Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Wednesday, November 6, 2013

Sarang labah-labah dan hijrah

 

Hari ini genaplah 1435 tahun perkiraan tahun dan bulan dalam Islam dan di Malaysia, hari ini dijadikan sebagai satu lagi hari untuk bercuti dan menyambutnya. Perkiraan bulan dan tahun ini dilaksanakan dengan mengambil kira peredaran bulan dan sangat popular dengan gelaran takwim qamari.

Barangkali nama arab (' قمر  ' qamar = bulan) yang digunakan dalam Bahasa Melayu bagi menjelaskan jenis perkiraan tersebut menyebabkan mungkin ramai yang menyangka hanya 'tahun/bulan Islam' sahaja yang menggunakan peredaran bulan sebagai asas kalender mereka. Sedangkan, kebanyakkan etnik dan bangsa turut menggunakan pergerakkan bulan sebagai asas kepada kalender mereka seperti Cina, Korea, Jepun, Vietnam dan India.

Sebab itulah penulis sangat tidak setuju dengan istilah yang digunakan di Singapura yang merujuk 'Lunar New Year' sebagai sambutan 'Gong Xi Fa Chai' atau Tahun Baru Cina kerana melalui definisi, Awal Muharam juga ialah sejenis 'Lunar New Year.' Hal ini  membangkitkan pertikaian dasar di Singapura yang seolah-olah tidak mengiktiraf kewujudan bangsa Cina di negara itu dan tidak sensitif terhadap kewujudan kalender lain yang turut menggunakan takwim qamari sebagai asas pengiraan kalender mereka, seperti kalender Hijriah dan kalender India.

Kembali kepada Hijrah; takwim Islami ini mengambil kira masa penghijrahan Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam bersama-sama sahabat baginda, Abu Bakar As-Siddiq radiallahuanhu daripada Makkah ke Madinah. Apa yang menarik ialah pengkisahan hijrah itu disertai dengan peristiwa di sebuah gua yang dikenali sebagai Gua Tsur yang menjadi tempat persembunyian kedua-dua Nabi SAW dan Abu Bakar daripada musyrikin Makkah yang sedang mengejar mereka.

Salah satu keajaiban yang dikhabarkan dalam peristiwa di gua itu ialah peranan labah-labah dan burung yang membina sarangnya di pintu gua tersebut. Hal ini menyebabkan musyrikin Makkah yang sedang mencari mereka tidak berkeinginan untuk masuk atau tunduk ke lubang gua tersebut kerana kewujudan kedua-dua alamat tadi (sarang labah-labah dan burung) cukup untuk meyakinkan tiada siapa yang telah memasuki gua tersebut.

Justeru, mengambil manfaat daripada kejadian sarang labah-labah itu, kerajaan Malaysia telah menggunakan gambaran sarang labah-labah sebagai simbol kepada sambutan Awal Muharam peringkat kebangsaan yang lebih popular digelar Maal Hijrah. Simbol itu digunakan daripada tahun ke tahun dan seolah-olah menjadi simbol atau logo rasmi sempena sambutan Maal Hijrah. Kelihatan sungguh cocok sekali sambutan Maal Hijrah dengan simbol sarang labah-labah dengan huruf ha di tengah-tengahnya itu.

Simbol Maal Hijrah

Namun, hasil penerbitan naskhah-naskhah baharu yang membuat analisis dan perbandingan terhadap pengkisahan-pengkisahan yang popular dan berlegar di dalam masyarakat, didapati bahawa kisah bantuan labah-labah, burung dan sarang mereka itu boleh dipertikaikan kesahihannya. Misalnya karya Khadijah Bukan 40 Tahun ketika berkahwin dengan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, membawa sejumlah laporan ulama-ulama yang mendhaifkan kisah tersebut sama ada terus kepada kisah itu mahupun berasaskan kepada perawi-perawi yang meriwayatkan kisah tersebut  (Mohd Dzul Khairi Mohd Noor, 2012, 71-75). Pun begitu, pengarang turut menyertakan penghasanan hadis lain yang berkaitan seperti daripada  Ibn Hajar dan Ibn Kathir tanpa penglibatan watak burung.

Bahkan, sebelum ini pun dalam sebuah naskhah lain turut meletakkan kisah labah-labah dan burung di pintu gua Thur itu sebagai kisah yang dhaif. Naskhah tersebut ialah Kisah Para Nabi yang Tidak Boleh Dijadikan Hujjah. Bagaimanapun, perlu dijelaskan di sini penulis naskhah pertama berguru kepada penulis naskhah kedua; maka tidak hairanlah sekiranya pendapat yang ditakqulkan adalah sama. Akan tetapi, hal ini sudah cukup untuk meletakkan kisah ini mempunyai pertikaian-pertikaian yang perlu dibincangkan sekiranya kisah tadi hendak dijadikan dalil atau hujjah mengangkat peranan labah-labah dalam hijrah Nabi sallallahu alaihi wasallam.

Ada yang mungkin berhujjah, sesungguhnya peranan labah-labah dan sarangnya itu sabit di dalam Al-Quran sehinggakan ada di antara surah di dalam kitab suci itu dinamai Al-Ankabut (bermaksud labah-labah). Maka, hujjah ini boleh dijawab sebagaimana berikut.

Pertamanya, penamaan surah dalam Al-Quran tidak semestinya menunjukkan pengiktirafan terhadap subjek yang diangkatkan sebagai nama. Misalnya, surah Al-Baqarah tidak mengangkat lembu betina sebagai subjek perbahasan yang paling utama, apatah lagi hendak memberikan kelebihan kepada haiwan tersebut. Sementara Surah Muhammad yang sebahagian besarnya membincangkan hal-hal berkaitan jihad terhadap orang kafir, sememangnya merupakan satu penghormatan kepada Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam daripada segi penamaan.

Keduanya, sebagai hujjah penguat kepada hujjah pertama iaitu labah-labah dan sarangnya yang dipetik permisalan oleh firman Allah Taala bukanlah berbentuk pengiktirafan. Sebaliknya, perbandingan yang Allah firmankan dalam Surah Al-Ankabut ialah betapa rapuhnya iktiqad golongan musyrikin yang menyembah dan meminta perindungan daripada selain Allah seumpama betapa rapuhnya sarang atau rumah yang dibina oleh labah-labah. Firman-Nya dalam Al-Quran yang bermaksud:

‘Bandingan orang yang menjadikan yang lain daripada Allah sebagai pelindung ialah seperti labah-labah yang membuat sarang, sesungguhnya sarang-sarang yang paling reput ialah sarang labah-labah; sekiranya mereka mengetahui.’ (Surah Al-Ankabut, 29 ayat 41)

Memetik pendapat Al-Qurtubi, perbandingan terhadap sarang labah-labah itu adalah untuk memberikan gambaran tentang rapuhnya sarang itu, tidak dapat memberikan sebarang pertolongan dan perlindungan daripada cuaca panas dan sejuk (Salahuddin Abdullah dan Omar Khalid, 2009, 468). As-Sa'di berpendapat bahawa labah-labah ialah haiwan yang sangat lemah rumahnya pula ialah rumah yang paling rapuh. Manakala membina rumah yang rapuh itu tiadalah memberikan kekuatan kepada si labah-labah melainkan bertambah lagi kelemahannya. Maka begitulah juga orang-orang yang meminta pelindung selain daripada Allah, maka mereka bertambah lemah, bertambah reput malah tidak dapat sebarang pertolongan sekecil mana pun daripada sembahan-sembahan mereka itu. (2007, 487).

Nyata di sini penyebutan ibarat labah-labah dan sarangnya bukannya hendak mengangkatnya sebagai haiwan yang kecil namum berjasa atau cukup berjaya dalam berperanan dalam Islam atau sejarah Islam, sebaliknya menjadi kiasan kepada sembahan-sembahan yang lemah, dan yang si penyembahnya pula semakin dilemahkan oleh kelakuan menyembah yang lemah. Oleh sebab itu, labah-labah dijadikan misalan kepada orang yang meminta kepada yang selain daripada Allah yang tidak mengetahui bahawa mereka akan semakin rugi daripada pertolongan Allah.

Justeru, dengan kisah yang diragui statusnya dan tafsiran ayat Al-Quran yang bertentangan dengan gambaran asal dibuat untuknya, adakah sarang labah-labah masih releven untuk dijadikan simbol Maal Hijrah? Mungkin ada haiwan lain yang boleh dijadikan sebagai simbol hijrah seperti lebah kerana dalam kalam-Nya itu jelas mempunyai isyarat untuk memikirkan kejadian lebah, sarangnya dan madunya (boleh rujuk surah An-Nahl).

Ataupun, untuk bersikap lebih neutral dan tidak terlalu taksub kepada haiwan, bolehlah dibuat satu logo lain yang menerapkan gesaan untuk berhijrah ke arah kebaikan. Walaupun sebenarnya memang diakui, sambutan Maal Hijrah tidak semestinya memerlukan logo.

Namun, tidak juga menafikan penggunaaan logo sarang labah-labah sebagai simbol sambutan boleh dilihat sebagai bertentangan dengan isyarat yang dibawa oleh  Al-Quran itu sendiri, kerana sarangnya yang rapuh itu tidak memberikan kebaikan kepada dirinya sendiri, apatah lagi kepada orang lain. Justeru agak menyimpang daripada hasrat asal mengingati peristiwa hijrah yang merupakan titik permulaan ketamadunan Islam di atas muka bumi ini.

 

Rujukan

Abdurrahman bin Nashir As-Sa'di, Taisir Al-Karim Ar-Rahman fi Tafsir Kalam Al-Mannan, jld 5, terj. Muhammad Iqbal et. al., Jakarta: Pustaka Shifa, 2007.

Mohd Dzul Khairi Mohd Noor, Khadijah Bukan 40 Tahun Ketika Berkahwin dengan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, Seremban: Creative Publika, 2012.

Salahuddun Abdullah dan Omar Khalid, Tafsir Mubin, jld 4, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2009.

Monday, October 7, 2013

Risalah Tauhid

 

Selain daripada Idaman Penuntut, nama Abdul Ghani Yahya turut muncul dalam sebuah lagi kitab bertajuk Risalah At-Tauhid yang digunakan sebagai salah satu daripada teks rujukan untuk sistem persekolahan agama Kerajaan Johor bersama-sama seorang lagi nama penyusun iaitu Omar Yusof. Kitab ini merupakan suntingan kepada terjemahan asal oleh Yang Dipertua Jabatan Agama Johor Dato' Abdullah Abdul Rahman daripada sebuah kitab tauhid dari Mesir. Matlamat asal penyuntingan semula kitab ini oleh kedua-dua penyunting/penyusun ialah untuk menambahbaikkan aspek bahasa Melayu dalam naskhah terjemahan asal yang telah digunakan sebagai silibus pengajaran dan pembelajaran tauhid sejak tahun 1907. Susunan/suntingan baru telah diterbitkan pada 1953 sebagai membaiki jalan bahasa yang digunakan agar lebih mirip kepada lenggok bahasa Melayu dalam tulisan jawi.

Kini, kitab ini telah diterbitkan oleh Al-Hidayah Publications dengan alih tulisan daripada jawi ke rumi dan setidak-tidaknya telah diulang cetak semula pada 2012. Dalam konteks makalah ini juga, penulis merujuk kepada edisi rumi Al-Hidayah terbabit dalam mengulas isi kandungannya.

 

Gambar Muka Hadapan Kitab Risalah At-Tauhid Al-Hidayah Publication

 

 

Secara umumnya, Risalah At-Tauhid ialah sebuah kitab yang membincangkan akidah Asya’riyah dan Al-Maturidiyah yang lebih mudah dicirikan sebagai iktikad sifat 20. Sesuai dengan doktrin Asya’riyah dan Al-Maturidiyah, hampir separuh daripada kandungan di dalam kitab ini membahaskan tentang sifat wajib, pembahagian sifat-sifat tersebut dan selebihnya berkaitan rukun-rukun iman yang lain. Topik-topik berkaitan sifat Allah meliputi sifat 20 yang wajib dan mustahil, sifat harus, sifat nafsiyah, salbiyah, maa'ni dan maknawiyah, sifat taa'luk dan dua kategori sifat istighna dan sifat iftiqar.

Kesemua topik-topik berkaitan sifat Allah dan rukun-rukun iman yang lain akan disimpulkan sebagai akaidul iman yang terkandung dalam kalimah 'la ilahaillallah Muhammad ar-rasulullah' dengan paling sedikit iaitu 50 dan paling banyak iaitu 68. Sebab itulah juga antara gelaran yang diberikan kepada iktikad ini ialah Tauhid 50 atau Tauhid 68. Dan sebagai maklumat tambahan, kesemua pelajaran yang wujud dalam Risalah At-Tauhid masih lagi menjadi topik-topik pengajaran dalam silibus baru sepanjang pembelajaran penulis dalam sistem sekolah agama Kerajaan Johor daripada tahun 1994 hingga tahun 2000.

Kebanyakan topik-topik awal di dalam perbahasan sifat 20 sebenarnya masih mudah dihadam sehinggalah pelajar berhadapan dengan persoalan taaluk sifat Allah. Perbincangan topik ini memerlukan seseorang itu benar-benar memahami konsep taaluk sifat Allah yang agak samar. Penulis harus akui cabaran aqliah untuk memahami konsep taaluk ini semasa belajar dan sehingga kini pun penulis masih kurang jelas tentang natijahnya.

Kewujudan konsep Al-Uluhiyah dalam perbincangan Risalah At-Tauhid meletakkannya sebagai iktikad hibrid dengan jalur Salafi/Wahabi. Kumpulan Salafi/Wahabi mempunyai tiga konsep tauhid yang dianuti dan salah satunya ialah Tauhid Al-Uluhiyah. Dua lagi konsep tauhid ialah Tauhid Ar-Rububiyah dan Tauhid Al-Asma wa Al-Saffat. Seingat penulis, ketiga-tiga pembahagian tauhid itu turut disentuh dalam pembelajaran subjek Tauhid semasa penulis masih bersekolah di sekolah agama, namun apa yang penulis faham ialah konsep Al-Asma Wa Al-Saffat Al-Asya’riyah/Al-Maturidiyah berbeza dengan Salafiyah/Wahabiyah.

Apa yang difahami tentang Al-Asma wa Al-Saffat dalam konteks Al-Asya’riyah/Al-Maturidiyah ialah persoalan-persoalan sifat 20 dan huraian panjang lebar tentangnya (sifat salbiyah, taaluk dsb), dan nama-nama Allah yang 99 sebagaimana tersenarai dalam hadis riwayat Tirmizi. Sementara itu, kumpulan Salafiyah/Wahabiyah tidak dapat menerima bahawa sifat yang wajib bagi Allah itu hanya 20, mendakwa bahawa sifat wajib 20 walaupun mempunyai asas pendalilan daripada Al-Quran, namun konsepnya lebih kepada mantik/akal, dan enggan memuktamadkan senarai 99 nama Allah menurut apa yang disebutkan dalam riwayat At-Tirmizi; kerana mendakwa hadis berkenaannya ialah hadis dhaif.

Kitab Risalah At-Tauhid turut mengemukakan pendapat yang agak bertentangan dengan iktikad masyhur bagi Asya’riyah/Maturidiyah pada sifat Allah yang disebut dalam Al-Quran yang mempunyai maksud yang sama dengan anggota manusia, misalnya tangan dan muka. Khusus bagi kedua-dua anggota tadi, kitab ini menyatakan terdapat dua pendapat berkenaannya dalam topik perbahasan mukhalafatuhu taala lilhawadis (m.s. 31-32). Pertama ialah pendapat ulama mutaqaddimin (sahabat, tabiin dan tabi at-tabiin) yang beriktikad bahawa kedua-duanya sabit secara yang layak kepada Allah, mensucikan Allah daripada sifat yang baharu dan menyerahkannya kepada pengetahuan Allah jua tentang bagaimanakah ia. Pendapat kedua ialah pendapat ulama mutaakhirin dengan mentakwilkan sifat tersebut kepada maksud lain, misalnya tangan ditakwilkan sebagai kuasa Allah. Kitab ini menyatakan bahawa pandangan mutaqaddiminlah yang lebih selamat (i.e. sentosa).

Pandangan yang mengisyaratkan bahawa kaedah mutaqaddimin lebih baik, jelas bertentangan dengan pendapat masyhur pendukung Asya’riyah/Maturidiyah yang sering menggunakan kaedah mentakwil sifat-sifat anggota bagi Allah kepada maksud yang lain. Dalam pendapat yang masyhur di kalangan mereka yang mengaku berpegang kepada Asya’riyah/Maturidiyah, mengatakan 'tangan Allah' sebagai tangan Allah telah menjisimkan dan menyamakan Allah dengan makhluk, sekali gus bersalahan dengan sifat mukhalafatuhu taala lil hawadis (bersalahan Allah dengan makhluk). Sebab itulah mereka lebih gemar mentakwilkan tangan Allah dengan 'kuasa Allah' supaya penyamaan sifat Allah dengan makhluk-Nya tidak berlaku.

Oleh hal yang demikian, bolehkah dikatakan walaupun isi kitab Risalah Tauhid ialah cenderung kepada pandangan Asya’riyah/Maturidiyah dalam soal sifat Allah, pengaruh fahaman lain yang mengunggulkan pemikiran Salaf tetap ada, kalaupun tidak semua. Penulis kurang arif tentang pembelajaran subjek Tauhid sebelum silibus baharu diperkenalkan pada 1994. Tetapi pada hemat penulis, sekiranya hanya isi kitab ini sahaja yang digunakan sepenuhnya dalam pembelajaran ilmu tauhid sehingga Darjah Khas, nescaya silibus yang penulis gunakan itu lebih lengkap kerana ditambahi dengan topik-topik tentang sejarah dan ciri-ciri ajaran sesat dan mengelirukan seperti Syiah, Khawarij dan Muktazilah, ajaran Bahaiyah, Ahmadaniyah dan lain-lain. Topik Syiah misalnya diajar dua kali pada darjah lima dan enam. Selain itu, soal-soal berkenaan takdir As-sami'yat, Rasul, Kitab, akhirat, juga mempunyai ulasan yang lebih panjang.

Bagaimanapun, hal ini sama sekali tidak mengurangkan kelebihan Risalah At-Tauhid sebagai rujukan penting dalam ilmu berkaitan dengan akidah. Pembaikan bahasa yang dijadikan sebagai matlamat utama tampak tercapai, walaupun perlu diakui juga, mungkin boleh diperbaik lagi. Potensi menjadikannya sebuah kitab yang lebih baik boleh dibuat dengan menambahkan syarah atau penerangan yang releven pada topik-topik yang mencabar pemikiran dan pemahaman. Paling istimewa ialah dengan teks sedia ada, perkaitan antara akaid 50 dan 68 sebenarnya tampak jelas pada penutup kitab bagi menjelaskan kalimah la ilaha illallah dan Muhammad Rasulullah sebagai senarai yang perlu diimani oleh seseorang yang mengaku sebagai pendukung fahaman Asya’riyah dan Abu Mansur Al-Maturidi.

Wednesday, October 2, 2013

Sindiran berdesing Al-Ustaz Hanafiah

 

'Mak bapak sekarang ni, balik-balik menyanyi je. Cubalah ajak anak-anak berzikir ke, ini tidak, asyik-asyik nyanyi aje. Dah sekarang ni,

"Aku yang dulu bukanlah yang sekarang,

Dulu ku ditendang, sekarang ku diterajang." '

Personaliti ini agak kerap muncul di televisyen dalam pentas keagamaan dengan forte-nya membincangkan permasalahan sosial yang melanda umat Islam. Isu-isu seperti remaja mengandung anak luar nikah, pergaulan seks bebas, pelacuran, penagihan dadah dan keruntuhan akhlak sememangnya banyak meniti di bibirnya. Pendek katanya beliau bolehlah dinisbahkan sebagai pegawai D7 PDRM kerana usaha dakwah beliau lebih terarah kepada sasaran divisyen terbabit. Malah, beliau turut terlibat dalam usaha dakwah di pedalaman Malaysia dalam rangka penyebaran agama Islam dan turut menyelitkan pengalamannya itu dalam kuliah-kuliahnya.

Penulis perlu akui amat jarang berkesempatan mengikuti penyampaian Ustaz Hanafiah Abd Malek. Namun, acap kali berkesempatan menontonnya, penulis dapati ada keistimewaan tersendiri yang dipamerkan olehnya. Walaupun perlu diakui penyampaiannya bukanlah penuh dengan patah-patah Al-Quran dan Al-Hadis setiap saat dan ketika, atau begitu banyak diselitkan dengan pendapat-pendapat ulama besar, isu yang diketengahkan oleh beliau cukup dekat dengan masyarakat Melayu/Islam di Malaysia. Kebejatan sosial di kalangan ummah bukanlah satu perkara yang baru dan penyelesaiannya sangat didambakan oleh umat Islam. Usaha beliau dalam menangani permasalahan ini merupakan satu usaha yang cukup mulia apatah lagi beliau sendiri turut turun padang bagi memahami masalah tersebut secara terus.

Dalam siri Al-Kuliyyah yang terakhir yang ditayangkan untuk tahun ini (menurut pengacaranya), Ustaz Hanafiah dijemput bagi memperihalkan dosa-dosa kering dan pastinya beliau turut mengulas tentang kelakuan remaja Muslim masa kini. Penulis tertarik dengan dua perkara yang beliau bangkitkan berkenaan topik tersebut.

Pertamanya ialah betapa pengakuannya yang sungguhpun beliau bukanlah al-ustaz penuh dengan ilmu syariah sebagaimana ustaz-ustazah yang lain (dan beliau sendiri mengakui bahawa mereka yang lain itu lebih tinggi taraf keilmuannya dan beliau memuliakan mereka), beliau tetap telah menjalankan tanggungjawab untuk berdakwah dan melaksanakan amat makruf nahi mungkar. Dengan pengakuan dan ayat-ayat seumpama itu, seolah-olah ada isi tersirat yang cuba disampaikan iaitu soal tanggungjawab dakwah sehingga ke tahap akar umbi. Misalnya beliau terlibat untuk ke lorong-lorong gelap tempat wanita melacurkan diri mereka untuk mendapatkan sumber pendapatan, dan ke kawasan pedalaman dalam rangka usaha dakwah kepada mereka yang tinggal di sanasampaikan rombongannya tersekat dek segerombolan babi di dalam hutan. Secara berlapik, beliau sebenarnya membangkitkan isu berkenaan gerak kerja dakwah ke peringkat yang lebih rendah iaitu secara langsung kepada subjek sasaran.

Hal ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sebetulnya rakyat pun boleh tertanya-tanya mengapakah kebejatan sosial dalam masyarakat Islam itu berterusan dengan fitnah yang hadir daripada segala penjuru alam. Mengapakah pula masih berlaku gejala murtad di kalangan orang yang sedia lahir dalam Islam ataupun mereka yang baharu sahaja masuk Islam. Sedangkan penstrukturan Jabatan Agama negara ini bolehkah dianggap sebagai sangat-sangat baik dan sepadanlah dengan imej negara yang menproklamasikan dirinya sebagai negara Islam. Ustaz-ustaz pendakwah bebas kita pula pada masa sekarang ini pun merupakan ikon selebriti yang cukup dikenali dan dihormati sehingga tak menang tangan untuk memenuhi undangan ceramah, kuliah dan sesi soal jawab. Mereka kini hadir ke majlis-majlis kuliah setidak-tidaknya dengan kenderaan yang cukup sempurna, kalau pun bukan yang mewah; namun jauh sekali memandu kereta capuk bercap Datsun dengan enjin meragam yang boleh kedengaran berbatu jauhnya. Meskipun begitu, mengapakah masih wujud dan berterusan gejala negatif sosial di kalangan umat Islam masa kini sedangkan kalau masa program ustaz-ustaz sebegini diadakan, penuh sampai ke luar masjid gamaknya orang hendak mendengar pelajaran!

Syiar agama tidak pernah dilarang dalam Malaysia, malah menerima bantuan daripada pihak kerajaan pula. Ustaz-ustaz selebriti sebegini begitu diraikan lantaran keilmuan mereka dan cara penyampaian yang memikat atau memberikan motivasi kepada penonton yang hadir dengan penuh berkarisma, maka sukar sangatkah untuk berdakwah kepada orang asli, mat rempit, kupu-kupu malam dan penagih tegar? Bukanlah penulis mahu mengangkat setinggi-tingginya Ustaz Hanafiah kerana berpeluang melaksanakan usaha-usaha terbabit, maklumlah tiada lagi insan yang maksum selepas kewafatan Nabi SAW. Cuma usaha dakwah dan tarbiyah seumpama itu sebenarnya amat jarang diangkat sebagai model dan tugasan yang perlu dibanggakan dan dituruti.

Paling habis pun ustaz selebriti sekarang ini, buat sesi soal jawab spontan, bagi jawapan, solek sikit jawapan itu dengan lawak jenaka, biar jemaah ketawa sambil menunggu punch line-nya, lalu tergelak besar. Dan apabila pulang ke rumah, akan terkeluarlah daripada mulut jemaah tadi, 'Ustaz tadi best la. Power giler, kelakar betul,' sedangkan ilmu dan dakwahnya tak diingat langsung! Sejak bila pula tugas ustaz-ustazah ialah sebagai menghiburkan orang ramai dengan gelak-tawa komedi?

Jarang sangat kita dapat menonton siri ustaz menyebu kelab malam, menegur anak muda Muslim remaja yang terpesong pegangan hidupnya sehingga menjadikan arak sebagai minuman harian, dadah sebagai makanan harian dan seks bebas sebagai mainan harian. Sedangkan sepatutnya penonton kepada pendakwah hebat bukan sahaja mereka yang datang ke masjid atau yang menonton mereka media massa, sebaliknya harus melibatkan mereka yang tak pernah menjejak kaki ke rumah Allah, tidak pernah berdiri di tikar sembahyang dan asyik dan bergembira di rumah syaitan.

Isu kedua yang dibangkitkan oleh Al-Fadhil Ustaz dalam sesi Al-Kuliyyah itu menyentuh berkenaan minat ibu bapa sekarang agar anak-anak mereka berhibur dengan menyanyi. Walaupun Ustaz Hanafiah hanya menyanyikan parodi bait-bait lagu itu, majoriti penonton boleh agak lagu apa dan siapa yang menyanyikannya. Justeru beliau menyeru agar ibu bapa berubah dengan menerapkan pendekatan zikir, agar si anak lebih mengingati Allah sebagai alternatif kepada sekadar menyanyi. Walaupun beliau hanya menyentuh hal ini sekali lalu sahaja, makna tersirat sebenarnya boleh dicerap.

Dunia hiburan terlalu berlebihan sehinggakan anak-anak pun dimasukkan dalam bidang ini. Mereka menjadi selebriti dan menjalani kehidupan sebagai artis dan memenuhi undangan hiburan, sama ada menyanyi mahupun berlakon ke serata ceruk negara. Golongan artis cilik ini biasanya akan memperoleh pendapatan yang lumayan dan mampu menyara keluarga pula. Akan tetapi, apabila terjun ke dalam bidang hiburan seawal usia, risiko mereka terjebak dengan permasalahan dalam bidang hiburan turut tinggi. Contoh Hollywood sangat sesuai apabila kita dapat melihat bukan satu dua artis yang bermula pada awal usia, namun menimbulkan masalah besar kepada diri sendiri dan keluarga tatkala menginjak usia dewasa. Ada di kalangan selebriti cilik yang apabila sudah menjadi dewasa, merasakan dirinya dipergunakan oleh ibu bapanya pada ketika kecil lalubertindak untuk 'bercerai' daripada ibu bapanya. Sudah tentulah hal ini akan menyebabkan keruntuhan sebuah keluarga.

Selain itu, ibu bapa sekarang turut terlibat mempromosikan kanak-kanak sebagai artis dan hal ini boleh dilihat dalam stesen televisyen dan radio (pekerja stesen tv juga banyaknya berpangkat ibu bapa). Mereka cukup pantas mengambil peluang, misalnya penyanyi cilik Indonesia untuk dipasarkan di Malaysia, malah memberikan masa yang seluas-luasnya kepada penyanyi cilik terbabit untuk mempromosi diri. Pada masa yang sama, tindakan sebegini seolah-olah memberikan galakan kepada anak-anak supaya mereka mengikuti jejak langkah budak itu untuk menjadi selebriti dan menyara keluarga. Al-maklumlah, kalau dahulu belajar di sekolah pun tak mampu, sekarang ini nak belajar di sekolah pun dah tak sempat.

Kesannya ialah penghasilan generasi anak muda yang lebih berminat untuk menceburi bidang hiburan berbanding bidang lain yang diperlukan bangsa. Misalnya, ada artis-artis remaja yang rela menghadiri majlis berkaitan hiburan atas pelbagai alasan, berbanding lebih menumpukan pembelajaran; walaupun pada ketika itu mereka sedang berada dalam musim peperiksaan utama. Adakah suatu hari nanti, apabila dirinya sudah tidak lagi laku dan menghadapi pelbagai krisis sementelah usia semakin tua, mereka akan mengeluarkan kenyataan klise bahawa mereka tidak lagi dihargai oleh peminat seni, setelah sudah mengorbankan diri untuk menghiburkan orang lain? Kita bukanlah bersikap kejam terhadap penggiat hiburan yang sudah senior namun, pada hakikatnya perjuangan seni itu hanya berlaku sekiranya kita laku. Suatu masa, yang dipuja barangkali akan ditinggalkan. Pada ketika itu, janganlah menyalahkan orang lain pula kalau masa itu bukan lagi masa untuknya.

Tambahan pula, keperluan pemuda harapan bangsa yang menggalas tanggungjawab dalam bidang yang kritikal namun masih mengekalkan paksi agama semakin mendesak. Namun, usaha-usaha tersebut sekadar dipromosikan secara bermusim sahaja, tidak seperti program hiburan yang sentiasa berterusan sepanjang tahun, dua puluh empat, tujuh. Dicampur lagi, dengan kepesatan teknologi komunikasi dan maklumat dan gajet-gajet terkini yang sentiasa berubah, anak-anak muda masa kini lebih terdedah dengan gejala hedonisme bagi memenuhi kehendak kendiri. Agenda dakwah dan tarbiyah yang boleh mengeksploitasikan penggunaan internet kini bersaing sengit dengan pelbagai genre lain seperti hiburan nyanyian yang turut mendapat perhatian pelayar-pelayarnya, dan akhirnya yang akan lebih dominan mendapat sambutan tentulah yang bukan berkaitan agama. Kesannya, penyanyi-penyanyi baru mungkin akan dapat dilahirkan setiap hari namun, doktor yang hafiz, jurutera yang faqih atau setidak-tidaknya ahli politik yang berintegriti pun belum tentu mampu dilahirkan setiap tahun.

Justeru, peringatan yang disampaikan oleh Ustaz Hanafiah bolehlah diibaratkan sebagai kejutan kepada kumpulan sasar daripada para dai' dan para ibu bapa untuk menghalusi semula peranan mereka dalam mempertahankan kelangsungan masyarakat Islam di Malaysia. Sesungguhnya menyeru kepada makruf dan mencegah kemungkaran ialah tugas yang harus dipikul oleh setiap orang dalam komuniti Islami namun, siapakah lagi yang seharusnya menunjukkan uswatun hasanah kepada orang ramai dan anak-anak kalau bukan al-ustaz-ustazah dan ibu bapa? Ditambah pula dengan pelbagai lagi ujian dan cabaran yang melanda umat Islam di seluruh pelusok dunia yang menuntut ulama dan ibu bapa melaksanakan tanggungjawab mereka dalam rangka dakwah yang mampu memastikan syiar Islam terpelihara.

Untuk mereka yang bergelar ulama, kurangkanlah perbalahan hanya kerana perbezaan ideologi politik dan turunlah ke bawah bersama-sama umat, bukan sekadar di masjid-masjid dan majlis-majlis ekslusif sahaja. Dan untuk ibu bapa, memang berhibur itu dapat mengurangkan tekanan anak-anak dan barangkali boleh dijadikan sebagai punca rezeki keluarga, namun sedarlah bahawa umat masa kini terlalu dahagakan generasi Al-Quran yang mampu memberikan manfaat sejagat dan meraih kebaikkan duniawi dan ukhrawi.

Sunday, May 12, 2013

Mendoakan rahmat kepada mereka

 

Dalam Al-Quran, terdapat beberapa ayat yang menyeru supaya umat manusia (lebih-lebih lagi umat Muhammad) untuk menghormati dan menyayangi ibu bapanya dan mendoakan rahmat kepada mereka. Misalnya dalam Surah Al-Isra’ 17 ayat 23- 24, Allah berfirman:

Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya kamu tidak menyembah melainkan kepada-Nya dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua orang tua/ibu bapa. Jika salah satu atau kedua-dua daripada mereka telah benar-benar sampai (usia) tua maka janganlah kamu berkata kepada mereka berdua, ‘Ah!’ dan janganlah kamu menengking mereka berdua, dan (tetapi) katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (baik dan lembut). Dan hendaklah kamu merendah diri (bertawaduk/rendahkan sayap) kepada kedua-duanya dengan rahmat/kasih sayang dan katakanlah (berdoalah), ‘Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana keduanya memeliharaku/mendidikku semasa kecil.[1]

Dalam satu lagi ayat Al-Quran, melalui firmannya:

Dan kami wasiatkan/perintahkan kepada manusia untuk berbuat baik kepada ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya (dengan) kelemahan di atas kelemahan (mengandung, melahirkan & menyusui) dan tempoh cerai susunya dalam masa dua tahun, bersyukurlakh kamu kepada-Ku dan kedua ibu bapamu, kepada-Kulah tempat kembali. Dan jika mereka berdua memaksa supaya ka,mu mempersekutukan-Ku sesuatu yang tiada engkau ketahuinya maka janganlah kamu taat kepada mereka, dan bergaulah kepada mereka berdua di (pada masa hidup mereka di) dunia dengan baik (berbakti dan bersilaturrahim), dan turutlah jalan orang yang kembali kepada-Ku (mentaati-Ku) dan kemudian kepada-Kulah tempat kembali kamu semua maka Aku akan memberitahu kamu semua tentang apa yang kamu semua telah kerjakan.[2]

Tidak ketinggalan hadis Nabi SAW yang turut menekankan ketaatan dan kebaktian kepada ibu bapa sebagaimana sabdanya daripada Ibnu Mas’ud:

Aku pernah bertanya kepada Nabi SAW, ‘Apakah amalan yang paling afdhal?’ Jawabnya, ‘Sembahtang pada waktunya.’ Kataku, ‘Kemudian, apa lagi?’ Kata baginda, ‘Berlaku baik/berbakti kepada kedua ibu bapa.’ Kataku, ‘Kemudian, apa lagi?’ Kata baginda, ‘Berjihad fi sabilillah.’[3]

Dalam sebuah hadis yang lain, Abdullah bin Amru telah menjelaskan kepadanya bahawa berbakti kepada kedua ibu bapa semasa mereka masih hidup sebaik-baiknya itu lebih utama dan mendapat pahala daripada Allah sebelum berjihad ke jalan Allah. Justeru, Nabi SAW meminta sahabatnya itu pulang untuk berbakti kepada mereka lain.[4]

Barangkali kita terlupa, betapa firman Allah Taala dan hadis Rasulullah SAW tidak meletak pembatas sebarang hari untuk berbakti kepada ibu bapa dan mentaati kedua-duanya selagi tidak bertentangan dengan had-had Islam seperti kemaksiatan dan kesyirikan. Sedangkan sekiranya mereka bukan Islam sekali pun, masih ada tanggungjawab yang perlu disempurnakan kepada mereka.

Cuma hendak diingatkan dalam kita berhujah untuk berlaku ihsan, berbuat baik dan berbakti kepada kedua-dua ibu bapa, hendaklah kita menggunakan hujah yang syarie dan sahih, kerana teras agama dibina oleh asas-asas pendalilan yang sahih. Cukup-cukuplah kita menyiarkan drama yang watak maknya mengucapkan kepada anaknya bahawa ‘syurga engkau pun aku yang tentukan’ seolah-olah seorang ibu itu mempunyai kuasa Tuhan untuk nak menentukan anaknya masuk syurga atau neraka. Dogma ini sekali gus melebih-lebihkan ungkapan Nabi SAW yang menyeru agar si anak melakukan kebaikan kepada ibunya kerana syurga di bawah tapak kaki ibu. Kebaktian kepada ibu itu yang dituntut, mudah-mudahan dengan amal tersebut dapat membawa kepada si anak ke syurga dan bukannya segala-galanya ditentukan oleh si ibu lantaran dia penentu natijah anaknya semasa di akhirat kelak.

Pendek kata, anak-anak tak perlulah menunggu hari tertentu untuk melaksanakan tanggungjawab mereka kepada ibu bapa mereka. Sambutan tahunan seperti 'Hari Ibu' atau 'Hari Bapa' mungkin ada nilainya namun, apakah nilai tersebut andai hendak dibandingkan dengan hak-hak sebenar yang perlu dipenuhi oleh anak-anak terhadap orang tuanya selama mereka (orang tua) masih hidup. Justeru, hargailah mereka sekiranya ingin dihargai suatu hari nanti.

 

Nota hujung


[1] Maksud Surah Al-Isra’ 17, ayat 23-24 disesuaikan daripada Ahmad Hatta, Tafsir Al-Quran Perkata, 2010 (Chemor, Perak: Maghfirah Pustaka Al-Madani Enterprise, 2012).

[2] Maksud Surah Luqman 31, ayat 14-15 disesuaikan daripada Ahmad Hatta, Tafsir Al-Quran Perkata.

[3] Maksud hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Mas’ud. Rujukan lihat An-Nawawi, Yahya bin Syaraf, Ringkasan Riyadhus Solihin oleh Syaikh Yusuf Al-Nabhani terj. Abu Khodijoh Abdurrohim (Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn Bhd, 2010), 348.

[4] Intipati hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim daripada Abdullah bin Amru. Rujukan hadis lihat An-Nawawi, Ringkasan Riyadhus Solihin, 349.

Tuesday, April 23, 2013

Ustaz, binatang dan monyet.

 

Penulis rasakan umat Islam di Malaysia terlalu banyak sangat disogokkan dengan ustaz-ustaz yang isi ceramahnya tak seberapa, tetapi kalau hendak buat lawak, mengata dan mencerca orang, bukan main lagi. Sebab itulah mereka ini dengan mudahnya belagak Tuhan menggelarkan orang segini binatang ini dan orang begitu binatang sebegitu bagi menunjukkan betapa berilmunya dia di sisi orang lain.[1] Memanglah Allah Taala ada menggelarkan manusia itu umpama binatang namun, bukanlah sewenang-wenangnya Dia memberikan andaian-andaian sebegitu kepada kesemua manusia. Malah, itu merupakan hak mutlak-Nya untuk memberikan perumpamaan sebagai pengajaran kepada umat manusia, bukannya hendak memperkecil-kecilkan ciptaan-Nya.

Penulis sempat ke sebuah toko buku pada hari cuti seumpama hari ini dan meneliti buku-buku yang berada di pasaran. Disebabkan toko buku ini bersifat Islamik, ditayangkanlah di televisyennya dengan ceramah ustaz atau ustazah. Memang beginilah keadaannya di kedai-kedai buku Islamik dengan ditayangkan ceramah-ceramah agama, nyanyian nasyid atau zikir munajat. Satu ketika dahulu pemilik toko sebegini kerap juga memainkan bacaan-bacaan ayat suci Al-Quran, namun mungkin disebabkan tuntutan sebenar bacaan Al-Quran sebenarnya mewajibkan orang sekitarnya diam dan mendengarnya dengan betul[2], maka kini mereka sudah menyelitkan kegiatan sebegitu dengan pemasangan ceramah agama pula.

Hendak dijadikan cerita, penulis disajikanlah dengan ceramah seorang ustaz yang begitu pekat sekali loghat pantai timurnya membincangkan berkaitan sembahyang dan menuntut ilmu. Untuk berlaku adil, penulis akui tidak mendengar sedari awal ceramah itu diperdengarkan, jadi tidaklah berapa adil untuk menuduh ustaz itu perkara yang bukan-bukan. Namun, caranya menyampaikan ceramah kadang-kala terlebih-lebih sehinggakan memberikan pengertian yang agak mengejutkan; sungguh pun niat dan matlamatnya betul.

Pada saat awal penulis tiba ke toko buku tersebut VCD rakaman sedang berada pada bahagian ketika beliau sedang begitu bersemangat sekali membandingkan api neraka Allah dengan api di dunia. Beliau mencabar golongan yang buat maksiat untuk membakar tangannya dengan api, lalu ditanya sakit ke tidak. Nampaknya cabaran itu merupakan cabaran yang wajar, namun agak klise juga mendengarnya. Bagaimana pun, penulis berpegang kepada tidak ada istilah klise dalam belajar agama, bahkan kita dituntut untuk memperkukuhkan kefahaman agama kita walaupun ilmu itu sudah kita ketahui.

'Itu baru api dunia!' seru beliau lagi sambil menyifatkan api di neraka jauh lebih panas lagi. Kemudian tayangan diteruskan dengan ceramahnya dan sudah mulalah terkeluar daripada mulut beliau kalimah-kalimah seperti lembu, binatang dan monyet. Saat itu, penulis masih dalam proses meneliti judul-judul buku; kurang peka dengan penyampaiannya.

Namun, selepas satu ketika, baharulah penulis menangkap dan perasan betapa banyak kalinya kalimah-kalimah berbaur binatang yang si ustaz ini sudah ucapkan. Ringkasnya, ungkapan beliau menjurus kepada konotasi berikut: orang yang mencari rezeki tak sembahyang, macam binatang; orang yang cari rezeki, tapi tak datang majlis ilmu pun binatang, belajar tinggi-tinggi tapi macam binatang (lalu disebutnya ijazah-ijazah tertentu seperti Master, PhD...) yang tak datang jemaah pun binatang, yang datang sembahyang Jumaat sahaja pun macam monyet; yang bukan binatang ialah cuma orang yang datang kuliah ilmunya sahaja! Pendek katanya, seolah-olah ore yang dok dengo ceramoh hok die, tu maknenye nate la jugok, sebab tak date majelih die la tu (dengo di CD saje)!

Kalaulah Nabi SAW menyampaikan dakwahnya kata yang ini binatang ini, yang itu binatang itu, nescaya Islam tidak akan berkembang seperti sekarang ini lantaran ajaran yang terlalu membinatangkan orang! Ustaz-ustaz sebegini memang ramai pengikutnya. Sebab beliau bercakap dan mengata orang tu memanglah banyak. Mulutnya sangat mudah untuk menggelarkan orang lain itu dan ini. Kalau ditegur, pengikut setianya pasti akan membelanya dengan ungkapan, 'Siapa kamu kalau hendak dibandingkan dengan Ustaz Polan bin Polan? Ilmu entah ke mana sedangkan ustaz itu belajar segini-segini, bertalaqi dengan syeikh sekian-sekian. Ilmu baru sebanyak tahi mata sudah hendak tegur orang lain!'

Terus terang, apa yang betul-betul penulis ingat dalam ceramahnya ialah orang segini binatang ini, orang itu binatang itu. Hikmahnya tidak ada! Ayat Al-Quran jauh sekali. Hadis Nabi tak seberapa. Kata-kata ulama pun tak ada. Kenapakah orang yang nampak semasa sembahyang Jumaat sahaja digelar monyet? Kenapa tidak selar mereka yang tidak pergi berjumaat? Kenapa dok mengata orang yang tidak mendengar ceramah ilmu yang disampainya? Kenapa tidak pertikaikan orang yang mempergunakan agama untuk kepentingan diri dan puak-puak sendiri? Kenapa memonyetkan orang yang pergi mencari rezeki tak kelihatan ketika sembahyang atau ceramah agama? Kenapa tidak memonyetkan golongan-golongan yang sememang terang melaksanakan kemungkaran seperti berzina, merompak, atau yang cukup mudah mengkafirkan orang lain dan cukup suka mengutuk, memfitnah, mencela, memaki hamun dan mengata? Bukankah fitnah itu lebih berbahaya daripada membunuh?[3]

Niat si ustaz memang baik, lantaran berucap mengenai usaha menyeru manusia hadir ke majlis ilmu, sembahyang berjemaah, ingat kepada Allah dan sebagainya; namun untuk melabel orang dengan gelaran binatang, monyet dan lembu hanya kerana ‘tidak nampak mukanya di mata si penceramah’ merupakan langkah atau cara yang tidak berhikmah dan merendahkan martabat keilmuannya sendiri lantaran hikmah dan mauizahtul hasanah tak kelihatan (apa lagi uswatun hasanah!) Kalau si ustaz boleh menggelar orang dengan gelaran-gelaran yang menyakitkan hati, maka si pendengar dan pengikutnya pun akan terjebak sama mencontohi beliau dengan mudah melabel orang dengan gelaran cipan, tenuk, unta dan lain-lain. Akhlak Islamiyah yang tulen tidak akan terpantul melalui cara sedemikian sebaliknya akan tertonjol sikap dan sifat umat Islam yang suka mencarut-marut dan mulut yang lepas.[4]

Sedangkan sumber hadis sendiri menyebut mengenai barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam, menghormati tetangganya dan memuliakan tetamunya.[5] Maka adakah dengan membinatangkan orang akan dapat memenuhi keperluan daripada hadis Bukhari Muslim itu? Sememangnya kata-kata membinatangkan orang dengan begitu melampau menunjukkan sikapnya bahawa dia sahajalah yang betul, orang laing tak betul. Anehnya, hal ini tidak berlaku di dalam banyak program dakwah yang dilakukan oleh yang bukan-Islam. Mereka tidak membinatangkan penganut mereka sendiri, mereka tidak mengeluarkan kata-kata kesat semasa berceramah sebaliknya menyampaikan ‘dakwah’ mereka dengan halus, bermatlamat tinggi dan mempunyai kebijaksanaan yang begitu memikat. Sebab itulah uslub dakwah yang bukan-Islam lebih berjaya berbanding umat Islam sendiri seterusnya menyebabkan ada dikalangan umat Islam yang bekeperluan yang sanggup pergi ke gereja untuk mendapatkan bekalan dan sokongan.

Terkenanglah kepada tafsiran Hamka berkaitan ayat yang kerap kali kita dengar semasa kita berhari raya mahupun berjumaat, ‘Maka berilah peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu ada manfaatnya bagi orang-orang yang beriman,[6]’ dan satu lagi ayat, ‘Maka berilah peringatan, sesungguhnya engkau (Muhammad) tidak lain ialah seorang pemberi ingat.’[7] Hamka bertanya, ‘adakah kedua-dua ayat ini berlawanan?’ Bahkan menurutnya yang pertama merujuk kepada cara kita memberi ingat sementara ayat kedua bersama sambungan selepasnya membawa maksud tiadalah Nabi SAW itu semata-mata hanyalah Rasul sahaja, tugasnya ialah menyampai sahaja; sedangkan yang memberi hidayah itu Allah. Tetapi, dalam hendak menyampai pun mestilah dengan cara yang betul, keadaan yang betul. Jangan dikuliahkan cara universiti kepada orang kampung dan janganlah diberikan hujah yang dangkal kepada yang terpelajar![8] Alangkah eloknya pendakwah jadikan kedua-dua Firman ini sebagai model terbaik dalam penyampaian dakwah dan nasihat?

Kalau dah ustak pun cakap hok yang ni binatang ini, yang itu binatang itu, dok buak lawak bodo, ada orang yang ngumpul sebab nak ngaji ilmu ngan ustak? Yang nontong seronok dok gelak apo yang ustak royat tu adalah! Tak tau dok gelak sebab lawak ustak atau gelakkang ustak sendiri!

Fikir-fikirkan sendiri dan renung-renungkan (Nak lawak berpada-pada, jangan sampai ilmu hilang di dada, kerap nanti kita merana, terjerumus sebab lidah binasa, masuk pula dalam neraka!). Seorang ustaz hendaklah dalam kuliahnya mengungkapkan apa yang Allah kata, apa yang Nabi sabda, apa yang ulama faham berasaskan kefahaman generasi salaf; supaya anak muridnya mendapat faedah daripada apa yang didengarinya; sama ada daripada peringatan mahu pun ancaman. Kaji bagaimana Nabi berdakwah yang pasti bukannya sehingga sahabat hoo ha, hoo ha gelak berdekeh-dekeh.

‘Kalau gitu bosanlah orang nanti tak mahu mari belajar agama!’ mungkin ada yang kata.

Maka memang benarlah, membawa agama itu berat. Sebab itu Allah utuskan Nabi kepada umat manusia menerangkan agama kepada mereka. Dan ulama itu ialah pewaris kepada kerja-kerja dakwah Nabi.[9] Ulama bukannya Nabi, tapi mereka harus setidak-tidaknya mengikut sunnah Nabi dalam cara berdakwah. Dan tiadalah yang lebih layak yang dibawa oleh seorang ulama dalam pengajarannya melainkan Al-Quran dan Hadis.[10]

Tambahan pula tugas kita bukanlah untuk menggelarkan orang lain berasaskan zahir apa yang kita lihat sahaja sebaliknya tugas kita adalah untuk beribadah kepada-Nya.[11] Jangan biarkan perasaan riak menyelubungi ustaz-ustaz kita sehingga mereka dengan sesuka hati menggelarkan orang lain itu dan ini, macamlah dirinya sehabis sempurna dan telah dijamin syurga. Hal ini kerana riak merupakan sehampir-hampirnya manusia kepada syirik. Tugas menggelarkan orang itu dan ini bukan tugas kita. Dan sesungguhnya hanya Allah Taala sahaja yang mengetahui tahap keikhlasan hamba-hamba-Nya.


[1] Kita pun pernah mendengar ungkapan seperti ‘Allah Taala pun mencarut’ daripada salah sebuah parti politik tanah air; seolah-olah merasionalkan dan menjadi dalil kalau Tuhan pun mencarut, manusia sebagai hamba-Nya lebihlah lagi boleh mencarut! Pernyataan sebegini dibidas oleh banyak ulama lain namun bagi penyokong tegar parti politik tersebut, dengan semudahnya melabelkan ulama sebegini sebagai jahil ilmu dan merupakan ulama UMNO. Misalnya di dalam Tafsir Mubin, pengarangnya ada mengulaskan isu Allah ‘memaki-hamun’ dan menurut mereka, kelakuan mengeluarkan kata-kata kesat, cacian, celaan dan makian itu sendiri diharamkan oleh Allah Taala berdasarkan Surah Al-Hujurat, 49 ayat 11. Seandainya wujud ayat-ayat yang bersifat makian, maka itu merupakan hak mutlak Allah sebagai Tuhan kita dan kita sebagai hambanya tidak berhak pula berbuat demikian. Lihat Salahuddin Abdullah dan Omar Khalid, Tafsir Mubin jld.6 (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2009), 693-695.

[2] Merujuk pendapat Mufti Pulau Pinang berkenaan memainkan bacaan ayat suci Al-Quran di corong masjid.

[3] Surah Al-Baqarah: 2, ayat 191 dan ayat 217. Perlu diakui di sini bahawa konteks bagi kedua-dua ayat ini ialah berkaitan peperangan dan kalimah ‘fitnah’ itu sendiri ditafsirkan sebagai berbuat kesyirikan sebagaimana Ibnu Kathir memetik pendapat Ibn Abbas, Abu Al-Aliyah, Mujahid, Al-Hasan, Qatadah, Ar-Rabi, Muqatil bin Hayyan, As-Suddi dan Zaid bin Aslam. Begitu juga menurut Tafsir Jalalayin yang menerangkan fitnah dalam konteks kedua-dua ayat itu bermaksud kesyirikan. Bagaimanapun, tafsir alam Melayu terkini seperti Tafsir Al-Azhar turut menerangkan berkenaan ‘fitnah, hasutan, gangguan dan seksaan sebermula kaum Muslimin memeluk Islam sehingga terpaksa berhijrah serta pelbagai ancaman fitnah sehingga terjadinya Perang Uhud dan hambatan Umrah ketika di Nabi SAW dan para sahabat r.hum di Hudaibiyah jauh lebih ngeri daripada pembunuhan.’ Lihat Hamka, Tafsir Al-Azhar, 1990, jld. 1 (Singapura: Pustaka Nasional, 2003), 446. Juga pendapat yang dikemukakan dalam Tafsir Mubin yang menjelaskan fitnah sebagai kelakuan ‘orang yang kafir yang bertindak ganas menghalang kebebasan umat Islam pada ketika itu untuk beragama.’ Lihat Salahuddin Abdullah dan Omar Khalid, Tafsir Mubin, jld. 1 (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2009), 135.

[4] Penulis dapat rasakan ada yang mungkin berhujah menggunakan gelaran sahabat seperti Abu Hurairah dan Abu Hafs menunjukkan betapa Nabi SAW pun ada menggelarkan sahabat dengan gelaran Bapa Kucing dan Bapa Singa. Tetapi tanya kembali diri sendiri, adakah gelaran tersebut berbentuk memuji atau mengeji? Bahkan Nabi SAW memberikan gelaran tersebut bagi menggambarkan kesukaan sahabat dengan haiwan dan sifat keberanian, kedua-duanya dalam erti kata pujian; maka adakah hal ini hendak disamakan dengan gelaran mengeji seperti monyet, lembu dan kerbau?

[5] Hadis riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah. Hadis ini disertakan dalam hadis 40 Nawawi. Lihat misalnya Mustafa Al-Bugha dan Muhyiddin Misto, Syarah Hadis 40 Imam Nawawi terj. Ibnu Amrullah Yusuf (Puchong: Jasmin Publications, 2012), 151-160. Naskah ini menyertakan kata-kata Umar r.a iaitu, ‘Sesiapa yang banyak bercakapnya, akan banyak salahnya; sesiapa yang banyak salahnya maka banyak dosanya; dan sesiapa yang banyak dosanya maka nerakalah yang patut baginya’ (m.s.154). Sementara Syed Ahmad Semait dalam membahaskan hadis ini menyertakan beberapa hadis tambahan berkenaan menjaga lidah sambil berpandangan menahan lidah daripada bertutur itu lebih utama berbanding bercakap yang kotor atau yang tidak senonoh. Sambil itu, ditegaskan agar manusia menggunakan lidahnya dengan mengajar agama, amar makruf nahi mungkar dan mendamaikan manusia. Lihat Syed Ahmad Semait, Kuliah Subuh Pada Membicarakan Hadis 40, 1994 (Singapura: Pustaka Nasional 2009), 291-305.

[6] Surah Al-A‘la, 87, ayat 9.

[7] Surah Al-Ghasyiah, 88, ayat 21

[8] Lihat Hamka, Tafsir Al-Azhar, jld. 10 (Singapura: Pustaka Nasional, 2003), 7982-7983.

[9] Berasaskan hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi daripada Abu Darda.

[10] Sebagaimana khutbah Nabi SAW dalam hadis riwayat Muslim dan lain-lainnya daripada Jabir bin Abdullah r.a, ‘Sebenar-benar perkataan ialah Kitab Allah, dan sebaik-baik jalan pimpinan ialah pimpinan Muhammad (SAW)

[11] Berasaskan Surah Az-Zariyat, 51, ayat 56.

Tuesday, October 25, 2011

Setengah jam bersama jurujual


·         'Lihat sahaja kepada kematian dia... husnul khatimah!' (merujuk kepada Gaddafi).

·         Penulis merenung hairan. Mungkin dek air muka yang memang nampak berubah, beliau berkata lagi, 'kita kena fikirkan yang baik. Dosa pahala, syurga neraka itu terserah kepada Allah!'

·         Begitulah ucapan salah seorang jurujual kepada penulis dan pembantu penulis tatkala beliau melihat dada akhbar hari ini berkaitan isu kematian Muammar Gaddafi yang masih lagi menjadi tajuk muka hadapan. Sudah kecil sedikit perhatian diberikan terhadapnya berbanding seluruh muka akhbar yang terpampang mengenainya dan gambar mayatnya tempoh hari.

·         Namun yang hendak diulas bukanlah tentang Gaddafi lagi; tetapi ulasan jurujual kemudian daripada itu.

·         'Kita kena ingat yang apa pun semuanya Allah yang berkuasa; apa yang berlaku semuanya sudah pun diramalkan oleh Nabi sendiri,' lanjut bicaranya sudah persis ahli tabligh yang bercerita tentang takdir Allah dan kehebatan Nabi. Nabi telah meramalkan kejatuhan Gaddafi?

·         'Kan Nabi dah berpesan yang umat Islam akan berpecah kepada lima puluh bahagian; ke tujuh puluh puak, macam itulah, jadi memang Nabi memang sudah tahu yang umat Islam akan berbalah sesama sendiri,' dengan merujuk mengapa umat Islam sendiri menggulingkan seorang pemimpin yang ada sumbangannya kepada Islam.

·         'Tapi, dia (Gaddafi) ada sumbangan kepada agama; macam di Indonesia sudah ada masjid yang dia bina, yang dia biayai...,' kata pembantu penulis pula.

·         'Itulah, memang dia ada sumbangan, tapi akhirnya digulingkan juga. Itu membuktikan pepecahan antara umat Islam,' jawab jurujual tabligh itu.

·         'Lagi pun, Gaddafi (pentadbirannya) sebenarnya bukannya berteraskan Islam, dia nampak sahaja menegakkan Islam tetapi sebenarnya dia itu sosialis!' dakwanya lagi, sambil menyambung, 'nampak sahaja dia bina masjid apa semua, tapi mana ada menjalankan undang-undang Allah!'

·         Lalu selepas itu terpacullah daripada mulutnya satu tuduhan yang begitu keras dan lantang.

·         'Macam Najib! Mana ada dia menegakkan Islam!' ujarnya dengan nada yang cukup tegas.

·         Perbincangan awalnya sekadar kerana kerlingan mata jurujual itu ke muka hadapan akhbar tentang Gaddafi kini telah berganjak ke dimensi baru yang membabitkan politik, sejarah dan hukum-hakam Islam.

·         'Kalau mereka tau siapa Mat Indera itu; dia itu keturunan wali. Termaktub dalam kitab 'sekian-sekian.' (penulis tidak dapat menangkap nama kitab tersebut namun sepanjang perbualan ini, kitab yang dimaksudkan itu ialah kitab lama yang tidak berbaris).

·         'Dia orang (puak-puak Najib) segaja reka cerita bahawa Mat Indera itu komunis. Ada logik ke seorang yang warak, yang berketurunan wali diperlakukan begitu,' terang jurujual yang kini sudah bertransformasi kepada ahli sejarah pula sambil menyifatkan Tok Janggut, Dato' Bahaman dan Mat Kilau dibunuh atau diburu kerana mereka mahu kekalkan Islam dalam pemerintahan.

·         'Banyak sebenarnya yang telah diubah oleh penjajah British dahulu sebab dia tak mahu (pemerintahan sebenar) Islam diangkat di Malaysia,' katanya sambil menerangkan betapa Hang Tuah juga merupakan seorang wali, nama Melaka telah disalahertikan kepada nama sebatang pokok tempat Parameswara duduk berteduh tatkala melihat 'harimau' kena tendang dek kancil. Sebaliknya nama tersebut berasal daripada perkataan Arab 'Malaqah' yang bermaksud tempat pertembungan pedagang. Beliau terus menafsirkan bahawa 'pedagangan rempah' yang digembar-gemburkan kesemuanya merupakan 'penipuan' dan hal yang sama dilakukan oleh penterjemah karya Tun Sri Lanang (yakni dalam Bahasa Inggeris) sambil menyifatkan kesemuanya (iaitu penjajahan Portugis, Belanda dan Inggeris) adalah usaha pihak Barat (Kristian dan/atau Yahudi) menyebarkan pengaruhnya agar Islam tidak dianuti atau dipegangi lagi.

·         Pendek kata, bukannya komoditi yang menjadi galang-ganti penjajahan Barat ke atas Tanah Melayu dan Kepulauan Melayu melainkan agamalah sebenarnya komoditi itu.

·         Kemudian diterangkan usaha pihak penjajah 'mencucuk' pemerintah Tanah Melayu ketika itu yang begitu tamak dengan harta dan akhirnya sanggup menggadai Islam dan prinsip-prinsipnya demi memperkenalkan prinsip-prinsip dan gaya hidup Barat di sini.

·         'Sebab itu kita hendaklah kembali kepada Quran dan Hadis,' kini beliau kembali berperanan sebagai seorang pendakwah bebas.

·         'Masalahnya pemerintah kita tidak mahu,' ujarnya merujuk kepada desakan pimpinan tertinggi negara yang kini berlandaskan fahaman sosialis, tidak mahu menegakkan agama Islam dan bertindak menuduh pondok-pondok pengajian Islam menghasilkan militan.

·         Sambil itu beliau menyambung, 'sedangkan mana ada orang mengaji pondok ajar orang buat jahat! Mana ada orang mengaji pondok ajar orang suruh mencuri ke merompak,' ujarnya yang begitu tegas mempertahankan institusi pondok.

·         'Sebab itu kita kena kembali kepada Islam, kembali laksanakan undang-undang Islam. Ini tidak, takut buat undang-undang Islam. Undang-undang penjajah. Takut orang kena potong tangan!' terang beliau yang kini menjadi ahli fiqh jenayah pula.

·         'Kita kena laksanakan undang-undang Islam (hudud) supaya berkat kita di sisi Allah. Jangan dok pertikaikan kalau orang tu salah kena potong tangan. Mana tahu dengan perlaksanaan undang-undang ini terbuka hidayah. Allah memberkati kita semua sebab melaksanakan hukum-Nya. Mana tau dengan perlaksanaan hukum Islam (hudud) orang pun takut hendak mencuri, maka masa dia mencuri dia diberi hidayah oleh Allah, terkenang kesalahan itu kena potong tangan, jadi tak jadilah dia mencuri,' kata beliau yang kini pada tafsiran penulis telah menjurus kepada perspektif roh Islami dan maqasid kepada perlaksanaan hudud - Islam menjaga harta.

·         Sambil itu beliau meluahkan rasa yakinnya bahawa andai negara ini melaksanakan hudud, negara ini akan diberkati, akan dilindungi oleh Allah kerana manusia melaksanakan hukum-Nya. Malangnya, disebabkan keengganan pemerintah Najib sekarang (baca: BN) melaksanakannya menyebabkan umat Islam berpecah-belah dan semakin lemah. Beliau perteguhkan lagi hujah beliau dengan, 'lihatlah Sumatera, mana ada orang berjaya pecah-belahkan umat Islam di sana? Kerajaan Indonesia sendiri tidak dapat menembusi (penguasaan) wilayah di sana. Itu buktinya Allah memberkati mereka.

·         'Sebab itu kalau laksanakan hukum Islam (hudud) tak akan berlaku kecurian sebab Allah lindungi kita (dengan hidayah yang diberikan). Kita kena yakin. Lihat Tanah Arab, bila bang sahaja orang semua pergi masjid untuk memuaikan solat. Biar tinggal sahaja perniagaan mereka, gerai mereka (begitu sahaja tanpa ditutup). Mana ada pak guard jaga? Itulah buktinya (hudud) berkesan!' sambil beliau membandingkan Malaysia - mana boleh jadi seperti Arab! Siapa nak tinggal kedai terbuka begitu sahaja tanpa dijaga. Kemudian beliau mengaitkan pula masyarakat Islam di China yang ke masjid untuk Sembahyang Jumaat seawal sepuluh pagi, sesuatu yang tidak diamalkan di Malaysia.

·         'Itu sebabnya. Roh Islam(i) itu nampak di sana. Tengok sekarang kecurian banyak berlaku,' ujarnya yang memperkukuhkan lagi mengapa hudud Allah itu patut dilaksanakan di Malaysia sambil menyambung, 'bank kena rompak. Orang kena rompak, sedangkan kalau bank tu, sudah ada pak guard dia sendiri. Itu pun kena rompak!' jelas beliau sambil meluahkan kemungkinan pengawal keselamatan sendiri yang berpakat merompak dengan bank.

·         'Itulah, aku pernah dengar cerita,' kini beliau mengisahkan kembali apa yang pernah didengarnya; samalah macam apa yang penulis sedang lakukan pada terbitan kali ini.

·         'Ada kecurian kat (dekat) bank, banyak duit kena curi. Siasat punya siasat pak guard rupanya yang paling kuat dikaitkan (dengan kecurian itu),' bermulalah pengkisahan beliau.

·         'Tapi nak tahan tiada bukti jadi tak boleh buat apa-apalah,' lanjut beliau sambil meneruskan, 'Lepas itu, apa lagi, dia (kesemua pencuri itu) gunalah sahaja duit itu; banyak tu,' katanya.

·         'Tapi......,' kata beliau sebelum mengeluarkan frasa-frasa yang penulis tidak sangka akan beliau keluarkan sedangkan tadi beliau yang tadi dok bercerita tentang Islam, tentang pengamalan Islam, yang bercerita tentang hudud Allah. Kata-kata tersebut ialah:

·         'Kalau ikutkan kitab sekian-sekian pun (kitab yang penulis tak hafal namanya tadi) duit itu pun tak ada benda. Boleh guna sahaja (walaupun dicuri)!' ucap beliau yang sekali lagi membuatkan kami berdua (penulis dan pembantu penulis) tercengang.

·         ' Ialah, duit dalam bank, duit itu pun ada sumber yang haram, bercampur. Ada daripada arak, ada daripada judi. Dia (duit itu) dah jatuh pada hukum syubhah. Jadi, kalau guna pun bukannya ada apa-apa (tindakan yang boleh dikenakan) sebab harta itu pun sebenarnya harta yang (tak sah) daripada perniagaan yang bercampur juga. Jadi tak ada apa-apa kalau duit itu dicuri sebab atas dasar syubhah (bukannya harta sah milik!),' sambil selepas itu beliau menegaskan pula bahawa cukai pun sebenarnya kerajaan tak boleh kutip sebab zaman Nabi pun mana ada cukai. Orang Islam memang tidak patut (iaitu dianggap zalim) kalau disuruh bayar cukai kepada kerajaan kerana pada zaman Nabi, hanya orang bukan Islam sahaja yang perlu membayar cukai kepada pemerintah Islam (iaitu Jizyah). Lalu diakhirinya perbualan itu dengan penegasan supaya 'kembali semula kepada kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya....'

·         Dua Point yang terakhir itu, terpulanglah kepada pembaca menilai, menafsir dan mengulaskannya....

·         Tetapi sehingga kini, fikiran penulis masih 'ternganga......'

·         P/s: Lupa pula penulis bertanya kalaulah yang dicuri atau dirompak itu bank Islam/institusi kewangan Islam/Tabung Haji, apa pulak hukumnya!!!!!!!!!!


Wednesday, August 17, 2011

Mengisikannya menjelang akhir

  • Sudah setengah bulan Ramadhan berlalu dan kini kita memasuki fasa setengah yang terakhir. Disebabkan roh Islami yang semakin meningkat di kalangan umat Islam, sudah semestinya ada yang kritikal dengan sikap sesetengah umat Islam yang lantas menjadikan baki Ramadhan yang tinggal untuk dipenuhi dengan persiapan hari raya; baju raya, seluar raya, langsir raya, kuih raya, duit raya dan pelbagai raya lagi. Antara peluang mahu pun ruang, haruslah kita mengejarnya kerana yang dikejar untuk puasa itu adalah taqwa. Justeru, kalau hendak buat persediaan, buatlah (sebab itu sudah menjadi adat) namun matlamat asal puasa dan limpah kurnia rahmat dalamnya jangan pula kita lupakan semata-mata hendak menyambut Aidil Fitri yang secara syariatnya hanya disambut sehari!
  • Barang yang kurang disedari umum bahawa bulan Ramadhan ini juga merupakan bulan keampunan. Kita mungkin sudah berulang kali diperdengarkan tentang hadis yang antara lain menyebut sesiapa yang melaksanakan puasa Ramadhan dan sesiapa yang membangunkan malam bulan Ramadhan (berqiyamulail) dengan mengharapkan pahala dan kebaikannya daripadanya akan diampunkan dosa. Dalam sebuah hadis yang lain, sebaik-baik doa pada bulan Ramadhan lebih-lebih lagi apabila ketemu lailatul qadar adalah memohon keampunan (kemaafan) dengan disandarkan betapa Allah cukup suka yang pemaaf. Oleh sebab itu, selain daripada kita asyik dok menunggu hari raya baru hendak dipohon maaf, baiklah kita terlebih dahulu meminta maaf kerana sifat Allah yang sukakan orang yang memaafkan! Apatah lagi doa tersebut dibacakan pada bulan Ramadhan, maka mulakanlah maaf-bermaaf pada bulan yang mulia ini; jangan ditunggu-tunggu lagi.
  • Oleh yang demikian, dengan kombinasi amalan kita dan permohonan keampunan dan kemaafan kita sama ada kepada Khalik mahu pun makhluk, tidak hairanlah selepas Ramadhan berakhir, kita (secara teoritikalnya) akan kembali kepada fitrah; tanpa sebarang dosa kerana telah diampunkan oleh Allah dan diberi kemaafan daripada yang kita lakukan salah. Bukankah itu sebenarnya balasan yang Allah berikan kepada kita sebagaimana yang dinyatakan dalam Hadis Nabawi? Justeru kita menyambutnya pada satu hari yang dinamakan Aidil Fitri - membawa konotasi kejayaan kembali kepada fitrah.
  • Kita tinggalkan dahulu cerita tentang raya. Kembali kepada Ramadhan. Dalam pada kita melaksanakan tarawih, timbul juga isu berkaitan 'tazkirah Tarawih.' Apa yang berlaku adalah terdapat surau atau masjid tertentu yang melaksanakan 'tazkirah;' biasanya setelah empat rakaat sembahnyang sunat Tarawih. Isu ini timbul kerana ada yang berpendapat amalan tersebut merupakan bidaah yang tidak dilakukan pada zaman Nabi SAW.
  • Lebih-lebih lagi, ada tazkirah yang disampaikan berlarutan sehingga setengah jam atau lebih daripada itu yang menyebabkan niat asal 'tazkirah' sudah menjadi 'kuliah.' Sudah tentu hal yang demikian akan mengundang rasa kurang senang jemaah kerana mereka hadir untuk 'solat tarawih' dan bukannya 'mendengar kuliah.' Apa lagi andai isi di dalam 'tazkirah' tersebut yang berbaur politik; menghentam pihak-pihak tertentu kerana tidak berhukumkan Islam, menyeru jemaah untuk turut serta dalam memartabatkan 'parti Islam,' balasan buruk bagi mereka yang tidak menyertai parti Allah, menceritakan panjang lebar tentang qazaf, zina, empat orang saksi; kesemua isu ini kalau kita dengar pun kita faham ke mana hala tuju penceramah yang memberikan ceramah. Sudah tentu ada jemaah yang akan mempersoalkan (dalam hatinya) adakah acara ini sembahyang sunat tarawih disulami ceramah politik atau ceramah politik disulami sembahyang tarawih?
  • Penulis jujurnya terkena juga 'kejutan budaya' pada awala bertarawih di negeri lain yang mana bacaan zikir antara dua rakaat yang agak berbeza sedikit berbanding di masjid dan surau di Johor. Apa lagi ketika hampir sembilan tahun di Lembah Klang (semasa belajar), penulis menemui kepelbagaian dalam sembahyang tarawih di sana. Memang terkejut juga apabila secara tiba-tiba, ada pula tempat yang mana, tazkirah diselitkan di antara empat rakaat pertama tarawih. Penceramahnya memang bermacam-macam karakter, dan panjang tazkirah juga berbeza-beza. Ada yang memang hampir setengah jam bercakap dan bercerita hentam sana hentam sini. Ada yang ringkas tetapi padat dan penuh pengisian yang cukup-cukup berguna.
  • Oleh sebab itu, adakah perlu tazkirah tarawih ini diteruskan? Bagi mereka yang menyokong, mereka berhujah bahawa pada ketika inilah ramai jemaah yang hadir ke surau dan masjid, maka apalah salahnya diberi tazkirah bagi perkongsian ilmu. Bukankah menuntut ilmu itu satu ibadah? Oleh sebab itu, dengan kapasiti jemaah yang ramai, seharusnya dimanfaatkan dengan penyampaian ilmu yang sudah tentu tujuannya bagi mendapatkan keredhaan-Nya. Malah, bukankah ibadah itu juga perlu kepada ilmu agar kita dapat melaksanakan dengan sebaik mungkin dan sebetul mungkin menurut syariat dan sunnah Nabi SAW?
  • Bagi mereka agak kurang setuju pula, antara hujah yang dikemukan adalah andai tarawih itu diselitkan dengan tazkirah, nescaya Nabi SAW melakukan dahulu pada zamannya dan sahabat pula pasti menurutinya! Namun, tidak ada satu pun hadis berkaitan tarawih yang menyebut Nabi SAW ada berkuliah atau berkhutbah semasa perlaksanaan tarawih. Andai ada, sudah semestinya akan ada hadis/dalil berkenaan 'khutbah antara tarawih!' Oleh sebab itu, tazkirah antara rakaat tarawih itu boleh dikatakan bidaah. Isu ini tidak boleh disamakan dengan sembahyang tarawih berjemaah kerana ternyata memang ada dalil yang menyokong perlaksanaannya dan diperkasakan pula pada zaman pemerintahan Sayidina Umar Al-Khattab RA. Oleh sebab itu, amalan sahabat sudah menjadi sunnah (sebagaimana hadis riwayat Tirmizi: berpenganglah kepada sunnahku dan sunnah Khulafa-Al-Rasyidin Al-Mahdiyin).
  • Isu ini pasti akan dijadikan polemik walaupun isu ini sebenarnya isu furu. Apatah lagi apabila kandungan tazkirah dan masa yang diambil untuk tazkirah itu terlalu lama sehingga menyebabkan keresahan dikalangan jemaah yang hadir. Bukan hendak mengatakan bahawa yang tidak mahu mendengar itu sudah pandai, mungkin niat mereka hadir adalah bagi melaksanakan sembahyang sunat tarawih dan sudah semestinya hak itu juga perlu dipertimbangkan. Mungkin kalau ringkas dan padat, boleh diterima. Akan tetapi apabila khutbah lebih panjang daripada sembahyang, sudah tentu hal yang demikian akan menimbulkan rasa kurang senang.
  • Lantaran itu, eloklah jawatankuasa masjid dan surau yang terlibat dengan tazkirah tarawih ini mengambil kira faktor isi tazkirah itu sendiri. Tak salah hendak beri tazkirah kerana ramai jemaah, namun kalau pengisiannya terlalu panjang, atau nampak sangat kedengaran politikal, maka kita seharusnya mempertimbangkan jemaah yang lain yang mungkin bukannya hendak dengar sangat kuliah-kuliah politik ini. Lainlah kalau memang surau itu atau masjid itu memang markaz parti, barangkali terpulanglah kepada jawatankuasa masjid atau surau tersebut sebab yang hadirnya memang majoriti penyokong parti.
  • Alangkah eloknya tazkirah tarawih itu dibuat ringkas tetapi padat mencakupi topik-topik berkaitan Islam terus kepada asasnya; soal akidah, ibadah dan akhlak. Barangkali ada yang mengatakan pengisian berulang itu membosankan namun bukankah manusia itu kerap lupa. Sebab itu si penyampainya yang main peranan untuk menjadikannya lebih bermakna, dan bukannya sekadar satu cakap-cakap bual kosong yang hanya mengisi masa lapang antara rakaat tarawih. Soal berkenaan tauhid, ibadah dan akhlak merupakan isu malar segar yang seharusnya diperkukuhkan dalam hati nurani umat Islam. Lebih-lebih lagi yang berkaitan keimanan dan berlaku ihsan, topik-topik yang sebenarnya jarang mencuri perhatian dalam kuliah-kuliah di masjid yang biasanya lebih memberati hal-hal berkaitan hukum-hakam dan fiqah.
  • Pengalaman penulis dalam satu tazkirah tarawih cukup mengujakan. Si pemberi tazkirah menerangkan perkara-perkara yang kita sendiri selalu lakukan tetapi biasanya silap. Contohnya kenapa bacaan La haula wala quata illa billah hi 'ali yil azim dan bukannya 'ali yul azim sebagai mana yang selalu dibaca oleh orang ramai. Atau mengapa walad dholin itu tidak ada qalqalah (seperti yang kadang-kadang kita dengar walada-dholin..). Soal-soal sebegini walaupun kecil namun manfaatnya besar untuk membetulkan kebiasaan yang salah. Masa yang diambil pun tidak terlalu lama. Barulah tercapai maksud, 'hendak beramal mesti ada ilmu.'
  • Namun, andai tazkirah tarawih pun hendak cerita politik yang mana dengan mudahnya kita boleh baca daripada akhbar, buku, majalah, internet atau hadir ke ceramah umum yang sememangnya hampir tiap-tiap hari pun kita boleh dapat, apa lagi dengan maki hamun, fitnah-memfitnah dan 'undi ini wajib syarie, undi itu haram syarie'; sudah semestinya rasa iman dan ihtisaban itu sudah sudah semakin luntur... maka akan terampunkah dosa kita?
  • Walaupun penulis cenderung kepada 'bahawa Nabi SAW tak buat tazkirah tarawih, tetapi kita pun hendak meraikan amalan yang moga-moga membawa ke arah kebaikan sebagaimana tazkirah tersebut. Cuma itulah, kepada mereka yang hendak bertazkirah, ingat-ingatlah pada bulan mulia ini, elok sangat diperkuatkan mahabbah berbanding disemai dengan rasa perpecahan antara umat Islam. Isu akidah jauh lebih utama berbanding hendak menuduh orang itu dalang itu dan orang ini dalang ini. Sudah-sudahlah seharian bergelumang dengan politik, dalam kita beribadah hendak mendekatkan diri kepada Allah pun hendak berpolitik juga? Alangkah ruginya manusia? Alangkah ruginya!
  • Akhir kalam, menjelang penghujung Ramadhan ini, seharusnya kita lebih bersungguh-sungguh mengejar kerahmatan dan keredhaan yang terbuka luas di dalam bulan yang mulia ini. Lebih-lebih lagi, di dalamnya terkandung satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, maka seeloknya kita menguatkan tekad bagi menghirup kelebihan malam tersebut. Soal berkenaan bilakah malam tersebut dan apakah tanda-tandanya sudah banyak dibahaskan baik dalam buku, kitab dan terkini, internet. Apa guna kita bahas bila terjadinya malam tersebut andai kita tidak pula bersungguh-sungguh untuk mengejar malam itu?
  • Oleh sebab itu, selamatlah beribadah bagi menghabiskan hari-hari dalam Ramadhan yang tinggal dan berdoalah agar kita dapat ketemunya pada tahun-tahun akan datang...Amin.