Monday, January 25, 2010

Engkau pun mampos jugak satu hari nanti!

Manusia memang pelik. Ada sahaja perkara yang hendak diperisukan sampaikan tidak munasabah menurut norma kehidupan manusia. Kalau tidak ada pasal, cari pasal lah pulak!

Tatkala kesedihan kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar dirasai segenap rakyat jelata, ada juga rakyat, spesifikya blogger yang dengan bongkak tak ingat dunia menggunakan kata-kata kesat dan hinaan terhadap peristiwa tersebut. Menghina kemangkatan Sultan itu sudah satu hal, menghina orang yang telah meninggal dunia pun satu hal lagi.

Wajarkah orang sebegini dibiarkan berleluasa mengekspresi perasaan beliau terhadap sesuatu? Kalau sultan mangkat pun dihina sedemikian rupa, bagaimanakah pula orang biasa yang meninggal dunia? Tidak cukup dengan itu, lemparan tomahan terhadap kakitangan kerajaan negeri juga dilakukan – semuanya dibuat sempena kemangkatan sultan. Maka wajarkah orang sebegini mengaku rakyat Malaysia yang mengamalkan "kesopanan dan kesusilaan?"

Tatkala banyak pihak yang kononnya hendak membawa sesuatu yang "baru" untuk Malaysia, merevolusikan negara kononnya, adab kesopanan ketimuran jelas semakin terjejas. Banyak sekali blog dan komen blog yang menggunakan kata-kata kesat – jelas menggambarkan keruntuhan akhlak masyarakat secara umum. Tak payahlah kita asyik nak menuding jari kejatuhan akhlak itu hanya tertakluk kepada orang yang pergi pub, melepak, merempit, bersosial semata-mata. Kalau penulisan dipenuhi carut-marut – apakah orang sebegini merupakan orang yang berakhlak?

Andai gejala sosial, jenayah dan kemungkaran berlaku, orang sering menyalahkan kerajaan dan penguatkuasa kononnya tidak tegas, atau tidak efektif, atau mengamalkan dasar sekular, atau mengamal rasuah, atau kronisme dan nepotisme, maka apakah pula penyebabnya kepada keceluparan dalam berkarya dalam internet? Nak salahkan siapa? Kerajaan juga? Orang yang celupar dalam penulisan internet nyata sekali bukanlah orang yang mempunyai akhlak yang baik; adab yang baik – maka apakah yang menyebabkan keceluparan tersebut dihalalkan pula oleh komuniti internet? Atau ada double standard – celupar internet lain, celupar bercakap lain?

Tindakan harus diambil. Sebagaimana penulis tegaskan pada awal tadi, menghina sultan sudah satu hal, menghina kematian juga satu hal. Orang sebegini sepatutnya dijadikan sebagai peserta kem pembinaan akhlak kerana merasakan dirinya sahaja yang paling mulia di dalam dunia ini. Dia sahajalah agaknya yang selayaknya hidup. Lalu, kalau dia atau keluarganya, atau sanak saudaranya, atau bininya, atau ibu bapanya, atau anak-anaknya juga meninggal dunia, selayaknya dia juga pasrah andai orang memaki hamun pergi mampos sama dia dan keluarga dia. Selayaknya orang sebegini dimaki hamun mampos, sebab dirinya sendiri telah mendoakan orang lain supaya mampos.

Semua orang akan mati juga, wahai blogger-blogger!

P/s: Bahasa kasar di atas penulis dahului dengan permohonan ampun dan maaf. Sekadar menyatakan sebab dan akibat dan bukannya berniat mencaci dan mencerca. Dikhabarkan penulis blog tersebut telah memohon maaf; khabarnya juga ada yang membuat laporan polis. Telajak perahu boleh go stand, brader....!

No comments: