PERINGATAN: Semua artikel yang ditulis oleh penulis adalah nukilan penulis sendiri melainkan telah dinyatakan sumbernya dan TIDAK mewakili organisasi yang telah/sedang penulis sertai. Tulisan bukan bermaksud membangkitkan sebarang sentimen yang menyebabkan perasaan kurang selesa kepada pembaca. Andai pembaca yang mendapati terdapat tulisan yang bersifat demikian, sila beri komen untuk tindakan selanjutnya. Terima kasih
Wednesday, September 10, 2014
Monday, December 9, 2013
Rusuhan Singapura Little India: Realiti rakyat semasa
… Sambungan makalah dalam versi digital)
- Sebelum ini, sekumpulan warga China yang bekerja untuk syarikat perkhidmatan pengangkutan awam SMRT membuat piket haram yang sudah cukup ‘menggemparkan’ warga Singapura. Empat diantara mereka dipenjara, diberhentikan kerja dan dihantar pulang ke negara asal.
- Bertitik tolak daripada kes itu, ketidakpuasan hati pekerja asing terhadap layanan yang diterima daripada majikan di Singapura dan rakyat Singapura didakwa teruk, seolah-olah mereka bukannya insan.
- Bayangkan, sekiranya negara yang majoritinya berbangsa Cina itu dikatakan kurang mesra kepada pekerja daripada China, apatah lagi mereka yang berasal daripada negara lain?
- Isu ini telah dibincangkan dalam rancangan televisyen berbentuk majalah dan ternyata, faktor bahasa sangat penting dalam mendapat layanan daripada masyarakat tempatan.
- Menyentuh sudut lain, ketegasan kerajaan Singapura dalam bertindak terhadap sebarang kejadian yang ‘pelik’ di negara itu (seperti rusuhan, tunjuk perasaan) tampak lebih menonjol berbanding apa yang berlaku di negara kita.
- Sampai sekarang pun, kita tidak tahu apa kisahnya tuntutan saman BERSIH 2.0, jauh sekali tindakan yang dikenakan kepada pelaku-pelaku yang telah merosakkan harta benda awam ketika tunjuk perasaan itu. Apatah lagi dengan BERSIH 3.0 yang jauh lebih dahsyat kesannya kepada harta benda awam, orang awam dan kecederaan penjawat awam yang sedang menguatkuasakan undang-undang (polis).
- Ketiadaan sebarang tindakan konkrit dan jelas di Malaysia, jika dibandingkan dengan langkah-langkah yang diambil oleh negara seberang tambak, dan UK misalnya semasa keganasan Tottenham; menunjukkan betapa mulianya penguatkuasa di Malaysia yang membiarkan sahaja harta benda awam yang dirosakkan oleh perusuh atau penunjuk perasaan tanpa sebarang tindakan undang-undang.
- Agaknya sebab itulah juga DBKL perlu meningkatkan cukai harta kepada pelanggan-pelanggan di wilayah itu kerana perlu menanggung barang kemungkinan tunjuk perasaan dan rusuhan akan datang yang akan dilaksanakan.
- Sebab itulah boleh dikatakan pembangkang negara ini jauh lebih bertuah apabila tindakan undang-undang ketika mereka meluahkan perasaan menggunakan cara demonstrasi jalanan tidak seteruk apa yang berlaku di negara-negara lain.
- Pendeknya, kejadian rusuhan di Singapura menjadi pengalaman baharu untuk rakyat di sana. Sayangnya liputan yang dibuat oleh wartawan negara itu tidak sebaik, semenyeluruh dan selengkap mereka membuat liputan di Kuala Lumpur untuk BERSIH dan Inikalilah, misalnya.
- Mungkin sebab rusuhan itu tidak dijangka, jadi tak sempatlah mereka bersiap-sedia membuat laporan ekslusif sebagaimana mereka membuat laporan huru-hara di negara lain.
- Ataupun, mungkin wartawan yang pakar bab-bab nak cerita pasal rusuhan tak pernah duduk elok di negara sendiri kerana mereka sibuk mencari rusuhan di negara orang, seperti koresponden di Indonesia, Thailand (yang sememangnya dalam keadaan rusuhan tika dan saat ini) dan tentunya, Malaysia!
- Selain itu, kejadian itu menjadi amaran terbaik untuk Malaysia dan kerajaan Malaysia tentang rusuhan ‘kaum’ dan pengambilan pekerja asing.
- Pekerja asing ialah manusia dan patutlah mereka dilayan sebagai pekerja. Bukan semuanya mendatangkan masalah, ramai yang sememangnya bekerja dengan jujur, untuk mencari rezeki kepada anak-bini. Meski terbukti juga ada di kalangan mereka yang menjadikan negara ini sebagai sarang jenayah.
- Namun, kebergantungan kita kepada mereka menjadi penyebab utama sebarang permasalahan yang timbul akibat pekerja asing; bukanlah hendak menyalahkan semuanya kepada mereka!
Nota hujung
Artikel Jennifer Wells di :
http://www.forbes.com/sites/jenniferwells/2013/12/09/singapores-little-india-riot-a-shock-but-not-a-total-surprise/
Sunday, December 8, 2013
Wednesday, December 4, 2013
UMNO dan Ahli Sunah Wal Jamaah
Tuesday, December 3, 2013
Thursday, November 28, 2013
Naik gaji pun nak bising
Monday, November 25, 2013
Cukai dan pengkhianatan
Semalam, PM Najib mengeluarkan satu perbandingan yang sangat keras terhadap mereka yang lari daripada membayar cukai iaitu sebagai pengkhianat kepada negara. Beliau turut mengaitkan patriotisme dengan membayar cukai kepada negara bagi mereka yang diwajibkan melaksanakan tanggungjawab demikian.
Barangkali beliau bercakap dengan emosi yang begitu membuak-buak dengan semangat patriotisme yang tinggi ketika itu. Dalam majlis yang sama iaitu Seminar Pemerkasaan Ekonomi, beliau turut mengulaskan isu pengundi Bangladesh dan GST. Sambil menyifatkan patriotisme bukan semata-mata menghunuskan senjata untuk mempertahankan negara, beliau turut mengaitkan pembangkang sebagai pakar pusing apabila menyifatkan sikap mereka yang sering menuduh melulu kemudian tidak mengaku pula tuduhan melulu yang mereka lakukan.
Penulis sangat bersetuju bahawa negara ini mempunyai pembangkang yang lemah kerana kebanyakkan kritikan mereka bersifat retorik seolah-olah mereka lebih mulia dan lebih betul dalam segenap perkara. Dengan sebuah pakatan yang rapuh dan berniat semata-mata untuk menumbangkan kerajaan BN dan ke Putrajaya, mereka tidak mempunyai dasar yang bersama yang lebih baik daripada BN; dengan ada yang bersifat sekular, ada yang bersifat asal boleh dan ada satu lagi yang ditepek dengan bedak Islami, namun kini bacul hendak mengaku ingin menegakkan negara Islam.
Bagaimanapun, hal-hal itu sama sekali tidak menafikan yang keadaan pimpinan Najib bukanlah lebih baik daripada pembangkang dalam serba-serbi. Malah, dalam beberapa keadaan, cara BN dan PM Najib lebih tidak masuk akal kerana beliau bermain dengan api.
Tatkala beliau memperkhianatkan golongan yang lari daripada membayar cukai, beliau turut perlu tahu bahawa hasil pulangan terbesar untuk negara ialah daripada pembayar cukai juga! Dan selepas perlaksanaan GST kelak, boleh kata semua orang di Malaysia secara tidak langsung akan menjadi pembayar cukai!
Maka apakah definisi beliau terhadap orang yang lari membayar cukai? Adakah mereka yang mengadakan potongan gaji namun meminta pelepasan itu dan ini sebagai lari daripada cukai? Atau kenapa tidak sahaja disebutkan penghisap rokok seludup juga pengkhianat negara kerana mereka tidak membayar harga cukai rokok? Atau adakah usahawan-usahawan internet yang kaya-raya yang sanggup berhenti kerja makan gaji lumayan kerana perniagaan atas talian tapi, entah bayar ke tidak cukai atau lebih parah lagi, entah ada SSM ke tidak untuk menjalankan perniagaan; sebagai pengkhianat negara yang tak bayar cukai?
Dalam memperihalkan patriotisme, PM Najib dan anggota kabinetnya sendiri perlulah bersikap sedemikian dan bukan hanya mengharapkan rakyat sahaja perlu patriotik. Misalnya, apakah langkah ahli kabinet untuk turut serta merasai kepayahan rakyat nun di bawah sana yang dihimpit kesukaran dalam keadaan kos sara hidup yang senantiasa meningkat? Sekiranya Seri Perdana itu milik rakyat, mengapakah tidak diberikan sahaja kebenaran percuma untuk rakyat menikmatinya? Duit manakah yang digunakan oleh kerajaan untuk membayar bil jutaan ringgit yang berjaya didedahkan oleh parti lawan?
Atau, lebih substansial lagi, berapa ramai anak menteri, timbalan menteri dan wakil rakyat yang melanjutkan pelajaran di universiti tempatan? Berapa ramai ahli keluarga menteri, timbalan menteri dan wakil rakyat yang dikenakan perintah PLKN ketika berusia 18 tahun. Berapa ramai keluarga, suku-sakat, anak-beranak orang-orang besar yang menyertai pasukan keselamatan atau menyertai pasukan simpanan keselamatan negara atas dasar patriot?
Sedangkan begitu ramai di kalangan mereka (keluarga VVIP) yang menikmati segala kemudahan, kesenangan dan barangkali penghormatan atas nama anak atau keluarga orang besar; belum tentu menyumbang kepada 'angka patriotikometer' masing-masing kepada negara. Tatkala pak menteri 'menyusun semula subsidi' untuk kepentingan negara, mereka tidak pula bertindak menyusun semula gaji, elaun keraian dan segala berkaitan tuntutan perjalanan sebagai seorang menteri, domestik ataupun antarabangsa.
Namun, pada banyak keadaan, apabila dipersoalkan perkara-perkara sebegini, golongan orang-orang besar ini akan menjawab mereka memang layak mendapat segala kemudahan, kesenangan dan kelebihan tadi kerana mereka ialah orang-orang yang berjaya ke puncak. Takkanlah menteri nak tidur di hotel tiga bintang atau naik kereta api sahaja dalam lawatan kerja! Maka sedarlah pihak pak-pak menteri, wang yang digunakan untuk membayar kesemua itu sememangnya datang daripada cukai kerajaan terhadap rakyatnya.
Itu kita baru persoalkan sejauh mana patriotisme barisan kabinet negara. Kita belum lagi cerita pengkhianatan yang dilaksanakan oleh bapak-bapak menteri daripada kelompangan pentadbiran sampailah kepada pembaziran wang kutipan cukai daripada rakyat yang sering berlaku. Hal ini boleh dilihat daripada projek kerajaan yang tak jadi, projek kerajaan yang bertangguh, projek kerajaan yang melebihi kos asal, projek kerajaan yang kerugian, salah guna kuasa oleh ahli kabinet, timbalannya atau pegawai dan kakitangan, amalan nepotisme dan despotisme, urusan kerajaan yang terlalu bersifat birokrasi, kegagalan penyelenggaraan kemudahan asas seperti jalan raya, sampah-sarap, dan kemudahan awam yang lain. Kalau nak turap semula jalan pun perlukan berbulan, kemudian nak tepek garisan di jalan pula memerlukan berbulan, apakah sebenarnya yang kerajaan cuba sampaikan?
Juga termasuk dalam erti kata pengkhianatan kepada rakyat ialah apabila kerajaan tak mampu bertanggungjawab (atau tidak boleh dipertanggungjawabkan) apabila berlaku sesuatu kejadian bencana, mereka berlepas diri sedangkan di tangan merekalah kelulusan projek-projek yang menyebabkan bencana. Kalau hendak minta kelulusan daripada mereka, bukan main lagi ini dan itu, namun apabila berlaku kegagalan, mereka enggan pula bertanggungjawab atas bencana yang berlaku. Kalau sudah tidak selamat, mengapakah mereka mengeluarkan lesen dan menerima bayaran bagi segala prosedur berkaitan? Kemudian, setelah keadaan menjadi kritikal, mengapakah alasan ‘tak boleh berbuat apa-apa dah, kita berserah sahajalah,’ yang keluar daripada pembesar-pembesar negara?
Setelah itu, kita belum sentuh pengurusan kewangan kerajaan dan syarikat berkait kerajaan yang selalu mendapat perhatian pihak pembangkang. Ada sahaja lompang kiri dan kanan yang kadang-kala sebenarnya menimbulkan tanda tanya tentang keberkesanan orang-orang yang dilantik oleh pihak kerajaan untuk menerajui sektor korporat kerajaan.
Dan paling jelas ialah betapa tak patriotiknya PM Najib yang sentiasa menamakan projek-projeknya dalam akronim Inggeris daripada GTP, UTC, RTC, NKRA, NKEA, ETP, IM4U, UR4MI (hehe...)... Sepanjang pemerintahan Najib, akronim-akronim berasaskan Bahasa Inggeris yang diterbitkan daripada PM Najib melambak-lambak bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Bagaimanakah beliau hendak memproklamasikan dan mempromosikan dirinya sebagai jaguh patriotik negara? Sering berucap dalam bahasa campur hendak menunjukkan dirinya ‘urban’ tetapi hakikatnya, beliau telah melanggar satu peruntukan yang cukup besar dalam perlembagaan yang menjadi identiti kepatriotikan seseorang kepada Malaysia iaitu Bahasa Kebangsaan!
Tuntasnya, sekiranya PM Najib sanggup menggelar orang yang lari daripada membayar cukai sebagai pengkhianat negara, maka beliau, anggota kabinetnya dan mereka yang bekerja bawahnya turut perlu menerima gelaran pengkhianat negara sekiranya mereka sendiri tidak mempunyai prestasi yang terbaik dalam mengurus tadbir harta kekayaan negara melalui cukai yang telah dibayar oleh rakyat.
Sebarang kelompangan, ketirisan, salah guna kuasa, rasuah dan kegagalan anggota kerajaan untuk bertindak dengan cekap dan berkesan pada tahap yang sepatutnya dan diharapkan oleh rakyat juga harus dilabel sebagai pengkhianat negara. Malah, pengkhianatan mereka semua lebih besar lagi kerana telah menyalahgunakan wang rakyat dan tidak menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya ketika rakyat mengharapkan mereka berbuat demikian.
Jelaslah di sini siapakah sebenarnya yang lebih besar khianatnya dan kurang patriotiknya kepada negara...
Wednesday, November 20, 2013
From Najib with Bangladeshi
Tuesday, November 19, 2013
Saturday, November 9, 2013
Tak cukup tarbiyah
Apabila PAS mengumumkan tahaluf siyasi dengan sebuah parti ultrasekular seperti DAP, ramai yang mengharapkan dengan usaha sebegitu dan kepimpinan melalui ulama yang begitu alim lagi warak, akan memberikan sinar baru dalam politik negara. Seseorang yang lurus akan mengharapkan parti seperti DAP yang selama ini menzahirkan sifat sekular akan bertambah faham dengan Islam. Malah, DAP mungkin akan lebih menerima perlaksanaan 'hukum Islam' dan 'negara Islam' (baca: berkebajikan) yang diperjuangkan oleh PAS sejak awal penubuhannya.
Malangnya, bukan sekali dua pimpinan tertinggi parti DAP mengeluarkan kenyataan yang sangat-sangat bertentangan dengan sifat dan sikap orang yang telah faham dengan Islam dan faham. Seakan-akan, semakin rapat DAP dan PAS, semakin jahil DAP untuk memahami roh perjuangan Islami PAS dan agama Islam itu sendiri! Sedangkan PAS begitu lantang dan sensitif kepada parti seagama dan sebangsa seperti UMNO namun begitu lunak dan bertoleransi dengan parti yang semenjak kewujudannya sering mempersoalkan isu-isu berkaitan bangsa Melayu dan agama Islam.
Dan Karpal Singh pun telah berkali-kali mengeluarkan kenyataan yang sentiasa mempertikaikan status quo yang telah diamalkan dalam negara ini terutamanya berkaitan Islam, Melayu dan Raja. Beliau juga tidak pernah menarik semula sebarang kenyataan yang dibuat yang dikecam oleh pihak lain. Begitulah halnya dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan olehnya yng dilihat sangat-sangat mengancam kedudukan Islam namun dibiarkan sahaja oleh pimpinan tertinggi PAS. Biasanya, Tok-tok guru PAS menerangkan pula sebab kepada kenyataan Karpal Singh dengan menjawabnya 'itu pandangan peribadi.' Apa ke halnya itu pandangan peribadi sedangkan kenyataan itu keluar daripada mulut seorang yang berjawatan 'Pengerusi Kebangsaan DAP.'
Adakah PAS masih tidak memahami hierarki kepimpinan DAP (atau tidak memahami apa itu hierarki kepimpinan)? Atau adakah kata-kata Karpal itu sekadar kata-kata kakak tua yang tidak mempunyai pemberat di sisi kepimpinan DAP? Sungguh, kata-kata Karpal Singh itu bukannya bersifat peribadi, tetapi kenyataan itulah sebenarnya kenyataan mewakili DAP! Seorang pengerusi syarikat misalnya, apabila mengeluarkan sesuatu kenyataan dalam satu sidang terbuka bagi pihak syarikat ialah kenyataan ‘mewakili syarikat terbabit;’ dan bukannya kenyataan peribadi si pengerusi. Maka, mengapakah PAS masih cuba merasionalkan kenyataan seorang pengerusi parti sebagai kenyataan 'peribadi?'
Seharusnya PAS mengambil kira pandangan yang telah dibuat oleh Dewan Ulama untuk mengkaji kembali kerjasama politik dengan DAPkerana sangat-sangat jelas bahawa pihak yang paling banyak terpaksa termakan budi dan tergadai body ialah PAS. Tatkala pemimpin Pakatan yang lain sentiasa daripada masa ke maasa mengeluarkan kenyataan yang jelas mencabar kedudukan Islam di dalam negara, datang pula pimpinan tertinggi PAS yang kalaulah tidak menyokong kenyataan itu, bertindak sebagai pembela pasif pula dengan menyandarkan kenyataan itu bersifat peribadi. Sudahlah perjuangan negara Islam terpaksa dikebajikankan, kalimah Allah hendak dikompromikan, kini segala kenyataan pihak Pakatan yang lain yang bertentangan dengan keberadaan PAS sendiri terpaksa dibela dengan 'memperibadikan' kenyataan itu!
Sedangkan dalam banyak perjuangan Islami oleh PAS, mereka tidak akan pernah mendapat sokongan dan dokongan daripada pihak Pakatan yang lain. Sehinggakan pernah berlaku Exco agama peringkat negeri pun tidak diberikan kepada PAS bagi negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan dengan kerusi minoriti PAS. Maka, bolehlah dikatakan sekutu PAS sendiri tidak yakin dengan pembawaan agama oleh PAS.
Maka, relevenkah lagi PAS dalam Pakatan hanya untuk dipergunakan untuk memancing undi Melayu?
Tuesday, November 5, 2013
Madah dah kalah
Secara tiba-tiba, kekalahan BN di PRK Sungai Limau sudah dijangka oleh media harian prokerajaan. Kini, hasil daripada PRK itu seolah-olah sudah diramal siap-siap sementelah sebelum ini, seolah-olah calon daripada BN mampu membuat kejutan. Kejutan hapakebenda? (Penulis pernah mengemukakan cadangan untuk BN tidak bertanding dalam terbitan sebelum ini untuk menjimatkan masa dan kos).
Menang tetap menang walau berapa pun majorotinya. Secara tidak langsung, kemenangan calon PAS, Azam Abd Samat membuktikan bukan semua pengundi luar bandar yang memihak kepada UMNO; tidak sebagaimana yang dicanang oleh orang-orang kuat UMNO sendiri. Jadi, UMNO pun berhelahlah dengan 'mengecilnya' majoriti undi, kononnya sokongan pengundi terhadap UMNO bertambah. Soalnya sekarang bukannya kecil atau besarnya majoriti. Soal sebenarnya ialah masih lebih seribu orang pengundi yang lebih memihak kepada PAS! Mereka meletakkan keyakinan yang lebih besar kepada calon PAS. Itu sahaja.
Malah, pengurangan peratusan keluar mengundi sebenarnya melemahkan lagi hujah pengurangan majoriti kerana belum tentu sekiranya peratusan keluar mengundi sama atau melebihi sebagaimana PRU ke-13, majoriti itu turut sama mengecil. Lainlah kalau peratusan mengundi semalam lebih besar berbanding PRU lepas, yang memungkinkan kesimpulan yang pengundi yang memilih BN sudah bertambah.
Kekalahan BN di Sungai Limau untuk sekian kalinya sekali gus menunjukkan walaupun BN mempunyai kelebihan capaian media utama untuk mendakyahkan propaganda mereka untuk menarik minat penduduk tempatan untuk mengundi BN. Takkanlah orang di Sungai Limau tak tengok tv? Kelebihan media massa tidak memberikan sebarang manfaat kepada BN di kawasan kubu kuat parti lawan. Malah segala insentif yang diberikan oleh pihak kerajaan gagal memberikan keputusan yang bererti dan diharapkan tatkala BN begitu teruja untuk melakukan upset di Sungai Limau.
Motto 'Berani Berhijrah' nampaknya tidak dapat diterjemahkan dalam keputusan PRK kali ini. Pengundi di Sungai Limau masih mahu mengekalkan tradisi di pimpin oleh PAS di DUN bekas Menteri Besar Kedah itu. Sekali lagi, Mukhriz terpaksa menerima kenyataan yang nasib tidak menyebelahinya dalam memimpin UMNO untuk PRK terbabit setelah beliau turut gagal merebut kerusi Naib Presiden UMNO. Aura sebagai anak bekas Perdana Menteri sahaja nampaknya tidak mencukupi. Tak sempat jugalah pihak media massa prokerajaan hendak kaitkan sambutan Maal Hijrah hari ini dengan 'hijrahnya pola pengundian di Sungai Limau' kerana PAS masih mengekalkan kerusi. Kalau tidak, maunya dibuat satu dokumentari khas kerana kejayaan BN itu dan kaitannya dengan Awal Muharam gamaknya!
Pendek katanya, kekalahan di Sungai Limau membuktikan pengaruh tradisional PAS masih lagi likat di kalangan pengundi-pengundi di kawasan tertentu di luar bandar. Perkara ini turut membuktikan bahawa UMNO tidak boleh mendabik dada yang merekalah hero kepada penduduk luar bandar dan sokongan golongan itu kepada UMNO bertambah baik. Seandainya benarlah andaian itu, maka tiadalah masa dan tempat lain yang sangat cucuk untuk membuktikannya melainkan di PRK Sungai Limau.
Akan tetapi, Sungai Limau menidakkannya dengan cukup meyakinkan...
Sunday, November 3, 2013
Kalau dah kerajaan tak boleh buat apa, apa boleh buat?
Meneliti kisah di Cameron Highlands dan membaca komen-komen yang diberikan oleh sama ada birokrat-birokrat yang terlibat, mahupun ahli politik yang berkaitan, nyatalah kepada kita, tak ada apa-apa yang boleh dibuat. Paling banyak pun sekadar menunggu terjadinya lagi satu lagi banjir lumpur berlaku dan permainan mempersalahkan kembali melingkari dada-dada akhbar barang mungkin seminggu dua. Selepas itu, masyarakat dan negara akan reaktif menantikan apakah yang akan terjadi untuk sekian kalinya.
Daripada satu sisi, kejadian yang berlaku membogelkan lagi kelemahan pentadbiran tanah yang melanda Pahang. Isu pembogelan kelemahan pentadbiran tanah walau di mana jua negerinya bukanlah sesuatu yang asing. Namun, kalau dah sampai tahap bukit bukau pun sudah di bogelkan, bukanlah kali pertama dikaitkan dengan negeri Pahang. Misalnya, lawatan PM kelima, Pak Lah dengan helikopter ke kawasan sempadan Kelantan-Pahang pernah mendapat tempat di muka hadapan akhbar bagi menunjukkan betapa rakusnya peneroka haram menjadikan tanah tinggi sebagai tanah pertanian.
Membelek kembali lampiran-lampiran kejadian silam, tidak sukar sebenarnya untuk memahami mengapakah kejadian yang sama berulang lagi. Tampak sungguh isu-isu sebegini sekadar bertaraf Chipsmore. Lebih-lebih lagi isu alam sekitar yang perlu dikaitkan dengan keuntungan kapital sahaja yang diberikan keutamaan dalam mana-mana penggubalan dasar-dasar kerajaan. Kalaulah tiada kesan buruk akibat penarahan bukit oleh manusia, sudah pasti kesemua bukit yang boleh dibotakkan, akan dibotakkan untuk manfaat jangka pendek.
Apabila membaca kenyataan MB Pahang Adnan Yaacob tentang ketidakupayaan kerajaan negeri untuk mengawal aktiviti di Cameron Highlands sambil mengisyaratkan bahawa isu itu terlalu besar untuk ditanggung oleh kerajaan, maka eloklah lepaskan sahaja kawasan itu kepada pentadbiran mereka sendiri. Biarlah rakyat di sana yang menguruskannya sendiri dan menanggung risikonya. Tak perlulah ada kawasan DUN dan Parlimen di situ. Masakan tidak? MB-nya pun telah mengeluarkan kenyataan, 'terpulanglah kepada penduduk di sana.' Sebab utamanya ialah tidak boleh berbuat apa-apa! Pendidikan tak berkesan!
Nada semacam nihilisme yang diberikan oleh MB Pahang dalam persoalan berkenaan Cameron Highlands memperlihatkan sisi ketiadaan sebarang inisiatif yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri bagi mengatasi masalah di tanah tinggi itu. Penulis masih ingati kredibiliti Karam Singh Walia pada satu ketika dahulu yang membuat laporan tentang Cameron Highlands mengundang KYDYMM Sultan Pahang mencemar duli ke sana untuk mengetahui isu yang dibangkitkan pada ketika itu. Kini, memori itu hanya tinggal memori kerana maklum balas yang diterima selepas daripada laporan terbabit, lebih sepuluh tahun dahulu sekadar bak cahaya kunang-kunang yang sekadar berkelip-kelip melemparkan cahaya waktu malam gelap-gelita.
Akhirnya, permainan menyalahkan (blame game) akan kedengaran lagi sekali pada masa akan datang; mengenangkan tindak balas yang sama mungkin akan berlaku sekiranya berlakunya bencana dan membawa kepada kerosakan dan kematian di Cameron Highlands. Dah tak ada apa-apa yang kerajaan negeri boleh buat!!!!
Saturday, November 2, 2013
GST: Antara BN dan PR
Melainkan berlaku sesuatu yang luar biasa dalam masa 17 bulan yang akan datang, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan mula dikuatkuasakan pada April 2015. Sebagaimana yang pernah penulis utarakan sebelum ini, perlaksanaan GST ialah satu 'kegilaan' pada pihak 'ahli ekonomi' dan 'ahli audit/cukai.' Maka, ada kemungkinan yang sangat-sangat besar, kumpulan-kumpulan inilah yang sebenarnya mendapat manfaat daripada perlaksanaan cukai tersebut kerana mereka yang beria-ia benar agar dasar itu dilaksanakan.
Lebih menyeramkan ialah ada di kalangan pakar-pakar ini yang menyarankan penurunan cukai persendirian dan korporat tidak perlu dilaksanakan bagi membolehkan GST itu lebih 'stabil' di dalam iklim ekonomi Malaysia. Lalu, selepas mencapai 'kestabilan,' barulah kerajaan boleh menurunkan kadar cukai persendirian dan korporat secara gradual sehingga mencapai 20 peratus. Persoalan yang boleh dibangkitkan ialah, bagaimana kalau sekiranya kalau keadaan cukai 'tak stabil?'
Bagaimanapun, setidak-tidaknya kita boleh menjangkakan tiada satu gelombang besar tunjuk perasaan jalanan yang akan diwujudkan oleh pihak pembangkang di Malaysia untuk menentang sekeras-kerasnya GST sebagaimana mereka pernah lakukan untuk menuntut pilihan raya yang lebih bersih. Atau dalam erti kata lain, mungkin tidak ada himpunan seumpama 'Himpunan Hijau' atau 'Himpunan Blackout 505' yang pernah dilakukan untuk menuntut itu dan ini.
Masakan tidak, Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) yang juga Perdana Menteri Bayangan Malaysia sendiri mengakui bahawa sistem GST yang akan dilaksanakan itu lebih baik daripada sistem sedia ada. GST dikatakan sebagai sistem percukaian yang cekap dan telus yang mampu memberikan kebaikan kepada negara. Walaupun mempunyai perincian tertentu, ternyata di peringkat kepimpinan tertinggi untuk PKR telah mengakui 'kebaikan' sistem GST.
Hal ini cukup berbeza dengan PAS yang kini dipaksa untuk menghadapi PRK Sungai Limau apabila mereka telah mula memainkan persepsi bahawa perlaksanaan GST akan membebankan rakyat. Malah, Presiden PAS, Al-Allamah Sohibul Fadhilah Al-Ustaz Datuk Seri Hadi Awang turut menegaskan yang 'pandangan Ketua Umum Pakatan Rakyat bukannya pandangan ijmak Pakatan Rakyat.' Masih belum jelas apakah pandangan sebenar dan rasmi darripada pihak PR berkaitan perlaksanaan GSTdan masa sahaja yang akan menentukannya.
Justeru, dasar PR terhadap GST hanya akan diketahui dalam tempoh 'peralihan' ini. Apa yang jelas ialah PM Bayangan Anwar Ibrahim mengakui akan terus melaksanakan GST seandainya PR berjaya mengungguli tampuk pemerintahan negara. Dalam maksud frasa yang berbeza, sekiranya PRU 13 memihak kepada PR, ada kemungkinan yang cukup besar bahawa mereka akan turut melaksanakan GST; tapi dengan nada yang lebih lunak dan indah. Malah mungkin akan menyalahkan pihak kerajaan BN kerana tidak melaksanakan kaedah cukai sebaik, secekap dan setelus GST semasa pemerintahan mereka yang berpuluh tahun!
Pendek kata, ruang untuk penentang-penentang GST semakin sempit kerana di peringkat politik pun, sudah wujud dua pandangan berlainan kutub yang agak ekstream. Hal ini tidak seperti BERSIH yang mendapat sokongan sepenuhnya PR dan bantahan Projek Lynas yang mendapat sokongan seluruh pimpinan PR; melainkan seorang. Dalam isu GST ini, dua orang pemimpin agung PR melalui PKR sudah mengaku secara prinsipnya, cukai jenis ini lebih baik daripada sistem sebelumnya.
Dan kalau ditanya kepada penulis pandangan tentang GST, penulis tetap dengan pendirian tempoh hari iaitu sekiranya kutipan cukai kerajaan sudah semakin cekap, telus dan memberikan pulangan yang baik, apakah pula jaminan kerajaan bahawa mereka semakin cekap, telus dan tidak sekadar memberikan gula-gula kepada kumpulan tertentu sahaja....
Tuesday, October 22, 2013
‘Saf’ kepimpinan UMNO: Transformasi hapakabenda?
Pemilihan UMNO 2013-2016 telah melabuhkan tirainya awal Ahad lalu dan keputusan jawatan ketiga terpenting selepas Presiden dan Timbalan Presiden UMNO telah pun diketahui. Sebelum ini, kerusi Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri telah pun dipertandingkan dan melainkan jawatan Ketua Puteri yang memerlukan ketua yang baharu, Ketua Wanita dan Ketua Pemuda mengekalkan orang yang sama bagi tempoh tiga tahun lagi. Dan hari ini, senarai saf kepimpinan UMNO telah pun lengkap terutamanya jawatan-jawatan tertinggi parti keramat Melayu itu.
Memperlihatkan senarai yang sedia ada, hanya satu kerusi sahaja yang sebenarnya beralih arah kepada orang lain iaitu Ketua Puteri iaitu kepada Mas Ermieyati, Ahli Parlimen Masjid Tanah. Itu pun disebabkan penjawatan tersebut mempunyai had umur tertentu yang perlu dipenuhi oleh sesiapa yang berkeinginan untuk menjawatnya. Kalau tidak, mahu gamaknya kesemua pemimpin atasan dalam tempoh terdahulu dikekalkan sebijik-sebijik; meskipun UMNO berproklamasi bahawa mereka telah melaksanakan satu transformasi politik yang cukup besar dalam pemilihan kali ini dan akan datang.
Hakikatnya, apabila orang melihat kepada senarai kepimpinan UMNO, mereka sebenarnya kurang memberatkan jawatan lain seperti Ahli Majlis Tertinggi, Pemeriksa Kira-kira dan seumpananya. Mereka akan melihat kepada tiga hierarki tertinggi dalam UMNO kerana ketiga-tiga jawatan inilah yang sebenarnya mempunyai kesan besar dalam politik dan kepimpinan di peringkat eksekutif. Presiden parti biasanya ialah PM, sementara Timbalan Presiden ialah TPM, dan tiga Naib Presiden biasanya akan memegang portfolio berprofil tinggi. Walaupun terma 'profil tinggi' itu bersifat relatif (satu ketika dahulu Kementerian Luar Bandar dan Wilayah bukanlah kementerian berprofil tinggi) namun, pendek katanya, kedudukan Naib Presiden sangat penting apabila berlaku sebarang kejadian besar pada Presiden dan Timbalan Presiden (baca: kematian, letak jawatan dan penggulingan kuasa).
Hal ini diperkuatkan lagi dengan fakta bahawa dalam kebanyakkan pemilihan, dua jawatan tertinggi UMNO akan diseru supaya tidak diadakan pertandingan; lebih-lebih lagi jawatan Presiden. Maka tumpuan terbesar dalam pemilihan UMNO ialah jawatan Naib Presiden. Jawatan Naib Presiden merupakan jawatan terkanan bagi parti selepas Presiden dan Timbalan Presiden, maka bolehlah dikatakan sebagai sesiapa yang mendudukinya berpeluang untuk mendaki ke puncak hierarki kepimpinan parti sebagai orang nombor dua, atau kalau kena nasib, gaya dan masanya, menjadi orang nombor satu parti!
Kita tidak mahulah membandingkan peristiwa-peristiwa yang barangkali telah berumur tiga puluh atau empat puluh tahun yang lepas apabila ada di kalangan PM Malaysia tidak menduduki jawatan Naib Presiden UMNO pun. Namun yang jelasnya, PM daripada Dr Mahathir dan ke atas kesemuanya pernah menjawat jawatan Naib Presiden. Memang benar untuk UMNO era moden ini, Naib Presiden tidak semestinya akan menikmati jawatan yang lebih tinggi dalam UMNO, akan tetapi ketiga-tiga PM daripada Dr Mahathir, Pak Lah dan terkini PM Najib kesemuanya pernah menjawat jawatan Naib Presiden.
Kembali kepada keadaan sekarang, pengekalan ketiga-tiga penyandang Naib Presiden sebenarnya memperlihatkan ahli akar umbi masih belum bersedia untuk melakukan sebarang transormasi yang menjadikannya parti lebih dinamik dalam kepimpinan tertinggi. Ditambah pula dengan keadaan bahawa Presiden dan Timbalan Presiden yang sama memegang tampuk kepimpinan dan ketua sayap yang sama yang menerajui kepimpinan Wanita dan Pemuda, apa yang boleh ditafsirkan ialah bahawa gaya yang sama jualah yang akan dibawa oleh orang-orang atasan UMNO. Tiada pembaharuan langsung! Saf kepimpinan inilah sebenarnya yang diamanahkan untuk menerajui parti untuk PRU ke-14 iaitu saf yang sangat hampir sama dengan PRU ke-13! (yeap, sekarang pun sudah bercakap pasal benda akan berlaku sedangkan baru sahaja lima bulan yang lepas kita ber-PRU!)
Adakah ahli akar umbi sebenarnya sudah berpuas hati dengan keputusan yang diperolehi oleh UMNO pada PRU ke-13? Adakah orang-orang yang digelar sebagai 'pucuk pimpinan' yang menentukan calon-calon UMNO yang bertanding pada PRU lepas sudah menjalankan tanggungjawab yang cemerlang pada pilihan raya yang lalu? Hal inilah yang sepatutnya dijawab oleh pemilih-pemilih pucuk pimpinan UMNO yang telah melaksanakan tanggungjawab mereka pada Sabtu lepas. Mereka telah diberi peluang untuk menentukan saf kepimpinan UMNO. Merekalah sebenarnya yang bertanggungjawab dalam memilih pemimpin-pemimpin menjelang PRU ke-14 dan kepada pemimpin-pemimpin itulah letaknya harapan mereka agar keamanan, keharmonian dan penyelesaian masalah rakyat.
Namun, barangkali ahli-ahli UMNO sendiri perlu ingat dengan kata-kata yang disandarkan kepada Einstein, 'ketololan ialah melakukan sesuatu perkara yang sama berulang kali dengan harapan mendapat keputusan yang berbeza.' Diharapkan agar mereka sedar dan faham akan apa yang mereka telah buat kerana pada akhirnya, pemimpin-pemimpin inilah yang akan menentukan hala tuju parti dan hala tuju negara. Kalau UMNO/BN tidak mendapat keputusan yang baik ataupun lebih teruk lagi, kalah, perkara ini bukanlah susah untuk ditafsirkan kerana ahli akar umbilah yang 'secara langsung' memilih kepimpinan yang tertinggi.
Sekali lagi, secara zahir dan secara makronya dengan merujuk kepada hierarki kepimpinan tertinggi yang telah dipilih oleh ahli UMNO pada pemilihan yang lalu tidaklah menunjukkan sebarang transformasi yang dimomok-momokkan. Kaedah pemilihan mungkin berubah namun hasilnya yang sebiji sebentuk menunjukkan yang belum tentu pertukaran kaedah memberikan hasil yang berbeza. Apatah lagi dengan dikotomi baharu yang kaedah itu sendiri wujudkan iaitu undi popular vs undi bahagian merumitkan lagi sebenarnya tafsiran terhadap pemilihan yang telah dijalankan. Bagaimanakah kita hendak tafsirkan peringkat Bahagian berkehendakkan Hishamuddin sementara ahli akar umbi hendakkan Mukhriz Mahathir sebagai Naib Presiden? Apakah sebenar-benarnya yang ahli UMNO mahukan?
Pendek katanya, UMNO yang dikatakan menerajui perubahan dalam pemilihan parti, pun masih bermasalah dalam menentukan apa yang ahli parti sendiri mahu. Keputusan pengisian jawatan yang sama dengan yang terdahulu membuktikan transformasi yang dicanang oleh si Presiden parti tidak semestinya berlaku. Barangkali si Presiden dan ahli-ahli UMNO perlu tahu apabila kita maksudkan sebagai transformer di pusat-pusat pencawang besar untuk mengagihkan eletrik ialah pengubah yang akan menghasilkan voltan yang lebih besar atau lebih kecil daripada sebelum kemasukan arus eletrik ke dalam alatan itu. Maka, kalau magnitud yang dihasilkan sebelum dan selepasnya sama sahaja, tak perlulah pihak pembekal tenaga perhabis duit hendak pasang transformer!
Jadi, sekiranya hasil sebelum dan selepas pemilihan UMNO bagi penggal ini sama sahaja untuk parti UMNO, maka perhabis air liur dan kertas kerja sahajalah agenda transformasi politik yang dicanang oleh PM Najib!
Saturday, October 19, 2013
Jangan kata PAS, UMNO pun tak de
Sehari sebelum umat Islam negara ini ingin menyambut Aidil Adha tahun ini, mereka diberitakan dengan satu keputusan mahkamah yang masih bersifat sementara iaitu larangan penggunaan kalimah Allah dalam terbitan Kristian yang kononnya khusus untuk edaran di Sabah dan Sarawak. Barangkali yang di Semenanjung kurang peka dengan permasalahan di sana yang telah ditimbulkan oleh mubaligh Kristian 'zaman tok kaduk' kerana mereka telah mendakyahkan agama Kristian di komuniti setempat dengan mengisyaratkan gelaran tuhan bagi orang Kristian ialah Allah.
Kita pun tidak mahu memperpanjangkan persoalan tentang asas kepada mengapakah pendakyah Kristian ketika itu sanggup menggunakan satu kalimah yang sudah cocok dengan agama Islam. Sedangkan, tiada satu pun negara majoriti Kristian dan yang mempunyai ketua negaranya sebagai ketua agama Kristian negara terbabit yang menggunakan kalimah Allah merujuk kepada tuhan dalam perbincangan keagamaan mereka. Dalam konteks Bahasa Inggeris misalnya, tiada pernah mereka menggunakan frasa, 'Allah, the Son and the Holy Spirit.'
Kembali kita ke Malaysia, dikhabarkan sebenarnya tiada ijmak pun yang tercapai antara pemimpin Kristian di negara ini yang membolehkan penggunaan kalimah Allah secara mutlak. Di kalangan pemimpin politik, orang yang begitu lantang menyuarakan tuntutan agar penganut Kristian dibenarkan menggunakan perkataan Allah bukannya beragama Kristian pun! Begitulah adatnya sebuah negara berbilang bangsa dan agama terpaksa mendepani cabaran seperti ini kerana ketidaksempurnaan sistem pemerintahan dan pelbagai tekanan luaran mahupun dalaman terhadap pembuat dasar dan pemerintah. Sehinggakan ada pemimpin di dalam parti politik Islam pun menyampaikan sokongan penggunaan kalimah Allah oleh orang Kristian!
Tambahan pula, keputusan yang dibuat oleh tiga orang hakim Mahkamah Rayuan kelmarin telah mendapat reaksi pihak tertentu yang memperkecilkan kredibiliti hakim-hakim yang terlibat. Misalnya, reaksi peguam politik terkenal, Zaid Ibrahim, yang juga terkenal sebagai seorang ahli politik terjun sana terjun sini. Di dalam twitternya, beliau menyifatkan hakim-hakim tersebut seolah-olah telah menjadi pakar teologi Kristian pula untuk menentukan mana yang penting dan mana yang tidak dalam agama terbabit. Bagaimanapun, pandangan Zaid sememangnya satu pandangan yang boleh diramal kerana beliau ialah antara tokoh politik yang agak lebih ‘terbuka’ dalam soal-soal berkaitan agama Islam.
Pada masa yang sama, media arus perdana tempatan turut serta menghangatkan lagi suhu politik tempatan dengan menghentam PAS kerana kurang vokal dalam isu kalimah Allah. Hal ini seolah-olah bagi mengakuri tuntutan tahaluf siyasi yang menjadi tunjang kepada hubungan parti Islam terbabit dengan dua parti tunjang Pakatan Rakyat dalam rangka untuk mengalahkan kerajaan yang ditunjangi BN. Ramai yang mempersoalkan ke manakah perginya taring PAS dalam menghadapi isu yang sangat-sangat kritikal membabitkan kesucian Islam. Sedangkan, asal kewujudan parti Islam terbabit yang mempunyai matlamat menjadikan negara Malaysia sebagai negara Islam (baca: Berkebajikan), tetapi kini sering memperlihatkan sisi lain yang tidak menggambarkan matlamat asal iaitu ke arah pembentukkan daulah Islamiyah.
Tiada sebarang tunjuk perasaan yang dibuat bagi menunjukkan sokongan kepada langkah Menteri Dalam Negeri pada ketika itu yang menghalang penerbitan akhbar Kristian menggunakan kalimah Allah. PAS tidak pula bersungguh-sungguh membuat rapat raksasa untuk mengecam tindakan penerbitan Kristian terbabit daripada menggunakan kalimah Allah persis parti terbabit menyertai himpunan BERSIH yang menuntut pembersihan dalam pilihan raya Malaysia atau pelbagai lagi himpunan pembangkang dan antikerajaan yang lain. Malah, kita pun sebenarnya tak nampak akan sebarang himpunan raksasa yang menuntut kepada mempertahankan kesucian Islam sebagaimana yang pernah di lakukan satu ketika dahulu. Adakah matlamat, awlawiyat dan kawaid parti Islam terbabit sudah berubah?
Kalau dahulu, jangan sesekali ada pihak itu menghina Islam dan mereka sanggup menyertai tunjuk perasaan mengutuk, mencerca kebiadaban pihak tertentu yang mempermainkan Islam (contohnya isu karikatur Nabi SAW oleh NSTP), dan suatu ketika, mencerca, mengutuk meluahkan perasaan keinginan pihak Majlis Peguam dalam mewujudkan semacam suruhanjaya agama. Kini, dalam hal yang paling suci dalam agama Islam iaitu nama Tuhan Yang Maha Esa, Yang Satu-satunya Untuk Bergantung Harap, Yang tidak beranak, lagi tidak tidak diperanakkan, dan tiada satu pun yang setara dengan-Nya Yang Maha Esa, tak banyak yang kita dengar daripada mereka. Ironinya ada pimpinan PAS yang menyokong agar kalimah Allah digunakan oleh orang Kristian walaupun sayap ulama dalam PAS sudah menetapkan bahawa tiadalah boleh kalimah Allah sewenang-wenangnya digunakan oleh bukan Islam.
Begitulah antara persoalan demi persoalan yang diutarakan oleh media arus perdana berkaitan isu pendirian PAS terhadap kalimah Allah. PAS kini disifatkan sebagai sangat dingin, tidak sebagaimana respon PAS yang dahulu dalam isu-isu berkaitan Islam. NGO-NGO berkait Melayu/Islam menyelar tindakan PAS yang tidak menunjukkan sebarang respon yang signifikan dalam usaha mempertahankan penggunaan kalimah Allah dalam ruang lingkup Islam sahaja. Dalam himpunan prakeputusan Mahkamah Rayuan pada hari Isnin yang lalu, tiada pun kelihatan kumpulan yang mewakili suara PAS (Nasharuddin Mat Isa tak kira sebab beliau ialah ahli terbuang) untuk memberikan sokongan terhadap usaha kerajaan memastikan agar kalimah Allah tidak digunakan dalam terbitan Kristian Katholik Malaysia, sebagaimana misalnya sokongan terhadap Anwar Ibrahim dalam keputusan Liwat 2.0. Akan tetapi, seandainya kritikan ditujukan kepada PAS, bagaimana pula dengan UMNO yang sebenarnya turut tidak vokal dalam isu yang sama, malah dalam kebanyakkan isu berkaitan Islami?
Kebenarannya, UMNO juga turut tidak menzahirkan sebarang sokongan yang jelas terhadap usaha menidakkan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam sebagaimana yang dilaksanakan oleh NGO-NGO Melayu/Islam yang ada. Malah, diteorikan bahawa kegagalan kedua-dua parti majoriti Melayu/Islam untuk memberikan respon yang bererti kepada isu-isu berkaitan Islam menjadi sebab kewujudan NGO berteras Melayu/Islam yang muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Daripada sudut sejarah, itulah sebenarnya kelakuan UMNO yang agak malu-malu dalam menampilkan diri sebagai pembela agama. Malah, kegagalan UMNO dalam bersikap vokal dalam mempertahankan Islam pada zaman tok kaduk dahululah yang membawa kepada pembentukkan PAS. Jadi, UMNO sebenarnya sejak dahulu lagi tidak lantang mempertahankan Islam secara terang-terangan dan hanya sekadar beretorika, paling pun hanya dalam majlis perhimpunan agungnya sahaja. Sangat jarang sekali UMNO sebagai sebuah parti ke hadapan dalam isu-isu berkaitan dengan Islam walaupun mengaku bahawa mereka berjuang untuk agama, bangsa dan negara.
Kalau hendak diikutkan, 'himpunan sokongan' pada hari Isnin di Istana Kehakiman itu pun tidak menonjolkan parti UMNO sebagai salah satu daripada kumpulan pendesak, maka bagaimana mungkin boleh dikatakan UMNO sebagai pejuang Islam dan turut terlibat secara aktif dalam mempertahankan kalimah Allah? Barangkali UMNO perlu faham faktor pemisahan kuasa antara legislatif, eksekutif dan perjuangan marhaen menyebabkan usaha seorang menteri yang berasal daripada UMNO bukannya usaha parti UMNO secara langsung. Hal ini dikatakan demikian kerana seorang menteri akan dilihat akan bertindak atas kapasiti kerajaan dan bukannya parti. Walaupun pak menteri (daripada UMNO) yang mengusahakan halangan terhadap pihak Kristian Katholik untuk tidak menggunakan kalimah Allah dalam terbitan mereka, usaha itu sebenarnya hanya dapat dilihat atas kapasiti beliau sebagai seorang menteri dan anggota kerajaan, dan bukannya sebagai ahli parti UMNO.
Perkara ini nampak remeh namun itulah hakikatnya yang harus difahami oleh UMNO sendiri dan media-media arus perdana yang menyokongnya. Dalam menuju era politik yang lebih matang, tindakan seseorang menteri atau kerajaan tidak harus dilihat sebagai tindakan atas kapasiti parti walaupun menteri itu seorang ahli parti. Tambahan pula, hanya menteri-menteri sahaja yang diangkat sebagai satu-satunya yang berusaha dalam konteks isu kalimah Allah ini tanpa ditonjolkan iltizam yang berterusan daripada pihak kepimpinan dan ahli lain dalam UMNO hanya menunjukkan usaha itu ialah usaha sang menteri sahaja. Tindakan tuntutan UMNO dalam isu kalimah Allah langsung tidak tergambar dalam usaha mereka yang berterusan dan masih menyandarkan kepada situasi sebab menteri orang UMNO, dikira sebagai suara UMNO. Oleh sebab itu, tidak hairanlah sekiranya ada di kalangan ahli akar umbi yang mendakwa UMNO semakin kurang singnifikan dalam menjuarai isu-isu penting seperti agama Islam dan bangsa Melayu. Kedua-dua perkara ini banyak ditunjangi oleh usaha berpuluh-puluh NGO yang ditubuhkan untuk memperjuangkan isu-isu sebegini sedangkan pada masa 'kegemilangannya,' UMNOlah tunjang utama mempertahankan ketuanan Melayu.
Ke manakah perginya pemimpin UMNO yang lantang bersuara dalam isu berkaitan kalimah Allah ini. Di manakah suara-suara tegas yang bukan sahaja dizahirkan sekadar di media massa, namun dengan tindakan konkrit seperti menghantar memorandum, kenyataan resolusi yang tegas kepada pihak gereja dan badan-badan Kristian supaya jangan memanjangkan sama sekali isu ini dan membiarkan status quo dihormati dan dipatuhi demi keharmonian dan keamanan antara kesemua agama dan kaum? Manakah suara ketua pemuda dan pemuda, sebuah jawatan dan sayap parti yang secara tradisinya lantang mengemukakan tuntutan penting yang berkait agama Islam dan orang Melayu.
Bisu?
Pendek katanya, tak perlulah sesiapa pun yang mempersoalkan kenapa PAS tidak sebegitu vokal untuk memperjuangkan isu kalimah Allah kerana sememangnya ada di kalangan 'ulama' PAS (al-maklumlah kesemua ahli PAS ialah ulama, kata salah seorang pemimpin parti tersebut) yang berfatwa bahawa kalimah itu boleh sahaja digunakan oleh orang bukan Islam. Malah, yang perlu dibangkitkan ialah sejauh manakah istiqomahnya UMNO memperjuangkan isu-isu yang penting seperti agama Islam sebagai matlamat penting perjuangannya dan dipertonjolkan kepada umum. Kita perlu ingat, perjuangan itu bukan sekadar dipertontonkan apabila sesama sendiri sahaja, sebaliknya perlulah dizahirkan kepada yang bukan ahli sekali. Hal ini bolehlah dinisbahkan sebagaimana iman yang bukan sahaja setakat pengakuan di hati, dan ucapan di bibir, malah perlu dizahirkan dalam amal perbuatan. Sebaliknya, semakin hari, semakin jelas bahawa iltizam perjuangan berkait Melayu dan Islam hanya tampak diperjuangkan oleh NGO Melayu yang wujud jauh selepas kewujudan UMNO. Pastilah hal ini akan menimbulkan persoalan, sejauh manakah relevennya UMNO dalam memperjuangkan Islam?
Justeru, adakah suara UMNO tentang Islam sudah sepi selama-lamanya?
Sunday, October 13, 2013
PRK Sungai Limau: Apa yang boleh UMNO permudahkan
Kematian Al-Allamah Al-Ustaz Tan Sri Azizan Abdul Razak membawa kepada PRK Sungai Limau di Kedah. Negeri Jelapang Padi itu kini kembali kepada kuasa UMNO/BN setelah lima tahun diperintah oleh PAS/Pakatan Rakyat yang diterajui oleh Allahyarham. Beliau disifatkan sebagai seorang yang tenang, cukup ramah dan mudah didekati. Malah, dalam beberapa makalah terbitan akhbar utama (prokerajaan), beliau dikatakan sebagai cenderung kepada perpaduan antara UMNO-PAS sehingga membawa kepada beberapa siri cubaan untuk pemberontakan untuk peralihan kuasa di Kedah, lantaran tidak setuju dengan hala tuju pentadbirannya di negeri itu.
Apabila membaca beberapa memoir berkenaan Al-Ustaz Azizan di akhbar utama, penulis terasa seperti dunia telah berubah. Secara tiba-tiba, beliau disifatkan persona grata untuk UMNO dan persona non grata untuk partinya sendiri. lmej yang ditampilkan untuk Al-Ustaz nyata cukup berbeza antara sebelum kematiannya dan sesudah kematiannya. Ada di antara frasa-frasa yang sangat berlainan antara semasa pentadbiran beliau dan selepas kematian beliau bagai langit dan bumi. Beliau digambarkan sebagai seorang Menteri Besar berjiwa rakyat, merendah diri, cekap mentadbir, berlaku adil dan cuba menyelesaikan segala masalah yang melanda rakyat Kedah yang dibangkitkan oleh pihak anti-Pakatan. Kini, beliau ialah penghubung kepada perpaduan antara UMNO dan PAS. Ironi sungguh keadaan ini!
Antara isu yang sering dikaitkan dengan ketidakcekapan semasa pentadbiran Allahyarham ialah isu Kolej Insaniah. Ketika itu, beliau dibidas dengan teruk seolah-olah tiada langsung berusaha untuk membetulkan keadaan. Beliau turut disifatkan sebagai tidak cekap menguruskan isu kolej milik kerajaan negeri tersebut dan disebabkan ketakcekapan itu, kolej tersebut menghadapi masalah demi masalah yang terus timbul, sehinggalah ke masalah akreditasi kursus. Puak UMNO tampil mengambil kesempatan dengan sepenuhnya isu itu dengan menawarkan pekerjaan kepada graduan-graduan yang terlibat. Keadaan itu memperlihatkan seolah-olah betapa tidak upayanya Allahyarham untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit.
Begitu juga dengan pelbagai lagi masalah lain di negeri Kedah seperti pembalakan, masalah perumahan dan pekerjaan; seolah-olah beliau bukanlah seorang MB yang berkesan. Kegagalan beliau sebagai seorang MB telah menyebabkan beliau dikritik hebat dan terus-menerus dianggap sebagai MB yang lemah, tunduk pada desakan orang lain dan tidak dihormati oleh rakan Pakatan sendiri. Usaha ini agak berjaya kerana meskipun beliau kekal memenangi kembali kerusi DUN Sungai Limau pada PRU ke-13 yang lalu, negeri Kedah ditawan kembali oleh UMNO/BN sambil anak bekas PM, Dato' Mukhriz Tun Mahathir dilantik sebagai MB baharu.
Kini, selepas pemergian Allahyarham ke rahmatullah, beliau diangkat pula sebagai seorang pemimpin ulung yang barangkali yang kurang 'digemari' oleh parti sendiri pula. Malah, dalam komentar dan memoir perjalanan hidup dan politiknya yang disiarkan di akhbar utama, beliau dianggap pula sebagai penyatu antara Pro-PAS dan Pro-UMNO. Jadi, tindakan dan usaha beliau ke arah itu dianggap sebagai ancaman untuk golongan tertentu dalam PAS sehingga membawa kepada usaha untuk menjatuhkannya daripada kerusi MB pada ketika itu. Secara tiba-tiba, beliau diangkat sebagai hero pula oleh UMNO. Seolah-olah usaha beliau selama ini ialah untuk kesejahteraan rakyat berjaya pula, dan yang cuba menggagalkannya sebenarnya orang PAS sendiri! Memanglah perihal yang cuba diterjemahkan ini cukup aneh dan ganjil.
Justeru, sempena mengenang jasa-jasa yang telah dicurahkan oleh Allahyarham kepada negeri Kedah dan baktinya di DUN yang sama selama lima penggal berturut-turut, adalah seeloknya untuk UMNO/BN untuk tidak bertanding di sana dan memberikan sahaja kemenangan kepada calon PAS. Begitulah hadiah terbaik untuk orang yang begitu berjasa di negeri tersebut dan setidak-tidaknya menjadi penghormatan besar oleh UMNO untuk diberikan kepada seorang penyatu ummah yang ulung ini. Lagipun, untuk apa perlu untuk UMN/BN bertanding di sana kerana tidak memberikan sebarangkan faedah pun kepada mana-mana pihak? Bukannya kerajaan negeri akan bertambah kuat pun seandainya mereka menang dan bukannya kuasa Mukriz bertambah besar pun sekirnya mereka berjaya! Tambahan pula, kerusi DUN terbabit ialah kerusi kuat PAS, jadi UMNO bolehlah menjimatkan dana parti untuk bertanding seterusnya akan menjimatkan wang rakyat daripada digunakan oleh SPR untuk menganjurkan pilihan raya kecil yang menelan belanja jutaan ringgit.
Duit itu bolehlah dibuat untuk peruntukan lain seperti biometrik kah, atau dakwat kekal tahap inai kah, atau kemas kini daftar pengundi hantu kah, ataupun menggaji peguam untuk mengambil tindakan sivil terhadap pemfitnah 40 000 Bangla. Terutamanya perkara yang terakhir, SPR masih terus membisu tanpa sebarang tindakan konkrit bagi menafikan kewujudan kes terbabit sehinggakan kumpulan tertentu terpaksa mendesak supaya SPR mengambil tindakan mahkamah, sebaliknya SPR tetap tidak mengambil sebarang langkah yang lebih bererti untuk membela diri. Hal ini seolah-olah mengiakan tuduhan bahawa memang 40 000 warga Bangla hadir ke Malaysia untuk membuang undi kepada BN!
Oleh hal yang demikian, perkara termudah yang boleh dilakukan oleh UMNO/BN khusus untuk memperingati jasa dan bakti Allahyarham Al-Allamah Al-Ustaz Tan Sri Azizan Abdul Razak adalah untuk tidak bertanding dalam PRK ini kelak. Berikanlah sahaja kemenangan percuma kepada PAS yang bukan sahaja sebagai usaha mengenang jasa Allahyarham dan memudahkan kerja semua orang, malah dapat menjimatkan wang rakyat yang terpaksa dilaburkan untuk PRK kali ini. Kita pun tidak mahulah nanti apabila tempoh kempen berlangsung, keadaan berubah pula dengan keburukan dan kelemahan Allahyarham pula yang dijaja untuk meraih undi, setelah pujian menggunung diberikan kepadanya sebelum ini. Dalam politik, apa sahaja kaedah boleh digunapakai untuk meraih keuntungan dan hal ini dapat dibuktikan dalam beberapa siri pilihan raya yang berlaku di Malaysia. Kempen memburukkan kerajaan PAS terdahulu pasti terlepas juga daripada mulut-mulut peraih undi UMNO/BN dan secara tidak langsung, hal ini turut boleh dikatakan sebagai memperkecilkan usaha yang telah dilaksanakan oleh Allahyarham Al-Allamah Al-Ustaz Azizan Abdul Razak tempoh hari.
Maka, untuk memudahkan keadaan, mengekalkan keharmonian dan menjimatkan wang, tenaga dan masa, tak perlulah UMNO/BN untuk bertanding dalam PRK Sungai Limau bagi mengurangkan politiking daripada asyik menular dalam masyarakat kita. Apatah lagi Nabi SAW turut bersabda, 'permudahkanlah, janganlah menyusahkan,' jadi, bukankah sekaranglah masanya untuk mengamalkan sunnah itu?
Thursday, September 19, 2013
Demokrasi demo tak kasi
Sekali lagi, tibalah masanya menjelang musim pemilihan dalam parti. UMNO sudah tentu akan mengalaminya pada bulan Oktober kelak dengan akhbar utama sudah bersiap-sedia mencanang siapa yang hendak bertanding jawatan apa. Sudah ada kedengaran hasrat orang-orang tertentu untuk bertanding jawatan tertinggi dalam parti di peringkat pusat seperti Ahli Majlis Tertinggi (MT) mahupun jawatan yang lebih tinggi seperti Naib Presiden. Begitu juga bagi 'sayap' parti seperti Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri; bagi jawatan terakhir itu perlu dipertandingkan lantaran penyandangnya sudah tidak layak daripada segi umurnya.
Bukan sahaja UMNO yang akan menghadapi pemilihan parti sebaliknya PAS turut dikatakan akan menghadapi pemilihan pimpinan parti pada Muktamar Tahunannya kali ini. Pastinya tumpuan akan diberikan kepada jawatan nombor dua parti setelah penyandangnya mendapat reaksi yang kurang senang di kalangan ahli parti dan tekanan daripada dewan ulama parti tersebut. Terbaru, ada kalangan pimpinan negeri yang senada dengan Mohd Sabu bahawa kesemua orang di dalam PAS ialah ulama. Sudah semestinya pengisytiharaan ini sangat bertentangan dengan ajaran yang dikuliahkan oleh tok-tok guru dalam PAS khususnya, dan ustaz-ustaz penceramah bebas umumnya, yang selama ini meletakkan hanya cerdik pandai agama sebagai orang yang layak digelar ulama dan bukannya satu gelaran umum yang boleh dikurniakan kepada sesiapa sahaja hatta orang itu berilmu sekali pun.
Oleh hal yang demikian, jelas sekali bahawa kedua-dua parti yang mempunyai majoriti orang Melayu akan menghadapi cabaran bagi mengangkat pemimpin yang akan mengharungi dua atau tiga tahun akan datang. Kelangsungan kedua-dua parti akan menjadi taruhan untuk melihat muka-muka masa depan di antara ahli-ahli yang sudah banyak berjasa kepada parti. Ramai muka baru, tak kurang muka lama yang mengusulkan nama bagi merebut jawatan di peringkat tertinggi parti.
Cuma, dalam semangat demokrasi yang telah dicanang sebagai tunjang politik negara, kita sudah awal-awal lagi mendengar gesaan dan cadangan untuk jawatan tertinggi parti, lebih-lebih lagi dalam UMNO untuk tidak dipertandingkan. Alasan yang diberikan ialah agar tidak berlaku sebarang pepecahan dalam parti kerana sejarah telah membuktikan bahawa perebutan jawatan utama dalam parti akan menyebabkan pepecahan parti. Kesan terbesarnya pula ialah pepecahan dalam umat Melayu pula. Kegagalan ahli UMNO untuk bersetuju untuk tidak bersetuju menyebabkan ada di kalangan pemimpin yang keluar parti dan membuka parti baharu pula di bawah kepimpiman pihak yang keluar itu.
Lantaran itu, ada pula pemimpin UMNO yang menegaskan, sungguhpun jawatan terpenting dalam parti tidak dipertandingkan, parti itu tetap demokratik. Bagaimanakah konklusi sebegini boleh tercapai sedangkan puncak kepimpinan parti tidak dicabar? Penulis nampak sindrom ini memang sangat lekat dengan UMNO, namun tak bermaksud parti yang lain lebih demokratik.
Misalnya pemilihan DAP akhir tahun lepas turut tidak dipertandingkan jawatan penting seperti Pengerusi dan Setiausaha Agung. Pemilihan PAS tempoh hari turut tidak mempertanding jawatan eksekutif tertinggi dalam parti walaupun parti dihadiahkan dengan kemenangan bermakna Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden. Alasan paling layak untuk keadaan sebegini ialah tiada pencabar. Bagaimanapun, agak menghairankan juga bagaimana parti politik yang memiliki ratusan ribu ahli seluruh negara tidak memiliki seorang pun pencabar jawatan tertinggi? Sedangkan selepas itu, ada sahaja ahli parti yang meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan pucuk pimpinan parti.
Kalau itu berlaku dalam kem Pakatan Rakyat dan alasannya masih boleh dirasionalkan, sebaliknya pula untuk UMNO apabila belum pun lagi gelanggang berkaitan pemilihan peringkat tertinggi dibuka, sudah ada di kalangan pemimpinnya yang mula menggesa agar jawatan tertinggi tidak dipertandingkan. Bagaimana mungkin demokrasi disuburkan seandainya jawatan tertinggi sesuatu parti pun tidak dipertandingkan? Bukankah penidakkan untuk sebarang pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden hanya menidakkan jua hasrat UMNO untuk bertambah demokratik selepas beria-ia benar mengubah perlembagaan dan kaedah pemilihan jawatan kuasa tertinggi?
Sebetulnya, tahun pertama inilah (i.e. selepas pindaan perlembagaan dan kaedah pemilihan) UMNO membuktikan kepada orang ramai bahawa parti itu semakin matang menghadapi cabaran luaran, lebih-lebih lagi cabaran dalaman. Seandainya pemilihan parti pun tak dapat diselesaikan dan ada di kalangan ahlinya yang merajuk keluar parti dan menubuhkan parti baharu, hal yang sedemikian hanya membuktikan ahli parti yang cukup bersejarah itu masih belum matang dalam pembangunan parti dan tidak dapat menerima sebarang penolakkan.
Bayangkan setelah hampir 70 tahun parti tersebut wujud, ahlinya masih belum cukup matang untuk menerima kekalahan. Kalau begitulah gayanya, mengapa tidak ubah sahaja cara pemilihan dan penjawatan dalam parti. Bukankah lebih baik dibuat cara pewarisan jawatan sahaja bagi memudahkan kerja berkaitan kepimpinan parti. Bukanlah menidakkan demokrasi, tetapi demokrasi apa ke bendanya kalau tidak mempertandingkan jawatan kerana takut perpecahan di kalangan ahli parti sedangkan perlembagaan parti membolehkan jawatan dicabar. Sekiranya ahli parti sudah cukup matang dalam politik, pastinya perkara seperti sabotaj dalam parti tidak akan berlaku.
Malangnya, UMNO masih takut dengan bayang-bayang semalam. Jawatan presiden masih disarankan untuk tidak dipertandingkan atas alasan penyatuan, maka apa gunanya jawatan itu dikanunkan untuk boleh dipertandingkan? Mengapakah acap kali ada di kalangan ahli yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan tertinggi akan dipersepsikan sebagai persona non-grata oleh media arus perdana yang proparti? Sungguh, UMNO sepatutnya lebih matang daripada itu kerana mereka mendakwa diri mereka sebagai pendukung demokrasi; maka laksanakanlah demokrasi itu terlebih dahulu di dalam parti.
Sekiranya UMNO tidak dapat berbuat begitu, maka batalkan sahaja peruntukan tentang pemilihan presiden parti sebaliknya tetapkanlah bahawa pemilihan presiden parti ialah hak prerogatif presiden terdahulu; dan tidak boleh dicabar sehinggalah presiden itu bersara dan memilih pula bakal penggantinya yang baharu. Sesungguhnya hal yang sedemikian adalah lebih jelas dan mampu menjimatkan masa untuk berpolitik dalam politik. Mereka pun ada masalah negara yang perlu diselesaikan, jadi penjimatan sebegini akan memberikan nilai kepada parti politik tersebut.
Dan meskipun penulis mengisyaratkan perkara lebih kepada apa yang berlaku di dalam UMNO dalam penulisan kali ini, isyarat itu sebenarnya tercakup lebih luas lagi kepada kesemua parti politik di Malaysia dan di serata dunia yang pastinya punya situasi yang sama dengan apa yang berlaku dalam UMNO. Jelaslah di sini bahawa demokrasi tidaklah diamalkan dalam kesemua keperluan dan peringkat politik, walaupun ahli politik sering memproklamasikan perjuangan mereka ialah ke arah demokrasi. Hal ini dikatakan demikan kerana pada akhirnya, demokrasi hanya digunakan untuk mencapai matlamat politik, dan bukannya matlamat politik itu sendiri. Demokrasi tidak lebih daripada sistem ciptaan manusia yang penuh kelemahan dan sering dipergunakan untuk mencapai keinginan kendiri.
Jadilah tidak hairanlah kalau bukan semua perkara hendak kasi jadi demokrasi....