- Ramai pemimpin dunia yang semasa pilihan raya berjanji yang muluk-muluk; sedap didengar di telinga dan menjadikan rakyat begitu teruja dengannya.
- Lalu rakyat yang mengundi memilih mereka sama ada secara langsung ataupun secara tidak langsung.
- Obama misalnya mengeluarkan kata-kata 'Change: We Belief It.'
- PM pertama daripada DPJ, Yukio Hatoyama juga menjanjikan perkara yang sama sewaktu kemenangan monumental parti yang secara relatifnya baru di Jepun tatkala menumbangkan parti atuk (bekas partinya sendiri) LDP, namun tidak sampai setahun, beliau meletak jawatan kerana gagal dalam menunaikan janjinya menutup pangkalan tentera US di Jepun.
- Pengganti beliau, Naoto Kan juga turut meletak jawatan setelah beberapa bulan wilayah Fukushima di Jepun mengalami gempa dan tsunami hanya setahun lebih di tampuk pemerintahan.
- Susilo Bambang Yudhoyono juga turut menjanjikan 15 perkara yang akan dilaksanakan andai beliau dan regunya memenangi pemilihan presiden Indonesia pada 2009.
- Dan terbaru, Yingluck Shinawarta dengan senyumannya yang menawan, aura keluarga Shinawatra (disebut 'shinawat') dan namanya yang seandai ditulis huruf roman, mempunyai suku kata yang kedengaran sebagai 'tuah' dalam Bahasa Inggeris (luck) turut menebarkan seribu janji untuk rakyat Thailand.
- Antara janjinya yang paling mudah diingati ialah satu murid satu komputernya; persis zaman kebangkitan IT di Malaysia apabila PM ketika itu, Tun Dr. Mahathir melancarkan motto 'satu rumah satu komputer.'
- Zahir janji Shinawatra sebenarnya lebih hebat daripada motto Dr. M kerana kalau satu rumah itu ada tiga orang murid, maka rumah tersebut ada tiga komputer!
- Soal kaedah perlaksanaan manifesto Shinawatra itu terserahlah kepadanya kerana yang kita beratkan ialah janji dan tertunainya janji.
- Akan tetapi, saban hari, untuk melihat kesemua janji-janji pemimpin-pemimpin tadi untuk ditunaikan semakin lama semakin samar.
- Andai dilihat kepada peratusan pula, (melainkan Shinawatra yang baharu di tampuk pemerintahan) hanya kurang 50 peratus sahaja janji-janji mereka yang ditunaikan atau ditepati.
- Obama begitu beria-ia menyatakan yang penglibatan US di kempen demokrasi Iraq akan ditamatkan serta-merta sejurus beliau memegang jawatan Presiden.
- Sebaliknya, sehingga sekarang pun bukan semua askar-askar demokrasi US di Iraq pulang ke tanah airnya sedangkan masa pemerintahan Obama tinggal setahun sahaja lagi.
- Malah, US membabitkan diri lagi dengan perang di tempat orang apabila melobi untuk NATO turut serta dalam menggulingkan 'pemimpin kuku besi' Libya Muammar Gaddafi.
- Setelah Gaddafi dibunuh, 'pasukan pejuang demokrasi' NTC bukannya mahu NATO berundur sebaliknya digesa kekal untuk beberapa seketika bagi membantu mereka 'menjaga keamanan' Libya takut-takut pembela Gaddafi membuat serangan balas.
- Sudah pasti andai seruan ini dipenuhi, kos peperangan NATO akan bertambah dan secara tidak langsung menambahkan juga kos peperangan US.
- Oleh sebab itu, perkara sebegini menjadikan US sebagai negara yang paling banyak melabur untuk 'mempertahankan tanah airnya' dengan berbuat perang di negara orang lantaran tiada satu pun peperangan yang mereka sertai pasca-Perang Dunia Ke-2 yang melibatkan tempat dan lokasinya sendiri di Amerika!
- Itu cerita Obama dan US. Cerita Hatoyama dan karier politiknya di Jepun lebih tragis lagi kerana di bawah kepimpinan beliaulah parti LDP digulingkan daripada tampuk pemerintahan yang cukup-cukup lama (sedari 1955; melainkan sela masa 1993-1994)
- Beliau menjadi PM Jepun selama tak sampai setahun pun kerana mengambil tanggungjawab dalam kegagalan usaha kerajaan menutup operasi pasukan marine US di Okinawa.
- Pengganti beliau iaitu Naoto Kan juga mengalami nasib yang sama apabila melepaskan jawatan kerana kegagalan dalam menguruskan kawasan terjejas di Fukushima setelah daerah itu dilanda tsunami.
- Kematian rakyat, kemusnahan infrastruktur, pemaparan kesan negatif radioaktif yang dibandingkan dengan bencana Chernobyl, kekurangan makanan, minuman bersih dan bantuan perubatan menjadi sebab kepada perletakan jawatan beliau atas rasa tanggungjawab.
- Sedangkan daripada satu sudut, beliau sendiri tidak boleh mengelak amukan alam dan takdir Tuhan yang menyebabkan bencana tersebut berlaku.
- Kedua-dua kejadian ini ditambah pula dengan fakta bahawa sudah ada lapan PM Jepun semenjak tahun 2000, memperlihatkan sisi kebudayaan kepimpinan Jepun yang cukup-cukup berbeza berbanding negara-negara lain di seluruh dunia.
- Mereka nampaknya benar-benar mengambil kira semangat kebertanggungjawaban atas setiap permasalah rakyatnya sehingga bertindak untuk melepaskan jawatan andai berlaku sebarang kegagalan yang memperlihatkan keaiban kepimpinan mereka walaupun masalahnya dicetuskan oleh bencana seperti gempa bumi dan tsunami.
- Sehinggakan satu ketika dahulu, menteri kewangannya Soichi Nakagawa terpaksa meletak jawatan hanya kerana kelihatan mengantuk ketika menghadiri persidangan G7 di Rome.
- Kembali ke rantau Asia Tenggara, SBY mencatat sejarah sebagai presiden Indonesia pertama yang dipilih terus oleh rakyat Indonesia.
- Juga beliau sebagai presiden pertama yang berjaya mempertahankan jawatan tersebut dengan kaedah pemilihan terus itu.
- Namun, tahun pertama pemerintahan beliau yang pertama, Indonesia dilanda tsunami sehingga mengakibatkan bumi Acheh bagaikan padang jarak padang tekukur.
- Pun begitu, nasib beliau lebih baik jika dibandingkan dengan rakan sejawatnya daripada Jepun kerana bukan sahaja beliau berjaya 'mengharungi' bencana tsunami, malah beliau turut dipilih sekali lagi dalam pemilihan presiden (dengan regu barunya).
- Menjelang masa, kemenangan beliau tidak juga dirai selama-lamanya apabila sudah ada kajian persepsi yang dilakukan terhadap janji-janjinya (15 kesemuanya) yang menunjukkan setelah dua tahun dipilih semula, beliau hanya berjaya melunaskan tiga janji pilihan raya sahaja (iaitu sekitar 20 peratus).
- Sekali lagi, beliau merupakan contoh betapa keadaan dan nasib menyebelahi seseorang pemimpin kerana sebagaimana US, presiden hanya boleh memegang itu tersebut sebanyak dua penggal sahaja dan kelihatan tiada sebab mengapa kegagalan memenuhi janji itu mendorong beliau meletak jawatan.
- Paling tidak pun, wakil parti beliau tidak dipilih lagi dan beliau pun tidak mendapat kesan apa-apa seperti 'kalah' misalnya kerana presiden yang akan datang secara teknikalnya adalah 'hal dia orang sendiri.'
- Kini, kita ke utara Semenanjung pula dengan Thailand menghadapi banjir terburuk dalam sejarah lima dasawarsa.
- Kerajaan dan pimpinan Yingluck Shinawatra dikritik hebat oleh rakyatnya kerana pengurusan banjir yang kurang berkesan.
- Pertelingkahan selatan tanah air mereka juga tidak pernah kerana acap kali akan kedengaran serangan-serangan tertentu yang melibatkan puak-puak yang bertelagah. Ramai juga menjadi korban.
- Nampaknya, Shinawatra yang ini tidak sempat untuk melakukan sesuatu pun bagi memenuhi janji-janjinya kerana kini sibuk menguruskan bencana banjir di negaranya.
- Sudah tentu banjir ini akan merencatkan pertumbuhan ekonomi negara, menambahkan kos pengurusan negara, mengganggu kehidupan rakyat seharian dan sekali gus menyebabkan kesemua 'janji-janji manis' yang telah dibuat oleh pemimpin negara Gajah Putih itu semakin tak tertunai.
- Apa lagi janji popular seperti satu murid satu komputer.
- Hanya masa sahaja yang akan menentukan sama ada nasibnya seperti PM-PM Jepun atau SBY.
- Cuma daripada satu seginya, kejadian-kejadian yang dibeberkan tadi menunjukkan betapa sukarnya janji manis seorang pemimpin untuk dilaksana.
- Lantaran pelbagai tekanan yang pemimpin itu perlu hadapi, baik daripada kroninya, baik daripada sekutunya, baik daripada rakyatnya dan tidak kurang penting daripada kejadian-kejadian alami.
- Juga sebagai teladan kepada pemimpin-pemimpin yang sedia ada, sama ada pemimpin baru yang menggulingkan orang lain melalui cara jalanan atau ketenteraan, juga kepada yang masih kekal di tampuk kuasa.
- Bahawa ada dikalangan mereka yang mungkin menjanjikan bulan dan bintang, menggunakan frasa seperti 'Change' atau 'Ubah' namun kesan akhirnya, bukan sahaja tiada perubahan, malah bertambah teruk pula.
- Mungkin orang boleh kata, bukannya kehendak pemimpin itu untuk tidak memenuhi janji yang ditagih oleh rakyatnya; malah dia sudah mencuba.
- Namun tak siapa pun boleh menafikan apabila intervensi Yang Maha Esa berlaku, mereka sebenarnya lebih kerdil daripada penonjolan keagungan diri mereka di mata khalayak ramai.
- Jadi, apabila kepentingan pihak tertentu yang lebih perlu dipenuhi dan apabila bencana alam datang melanda;
- Tidak siapa pun di antara mereka mampu mengelaknya.
- Dan mungkin mereka tidak pernah terfikir pun bahawa selain daripada pihak lawan di dalam dunia politik mereka yang boleh merencatkan cita-cita mereka, terdapat kuasa yang di atas sana yang lebih tahu untung nasib manusia!
PERINGATAN: Semua artikel yang ditulis oleh penulis adalah nukilan penulis sendiri melainkan telah dinyatakan sumbernya dan TIDAK mewakili organisasi yang telah/sedang penulis sertai. Tulisan bukan bermaksud membangkitkan sebarang sentimen yang menyebabkan perasaan kurang selesa kepada pembaca. Andai pembaca yang mendapati terdapat tulisan yang bersifat demikian, sila beri komen untuk tindakan selanjutnya. Terima kasih
Showing posts with label Gaddafi dibunuh. Show all posts
Showing posts with label Gaddafi dibunuh. Show all posts
Friday, November 4, 2011
Janji senang; tunai janji lain pula ceritanya!
Labels:
Bencana Banjir,
Gaddafi dibunuh,
Isu antarabangsa,
Libya,
Politik,
PRU,
rampasan kuasa,
Thailand,
US
Wednesday, October 26, 2011
Terhangat di pasaran....? Hangat sangatkah?
- Laporan Audit Negara bagi tahun 2010 telah dikeluarkan. Aneh juga Jabatan Audit Negara memerlukan sehingga setahun untuk membentangkan laporan tahun lepas.
- Macam dah basi ja...
- Mungkin sebab hampir setahun juga yang diperlukan oleh jabatan ini untuk menghimpun kesemua laporan setiap jabatan atau agensi terbabit bagi membuat analisis dan laporan keseluruhan di peringkat kebangsaan.
- Laporan ini menilai pencapaian jabatan atau agensi kerajaan terutamanya membabitkan perbelanjaan jabatan atau agensi tersebut.
- Dalam bahasa yang mudah, laporan inilah sebenarnya laporan perbelanjaan di peringkat sektor kerajaan; duit yang telah dikeluarkan oleh kerajaan untuk perbelanjaannya mengurus tadbir dan menyediakan khidmat memudah cara kepada rakyat.
- Andai diputar pula perspektif laporan itu kepada rakyat, laporan itu merupakan perbelanjaan wang rakyat melalui cukai, sumber kewangan lain dan pinjaman yang dibuat kerajaan - dan disinilah kaitannya dengan 'rakyat yang membayar cukai kerajaan.' (sangat-sangat gemar dibahasa Inggeriskan sebagai we, as the government tax payers).
- Maka memang wajar sangatlah andai rakyat hendakkan sangat laporan ini kerana secara tidak langsung, rakyat akan tahu kemanakah perginya duit yang mereka bayar melalui cukai.
- Laporan sepenting ini barangkali perlukan lebih perhatian yang lebih agar rakyat faham mengenai perbelanjaan kerajaan. Maklumlah, duit rakyatlah antara sumber yang dileburkan untuk membayar gaji, membeli peralatan itu dan ini, melaksanakan projek itu dan ini, menawarkan jawatan itu dan ini atau dijadikan modal skim pinjaman itu dan ini.
- Namun, liputan tentang laporan ini tidaklah sehangat yang disangka. Hal ini benar bagi akhbar Bahasa Melayu terbitan NSTP.
- Muka hadapan berita masih lagi cerita Gaddafi (tajuk spesifiknya: Wasiat Gaddafi). Jangan haraplah Harian Metro hendak buat liputan tentang Audit Negara.
- Kita faham mungkin cerita tentang Gaddafi lebih mudah dihadam oleh pembaca. Imej sama berulang-ulang kali yang menunjukkan saat kematiannya, (dengan muka dan badan penuh berdarah) atau imej rakyat terutamanya pemberontak mengambil gambar dengan mayatnya merupakan sesuatu yang lebih mudah dijadikan bahan cerita atau topik perbincangan dua tiga hari ini; lantaran itu, pengarang meletakkannya sebagai muka depan akhbar.
- Kita faham. Seolah-olah ada semacam maksud tersirat kepada pemimpin kita yang anda pun mungkin jadi sepertinya?!?
- Itu hak pengarang akhbar hendak letak cerita apa di muka mana.
- Akan tetapi, alangkah eloknya liputan mengenai 'perbelanjaan yang telah kerajaan buat sepanjang 2010' itu mendapat tempat lebih utama lagi kerana rakyat berhak untuk tahu, mengambil tahu dan diberitahu supaya mengambil tahu tentang kecekapan dan keberkesanan kerajaan menggunakan sumber terutamanya sumber kewangan yang datang daripada rakyat sendiri.
- Barulah rakyat faham ke mana perginya belanja, dan sekurang-kurangnya bagi yang lebih kritikal dan analitikal, mereka boleh menilai dan memberikan pandangan terhadap audit tersebut.
- Bentangkanlah dengan piktograf, graf pai yang mudah dihadam oleh orang kebanyakan, dengan itu mereka bukan sahaja mendapat maklumat, malah menambahkan setidak-tidaknya pengetahuan terhadap sumber dan perbelanjaan yang dibuat oleh kerajaan.
- Itu satu isu tentang pasaran - iaitu pasaran cerita dan berita. Ingat, berita hari ini ialah cerita semalam!
- Satu lagi ialah berkaitan isi laporan itu sendiri.
- Antaranya adalah berkaitan bintang-bintang yang diperoleh jabatan atau agensi, projek-projek perumahan yang tidak dilaksana terutamanya 'Kerajaan Kelantan,' dan lain-lain.
- Selain itu Berita Harian turut memaparkan tajuk (yang lebih kecil berbanding tajuk besar muka tersebut) 'Belian alatan 2805 peratus yang lebih harga pasaran.'
- Rasanya isu jabatan sekian-sekian beli dengan harga sekian-sekian yang lagi mahal daripada harga pasaran yang sekian-sekian memang sentiasa menjadi topik laporan audit negara.
- Laporan sedemikian selalu sangat dikeluarkan namun penjelasan, penyelesaian, pendakwaan (jika ada) tidak pula diberikan liputan yang sama.
- Soalnya, bagaimanakah boleh sehingga 2000 peratus lebih tinggi daripada pasaran? Bukan calang-calang harga yang berada di atas pasaran. 2000 persen!?!
- Mengapakah setiap tahun perkara yang sama didedahkan, misalnya harga komputer riba dibeli pada harga yang memang jauh daripada munasabah sehingga mencecah lebih RM 11 000 seunit; adakah laptop itu perisiannya canggih sangat ka mungkin boleh mencetak, menablet, membuat semua dalam satu?
- Itulah satu contoh terbaik yang ramai orang boleh kaitkan, yang senang orang kebanyakan boleh hubungkan. Kalau peralatan lain yang aneh-aneh susah pula orang nak cerita.
- Justeru pihak yang berkaitan perlulah mengemukakan sebab harga sedemikian jauh tersisih daripada harga pasaran; hatta jenama yang mahal sekali pun!
- Sedangkan wang yang digunakan untuk pembeliannya tidak dapat tidak berasal daripada cukai dibayar oleh rakyat.
- Rakyat pun tidak ada yang sampai sanggup membeli komputer riba dengan harga sedahsyat demikian; maka apakah istimewanya komputer tersebut sampai sebegitu harganya?
- Oleh yang demikian, soal ketelusan jabatan kerajaan perlulah dijaga kerana laporan audit demikian merupakan laporan rasmi negara.
- Penulis tidak mahulah mengulas mengenai metodologi jabatan audit membuat audit sebab tiadalah penulis akan pengetahuan mengenainya.
- Akan tetapi, tidak mungkinlah jabatan yang demikian asyik membuat khilaf yang sama, sedangkan laporan pembelian yang melebihi harga pasaran merupakan isu yang saban tahun dilaporkan.
- Jadi, kini kerajaan perlu mengambil serius isu tersebut kerana hal yang demikian adalah cerminan ketelusan perbelanjaan kerajaan secara keseluruhannya.
- Apa lagi andai dimasukkan sekali tuduhan-tuduhan parti pembangkang mengenai 'ketirisan' kerajaan dalam perbelanjaan dan yang kadang-kala kerajaan sendiri tidak mampu menjawabnya dengan lancar dan jelas.
- Dan apa yang lebih-lebih ialah langkah kerajaan bagi mengatasi masalah tersebut agar persepsi rakyat terhadap kerajaan bertambah baik.
- Kemudian laporan-laporan sebegini tidak lagi berlaku lagi; bukannya tidak dilaporkan kerana tidak mahu diketahui umum melainkan sememangnya tidak wujud masalah beli lebih mahal daripada harga pasaran!
- Kerana yang penting ialah rakyat tahu yang sebarang permasalahan boleh diatasi seandainya kerajaan benar-benar ikhlas berkhidmat untuk rakyat.
- Laksana cogan kata yang diwar-warkan oleh PM Najib - pencapaian diutamakan!
Tuesday, October 25, 2011
Setengah jam bersama jurujual
·
'Lihat
sahaja kepada kematian dia... husnul khatimah!' (merujuk kepada Gaddafi).
·
Penulis
merenung hairan. Mungkin dek air muka yang memang nampak berubah, beliau
berkata lagi, 'kita kena fikirkan yang baik. Dosa pahala, syurga neraka itu
terserah kepada Allah!'
·
Begitulah
ucapan salah seorang jurujual kepada penulis dan pembantu penulis tatkala
beliau melihat dada akhbar hari ini berkaitan isu kematian Muammar Gaddafi yang
masih lagi menjadi tajuk muka hadapan. Sudah kecil sedikit perhatian diberikan
terhadapnya berbanding seluruh muka akhbar yang terpampang mengenainya dan
gambar mayatnya tempoh hari.
·
Namun
yang hendak diulas bukanlah tentang Gaddafi lagi; tetapi ulasan jurujual
kemudian daripada itu.
·
'Kita
kena ingat yang apa pun semuanya Allah yang berkuasa; apa yang berlaku semuanya
sudah pun diramalkan oleh Nabi sendiri,' lanjut bicaranya sudah persis ahli
tabligh yang bercerita tentang takdir Allah dan kehebatan Nabi. Nabi telah
meramalkan kejatuhan Gaddafi?
·
'Kan
Nabi dah berpesan yang umat Islam akan berpecah kepada lima puluh bahagian; ke
tujuh puluh puak, macam itulah, jadi memang Nabi memang sudah tahu yang umat
Islam akan berbalah sesama sendiri,' dengan merujuk mengapa umat Islam sendiri
menggulingkan seorang pemimpin yang ada sumbangannya kepada Islam.
·
'Tapi,
dia (Gaddafi) ada sumbangan kepada agama; macam di Indonesia sudah ada masjid
yang dia bina, yang dia biayai...,' kata pembantu penulis pula.
·
'Itulah,
memang dia ada sumbangan, tapi akhirnya digulingkan juga. Itu membuktikan
pepecahan antara umat Islam,' jawab jurujual tabligh itu.
·
'Lagi
pun, Gaddafi (pentadbirannya) sebenarnya bukannya berteraskan Islam, dia nampak
sahaja menegakkan Islam tetapi sebenarnya dia itu sosialis!' dakwanya lagi,
sambil menyambung, 'nampak sahaja dia bina masjid apa semua, tapi mana ada
menjalankan undang-undang Allah!'
·
Lalu
selepas itu terpacullah daripada mulutnya satu tuduhan yang begitu keras dan
lantang.
·
'Macam
Najib! Mana ada dia menegakkan Islam!' ujarnya dengan nada yang cukup tegas.
·
Perbincangan
awalnya sekadar kerana kerlingan mata jurujual itu ke muka hadapan akhbar
tentang Gaddafi kini telah berganjak ke dimensi baru yang membabitkan politik,
sejarah dan hukum-hakam Islam.
·
'Kalau
mereka tau siapa Mat Indera itu; dia itu keturunan wali. Termaktub dalam kitab
'sekian-sekian.' (penulis tidak dapat menangkap nama kitab tersebut namun
sepanjang perbualan ini, kitab yang dimaksudkan itu ialah kitab lama yang tidak
berbaris).
·
'Dia
orang (puak-puak Najib) segaja reka cerita bahawa Mat Indera itu komunis. Ada
logik ke seorang yang warak, yang berketurunan wali diperlakukan begitu,'
terang jurujual yang kini sudah bertransformasi kepada ahli sejarah pula sambil
menyifatkan Tok Janggut, Dato' Bahaman dan Mat Kilau dibunuh atau diburu kerana
mereka mahu kekalkan Islam dalam pemerintahan.
·
'Banyak
sebenarnya yang telah diubah oleh penjajah British dahulu sebab dia tak mahu
(pemerintahan sebenar) Islam diangkat di Malaysia,' katanya sambil menerangkan
betapa Hang Tuah juga merupakan seorang wali, nama Melaka telah disalahertikan
kepada nama sebatang pokok tempat Parameswara duduk berteduh tatkala melihat 'harimau'
kena tendang dek kancil. Sebaliknya nama tersebut berasal daripada perkataan
Arab 'Malaqah' yang bermaksud tempat pertembungan pedagang. Beliau terus
menafsirkan bahawa 'pedagangan rempah' yang digembar-gemburkan kesemuanya
merupakan 'penipuan' dan hal yang sama dilakukan oleh penterjemah karya Tun Sri
Lanang (yakni dalam Bahasa Inggeris) sambil menyifatkan kesemuanya (iaitu
penjajahan Portugis, Belanda dan Inggeris) adalah usaha pihak Barat (Kristian
dan/atau Yahudi) menyebarkan pengaruhnya agar Islam tidak dianuti atau
dipegangi lagi.
·
Pendek
kata, bukannya komoditi yang menjadi galang-ganti penjajahan Barat ke atas
Tanah Melayu dan Kepulauan Melayu melainkan agamalah sebenarnya komoditi itu.
·
Kemudian
diterangkan usaha pihak penjajah 'mencucuk' pemerintah Tanah Melayu ketika itu
yang begitu tamak dengan harta dan akhirnya sanggup menggadai Islam dan
prinsip-prinsipnya demi memperkenalkan prinsip-prinsip dan gaya hidup Barat di
sini.
·
'Sebab
itu kita hendaklah kembali kepada Quran dan Hadis,' kini beliau kembali
berperanan sebagai seorang pendakwah bebas.
·
'Masalahnya
pemerintah kita tidak mahu,' ujarnya merujuk kepada desakan pimpinan tertinggi
negara yang kini berlandaskan fahaman sosialis, tidak mahu menegakkan agama
Islam dan bertindak menuduh pondok-pondok pengajian Islam menghasilkan militan.
·
Sambil
itu beliau menyambung, 'sedangkan mana ada orang mengaji pondok ajar orang buat
jahat! Mana ada orang mengaji pondok ajar orang suruh mencuri ke merompak,'
ujarnya yang begitu tegas mempertahankan institusi pondok.
·
'Sebab
itu kita kena kembali kepada Islam, kembali laksanakan undang-undang Islam. Ini
tidak, takut buat undang-undang Islam. Undang-undang penjajah. Takut orang kena
potong tangan!' terang beliau yang kini menjadi ahli fiqh jenayah pula.
·
'Kita
kena laksanakan undang-undang Islam (hudud) supaya berkat kita di sisi Allah.
Jangan dok pertikaikan kalau orang tu salah kena potong tangan. Mana tahu
dengan perlaksanaan undang-undang ini terbuka hidayah. Allah memberkati kita
semua sebab melaksanakan hukum-Nya. Mana tau dengan perlaksanaan hukum Islam
(hudud) orang pun takut hendak mencuri, maka masa dia mencuri dia diberi
hidayah oleh Allah, terkenang kesalahan itu kena potong tangan, jadi tak
jadilah dia mencuri,' kata beliau yang kini pada tafsiran penulis telah
menjurus kepada perspektif roh Islami dan maqasid kepada perlaksanaan hudud -
Islam menjaga harta.
·
Sambil
itu beliau meluahkan rasa yakinnya bahawa andai negara ini melaksanakan hudud,
negara ini akan diberkati, akan dilindungi oleh Allah kerana manusia
melaksanakan hukum-Nya. Malangnya, disebabkan keengganan pemerintah Najib
sekarang (baca: BN) melaksanakannya menyebabkan umat Islam berpecah-belah dan
semakin lemah. Beliau perteguhkan lagi hujah beliau dengan, 'lihatlah Sumatera,
mana ada orang berjaya pecah-belahkan umat Islam di sana? Kerajaan Indonesia
sendiri tidak dapat menembusi (penguasaan) wilayah di sana. Itu buktinya Allah
memberkati mereka.
·
'Sebab
itu kalau laksanakan hukum Islam (hudud) tak akan berlaku kecurian sebab Allah
lindungi kita (dengan hidayah yang diberikan). Kita kena yakin. Lihat Tanah
Arab, bila bang sahaja orang semua pergi masjid untuk memuaikan solat. Biar
tinggal sahaja perniagaan mereka, gerai mereka (begitu sahaja tanpa ditutup).
Mana ada pak guard jaga? Itulah buktinya (hudud) berkesan!' sambil beliau
membandingkan Malaysia - mana boleh jadi seperti Arab! Siapa nak tinggal kedai
terbuka begitu sahaja tanpa dijaga. Kemudian beliau mengaitkan pula masyarakat
Islam di China yang ke masjid untuk Sembahyang Jumaat seawal sepuluh pagi,
sesuatu yang tidak diamalkan di Malaysia.
·
'Itu
sebabnya. Roh Islam(i) itu nampak di sana. Tengok sekarang kecurian banyak
berlaku,' ujarnya yang memperkukuhkan lagi mengapa hudud Allah itu patut
dilaksanakan di Malaysia sambil menyambung, 'bank kena rompak. Orang kena
rompak, sedangkan kalau bank tu, sudah ada pak guard dia sendiri. Itu pun kena
rompak!' jelas beliau sambil meluahkan kemungkinan pengawal keselamatan sendiri
yang berpakat merompak dengan bank.
·
'Itulah,
aku pernah dengar cerita,' kini beliau mengisahkan kembali apa yang pernah
didengarnya; samalah macam apa yang penulis sedang lakukan pada terbitan kali
ini.
·
'Ada
kecurian kat (dekat) bank, banyak duit kena curi. Siasat punya siasat pak guard
rupanya yang paling kuat dikaitkan (dengan kecurian itu),' bermulalah
pengkisahan beliau.
·
'Tapi
nak tahan tiada bukti jadi tak boleh buat apa-apalah,' lanjut beliau sambil
meneruskan, 'Lepas itu, apa lagi, dia (kesemua pencuri itu) gunalah sahaja duit
itu; banyak tu,' katanya.
·
'Tapi......,'
kata beliau sebelum mengeluarkan frasa-frasa yang penulis tidak sangka akan
beliau keluarkan sedangkan tadi beliau yang tadi dok bercerita tentang Islam,
tentang pengamalan Islam, yang bercerita tentang hudud Allah. Kata-kata
tersebut ialah:
·
'Kalau
ikutkan kitab sekian-sekian pun (kitab yang penulis tak hafal namanya tadi)
duit itu pun tak ada benda. Boleh guna sahaja (walaupun dicuri)!' ucap beliau
yang sekali lagi membuatkan kami berdua (penulis dan pembantu penulis)
tercengang.
·
'
Ialah, duit dalam bank, duit itu pun ada sumber yang haram, bercampur. Ada
daripada arak, ada daripada judi. Dia (duit itu) dah jatuh pada hukum syubhah.
Jadi, kalau guna pun bukannya ada apa-apa (tindakan yang boleh dikenakan) sebab
harta itu pun sebenarnya harta yang (tak sah) daripada perniagaan yang
bercampur juga. Jadi tak ada apa-apa kalau duit itu dicuri sebab atas dasar
syubhah (bukannya harta sah milik!),' sambil selepas itu beliau menegaskan pula
bahawa cukai pun sebenarnya kerajaan tak boleh kutip sebab zaman Nabi pun mana
ada cukai. Orang Islam memang tidak patut (iaitu dianggap zalim) kalau disuruh
bayar cukai kepada kerajaan kerana pada zaman Nabi, hanya orang bukan Islam
sahaja yang perlu membayar cukai kepada pemerintah Islam (iaitu Jizyah). Lalu
diakhirinya perbualan itu dengan penegasan supaya 'kembali semula kepada kitab
Allah dan Sunnah Rasul-Nya....'
·
Dua
Point yang terakhir itu, terpulanglah kepada pembaca menilai, menafsir dan
mengulaskannya....
·
Tetapi
sehingga kini, fikiran penulis masih 'ternganga......'
·
P/s:
Lupa pula penulis bertanya kalaulah yang dicuri atau dirompak itu bank
Islam/institusi kewangan Islam/Tabung Haji, apa pulak hukumnya!!!!!!!!!!
Labels:
Al-Quran,
Barat,
BN.,
Gaddafi dibunuh,
Hudud,
Islam,
Isu masyarakat,
Jenayah,
Kristianisasi,
Politik,
Sultan dan Raja Melayu,
Tazkirah,
UMNO
Sunday, October 23, 2011
Allahu akbar ! Kuasa rakyat kembali !.... Tapi....
- Kematian Muammar Gaddafi merupakan cerita yang terhangat di pasaran sepanjang minggu ini.
- Pemimpin yang memerintah Libya lebih 40 tahun telah dibunuh oleh rakyatnya sendiri dengan tragis. Beliau berumur 69 tahun.
- Bagi sesetengah pihak, kematian beliau merupakan simbol kejayaan 'demokrasi' menentang kediktatoran. Kemenangan untuk rakyat Libya. Kemenangan untuk kuasa rakyat.
- Lalu ditayangkan kemewahan hidup beliau, pistol emas miliknya, segala harta benda mewah miliknya, kubur-kubur penentang-penentangnya, perangai-perangai pelik dirinya serta berbagai-berbagai perkara yang membawa konotasi negatif tentang dirinya.
- Kemudian kejadian tragis ke atas beliau dibandingkan dengan gelombang kebangkitan Arab yang lain; daripada Tunisia, Mesir, Yaman dan Syria bagi merasionalkan gelombang rakyat menentang kekejaman kuku besi. Tumbangnya pemimpin tertinggi disebabkan kuasa rakyat. Rakyat akan menjadi 'raja' jua.
- Justeru, ada yang mengaitkan kebangkitan rakyat Arab dengan gelombang rakyat di negara lain juga; misalnya kalangan rakyat Malaysia yang sangat-sangat teruja dengan tumbangnya Hosni Mubarak tempoh hari dan 'gelombang Dataran Tahrir.' Mereka ingin menterjemahkannya di sini. Tapi sama ada sekufu konteksnya dengan di sana, tidaklah mahu tulisan ini membincangkannya.
- Cuma daripada satu segi, tatkala pemimpin Barat begitu meraikan kejayaan rakyat Libya membunuh Gaddafi, timbul satu isu, kenapa?
- Kenapa gerakan menentang diktator di Libya itu begitu disokong Barat; bukan sekadar pada ucapan sahaja, malah bantuan ketenteraan juga diberikan?
- Berbanding kejatuhan Bin Ali dan Hosni Mubarak, kebangkitan Libya hadir berbulan-bulan selepas cetusan pertama 'kebangkitan Arab.'
- Namun, rakyat Libya dibekalkan bantuan ketenteraan bagi menggulingkan Gaddafi.
- Bermula dengan US yang hendak memberikan bantuan ketenteraan, namun disebabkan persepsi buruk perang Iraq, 'perang US di tanah Iraq,' kewangan yang semakin sengkek, US mengheret pula persekutuan yang disertainya, NATO untuk menjayakan misinya mengembalikan demokrasi kepada rakyat Libya.
- Dalam masa sebulan-dua sahaja, rakyat Libya berjaya menggulingkan Gaddafi dengan bantuan NATO seterusnya mungkin mencatat sejarah sebagai kempen perang yang paling singkat yang membabitkan Barat ke atas bumi orang.
- Maka, secara tidak langsung kejayaan ini menjadi perangsang yang cukup-cukup besar kepada imej Barack Obama sebagai Presiden US yang sangat berjaya dalam misi US menentang paksi-paksi kejahatan.
- Masakan tidak, dalam masa kurang sepenggal Obama berada di puncak kuasa, Osama Bin Laden berjaya dibunuh dan terkini, kempen ekspress membabitkan US membuahkan hasil yang begitu lumayan.
- Hal ini berbeza jika dibandingkan pendulunya George W. Bush yang memerintah US dua penggal namun hanya dapat melabur begitu banyak wang kepada peperangan namun hanya Saddam Hussein sahaja yang berjaya digantung. Sedangkan perang ciptaan US bermula seawal 2001!
- Tidak hairan apabila ada penganalisis politik-ekonomi antarabangsa yang memberi pandangan bahawa kekayaan sumber petroleum Libya merupakan daya tarikan mengapakah US dan Barat begitu bersemangat 'membantu' rakyat Libya berbanding negara-negara Arab lain yang mengalami revolusi pemerintahan.
- Setelah Libya dilunyaikan, sudah tentu negara tersebut perlu dibangunkan semula dan pada ketika itu, peranan dan khidmat US dan negara-negara yang membantu dalam penggulingan mungkin akan digunakan; atau mungkin mereka akan dipaksa untuk menerimanya. Syarikat-syarikat besar Barat mungkin akan dapat didirikan di negara kaya sumber asli di Afrika Utara itu sedangkan sebelum ini, dasar Gaddafi tidak memihak kepada keadaan itu.
- Maka tatkala itu memang benarlah penglibatan NATO merupakan serampang dua mata yang memberikan faedah dan manfaat yang besar kepada negara-negara yang menyertainya.
- Sedangkan semua orang pun tahu (iaitu yang sedar) bahawa keadaan ekonomi US dan Eropah saban hari semakin tenat.
- Dan andai benar terdapat kemasukan perniagaan besar daripada Barat kelak, perkara tersebut akan menjadi bukti kekemarukan Barat terhadap sumber komoditi negara orang untuk membina negara sendiri.
- Selepas itu, tiadalah timbul isu demokrasi meski seandainya rakyat Libya masih berbalah, bergaduh dan bertelangah sesama sendiri bagi mencari pemimpin tertinggi mereka di sana.
- Yang pasti, sejarah lebih 40 tahun Libya dibawah pemerintahan Gaddafi lenyap dalam janga masa kurang setahun. Hanya rakyat Libya sahaja yang tahu kemahuan mereka dan harapan yang mereka dambakan.
- Tambahan pula, kejadian yang berlaku ke atas Suharto, Saddam Hussein, Hosni Mubarak dan yang terbaru Muammar Gaddafi memberikan amaran bahawa mereka yang melancarkan coup satu ketika dahulu boleh ditumbangkan dengan coup juga seperti Robespierre lewat 'masa keganasan' revolusi Perancis.
- Moga-moga berbaloi pembunuhannya kepada rakyatnya ditambah dengan perlakuan terhadap sekujur jasad Gaddafi dengan cara yang tidak bermaruah dan tidak berperikemanusiaan umpama patung atau token perang.
- Kerana andai dibandingkan dengan kempen ketenteraan US di Iraq, masih banyak yang belum selesai dan orang awam terbunuh saban hari setelah bertahun-tahun tentera negara Uncle Sam itu berada di sana.
- Semuanya atas nama demokrasi rakyat...
- Yang tentunya memberi sumber mudah kepada negara Amerika dan Barat....
Artikel berkaitan
Tuntutan berdemonstrasi, alatan demokrasi; demokrasi itulah alat!
Labels:
Barat,
Ekonomi,
Gaddafi dibunuh,
Isu antarabangsa,
Libya,
Politik,
rampasan kuasa,
US
Subscribe to:
Posts (Atom)