Dari hari ke hari, sudah begitu ramai ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berpengaruh keluar daripada parti tersebut. Sedari keluarnya pendokong kuat, pengasas bersama PKR (dahulu Keadilan) seperti Dr Chandra Muzaffar sehinggalah perkembangan terbaru yang boleh dikatakan sebagai backfired kepada PKR; kemasukan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Muhammad Fairus Khairuddin . Namun sesuatu yang penting untuk kita nilai adalah keluar-masuk parti merupakan perkara biasa. Yang kecewa dan teramat kecewa pastilah keluar parti. Yang mendapat tempat di hati pucuk pimpinan sudah tentu kekal di dalamnya. Adat politik. Semuanya berkisar tentang kuasa.
Peristiwa keluar PKR ini bolehlah penulis ibaratkan/sama tarafkan dengan bagaimana Tun Dr Mahathir keluar daripada UMNO dan menjadi "ahli bebas." Sekoyong-koyonglah penyokong Tun pun keluar parti bagi menunjukkan protes mereka kepada Pak Lah yang dikatakan sebagai gagal mentadbir dengan baik sehingga BN kehilangan majoriti dua pertiga dalamrlimen. Adakah Tun pada ketika itu benar-benar "bebas" ? Tidak.. Tun dengan kapasiti yang ada, dan dengan pengaruh yang ada pun menggunakan pentas pembangkang bagi menyuarakan rasa tidak berpuas hati beliau kepada UMNO dan BN. Pada ketika itu, media pembangkang pun sekoyong-koyong menyiarkan pandangan Tun seolah-olah Tun telah bersama mereka. Begitulah hebatnya politik. Apabila Tun kembali kepada UMNO, segala-galanya menjadi sejarah.
Dalam artikel yang lepas, penulis ada menyuarakan persoalan tentang kesetiaan. Kesetiaan bukan sahaja dirujuk dari segi pemasaran produk/perkhidmatan, malah dalam hal-hal berkait dengan politik pun memerlukan kesetiaan ahli. Konstruk kesetiaan inilah yang sebenarnya satu enigma yang tidak pernah putus-putus dikaji oleh penyelidik. Seandainya berlaku permasalahan/kegagalan dalam struktur politik parti, adakah ahli parti akan setia dengan parti. Nampaknya, dalam situasi politik semasa, ada yang setia, ada yang tidak. Lebih teruk lagi, ada yang lompat parti ke parti lawan!
Kehadiran sokongan ahli kepada PKR mungkin atas banyak faktor, dan salah satunya adalah untuk memperjuangkan agenda "Malaysia Baru" bagi benar-benar mendokong keadilan rakyat sejagat. Mereka melihat UMNO/BN sebagai parti yang korup, berbaur perkauman, gagal memerintah sebagaimana keadaan politik ideal yang mereka garap melalui apa yang disampaikan oleh pemimpin tertinggi parti mereka. Apa sahaja yang dibuat oleh UMNO/BN semuanya salah belaka. Keobjektifan mereka sebenarnya telah terpengaruh apabila mereka merasakan bahawa melalui pimpinan parti mereka, mereka merasakan negara akan jauh lebih baik berbanding sekarang.
Namun, menjelang masa, ada di antara golongan ini yang merasakan bahawa perjuangan mereka seolah-olah dipandang sepi. Apa yang mereka perjuangkan masih tidak diperoleh. Sudah dua kali 16 September berlalu; negara masih belum milik mereka. Timbul pula rasa bahawa parti mereka telah dipergunakan oleh DAP sehingga ada yang merasakan bahawa PKR adalah pengikut setia DAP. Kritikan mereka terhadap DAP dipandang sepi. Pemimpin tertinggi mereka lebih mengutamakan Khalifah Guan Eng. Mereka sebenarnya telah protes. Sudah lama berprotes tentang ketidakpuasan hati mereka. Sayangnya, bukan perhatian yang mereka dapat, ada yang dirujuk ke lembaga disiplin, ada yang disindir. Rungutan mereka tidak diendahkan langsung.
Kini, PKR telah menjadi hampir sama dengan UMNO/BN yang mereka benci. Keadilan tidak lagi menjadi agenda utama apabila perebutan kuasa sini sana antara pemimpin parti berlaku. Ada team penyokong ini, ada team penyokong itu. Sudahnya, janji mereka untuk menjadi transparent kini tinggal janji. Maka, sebahagian ahli/pemimpin PKR yang merasa fed up dengan keadaan ini akhirnya berhenti dan menjadi wakil bebas. Pun begitu, bukan bermaksud mereka menyokong UMNO/BN.
Akan tetapi, disebalik sepatutnya pemimpin tertinggi PKR bermuhasabah mengapakah ada penyokong mereka yang keluar parti, mereka merasionalkan pula tindakan keluar parti tersebut disebabkan tidak dapat inilah, memang ada salah guna kuasalah; pelbagai lagi rasional yang menjurus kepada "orang yang tidak mendapat kepentingan" dalam parti. Perkara ini membawa implikasi bahawa perjuangan "adil" yang digembar-gemburkan oleh pemimpin tertinggi PKR tidaklah terlalu adil kerana ada orang yang merasakan diri mereka dizalimi.
Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa mereka tersalah pilih calon mencacatkan lagi kredibiliti seorang pemimpin yang sempurna sepertinya. Beliau dilihat sebagai ikon keadilan, Malaysia yang baru. Maka seharusnya segala pemilihan calon yang dipersetujui beliau memenuhi kreteria adil yang beliau canang. Namun, apabila beliau merendahkan diri beliau dengan mengatakan beliau tersalah pilih calon, maka idealisme keadilan beliau telah beliau sendiri cacatkan. Mengapakah seorang pemimpin yang begitu berkarisma, mengetahui apa yang terbaik untuk negara Malaysia boleh tersalah pilih calon? Apakah benar beliau betul-betul tahu apakah yang terbaik untuk negara? Kenyataan beliau cukup memeranjatkan kerana selama ini beliau mengaku segala-galanya adalah lebih baik seandainya beliau yang memimpin negara. Kalau calon pun sudah salah pilih, apakah kalau beliau berjaya memerintah negara namun negara menghadapi masalah, lalu dengan mudah beliau berkata "tersalah pilih dasar?"
Tuntasnya, PKR perlu kembali ke landasan mereka yang sebenar untuk memperjuangkan agenda rakyat. Pemimpin mereka perlu di"brainwash" bagi mengekalkan sokongan mereka kepada PKR. Lebih penting lagi, PKR seharusnya keluar daripada bayangan DAP sebagaimana yang telah diwar-warkan oleh pengikut mereka yang telah keluar parti. Nyata sekali DAPlah punca segala-galanya terhadap apa yang berlaku dalam PKR. Apabila pemimpin PKR seperti Tan Tee Beng pun keluar parti kerana tidak berpuas hati dengan PKR kerana sami'na wa ato'na kepada DAP, maka seharusnya pemimpin tinggi PKR membuka seluas-luasnya mata mereka. Cukup-cukup salahkan orang lain kerana perti mereka huru-hara. Cukup-cukup kaitkan UMNO/BN sebagai penyebab penyokong/pemimpin mereka keluar parti. Tunjangilah perjuangan mereka semula dengan keadilan sejagat yang mereka gembar-gemburkan sejak sekian lama. Mereka masih berpengaruh, namun janganlah biarkan pengaruh mereka dihanyutkan/dilindungi dengan tindak-tanduk mereka yang terlalu ingin mengambil hati DAP dan PAS. Malah, mereka sebenarnya boleh berdiri sendiri tanpa PAS dan DAP kerana mereka merupakan parti yang ideal memperjuangkan keadilan dan keharmonian Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa.
Atau segala-galanyanya hanya satu idealisme mendapatkan kuasa dan mengalahkan BN......
No comments:
Post a Comment