepada Allah Taala untuk memberikan kemenangan kepada pasukannya kerana andai tidak, tiada lagi manusia di atas muka bumi ini yang akan menyembah-Nya!

Bagi mereka yang lebih peka terhadap sunnah barangkali 17 Ramadan menjadi isyarat yang semakin jelas untuk melipatgandakan amalan mereka kerana sepuluh yang terakhir itu semakin hampir. Lagilah seandainya ditakdirkan Ramadan sekadar 29 hari, sepuluh yang terakhir itu bermula pada 19 haribulan, dan bukannya 20!

Jadi, usaha untuk mendapatkan yang 'lebih baik daripada seribu bulan' itu perlulah ditingkatkan kerana alamatnya telah dikhabarkan oleh Nabi SAW sedemikian[3].

Begitulah adanya, tidak ketinggalan bagi mereka yang mengikut trend semasa maka 17 Ramadan menandakan hari raya semakin hampir. Medium jualan misalnya, jangankan pada akhir Ramadan, berminggu-minggu sebelum puasa pun sudah mengadakan 'jualan sempena raya' bagi meraikan keuntungan berlipat kali ganda sempena menyambut lebaran. Puasa pun belum lagi, dah nak sambut raya!

Ada yang sanggup berhutang sini sana asalkan dapat benda raya; langsir raya, kereta raya, sofa raya. Tak masuk lagi benda-benda yang secara tradisinya dirayakan seperti baju raya, kasut raya dan kuih raya!

Ramadan seharusnya mengajar kita berhemah dalam berbelanja, sebab yang lebih utama ialah menahan diri daripada hawa nafsu. Namun, kalau yang 'raya' itu terlalu dilebihkan, sudah tentu objektif 'moga bertakwa' tidak dapat dicapai.

Selain daripada berpuasa, zakat juga merupakan satu ibadah yang dikaitkan dengan Ramadan; namanya fitrah. Tetapi, alangkah eloknya seandainya ibadah zakat itu secara keseluruhannya diperkasakan; bukan sahaja daripada segi zakat harta dan fitrah, malah agihan zakat itu sendiri hendaklah diperkasakan supaya rancangan seperti 'Bersamamu' itu tidak perlu ditayangkan lagi.

Akhir kata, 17 Ramadan bukanlah sekadar satu lagi tarikh untuk kita bercuti atau mengenang turunnya Al-Quran, sebaliknya harus menjadi penanda aras sejauh mana kita mengamalkan apa yang diturunkan oleh-Nya kepada kita. Betapa umat Islam Malaysia begitu gah dalam bertaranum dan berqiraat sehingga kita tidak pula memahami apa yang kita bacakan! Pak Arab naik hairan betapa lunak dan sedapnya orang kita baca Quran tapi rupanya tak faham apa yang dibaca!

Dan kalau sudah tidak faham, masakan untuk beramal dengannya? 







[1] Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah r.a. yang bermaksud ‘Barang siapa yang berpuasa Ramadan kerana keimanan dan pengharapan kepada Allah maka diampunkan segala dosa-dosanya yang telah lalu. Rujukan hadis boleh dilihat misalnya dalam An-Nawawi, Yahya bin Syaraf, Ringkasan Riyadh us Solihin disusun semula Syaikh Yusuf Al-Nabhani (KL: Telaga Biru, 2010) m.s. 223.


[2] Hamka, Tujuh Belas Ramadan dlm .  Kesepaduan Iman & Amal Salih (Shah Alam: Pustaka Dini, 2003) m.s. 191-198. Bab ini dikatakan sebagai artikel terakhir sebelum beliau pulang ke rahmatullah.


[3] Majoriti perbahasan berkenaan sepuluh malam terakhir bermula malam ke-20 dalam usaha mendapatkan Lailatul-qadr.  Sebenarnya Lailatul-qadr merupakan misteri yang diberikan isyarat namun untuk mendapatkannya kesungguhan seharusnya bermula seawal malam pertama Ramadan.

Wednesday, August 17, 2011

Mengisikannya menjelang akhir

  • Sudah setengah bulan Ramadhan berlalu dan kini kita memasuki fasa setengah yang terakhir. Disebabkan roh Islami yang semakin meningkat di kalangan umat Islam, sudah semestinya ada yang kritikal dengan sikap sesetengah umat Islam yang lantas menjadikan baki Ramadhan yang tinggal untuk dipenuhi dengan persiapan hari raya; baju raya, seluar raya, langsir raya, kuih raya, duit raya dan pelbagai raya lagi. Antara peluang mahu pun ruang, haruslah kita mengejarnya kerana yang dikejar untuk puasa itu adalah taqwa. Justeru, kalau hendak buat persediaan, buatlah (sebab itu sudah menjadi adat) namun matlamat asal puasa dan limpah kurnia rahmat dalamnya jangan pula kita lupakan semata-mata hendak menyambut Aidil Fitri yang secara syariatnya hanya disambut sehari!
  • Barang yang kurang disedari umum bahawa bulan Ramadhan ini juga merupakan bulan keampunan. Kita mungkin sudah berulang kali diperdengarkan tentang hadis yang antara lain menyebut sesiapa yang melaksanakan puasa Ramadhan dan sesiapa yang membangunkan malam bulan Ramadhan (berqiyamulail) dengan mengharapkan pahala dan kebaikannya daripadanya akan diampunkan dosa. Dalam sebuah hadis yang lain, sebaik-baik doa pada bulan Ramadhan lebih-lebih lagi apabila ketemu lailatul qadar adalah memohon keampunan (kemaafan) dengan disandarkan betapa Allah cukup suka yang pemaaf. Oleh sebab itu, selain daripada kita asyik dok menunggu hari raya baru hendak dipohon maaf, baiklah kita terlebih dahulu meminta maaf kerana sifat Allah yang sukakan orang yang memaafkan! Apatah lagi doa tersebut dibacakan pada bulan Ramadhan, maka mulakanlah maaf-bermaaf pada bulan yang mulia ini; jangan ditunggu-tunggu lagi.
  • Oleh yang demikian, dengan kombinasi amalan kita dan permohonan keampunan dan kemaafan kita sama ada kepada Khalik mahu pun makhluk, tidak hairanlah selepas Ramadhan berakhir, kita (secara teoritikalnya) akan kembali kepada fitrah; tanpa sebarang dosa kerana telah diampunkan oleh Allah dan diberi kemaafan daripada yang kita lakukan salah. Bukankah itu sebenarnya balasan yang Allah berikan kepada kita sebagaimana yang dinyatakan dalam Hadis Nabawi? Justeru kita menyambutnya pada satu hari yang dinamakan Aidil Fitri - membawa konotasi kejayaan kembali kepada fitrah.
  • Kita tinggalkan dahulu cerita tentang raya. Kembali kepada Ramadhan. Dalam pada kita melaksanakan tarawih, timbul juga isu berkaitan 'tazkirah Tarawih.' Apa yang berlaku adalah terdapat surau atau masjid tertentu yang melaksanakan 'tazkirah;' biasanya setelah empat rakaat sembahnyang sunat Tarawih. Isu ini timbul kerana ada yang berpendapat amalan tersebut merupakan bidaah yang tidak dilakukan pada zaman Nabi SAW.
  • Lebih-lebih lagi, ada tazkirah yang disampaikan berlarutan sehingga setengah jam atau lebih daripada itu yang menyebabkan niat asal 'tazkirah' sudah menjadi 'kuliah.' Sudah tentu hal yang demikian akan mengundang rasa kurang senang jemaah kerana mereka hadir untuk 'solat tarawih' dan bukannya 'mendengar kuliah.' Apa lagi andai isi di dalam 'tazkirah' tersebut yang berbaur politik; menghentam pihak-pihak tertentu kerana tidak berhukumkan Islam, menyeru jemaah untuk turut serta dalam memartabatkan 'parti Islam,' balasan buruk bagi mereka yang tidak menyertai parti Allah, menceritakan panjang lebar tentang qazaf, zina, empat orang saksi; kesemua isu ini kalau kita dengar pun kita faham ke mana hala tuju penceramah yang memberikan ceramah. Sudah tentu ada jemaah yang akan mempersoalkan (dalam hatinya) adakah acara ini sembahyang sunat tarawih disulami ceramah politik atau ceramah politik disulami sembahyang tarawih?
  • Penulis jujurnya terkena juga 'kejutan budaya' pada awala bertarawih di negeri lain yang mana bacaan zikir antara dua rakaat yang agak berbeza sedikit berbanding di masjid dan surau di Johor. Apa lagi ketika hampir sembilan tahun di Lembah Klang (semasa belajar), penulis menemui kepelbagaian dalam sembahyang tarawih di sana. Memang terkejut juga apabila secara tiba-tiba, ada pula tempat yang mana, tazkirah diselitkan di antara empat rakaat pertama tarawih. Penceramahnya memang bermacam-macam karakter, dan panjang tazkirah juga berbeza-beza. Ada yang memang hampir setengah jam bercakap dan bercerita hentam sana hentam sini. Ada yang ringkas tetapi padat dan penuh pengisian yang cukup-cukup berguna.
  • Oleh sebab itu, adakah perlu tazkirah tarawih ini diteruskan? Bagi mereka yang menyokong, mereka berhujah bahawa pada ketika inilah ramai jemaah yang hadir ke surau dan masjid, maka apalah salahnya diberi tazkirah bagi perkongsian ilmu. Bukankah menuntut ilmu itu satu ibadah? Oleh sebab itu, dengan kapasiti jemaah yang ramai, seharusnya dimanfaatkan dengan penyampaian ilmu yang sudah tentu tujuannya bagi mendapatkan keredhaan-Nya. Malah, bukankah ibadah itu juga perlu kepada ilmu agar kita dapat melaksanakan dengan sebaik mungkin dan sebetul mungkin menurut syariat dan sunnah Nabi SAW?
  • Bagi mereka agak kurang setuju pula, antara hujah yang dikemukan adalah andai tarawih itu diselitkan dengan tazkirah, nescaya Nabi SAW melakukan dahulu pada zamannya dan sahabat pula pasti menurutinya! Namun, tidak ada satu pun hadis berkaitan tarawih yang menyebut Nabi SAW ada berkuliah atau berkhutbah semasa perlaksanaan tarawih. Andai ada, sudah semestinya akan ada hadis/dalil berkenaan 'khutbah antara tarawih!' Oleh sebab itu, tazkirah antara rakaat tarawih itu boleh dikatakan bidaah. Isu ini tidak boleh disamakan dengan sembahyang tarawih berjemaah kerana ternyata memang ada dalil yang menyokong perlaksanaannya dan diperkasakan pula pada zaman pemerintahan Sayidina Umar Al-Khattab RA. Oleh sebab itu, amalan sahabat sudah menjadi sunnah (sebagaimana hadis riwayat Tirmizi: berpenganglah kepada sunnahku dan sunnah Khulafa-Al-Rasyidin Al-Mahdiyin).
  • Isu ini pasti akan dijadikan polemik walaupun isu ini sebenarnya isu furu. Apatah lagi apabila kandungan tazkirah dan masa yang diambil untuk tazkirah itu terlalu lama sehingga menyebabkan keresahan dikalangan jemaah yang hadir. Bukan hendak mengatakan bahawa yang tidak mahu mendengar itu sudah pandai, mungkin niat mereka hadir adalah bagi melaksanakan sembahyang sunat tarawih dan sudah semestinya hak itu juga perlu dipertimbangkan. Mungkin kalau ringkas dan padat, boleh diterima. Akan tetapi apabila khutbah lebih panjang daripada sembahyang, sudah tentu hal yang demikian akan menimbulkan rasa kurang senang.
  • Lantaran itu, eloklah jawatankuasa masjid dan surau yang terlibat dengan tazkirah tarawih ini mengambil kira faktor isi tazkirah itu sendiri. Tak salah hendak beri tazkirah kerana ramai jemaah, namun kalau pengisiannya terlalu panjang, atau nampak sangat kedengaran politikal, maka kita seharusnya mempertimbangkan jemaah yang lain yang mungkin bukannya hendak dengar sangat kuliah-kuliah politik ini. Lainlah kalau memang surau itu atau masjid itu memang markaz parti, barangkali terpulanglah kepada jawatankuasa masjid atau surau tersebut sebab yang hadirnya memang majoriti penyokong parti.
  • Alangkah eloknya tazkirah tarawih itu dibuat ringkas tetapi padat mencakupi topik-topik berkaitan Islam terus kepada asasnya; soal akidah, ibadah dan akhlak. Barangkali ada yang mengatakan pengisian berulang itu membosankan namun bukankah manusia itu kerap lupa. Sebab itu si penyampainya yang main peranan untuk menjadikannya lebih bermakna, dan bukannya sekadar satu cakap-cakap bual kosong yang hanya mengisi masa lapang antara rakaat tarawih. Soal berkenaan tauhid, ibadah dan akhlak merupakan isu malar segar yang seharusnya diperkukuhkan dalam hati nurani umat Islam. Lebih-lebih lagi yang berkaitan keimanan dan berlaku ihsan, topik-topik yang sebenarnya jarang mencuri perhatian dalam kuliah-kuliah di masjid yang biasanya lebih memberati hal-hal berkaitan hukum-hakam dan fiqah.
  • Pengalaman penulis dalam satu tazkirah tarawih cukup mengujakan. Si pemberi tazkirah menerangkan perkara-perkara yang kita sendiri selalu lakukan tetapi biasanya silap. Contohnya kenapa bacaan La haula wala quata illa billah hi 'ali yil azim dan bukannya 'ali yul azim sebagai mana yang selalu dibaca oleh orang ramai. Atau mengapa walad dholin itu tidak ada qalqalah (seperti yang kadang-kadang kita dengar walada-dholin..). Soal-soal sebegini walaupun kecil namun manfaatnya besar untuk membetulkan kebiasaan yang salah. Masa yang diambil pun tidak terlalu lama. Barulah tercapai maksud, 'hendak beramal mesti ada ilmu.'
  • Namun, andai tazkirah tarawih pun hendak cerita politik yang mana dengan mudahnya kita boleh baca daripada akhbar, buku, majalah, internet atau hadir ke ceramah umum yang sememangnya hampir tiap-tiap hari pun kita boleh dapat, apa lagi dengan maki hamun, fitnah-memfitnah dan 'undi ini wajib syarie, undi itu haram syarie'; sudah semestinya rasa iman dan ihtisaban itu sudah sudah semakin luntur... maka akan terampunkah dosa kita?
  • Walaupun penulis cenderung kepada 'bahawa Nabi SAW tak buat tazkirah tarawih, tetapi kita pun hendak meraikan amalan yang moga-moga membawa ke arah kebaikan sebagaimana tazkirah tersebut. Cuma itulah, kepada mereka yang hendak bertazkirah, ingat-ingatlah pada bulan mulia ini, elok sangat diperkuatkan mahabbah berbanding disemai dengan rasa perpecahan antara umat Islam. Isu akidah jauh lebih utama berbanding hendak menuduh orang itu dalang itu dan orang ini dalang ini. Sudah-sudahlah seharian bergelumang dengan politik, dalam kita beribadah hendak mendekatkan diri kepada Allah pun hendak berpolitik juga? Alangkah ruginya manusia? Alangkah ruginya!
  • Akhir kalam, menjelang penghujung Ramadhan ini, seharusnya kita lebih bersungguh-sungguh mengejar kerahmatan dan keredhaan yang terbuka luas di dalam bulan yang mulia ini. Lebih-lebih lagi, di dalamnya terkandung satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, maka seeloknya kita menguatkan tekad bagi menghirup kelebihan malam tersebut. Soal berkenaan bilakah malam tersebut dan apakah tanda-tandanya sudah banyak dibahaskan baik dalam buku, kitab dan terkini, internet. Apa guna kita bahas bila terjadinya malam tersebut andai kita tidak pula bersungguh-sungguh untuk mengejar malam itu?
  • Oleh sebab itu, selamatlah beribadah bagi menghabiskan hari-hari dalam Ramadhan yang tinggal dan berdoalah agar kita dapat ketemunya pada tahun-tahun akan datang...Amin.

Tuesday, August 2, 2011

Rebutlah peluang Al-Mubarak

  • Ramadhan al-Mubarak tiba lagi dan sudah semestinya bulan yang penuh barakah dan rahmat ini menjadi masa yang ditunggu-tunggu oleh segenap lapisan umat Islam dengan pelbagai alasan. Ada yang hendak mencari keberkatan dan limpahan kurnia yang berlipat kali ganda dari segi pahala dan ganjaran kebaikan dan ada juga yang berkira-kira tentang keuntungan yang dapat dijana dalam bulan ini dengan jualan yang cukup-cukup 'laku' sama ada jualan berbuka puasa mahu pun jualan menyambut hari raya.
  • Sesungguhnya, sama ada keuntungan itu diperoleh secara duniawi mahu pun ukhrawi, terbukti sudah Ramadhan sebagai bulan yang melimpah-ruah manfaatnya yang seharusnya dikejar oleh setiap orang yang diberi peluang menikmatinya. Andai tidak, maka sudah semestinya seseorang itu tergolong di dalam golongan yang rugi.
  • Tiap-tiap malam bermula malam pertama Ramadhan, kebanyakkan umat Islam akan turun beramai-ramai ke masjid dan surau bagi menunaikan Solat Sunat Tarawih. Barang perlu diingati bahawa Solat Sunat Tarawih merupakan ibadah yang istimewa kerana hanya dilaksanakan pada bulan Ramadhan. Walau pun ada ulama berpendapat bahawa Tarawih merupakan "solat sunat malam pada malam Ramadhan," pendapat sebegini tidak langsung menghalang umat Islam untuk menunaikannya secara berjamaah.
  • Cuma kadang-kala, ada jemaah yang seboleh-boleh mencari surau atau masjid yang bacaannya laju dan lekas habis, dengan harapan dapat mengikuti jemaah tarawih sehingga habis. Hal sebegini sudah pasti mencacatkan matlamat asal tarawih itu sendiri kerana seharusnya dilakukan secara sukarela dan khusyuk. Kalau bacaannya terlampau laju tidak menjaga tajwidnya, bagaimana mungkin sembahyang tersebut hendak diterima sebaiknya oleh Allah Taala?
  • Justeru, andai tidak dapat mengikut imam membuat sampai 20 rakaat, buatlah seadanya. Andai hendak buat 20 tapi tak larat hendak tunggu baca sampai sejuzuk, mungkin boleh pilih tempat yang membaca ayat-ayat lazim dengan tertib (kadang-kala, 20 rakaat pukul 9.30 dah habis!). Kalau yang lapan, pergilah yang membaca bacaan yang panjang. Kalau dua-dua tak berkenan, buatlah sendiri di rumah seafdal-afdalnya menjelang sepertiga malam [1]. Kalau tak mampu juga, buatlah seadanya bila-bila masa dari selepas fardhu Isyak sehingga waktu Subuh; asalkan jangan dilepaskan. Sungguh pun tahapnya sunat, janganlah diabaikan mahu pun janganlah sehingga menjejaskan jasad pula.
  • Kepada tok imam yang mengimamkan sembahyang tarawih, sangat patut dijaga bacaannya terutamanya Al-Fatihah kerana Al-Fatihah adalah rukun sembahyang baik sembahyang wajib mahu pun sembahyang sunat. Elok sangat Fatihah itu dibaca sepotong-sepotong ayat kerana yang demikian itu merupakan amalan Nabi SAW [2]. Janganlah kiranya hendak mengejar waktu, senafas sahaja langsung Fatihah itu dihabisi sedari Bismillah hingga Waladdholiiin! Fatihah merupakan Ummul Kitab, justeru seharusnya surah ini dijagai statusnya dijaga kerana sebagai surah paling istimewa di dalam Al-Quran.
  • Soal 20 atau lapan rakaat Tarawih tidaklah mahu dibincangkan pada kali ini kerana terlalu banyak blog-blog, buku rujukan, perbahasan dan polemik berkaitan dengannya sehingga kadang-kala lebih panjang daripada perbincangan fadhilat Ramadhan itu sendiri.
  • Berkenaan soal keringanan untuk berbuka puasa ketika puasa, kepada mereka yang harus berbuka, maka eloklah berbuka daripada puasa andai puasa itu mendatangkan mudarat. Kita tidak mahulah mereka yang terkesan dengan puasanya (puasa beri kesan buruk) terus berpuasa terutamanya bagi pekerja-pekerja yang terpaksa membanting tulang pada panas terik, pemandu bas dan pesakit-pesakit tertentu yang perlu makan semasa bulan puasa [3]. Begitu juga bagi musafir, memanglah kalau hendak dibanding zaman nabi berunta, akan tetapi musafir tetap musafir tidak kira naik unta, naik kereta mahu pun naik kapal terbang. Allah mengkehendakkan kemudahan dan bukannya kesukaran [4]. Andai tidak larat, tidak ada cacat-celanya mereka yang berbuka kerana sebab-sebab yang dibolehkan itu.
  • Soal korek hidung, telan air liur, kentut dalam air, gunakan ubat mata pun tidaklah hendak dibincangkan pada kali ini; sama ada batal mahu pun tidak. Puasa sebenarnya menggalakkan umatnya menahan daripada melakukan perbuatan yang dibolehkan semasa tidak berpuasa. Larangan itu lebih kepada makan dan minum dan melakukan hubungan jenis. Oleh sebab itu, andai kita hendak mencapai martabat yang tinggi dalam berpuasa, maka eloklah 'diketatkan' apa yang 'longgar' sebab itu merupakan amalan ahli salik. Kita sebenarnya berusaha mencapai tahap puasa yang terbaik dan tidak sekadar menahan makan, minum dan seks sahaja. Jadi, ada eloknya kita ambil perhatian tentang perkara yang mengurangkan pahala puasa setelah kita sudah pun faham erti puasa itu sendiri.
  • Oleh yang demikian, dalam 'menahan', amat patutlah ditahan sekali hawa nafsu kita tatkala berhadapan dengan orang ramai yang pelbagai ragam. Nafsu berskodeng, nafsu lirikan mata dan nafsu berahi haruslah ditahan supaya lengkap puasanya. Sama ada lelaki mahu pun perempuan, tahanlah mengumpat dan mengata hatta profesion tersebut menuntut untuk bergosip (macam wartawan politik, hiburan) kerana apa yang dikata dan diumpat akan menjadi tanggungjawab kita yang menyampai. Ingatlah yang fitnah itu lebih dahsyat implikasinya berbanding membunuh [5]. Frasa ini ialah maksud ayat suci Al-Quran, dari hal itu jangan dimulut sahaja jadi bual bicara tapi amalnya tidak kerana kelak, anggota badan yang menjadi saksi akan apa yang kita perkatakan tapi kita tidak pula perbuat.
  • Pada masa yang sama, elok dikurangkan hiburan kerana hiburan berlebihan sama melalaikan dan membawa kesan lagho. Kalau hari-hari menghadap telenovela, sinetron, drama Korea, muzik K-Pop dan sebagainya eloklah dikurangkan. Gantikan dengan bacaan Al-Quran sebab bulan Ramadhan itu bulan Al-Quran diturunkan. Bertadarus kalau boleh, andai kesibukan maka curilah masa untuk membaca Al-Quran. Janganlah sampai sudahlah bulan-bulan biasa Al-Quran tidak baca, bulan Ramadhan ini pun tidak mahu diambil peluang untuk membacanya! Bacalah walau semuka dua kerana yang demikian itu lebih baik daripada tidak melihat kalam Allah langsung sedangkan bulan ini bulan kenuzulannya!
  • Betul, kita hendaklah buat sebagaimana biasa pada bulan ini (bekerja sebagaimana biasa) namun bulan ini bukannya bulan biasa. Ibadah umum (kerja, cari rezeki) memang tidak boleh dihentikan namun yang khusus biarlah kita cuba tambahkan terdaya mampu sebab Ramadhan ialah bulan ibadah. Alangkah ruginya andai kita langsung tidak mencuba untuk merebut peluang keemasan ini umpama sudah terhidang di depan mata tetapi masih enggan memanfaatkannya. Umpama lain ialah sudah diberi modal tetapi tida mahu menggunakannya! Alangkah ruginya manusia ini. Alangkah ruginya!
  • Pendek kata, rebutlah peluang Ramadhan yang ada kerana belum tentu kita akan bertemunya lagi pada masa akan datang. Pada waktu negara dalam keadaan yang cukup-cukup aman, manfaatkan keamanan ini dengan menambahkan amalan kita. Bersedekahlah tanpa berkira-kira kerana sedekah merupakan amalan yang berterusan selagi harta itu dimanfaatkan. Janganlah dengan tangan kita sendiri kita campakkan diri kita ke lembah kebinasaan kerana kebakhilan kita [6]. Apatah lagi pada bulan Ramadhan ini, elok dilipat-gandakan amalan sedekah kita.
  • Moga-moga rahmat Allah pada bulan Ramadhan ini akan dapat kita kecapi jua! Amin!

Nota hujung

1. Sebagaimana sabda Nabi SAW dalam Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim bermaksud, 'Barangsiapa yang mendirikan sembahyang malam pada bulan Ramadhan kerana iman dan mengharapkan pahala, maka akan diampunkan segala dosanya yang lalu.' Sila rujuk misalnya Alawi Abbas Al-Maliki, Hasan Sulaiman An-Nuri dan Syeikh Abu Abdullah bin Abd Salam Allusy, Ibanah Al-Ahkam Syarah Bulughul Maram, terjemahan Nor Hasanuddin M. A. Fauzi, Al-Hidayah Publication: Kuala Lumpur, 2010. m.s. 446.

2. Sebagaimana hadis yang dipetik dalam kitab Syamail Muhammad SAW bermaksud, 'Rasulullah SAW membaca setiap ayat (Al-Fatihah) berasingan. Selepas membaca Alhamdullillahi robbil alamin, baginda berhenti sebentar. Kemudian selepas membaca Ar Rahmanir Rahim, kemudian baginda juga berhenti sekejap. Baginda juga berhenti selepas membaca Maaliki yaumiddin.' Hadis riwayat Tirmizi. Lihat Ahmed Ebrahim Bemat, Insan Teladan Sepanjang Zaman, diterjemahkan oleh Abdul Aziz Abdul Hamid, Darul Nu'man: Kuala Lumpur, 1998. m.s 305-306. Hal ini membawa maksud bacaan Al-Fatihah yang menuruti sunnah adalah dengan membaca secara wakaf untuk setiap ayat.

3. Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin (sekarang Prof Madya) pernah mengulas berkaitan pemandu bas yang sepatutnya berbuka puasa ketika memandu bas pada bulan Ramadhan seandainya berpuasa mengganggu pemanduannya kerana akan membahayakan dirinya dan penumpang yang lain. Hadis yang dipetik adalah yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang bermaksud, 'Rasulullah SAW dalam perjalanan lalu melihat orang ramai berkumpul dan seorang lelaki yang dipayung. Lalu baginda bertanya, "Kenapa?" Mereka menjawab, "Dia berpuasa." Baginda bersabda, "Bukanlah sesuatu yang baik berpuasa ketika musafir."' Lihat Mohd Asri Zainul Abidin, Mengemudi Bahtera Perubahan Minda, Utusan Publication & Distribution Sdn. Bhd., 2008, m.s. 109-110. Begitu juga dalam sebuah hadis riwayat Muslim bermaksud, 'Nabi SAW berangkat menuju Mekah pada tahun pembukaan Mekah dalam bulan Ramadhan, Ketika sampai di Kura' al-Ghamim, orang ramai tetap berpuasa; kemudian Rasulullah SAW meminta sekendi air, lalu diangkat hingga seluruh muslimin melihat ke arahnya, kemudian baginda meminumnya. Sesudah itu ada orang yang berkata kepadanya, bahawa sesungguhnya sebahagian orang masih ada yang tetapi berpuasa, lalu baginda bersabda, "Mereka adalah orang derhaka, mereka adalah orang yang derhaka." Rujuk hadis penuh dan syarahnya dalam Alawi Abbas Al-Maliki, Hasan Sulaiman An-Nuri dan Syeikh Abu Abdullah Abdus Salam Allusy, op.cit., m.s. 400-401.

4. Sebagaimana terkandung dalam ayat Al-Quran pada Surah Al-Baqarah, ayat 185 antara lain menyebut 'Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kesukaran'. Ayat ini antara lain menyatakan keringanan untuk umat Islam berbuka ketika bermusafir. Malah, menurut pendapat Imam Ahmad, adalah lebih afdal untuk yang bermusafir berbuka.

5. Merupakan maksud sebahagian ayat daripada Surah Al-Baqarah, ayat 191.

6. Sebagaimana firman-Nya di dalam Al-Quran, Surah Al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud, 'Belanjakan hartamu ke jalan Allah dan janganlah kamu campakkan diri kamu ke lembah kebinasaan; dan berbuat baiklah (ihsan) sesungguhnya Allah menyayangi orang-orang yang berbuat baik.' Selalunya frasa berkaitan mencampakkan diri ke kebinasaan itulah yang digunakan merujuk kepada jangan berbuat kezaliman kepada diri sendiri dan kepada orang lain. Maksud yang am lebih diraikan daripada maksud yang khas. Bagaimana pun, usah dilupa maksud sebenar itu kerana pangkal ayat hingga hujung ayat yang sempurna itu merujuk kepada gesaan menginfakkan harta ke jalan Allah dan kebinasaan itu disebabkan kita berlaku bakhil.