Sunday, January 10, 2010

Jangan kita politikkan Kalimah itu

Jujur penulis ingin akui bahawa penulis masih terkesima dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang dibuat atas isu penggunaan kalima Allah dalam terbitan mingguan agama Kristian di Malaysia. Bukan dek risau bahawa perkara tersebut betul atau salah (sebab ada absolutisme dan relativitisme dalam kebenaran), namun lebih risau apabila ada golongan yang bertindak sehingga membuat kemusnahan terhadap rumah ibadat. Lebih risau lagi, isu sebegini telah berjaya dimasukkan dengan unsur-unsur politik dan diputaralamkan lebih berputar daripada putaran varimax rotation semasa membuat analisis faktor dalam ujian statistik (siapa tau statistik dia paham la....)

Sudah mula ayat-ayat tertentu bahawa parti sekian-sekianlah yang membuat angkara sekian-sekian. Apabila isu sebegini dikaitkan dengan parti, memang semuanya telah menjadi relatif. Dosa pahala syurga neraka pun boleh disebabkan sokong parti sekian-sekian, inikan pula lafz Jalallah yang Maha Esa!

Dalam penulisan sebelum ini, penulis telahpun ulas berkait kalimah Allah dalam tajuk "Kata Permainan Bicara" (entri 4 Mac 2009). Isu kalimah Allah seharusnya dilihat dari sudut sejarah dan budaya dan bukannya semata-mata "Allah sebenarnya terjemahan kepada Tuhan" semata-mata. Budaya Malaysia jangan hendak disamakan 100 peratus dengan yang lain – contohnya Indonesia; hatta negara Arab sekalipun! Orang Melayu Malaysia gemar makan kari bukan bermaksud orang Melayu di Indonesia boleh menerima kari! Pak Arab makan roti tak bermaksud kita pun kena tukar menu harian kita kepada roti kalau kita nak lebih "Islam." Memang mungkin Allah dalam Bible Arab dan Kristian Indonesia boleh bermaksud Tuhan dalam agama Kristian – tetapi bukan bermaksud umat Kristian lain di dunia ini pun menggunakan perkataan Allah.

Isu ini juga telah menimbulkan satu lagi aliran pemikiran bahawa Allah itu sebenarnya Tuhan yang disembah oleh semua orang – tanpa mengira agama. Maka kononnya orang Kristian sebenarnya menyembah Allah yang sama dengan orang Islam. Mereka berhujah bahawa melalui sejarah kenabian pun, wujudnya golongan Ahl Kitab dan penganut agama Samawi. Sudah pastilah nabi-nabi dalam tradisi sejarah Islam itu sama dengan nabi-nabi agama Samawi.

Perlu dipertekankan di sini bahawa memang Allah itu pencipta sekalian makhluk dalam sekalian alam namun bukan bermaksud semua makhluk dalam sekalian alam itu menyembah Allah dalam erti kata sebenar. Setelah turunnya Islam, maka umat manusia perlu menyerah diri (taslim) kepada Allah menurut syariat melalui utusan-Nya Nabi Muhammad SAW. Maka, seharusnya kita bezakan dengan jelas bahawa Ahl-Kitab yang dimaksudkan itu hanya berlaku pada zaman Nabi SAW. Kristian sekarang ini bukan Ahl-Kitab sebab telah mengubah kitab mereka terutamanya dalam hal 3 in 1 dan 1 in 3. Ahl-Kitab tidak MINUM ARAK, MAKAN BABI, AMBIL RASUAH, AMAL SEKS BEBAS, MAIN JUDI sebab itulah larangan bawaan Nabi-nabi sebelum Muhammad SAW – maka apakah yang menyebabkan hukum-hukum tersebut termansukh untuk Ahl-Kitab setelah kehadiran Islam?

Walaupun orang UMNO terlibat dalam tunjuk perasaan bantahan isu kalimah Allah, bukan bermaksud orang bukan UMNO pun tidak terlibat sama. Pendirian Mursyidul Am PAS dan Timbalan Mursyidul AM PAS pun jelas. Maka walaupun mereka berdua tidak datang untuk buat tujuk perasaan, bukan bermaksud mereka meyokong penggunaan kalimah Allah digunakan dalam tulisan Kristian. Isu sebegini bukannya satu isu yang perlu kita politikkan.

Jadi, kepada mereka yang menjadikan isu sebegini sebagai isu politik, cubalah ubah menu harian anda kepada "makan politik" berbanding "makan nasi". Boleh juga agaknya mengurangkan kandungan glukosa dalam darah dan mengaktifkan sel-sel beta dalam Isle of Langerhans di pankreas untuk lebih merembeskan insulin bagi mengurangkan risiko kencing manis dan sakit jantung!

No comments: