Friday, January 29, 2010

Macam-macam sekolah ada.....

Selasa lalu (26 Januari 2010) akhbar melaporkan pengumuman senarai awal "sekolah berprestasi tinggi" (SBT) yang antara lain memberikan pentadbir sekolah autonomi tambahan dalam pengurusan kurikulum, kewangan dan kakitangan. Berita Harian misalnya memberikan informasi kilat (m.s 4) tentang apakah yang dimaksudkan dengan tambahan autonomi bagi sekolah yang terpilih dan ciri-ciri sekolah yang layak dijadikan sebagai SBT. Senarai sekolah juga akan bertambah pada masa akan datang sehingga sejumlah 50 buah sekolah menjelang 2012. Antara keistimewaan yang diberikan kepada SBT adalah kebolehannya untuk "melompatkan" pelajar yang cemerlang awal setahun.

Setelah meneliti senarai sekolah yang terpilih, penulis tidaklah terlalu terperanjat dengan betapa beberapa sekolah yang tersenarai dikatakan sebagai berprestasi tinggi. Daripada 20 buah sekolah, enam adalah sekolah rendah. Hanya empat sekolah harian biasa dan selebihnya adalah sekolah berasrama penuh (SBP). Melainkan SK Zainab (2), tiada satupun SBT yang berada di negeri pantai timur seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan. Malah, tiada satu pun sekolah dari Malaysia Timur yang terpilih. Itulah senarai awal SBT.

Aneh lagi memelikkan keadaan adalah betapa apabila hampir setiap kali diumumkan pencapaian peperiksaan awam, sekolah terbaik di Malaysia biasanya diwar-warkan sama ada di Kelantan, Terengganu. Apakah tiada satu sekolah pun di kawasan pantai timur itu layak dijadikan senarai awal? Bukankah kita mendukung gagasan 1Malaysia – maka seharusnya mengikut wilayah yang berada dalam kawasan Malaysia, sewajarnya terdapat wakil daripada setiap wilayah – pantai timur, pantai barat, Malaysia Timur. Namun, mungkin ada kreteria yang tidak dipenuhi oleh sekolah-sekolah yang berada di kawasan tersebut. Mungkinlah...

Senarai yang terpilih juga menunjukkan terdapat sekolah asrama satu gender yang terpilih sebagai SBT. Hal ini juga sedikit sebanyak menimbulkan tanda tanya yang sangat besar. Apakah sekolah satu gender (yang sememangnya lebih sedikit berbanding lelaki-perempuan) lebih baik berbanding sekolah biasa lelaki-perempuan? Bagaimanakah "personaliti unggul" sebagaimana dalam kreteria SBT itu hendak dipenuhi seandainya masyarakat dalam sekolah tersebut cenderung kepada gender tertentu? Hal sebegini memungkinkan diskriminasi gender pula pada masa akan datang apabila pelajar-pelajar unggul ini bakal menjadi pemimpin – mungkin terlalu bergender? Masih belum ada kajian yang konkrit tentang buruk baik sekolah satu gender dan diharapkan pihak Kementerian Pelajaran mengambil kira dalam kajian-kajian akan datang.

Pada hemat penulis, sekolah-sekolah seperti STF, MCKK, KISAS kesemuanya adalah sekolah yang telahpun mencapai taraf yang tinggi – kalau pelajar cemerlang dalam peperiksaan awam sebelum SPM biasanya dikaitkan dengan sekolah-sekolah tersebut. Sekolah-sekolah tersebut mempunyai sejarah mereka tersendiri – banyak sekali pemimpin masa sekarang ini berasal daripada sekolah tersebut. Ibu bapa pun berebut-rebut hendak menghantar anak-anak ke sekolah tersebut – kalau boleh pakai kabel pun, pakailah...Dengan penaiktarafan kepada SBT, maka lebih bertaraflah sekolah tersebut.

Persoalannya, tidak adakah sekolah lain yang berada di bumi bertuah Malaysia ini yang akan setanding dengan sekolah tersebut apabila nyata sekali kerajaan pun memilih sekolah tersebut untuk diangkat ke taraf yang lebih berbanding sekolah lain? Apakah lulusan SMK A misalnya yang mendapat 11A1 SPM itu sama dengan lulusan MCKK atau MCKK disebabkan tarafnya lebih mulia disisi kerajaan, maka hal ehwal berkaitan biasiswa, lanjutan belajar luar negara pun hendak didahulukan yang MCKK? (Contoh sahaja MCKK... SBT lain pun sama juga...!)

Sepuluh buah sekolah SBP telah terpilih untuk menyertai senarai creme de la creme ini. Dan salah satu "autonomi" yang diberikan adalah memanjangkan waktu persekolahan – yang merupakan satu "autonomi" yang tidak valid untuk sekolah berasrama penuh. Aktiviti sekolah berasrama penuh terutamanya pada tahun peperiksaan penuh dengan belajar dan belajar. Ada sistem persekolahan mereka yang tamat silibus tingkatan 5 seawal bulan Ogos; berbulan-bulan sebelum SPM. Lagipun, pelajar berada dalam asrama penuh – maka apa pentingnya hendak "memanjangkan" tempoh persekolahan? Pagi belajar, petang belajar/ko kurikulum, malam pun belajar. Mereka memangpun datang ke SBP pun untuk "belajar."

Pengambilan staf berdasarkan prestasi pencapaian dan bukannya kekananan juga menimbulkan persoalan besar. Bukankah itu selayaknya amalan di sektor perkhidmatan kerajaan? Malah, "kelebihan" sebegini akan mendorong guru-guru untuk berkhidmat bersungguh-sungguh bukan atas dasar kerana hendak mendidik anak bangsa, (walau di mana mereka berada) sebaliknya untuk menceburi kelas elit yang pernah berkhidmat di SBT bagi menaiktarafkan resume mereka. Seharusnya kumpulan guru yang cemerlang diagihkan ke sekolah yang kurang cemerlang – bagi meningkatkan keupayaan sekolah yang kurang cemerlang menjadi lebih cemerlang. Bukankah pernah membaca beberapa cerita berkenaan guru sekian-sekian yang menjadi inspirasi agar sekolah yang kurang baik menjadi lebih baik. Pada hemat penulis, guru sebegini lebih tinggi prestasinya berbanding yang lain!

Sebagai kerajaan yang mementingkan unsur perpaduan dan 1Malaysia, selayaknya autonomi "Boleh menggunakan bahasa pengantar bahasa kebangsaan atau pelbagai bahasa lain" dikaji dengan teliti agar konotasinya tidak menyimpang daripada hasrat asal. Bahasa Melayu baru sahaja di"martabatkan" kembali dalam pengajian Sains dan Matematik. Seharusnya, di SBT inilah kita martabatkan bahasa kebangsaan. Kalau yang berprestasi tinggi pun tidak mahu memartabatkan bahasa kebangsaan, janganlah kita harapkan yang "kurang" berprestasi tinggi! Wajar sekali pelajar SBT ini dijadikan contoh sebagai pelajar yang berjaya beradaptasi dengan pelbagai bahasa. Tidak mengapa seandainya hendak mengajar pelbagai bahasa. Namun, bahasa kebangsaan patut dimartabatkan terlebih dahulu.

Kita dapat merasakan sendiri betapa kerajaan kini, disebalik kempen memartabatkan bahasa dan mengembalikan bahasa kebangsaan dalam media harian, mereka cenderung menggunakan istilah Inggeris berbanding istilah Melayu. Bidang Keberhasikan Utama lebih kita kenali dengan kependekkan NKRA (alangkah baiknya kalau dikenali sebagai BAKU!). Hari ini (29/1/2010) dilancarkan Program Transformasi Kerajaan yang dikenali dengan akronim GTP. Alangkah lebih baik namanya bertukar kepada program perubahan kerajaan, PPK. Sudahlah "Program" dipinjam daripada Inggeris, Transformasi juga dari Inggeris. Kependekan program tersebut jadi GTP – lebih lagi inggeris! Maka apakah kelak SBT akan menjadi HPS?

Satu lagi keistimewaan SBT adalah membenarkan tempoh persekolahan pelajar cemerlang ditamatkan setahun lebih awal. Perkara sebegini pernah kita dengar sedikit masa dahulu dengan kewujudan PTS – penilaian tahap satu untuk pelajar tahun 3. Namun, akhirnya PTS tersebut dimansukhkan jua. Pada pendapat penulis, kalau pelajar tersebut sudah pun mencapai tahap genius yang mengalahkan profesor (otaknya engin Ferrari...) maka bukan lompat kelas yang perlu dilakukan. Sebaliknya pelajar sebegini disekolahkan di sekolah prestasi tinggi yang lebih tinggi – untuk pelajar genius. Malah, Kementerian Pelajaran juga belum mempunyai mekanisme khusus bagi membolehkan pelajar lompat kelas. Justeru pada hemat penulis, eloklah autonomi tersebut digantung sementara waktu atau tidak diperlukan langsung. Melainkan otak pelajar tersebut luar biasa bijaknya, seharusnya pelajar secemerlang manapun sepatutnya mengikut pembelajaran sebagaimana biasa. Kalau cemerlang tapi dorman, maka eloklah disuruh masuk persatuan... Bukan begitu?

Kecemerlangan pelajar itu sebenarnya dibina. Mungkin memang benar ada yang mempunyai genetik yang amat bagus, cerdik – namun tidak semua manusia dilahirkan cemerlang akademik dan sebagainya. Ada pelajar yang mungkin berasal dari sekolah harian biasa, belajar sebagaimana biasa, dapat keputusan biasa, namun akhirnya sampai jua ke universiti – melalui STPM, melalui Matrikulasi; mungkin mendapat tempat di universiti tempatan, mungkin luar negara. Mungkin sambung Master. Mungkin sampai buat PhD. Ada pelajar yang berasal dari SBP, atau MRSM, atau sekolah premier yang juga berjaya sehingga ke tahap itu. Apakah pada peringkat ini, kejayaan mereka daripada sekolah biasa ini tidak sama dengan sekolah yang lebih sedikit tinggi tarafnya? Dikotomi inilah yang wajar diperjelas oleh pembuat dasar. Sebab, sekolah – tidak kira apa taraf sekalipun diwujudkan bagi melahirkan insan yang berpengetahuan dan berperadaban tanpa mengenal dari mana orang itu berasal!


 


 

1 comment:

hafizulhakim said...

wow.macam2 ada.he3.ok2.dah baca article anda.