Showing posts with label Thailand. Show all posts
Showing posts with label Thailand. Show all posts

Tuesday, November 22, 2011

Lemas dalam praemas (pra-emas)


Sekadar bersembang-sembang tentang bola sepak, maklumlah Malaysia berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya dalam Sukan SEA, yang diibaratkan sebagai 'ibu segala pingat emas.' Sindiran boleh dibuat oleh petugas media dan penyokong Malaysia di Jakarta/Palembang apabila Indonesia gagal memenangi pingat tersebut sedangkan selama ini, media dan rakyat republik itu jugalah yang dok mencanang habis untuk memalukan Malaysia di keramat Gelora Bung Karno. Rakyat di sana seolah-olah  telah merasakan aura pingat tersebut berada di tangan mereka selepas berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir. Segunung harapan diletakkan kepada pemain-pemain mereka yang kelihatan begitu yakin mengharungi kesemua perlawanan sebelum peringkat akhir; kecuali ketika tewas 0-1 di peringkat kumpulan kepada lawan yang sama mengecewakan mereka pada penentuan puncak (kerana ketika itu mereka tidak menurunkan skuad terbaik). Namun, penentuan penalti jelas sekali tidak memihak kepada Indonesia apabila sepakan terakhir kapten pasukan Malaysia bergolek masuk ke dalam gol meskipun telah berjaya ditampan terlebih dahulu oleh penjaga gol mereka.
Penyokong fanatik Indonesia terlalu menyayangi skuad mereka sehinggakan sesiapa sahaja bertemu Malaysia, rela disokong lawan pasukan itu semata-mata asalkan janganlah Malaysia yang memenanginya. Seolah-olah, kalau bukan Indonesialah yang berada di perlawanan akhir tempoh hari tetapi Malaysia layak, akan penuhlah stadium tersebut dengan sorakan untuk menyokong bukan-Malaysia. Begitulah adanya gelagat keramat stadium itu!

Akan tetapi, dengan tewasnya Indonesia semalam, adakah keramat Gelora Bung Karno telah hilang keramatnya?

Sebaliknya, sejarah dan statistik telah membuktikan sebaliknya apabila mitos keramat itu sendiri merupakan mitos yang palsu. Tiadalah keramatnya gelanggang tersebut melainkan dipenuhi dengan episod duka sahaja kepada bola sepak Indonesia.  Gelanggang yang dianggap begitu berkeramat itu sekadar cerita dongeng sahaja. Bukan semata-mata bersandarkan keputusan tersebut sahaja tetapi sebelum ini pun, Indonesia kecewa di stadium yang sama pada perlawanan akhir untuk temasya yang sama. Sebelum ini pada 32 tahun yang lepas, penyokong mereka didiamkan oleh gol Allahyarham Mokhtar Dahari untuk acara akhir bola sepak Sukan SEA. Ketika Indonesia menganjurkan temasya dwitahunan tersebut pada 1997, skuad mereka berjaya memasuki perlawanan akhir hanya untuk dikecewakan oleh Thailand menerusi sepakan penalti juga.

Oleh sebab itu, istilah keramat yang dikaitkan dengan gelanggang terbabit hanyalah sekadar mitos semata-mata. Tiada yang keramatnya stadium itu; malah penuh dengan titik kecewa. Bukannya pemain Indonesia tidak bagus. Tetapi mungkin kerana mereka begitu dimanjai oleh penyokong-penyokong mereka. Kemungkinan besar mereka sebenarnya terasa segala-galanya menyokong mereka. Mungkin itulah juga yang membawa kepada kekalahan skuad mereka di Piala AFF-Suzuki kerana apabila di Malaysia, mereka dikenakan 3-0 oleh pasukan negara. Nampak sangat yang mental pemain Indonesia begitu dibuai manja dengan sokongan besar rakyat mereka sampaikan kalau bermain di luar negara, mereka gagal menyerlah!

Berbanding Malaysia, kemenangan emas memperkuatkan lagi proklamasi bahawa negara ini merupakan kuasa besar bola sepak rantau Asia Tenggara. Mereka berhak diiktiraf begitu. Malah, sebenarnya bukanlah mengejutkan atau mustahil (seperti suasana yang dimainkan oleh media sukan) untuk Malaysia merangkul pingat emas kerana statistik membuktikan skuad negara berada di ‘top 3’ hampir setiap kali (melainkan di Thailand 2007) untuk Sukan SEA selepas pertandingan dijadikan sebagai pertandingan Bawah 23 (U-23) pada 2001. Tetapi, perjalanan skuad muda ini masih jauh. Malah, kalau skuad utama yang menjadi ukuran, kita masih ketinggalan setingkat daripada Thailand.

Mengapa Thailand?

Mudah sahaja alasannya. Hanya pasukan tersebut yang mampu memberikan saingan bererti dalam kelayakan Piala Dunia 2014. Pasukan Asia Tenggara lain yang layak? Kesemuanya seperti sedang menimba ilmu pengetahuan. Indonesia sebenarnya baru sahaja dimalukan oleh Iran 1-4 di Gelora Bung Karno (sekali lagi menidakkan kekeramatan stadium itu!) Singapura turut mengalami nasib yang serupa, tewas 0-4 di tempat sendiri kepada China sedangkan mereka bermain menentang pasukan yang hanya mempunyai sepuluh orang pemain. (Singapura ketinggalan 2-0 sebelum salah seorang pemain China dibuang padang; tetapi selepas itu China  menyumbat dua biji gol lagi!).

Sebab itulah penulis secara peribadi merasakan Thailandlah yang kini paling perkasa di peringkat Asia Tenggara kerana kejayaan mereka untuk setidak-tidaknya menunjukkan saingan dalam kelayakan Piala Dunia (dapatlah juga empat mata!). Walaupun mereka tersingkir awal dalam Piala AFF tahun lepas, mereka megah untuk bangkit memasuki kumpulan elit yang berjaya setidak-tidaknya berada di pusingan kelayakan piala berprestij dunia.

Perkara inilah yang harus dicemburui oleh pemain dan pengurusan pasukan Malaysia. Tetapi tidak mengapa, mereka boleh mara setapak demi setapak dan mampu melakukannya. Mungkin benar kata Datuk Rajagobal, mulakan dengan Piala Asia. Oleh yang demikian, diharapkan agar skuad negara tidaklah hanya gah sebagai pasukan terkuat serantau sahaja tetapi tidak mampu bersaing ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Dan tugas kejurulatihan kini lebih berat lagi kerana mereka perlu menyesuaikan skuad emas Sukan SEA ini dengan pasukan utama negara dan pada masa yang sama juga, membentuk skuad baru yang mampu mencapai kejayaan hatrik untuk temasya akan datang. Kebijaksanaan mereka ditagih dalam menguruskan hal ini. Walaupun kedengaran terlalu bercita-cita besar (ambitious), sebenarnya mereka mampu melakukannya kerana seandainya Korea dan Jepun yang dahulunya setaraf dengan Malaysia dalam acara bola sepak, tetapi kini menjadi gergasi dunia, mengapa tidak Malaysia?

Tahniah kepada skuad U-23 negara kerana tidak lemas dalam ibu segala emas; sebaliknya mampu mendakapnya. Namun, gembira-gembira juga, tugas yang lebih besar menanti anda bagi membuktikan kejayaan itu bukan semata-mata mitos sahaja. Tugasan kelayakan Olimpik misalnya perlulah dilaksanakan sebaik-baiknya. Jadi buktikanlah kejaguhan anda bukan setakat di Nusantara!

Friday, November 4, 2011

Janji senang; tunai janji lain pula ceritanya!





  • Ramai pemimpin dunia yang semasa pilihan raya berjanji yang muluk-muluk; sedap didengar di telinga dan menjadikan rakyat begitu teruja dengannya.
  • Lalu rakyat yang mengundi memilih mereka sama ada secara langsung ataupun secara tidak langsung.
  • Obama misalnya mengeluarkan kata-kata 'Change: We Belief It.'
  • PM pertama daripada DPJ, Yukio Hatoyama juga menjanjikan perkara yang sama sewaktu kemenangan monumental parti yang secara relatifnya baru di Jepun tatkala menumbangkan parti atuk (bekas partinya sendiri) LDP, namun tidak sampai setahun, beliau meletak jawatan kerana gagal dalam menunaikan janjinya menutup pangkalan tentera US di Jepun.
  • Pengganti beliau, Naoto Kan juga turut meletak jawatan setelah beberapa bulan wilayah Fukushima di Jepun mengalami gempa dan tsunami hanya setahun lebih di tampuk pemerintahan.
  • Susilo Bambang Yudhoyono juga turut menjanjikan 15 perkara yang akan dilaksanakan andai beliau dan regunya memenangi pemilihan presiden Indonesia pada 2009.
  • Dan terbaru, Yingluck Shinawarta dengan senyumannya yang menawan, aura keluarga Shinawatra (disebut 'shinawat') dan namanya yang seandai ditulis huruf roman, mempunyai suku kata yang kedengaran sebagai 'tuah' dalam Bahasa Inggeris (luck) turut menebarkan seribu janji untuk rakyat Thailand.
  • Antara janjinya yang paling mudah diingati ialah satu murid satu komputernya; persis zaman kebangkitan IT di Malaysia apabila PM ketika itu, Tun Dr. Mahathir melancarkan motto 'satu rumah satu komputer.'
  • Zahir janji Shinawatra sebenarnya lebih hebat daripada motto Dr. M kerana kalau satu rumah itu ada tiga orang murid, maka rumah tersebut ada tiga komputer!
  • Soal kaedah perlaksanaan manifesto Shinawatra itu terserahlah kepadanya kerana yang kita beratkan ialah janji dan tertunainya janji.
  • Akan tetapi, saban hari, untuk melihat kesemua janji-janji pemimpin-pemimpin tadi untuk ditunaikan semakin lama semakin samar.
  • Andai dilihat kepada peratusan pula, (melainkan Shinawatra yang baharu di tampuk pemerintahan) hanya kurang 50 peratus sahaja janji-janji mereka yang ditunaikan atau ditepati.
  • Obama begitu beria-ia menyatakan yang penglibatan US di kempen demokrasi Iraq akan ditamatkan serta-merta sejurus beliau memegang jawatan Presiden.
  • Sebaliknya, sehingga sekarang pun bukan semua askar-askar demokrasi US di Iraq pulang ke tanah airnya sedangkan masa pemerintahan Obama tinggal setahun sahaja lagi.
  • Malah, US membabitkan diri lagi dengan perang di tempat orang apabila melobi untuk NATO turut serta dalam menggulingkan 'pemimpin kuku besi' Libya Muammar Gaddafi.
  • Setelah Gaddafi dibunuh, 'pasukan pejuang demokrasi' NTC bukannya mahu NATO berundur sebaliknya digesa kekal untuk beberapa seketika bagi membantu mereka 'menjaga keamanan' Libya takut-takut pembela Gaddafi membuat serangan balas.
  • Sudah pasti andai seruan ini dipenuhi,  kos peperangan NATO akan bertambah dan secara tidak langsung menambahkan juga kos peperangan US.
  • Oleh sebab itu, perkara sebegini menjadikan US sebagai negara yang paling banyak melabur untuk 'mempertahankan tanah airnya' dengan berbuat perang di negara orang lantaran tiada satu pun peperangan yang mereka sertai pasca-Perang  Dunia Ke-2 yang melibatkan tempat dan lokasinya sendiri di Amerika!
  • Itu cerita Obama dan US. Cerita Hatoyama dan karier politiknya di Jepun lebih tragis lagi kerana di bawah kepimpinan beliaulah parti LDP digulingkan daripada tampuk pemerintahan yang cukup-cukup lama (sedari 1955; melainkan sela masa 1993-1994)
  • Beliau menjadi PM Jepun selama tak sampai setahun pun  kerana mengambil tanggungjawab dalam kegagalan usaha kerajaan menutup operasi pasukan marine US di Okinawa.
  • Pengganti beliau iaitu Naoto Kan juga mengalami nasib yang sama apabila melepaskan jawatan kerana kegagalan dalam menguruskan kawasan terjejas di Fukushima setelah daerah itu dilanda tsunami.
  • Kematian rakyat, kemusnahan infrastruktur, pemaparan kesan negatif radioaktif yang dibandingkan dengan bencana Chernobyl, kekurangan makanan, minuman bersih dan bantuan perubatan menjadi sebab kepada perletakan jawatan beliau atas rasa tanggungjawab.
  • Sedangkan daripada satu sudut, beliau sendiri tidak boleh mengelak amukan alam dan takdir Tuhan yang menyebabkan bencana tersebut berlaku.
  • Kedua-dua kejadian ini ditambah pula dengan fakta bahawa sudah ada lapan PM Jepun semenjak tahun 2000, memperlihatkan sisi kebudayaan kepimpinan Jepun yang cukup-cukup berbeza berbanding negara-negara lain di seluruh dunia.
  • Mereka nampaknya benar-benar mengambil kira semangat kebertanggungjawaban atas setiap permasalah rakyatnya sehingga bertindak untuk melepaskan jawatan andai berlaku sebarang kegagalan yang memperlihatkan keaiban kepimpinan mereka walaupun masalahnya dicetuskan oleh bencana seperti gempa bumi dan tsunami.
  • Sehinggakan satu ketika dahulu, menteri kewangannya Soichi Nakagawa terpaksa meletak jawatan hanya kerana kelihatan mengantuk ketika menghadiri persidangan G7 di Rome. 
  • Kembali ke rantau Asia Tenggara, SBY mencatat sejarah sebagai presiden Indonesia pertama yang dipilih terus oleh rakyat Indonesia.
  • Juga beliau sebagai presiden pertama yang berjaya mempertahankan jawatan tersebut dengan kaedah pemilihan terus itu.
  • Namun, tahun pertama pemerintahan beliau yang pertama, Indonesia dilanda tsunami sehingga mengakibatkan bumi Acheh bagaikan padang jarak padang tekukur.
  • Pun begitu, nasib beliau lebih baik jika dibandingkan dengan rakan sejawatnya daripada Jepun kerana bukan sahaja beliau berjaya 'mengharungi' bencana tsunami, malah beliau turut dipilih sekali lagi dalam pemilihan presiden (dengan regu barunya).
  • Menjelang masa, kemenangan beliau tidak juga dirai selama-lamanya apabila sudah ada kajian persepsi yang dilakukan terhadap janji-janjinya (15 kesemuanya) yang menunjukkan setelah dua tahun dipilih semula, beliau hanya berjaya melunaskan tiga janji pilihan raya sahaja (iaitu sekitar 20 peratus).
  • Sekali lagi, beliau merupakan contoh betapa keadaan dan nasib menyebelahi seseorang pemimpin kerana sebagaimana US, presiden hanya boleh memegang itu tersebut sebanyak dua penggal sahaja dan kelihatan tiada sebab mengapa kegagalan memenuhi janji itu mendorong beliau meletak jawatan.
  • Paling tidak pun, wakil parti beliau tidak dipilih lagi dan beliau pun tidak mendapat kesan apa-apa seperti 'kalah' misalnya kerana presiden yang akan datang secara teknikalnya adalah 'hal dia orang sendiri.'
  • Kini, kita ke utara Semenanjung pula dengan Thailand menghadapi banjir terburuk dalam sejarah lima dasawarsa.
  • Kerajaan dan pimpinan Yingluck Shinawatra dikritik hebat oleh rakyatnya kerana pengurusan banjir yang kurang berkesan.
  • Pertelingkahan selatan tanah air mereka juga tidak pernah kerana acap kali akan kedengaran serangan-serangan tertentu yang melibatkan puak-puak yang bertelagah. Ramai juga menjadi korban.
  • Nampaknya, Shinawatra yang ini tidak sempat untuk melakukan sesuatu pun bagi memenuhi janji-janjinya kerana kini sibuk menguruskan bencana banjir di negaranya.
  • Sudah tentu banjir ini akan merencatkan pertumbuhan ekonomi negara, menambahkan kos pengurusan negara, mengganggu kehidupan rakyat seharian dan sekali gus menyebabkan kesemua 'janji-janji manis' yang telah dibuat oleh pemimpin negara Gajah Putih itu semakin tak tertunai.
  • Apa lagi janji popular seperti satu murid satu komputer.
  • Hanya masa sahaja yang akan menentukan sama ada nasibnya seperti PM-PM Jepun atau SBY.
  • Cuma daripada satu seginya, kejadian-kejadian yang dibeberkan tadi menunjukkan betapa sukarnya janji manis seorang pemimpin untuk dilaksana.
  • Lantaran pelbagai tekanan yang pemimpin itu perlu hadapi, baik daripada kroninya, baik daripada sekutunya, baik daripada rakyatnya dan tidak kurang penting daripada kejadian-kejadian alami.
  • Juga sebagai teladan kepada pemimpin-pemimpin yang sedia ada, sama ada pemimpin baru yang menggulingkan orang lain melalui cara jalanan atau ketenteraan, juga kepada yang masih kekal di tampuk kuasa.
  • Bahawa ada dikalangan mereka yang mungkin menjanjikan bulan dan bintang, menggunakan frasa seperti 'Change' atau 'Ubah' namun kesan akhirnya, bukan sahaja tiada perubahan, malah bertambah teruk pula.
  • Mungkin orang boleh kata, bukannya kehendak pemimpin itu untuk tidak memenuhi janji yang ditagih oleh rakyatnya; malah dia sudah mencuba.
  • Namun tak siapa pun boleh menafikan apabila intervensi Yang Maha Esa berlaku, mereka sebenarnya lebih kerdil daripada penonjolan keagungan diri mereka di mata khalayak ramai.
  • Jadi, apabila kepentingan pihak tertentu yang lebih perlu dipenuhi dan apabila bencana alam datang melanda;
  • Tidak siapa pun di antara mereka mampu mengelaknya.
  • Dan mungkin mereka tidak pernah terfikir pun bahawa selain daripada pihak lawan di dalam dunia politik mereka yang boleh merencatkan cita-cita mereka, terdapat kuasa yang di atas sana yang lebih tahu untung nasib manusia!

Saturday, October 29, 2011

Beras berlambak tapi tak cukup nak makan???



  • Sudah berminggu-minggu negara Gajah Putih digenagi air dan kini, ibu negaranya Bangkok diancam tenggelam - sesuatu yang biasanya menjadi ancaman di Kuala Lumpur saban hari sahaja tatkala hujan.
  • Khabarnya istana Raja di sana pun sudah mula dinaiki air.
  • Penyakit bawaan air kini mula menjadi ancaman besar andai rakyat secara berterusan terdedah dengan air yang tidak bersih.
  • Bukan air itu yang membawa penyakit melainkan kuman di dalamnya!
  • Ancaman taun memanglah satu penyakit yang sukar dielakkan seandainya tahap banjir itu kritikal dan berterusan. Belum lagi kencing tikus dan pelbagai kencing yang berkaitan yang membahayakan; bangkai dan najis yang barangkali bercampur dengan air bah yang melimpah ruah.
  • Yang seronok main air, budak. Maka sebab itulah risiko tinggi apabila penyakit bawaan air ini merebak.
  • Belum lagi kita cerita tentang beratus-ratus kematian di sana disebabkan banjir ini.
  • Hasil pertanian nampaknya akan turut terjejas teruk.
  • Sebagai 'periuk nasi' Asia Tenggara, sudah semestinya banjir dan kemusnahan tanaman padi akan memberikan impak yang besar bukan sahaja kepada kepada negara itu sendiri, malah kepada bekalan beras antarabangsa.
  • Malaysia misalnya terpaksa mencari sumber alternatif bagi menampung kekurangan beras dalam masa lima hingga enam bulan akan datang.
  • Kerajaan menegaskan bahawa bekalan padi dan stok penimbal beras mencukupi - namun kita pun hanya menunggu masa sahaja ketiadaan beras andai tidak ada langkah konkrit dilaksanakan bagi tujuan itu.
  • Keadaan sebegini memperlihatkan betapa seriusnya kebergantungan bekalan makanan negara terhadap sumber import.
  • Seterusnya menimbulkan persoalan, sebagai negara yang ada sektor pertanian sendiri, adakah sumber sedia ada tidak cukup untuk dibekalkan kepada rakyat sedia ada?
  • Atau rakyat Malaysia sebenarnya terlebih makan?
  • Dahulu ketika belajar Geografi dan Kajian Tempatan (sekolah rendah), kita didedahkan negeri sekian-sekian merupakan Jelapang Padi Malaysia atau setidak-tidaknya ada kawasan penanaman dan pengeluaran padi.
  • Seolah-olah semua sumber makanan negara terutamanya beras berasal daripada negara ini sendiri.
  • Akan tetapi, hakikatnya tidak secara terus (straight forward) sebagaimana yang disangka. Rupanya beras siam jugalah yang menjadi citarasa rakyat kita!
  • Masakan tidak, sedangkan dahulu hebohnya kejadian 'lambakan beras' seolah-olah sumber tersebut terlalu banyak di Malaysia sampai melambak-lambak; tak tahu hendak diletakkan ke mana!
  • Kini, terbalik-kot pula, kalau tak kena gaya negara kita dok kebulur kerana tiada beras - sungguhpun duit mungkin ada!
  • Itu belum cerita bebawang, tomato, kentang dan rempah-ratus yang majoritinya memang berasal daripada negara luar yang memang tidak ditanam di sini!
  • Perspektif pengurusan risiko merupakan salah satu amalan yang perlu diterapkan bukan sahaja oleh pembuat dasar dan pentadbir, malah kepada rakyat sendiri.
  • Namun, takut pula jadinya orang menyimpan beras barangkali berguni-guni kerana takut ketiadaan beras.
  • Macam ada yang bertindak membeli berpuluh kilo pek gula, kerana takut gula habis di pasaran.
  • Jadi, maklumat yang tepat perlu disebarkan dengan cepat juga. Cuma kadang-kala, minyak peket yang selalu tak ada di pasaran mungkin menimbulkan kemusykilan kepada kita sedangkan negara kita antara pengeluar minyak sawit mentah dunia.
  • Barangkali yang perlu diambil perhatian juga ialah pertanian sebagai sumber ekonomi yang utama kepada negara; jangan sesekali dipandang mudah.
  • Tatkala negara sedang asyik dengan sasaran menuju negara maju, atau negara perindustrian maju, kita tidak boleh lupakan bahawa manusia walau apa pun yang berlaku perlu makan.
  • Konflik akan mula timbul apabila negara pengeksport beras hanya mahu menjualnya kepada negara yang mampu membelinya dengan harga yang lebih tinggi.
  • Ketika itu, harga makanan tidak dapat tidak akan melonjak; apatah lagi seandainya berlaku ketaktentuan yang tidak dapat dielakkan seperti banjir di Thailand.
  • Jadi, yang tawaran murah (untuk membeli) belum tentu dapat apa-apa!
  • Tatkala banyak tanah pertanian ditukar status kepada tanah perindustrian, maka akan banyak kilang-kilang didirikan atas tapak pertanian.
  • Sedangkan apabila keadaan kekurangan makanan dunia berlaku -
  • Adakah rakyat ketika itu hendak memakan mesin?