Wednesday, February 10, 2010

Wak tempe: “Sampai lebam biji mata mata aku!”

Sewaktu era reformasi baru hendak berputik (sekitar 1998), semasa itulah penulis benar-benar hampir dengan politik. Tatkala Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat, penulis antara orang yang paling tidak berpuas hati dengan keputusan Tun Dr Mahathir tersebut. Tiada angin tiada hujan, mengapakah pula pemimpin Islamik berkarisma tinggi seperti Anwar Ibrahim dipecat! Pasti ada konspirasi bagi menjatuhkan kedudukan Anwar Ibrahim. Namun, beberapa ketika selepas itu, segala-galanya menjadi sejarah.

Beberapa tahun kemudian (2000) penulis bersama rakan-rakan penulis telah ditugaskan oleh Almarhum guru Bahasa Melayu kami, Tuan Haji Anuar Daud, penulis untuk merangka dan menulis sebuah drama bertajuk "Tangga." Ceritanya lebih kurang begini. Sebuah kampung yang mempunyai Rukun Tetangga diketuai oleh seorang ketua kampung dipanggil Tok Ketua. Pemuda kampung secara suka rela membuat rondaan keselamatan pada waktu malam bagi memastikan keselamatan kampung terjamin dan rondaan ini biasanya turut disertai oleh tok ketua. Pada suatu malam yang cukup gelap, salah seorang penduduk kampung bergelar Wak Tempe terpaksa tidur di luar rumah kerana sering pulang lewat dan dituduh oleh isterinya bermain kayu tiga. Maka, Wak Tempe yang cuba mengumpil pintu/tingkap rumah sendiri telah disalah sangka oleh pasukan peronda tersebut sebagai pencuri. Maka "pencuri" tersebut, disebalik sepatutnya dibawa ke muka pengadilan, telah dibelasah oleh pasukan peronda rukun tetangga.

Setelah menyedari kesilapan tersebut, seharusnya mereka meminta maaf kepada Wak Tempe atas kesilapan tersebut. Akan tetapi, atas arahan Tok Ketua, kekhilafan tersebut dirahsiakan sehinggalah Wak Tempe sendiri secara tidak sengaja mengetahuinya. Maka, bermulalah dialog Wak Tempe, pahlawan jawa yang begitu marah kerana rasa dirinya dianiaya oleh peronda tersebut; bertekak bertegang urat dengan peronda muda (kerana Tok Ketua tiada pada ketika itu) hingga terkeluarlah dialog: "Korang semua belasah aku cukup-cukup sampai aku pengsan, sampai lebam biji mata aku!" Aku akan pedajalkan korang dengan Tok Ketua korang sekali!"

Klimaks kepada cerita tersebut, Wak Tempe membalas dendam dengan meminjamkan tangga reput kepada Tok Ketua. Kes tersebut dibawa ke mahkamah yang mendapati kesemua orang bersalah melainkan seorang penduduk talam dua muka yang bernama Selamat. Selamat inilah merupakan hipokrit yang berjaya survive dalam kedua-dua keadaan; menyokong Tok Ketua pada satu masa dan Wak Tempe pada masa yang lain. Tindakan beliau mengapi-apikan kedua-dua pihak sehingga akhirnya beliau sendiri yang terlepas dari sebarang hukuman. Maka, bukankan orang sebegini memang wujud dalam dunia yang nyata?

Dengan cerita yang digambarkan oleh almarhum Tn Hj., penulis bersama rakan penulis merangka dialog (jadilah ia seperti skrip) dan dipentaskan dalam masa lima hari. Pementasan berlangsung dengan begitu baik sehingga ada penonton yang mengibaratkan drama pentas kami mirip Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Malah, menurut guru pengiring, kalau tidak kerana bahasa yang agak sedikit kasar dan jalan cerita yang agak berbaur politik, ada kemungkinan drama kami mendapat tempat ketiga dan pelakon yang melakonkan watak Wak Tempe mendapat anugerah pelakon terbaik. Namun, kami bertanya kepada guru pengiring, apakah unsur-unsur pembauran politik yang ada dalam drama bertahap Tingkatan 3 tersebut. Jawab guru pengiring, "Lebam biji mata." Alamak! Macam mana pengadil boleh sampai ke situ pulak?!!!

Begitulah yang berlaku hampir sepuluh tahun yang lepas. Pada ketika itu, istilah lebam biji mata begitu sensitif sehinggakan drama bertaraf pelajar pun boleh dituduh sebagai political. Hairan juga ya!?! Malah, mata yang lebam itu jugalah yang dijulang sehingga sekarang sebagai satu kisah penganiayaan, kezaliman, salah guna kuasa yang akan kekal abadi. Media berasaskan Amerika Syarikat dan Barat melihat taraf kezaliman yang melanda Anwar Ibrahim mungkin mencemarkan demorkrasi yang dibawa oleh Presiden Obama. Taraf Anwar yang bebas ke hulu ke hilir, keliling dalam negara dan bebas keluar negara berkempen bagi meraih sokongan pihak luar tentang perjuangan beliau untuk menjadi PM tidak ubah seperti pejuang demokrasi Myanmar Aung San Su Kyi yang menerima tahanan rumah.

Sepuluh tahun yang dulu begitulah. Maka sepuluh tahun sepelas itu, begitulah jua. Alangkan ungkapan lebam biji mata Wak Tempe pun disifatkan politik, maka hal yang hampir sama juga pada masa sekarang ini....! Pejuangan Anwar belum selesai.....

No comments: