Showing posts with label Alam sekitar. Show all posts
Showing posts with label Alam sekitar. Show all posts

Sunday, November 3, 2013

Kalau dah kerajaan tak boleh buat apa, apa boleh buat?

 

Meneliti kisah di Cameron Highlands dan membaca komen-komen yang diberikan oleh sama ada birokrat-birokrat yang terlibat, mahupun ahli politik yang berkaitan, nyatalah kepada kita, tak ada apa-apa yang boleh dibuat. Paling banyak pun sekadar menunggu terjadinya lagi satu lagi banjir lumpur berlaku dan permainan mempersalahkan kembali melingkari dada-dada akhbar barang mungkin seminggu dua. Selepas itu, masyarakat dan negara akan reaktif menantikan apakah yang akan terjadi untuk sekian kalinya.

Daripada satu sisi, kejadian yang berlaku membogelkan lagi kelemahan pentadbiran tanah yang melanda Pahang. Isu pembogelan kelemahan pentadbiran tanah walau di mana jua negerinya bukanlah sesuatu yang asing. Namun, kalau dah sampai tahap bukit bukau pun sudah di bogelkan, bukanlah kali pertama dikaitkan dengan negeri Pahang. Misalnya, lawatan PM kelima, Pak Lah dengan helikopter ke kawasan sempadan Kelantan-Pahang pernah mendapat tempat di muka hadapan akhbar bagi menunjukkan betapa rakusnya peneroka haram menjadikan tanah tinggi sebagai tanah pertanian.

Membelek kembali lampiran-lampiran kejadian silam, tidak sukar sebenarnya untuk memahami mengapakah kejadian yang sama berulang lagi. Tampak sungguh isu-isu sebegini sekadar bertaraf Chipsmore. Lebih-lebih lagi isu alam sekitar yang perlu dikaitkan dengan keuntungan kapital sahaja yang diberikan keutamaan dalam mana-mana penggubalan dasar-dasar kerajaan. Kalaulah tiada kesan buruk akibat penarahan bukit oleh manusia, sudah pasti kesemua bukit yang boleh dibotakkan, akan dibotakkan untuk manfaat jangka pendek.

Apabila membaca kenyataan MB Pahang Adnan Yaacob tentang ketidakupayaan kerajaan negeri untuk mengawal aktiviti di Cameron Highlands sambil mengisyaratkan bahawa isu itu terlalu besar untuk ditanggung oleh kerajaan, maka eloklah lepaskan sahaja kawasan itu kepada pentadbiran mereka sendiri. Biarlah rakyat di sana yang menguruskannya sendiri dan menanggung risikonya. Tak perlulah ada kawasan DUN dan Parlimen di situ. Masakan tidak? MB-nya pun telah mengeluarkan kenyataan, 'terpulanglah kepada penduduk di sana.' Sebab utamanya ialah tidak boleh berbuat apa-apa! Pendidikan tak berkesan!

Nada semacam nihilisme yang diberikan oleh MB Pahang dalam persoalan berkenaan Cameron Highlands memperlihatkan sisi ketiadaan sebarang inisiatif yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri bagi mengatasi masalah di tanah tinggi itu. Penulis masih ingati kredibiliti Karam Singh Walia pada satu ketika dahulu yang membuat laporan tentang Cameron Highlands mengundang KYDYMM Sultan Pahang mencemar duli ke sana untuk mengetahui isu yang dibangkitkan pada ketika itu. Kini, memori itu hanya tinggal memori kerana maklum balas yang diterima selepas daripada laporan terbabit, lebih sepuluh tahun dahulu sekadar bak cahaya kunang-kunang yang sekadar berkelip-kelip melemparkan cahaya waktu malam gelap-gelita.

Akhirnya, permainan menyalahkan (blame game) akan kedengaran lagi sekali pada masa akan datang; mengenangkan tindak balas yang sama mungkin akan berlaku sekiranya berlakunya bencana dan membawa kepada kerosakan dan kematian di Cameron Highlands. Dah tak ada apa-apa yang kerajaan negeri boleh buat!!!!

Friday, October 25, 2013

Salah siapa dah tak penting

 

Jarang sangat penulis ke Cameron Highland dan acap kali ke sana, penulis tidak menghabiskan masa yang lama di sana. Paling lama pun rasanya sekitar tiga jam. Setiap kali ke sana, memang terasa hawanya lebih dingin berbanding apabila berada nun di bawah sana. Bagaimanapun, bagi mereka yang sering ke sana dalam satu jangka masa yang lama, atau mereka yang memang telah tinggal di sana, mereka akan merasai perbezaan yang nyata antara suhu sebelum dan selepas jangka masa tersebut. Cameron Highland dikatakan sudah semakin hilang identitinya sebagai kawasan yang mempunyai suhu ala-negara-negara di Eropah.

Kejadian banjir lumpur akibat pelepasan air di empangan Sultan Abu Bakar di kawasan Lembah Bertam menimbulkan pelbagai persoalan dan sehingga kini pun, pihak yang terbabit daripada mangsa banjir sehinggalah yang membuka pintu untuk pelepasan air di empangan saling menafikan merekalah sebenarnya penyumbang utama kepada kejadian yang buruk kelmarin. Apa yang jelas ialah setiap pihak yang terbabit ialah penyumbang besar kepada kejadian 'tsunami' di Cameron Highland. Kalau sekarang menuding jari kepada sesiapa pun, masing-masing akan mempunyai hujah untuk mempertahankan diri.

Misalnya, pihak TNB yang melepaskan air daripada empangan akan mendakwa bahawa segala yang dilakukan adalah menurut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan. Mereka mendakwa bahawa eksesais penyuraian atau pengosongan oleh penduduk. Malah, mereka turut mendakwa telah memberitahu pihak polis, pihak berkuasa tempatan dan ketua kampung tentang eksesais penyuraian penduduk. Siren amaran telah pun dibunyikan memberitahu agar penyuraian dilakukan. Lain pula di pihak penduduk. Ada yang mengatakan yang tiada siren amaran yang kedengaran. Malah, mereka turut mengkritik apa ke jadahnya untuk melaksanakan penyuraian pada waktu tengah malam sedangkan orang ramai sedang tidur?

Penulis sebagai ‘suku-environmentalis’ pula mempersoalkan, mengapakah dibenarkan penempatan di sebuah lembah yang mana kawasan tingginya mempunyai empangan? Sekiranya dibenarkan, maka siapa yang membenarkannya? Kalau tidak dibenarkan, maka kenapa tiada penguatkuasaan untuk melarang penempatan? Sampaikan sekolah pun di bina di kawasan tersebut, maka bayangkan seandainya banjir lumpur itu berlaku ketika murid-murid sekolah sedang belajar? Bukankah risikonya lebih besar?

Sekali lagi, persoalan tentang sejauh mana pentadbiran dan pengurusan oleh pihak berwajib yang sepatutnya menjadi perkara yang perlu dikedepankan dalam membincangkan permasalahan ini. Hal ini dikatakan demikian kerana kewujudan petempatan di kawasan yang berisiko tinggi menunjukkan keakuran pihak berkuasa terhadap penduduk-penduduk yang bertempat di situ. Maka, sekiranya berlaku sebarang bencana dan kesulitan sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian, maka tidak siapa yang akan dapat dipertanggungjawabkan kerana masing-masing pun lepas tangan sahaja.

Ingat lagi satu lagi bencana satu lagi Highland (runtuhan kondominium Highland Tower). Sehingga kini pun tiada siapa yang dapat dipertanggungjawabkan walaupun segala prosedur standard telah dipatuhi. Bayangkanlah sekiranya segala-galanya telah dituruti, si pesalahnya masih belum mampu untuk dipertanggungjawabkan kerana wujudnya klausa 'imuniti' daripada sebarang tindakan. Apatah lagi dalam keadaan yang tiada siapa yang boleh dipertanggungjawabkan, lebihlah lagi tidak akan ada orang yang akan dipertanggungjawabkan! Akhirnya, kewujudan pihak berkuasa pun sekadar keperluan wujud dan bukannya mempunyai fungsi yang tepat untuk memastikan keselamatan rakyat yang bernaung di bawahnya. Mana lah tak sakit jantung seseorang itu kalau bukak sahaja mata, tau-tau dah berlayar di atas katil?

Akhirnya, tiada siapa yang boleh dipersalahkan. Akan datang, kemungkinan kejadian ini akan berlaku lagi dan kita akan dapati segala SOP telah pun dipenuhi. Maka orang ini akan kata,

‘aku dah bagi tau, kau tak nak dengar,’

sementara satu pihak lagi mungkin akan kata,

‘kau bagi tau pun bukannya aku boleh dengar, lagilah kau bagi tahu hanya beberapa ketika sebelum kau buat itu.’

Dalam keadaan tiada siapa yang boleh dipertanggungjawabkan, buat apa kita hendak cari siapa yang salah?

Wednesday, April 24, 2013

Sejauh mana kita membayar bumi kita

 

Satu ketika dahulu semasa era pemerintahan Tun Dr. Mahathir, dikatakan seorang budak kecil daripada Britain telah menulis surat kepadanya menyatakan bantahan terhadap penerokaan hutan di Malaysia yang menyebabkan banyak haiwan dan tumbuhan liar di negara ini dimusnahkan. Budak kecil itu membantah kerana apabila dia besar, dia hendak mengkaji haiwan dan tumbuhan liar yang ada di muka bumi ini. Dr Mahathir membalas surat tersebut dengan menyuruh budak tersebut memberitahu ibu bapanya (atau kerajaannya) agar membayar dengan harga yang lebih mahal untuk perabot, getah, timah yang dibeli kerana wang itulah yang digunakan sebagai sumber ekonomi Malaysia dan untuk membayar pekerja-pekerja di Malaysia.

Kini, apabila bercakap tentang ekonomi, jarang dikalangan 'ahli ekonomi' kita turut menjelaskan tentang ekologi lantaran kedua-dua bidang itu dipisahkan. Kebanyakkan akan menceritakan pertumbuhan negara, GDP, kuasa beli, pendapatan perkapita, turun naik saham, pelaburan terus asing mahu pun pelaburan terus domestik. Ada yang pakar dalam bidang makronya dan ada yang pakar dalam bidang mikronya.

Dan dalam arena politik negara pun, perkara yang dibincangkan lebih menjurus kepada bagaimana membantu rakyat dengan subsidinya, pengagihan kekayaan, cukai itu dan ini, mansukhkan tol dan kesan pembinaan itu dan ini. Sekali-sekala sahaja terselitlah juga isu alam sekitar seperti Lynasnya pencemaran tempatan dan penerokaan hutan untuk hasil balak. Kesemuanya dieksploitasi untuk dijadikan sebagai mileage politik yang mampu menarik undi pada hari pilihan raya.

Ada yang sanggup berbuat demonstrasi kerana hendak menunjukkan betapa mereka mengambil berat terhadap alam sekitar. Tanpa mereka sedari, mereka sendiri telah menambahkan pembebasan karbon monoksida dan karbon dioksida pada hari tersebut kerana penggunaan pengangkutan untuk ke tempat demo dan kesesakan lalu lintas disebabkan oleh demonstrasi hijau yang mereka sendiri lakukan.

Apabila ahli politik bercakap pasal sumber dan produk pembuatan, masing-masing hendak menurunkan harga dan menghapuskan harga. Harga petrol biar murah, harga kereta pun hendak dimurahkan. Campur kedua-duanya? Peningkatan karbon monoksidalah jawabnya. Jalan raya di kota raya tidak pernah reda daripada kesesakan trafik tatkala waktu puncak. Besar mana dan canggih mana pun jalan raya itu dibina, kesudahannya tetap sama iaitu kesesakan trafik. Adakah ahli politikal-ekonomi memikirkan hal tu?

Kita membayar dengan harga yang murah untuk perkara yang tidak sepatutnya murah. Bahan terproses sehingga tahap berubah warna dan rasa semula jadinya dijual lebih murah daripada bahan yang tidak terproses. Misalnya gula pasir dan tepung gandum. Kedua-duanya mengalami proses yang lebih banyak berbanding gula tebu mentah dan gandum yang berserat (wholemeal). Kesemuanya kerana subsidi kerajaan supaya rakyat boleh membelinya. Tetapi pada masa yang sama, lebih banyak kos dan pencemaran yang diperlukan untuk hasil akhir sebegitu. Memang adatlah, lebih ramai yang akan menggunakan barang yang lebih sedap tetapi lebih murah. Akhirnya, penyakit bertambah dan pencemaran pun tidak terbayar. Apabila kerajaan atau pihak swasta membina infrastruktur, pernahkah mereka mengambil kira kos alam sekitar?[1] Pernahkah mereka membayar bumi dengan harga yang sepatutnya kerana pemusnahan ekologi? Malangnya ahli parlimen kita baik BN mahu pun Pakatan jarang sangat berdebat tentangnya. Mereka jarang berdebat tentang cukai karbon yang boleh dikenakan bagi meningkatkan kecekapan kitaran karbon agar pembuangan lebihan karbon dapat diminimumkan.[2]

Isu alam sekitar hanya wujud apabila keadaan memberikan kesan kepada karier politik mereka. Kalau hal kilang nadir bumi, beria-ia benar pihak Pakatan membawa isu ini sampai buat demonstrasi apa bagai’ berkali-kali. Tetapi, apabila kawasan hutan di kawasan negeri pemerintahan Pakatan digondolkan, tiada siapa pula di kalangan mereka yang membuat demonstrasi. Bukankah mereka menjadi juara alam sekitar? Kenapa tidak menjuarai isu sama di negeri mereka sendiri?

Pendek kata, hal ekologi dan alam sekitar merupakan topik yang malar segar dan harus diutamakan dalam sebarang perangkaan dasar oleh kerajaan. Setelah terlalu banyak sangat perkara yang dipolitikkan oleh kebanyakkan pihak, eloklah alam sekitar menjadi satu titik pertemuan untuk mereka bersatu untuk menyelesaikan masalah alam sekitar bersama-sama kerana bencana alam tak kenal siapa-siapa.

Nota kaki


[1] Sebagaimana yang telah dibangkitkan oleh Graeme Maxton yang mempertikaikan betapa murahnya harga minyak fosil sedangkan sumber itu tidak boleh diperbaharui dan akan habis jua pada suatu hari nanti. Begitu juga dengan pemusnahan hutan untuk perladangan dan perikanan tanpa had. Bacaan lajut lihat G. Maxton, The End of Progess (Singapore: John Wiley & Sons (Asia), 2011), 19-20 dan 133-149.

[2] Satu pendekatan yang dikemukakan Tim Harford ialah dengan memberi contoh di US iaitu perlaksanaan 'lelongan permit quota pelepasan' untuk pengilang. Sesiapa yang ingin pelepasan yang banyak, maka dia perlu membida untuk permit tersebut daripada Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA). Sebaliknya, pengilang tidak perlu permit itu sekiranya mereka boleh meminimumkan kadar pelepasan. Bacaan lanjut lihat T. Harford, The Undercover Economist (London: Abacus, 2007), 98-101.

Thursday, November 24, 2011

Beg plastik: Keuntungan peruncit atau pemeliharaan alam sekitar?

 

Masih segar dalam ingatan pada ketika itu, tatkala menapak di Tesco Kajang, penulis terlihat iklan yang berlatar hijau dengan lambang kerajaan Selangor tertera bersama-samanya yang membawa maksud Hari Sabtu ialah hari tanpa beg plastik. Iklan dan pengumuman yang sama dapat dilihat di hampir kesemua pusat membeli-belah di 'Negeri Selangor.' Kesemua itu mula berlaku sekitar 2009 yang menunjukkan begitu mendalam perhatian yang dimainkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor untuk memelihara alam sekitar.

Kini, langkah yang sama juga dimainkan oleh kesemua pusat membeli-belah di seluruh negara. Malah, kerajaan pusat (BN) sendiri mengiktiraf usaha pertama Kerajaan Selangor dengan tidak segan silu melaksanakan idea untuk memelihara alam sekitar itu. Begitu besarnya pengaruh langkah daripada Kerajaan Selangor ini sehinggakan kerajaan pusat pun mengikut langkah yang sama. Barangkali perlu diberikan kredit kepada mereka kerana usaha sebegini tidak pernah dilaksanakan sehinggalah PR berjaya memerintah Selangor.

Namun, usaha sebegini jugalah yang mendatangkan pertikaian oleh pengguna kerana bukanlah sepenuhnya 'hari tanpa beg plastik,' melainkan kalau mahukan juga beg plastik, maka pengguna bolehlah membayar dengan harga 10-20 sen sehelai. Kalau seseorang itu membeli-belah dengan banyak, yang memerlukan berbeg-beg plastik, maka perlulah dia membayar sekali beg-beg plastik tersebut sekali. Maknanya, kalau sepuluh helai beg plastik, sudah tentu sekitar dua ringgit! Usaha sebegini dilihat sebagai 'mencabar hak pengguna' kerana pengguna telah dicaj dengan harga yang tidak dibayar selama ini. Sudah tentulah perkara sebegini akan membebankan pengguna dan menyebabkan pengguna membayar lebih.

Hal yang demikian telah dibawa kepada Pak Menteri bertanggung jawab dan sekali lagi, ditegaskan kepada peniaga supaya 'tidak mengambil peluang untuk mengaut keuntungan berganda.' Seolah-olah usaha 'memelihara alam sekitar' ini sebenarnya berbaur 'mengaut keuntungan atas angin' lantaran pengguna perlu membayar lebih hanya untuk mendapatkan beg plastik. Tidak adil kepada pengguna kerana selama ini mereka tidak membayar beg plastik tersebut dalam urusan perbelanjaan harian mereka. Namun, kini mereka dipaksa pula untuk membeli beg plastik yang selama ini diberikan kepada mereka secara percuma.

Benarkah begitu?

Sekali pandang dan dengar, macam betul yang peniaga sebenarnya 'mengeksploitasi dasar pemeliharaan alam sekitar' dengan mengecaj pengguna untuk beg plastik, tetapi adakah dengan usaha sebegini semata-mata maka peniaga boleh menjadi kaya-raya? Penulis secara peribadi sendiri mengamalkan, kalau sudah tiada beg plastik hari Sabtu atau tak mahu membayarnya, tak payah datang membeli-belah pada hari Sabtu! Datanglah pada hari lain kalau nak sangat beg plastik tersebut! Barangkali sebenarnya pengguna tidak didedahkan dengan kos-kos alam sekitar yang perlu ditanggung oleh bumi ini sedangkan bumi ini tidak dibayar walau sesen pun.

Beg plastik ialah produk yang tidak boleh terbiodegradasi; dalam bahasa mudahnya tidak boleh direputkan secara semula jadi. Pertambahan penggunaannya hanya akan menambahkan lambakan beg plastik yang sudah terbuang dan tidak digunakan. Semakin banyak beg plastik, semakin banyak juga tempat yang perlu disediakan untuk 'melupuskannya.' Namun, plastik sebenarnya tidak boleh 'dilupuskan' kerana tidak reput. Oleh sebab itu, beg ini akan mendatangkan masalah pencemaran alam sekitar. Masalah seperti, beg hanyut dalam sumber air, menyebabkan pencemaran air dan kematian organisma air yang menyangkanya sebagai obor-obor (seperti penyu yang dikatakan selalu tersilap makan beg plastik).

Lebih daripada itu, beg plastik sebenarnya berasal daripada petroleum yang sudah tentulah menggunakan sumber yang tidak boleh diperbaharui. Kita pun telah diajar sedari sekolah rendah berkenaan bahan api fosil yang memerlukan masa jutaan tahun untuk dibentuk dan beg plastik pula merupakan sebahagian daripada hasil produk tersebut. Kalaulah sumber bahan api fosil ini habis (dan dikatakan sudah semestinya akan habis), bagaimanakah kita hendak menghasilkan beg plastik lagi? Sehinggalah saintis boleh menghasilkan kaedah untuk mengitar semula beg plastik kepada sumber bahan api, kita bukan sahaja menghadapi lambakan beg plastik, malah kekurangan sumber untuk membuat beg plastik. Tambahan pula kualiti beg plastik percuma yang kini bertambah teruk kerana tidak mampu tahan lama, beg plastik semakin dibuat dan semakin menambahkan lagi lambakan bahan yang takterderadasi!

Pengguna di Malaysia seolah-olah telah menerima satu statua quo bahawa plastik ialah barang yang percuma dan merupakan 'hak' mereka. Ada orang yang membeli minyak sepeket pun hendakkan plastik. Atau yang beli roti sebuku pun nak plastik. Nasib baiklah secara biasanya, rokok dan kad caj prabayar (top-up) tidak perlukan plastik; kalau tidak, nescaya pengguna hendakkan plastik juga untuk benda-benda sebegitu. Sedangkan beg plastik ialah kos yang perlu ditanggung oleh penjual untuk 'budi baik' (courtesy) kepada pembeli. Terlalu jarang pembeli yang membeli barang dengan membawa semula beg plastik. Oleh sebab itu, sudah menjadi semacam satu corak pemikiran bahawa penjualah yang sepatutnya menyediakan beg plastik dan terpaksa menanggung kos beg plastik. Sebungkus beg plastik saiz sederhana yang bercuping (tempat pegang) mempunyai kira-kira 50 helai dengan kos sekitar RM 2.00. Selama ini, peniagalah yang menanggung harga tersebut.

Sedangkan kos sebeginilah sebenarnya kos tersembunyi yang perlu diserap oleh peniaga. Ratusan atau ribuan ringgit perlu dibayar setiap minggu hanya untuk membeli beg plastik. Berasaskan kepada tahap perbelanjaan dan penggunaan yang semakin tinggi, beg plastik terpaksa disediakan dan dibeli oleh peniaga untuk memenuhi ‘budi baik’ tersebut. Malangnya, keadaan sebegini bukan sahaja akan meningkatkan kos berat sebelah kepada peniaga, malah mengancam alam sekitar dengan penggunaan beg plastik yang tidak berhemah.

Oleh yang demikian, kesatuan pengguna seharusnya mewar-warkan perspektif yang betul tentang beg plastik yang sebenarnya bukanlah semata-mata menambahkan kos harga barang, malah sebenarnya menambahkan pencemaran alam sekitar. Kos yang ditanggung sekarang ialah untuk menjamin generasi akan datang agar dapat hidup dengan lebih sempurna dan tidak menanggung bebanan kecelakaan, kesusahan dan kecemaran yang dilakukan oleh generasi kini. Daripada perspektif nilai keagamaan pula, apa yang kita lakukan pada hari ini ialah cerminan untuk apa yang akan kita peroleh di sana, jadi, usaha sedemikian sebenarnya sedikit sebanyak membantu amalan kita ke arah itu. Janganlah difikirkan sangat tentang duit kalau kita mampu berjimat dalam menggunakan beg plastik dan janganlah berkira sangat dengan duit kalau memang kita perlu menggunakannya.

Kalau tidak mahu membayar seringgit dua, sediakanlah beg serba guna bagi benar-benar menghayati usaha untuk memelihara dan memulihara alam sekitar. Kalau semua pun tak sanggup, janganlah sibuk-sibuk hendak bercinta, berkahwin dan beranak-pinak kerana tidak mahu mengorbankan yang sedikit untuk generasi yang akan datang. Dan kekikiran kita hanya menyebabkan anak cucu kita menderita disebabkan tangan-tangan kita.

Kalau tak nak bayar barang seringgit dua, bawalah raga sendiri!