Showing posts with label Kemalangan. Show all posts
Showing posts with label Kemalangan. Show all posts

Friday, October 25, 2013

Salah siapa dah tak penting

 

Jarang sangat penulis ke Cameron Highland dan acap kali ke sana, penulis tidak menghabiskan masa yang lama di sana. Paling lama pun rasanya sekitar tiga jam. Setiap kali ke sana, memang terasa hawanya lebih dingin berbanding apabila berada nun di bawah sana. Bagaimanapun, bagi mereka yang sering ke sana dalam satu jangka masa yang lama, atau mereka yang memang telah tinggal di sana, mereka akan merasai perbezaan yang nyata antara suhu sebelum dan selepas jangka masa tersebut. Cameron Highland dikatakan sudah semakin hilang identitinya sebagai kawasan yang mempunyai suhu ala-negara-negara di Eropah.

Kejadian banjir lumpur akibat pelepasan air di empangan Sultan Abu Bakar di kawasan Lembah Bertam menimbulkan pelbagai persoalan dan sehingga kini pun, pihak yang terbabit daripada mangsa banjir sehinggalah yang membuka pintu untuk pelepasan air di empangan saling menafikan merekalah sebenarnya penyumbang utama kepada kejadian yang buruk kelmarin. Apa yang jelas ialah setiap pihak yang terbabit ialah penyumbang besar kepada kejadian 'tsunami' di Cameron Highland. Kalau sekarang menuding jari kepada sesiapa pun, masing-masing akan mempunyai hujah untuk mempertahankan diri.

Misalnya, pihak TNB yang melepaskan air daripada empangan akan mendakwa bahawa segala yang dilakukan adalah menurut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan. Mereka mendakwa bahawa eksesais penyuraian atau pengosongan oleh penduduk. Malah, mereka turut mendakwa telah memberitahu pihak polis, pihak berkuasa tempatan dan ketua kampung tentang eksesais penyuraian penduduk. Siren amaran telah pun dibunyikan memberitahu agar penyuraian dilakukan. Lain pula di pihak penduduk. Ada yang mengatakan yang tiada siren amaran yang kedengaran. Malah, mereka turut mengkritik apa ke jadahnya untuk melaksanakan penyuraian pada waktu tengah malam sedangkan orang ramai sedang tidur?

Penulis sebagai ‘suku-environmentalis’ pula mempersoalkan, mengapakah dibenarkan penempatan di sebuah lembah yang mana kawasan tingginya mempunyai empangan? Sekiranya dibenarkan, maka siapa yang membenarkannya? Kalau tidak dibenarkan, maka kenapa tiada penguatkuasaan untuk melarang penempatan? Sampaikan sekolah pun di bina di kawasan tersebut, maka bayangkan seandainya banjir lumpur itu berlaku ketika murid-murid sekolah sedang belajar? Bukankah risikonya lebih besar?

Sekali lagi, persoalan tentang sejauh mana pentadbiran dan pengurusan oleh pihak berwajib yang sepatutnya menjadi perkara yang perlu dikedepankan dalam membincangkan permasalahan ini. Hal ini dikatakan demikian kerana kewujudan petempatan di kawasan yang berisiko tinggi menunjukkan keakuran pihak berkuasa terhadap penduduk-penduduk yang bertempat di situ. Maka, sekiranya berlaku sebarang bencana dan kesulitan sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian, maka tidak siapa yang akan dapat dipertanggungjawabkan kerana masing-masing pun lepas tangan sahaja.

Ingat lagi satu lagi bencana satu lagi Highland (runtuhan kondominium Highland Tower). Sehingga kini pun tiada siapa yang dapat dipertanggungjawabkan walaupun segala prosedur standard telah dipatuhi. Bayangkanlah sekiranya segala-galanya telah dituruti, si pesalahnya masih belum mampu untuk dipertanggungjawabkan kerana wujudnya klausa 'imuniti' daripada sebarang tindakan. Apatah lagi dalam keadaan yang tiada siapa yang boleh dipertanggungjawabkan, lebihlah lagi tidak akan ada orang yang akan dipertanggungjawabkan! Akhirnya, kewujudan pihak berkuasa pun sekadar keperluan wujud dan bukannya mempunyai fungsi yang tepat untuk memastikan keselamatan rakyat yang bernaung di bawahnya. Mana lah tak sakit jantung seseorang itu kalau bukak sahaja mata, tau-tau dah berlayar di atas katil?

Akhirnya, tiada siapa yang boleh dipersalahkan. Akan datang, kemungkinan kejadian ini akan berlaku lagi dan kita akan dapati segala SOP telah pun dipenuhi. Maka orang ini akan kata,

‘aku dah bagi tau, kau tak nak dengar,’

sementara satu pihak lagi mungkin akan kata,

‘kau bagi tau pun bukannya aku boleh dengar, lagilah kau bagi tahu hanya beberapa ketika sebelum kau buat itu.’

Dalam keadaan tiada siapa yang boleh dipertanggungjawabkan, buat apa kita hendak cari siapa yang salah?

Tuesday, October 18, 2011

Tengok budak kena gelek macam ayam kena gelek

  • Nauzubillah... mohon dijauhkan situasi tersebut di Malaysia yang menampakkan sangat betapa kurangnya nilai manusiawi yang tinggal dalam segenap insan di dunia.
  • Andai dilihat sekali imbas video tersebut dalam Youtube (misalnya dimuat naik oleh delatroy) memperlihatkan masyarakat di sana melihat seolah-olah sudah biasa melihat anak orang digelek kenderaan. Macam sudah biasa sahaja. Tidak perlu usaha mungkin hendak alihkan badannya, atau mungkin hendak diajak orang lain untuk membantu membawa si mangsa ke hospital. Tiada !
  • Dikhabarkan berbelas-belas orang telah melewati jalan tersebut yang sekadar menjadi penonton termasuklah seorang ibu yang memimpin anaknya sebelum budak tersebut dialihkan oleh seorang wanita (kelihatan seperti sedang membuang sampah). Anehnya, kalau yang menunggang sekadar cuba mengelak barangkali ke ke kanan atau ke kiri. Yang berjalan seolah-olah sedang melihat objek biasa yang digelek kenderaan. Tak ada apa-apa?
  • Atau sebenarnya orang yang lalu-lalang di lorong pasar di wilayah Guandong, China itu terlalu sibuk dek kesempitan hidup dan perlu memenuhi keperluan tanpa perlu menghiraukan yang lain. Mungkin kerana terlalu berfikir implikasi seandainya dialihkan badan budak tersebut, lalu badannya tercabut, mungkin ibu bapa budak tersebut akan menyamannya kerana tindakan kecemasan yang silap.
  • Mungkin ada yang akan berhujah, di Malaysia teruk lagi ! Bayi baru lahir di dilempar daripada tingkat atas bangunan ke bawah. Ada yang mungkin disumbat dalam tandas dan cuba di'flush.' Ada budak disimbah asid sampai hancur muka. Ada isteri yang dibakar hidup-hidup ketika mandi. Apalah sangat hendak dibandingkan dengan insiden van dan lori menggelek budak tetapi tidak dihirau?!?!
  • Dengan keadaan masyarakat dunia yang semakin berkembang, nilai kemanusiaan sebenarnya sesuatu yang amat sukar hendak dipertahankan kerana individualisme semakin menjadi sifat yang dianuti oleh manusia. Semua ada masalah masing-masing dan semua tidak mahu menanggung risiko yang mungkin berlaku.
  • Justeru timbul tanda tanya sama ada wujud atau tidak sebenar-benarnya rasa prihatin, ingin membantu, rasa kasihan kepada sesama manusia tanpa mengira orang itu orang tua, muda, budak, belia, lelaki mahupun wanita.
  • Kejadian di China itu dirakam oleh CCTV; sama seperti kejadian pelajar Malaysia di Britain yang dirompak oleh sekumpulan remaja yang mana ada dikalangan mereka yang berpura-pura hendak membantunya. Kita pun tidak tahu berapa banyak kejadian malang yang berlaku yang tidak dirakam sehingga dimuat naik di dalam internet. Hanya kerana dirakam sahajalah kita dapat didedahkan dengan kejengkelan makhluk bernama manusia. Kalau tidak, memang betullah selama ini kita hanya jadi penonton yang seolah-olah tak ambil pusing kecelakaan dan kemudaratan yang berlaku kepada orang lain!
  • Namun, kejadian-kejadian tersebut cukup untuk membuktikan betapa 'nilai baik' manusiawi yang meningkatkan martabat insan melebihi tahap binatang sebenarnya hanya sekadar fatamorgana. Sikap dan sifat manusia sebenarnya kadang-kala lebih teruk daripada binatang kerana manusia dikurniakan akal fikiran.
  • Sudahnya, sendiri mau ingatlah kalau apa-apa berlaku kepada kita kelak.
  • Selain daripada itu, ibu bapa perlulah lebih peka ke mana anak-anak mereka pergi. Aneh juga bagaimana seorang budak yang dikatakan hanya berumur dua tahun dibiar berjalan-jalan tanpa pemantauan penjaga. Alangkan budak darjah tiga atau empat pun kadang-kala ada yang diculik, dilanggar-lari atau menghilangkan diri, inikan pula budak dua tahun?!
  • Hendak salahkan sesiapa pun sebenarnya tiada guna. Kemalangan tersebut telah pun berlaku dan penayangannya di internet sepatutnya menjadi pengajaran kepada segenap lapisan masyarakat yang pernah menontonnya.
  • Mungkin dunia semakin maju sehingga keadaan sedemikian pun boleh dirakam dan dimuat naik. Akan tetapi, apabila perkiraan diri lebih diutamakan daripada segala-galanya, apa kita hendak hairan apabila suatu hari nanti, sungguh pun negara berada dalam keadaan aman, mayat-mayat manusia bergelimpangan kerana manusia sendiri tidak menghormati dan merasai tanggung jawab kemanusiaan. Siapa tahu kelak?
  • Dan kejadian sebegini sebenarnya memberikan cabaran kepada manusia dalam mentakrifkan nilai kemanusiaan yang sebenarnya. Kalau ditanya, semua mengaku dirinya suka akan baik-baik dan mengaku diri suka berbuat baik. Tapi, kata-kata adalah murah. Buatnya belum tentu!
  • Sekali lagi, mohon dijauhkan sikap tersebut daripada diri kita.....!

Friday, September 23, 2011

Jalan-jalan di kotaku

Pengenalan
Jalan raya merupakan satu utiliti yang sangat penting bagi menampung keperluan asasi manusia, juga sebagai penyambung kelangsungan ekonomi negara. Pertambahan kenderaan saban tahun menunjukkan betapa pentingnya jalan raya dalam kehidupan rakyat Malaysia. Ramai di kalangan rakyat Malaysia menggunakan kenderaan sendiri seperti kereta dan motorsikal walaupun insentif penggunaan kenderaan awam giat dijalankan. Sungguh pun begitu, bukanlah bermakna kenderaan awam di Malaysia tidak mendapat sambutan kerana berlaku 'kesesakan' luar biasa di stesen-stesen LRT, bas dan komuter di ibu kota terutama pada waktu puncak.
Sebagai pengguna tegar jalan raya, adalah amat penting untuk jalan yang dilalui oleh penulis tiap-tiap hari lancar bagi mengelakkan sebarang kelewatan. Bagaimanapun, hal itu jarang-jarang sekali berlaku baik ketika penulis berada di Lembah Klang mahupun ketika berada di kampung halaman di Kulai. Hal ini disebabkan di kedua-dua tempat tersebut, kesesakan jalan raya merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan lagi. Keadaan hanya akan reda sedikit menjelang hari-hari minggu namun kesesakan di tengah-tengah kota tetap berlaku dek kerana begitu ramai manusia hadir untuk berlibur dan membeli-belah.
Akibat sesak
Hakikatnya, kesesakan jalan raya pada waktu puncak merupakan sesuatu yang merunsingkan pengguna jalan raya sehingga mungkin boleh menyumbang kepada pelbagai masalah lain seperti kelewatan, pertambahan kos kerana penggunaan minyak yang tidak efisyen dan tidak kurang juga menyebabkan tekanan psikologi. Bayangkan pengguna Lebuh raya Damansara-Puchong (LDP) perlulah keluar rumah mungkin seawal subuh bagi mengelakkan kesesakan yang berlaku antara jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi! Pengguna terpaksa keluar lebih awal bagi menggunakan lebuh raya tersebut sedangkan pada asasnya, masa 'punch card' adalah dua atau tiga jam selepas mereka keluar rumah. Andai kita pukul ratakan masa pergi dan masa balik lebih kurang sama, pengguna mungkin menghabiskan masa sekitar empat jam sehari atau hampir sehari dalam seminggu hanya untuk terlibat dalam kesesakan jalan raya!
Pertambahan perumahan di kiri dan kanan lebuh raya merupakan antara faktor terbesar yang menjadi penyumbang kepada kesesakan jalan raya. Sekali lagi mengambil contoh LDP, sepanjang lebuh raya tersebut tidak lekang dari perumahan sama ada baru ataupun lama; dari plaza tol di sempadan Kepong sampailah ke plaza tol di sempadan Serdang/Putrajaya. Malah, jalur jalan sepanjang Puchong akan bertambah lagi dengan perumahan-perumahan baru yang akan bakal menambahsesakkan lagi LDP.
Pembangunan tak dirancang?
Oleh yang demikian, adakah pembangunan kiri dan kanan jalan raya boleh dijadikan sebagai faktor utama penyumbang kesesakan jalan raya? Semakin bertambah perumahan di sepanjang jalan raya utama, semakin bertambah kebarangkalian jalan itu untuk menjadi sesak dek bertambahnya pengguna jalan tersebut. Aggapan sebegini ada kebenaranya kalau kita lihat kes LDP tadi. Kenderaan acap kali meningkat dan begitu juga perumahan. Begitu juga di lebuh raya Pasir Gudang apabila begitu banyak perumahan baru dibuka di sepanjang jalan yang berusia lebih sedekad itu. Dengan jalan yang masih kekal sama selama sedekad sedangkan kenderaan dan perumahan setiap masa bertambah, mana mungkin lebuh raya tersebut mampu menampung kenderaan yang menggunakannya!
Pertambahan perumahan juga menjadi punca kepada satu masalah terbitan iaitu pertambahan simpang di jalan raya. Pertambahan simpang pula akan mendorong aliran trafik yang lebih lembab dek kerana hendak melayan 'hak' pengguna yang ingin masuk/menyusur ke simpang tersebut. Kesannya, kenderaan yang melalui kawasan susur/simpang akan memperlahankan kenderaan mereka; ada yang dari lorong kanan hendak susur ke kiri begitu juga selepas simpang/susur, ada juga kenderaan dari kiri hendak ke kanan. Bagi bandar padat seperti Kulai, keadaan lebih kelam-kabut apabila laluan sehala pergi dan balik yang dipisahkan dengan penghadang jalan masih mempunyai simpang yang membolehkan kenderaan dari arah kanan masuk ke simpang yang berada di seberang kanan jalan (melintasi jalan yang berlawan arah).
Oleh yang demikian, sering kali berlaku kelewatan trafik apabila ada kenderaan yang mengeksesais hak mereka untuk masuk ke simpang sebelah kanan jalan dengan terpaksa berhenti di laluan bahagian kanan jalannya disebabkan untuk mencuri peluang 'melintas' jalan yang melawan arus. Pastilah kenderaan yang mengekori dari belakang akan menjadi mangsa kepada kenderaan hadapan yang ingin 'mengambil' simpang masuk ke kanan kerana terpaksa berhenti terlebih dahulu, menanti kenderaan lawan arus tiada dan barulah melintas masuk ke simpang tersebut. Hal tersebut tidak dapat tidak akan menyebabkan kesesakan lalu lintas lebih-lebih lagi pada waktu kenderaan padat.
Traffic light=traffic jam
Simpang-siur di jalanan biasanya akan cuba diselesaikan sama ada dengan membuat persimpangan bertingkat mahupun meletakkan lampu isyarat. Malangnya, bagi kedua-dua cara pun, ada sahaja masalah yang tercetus disebabkan 'penyelesaian' tersebut. Persimpangan bertingkat bermaksud susur ke kiri dan susur juga sebenarnya banyak menyumbang kepada pengguna memperlahankan kenderaan mereka kerana ada yang ingin menyusur ke kiri dan ada juga yang hendak keluar dari kiri. Kebanyakkan kesesakan lalu-lintas di Lembah Klang disebabkan perkara tersebut contohnya dari Angkasapuri ke jambatan kabel susur ke LDP (Kelana Jaya), juga dari arah bertentangan ke persimpangan ke Seremban.
Begitu halnya dengan lampu isyarat. Setiap lampu isyarat untuk setiap simpang akan menyebabkan aliran trafik yang kurang lancar. Simpang berlampu isyarat yang sangat berhampiran antara satu dengan yang lain juga menambahrumitkan keadaan. Cuba bayangkan seandainya pada waktu puncak, kenderaan banyak dan ada dua persimpangan berlampu isyarat yang sangat hampir antara satu dengan yang lagi satu. Di persimpangan pertama mungkin lampu berwarna hijau (jalan) namun di simpang kedua lampu masih merah. Bukankah hal demikian menyebabkan kenderaan masih tersekat di antara dua persimpangan sedangkan lampu isyarat pertama telah hijau. Lebih menambah rumit adalah apabila kenderaan hadapan masih tidak boleh bergerak sedangkan kenderaan di belakang sudah tiba di tengah-tengah simpang, lalu warna lampu isyarat yang hijau telah bertukar merah. Hal yang demikian akan menjadikan suasana kelam-kabut kerana apabila tiba peluang kenderaan lain melintas simpang tersebut bertembung dengan kenderaan yang masih tersekat di tengah-tengah simpang?! Hari ini, keadaan tersebut boleh dilihat terutamanya di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur seperti persimpangan Jalan Pudu, Jalan Imbi dan Jalan Bukit Bintang. Malah, keadaan yang hampir sama berlaku waktu petang di jalan utama Saleng menghala ke pusat bandar Kulai serta laluan bertentangan pada waktu pagi (dari Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim ke arah Senai) apabila pihak majlis dari semasa ke semasa sentiasa menambah persimpangan berlampu isyarat disebabkan mungkin tuntutan pengguna atau penambahan demi penambahan taman-taman perumahan di sekitar Kulai.
Kajian
Justeru, dengan graviti yang telah dibentangkan tentang pembangunan di kiri dan kanan jalan utama, adalah sangat penting untuk pihak berkuasa berkait pembangunan dan perancangan bandar untuk membuat kajian yang tuntas berkait dengan pembangunan bandar. Boleh saja kita luluskan pelbagai taman perumahan sebab dengan meluluskannya, kerajaan juga yang akan mendapat serba-serbi dari cukai pintunya, cukai tanahnya, lesen niaganya, tapi apabila bab jalan raya, tidak dibuat pula ramalan (forecasting) tentang berapa banyak kenderaan yang akan lalu, apakah kesan pembukaan simpang baru kepada simpang sedia ada, adakah kelebaran jalan yang sedia ada dapat menampung kepadatan kenderaan pada waktu puncak dan pelbagai lagi persoalan berkaitan jalan dan perancangan jalan. Mungkin nampak remeh tetapi hakikatnya, kelangsungan keharmonian sesuatu kota itu mungkin bergantung kepada kelancaran aliran trafik di bandar tersebut.
Kaliber kontraktor
Pun begitu, dalam keghairahan pihak berkuasa menyediakan yang terbaik untuk rakyat, janganlah pula sehingga apa yang hendak dibuat itu menambahburukkan lagi keadaan sedia ada. Kadang-kala, kecekapan kontraktor yang dilantik oleh mereka boleh dipertikaikan sehingga menyebabkan yang sesak bertambah sesak. Contohnya, apalah gunanya lobang di jalan itu ditampal atau jalan itu diturap semula hanya untuk menjadi sopak semula selepas seminggu. Atau kontraktor yang tidak cekap sehinggga masa yang diperlukan untuk naiktaraf bertambah-tambah (dan sudah tentulah kos pun bertambah). Contohnya di sepanjang kawasan HICOM Shah Alam yang penulis saksikan sedari 2008 (kali pertama melalui kawasan tersebut) keadaan jalan semacam 'under construction', sekarang ini, sudah bertukar kerajaan negeri pun masih sama sahaja keadaannya; macam jalan rosak yang semakin rosak!
Atau kini seperti di kawasan Senai yang pembinaannya berjalan seperti kura-kura sedangkan Senai merupakan kawasan perindustrian dan sudah pastilah mempunyai jumlah kenderaan yang banyak pada waktu pagi dan petang. Untuk makluman, simpang utama Senai kini dalam pembinaan persimpangan bertingkat dan pembinaan bolehlah dikatakan sudah berusia dua tahun. Kini, pekerja di kawasan Senai dari arah Johor Bahru perlu membuat pusingan-U di tapak plaza tol lama Kulai hanya untuk berjalan hampir dua kilometer untuk memasuki simpang ke kawasan perindustrian Senai. Oleh sebab itu waktu pagi misalnya, dicampur dengan kesesakan trafik di kawasan Saleng, mereka yang tinggal di Kulai akan menghadapi masalah kesesakan bertimpa-timpa dari Kulai, plaza tol lama Kulai (kerana menghadapi aliran trafik pemandu yang membuat pusingan-U dari arah JB) dan pembinaan persimpangan bertingkat di Senai. Tak kena gaya, masa yang diperuntukkan hanya untuk menghadapi kesesakan trafik bertimpa-timpa ini adalah sekitar satu jam!
Kesan trafik
Penyakit trafik sebegini tidak dapat tidak akan menyebabkan penyakit lain melanda manusia yang terlibat dengannnya. Tekanan emosi, perasaan marah, cabaran kesabaran dan tekanan fisiologi pasti akan dirasai oleh pengguna yang sering terbabit dengan kesesakan jalan raya. Tatkala trafik yang sesak, adrenalin akan meningkat mengakibatkan degupan jantung bertambah. Pada masa yang sama, tekanan darah dalam badan juga akan meningkat mengakibatkan rasa stress. Stress yang luar kawalan akan menyebabkan hipertensi. Hipertansi berterusan boleh menyumbang kepada penyakit jantung dan/atau angin ahmar (stroke). Sebab itu ada seorang pensyarah penulis di Universiti Malaya yang pernah berseloroh, 'Duduk di KL ni cepat mati. Sebab orang asyik tersekat di traffic jam je...' Kajian lanjut tentang trend kesesakan lalu lintas dan penyakit kronik wajar dijalankan kerana bukan sahaja kita dapat memahami kesan kesesakan trafik terhadap kesihatan, kita juga akan lebih memahami apakah tahap kesihatan generasi masa kini berbeza dengan yang terdahulu disebabkan faktor trafik?
Selain tekanan fisiologi dan psikologi, kesesakan trafik juga boleh kita kaitkan dengan ketidakpuasan hati masyarakat. Bayangkan seorang pekerja kolar putih yang terpaksa berhadapan dengan kesesakan trafik tiap-tiap hari, sudahlah di tempat kerja ada masalah, di jalan raya pun ada masalah, akhirnya mereka akan berasa bosan dengan masalah jalan raya yang sentiasa berulang. Perlu diingat juga kenderaan di jalan raya akan bertambah saban tahun; maka sudah pasatilah tekanan di jalan raya juga akan bertambah saban tahun! Rakyat sebenarnya sudah semakin bosan, tertekan dan menyampah dengan keadaan tersebut dan oleh sebab itu, mereka pasti hendak meluahkan kemarahan mereka terhadap ketidakcekapan jalan menanggung trafik. Sudahnya, di kertas undi jualah tempat mereka menyatakan protes. Mungkin agak samar untuk dikaitkan, namun kesesakan jalan raya sebenarnya boleh jadi pencetus awal rasa tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan dan perkara tersebut diakumulasikan dengan pelbagai faktor lain (seperti ketidakcekapan kerajaan, persepsi negatif daripada pihak pembangkang) menyebabkan rakyat terutamanya yang berada di bandar-bandar besar beralih arah menyokong pembangkang pada 2008. Masyarakat bandar jelas sekali mempunyai keperluan yang berbeza berbanding masyarakat luar bandar dan seandainya keperluan ini (seperti aliran trafik lancar) tidak diambilkira, mereka pasti mengambil alternatif lain untuk meluahkan rasa tidak puas hati melalui kertas undi. Kesannya, undi popular kerajaan BN di kawasan bandar nyata sekali merosot teruk kerana rakyat telah mengeksesais hak mereka.
Kesimpulan
Kesimpulannya, kesesakan jalan raya bukanlahs sesuatu yang boleh dipandang ringan oleh pihak-pihak yang berkepentingan dan pihak berkuasa. Perancangan pembangunan perlulah dipantau dan unsur trafik harus menjadi salah satu daripada atribut yang peelu diambilkira oleh pihak berkenaan. Lantiklah mereka yang layak untuk membaiki jalan dan janganlah biarkan tikus-tikus membaiki labunya. Lebih penting lagi, kerajaan harus merenung fakta berikut, cukai jalan dibayar, beli kenderaan pun bercukai, nombor plat kena bayar, cukai pintu dan cukai tanah kena bayar. Lesen memandu, lesen itu dan ini pun kena bayar. Lebih sakit lagi, kalau di Lembah Klang misalnya, hari-hari kena bayar tol hanya untuk tersekat dalam kesesakan lalu lintas; maka apakah nilainya wang yang dibayar?
Rakyat tidak hanya nilai prestasi parti tiap lima tahun sekali, rakyat juga menilai jalan raya yang mereka lalui tiap-tiap hari.....

Wednesday, September 15, 2010

Balik kampung dan balik bandar

Musim perayaan tiba lagi dan Aidil Fitri disambut meriah oleh kaum muslimin dan sambutan itu secara tradisinya dilangsungkan sehingga sebulan. Rasional kepada sambutan sebulan adalah kerana mereka berpuasa sebulan. Sama ada betul atau tidak pemikiran tersebut, terpulanglah pada masing-masing mentafsirkannya. Namun, tujuan sebenar sambutan perayaan adalah kerana meraikan Aidil Fitri merupakan satu ibadah; bukannya adat. Ada caranya, tatasusilanya dan sunnah-sunnahnya yang berkaitan; bukannya sekadar berlibur di hadapan televisyen menonton filem/telemovie yang sakan disiarkan oleh stesen televisyen.

Bagi penulis, sambutan tahun ini tidaklah semeriah dahulu; lantaran kematian ayahanda penulis, Zulkifly Idris pada bulan Ramadhan yang baru berlalu. Almarhum meninggal dunia di dalam tidur dan diisytiharkan doktor disebabkan oleh sindrom koronari akut (acute coronary syndrome). Almarhum pergi ke rahmatullah meninggalkan isteri dan dua orang anak (termasuk penulis). Semoga Allah Taala sentiasa merahmati roh Almarhum dan ditempatkan pada maqam-mahmudah sebagaimana orang-orang yang soleh.

Justeru, sempena hari perayaan kali ini, penulis sekeluarga pulang ke kampung di Pahang pada hari raya pertama. Perjalanan di Lebuh Raya Utara Selatan dimulai sejurus selesai menziarahi pusara ayahanda dan apa yang diramal menjadi kenyataan. Aliran trafik di lebuh raya tersebut begitu sesak sehingga purata kelajuan dari Plaza Tol Kulai ke Yong Peng sekitar 70 km/j. Tatkala tiba di Kuala Lumpur (untuk memasuki Lebuh Raya Karak), MRR2 tidak sebagaimana perangainya yang biasa; jalan raya begitu lengang.

Lain hal pula semasa balik dari kampung. Penulis ikut jalan Mersing-Kota Tinggi dan tatkala tiba di Kota Tinggi, polis trafik memaksa pemandu untuk membuat lencongan masuk ke dalam bandar Kota Tinggi itu sendiri. Apa rasionalnya mereka berbuat begitu hanya polis dan mereka yang terlibat dengan perancang jalan sahaja yang mengetahuinya. Kesannya, berlakulah satu kesesakan jalan raya yang maha dahsyat sehingga kenderaan penulis sekeluarga tersekat di Kota Tinggi lebih sejam.

Sudahlah tersekat kesesakan jalan raya, papan tanda jalan masuk ke jalan Kulai-Kota Tinggi pun tiada. Sudahnya, penulis terpaksa membuat pusingan U untuk kembali mengambil jalan tersebut untuk pulang ke rumah ke Kulai. Satu perjalanan pulang rumah yang sepatutnya mengambil masa empat jam telah mengambil masa enam jam. Begitulah gamaknya perjalanan pulang.

Masalah utama yang mungkin boleh dikaitkan dengan kejadian sedemikian adalah lambakan kereta sekaligus pada ketika itu. Penulis sekeluarga pulang dari kampung pada hari Ahad, jadi mungkin bagi orang yang tidak bercuti panjang dan akan kembali bekerja semula pada hari Isnin, sudah pasti akan bertolak pulang pada hari Ahad. Akan tetapi, lebih menambahkan "minyak di dalam api" adalah jalan tersebut terbabit dalam proses pembaikan yang menyebabkannya menjadi sempit. Hal inilah yang menyebabkan perjalanan yang sudah sedia perlahan dek kerana pertambahan kenderaan bertambah perlahan (atau terberhenti terus) dek keadaan jalan.

Sepanjang perjalanan, penulis tidak ketemu sebarang kemalangan yang menyebabkan kematian. Kelihatan khemah-khemah polis ada didirikan di sepanjang jalan yang penulis lalui; ada yang berpenghuni dan ada yang sekadar diletakkan kerusi dan meja sahaja. Mungkin anggota bertugas sedang menjalankan rondaan. Cuma apa yang boleh ditambah baik selain daripada menyediakan "jadual perjalanan" pulang adalah menyediakan jalan-jalan yang penting agar berada dalam keadaan baik semasa perayaan berlangsung. Kadang-kala, hanya sekadar satu kon pun orang boleh memperlahankan kenderaan. Seterusnya, hal tersebut boleh menyebabkan kenderaan lain pula berhenti secara mengejut seterusnya boleh mengakibatkan kemalangan juga.

Moga-moga jalan kita semakin baik hendaknya; bagi mengelak kelewatan melampau mahupun kemalangan melayang nyawa....

Friday, September 3, 2010

Ops Sikap dan Sikap Ops

Saban tahun, Ops Sikap dijalankan dengan kerjasama pihak polis dan JPJ bagi membendung kejadian kemalangan pada musim perayaan. Biasanya, dua perayaan besar yang akan membabitkan Ops Sikap ialah Aidil Fitri dan Tahun Baru Cina. Apa yang dahulunya dikenali sebagai Ops Statik telah dilaksanakan saban tahun dengan harapan, pengguna jalan raya akan semakin berhati-hati dan semakin berwaspada semasa memandu di jalan raya. Pun begitu, saban tahun juga, kemalangan maut sentiasa menjadi statistik dalam Ops Sikap dan saban tahun juga, saman terus-menerus dikeluarkan bagi pesalah jalan raya. Oleh sebab itu, adakah operasi tersebut benar-benar memberi kesan yang diinginkan dalam mencapai kematian dan kemalangan sifar?

Salah satu penyebab kepada kemalangan jalan raya adalah kelajuan yang melampau. Kenderaan masa kini yang begitu mementingkan kecekapan dan keberkesanan enjin sudah pasti lebih laju berbanding yang lama. Apa yang merisaukan adalah apabila kelajuan itu tidak kena pada tempat dan tidak berhemah dalam pemanduan tersebut. Andai jalan raya yang memang terkenal dengan sifatnya yang bengkang-bengkok atau bersimpang-siur, sudah tentu kelajuan bukanlah sesuatu yang harus dipraktikkan. Begitu juga halnya kalau kenderaan terlalu banyak di atas jalan raya, maka kelajuan melampau sekadar menambah bahaya kepada diri sendiri.

Satu lagi punca kemalangan jalan raya adalah struktur jalan yang kadang-kala begitu mendukacitakan. Lobang di sini sana yang tidak bertampal hanya akan mengundang bahaya kepada pengguna (bukankah kita pernah mendengar berita penunggang mati kerana hendak mengelak lobang/melanggar lobang baru-baru ini?). Dalam hal ini, tidak dapat tidak pihak kerajaan perlu dipertanggungjawabkan kerana pembinaan dan baikpulih jalan adalah tertakluk kepada bidang kuasa mereka. Memang terdapat jalan-jalan yang terlalu uzur dan perlukan pembaikan namun, kadang-kala pemulihan yang diinginkan tidak dilakukan berbulan-bulan atau hingga bertahun-tahun. Pihak kerajaan seperti kerajaan tempatan (PBT), kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan seharusnya menyelia jalan-jalan yang ada bagi mengelakkan berlakunya kerosakan yang teruk yang mengakibatkan risiko keselamatan kepada pengguna. Adakah setiap kali Karam Singh Walia perlu membuat laporan aduan rakyat terhadap ketidakcekapan kerajaan dalam penyeliaan jalan barulah kerajaan dan pihak berkenaan hendak bertindak?

Skil dan kemahiran pemanduan juga merupakan satu perkara penting dalam menghadapi situasi kecemasan. Sepuluh tahun dahulu dalam sebuah rancangan perbincangan, penulis ada menonton satu temu-bual bersama sebuah organisasi yang melatih pemandu dengan mengajarkan skil tertentu dalam pemanduan. Skil-skil ini bukan sahaja digunakan untuk aktiviti stunt (lagak ngeri), malah boleh juga diaplikasikan dalam keadaan kecemasan semasa di jalan raya. Oleh yang demikian, kebarangkalian mendapat kecederaan semasa berlakunya kemalangan dapat diminimumkan. Skil-skil sebegini sangat penting terutamanya bagi mereka yang sering berjalan jauh dan melalui kawasan yang terdedah dengan bahawa kemalangan. Namun, nampaknya hebahan kursus-kursus sebegini tidak meluas sedangkan kursus-kursus sebegini sangat penting bagi mengelakkan kecederaan parah sekaligus mengelak melayang nyawa.

Lebih penting lagi sikap pemandu itu sendiri perlulah diubah bagi membentuk pemandu yang lebih berhemah dan tidak mementingkan diri sendiri. Pemandu yang memandu perlahan di lorong laju merupakan pemandu yang tidak berhemah dan boleh mengundang kemarahan orang lain dan kemalangan. Pemandu yang tidak memberikan isyarat semasa membelok ataupun menukar lorong juga merupakan pemandu yang bersikap "kurang ajar." Begitu juga bagi mereka yang galak menggunakan telefon bimbit padahal beliau sedang memandu di lorong laju, suka melakukan aksi "cilok" kiri dan kanan ketika memandu, memandu ketika mengantuk, tidak bertali pinggang keledar; kesemuanya mengundang bahaya bukan sahaja kepada diri sendiri malah kepada orang lain. Sikap-sikap beginilah yang seharusnya diubah bagi merealisasikan matlamat Ops Sikap itu sendiri.

Bagi penguatkuasa seperti polis dan JPJ pula, zahirkan kehadiran anda di jalan raya bagi sekurang-kurangnya mendisiplinkan pemandu. Tiada guna kita menyorok di semak-samun/kebun bunga, membuat speed trap kalau kehadiran penguatkuasa tidak langsung mencegah kemalangan daripada berlaku. Sudah nyata bahawa rakyat Malaysia takut kehadiran polis di jalan raya, maka kenapa pula polis hendak disorok-sorokkan? Letak sahaja seorang anggota polis setiap lima hingga sepuluh kilometer, maka boleh jadi orang akan memperlahankan pemanduan berbanding membuat pecutan!

Dalam banyak keadaan pun, kemalangan sifar adalah sesuatu yang kelihatan mustahil. Hal ini disebabkan perkataan itu sendiri – kemalangan. Malang tidak berbau dan walau secermat mana pun manusia, malang itu boleh terjadi bukan disebabkan dirinya (contohnya: wrong place at wrong time). Akan tetapi, kita boleh cuba dan berusaha untuk mengelak kemalangan itu sendiri daripada berlaku dan sekurang-kurangnya dapat mengelakkan kematian. Semoga pemandu pada musim perayaan kali ini akan memandu dengan lebih selamat sekaligus dapat mengurangkan jumlah statistik kemalangan dan kematian di jalan raya.

Pandu cermat, jiwa pun selamat..............

Thursday, January 21, 2010

Gempa tak kenal bangsa

Kejadian gempa bumi di Haiti memberi lembaran baru kepada media antarabangsa dan masyarakat Malaysia tentang satu perkara – gempa bumi tidak mengenal manakah kita berada. Buat kali pertama dalam media, nama negara kepulauan tersebut dihebohkan sehingga ada kalangan kenalan penulis yang bertanya, "Kat mana tu Haiti?" Sebuah negara yang selama ini mungkin tidak dipandang apa-apa pun sudut komersialnya berita yang hendak diutarakan oleh CNN, AFP, AP, BBC, Reuters dan lain-lain tiba-tiba mempunyai nilai tersebut. Setelah sekian lama kita dihamparkan dengan cerita dan berita tentang Iraq, Iran, Palastin, Indonesia, Lubnan – tiba-tiba nama Haiti muncul. Pelbagai berita dari kesedihan dan kesengsaraan (plight) orang-orang yang berada di sana sehinggalah keajaiban menyelamatkan budak ajaib atau orang ajaib yang telah tertimbus di dalam runtuhan binaan sekitar ibu kota negara tersebut.

Kejadian gempa seakan mengiakan ramalan cerdik pandai tentang betapa kemusnahan dunia semakin hampir. Sudah ada filem Hollywood yang menzahirkan kemusnahan dunia menurut kepercayaan kuno Mexico i.e. 2012 – seolah-olah masyarakat tersebut merupakan satu-satunya yang telah meramal dengan tepat (dalam kisah tersebut) akan bilakah akan terjadinya kiamat. Pun begitu, dalam akhir cerita tersebut dunia tidaklah musnah lagi – cuma mereka yang bermandiri yang kononnya daripada kalangan orang yang mepunyai genetik yang terbaik sahaja mungkin terpaksa bersaing dengan orang Afrika pula untuk mendapat tanah di Cape of Good Hope di Afrika Selatan. Akhir cerita tersebut menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan...

Walau apa pun yang hendak dikatakan oleh pengkritik, baik pengkritik media, pengkritik agama, pengkritik budaya sama ada cerita itu memenangkan golongan kapitalis berkepentingan, atau cerita tersebut merupakan cerita yang mengagungkan sains, atau cerita tersebut melupai konsep ketuhanan, atau lebih kompleks lagi, cerita tersebut merupakan satu lagi idealisme pasca-moden – satu perkara yang penting yang seharusnya kita akui – bencana tidak mengenal siapa....

Sebagai orang Islam yang berpegang kepada Rukun Islam dan Rukun Iman serta dasar Ihsan pastilah umat Islam akan mempercayai bahawa sam'iyaat itu akan berlaku. Apa yang dikhabarkan oleh Nabi SAW dan diperdengarkan olehnya kepada para sahabat dan umatnya melalui Hadis pasti akan berlaku. Pelbagai tafsiran tentang dajjal, al-Mahdi, turunnya Nabi Isa AS, sangkakala telah banyak diperdebat di dalam buku-buku terbitan Islamik yang berada di pasaran. Maka, seharusnya, kejadian sebagaimana gempa di Haiti itu memperkuatkan lagi keimanan kita bahawa Kiamat itu pasti berlaku – dan apabila kiamat itu belaku, kiamat itu tidak mengenal bangsa atau agama atau warna kulit, atau parti politik, atau sempadan geografi dan sebagainya.

Dengan berbekalkan usia bumi yang tersisa, semua umat Islam di atas muka bumi ini perlulah menjadikan peristiwa gempa tersebut sebagai peringatan – untuk renungan ulul albab. Bumi bertuah Malaysia masih belum mengalami kehancuran catastrophic sehingga mengorbankan ribuan nyawa dan kita masih megah menyatakan bahawa kitalah yang membantu bangsa itu dan ini tatkala mereka dilanda bencana. Apakah kita telah bersedia untuk nasib kita?

Bencana tak kenal bangsa!!!!!

Wednesday, April 15, 2009

Diluah mati emak, ditelan mati bapa, dibiar sahaja, semua mati!

Tragedi bas ekspres berlaku lagi dan kali ini enam nyawa lagi melayang gara-gara kemalangan yang disifatkan sangat ngeri itu. Dan sekali lagi kemalangan berlaku berhampiran dengan susur keluar lebuh raya; dan kali ini dilaporkan bahawa pemandu bas utama dan kedua mempunyai saman, waran tangkap. Pemandu bas ekspres bagi laluan perjalanan tersebut atau bagi syarikat tersebut didakwa oleh penumpang sering memandu laju. Dan buat julung kalinya, sekali lagi, tuding-menuding jari berlaku bagi meletakkan kesalahan tersebut ke bahu yang sepatutnya.

Nasi sudah menjadi basi. Kalau ditanak semula pun akan tetap basi. Kalau dicampur ragi awal-awal, bolehlah jadi tapai... Tapi sudah jadi basi, tak boleh ubah dah....Begitulah perumpamaan kes ini. Kalaupun saman/tangkapan/pemenjaraan berlaku, nyawa yang melayang tetap tidak boleh dikembalikan. Yang mati tetap mati. Cuma diharapkan selepas saman/tangkapan/pemenjaraan itu, yang lain boleh ambil ikhtibar – tapi, apakah ikhtibar yang boleh diambil?

Setelah asyik puas dipersalahkan, akhirnya syarikat bas, persatuan pengguna, kesatuan pekerja kini mempersoalkan pula mengapakah JPJ dan polis tidak bertegas dalam mengambil tindakan? Sudah ada waran tangkap, kenapa tidak ditangkap? Beginilah adat salah-menyalahkan. Tidak siapa yang ingin menerima kesalahan. Penulis setuju juga dengan teguran/pangacuan kesalahan tersebut, namun, adakah kita semua hendak menerimanya? Adakah kita daya untuk menghadapi road block yang mungkin akan memakan masa berjam-jam untuk tangkapan/saman dibuat? Demi membersihkan drebar bas daripada dibiarkan melakukan kesalahan, adakah semua orang perlu menanggungnya. Bukankah dahulu kita juga yang mengadu bahawa tindakan JPJ menahan bas menyusahkan semua orang?

Bagaimana pula dengan keluarga pemandu bas? Pasti ada juga suara yang menyeru agar kita memikirkan kehidupan mereka yang tidak menentu. Gaji berdasarkan trip. Nasib mereka juga perlu diperjuangkan...

Sebab itulah penulis syorkan dibuat satu KAJIAN MENYELURUH tentang pengangkutan awam di Malaysia dari bas ekspres, bas henti-henti, LRT, kereta api, kapal terbang, komuter.

Sebagai makluman, tahun lepas masa pergi satu ujian untuk memasuki perkhidmatan awam (penulis tak lulus ujian itu...) salah satu perkara yang dibincangkan dalam ujian tersebut adalah tentang perkhidmatan pengangkutan awam. Macam-macam "hentaman" bergeliga yang diluahkan oleh peserta ujian tersebut; pintu bas tak cukup besar lah, tempat duduk untuk warga emas dan orang kurang upaya tidak disediakanlah, penduduk berasak-asak lah... kes kemalanganlah...

Disebabkan masa itu penulis masih mentah, jadi penulis pun terikutlah flow perbincangan "ala parlimen" tersebut (penulis penyokong kerajaan – jadi kena menyokong bahawa perkhidmatan awam Malaysia kononnya baik.) TANPA LANGSUNG MENGELUARKAN INPUT PENAMBAHBAIKAN YANG LOGIK DAN BOLEH DIPRAKTIKKAN. Kalau setakat pintu bas besar mana pun hendak kita jadikan perdebatan ala parlimen, penulis kira kita sudah mensalahtafsirkan fungsi parlimen itu sendiri!

Penulis ingin mengutarakan beberapa penyelesaian praktikal yang boleh kita fikirkan dalam hal mengurangkan kemalangan bas ekspers; salah satu daripadanya ialah penanda-arasan (benchmarking – ada yang menterjemahkan pengukur-taraan, penulis lebih gemar istilah pertama).

Kita sedia maklum bahawa bukan semua syarikat bas ekspres yang mengadapi masalah kemalangan maut memanjang – ada syarikat yang mempunyai track record yang baik. Oleh yang demikian, salah satu cara untuk menyelesaikan masalah syarikat yang menghadapi track record yang buruk tersebut adalah dengan membuat benchmarking dengan syarikat yang mempunyai rekod yang baik. Andai syarikat tersebut tidak mampu/tidak dapat beroperasi sebaik sebagaimana syarikat yang telah menjadi tanda aras, maka lesen untuk syarikat tersebut hendaklah ditarik!

Hal ini bukan sahaja akan mendorong penambahbaikan dalam perkhidmatan, malah, kenaikan harga tiket bagi perkhidmatan juga dapat dirasionalkan dengan peningkatan kualiti perkhidmatan syarikat bas ekspres. Penanda arasan ini akan membolehkan syarikat tersebut berdaya saing dari segi imej dan keselamatan dan mampu memberikan saingan yang sihat bagi memperoleh pelanggan – bukan semata-mata hanya mengharapkan trip yang banyak sahaja.

Selain itu, pihak penguatkuasa pun perlulah lebih aktif menjalankan tanggungjawab bagi membuat tahanan terhadap mereka yang sudahpun diblacklist. Laporan tentang betapa pemandu sekian-sekian mempunyai sekian-sekian saman dan sekian-sekian waran tangkap sebenarnya mencerminkan kelemahan penguatkuasaan pihak berwajib. Kalau sudah ada waran tangkap, buat apa dibiarkan bebas? Takkanlah hendak berlaku kemalangan maut barulah kita bercerita tentang waran tersebut?

Pendek kata, penyelesaian bagi masalah bas ekspres maut ini memerlukan kesepakatan antara semua pihak. Kalau zaman kabinet menteri yang lepas sebuah bas itu terletak dalam penguasaan beberapa kementerian; Kementerian Pengangkutan (bagi JPJ), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (bagi LPKP), Kementerian Dalam Negeri (bagi Polis) – mungkin ada benarnya kita mengurangkan karenah birokrasi tersebut. Banyak sangat menteri untuk sebuah bas!

Penulis juga ada mendapat emel bahawa di kilometer sekian-sekian, memang selalu diletakkan bahan yang boleh membahayakan pengguna lebuh raya di atas jalan (seperti minyak, paku, dan lain-lain) kononnya untuk membolehkan kemalangan dan tukang tarik kenderaan (towing service) akan dapat mengambil kesempatan dari kemalangan tersebut. Penulis kira dakwaan sebegini juga perlu disiasat dan badigol yang terlibat disebalik kejadian sebegini seharusnya dihadapkan ke muka pengadilan atas tuduhan cubaan membunuh –andai benar situasi tersebut berlaku !

Diharapkan mereka yang bertanggungjawab dapat mengambil langkah pratikal bagi menyelesaikan masalah ini. Mungkin cadangan penulis bukanlah satu cadangan yang baru, tetapi kemalangan yang berlaku sebenarnya menunjukan kelemahan ketara yang masih tidak dibuat penambahbaikan. Selain itu, kita juga seharusnya menerima bahawa tindakan penambahbaikan ini pasti akan mendatangkan kesan yang kurang digemari oleh sesetengah pihak – namun yang lebih penting daripada itu adalah nyawa pengguna. Berjuta manapun wang dibelanjakan, yang pergi pasti tidak akan kembali lagi....