Mungkin ramai yang tidak terfikir. Tetapi barangkali, itulah hakikatnya dinamakan barang kawalan. Tiada siapa yang akan mendapat untung besar sebagaimana yang digembar-gemburkan dalam media.
Untuk membeli gula (dalam bentuk pukal; atau peket pukal), pemborong akan menempah ke kilang/pemborong gula. Bayaran yang dibuat hendaklah secara tunai. Akan tetapi, mereka (pemborong) tidak akan dapat terus gula yang dipesan. Hanya seminggu selepas itu, mereka akan dihubungi oleh pengilang gula untuk mengambil dengan sendiri gula yang telah mereka tempah. Bayangkan, bayar hari ini, seminggu selepas itu baru boleh dapat. Dah macam nak beli kereta pun ada!
Selepas itu, pemborong pula akan agihkan gula yang mereka ada kepada peruncit. Ingat, harga gula adalah HARGA KAWALAN jadi tak boleh nak jual kepada peruncit tinggi mana pun. Bayangkan harga datang gula sepeket satu (1) kilogram adalah RM1.62 yang terpaksa peruncit tanggung. Dan peruncit mestilah secara "undang-undangnya" menjual gula sepeket RM 1.65 – apa yang peruncit dapat? Kalau jual RM 1.70 pun dah kecoh masuk dalam Metro/Kosmo dan seangkatan dengannya.....macam dah kenaikan 200%. Kenapa tidak cegah dan siasat bagaimanakah orang yang seludup gula ke luar negara (baca: Thailand) dan jual di sana dengan harga RM2.50?
Kos menjual gula sebenarnya tidak sepadan pun dengan apa yang peruncit perlu hadapi. Hendak menyimpan sebutir/dua butir karung gula pun sebenarnya memerlukan kos (ingat, kos sewa stor atau kedai yang perlu ditanggung). Maka, apakah sebenarnya yang mereka dapat pun dengan menyorokkan gula? Itulah yang sentiasa dimomokkan dalam warta berita apabila gula tiada – seolah-olah peniagalah pesalah terbesar dalam hal ketiadaan gula. Peniaga sorok barang untuk mendapatkan keuntungan luar biasa, sedangkan nak dapat gula daripada pembekal/pemborong pun sedikit punya susah.
Lalu pihak kerajaan dengan cerdiknya melancarkan kempen kurangkan penggunaan gula. Harga gula yang naik haruslah dijadikan sebagai motivasi dalam diri untuk kurangkan pengambilan gula. Insiden diabetes dan penyakit kronik banyak berkait rapat dengan pengambilan gula yang berlebihan. Itulah cara untuk merasionalkan kenaikan gula. Sedangkan, siapakah (atau apakah) sebenarnya yang menyumbang kandungan gula yang tinggi dalam makanan kita seharian? Adalah teh tarik kaw-kaw atau kopi hitam pekat yang selalu rakyat Malaysia minum?
Tidak dapat dinafikan, teh tarik, milo, kopi (dan pelbagai minuman lain yang manis) merupakan penyumbang gula dalam badan (i.e. dalam bentuk glukosa). Namun, pesalah terbesar yang jarang sekali orang nampak adalah nasi kita, mi, bihun, kwe tiau yang selalu kita lantak berpinggan-pinggan. Pernah penulis utarakan dalam akhbar, tak guna kita minum teh tarik "kurang manis" tetapi kita melantak nasi lemak sambal sotong/kerang dua pinggan, roti canai dua keping. Lepas itu, hari Jumaat biasanya hari spesial, tengah hari sebelum Jumaat biasanya dilantakkan nasi baryani kambing. (itu yang semasa mendengar khutbah Jumaat, semuanya tawadho' tunduk saja; mengiakan apa sahaja yang si khatib baca) Hujung minggu, banyak kenduri kahwin, kita lantakkan lagi nasi minyak dengan dalca.... Kalau tak sakit pun susah.....!
Malang bagi rakyat Malaysia, pembangkang negara ini (baca: Pakatan) pun tidak efisyen dan tidak efektif langsung untuk menjadi check and balance demi menjaga kepentingan rakyat. Disebalik rakusnya mencari isu politik untuk menjatuhkan pihak kerajaan (baca: BN), mereka tidak pula menyediakan mekanisma alternatif untuk menjaga kesihatan rakyat kita dan dalam masa yang sama menjaga kebajikan rakyat. Malah, dengan negeri termaju yang mereka telah tawan, mereka tidak dapat berbuat apa-apa apabila peniaga pasar malam dan pasar Ramadhan sewenang-wenangnya mengcaj pembeli kuih dengan kadar 5 untuk RM 2. Apa kejadahnya harga kuih sebegitu sekali?
Pembangkang semuanya buat bodoh sahaja (agaknya tak merasa kot kenaikan harga) sedangkan mereka dengan terang lagi nyata memiliki pengaruh terhadap Majlis Tempatan yang mengeluarkan lesen peniagaan. Mereka sepatutnya memberi syarat harga makanan untuk pihak peniaga sebelum berniaga. Janganlah harga makanan naik melampau-lampau. Air secawan RM 1.50 – apa kejadahnya? Berilah maklumat kepada pengguna untuk memboikot harga peniaga yang mahal. Tahanlah lesen peniaga yang jual harga melampau-lampau. Ini tidak. Tak habis-habis cari isu itu dan ini nak jatuhkan orang lain sedangkan tiadapun cadangan konklusif untuk membantu rakyat. Apakah ini harapan baru rakyat Malaysia?
Apakah pembangkang/ kerajaaan kita sekarang ini buta atau buat-buat buta dengan kepelikkan yang berlaku dalam industri makanan kita? Harga makanan yang diproses lebih banyak peringkat lebih murah daripada yang tidak dibuat begitu. Bayangkan situasi begini. Beras perang. Beras jenis ini dikatakan lebih sihat dimakan berbanding beras biasa. Beras perang merupakan beras yang tidak mengalami proses pemutihan sebagaimana beras komersial yang putih. Logiknya, kalau sesuatu produk itu perlu menjalani proses yang lebih, pastilah produk tersebut lebih mahal. Akan tetapi, keadaan terbalik berlaku dalam industri makanan Malaysia. Beras yang "tidak mengalami proses" tambahan (i.e. beras perang) lebih mahal melampau-lampau berbanding beras putih yang dijual secara komersial. Bagaimanakah ini akan menggalakkan rakyat Malaysia untuk makan lebih sihat. Begitu juga dengan roti "wholemeal" dibuat daripada tepung yang tidak diputihkan. Apa kejadahnya roti yang tidak perlu mengalami proses tambahan itu lebih mahal daripada roti putih biasa yang perlu mengalami proses tambahan untuk diputihkan?
Ringkasnya, isu kenaikan harga makanan/ketiadaan makanan sebenarnya pokok pangkalnya terpulang kepada kerajaan. Selagi kerajaan hendak mengadakan kawalan harga, pastilah akan timbul keadaan tiba-tiba tiada bekalan. Sebaliknya, seharusnya kerajaan membuka pasaran bekalan makanan agar syarikat lebih kompetetif untuk membekalkan harga dengan lebih baik. Mungkin kenaikan harga makanan akan berlaku, namun kerajaan perlu mendidik pengguna dengan cara yang betul untuk menggalakkan pengguna untuk makan dengan sihat. Jangan jadikan kenaikan harga makanan semata-mata sebagai kambing hitam untuk mempromosi makanan dengan sihat. Apa cerita harga susu dalam tin? Mi segera. Semua itu makanan kurang sihat; harga dah melambung dah dari biasa tetapi orang beli juga! Apa kata buat galakan dengan insentif ekonomi agar rakyat makan dengan sihat. Misalnya roti whole meal yang lebih murah, beras perang lebih murah – barulah rakyat makan dengan sihat.
Mungkin cadangan ini meletakkan kerajaan kurang popular – namun kalau tagline rakyat didahulukan itu lebih kita utamakan, maka seeloknya langkah ini perlu dicuba. Maksud rakyat didahulukan seharusnya tidak sempit kepada memenuhi kehendak dan kemahuan rakyat semata-mata, namun sebenarnya mendahulukan rakyat dalam pelbagai perkara dalam erti kata mewujudkan masyarakat yang lebih sihat, proaktif dan dinamik untuk masa akan datang. Janganlah kita biarkan statistik orang yang kena kencing manis, darah tinggi, sakit jantung melambung memanjang.....
No comments:
Post a Comment