Sedikit masa yang lalu, kita mendengar laporan yang menyebut tentang anak-anak yang "membuang" ibu bapa mereka, meninggalkan ibu bapa mereka dalam keadaan tidak terjaga, terbiar hidup sengsara tanpa pembelaan anak-anak mereka. Malah, ada sehingga ke tahap anak-anak sanggup mencederakan ibu bapa mereka atau sanggup membunuh ibu bapa mereka kerana tidak mendapat apa yang dikehendai daripada ibu bapa (seperti wang, geran tanah/kenderaan). Maka pada ketika itu, sekoyong-koyonglah juga berita melaporkan pandangan daripada ustaz, mufti, ulama tentang permasalahan yang berlaku. Nampaknya, seolah-oleh anak-anak pada masa kini sudah hilang rasa hormat, taat setia atau dalam bahasa mudahnya, berakhlak mulia dan berbelas ihsan terhadap ibu bapa.
Kini, cerita yang terpapar di muka depan akhbar pula adalah berkaitan dengan pembuangan bayi, pembunuhan bayi, penderaan anak kecil sehingga membawa kepada kematian anak tersebut. Seolah-olah generasi muda sekarang ini sudah tidak ada nilai kemanusiaan lagi sehingga sanggup membunuh insan yang tidak berdosa kerana hendak menutup aib dan malu atas keterlanjuran mereka. Seolah-olah sudah hilang nilai moral manusiawi bagi masyarakat dewasa kini. Ungkapan "seorang ibu boleh menjaga sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak tidak boleh menjaga seorang ibu" nampaknya semakin hari semakin tidak boleh diterima. Masakan tidak, masa kini telah pun berlaku apabila ibu tidak lagi hendak menjaga anaknya (malah dibunuh selepas bersalin atau dibiarkannya dibunuh oleh orang lain).
Tambahan, jarang (atau tidak pernah pula) orang membuat satu kenyataan/tuduhan/andaian tentang ibu bapa masa kini sudah tidak ada lagi rasa kasih sayang, belas ihsan dan kebertanggungjawaban terhadap anak-anak mereka. Mereka sanggup membunuh anak-anak mereka demi menutup aib dan malu atau sanggup membunuh anak-anak kerana geram, muak atau tidak tahan dengan karenah anak-anak. Frasa "ibu bapa" dalam hal ini tidak disempitkan kepada mereka yang mempunyai ikatan perkahwinan yang sah sahaja namun lebih tertumpu kepada implikasi biologi yang menyebabkan seseorang itu boleh menjadi ibu dan bapa (secara biologi). Maka, apakah masyarakat kita sudah jadi sebegitu?
Menurut hemat penulis, kedua-dua isu anak buang ibu bapa atau ibu bapa buang bayi ini boleh kita gabungkan kerana kedua-duanya membabitkan anak dan ibu bapa. Salah satu strategi untuk kita melihat kedua-dua isu adalah dengan membuat penelitian tentang generasi yang terlibat yang menyebabkan gejala buang ini dan itu berlaku. Dari situ, kita boleh lihat kepada unsur persekitaran yang mengelilingi generasi tersebut bagi memahami mengapakah mereka terjebak dalam gejala pembuangan anak dan mak bapa.
Kajian ini penting kerana sudah agak lama kita terperap dengan satu pandangan bahawa generasi muda kini sudah semakin hanyut dek arus keduniaan, kehilangan akhlak dan terjebak dengan gejala hedonisme. Apa yang kita mungkin terlepas pandang adalah bahawa ibu bapa yang terbentuk pada masa kinilah yang akan membangunkan generasi yang akan datang. Ibu bapa generasi ibu bapa buang anak kini adalah ibu bapa yang akan membentuk anak-anak pada masa sepuluh atau 15 tahun akan datang. Dalam erti kata lain, mereka yang membuang anak inilah sebenarnya yang akan menjadi datuk dan nenek untuk anak kepada anak mereka (cucu) pada masa depan. Maka, apakah yang menyebabkan keruntuhan akhlak ibu bapa sekarang?
Jurang antara generasi ini penting untuk dikaji. Berbanding dengan kepercayaan orang bahawa orang kini sudah semakin jauh daripada unsur keagamaan, hakikatnya, masyarakat kini adalah dari segi teorinya lebih dekat dengan unsur keagamaan andai hendak dibandingkan dengan dahulu (zaman lepas merdeka misalnya). Capaian maklumat dan ilmu keagamaan jauh lebih mudah berbanding satu ketika dahulu. Internet ada, televisyen ada, buku-buku agama melimpah-ruah, siaran berunsur Islam/Melayu pun ada. Anak-anak pun disediakan dengan pendidikan agama bukan sahaja di sekolah harian, malah sekolah agama kerajaan negeri (hampir semua negeri ada sekolah agama sekarang ini). Bandingkan dengan dahulu, agama hanya boleh dituntut oleh orang yang berguru dengan tok guru, menadah kitab kuning yang memanglah sangat sukar untuk difahami, belajar secara turunan – apa yang tok guru ajar maka itulah yang betul dan tidak boleh disanggah. Masyarakat Islam sekarang ini semakin sedar (conscious). Sudah ada orang awam yang mula memahami dan meluahkan bahawa amalan itu dan ini sebenarnya adalah sunat atau bidaah hasanah, atau khilaf furu fiqh, hadis sekian-sekian adalah hadis sahih, hasan dan dhaif – maka seharusnya juga masyarakat kini lebih alim berbanding yang dahulu.
Pokok pangkalnya, ada sesuatu yang ramai di antara kita telah tinggalkan/ignore/omit dalam kajian mereka tentang sebab berlakunya keruntuhan akhlak sehingga menyebabkan gejala anak buang ibu bapa, dan ibu bapa buang anak. Realitinya, masyarakat kita sekarang ini didedahkan dengan ilmu agama yang lebih menyeluruh berbanding sebelun ini. Orang awam kini sudah semakin faham tentang amalan berteraskan ilmu dan dalil mungkin jauh lebih baik berbanding yang terdahulu. Maka, seharusnya pendedahan pendidikan agama tidak boleh kita salahkan seratus peratus. Bagaimanakah kurikulumnya? Adakah sesuai dan memberi penekanan bagi mewujudkan masyarakat berakhlak? Kaedah pengajaran pula bagaimana? Adalah sekadar mementingkan hukum wajib, sunat, harus, makruh, haram, bidaah hasanah, bidaah sayyiah, ikhtilaf, sahih hassan dan dhaif? Bagaimanakah peranan pendidikan agama untuk pembentukkan akhlak yang mulia? Apakah sudah ada petunjuk tertentu atau indikator bagi menguji keberkesanan kaedah, perlaksanaan dan sistem pendidikan agama dalam membentuk sahsiah yang mulia.
Sedar atau tidak, dalam konteks kaum hawa misalnya, wanita yang bertudung pada masa kini sebenarnya jauh lebih ramai berbanding zaman pop yeh-yeh, P. Ramlee. Pada suatu ketika, hampir semua pelajar perempuan Islam memakai apa yang dipakai oleh pelajar bukan melayu sekarang ini. Kalau pun berbaju kurung, jarang sekali bertudung. Namun, pada masa sekarang ini, atas kesedaran aurat yang agak tinggi, bersanding semasa kahwin pun sudah menutup aurat, bertudung. Tetapi, keruntuhan akhlak masih berlaku (malah dikatakan bertambah!). Bukan menafikan bahawa menutup aurat itu penting (malah, merupakan tuntutan agama) akan tetapi, hal-hal sebeginilah sebenarnya yang membuktikan bahawa luaran semata-mata tidak menjadi faktor kepada apa yang berada di dalam.
Sebagai intiha, seharusnya kita merenung kembali kepada struktur pendekatan beragama di dalam negara kita. Penulis boleh simpulkan bahawa dari segi kesedaran hukum hakam, umat Islam di negara ini sebenarnya semakin baik berbanding dahulu. Hal ini bermaksud pendekatan pengajaran dan pembelajaran agama berkaitan dengan hukum hakam sudah semakin maju. Namun, bagaimana pula dengan akhlak dan adab? Bidang ini nampaknya masih jauh ketinggalan atau telah ditinggalkan kerana dek mengejar kepentingan hukum hakam. Sebab itulah, kita kena fahami bahawa agama bukan sekadar membawa hukum hakam semata-mata. Lebih dari itu, Islam sebenarnya adalah cara kehidupan (klise tetapi benar). Maka, jangan salahkan orang tak beri pendedahan, tetapi kajilah bagaimana kaedah dan pendekatan bagi pendedahan itu dibuat.
No comments:
Post a Comment