Monday, February 8, 2010

Ranking tidak semestinya penting...

Minggu lalu (5/01/2010) dilaporkan dalam bahagian akhbar utama tentang kedudukan pasukan bola sepak Malaysia di dalam senarai FIFA. Malaysia naik satu anak tangga; begitu juga dengan juara Piala Negara-negara Afrika – Mesir yang mengalami kenaikan "pangkat" yang amat ketara sekali. Bagaimanapun, kedudukan negara kita masih agak jauh berbanding jiran terdekat Thailand, malah negara yang mengalami "masalah demokrasi" seperti Myanmar pun lebih tinggi kedudukannya dalam senarai tersebut berbanding Malaysia. Maka, sesuatu patut dilakukan bagi mengembalikan semula reputasi sukan nombor satu negara agar kedudukannya di senarai FIFA sekufu dengan taraf tersebut.

Tatkala ada di antara kesatuan/persatuan dalam sukan sendiri bertelagah; sama ada di peringkat kejurulatihan, atau pengurusan kita sendiri tidak tahu sama ada kemelut mereka akan berakhir ataupun tidak. Mungkin, apabila segala-galanya tidak lagi dapat membuahkan hasil dan pingat, barulah mereka hendak benar-benar mencari formula untuk membangunkan sukan tersebut dengan sebenar-benarnya. Tetapi, ada juga sukan yang sudahpun mecorot tahap dewa pun masih lagi bergaduh sini sana di peringkat pengurusan. Sama-sama kita nantikan kilauan pingat emas pada Sukan Asia untuk persatuan tersebut.

Berbalik kepada ranking/kedudukan; ada pihak yang mungkin memandangnya sebagai penting. Kemerosotan ranking bola sepak misalnya dilihat begitu substansi sehingga menyebabkan kita begitu kecil di mata negara serumpun di Asia Tenggara. Pun begitu, sebenarnya, untuk sebarang sukan sekalipun, ranking tidak semestinya penting bagi membuktikan prestasi dan ke"gah"an pasukan tersebut di mata dunia. Republik Czech misalnya, pada kejohanan Piala Dunia 2006 di Jerman merupakan antara pasukan yang berada di ranking top 5, namun kredibiliti pasukan tersebut tidaklah begitu diperkatakan kerana orang sering menyebut pasukan yang telah memenangi Piala Dunia; dan bukannya ranking keberapa di dalam senarai FIFA.

Dalam sukan tenis misalnya, ranking dan kemenangan Grand Slam merupakan antara penentu kepada kegagahan pemain tenis. Pemain nombor satu dunia yang tidak pernah memenangi Grand Slam mungkin tidak membawa apa-apa makna kepada pengkritik sukan. Malah, dia mungkin diibaratkan sebagai pemain nombor satu yang lemah. Menang keempat-empat Grand Slam pula akan dianggap lagenda walaupun mungkin dia belum tentu pernah menduduki kerusi nombor satu dunia. Jelas sekali kemenangan pada pertandingan kompetetif memberi merit yang lebih tinggi berbanding ranking.

Bagaimanapun, berbeza pula dalam kebanyakan sukan pemotoran dunia. Ranking adalah segala-galanya. Contohnya dalam F1 moden. Walaupun seseorang itu boleh memenangi gelaran juara di litar tradisional dan bersejarah seperti di Spa-Francorchamps, Silverstone, Monte-Carlo dan Monza, ramai peminat lebih tertumpu kepada gelaran juara dunia. Dan juara dunia adalah pelumba yang mempunyai mata terbanyak dalam ranking F1. Sebab itulah, FIA dan penganjur induk F1 sendiri sering menukar-nukar peraturan dan syarat perlumbaan (terbaru menukar mata yang dimenangi setiap pelumba – juara satu-satu GP mendapat mata yang lebih banyak) agar perlumbaan menjadi lebih menarik dan dengan harapan bahawa hanya pemenang terbanyak dalam siri F1 ditabalkan sebagai juara dunia. Ranking dan kemenangan GP menjadi penentu juara dunia.

Andai dilihat pula kepada sukan yang berjaya ditembusi pemain negara iaitu badminton; apakah ranking itu penting? Pada hemat penulis, situasi badminton sebenarnya hampir sama dengan tenis. Malah, lebih tertonjol lagi kemenangan dalam kejohanan kompetetif berbanding ranking itu sendiri. Orang menyebut juara dunia, juara olimpik. Walaupun Datuk Lee Chong Wei adalah pemain nombor satu dunia, memenangi banyak kejohanan Super Series dan sebagainya, beliau masih tidak berjaya merangkul pingat emas olimpik dan kejohanan dunia. Hal ini menyebabkan reputasi beliau berada di bayang-bayang Lin Dan yang berjaya memenangi kedua-dua kejohanan tersebut. Dalam konteks sukan badminton, Cong Wei yang berjaya menjadi pemain nombor satu dunia namun belum memenangi kejohanan dunia merupakan sesuatu yang agak janggal.

Hal inilah yang membawa kepada penetapan hala tuju sesuatu sukan yang berjaya menaikkan nama Malaysia di mata dunia; manakah yang kita hendak kejar? Ranking nombor satu atau juara sekian sekian. Lebih-lebih lagi, apabila sesuatu kejohanan sukan itu lebih diraikan pemenang/juara sekian-sekian berbanding kedudukan pemain/pasukan di peringkat dunia. Dalam hal ini, walaupun ranking mungkin memberikan kelebihan tempat dalam kejohanan (seating pilihan/bukan pilihan), pemenang kejohanan lebih dikenang dan lebih gah di persada dunia berbanding ranking. Bola sepak misalnya, orang lebih hype memperkatakan Brazil, Itali, Jerman hatta England sekalipun kerana mereka pernah menjulang piala dunia. Orang tidak pedulikan sangat siapa nombor satu dunia, selagi mereka tidak berada di kumpulan elit "Jurara Piala Dunia."

Maka seharusnya perkara tersebutlah yang difikirkan oleh persatuan sukan. Kalau rankinglah segala-galanya maka mereka harus menuju ke arah tersebut bagi memperoleh kedudukan nombor satu dunia. Tetapi, kalau memenangi kejohanan dunia, atau kejohanan sekian-sekian yang lebih penting, maka seeloknya sasaran tersebut dipenuhi. Lagipun memenangi kejohanan tersebut memberikan mata yang banyak untuk kedudukan ranking!


No comments: