Kejadian gempa bumi di Haiti memberi lembaran baru kepada media antarabangsa dan masyarakat Malaysia tentang satu perkara – gempa bumi tidak mengenal manakah kita berada. Buat kali pertama dalam media, nama negara kepulauan tersebut dihebohkan sehingga ada kalangan kenalan penulis yang bertanya, "Kat mana tu Haiti?" Sebuah negara yang selama ini mungkin tidak dipandang apa-apa pun sudut komersialnya berita yang hendak diutarakan oleh CNN, AFP, AP, BBC, Reuters dan lain-lain tiba-tiba mempunyai nilai tersebut. Setelah sekian lama kita dihamparkan dengan cerita dan berita tentang Iraq, Iran, Palastin, Indonesia, Lubnan – tiba-tiba nama Haiti muncul. Pelbagai berita dari kesedihan dan kesengsaraan (plight) orang-orang yang berada di sana sehinggalah keajaiban menyelamatkan budak ajaib atau orang ajaib yang telah tertimbus di dalam runtuhan binaan sekitar ibu kota negara tersebut.
Kejadian gempa seakan mengiakan ramalan cerdik pandai tentang betapa kemusnahan dunia semakin hampir. Sudah ada filem Hollywood yang menzahirkan kemusnahan dunia menurut kepercayaan kuno Mexico i.e. 2012 – seolah-olah masyarakat tersebut merupakan satu-satunya yang telah meramal dengan tepat (dalam kisah tersebut) akan bilakah akan terjadinya kiamat. Pun begitu, dalam akhir cerita tersebut dunia tidaklah musnah lagi – cuma mereka yang bermandiri yang kononnya daripada kalangan orang yang mepunyai genetik yang terbaik sahaja mungkin terpaksa bersaing dengan orang Afrika pula untuk mendapat tanah di Cape of Good Hope di Afrika Selatan. Akhir cerita tersebut menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan...
Walau apa pun yang hendak dikatakan oleh pengkritik, baik pengkritik media, pengkritik agama, pengkritik budaya sama ada cerita itu memenangkan golongan kapitalis berkepentingan, atau cerita tersebut merupakan cerita yang mengagungkan sains, atau cerita tersebut melupai konsep ketuhanan, atau lebih kompleks lagi, cerita tersebut merupakan satu lagi idealisme pasca-moden – satu perkara yang penting yang seharusnya kita akui – bencana tidak mengenal siapa....
Sebagai orang Islam yang berpegang kepada Rukun Islam dan Rukun Iman serta dasar Ihsan pastilah umat Islam akan mempercayai bahawa sam'iyaat itu akan berlaku. Apa yang dikhabarkan oleh Nabi SAW dan diperdengarkan olehnya kepada para sahabat dan umatnya melalui Hadis pasti akan berlaku. Pelbagai tafsiran tentang dajjal, al-Mahdi, turunnya Nabi Isa AS, sangkakala telah banyak diperdebat di dalam buku-buku terbitan Islamik yang berada di pasaran. Maka, seharusnya, kejadian sebagaimana gempa di Haiti itu memperkuatkan lagi keimanan kita bahawa Kiamat itu pasti berlaku – dan apabila kiamat itu belaku, kiamat itu tidak mengenal bangsa atau agama atau warna kulit, atau parti politik, atau sempadan geografi dan sebagainya.
Dengan berbekalkan usia bumi yang tersisa, semua umat Islam di atas muka bumi ini perlulah menjadikan peristiwa gempa tersebut sebagai peringatan – untuk renungan ulul albab. Bumi bertuah Malaysia masih belum mengalami kehancuran catastrophic sehingga mengorbankan ribuan nyawa dan kita masih megah menyatakan bahawa kitalah yang membantu bangsa itu dan ini tatkala mereka dilanda bencana. Apakah kita telah bersedia untuk nasib kita?
Bencana tak kenal bangsa!!!!!
No comments:
Post a Comment