Showing posts with label bola sepak. Show all posts
Showing posts with label bola sepak. Show all posts

Wednesday, April 10, 2013

Jaring gol sendiri

 

Pada ketika bola sepak negara terus menerus merosot dalam senarai FIFA dunia, badan pentadbir bola sepak negara sibuk mengenakan tindakan hukuman kepada sesiapa sahaja ahlinya yang mengkritik hala tuju bola sepak negara. Sindrom FAM tidak mampu memberikan jawapan kepada persoalan kelemahan pasukan kebangsaan kembali melanda dan kita mungkin terpaksa menunggu kesekian tahun untuk melihat pasukan negara kembali menjadi 'kuasa' bola sepak Asia Tenggara.

Sebenarnya, hakikat itu bukanlah tidak boleh dijangka. Penulis pernah membeberkan betapa mengapakah juara Asia Tenggara 2010 tidak mampu untuk layak ke 'kelayakkan Piala Dunia' sedangkan pasukan negara lain yang mempunyai kekuatan setara dapat berbuat demikian. Kini, kesemuanya menjadi lipatan sejarah dan kita bolehlah nasihatkan kepada stesen televisyen untuk mengeluarkan montaj kemenangan Piala AFF Suzuki kerana kita hanya bekas juara.

Sekarang, dengan keadaan pasukan kebangsaan yang kurang sengat, peminat dihidangkan pula dengan gelagat FAM yang begitu beria-ia benar mengeksesais 'Artikel 88' daripada statutnya untuk menghukum orang yang telah berjasa mengangkat pasukan liga tempatan ke tahap yang jauh lebih baik. Pendek katanya, FAM lebih besar daripada segala-galanya. Undang-undang FAM tak boleh dilanggar sama sekali. Tidak boleh sentuh walau sekelumit pun kesilapan dalam tutur kata. Telajak perahu boleh undur, namun kalau telajak kata; kena gantung sekian bulan, denda sekian ribu ringgit!

Arena bola sepak kita terlalu kecil untuk mereka bercakaran dek kerana ada orang dalam FAM yang kata 'prestasi pasukan kebangsaan tidak meningkat.' Mutu itu terserlah dengan kejatuhan demi kejatuhan kedudukan pasukan kebangsaan di dalam senarai FIFA. Sekiranya hal yang itu pun mereka masih tidak mahu ambil tahu secara serius berbanding komen-komen ahli mereka sendiri, maka eloklah tukar sahaja FAM kepada badan kehakiman, badan pendakwaan, badan penjurian sendiri dan menghukum sesama sendiri.

Sebab daripada semasa ke semasa, kita akan dapat melihat betapa statut mereka sedang 'memakan' diri mereka sendiri. Akhir nanti, tinggal siapa sahaja lagi....?

Thursday, August 16, 2012

Dari hal Olimpik kita




Kebetulan Sukan Olimpik tahun ini berada dalam bulan yang mulia dan penuh barakah, maka perihalnya sudah tentulah akan diperkatakan juga oleh segenap lapisan masyarakat kita.

Kalau tak silap penulis, Olimpik punya pasal, ada mufti yang mengeluarkan fatwa bahawa peserta muslim boleh tangguh puasa kerana menjaga kesihatan dan kecergasan; berjuang demi nama negara – gamaknya! Teringat penulis ketika Piala Dunia 2002 di Korea/Jepun tatkala ulama di Senegal mengeluarkan fatwa bolehnya tangguh sembahyang Jumaat bagi rakyatnya menonton perlawanan bola sepak pada waktu Jumaat; sampai begitu sekali!

Mungkin ada juga yang mengeluarkan pendapat peserta tersebut sebenarnya sedang bermusafir, maka harus untuknya tidak berpuasa – terpulanglah kepada tafsiran ulama tersebut kerana hal-hal furu’ ini seeloknya mereka yang benar-benar mahir sahaja yang boleh menjawabnya.

Selain daripada atlet yang pergi ke London untuk berolimpik, pegawai pengiring juga turut ke sana. Cuma kadang-kala kita pun naik hairan juga kalau atlet yang dihantar untuk satu acara sekadar dua tiga orang, tetapi yang pengiringnya itu sudah taraf buat rombongan pula. Duit rombongan itu datang daripada mana?

Negara jiran kita Singapura sudah sah bergelar China Asia Tenggara sebab wakil mereka yang berjaya memenangi gangsa sukan ping pong pun berasal daripada negara Tembok Besar juga. Nampaknya sindrom Malaysia melanda negara Singa apabila hanya ping pong sahaja yang mampu memberi sinar pingat kepada mereka – itupun melalui proses ‘pembelian pemain daripada China.’ (Kalau Malaysia, badminton sahaja yang boleh bagi pingat; tetapi kali ini, dapat jugalah sebutir gangsa hasil sukan terjun!)

Barangkali negara kita tidak sampai ke tahap itu namun kalau difikirkan, ada pro kontranya neutralisasi pemain luar menjadi rakyat Malaysia. Bukannya kita tidak pernah ada atlet yang begitu.... namun  kalau difikirkan sebenarnya yang baiknya kalau begitu (beli pemain luar) kerana kita memberikan peluang kepada atlet yang memang sudah sedia berbakat pada tahap yang tinggi untuk bersaing di peringkat antarabangsa; kerana mungkin kekangan di negara sendiri tidak memberi peluang kepada mereka untuk berbuat demikian. Jadi, wang untuk latihan dan sebagainya dapatlah dijimatkan dan tinggal ‘touch up’ sahaja! – Kalau dipandang secara logik akalnya.....

Kendatipun, disebabkan harga diri dan peluang terpendam di kalangan rakyat sendiri, sudah tentu proses beli pemain luar untuk jadi warganegara merupakan proses yang bertentangan dengan semangat patriotisme yang terkandung dalam rakyat kita.

Pada masa yang sama juga, elok juga Olimpik kali ini tidak dimenangi oleh atlit muslim negara kita kerana bukan nak cakap apa, rekaan pingatnya itu terlalu menonjolkan sangat mitos kedewaan zaman Yunani satu ketika dahulu; dari satu sudut, tak elok kalau hendak menyimpan benda-benda yang ada rekaan ketuhanan agama yang lain. Tak gitu?


Andai mengambil topik sukan secara per se, nyatalah Olimpik membuktikan kepada kita bahawa jurang sukan antara Asia Tenggara berbanding rantau dunia yang lain (hatta Afrika sekali pun) sangat-sangatlah jauh ibarat langit dan bumi. Walaupun Asia Tenggara boleh berbangga dengan Sukan SEA dan kita pun berteriak yang kita menang pingat emas bola sepak sukan tersebut, sebenarnya rantau ASEAN sudah semakin jauh ketinggalan dalam bidang sukan berbanding rantau yang lain.

Tengok sahajalah pungutan pingat negara-negara ASEAN, semua pun lebih kurang sama sahaja. Kalaulah Sukan Olimpik dibuat secara merentas sub-benua, (Asia Tenggara, Asia Timur, Amerika Utara, Amerika Selatan dsb) alamatnya yang paling corot sekali ialah negara-negara ASEANlah jawabnya!!!

Justeru perkara sedemikian membangkitkan persoalan apakah rasionalnya kita beria-ia hendak buat Sukan SEA. Juara lumba lari 100 meter Sukan SEA pun tak mampu hendak menjadi wakil Asia Tenggara di peringkat Olimpik, jadi apa yang hendak dibanggakan sangat???

Jadi, tok sah lah sangat hendak menganjurkan sukan pelbagai acara (multiple events) sangat sebab pulangannya belum tentu dan impak kepada sukan dalam negara itu sendiri belum terbukti. Apa yang penting, budaya sukan itu sendiri yang dipupuk di peringkat sekolah, dan yang dimaksudkan budaya sukan itu termasuklah kepelbagaian jenis sukan yang membolehkan pelajar menyertainya. Sudah tentulah peralatan dan tenaga pengajarnya perlu profesional (guru PJK) yang benar-benar boleh membawa kepada matlamat 1Murid 1Sukan dan PENDIDIKAN JASMANI DAN KESIHATAN.

Artikel berkaitan

Mengoptimumkan PJK: Nasi lemak dan kesihatan

Tuesday, November 22, 2011

Lemas dalam praemas (pra-emas)


Sekadar bersembang-sembang tentang bola sepak, maklumlah Malaysia berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya dalam Sukan SEA, yang diibaratkan sebagai 'ibu segala pingat emas.' Sindiran boleh dibuat oleh petugas media dan penyokong Malaysia di Jakarta/Palembang apabila Indonesia gagal memenangi pingat tersebut sedangkan selama ini, media dan rakyat republik itu jugalah yang dok mencanang habis untuk memalukan Malaysia di keramat Gelora Bung Karno. Rakyat di sana seolah-olah  telah merasakan aura pingat tersebut berada di tangan mereka selepas berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir. Segunung harapan diletakkan kepada pemain-pemain mereka yang kelihatan begitu yakin mengharungi kesemua perlawanan sebelum peringkat akhir; kecuali ketika tewas 0-1 di peringkat kumpulan kepada lawan yang sama mengecewakan mereka pada penentuan puncak (kerana ketika itu mereka tidak menurunkan skuad terbaik). Namun, penentuan penalti jelas sekali tidak memihak kepada Indonesia apabila sepakan terakhir kapten pasukan Malaysia bergolek masuk ke dalam gol meskipun telah berjaya ditampan terlebih dahulu oleh penjaga gol mereka.
Penyokong fanatik Indonesia terlalu menyayangi skuad mereka sehinggakan sesiapa sahaja bertemu Malaysia, rela disokong lawan pasukan itu semata-mata asalkan janganlah Malaysia yang memenanginya. Seolah-olah, kalau bukan Indonesialah yang berada di perlawanan akhir tempoh hari tetapi Malaysia layak, akan penuhlah stadium tersebut dengan sorakan untuk menyokong bukan-Malaysia. Begitulah adanya gelagat keramat stadium itu!

Akan tetapi, dengan tewasnya Indonesia semalam, adakah keramat Gelora Bung Karno telah hilang keramatnya?

Sebaliknya, sejarah dan statistik telah membuktikan sebaliknya apabila mitos keramat itu sendiri merupakan mitos yang palsu. Tiadalah keramatnya gelanggang tersebut melainkan dipenuhi dengan episod duka sahaja kepada bola sepak Indonesia.  Gelanggang yang dianggap begitu berkeramat itu sekadar cerita dongeng sahaja. Bukan semata-mata bersandarkan keputusan tersebut sahaja tetapi sebelum ini pun, Indonesia kecewa di stadium yang sama pada perlawanan akhir untuk temasya yang sama. Sebelum ini pada 32 tahun yang lepas, penyokong mereka didiamkan oleh gol Allahyarham Mokhtar Dahari untuk acara akhir bola sepak Sukan SEA. Ketika Indonesia menganjurkan temasya dwitahunan tersebut pada 1997, skuad mereka berjaya memasuki perlawanan akhir hanya untuk dikecewakan oleh Thailand menerusi sepakan penalti juga.

Oleh sebab itu, istilah keramat yang dikaitkan dengan gelanggang terbabit hanyalah sekadar mitos semata-mata. Tiada yang keramatnya stadium itu; malah penuh dengan titik kecewa. Bukannya pemain Indonesia tidak bagus. Tetapi mungkin kerana mereka begitu dimanjai oleh penyokong-penyokong mereka. Kemungkinan besar mereka sebenarnya terasa segala-galanya menyokong mereka. Mungkin itulah juga yang membawa kepada kekalahan skuad mereka di Piala AFF-Suzuki kerana apabila di Malaysia, mereka dikenakan 3-0 oleh pasukan negara. Nampak sangat yang mental pemain Indonesia begitu dibuai manja dengan sokongan besar rakyat mereka sampaikan kalau bermain di luar negara, mereka gagal menyerlah!

Berbanding Malaysia, kemenangan emas memperkuatkan lagi proklamasi bahawa negara ini merupakan kuasa besar bola sepak rantau Asia Tenggara. Mereka berhak diiktiraf begitu. Malah, sebenarnya bukanlah mengejutkan atau mustahil (seperti suasana yang dimainkan oleh media sukan) untuk Malaysia merangkul pingat emas kerana statistik membuktikan skuad negara berada di ‘top 3’ hampir setiap kali (melainkan di Thailand 2007) untuk Sukan SEA selepas pertandingan dijadikan sebagai pertandingan Bawah 23 (U-23) pada 2001. Tetapi, perjalanan skuad muda ini masih jauh. Malah, kalau skuad utama yang menjadi ukuran, kita masih ketinggalan setingkat daripada Thailand.

Mengapa Thailand?

Mudah sahaja alasannya. Hanya pasukan tersebut yang mampu memberikan saingan bererti dalam kelayakan Piala Dunia 2014. Pasukan Asia Tenggara lain yang layak? Kesemuanya seperti sedang menimba ilmu pengetahuan. Indonesia sebenarnya baru sahaja dimalukan oleh Iran 1-4 di Gelora Bung Karno (sekali lagi menidakkan kekeramatan stadium itu!) Singapura turut mengalami nasib yang serupa, tewas 0-4 di tempat sendiri kepada China sedangkan mereka bermain menentang pasukan yang hanya mempunyai sepuluh orang pemain. (Singapura ketinggalan 2-0 sebelum salah seorang pemain China dibuang padang; tetapi selepas itu China  menyumbat dua biji gol lagi!).

Sebab itulah penulis secara peribadi merasakan Thailandlah yang kini paling perkasa di peringkat Asia Tenggara kerana kejayaan mereka untuk setidak-tidaknya menunjukkan saingan dalam kelayakan Piala Dunia (dapatlah juga empat mata!). Walaupun mereka tersingkir awal dalam Piala AFF tahun lepas, mereka megah untuk bangkit memasuki kumpulan elit yang berjaya setidak-tidaknya berada di pusingan kelayakan piala berprestij dunia.

Perkara inilah yang harus dicemburui oleh pemain dan pengurusan pasukan Malaysia. Tetapi tidak mengapa, mereka boleh mara setapak demi setapak dan mampu melakukannya. Mungkin benar kata Datuk Rajagobal, mulakan dengan Piala Asia. Oleh yang demikian, diharapkan agar skuad negara tidaklah hanya gah sebagai pasukan terkuat serantau sahaja tetapi tidak mampu bersaing ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Dan tugas kejurulatihan kini lebih berat lagi kerana mereka perlu menyesuaikan skuad emas Sukan SEA ini dengan pasukan utama negara dan pada masa yang sama juga, membentuk skuad baru yang mampu mencapai kejayaan hatrik untuk temasya akan datang. Kebijaksanaan mereka ditagih dalam menguruskan hal ini. Walaupun kedengaran terlalu bercita-cita besar (ambitious), sebenarnya mereka mampu melakukannya kerana seandainya Korea dan Jepun yang dahulunya setaraf dengan Malaysia dalam acara bola sepak, tetapi kini menjadi gergasi dunia, mengapa tidak Malaysia?

Tahniah kepada skuad U-23 negara kerana tidak lemas dalam ibu segala emas; sebaliknya mampu mendakapnya. Namun, gembira-gembira juga, tugas yang lebih besar menanti anda bagi membuktikan kejayaan itu bukan semata-mata mitos sahaja. Tugasan kelayakan Olimpik misalnya perlulah dilaksanakan sebaik-baiknya. Jadi buktikanlah kejaguhan anda bukan setakat di Nusantara!

Sunday, October 30, 2011

Manjanya kakitangan awam.

 
  • Apabila kita bercerita mengenai kakitangan awam, tidak kiralah yang dimaksudkan itu kakitangan awam pusat ke, negeri ke, badan berkanun ke...
  • Walaupun polis, tentera, bomba, cikgu, pertahanan awam, kastam, imigresen, APMM pun kakitangan awam mengikut definisi, kita lebih tekankan yang secara teknikalnya - kerja pejabat kerajaan.
  • Mereka ini pegawai, peenolong pegawai, pembantu pegawai sama ada golongan profesional mahupun 'kumpulan pelaksana.'
  • Setelah bertahun-tahun memperjuangkan isu melalui Cuepacs, kini kakitangan awam boleh menarik nafas lega; struktur gaji meningkat, umur bersara naik (tanpa syarat), naik pangkat tidak perlu peperiksaan, dapat juga bonus dan lain-lain lagi.
  • Maklumlah, harga barang sekarang mahal, peniaga naikkan harga tak tentu pasal, beban kerja 'bertambah,' NKRA tercapai, NKEA terlaksana; jadi, fulus pun kenalah masuk lebih.
  • Selain daripada itu, merekalah yang paling mudah untuk menerima cuti kelepasan yang tidak ada kena pun dengan mereka. Sampaikan bola masuk final pun nak cuti. Pasukan Malaysia menang pingat emas pun nak cuti.
  • Salah satu tulisan di ruangan 'surat' Berita Harian misalnya menggunakan tajuk Kerajaan manjakan penjawat awam - berkisar tentang cuti.
  • Tulisan tersebut mengenengahkan isu cuti dan penjawat awam seakan-akan diasuh supaya menerima habuan andai sesuatu kejayaan dicapai.
  • Yang kelakar seramnya, kejayaan itu bukannya dicapai oleh mereka, tapi dikecapi pemain bola sepak!
  • Orang lain yang menang piala, pingat, rakyat pula diberi cuti ! Apa ke hal?
  • Menjadikan keadaan semakin seram terbahak-bahak, bukannya semua rakyat pun yang akan merasa cuti atau kesemua syarikat yang hendak bercuti.
  •  Ada syarikat Mak Timah jual keropok lekor kisah kalau misalnya Terengganu menang Piala Malaysia, jadi esoknya Mak Timah tidak berniaga?
  •  Atau syarikat multinasional yang melabur berbilion ringgit, sebab bola sepak Malaysia menang pingat emas Sukan SEA (kalau menang), jadi CEOnya isytiharkan, 'atas kemenangan Malaysia, kita tutup kilang satu hari?'
  • Atau mungkin kedai runcit Muthusamy, sebab bola sepak Malaysia masuk Olimpik, dia tutup kedai lalu digantung nota, 'tutup sehari sebab Malaysia pergi Olimpik.'
  • Yang berjaya orang lain, yang lain pula sibuk nak cuti.
  • Kita pun tidak pernah mendengar andai Barcelona FC menang piala perak Liga Juara-juara, maka seluruh Spanyol akan diisytihar cuti umum.
     
  • Sedangkan kini, Spanyol merupakan antara negara yang menghadapi krisis hutang Eropah; kalau begitulah mentaliti rakyat disana, nescaya makin cepatlah negara tersebut bankrup!
  • Malaysia pula menjadi antara negara yang paling banyak cuti umum. Semua perayaan kaum utama pun cuti.
  • Dan kini, sebab bola pun hendak cuti.
  • Barangkali ada yang berhujah bahawa cuti akan memberikan peluang kepada pekerja merehatkan minda, menghilangkan stres, meningkatkan semangat sekali gus meningkatkan produktiviti negara.
  • Soalnya bukan produktiviti ke apa, soalnya benarkah cuti itu digunakan untuk berehat atau bersama keluarga?
  • Bagi mereka yang memperjuangkan cuti sempena ini dan itu, kembalilah kepada realiti.
  • Bukan semua orang dapat menikmatinya...
  • Dan lebih penting lagi, bukan semua orang menikmatinya dengan sebenar-benarnya.
  • Kalau sudah hendak cuti sangat, carilah kerja yang memerlukan kita bercuti sahaja, tetapi gaji tetap jalan.
  • Sedangkan yang sebaliknya sahaja yang wujud di dunia ini - kalau tak kerja, tak ada gaji.
  • Itulah yang dinamakan penganggur!

Tuesday, May 18, 2010

Hipotesis “ranking” disokong

Sekitar bulan Februari, penulis ada menulis tentang betapa ranking tidak semestinya penting dalam sesuatu sukan. Bukan tidak penting, tetapi tidak semestinya penting. Hujahan penulis meliputi beberapa sukan seperti tenis, badminton, bola sepak. Akan tetapi, ada juga sukan yang mana ranking adalah "sedikit sebanyak" segala-galanya. Contohnya sukan permotoran seperti F1 apabila juara dunia itu sendiri adalah orang yang paling banyak mengumpul mata dalam kesemua pusingan perlumbaan Grand Prix. Tidak kurang juga gelaran "orang paling laju di dunia untuk acara 100 meter atau 200 meter; nama orang yang mencatat rekod dunia dikatakan sebagai "pilihan utama" (secara tidak langsung seakan-akan ranking pertama untuk dirinya.)

Maka, pada minggu lepas, isu ini kembali bergema lagi dan kali ini daripada diri pemenang emas Olimpik, pemenang kejohanan dunia dan pemenang Piala Thomas 2010 untuk sukan badminton, Lin Dan. Beliau secara bersindir menyatakan bahawa beliau tidak terlalu hendak mengejar kedudukan Datuk Lee Chong Wei yang berada di ranking pertama dunia kerana pada pendapat beliau, apa yang beliau hendakkan dalam dunia badminton telah beliau kecapi. Sama ada itu merupakan isi hati beliau atau sekadar ingin mengalih perhatian, hanya masa menentukannya.

Kegagalan pasukan Malaysia untuk menewaskan China merupakan sesuatu yang telah banyak dibahaskan di dada-dada akhbar. Apa yang lebih memeranjatkan adalah BAM sendiri mengakui bahawa pasukan negara dibarisi oleh pemain-pemain tua yang terpaksa diambil bagi menghadapi saingan Piala Thomas kali ini. Apakah BAM baru sedar akan ketuaan permain Malaysia, ataupun tampil menggunakan alasan tua sebagai penyebab kepada kekalahan Malaysia, hanya BAM yang tahu. Namun, pada pendapat penulis, adalah sangat-sangat janggal kalau hanya selepas tamat kejohanan Piala Thomas barulah isu ketuaan itu dibangkitkan.

Akan tetapi, walaupun agak cliche, rata-rata orang akan menuding kepada betapa tiada pelapis muda yang boleh menanggung beban bagi menjulang Piala Thomas pada kali ini (atau untuk sekian kalinya). Justeru, bakat-bakat mereka yang veteran ini ditagih kerana yang muda masih belum bersedia menggalas cabaran Malaysia. Oleh yang demikan, walaupun post-mortem Piala Thomas belum disudahkan lagi, sudah ada suara-suara cadangan untuk pembangunan bakat muda diperkasakan.

Soalnya, apakah kita begitu lambat sekali menggilap bakat-bakat muda? Apakah dengan sistem sekarang ini bakat muda tidak dapat kita hasilkan dalam sela masa setahun? Apakah kita hendak tunggu berpuluh-puluh tahun barulah kita kembali menggenggam Piala Thomas? Berapa lamakah masa yang kita kena tunggu bagi membawa pulang pingat emas Olimpik? Kesemua ini, hanya pihak pentadbir dan pembuat dasar sahaja yang tahu jawapannya.

Dalam masa yang sama, perlulah kita insafi bahawa ranking bukan segala-galanya dalam badminton. Kita ada seorang pemain nombor satu dunia namun, ranking pemain seterusnya dari Malaysia untuk senarai pemain dunia berada jauh daripada nombor satu. Hal ini merupakan satu kepincangan yang sangat nyata. Lebih aneh lagi, pemain nombor satu dunia amat sukar sekali menewaskan pemain nombor dua dunia. Maka, sesuatu harus dilakukan bagi mengelakkan keanehan ini daripada terus berlaku dan mencatatkan sejarah badminton yang cukup aneh/pelik.

Penulis tidak mengatakan bahawa kesemuanya salah orang ini dan orang itu; pemain ini dan pemain itu. Apa yang penting sekarang adalah BAM dan pemain-pemainnya bangkit bagi menebus malu kekalahan Piala Thomas. Mungkin boleh dimulakan dengan kejohanan dunia, kemudian dari setapak ke setapak, binalah sebuah pasukan yang boleh menyengat pada Piala Thomas akan datang.

Jangan sasar 2012 sahaja, sasarkan untuk 2014 sekali. Barulah kita ada keazaman untuk mengekalkan prestasi tiga orang pemain perseorangan dan dua orang pemain beregu untuk satu jangka masa yang panjang. Barulah kita berusaha menampung kekurangan dari masa ke masa.

Pada masa tersebut, walaupun kita tiada pemain ranking nombor satu dunia pun, kita tidak betah untuk melawan gergasi seperti China.

P/s: Kalau takut sangat tekanan daripada penonton dan harapan jutaan rakyat Malaysia untuk menjuarai Piala Thomas, harap BAM dan Malaysia tidak usahlah membida untuk menganjurkan kejohanan tersebut. Kalau tekanan itupun menjadi alasan, buat apa kita nak anjurkan sedangkan kita tidak boleh menang? Masuk akal tak?


Monday, April 12, 2010

Jose Luis Chilavert

Menyaksikan penjaga gol Mohd Helmi Eliza Elias, Siapa mengambil sepakan penalti bagi penentuan juara Piala FA Malaysia 2010 di Stadium Nasional Bukit Jalil mengingatkan penulis kepada seorang penjaga gol berkarisma dari Paraguay, Chilavert. Chilavert merupakan lagenda bola sepak tersendiri di negaranya. Walaupun dikatakan sebagai seorang yang panas dan suka "mencari pasal" beliau merupakan kunci kepada kebangkitan Paraguay dalam Piala Dunia terutamanya pada 1998.

Karisma beliau terserlah apabila beliau menjadi antara penjaga gol paling banyak menjaringkan gol melalui sepakan pecuma dan sepakan penalti. Hal ini menunjukkan beliau memang seorang yang terlatih dan dilatih untuk menjaringkan gol dengan cara berkenaan. Selain itu, kecekapan beliau di gawang gol diiktiraf apabila Badan Sejarah dan Statistik Bola Sepak Antarabangsa (IFFHS) menyenaraikan beliau sebagai penjaga gol terbaik tiga kali dalam kerier bola sepaknya.

Sayangnya, sebagaimana gagalnya Helmi menjaringkan penalti penting pada malam itu, maka segagal itulah kebangkitan Paraguay diteruskan dalam pusingan akhir Piala Dunia dalam setiap kali penyertaannya. Walaupun, pada satu ketika, mereka mempunyai kelebihan, namun akhirnya mereka tersungkur jua; mungkin kerana nasib, mungkin kerana tuah, mungkin kerana segala-galanya.

Tahun 1998 misalnya, Paraguay berjaya bertahan asakan bertubi-tubi pasukan Perancis pada pusingan 16 pasukan kalah mati (round of 16) sehingga minit ke 113 apabila Laurent Blanc berjaya menyumbat gol emas buat tuan rumah (waktu itu, peraturan "gol emas" dipakai). Kejayaan bertahan sehingga ke tahap itu dikatakan sebagai jasa besar Chilavert, namun, keputusan tetap memihak kepada Perancis. Selepas daripada itu, segala-galanya adalah sejarah apabila Perancis memenangi "double" iaitu Piala Dunia 1998 dan Euro 2000.

Prestasi yang ditunjukkan begitu cemerlang oleh Chilavert masih gagal membantu pasukannya mara ke peringkat lebih baik daripada round of 16. Namun beliau dikenang sebagai penjaga gol yang cekap dan sebagai kapten pasukan yang berkarisma walaupun beliau hanya berada di gawang.

Seorang penjaga gol kadang-kala lebih daripada seorang penjaga gol. Ambil contoh lain, bekas penjaga gawang MU, Peter Schmeichel. Beliau mula menyertai United pada 1991 dan selepas itu, era monopoli MU dalam Liga Perdana Inggeris bermula. Antara musim 1992/1993 hingga 1998/1999, United hanya terlepas satu kali mahkota kejuaraan kepada Blackburn Rovers (1994/1995). Mungkin secara kebetulan penjaga gol bernama Schmeichel itu ada dalam skuad United. Atau mungkin sememangnya beliau menjadi pendorong monopoli United. Bagaimanapun, tidak dapat tidak, beliau terlibat dalam kelangsungan kejayaan United yang sangat panjang dan signifikan dalam sejarah EPL akhir 90-an.

Walaupun penjaga gawang jarang menjadi tajuk utama akhbar sebagaimana pemain penyerang super atau perancang terbaik pasukan, namun kewujudannya kadang-kala cukup bererti. Lebih-lebih lagi kecekapannya menangkap bola, menangkis serangan pemain lawan dan kelebihan waktu kritikal, menangkap /menepis sepakan penalti. Lebih berharga lagi, kalau beliau sendiri boleh menjaringkan gol melalui sepakan percuma atau penalti.

Cuba lagi Helmi.....


 

Friday, December 18, 2009

Lebih berharga dari yang lain

Seolah-olah telah memenangi kejohanan Sukan Sea 2009. Begitulah gamaknya "harga" dan euphoria yang dirasai oleh para peminat sukan dan pemain bola sepak negara apabila pasukan negara berjaya mengakhiri kemarau 20 tahun pingat emas dalam sukan tersebut. Kemenangan tersebut juga menjadi pingat emas terakhir yang dikutip oleh kontingen negara pada temasya dwi tahunan yang di adakan di Laos tersebut. Sesungguhnya, Laos adalah bumi bertuah buat sukan bola sepak negara.

Hadir sebagai underdog, malah kalah dengan lawan yang sama pada peringkat kumpulan, Malaysia berjaya merangkul pingat emas tersebut dengan penuh kejutan kerana Vietnam sudahpun bercanang-canang untuk mencatat sejarah untuk buat kali pertama dikalungkan pingat tersebut. Maka, apakah yang begitu berharganya pingat emas yang satu itu (walaupun dikalungkan kepada lebih 11 orang pemain, tetap dikira sebagai satu) berbanding dengan yang lain?

Pertama adalah betapa penantian yang dirasai oleh segenap lapisan peminat sukan popular tersebut. Sehinggakan, ada yang berpendapat "kalau tak dapat yang lain, bola sepak emas sudah cukup lah.." Hal ini cukup meletakkan bola sepak pada kelasnya yang tersendiri di mata peminat sukan Malaysia walaupun sukan lain seperti badminton, renang, olahraga, silat, tinju turut menyumbang pingat yang sama. Faktor popular merupakan galang ganti kepada yang lain.

Kedua, berasaskan prestasi semasa yang terumbang ambing, siapa sangka skuad muda yang dibentuk oleh Rajagopal (sekarang sudah self-proclaim Raja Sukan Sea) berjaya memenangi pingat tersebut berbanding dengan lawan masing-masing. Malaysia diletakkan dalam kumpulan yang sangat sukar – Thailand dan Vietnam merupakan lawan yang jauh lebih baik berdasarkan prestasi semasa. Kejayaan menumpaskan Thailand untuk mara ke separuh akhir sudahpun menjadi satu "sejarah" tersendiri. Dapat emas pula....! Ini sudah satu yang ganjil dan mengujakan!!!!

Namun, dengan sorak sorai tawa gembira yang dizahirkan oleh setiap pemain bola sepak negara, terkandung juga satu harapan menggunung buat mereka – untuk pergi lebih jauh pada masa akan datang. Perlu diingat, bola sepak Sukan Sea menampilkan pemain negara berumur 23 tahun dan ke bawah, maka sudah semestinya kehadiran Vietnam, Thailand, Singapura dan Indonesia dibarisi oleh skuad pelapis mereka berbanding skuad utama. Ada pemain skuad Singapura yang dikhabarkan boleh bermain untuk dua atau tiga Sukan Sea lagi – maka apakah emas Sukan Sea itu boleh disimpulkan sebagai kejayaan mutlak bola sepak negara?

Satu fakta yang menarik juga, pemain Malaysia secara teknikalnya TIDAK pernah menjaringkan gol semasa menentang Vietnam. Nampak sekali di sini bahawa gol-gol Malaysia terhasil daripada kesilapan pasukan Vietnam – bukan menafikan bahawa gol tersebut tidak sah atau Malaysia tidak berhak mendapat gol – tetapi sebetulnya, pemain Malaysia masih belum menjaringkan gol!

Sukan Sea secara keseluruhannya pula berjaya mencapai matlamat yang rendah yang ditetapkan oleh MOM dan MSN. Bagaimanapun, masih ada penambahbaikan yang luar biasa yang perlu dilakukan oleh beberapa acara yang sepatutnya menghasilkan emas buat negara. Sukan menembak misalnya, dengan kehadiran pemain bertaraf antarabangsa, skuad Malaysia GAGAL langsung memperoleh emas dari lapang sasar. Perkara ini sebenarnya perlu diberi perhatian – jangan dek tenggelam dengan euphoria kemenangan bola sepak semata-mata. Begitu juga dengan takraw, memanah dan lain-lain sukan potensi emas. Pembangunan badminton wanita misalnya telah menampakkan hasil, akan tetapi bagaimana pula dengan yang lelaki? Adakah kita hendak tewas dengan Vietnam atau Laos pula dalam sukan-sukan berpotensi besar dan berkemarau berpuluh-puluh tahun dahulu baru kita hendak bangkit?

Kembali kepada bola sepak, kemenangan emas Sukan Sea Laos merupakan titik permulaan bola sepak negara. Bola sepak Malaysia seharusnya sudah lama melangkaui peringkat Asia Tenggara – dengan memberi cabaran peringkat Asia pula. Prof Emiretus Tan Srr Dr Khoo Kay Kim misalnya, menyarankan agar skuad ini mengekalkan momentum kemenangan untuk kejohanan bola sepak akan datang pula, seperti Piala Asia, Sukan Asia. Maka seharusnya segala-galanya bermula di sini. Bukan mengakhiri kemarau yang panjang yang kita cari. Sebaliknya, menuai hasil yang lebat selepas tanah subur dijaga dan dibaja. Mempertahankan emas pada temasya akan datang itu sudah mesti. Benar-benar menggugat di peringkat yang lebih tinggi, itu yang seharusnya dimulai!

Jangan puji melangit sehingga kejayaan tersebut dicapai.....

Thursday, January 22, 2009

Belajar daripada Vietnam

Artikel dibawah adalah tulisan asal bagi versi yang telah disunting dan terpilih untuk disiarkan di dalam Berita Harian, 26 Januari 2009.

Penulis bukannya seorang yang ahli dalam sukan, inikan pula bola sepak. Main bola tendang tonjol; main badminton pun suka-suka sahaja (smash angin !). Main boling masuk longkang. Namun penulis ikuti juga perkembangan sukan negara, lebih-lebih lagi bola sepak; sukan nombor satu negara. Keruduman prestasi skuad bola sepak negara tidak perlu diperkenalkan lagi. Negara kita kemarau kejuaraan dalam bola sepak setelah skuad 1989 menjuarai pingat emas Sukan SEA.

Ya, kita pernah berjaya pada Pesta Bola Merdeka beberapa tahun lepas namun kejohanan yang tidak disertai penuh oleh rakan serantau seperti Singapura, Thailand, Indonesia dan Vietnam tidak boleh menjadi ukuran kepada kedudukan bola sepak negara di rantau Asia Tenggara. Baru-baru ini, sasaran ke separuh akhir kejohanan bola sepak ASEAN pun tidak mampu dipenuhi. Terkini, dibelasah oleh UAE 5-0 untuk kelayakan Piala Asia. Betapa rendahnya reputasi bola sepak negara sehingga akhbar Harian Metro pada ruangan sukan utama meletakkan gambar LIMA biji telur![1] Apakah sebenar-benarnya berlaku dalam bola sepak Malaysia?

Malah, jurulatih kebangsaan menuntut peminat bersikap realistik kerana pemain dalam Liga Malaysia tidak dapat memenuhi tuntutan antarabangsa! [2] Menurut beliau lagi, pemain negara kurang cergas dan tidak mampu menyaingi lawan bagi perlawanan tersebut.[3] Satu pernyataan yang agak pelik memandangkan Liga Malaysia merupakan sebuah liga profesional dan daripada sejumlah pemain yang bermain di liga tempatan (kini, kesemuanya adalah pemain tempatan), kita tidak mampu mencari 22 orang pemain yang cergas? Liga apakah yang berada di muka bumi Malaysia ini?

Kalau dikatakan kerani bank atau pak guard bermain bola sepak liga tempatan tidak mempunyai kecergasan; boleh diterima akal sebab beliau terpaksa bekerja pada waktu siang. Namun, kalau dikatakan seorang pemain bola sepak yang secara dasarnya bermain bola sepak sebagai pekerjaan, pakar bermain bola sepak dan mendapat gaji daripada pemainan bola sepak (pemain profesional), sesuatu yang aneh lagi pelik kalau beliau tidak cergas. Selain bermain bola sepak, apakah beliau sebenarnya bekerja tugasan lain bagi menyara hidup? Ataupun beliau mempunyai masalah gajikah? Atau tidak mendapat elaunkah?

Satu perkara yang menarik perhatian penulis tentang bola sepak adalah peningkatan Vietnam. Sepuluh tahun dahulu, Vietnam bukan lawan untuk Malaysia. Namun, kini skuad Vietnam telah meningkat untuk menjadi juara bagi kejohanan Bola Sepak ASEAN yang lalu dengan menundukkan lawan yang jauh “lebih berpengalaman” dalam arena bola sepak antarabangsa. Mereka telah menewaskan Singapura untuk ke perlawanan akhir di tempat lawan dan berjaya menewaskan Thailand di arena sendiri bagi merangkul Piala Suzuki. Penulis sempat menonton perlawanan kedua bagi separuh akhir dan akhir dan satu frasa yang dapat menyimpulkan cara mereka bermain adalah “jangan berputus asa.”

Semasa skuad Vietnam bertamu di Singapura untuk separuh akhir kedua, mereka diserang habis-habisan oleh Singapura. Singapura menggunakan sepenuh kelebihan mereka sebagai tuan rumah untuk menguasai perlawanan tersebut terutamanya pada separuh masa kedua. Vietnam hanya mempunyai satu peluang; dan satu peluang itulah yang digunakan sepenuhnya untuk menyumbatkan gol. Gol counter attack itulah yang membawa mereka ke final. Lain hal pula semasa perlawanan kedua final di tempat sendiri. Walaupun Thailand berjaya menyamakan aggreget pada separuh masa pertama, mereka tidak berputus asa dan membuat asakan demi asakan. Hasilnya, gol melalui sepakan percuma pada minit-minit akhir perlawanan yang memberikan mereka kejuaraan pertama Asia Tenggara.

Mungkin ada dua perkara yang wujud pada skuad Vietnam yang perlu digilap habis-habisan oleh skuad Malaysia:

Kecergasan total. Amat aneh skuad negara (yang profesional) tidak mampu mempunyai kecergasan maksimum untuk satu perlawanan penuh bola sepak selama 90 minit. Namun, berbanding atribut lain, kecergasan sebenarnya boleh digilap dari semasa ke semasa. Hal inilah yang menjadi tugasan badan-badan sukan yang bertanggung jawab untuk meningkatkannya Tidak ada makna kalau mempunyai liga profesional andai pemain-pemain di dalamnya tidak pula secara profesional mempunyai kecergasan yang diperlukan untuk bermain bola sepak. Cari punca mengapakah pemain tidak mampu mempunyai kecergasan untuk satu perlawanan 90 minit yang biasa. Kalau memang tidak cergas, perlulah ditingkatkan kecergasan pemain dengan menyeluruh.
Persediaan mental. Semangat enggan mengaku kalah bukannya mudah untuk dikekalkan. Malah, juara dunia pun belum tentu mampu mempunyai semangat yang sedemikian dalam satu kadar masa yang panjang. Hal inilah yang menjadi tugas pakar motivasi kita yang selama ini banyak memberikan sumbangan terhadap masalah kerja, atau rumah tangga, atau percintaan dan lain-lain masalah yang berkaitan motivasi. Pihak yang berkenaan (seperti FAM atau MSN atau ISN) mungkin boleh menggaji pakar motivasi untuk memberikan semangat kepada pemain agar tidak mudah menyerah kalah dan berjuang sehingga ke saat terakhir. Gunakan sepenuhnya tenaga motivasi yang banyak di Malaysia kini bagi membentuk minda positif kepada pemain negara. Alangkan pertandingan realiti nyanyian di televisyen pun ada pakar motivasi masing-masing, inikan pula bola sepak yang sememangnya semakin kurang bermotivasi!

Dapat dilihat, kedua-dua faktor ini merupakan faktor yang menjadi kekurangan (lacking factors) buat skuad negara. Sebaliknya, kedua-dua faktor itulah yang menjadi ramuan utama yang membawa kepada kejayaan buat Vietnam. Mereka bersungguh-sungguh sepanjang masa perlawanan dengan kedua-dua pasukan kompetetif dan kesungguhan itu menjelmakan sebuah pasukan yang mantap dan berjaya menjadi juara. Pastinya kesungguhan yang ditonjolkan oleh skuad juara Vietnam datang daripada kecergasan yang mantap dan mentality yang positif sepanjang perlawanan.

Kita sebetulnya mempunyai pemain yang berbakat; malah sekarang sudah ada beberapa rancangan realiti untuk mencari bakat dalam bola sepak. Skil pemain kita sebenarnya hebat-hebat. Ada yang "lebih Ronaldo daripada Cristiano Ronaldo." Namun, bakat dan skil semata-mata tidak boleh memberikan kejuaraan kepada negara. Penulis malas hendak mengulas tentang kepincangan pengurusan FAM, pemilihan pengurus atau jurulatatih, hal-hal birokrasi dan politik dalam FAM, atau pemain tak dapat gaji, atau tak dapat elaun – hal-hal ini pun sudah banyak diutarakan. Maklumlah, orang yang kaki bangku mana boleh ulas pasal bola! Namun ingat, bangku jugalah yang menjadi tempat duduk jurulatih kita dan pemain simpanan dalam satu-satu perlawanan !…

Nota hujung
[1] Harian Metro, 22 Januari 2009.
[2] Ahmad Khawari Isa dan Mohd Fadzrie Hazis, Bersikap realistiklah: Ligatidak penuhi tuntutan antarabangsa: Sathia, dlm. Berita Harian, 22 Januari 2009, p 46.
[3] Ibid.