Baru-baru ini, terpampang di dada-dada akhbar tentang peristiwa perlaksanaan hukuman rotan ke atas beberapa orang wanita kerana kesalahan syariah. Walaupun hukuman tersebut heboh diperkatakan dan banyak menerima pandangan daripada mereka yang pakar dan tidak pakar, tiada pula isu pesalah yang berjantina lelaki juga dikenakan rotan atas kesalahan yang sama digembar-gemburkan dan dijadikan sebagai topik perbincangan. Adakah kerana seandainya pesalah lelaki dihukum sebat maka "padan dengan muka dia!" tetapi seandainya pesalah wanita dihukum sebat maka "kejamnya, sadisnya, zalimnya....!"
Pada hemat penulis, isu sebegini boleh kita katakan sebagai double standard. Pesalah jenayah syariah dihukum TANPA mengira jantina lelaki ataupun perempuan; tetapi disebabkan atas dasar pesalah wanita sahaja yang dijadikan tajuk berita, maka timbulah isu bahawa seolah-olah perempuan sahaja yang kena hukum jenayah syariah secara sebat. Seterusnya perkara ini menimbulkan pelbagai reaksi daripada pihak ini dan itu tentang perikemanusiaan, hak asasi, norma hidup manusia dan bercanggah dengan tuntutan kewanitaan antarabangsa. Ada ahli politik yang menganggapnya bahawa hukuman sedemikian menjatuhkan imej negara. Implikasinya adalah seolah-olah hukuman sebegini begitu sadis, kejam, memalukan, menghina wanita seandainya wanita dihukum atas kesalahan yang telah disabit ke atas mereka.
Kenyataan sedemikian kalau keluar daripada yang bukan Islam mungkin boleh difahami; tetapi seandainya pertubuhan yang bernamakan Islam pun mengeluarkan kenyataan yang sama; maka mungkin ada yang tidak kena dengan mereka-mereka ini. Mereka ini mungkin tidak faham atau buat-buat tidak faham tentang undang-undang syariah yang diamalkan di Malaysia.
Kewujudan mahkamah syariah merupakan sesuatu yang terkandung di dalam Perlembagaan Malaysia; sesuai dengan kedudukannya sebagai agama rasmi negara. Kalau sudah mahkamahnya ada, pastilah ada penguatkuasaan terhadap undang-undang syariah. Kalau tidak, mahkamah syariah hanya tinggal tempat untuk perbicaraan nikah-cerai-rujuk sahaja – hampir sama dengan keadaan watak pegawai agama istana Diraja apabila digelar Datuk Nikah Kahwin dalam filem P.Ramlee! Penguatkusaan undang-undang syariah merupakan kelangsungan daripada tugas Jabatan Agama dan Majlis Agama kerana kewujudan mereka adalah untuk memelihara agama secara legal. Hanya orang Islam sahaja yang tertakluk di bawah undang-undang syariah melainkan kes-kes yang ada berkaitan dengan pertukaran agama Islam ke agama lain.
Lalu, apakah yang menyebabkan reaksi pihak tertentu yang bukan Islam terhadap hukuman tersebut? Orang bukan Islam tidak tertakluk di bawah undang-undang syariah Islam; maka apakah yang menyebabkan mereka mempertikaikan undang-undang syariah Islam. Satu perkara lagi adalah mengapakah wujud dikotomi wanita-lelaki dalam perlaksanaan hukuman syariah Islam? Bukankah sudah ada garis panduan yang panjang lebar yang jelas dan nyata tentang perlaksanaan hukuman tersebut kepada wanita, maka apakah yang kejam, sadis, hinanya hukuman tersebut seandainya dilaksanakan?
Seharusnya hukuman – sebarang hukuman sepatutnya dilihat dari segi HUKUMAN; bukannya siapa yang menerima hukuman. Hukuman dilaksanakan ke atas pesalah. Seseorang yang salah, apabila sabit kesalahan atau mengaku salah, sudah pastilah ada hukuman yang akan dikenakan kepadanya. Ringan berat hukuman tersebut, biarlah hakim yang tentukan; tidak usahlah kitalah yang hendak jadi hakim, kitalah yang hendak jadi pendakwa raya, kitalah yang hendak menjadi peguam bela. Sistem kehakiman tidak berdiri dengan sebegitu!
Dalam konteks undang-undang jenayah misalnya, adakah kejam hukuman bagi pesalah pengedar dadah (dihukum gantung mati) menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya? Atau bagi Kanun Keseksaan Seksyen 302, sabit bunuh, maka hukumannya gantung sampai mati bagi pembunuh? Kalau sekilas pandang, mengikut norma hak asasi manusia antarabangsa, adalah kejam untuk seseorang pembunuh dijatuhi hukuman bunuh (lebihlah lagi pengedar dadah!) Mengambil nyawa seorang lagi manusia tidak akan mengembalikan nyawa manusia yang telah mati! Namun, hakikatnya itulah yang dinamakan sebagai HUKUMAN. Pesalah masih boleh merayu di Mahkamah Rayuan sehinggalah meminta keampunan daripada Raja; maka apakah itu juga dikatakan sebagai kejam? Masa begitu panjang untuk si pesalah sebelum benar-benar dijatuhi hukuman; malah mungkin boleh diringankan hukuman – apa kejamnya hukuman sedemikian?
Kalau ikut logik akal, sebarang hukuman pun sebenarnya melanggar hak asasi manusia. Penjara misalnya, melanggar hak kebebasan manusia bergerak bebas. Namun, kita pun ada mendengar berita betapa ada orang yang lebih suka duduk di penjara kerana semuanya serba- serbi ada. Makan minum disediakan. Pakaian pun ada. Mereka yang tinggal di penjara tidak dibiarkan bogel dan dibiarkan lapar. Maka tidak hairanlah warga asing lebih gemar tinggal di penjara Malaysia berbanding kembali ke tanah air. Tak payah kerja pun dapat makan.... siapa yang tak nak wooo....
Akan tetapi; namanya pun HUKUMAN. Kenapa ada yang melenting tak tentu pasal seolah-oleh "hukuman" adalah salah dari segi undang-undang kemanusiaan. Pada hemat penulis, lebih baik pesalah dihukum sebat (dalam kes syariah, sebat cara syariah) daripada dibiarkan dalam penjara sebab kesan sebat tersebut ada secara fizikal dan mental; kalau setakat penjara – sekadar duduk dalam penjara yang ada makan, minum tilam dan bantal.
Kita kena faham bahawa setiap perbuatan kita ada akibat dan kesan (sequence & consequence). Hal inilah yang menjadi tunjang kepada kedaulatan dan kewujudan undang-undang. Malah, secara umum i.e. tidak mengira agama dan bangsa, kita didedahkan sengan ganjaran dan hukuman (reward & punishment). Justeru, kita hendaklah melihat sebarang hukuman itu memberi kesan bukan sahaja kepada pesalah, malah memberi pengajaran kepada orang ramai.
Andai tidak mahu dihukum langsung apabila melakukan kesalahan, hiduplah di hutan rimba....undang-undang rimba menjadi penentunya!
No comments:
Post a Comment