Monday, March 22, 2010

Banyak yang Anwar kena jawab

Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan orang yang paling malu sekali apabila bekas penyokong beliau, Datuk Seri Zaharin Mohamed Hashim (sekitar Rabu dan Khamis minggu lepas) "mendedahkan" satu persatu perkara berkait dengan agenda 16 September dalam menggulingkan kerajaan BN. Zaharin dalam ucapannya di Dewan Rakyat telah mengaitkan beberapa nama ahli parlimen BN yang dikatakan telah "dipancing" oleh Anwar. Beliau juga mendedahkan Anwar telah menggunakan nama Yang DiPertuan Agong dan Ketuan Panglima ATM sebagai telah bersedia menerima beliau sebagai PM yang ke-6.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Zaharin merupakan sesuatu yang serius. Melainkan beliau mempunyai bukti bahawa Anwar terlibat dalam menggunakan nama Yang DiPertuan Agong dan Ketua Panglima ATM, maka perkara tersebut merupakan sesuatu yang berat. Anwar mesti menjelaskan sama ada benar atau tidak perkara tersebut kerana hal ini melibatkan kredibiliti beliau diserang bertubi-tubi oleh bekas penyokong kuatnya itu.

Sebagai seorang yang memperjuangkan keadilan dan ingin merevolusikan sistem pentadbiran di Malaysia, tuduhan tersebut mencacatkan kredibiliti Anwar sebagai seorang yang bersih. Apakah seorang yang begitu memperjuangkan keadilan, kesaksamaan, menjunjung perlembagaan dan ingin membawa sebuah negara Malaysia yang baru dan segar sanggup menggunakan cara sehina tersebut sehingga mengaitkan nama raja dan ATM? Beliau adalah pejuang ke arah Malaysia yang bebas konspirasi dan kronisme; apakah beliau yang merupakan pemimpin bertaraf bintang itu sanggup melakukan kerja-kerja tersebut.

Lebih memeranjatkan, terdapat ahli parlimen BN yang mengaku menerima panggilan Anwar bagi melompat parti. Apakah seorang pemimpin yang begitu bersih lagi suci dan memperjuangkan hak rakyat, ketuanan rakyat dan menjadi satu-satunya pemimpin yang boleh mengembalikan imej Malaysia sebagai negara yang demokratik dan adil sanggup memancing pihak BN untuk mengikuti mereka bagi memperjuangkan keadilan? Malah, kalangan PR merupakan pencaci dan pengutuk gerakan lompat parti (yang lebih kepada keluar parti, isytihar bebas dan menyokong BN) yang berlaku di Perak. Apakah seandainya 16 September menjadi realiti dan Anwar menjadi PM, maka kegiatan BN itu akan dihalalkan?

Mengapakah beliau yang diiktiraf sebagai pemidato terbaik negara keluar daripada dewan tatkala Zaharin mendedahkan perkara tersebut. Beliau selaku orang yang paling petah berbicara seharusnya dengan mudah membidas lontaran yang dikemukan oleh Zaharin.

Tuduhan serius ini perlu Anwar jawab. Tidak perlulah tukar topik pula tentang 1Israel bagi mengalih perhatian umum terhadap tuduhan tersebut. Atau secara tiba-tiba hendak mengumpul orang ramai untuk terlibat sama dalam perbicaraan tuduhan liwat beliau di mahkamah. Adakah beliau ingin penyokong-penyokong beliau bertindak sebagaimana golongan baju merah di Thailand yang membuat tunjuk perasaan dan menyimbah darah di sini-sana?

Tuntasnya, Anwar perlu bangkit. Beliau adalah harapan rakyat. Tetapi jangan terus-menerus lari dari tuduhan yang dikenakan kepada beliau. Beliau merupakan pemimpin yang berkarisma, mengapa perlu lari sampai ke London? Seharusnya beliau tidak menukar topik perbincangan dengan mengaitkan ini dan itu. Beliau adalah pemimpin yang paling dikagumi dunia. Bersedialah menghadapi kebenaran bak kata orang putih: The truth will set you free!

Lawan, Anwar. Jangan tukar topik!

No comments: