Sudahlah kita biasa diperdengarkan dengan ibu/bapa generasi kini yang tidak sayang anak sehingga sanggup menggugurkan anak, membuang anak dan membunuh anak kerana pelbagai isu, ada ibu bapa yang memelihara anak sehingga anak mencapai umur persekolaan rendah pula sanggup menjadikan anak-anak mereka sebagai "perisai pelindung" dalam membuat tunjuk perasaan dalam memperjuangkan agenda mereka. Terbaru, di Kempas, Johor Bahru misalnya, anak-anak menjadi perisai kepada ibu bapa mereka bagi mengelakkan rumah setinggan yang mereka duduki daripada diambil semula oleh pihak berkuasa.
Agenda keengganan 12 buah rumah setinggan yang masih didiami penduduk itu sebenarnya berbaur politik. Memang telah wujud beberapa siri "ceramah" bagi memperjuangkan nasib mereka telah dibuat oleh ahli parlimen dan ADUN Pakatan Rakyat yang bukan berasal dari Johor pun, apatah lagi kawasan setempat. Bayangkan, begitu jauh Y.B. Khalid Samad datang daripada Shah Alam bagi memperjuangkan nasib orang Johor. Pastilah kita sebagai rakyat pun akan terharu kalau tak tahu hujung pangkal.
Namun, apabila kita kita teliti sebenar-benarnya apa yang berlaku, maka kita faham mengapakah perkara tersebut boleh berlaku. Isu tanah sama ada setinggan ataupun tidak sebenarnya isu yang begitu sensitif lebih-lebih lagi kepada orang Melayu. Ada keluarga yang sanggup bertekak tatkala berhimpun sesama sendiri (seperti ketika Hari Raya atau cuti sekolah) dek kerana isu tanah. Maka, tidak hairanlah ada yang sanggup berkumpul ramai-ramai membuat tunjuk perasaan bagi memperjuangkan hak mereka walaupun setinggan.
Pun begitu, perjuangan hak tidak kiralah apa sebab pun tidak seharusnya membawa pembabitan anak-anak mereka yang masih bersekolah. Lebih-lebih lagi, anak-anak tersebut dipakaikan dengan baju sekolah dan menjadi benteng kepada ibu bapa mereka dengan memegang "sepanduk kertas" menuntut itu dan ini. Seolah-olah, anak-anak inilah menjadi mastermind kepada tunjuk perasaan ini. Dan anak-anak inilah juga yang akan menjadi galang-ganti seandainya apa-apa yang berlaku kepada mereka.
Perbuatan ini merupakan sesuatu perbuatan yang tidak bertamadun walau apa alasan sekalipun. Seolah-olah menunjukkan bahawa pihak berkuasa bertindak menzalimi semua orang terutamanya anak-anak sedangkan anak-anak tersebut diperalatkan sahaja oleh ibu bapa. Ibu bapa ini telah pun menyemai bibit-bibit demonstrasi jalanan kepada anak-anak mereka dan hal tersebut pastinya akan melekat ke minda anak-anak ini dan akan menjadi contoh untuk perlakuan tersebut apabila anak-anak telah meningkat dewasa!
Ibu bapa kini adalah pendidik (nurturer) generasi akan datang. Begitulah anak-anak ini akan mengambil sedikit sebanyak contoh perlakuan ibu bapa masa kini untuk di adaptasi bagi masa akan datang. Sebagaimana anak-anak masa kini sudahpun mengetahui bagaimanakah cara-caranya memusnahkan bukti "keterlanjuran" ibu/bapa masa kini dengan membuang/membunuh anak yang tidak berdosa. Maka, janganlah pula kita terperanjat seandainya ibu bapa pada masa akan datang mengumpul darah anak-anak pula bagi menunjukkan ketidakpuasan hati mereka tatkala berdemonstrasi.
Pengajian jurang generasi ibu bapa adalah sangat-sangat didambakan bagi meramal trend ibu bapa pada masa akan datang. Diharapkan kita sama-sama akan dapat memanfaatkannya...
No comments:
Post a Comment