Pergolakan politik Thailand merupakan sesuatu yang elok untuk kita perhatikan dan insafi. "Kumpulan berbaju merah" merupakan golongan penekan yang bertindak untuk mengembalikan semula bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra ke tampuk pemerintahan dengan mendesak PM sekarang, Abishit
Vejjajiva. Sedar atau tidak, selepas kejatuhan Thaksin Shinawatra pada 2006, sudah enam orang pemimpin tertinggi badan eksekutif Thailand (termasuk yang menjadi pemangku) yang bertukar. Dalam empat tahun, sudah enam orang menjadi PM (atau taraf PM) !
Bukanlah kali pertama Thailand terutamanya di bahagian kota besar negara gajah putih tersebut mengahadapi situasi tunjuk perasaan sebegitu. Mogok, rampasan lapangan terbang, balingan objek, malah tembak-menembak (terutamanya di kawasan selatan Thai) sering menjadi bahan berita. Kita pun bertambah hairan tentang keadaan ekonomi negara tersebut. Apakah dengan pelbagai peristiwa berganti peristiwa yang menunjukkan ketidakstabilan politik negara tersebut tidak memberikan kesan terhadap ekonomi rakyat? Bagaimanakah rakyat di sana boleh bermandiri (survive) dengan keadaan yang tidak menentu yang melanda negara mereka?
Tentu mereka mempunyai rahasia tersendiri. Mungkin dari segi pendapatan domestik, mereka mempunyai struktur ekonomi yang kukuh disebabkan kegiatan pertanian mereka yang begitu maju. Rakyat yang mempunyai lulusan Ijazah Sarjana Muda Pertanian dikatakan bergiat cergas di sawah-bendang, menggiatkan kegiatan pertanian dan bukannya mengharapkan kerja di tempat berhawa dingin atau di pejabat. Mungkin mereka menggunakan peralatan pertanian yang lebih maju berbanding golongan tradisional; menggunakan bajak dan traktor berbanding membanting tulang dan berkerbau menggunakan mesin berbanding bertumbuk lesung. Namun hal yang demikian tidak menafikan sama sekali lulusan pertanian di universiti benar-benar bertani selepas belajar di universiti.
Akan tetapi, kefahaman dan kesedaran politik mereka memang berbeza berbanding Malaysia. Kumpulan baju merah sanggup berbuat apa sahaja demi memperjuangkan kembalinya pemimpin kesayangan mereka ke tampuk pemerintahan Thailand. Mereka nampaknya benar-benar setia dan melakukan mogok besar-besaran di ibu kota. Sedangkan, pemimpin yang mereka julangkan itu tidak pun berada di negara sendiri! Mereka berjaya merampas lapangan terbang bagi membuktikan bahawa perjuangan mereka bukan calang-calang. Kegiatan terbaru, mereka sanggup mengumpul bertong-tong darah manusia untuk dicurahkan ke bangunan kerajaan dan kediaman rasmi Perdana Menteri.
Penulis berharap sangat bahawa tindakan mengumpul darah tersebut diselia oleh pegawai perubatan yang bertauliah. Hal ini bagi membendung berlakunya penyebaran penyakit berbahaya seperti AIDS daripada berjangkit secara besar-besaran (massive). Diharapkan juga jarum yang digunakan ditukar untuk setiap sukarelawan penderma darah bagi menjayakan misi mereka menyimbah darah. Andai tidak, implikasi kesihatan boleh melanda ratusan atau ribuan sukarelawan yang menderma darah.
Kita dapat lihat betapa kerana politik dan pemimpin, ada golongan tertentu sanggup menderma darah bagi disimbahkan ke bangunan-bangunan tertentu. Kesemua ini bagi menunjukkan betapa mereka benar-benar serius dalam perjuangan mereka terhadap seorang pemimpin yang mereka sayangi dan kagumi. Curahan darah ini adalah satu pernyataan (statement) kepada pimpinan sedia ada untuk membubarkan parlimen, mengadakan pilihan raya baru dan sekaligus menerima Thaksin Shinawatra sebagai PM. Harapan inilah yang mereka bawakan melalui simbahan darah tersebut. Walaupun darah yang sebanyak itu boleh digunakan untuk menyelamatkan nyawa manusia di hospital, di kawasan kecemasan kerana pesakit kekurangan darah, mereka tetap menyimbah darah tersebut dengan bangganya bagi membuktikan sokongan politik mereka kepada Thaksin Shinawatra dan pembubaran parlimen Thailand.
Kita pun tidak tahu sama ada tindakan itu menunjukkan kematangan berpolitik di Thailand ataupun politik Malaysia masih belum matang sehingga membolehkan keadaan tersebut berlaku di negara ini. Kedua-dua negara mempunyai struktur politik yang cukup berbeza. Apapun, diharapkan seandainya terdapat golongan politikus di Malaysia yang ingin mencontohi tindakan tersebut, bolehlah mereka ini berfikir masak-masak tentang betapa darah-darah yang tersimbah itu sangat berguna kepada orang yang lebih memerlukan seperti pesakit-pesakit di hospital yang kekurangan darah.
Pada pendapat penulis, politik Malaysia lebih matang dalam situasinya tersendiri....
(Apa susah hati, tak puas hati, lompat sahaja parti!)
No comments:
Post a Comment