Isu laporan polis oleh Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru Zulkifli Noordin terhadap Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad merupakan isu yang tidak kurang hangatnya pada minggu yang lalu. Ahli PKR tersebut membuat laporan polis kerana tidak sebulu dengan pendirian Khalid Samad berhubung penggunaan kalimah Allah dan beberapa kalimah arab yang membawa konotasi Islam sebagaimana yang disenaraikan oleh Jabatan Agama Islam Selangor. Khalid Samad dilaporkan menyokong keputusan Mahkamah Tinggi berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penulisan kristian dan menyifatkan halangan penggunaan kalimah tersebut dan kalimah-kalimah arab yang lain sebagai undang-undang lapuk sedangkan rakyat Malaysia telah sepatutnya mencapai kematangan mereka tersendiri.
Sehubungan dengan itu, pemimpin tertinggi PKR telah mengarahkan Zulkifli supaya menutup mulut dan menarik semula laporan tersebut. Ada pemimpin pakatan yang menyifatkan tindakan beliau sebagai membelakangkan prinsip parti; malah menggunakan undang-undang yang cuba dihapuskan oleh pakatan sendiri (i.e. akta hasutan). Ada yang menyifatkan pendirian Zulkifli sebagai sama dengan UMNO dalam hal ehwal agama mempertahankan agama Islam dan orang-orang Melayu. Malah, Zaid Ibrahim sendiri merasakan bahawa PKR nampaknya "gagal" dalam mengatasi masalah berkaitan dengan Zulkifli kerana membiarkan sahaja ahli parlimen tersebut tanpa sebarang tindakan (namun, dikhabarkan sebenarnya PKR sedang dan akan mengambil tindakan...)
Pada hemat penulis, seandainya tindakan Zulkifli dikatakan sebagai lebih UMNO daripada UMNO, maka eloklah kiranya beliau tinggalkan keahlian sebagai ahli PKR. Masuk sahajalah UMNO. Tetapi, sudah pastilah ada sebab tertentu yang menyebabkan beliau setia bersama PKR; mungkin hal perjuangan, atau pembaharuan, atau prinsip-prinsip yang beliau dukung – pastilah berbeza dengan UMNO. UMNO masih mengamalkan cara sama berasaskan perlembangaan, kontrak sosial bagi memelihara agama dan orang Melayu. Sudah pasti PKR mempunyai cara tersendiri untuk memelihara agama dan orang Melayu dan agenda keadilan yang diwar-warkan dengan sepenuh hati. Dan PAS pun pastilah ada rangka kerja untuk menegakkan daulah Islamiyyah. Manakala DAP pun pastilah ada sistem tersendiri bagi menyuburkan demokrasi di kalangan rakyat Malaysia.
Kegagalan pihak PR dalam mencapai kata sepakat sesama sendiri tentang penggunaan kalimah Allah sebenarnya merupakan titik tolak kepada permasalahan yang ditimbulkan oleh kedua-dua Khalid dan Zulkifli. Berbeza dengan UMNO (yang menjadi peneraju BN) yang begitu lantang dalam pendirian mereka untuk menidakkan penggunaan kalimah Allah dalam penulisan agama lain (i.e.ekslusif untuk Islam sahaja) pembangkang sebenarnya gagal dalam mencapai kata sepakat antara sesama sendiri. Mungkin DAP dan pemimpin tertinggi PKR setuju 100% bagi membolehkan agama kristian menggunakan kalimah Allah, tetapi, jelas sekali apabila ada dikalangan ahli PKR dan PAS yang tidak bersetuju dengan tindakan tersebut. PKR sendiri, disebalik seharusnya menyatakan pendirian mereka secara saksama mewakili kesemua ahli, pemimpin tertinggi mereka sibuk sekali cuba mengaitkan UMNO dengan kejadian bakar gereja. Perkara sebeinilah yang menyebabkan PKR dilihat sebagai belum lagi matang untuk memerintah negara.
Cuba bayangkan seandainya satu isu itu menjadi pertelingkahan sesama orang atau agama atau bangsa; disebalik sepatutnya cuba bermuafakat bagi mencari penyelesaian dan mengeluarkan kenyataan yang konkrit, mereka sibuk menjatuhkan parti lain dan menuduh parti tersebut dalang itu dan ini. Seandainya perkara sebegini berlaku, maka mudah sahaja kita membaca tindakan dan respon mereka apabila berlaku masalah. "Aku tak salah. Orang lain yang salah. Macam manapun yang berlaku, walaupun orang dalam kumpulan aku tak setuju dengan aku. Aku tetap tidak salah. Orang lain yang salah." Mungkin itulah sikap mereka sebenarnya.
Seharusnya pihak pakatan membuat satu stand atau resolusi tentang isu tersebut bagi menunjukkan bahawa seandainya mereka yang memerintah, perkara sebegini akan diselesaikan dengan cara sebegini, sebegitu. Namun, dengan peluang yang tersedia, atau dalam bahasa badmintonnya – bola tanggung yang terhidang, bukannya mereka hendak terus mencuri mata (i.e. mencuri hati pengundi) dengan libasan maut, sebaliknya mereka kekal untuk terus bermain rally yang panjang yang belum tentu menyebelahi pihak mereka. Sepatutnya mereka membuat satu kenyataan sepakat tentang isu tersebut sebagai mewakili idealisme PR keseluruhanya.
Hal ini cukup berbeza dengan UMNO sebagai peneraju BN. Kesemua berita/respon mereka tentang kalimah Allah menuju ke arah yang sama. Mungkin ada ahli komponen BN lain (atau mungkin ahli UMNO sendiri) yang tidak bersetuju dengan UMNO dalam hal kalimah tersebut. Akan tetapi, seandainya tidak bersetuju pun, mereka tidak menzahirkan ketidaksetujuan mereka sewenang-wenangnya. Jadi, walaupun terdapat kemungkinan ahli BN yang menyokong keputusan mahkamah, mereka tidak pula mewar-warkan perkara tersebut bagi menjaga "keharmonian" dalam parti. Justeru, BN dilihat sebagai "saksama" terhadap isu tersebut. Itulah yang gagal ditonjolkan oleh PR yang seharusnya lebih matang dalam permainan politik.
Tuntasnya, pihak PR perlu lebih matang dan cuba memberi respon, atau mengusulkan cara penyelesaian atau membuat kenyataan yang bersifat apolitical. Cukup-cukuplah mengaitkan UMNO itu dan ini. Kalau betul hendak berjaya, janganlah apabila UMNO kaitkan Anwar dengan itu dan ini, maka PR pun hendak kaitkan UMNO dengan itu dan ini. Kalau ahli dalam PR sendiri berbalah tentang penggunaan kalima Allah untuk bukan Islam, jangan pula nak tukar topik lain dengan cuba membuktikan yang orang UMNOlah kononnya yang membakar gereja. Selesaikan masalah dalaman dulu baru nak tuding jari kepada orang lain!
Kalau korang bertekak sesama sendiri sebab pendirian sesama sendiri, jangan sibuk-sibuk salahkan orang lain pulak....!
No comments:
Post a Comment