Thursday, March 11, 2010

Salah masuk parti dan firaun

Politik kadang-kala pelik. Perkara yang straight forward pun selalu terpaksa diputar-alamkan bagi merasionalkan tindakan. Namun, setelah difikir baik-baik, maka kepelikkan tentang rasional jauh lebih menonjol daripada rasional itu sendiri.

Begitulah halnya dengan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, Zulkifli Noordin. Beliau merupakan seorang pejuang yang begitu menonjol. Kata-kata beliau menunjukkan bahawa beliau bukannya main-main dalam menegakkan pejuangan yang didokongnya. Komen balas apabila beliau dipecat daripada PKR antara lain berkisar tentang betapa beliau malu bersama PKR yang tidak mendaulatkan Islam. PKR didapati tidak mempunyai dasar menegakkan Islam sebagaimana terkandung dalam perlembagaan dan tidak dapat menerima agenda perjuangan Islam.

Perawakan beliau yang selalunya berkopiah memperlihatkan segala-galanya.

Namun, timbul persoalan juga, kalau Islamlah yang menjadi tulang belakang agenda perjuangan beliau, mengapa PKR? Mengapakah sedari dulu lagi tatkala beliau hendak mula berpolitik, beliau tidak terus sahaja masuk ke dalam parti yang sememangnya sudahpun Islam pada namanya (maka secara rasionalnya, pastilah parti itu memperjuangkan Islam) seperti PAS? PAS merupakan satu entiti politik yang begitu memperjuangkan Islam dalam ceramah-ceramahnya, dalam tatakerja mereka dan mempunyai matlamat unggul untuk menegakkan daulah-Islamiyyah berasaskan hududa-Allah. PAS adalah pejuang untuk menegakkan negara Islam dan menyanggah sama sekali lesen perjudian, lesen arak, kemaksiatan sebagaimana di dalam ceramah-ceramah mereka, khutbah-khutbah mereka dan tazkirah-tazkirah mereka. Pejuang sejati berpaksi Islami di Malaysia hanyalah PAS. Malah, PAS sahaja yang boleh merasionalkan kenapakah mereka dibenarkan bekerjasama dengan dua parti yang sekular walaupun tok guru agung mereka, Mursyidul Am Ustaz Datuk Nik Aziz Nik Mat menuduh seteru mereka (dalam kes ini UMNO) merupakan parti yang sekular yang tidak memperjuangkan Islam.

Mungkin ada yang menarik pada PKR dahulu berbanding PKR sekarang sehingga Zulkifli pada awalnya menyertai PKR. Mungkin laungan keadilan sejagat, Malaysia yang baru dan lebih berkebajikan satu ketika dahulu menambat hati beliau ke dalam PKR. Namun, disebabkan struktur politik PR kini sudah begitu fragile seperti kaca, kebarangkalian beliau memasuki PAS juga agak tipis. PAS kini terpaksa menjaga hubungan sekular mereka dengan PKR dan DAP walaupun pada dasarnya, perjuangan Zulkifli lebih dekat kepada perjuangan PAS berbanding DAP dan PKR. Andai berlaku kemasukan Zulkifli ke dalam PAS, maka PAS seolah-olah mengkhianati rakan pejuang PKR kerana mereka telah menyingkirkan ZUlkifli kerana akan membawa ancaman besar dalam Pakatan Rakyat.

Kini, dengan laungan kewujudan firaun-firaun kecil di dalam PKR juga sedikit sebanyak menimbulkan persoalan; kalau firaun kecil pun sudah ada, firaun besar siapa pula? Firaun merupakan satu perkataan yang mempunyai tafsiran yang sangat dahsyat sebagaimana perumpamaan zalim seperti firaun. Lawan zalim adalah adil. Kalau PKR ada firaun kecil (atau besar) maka parti tersebut telah terpesong daripada perjuangan keadilan. Dalam mantik mudah, pemimpin yang Zulkifli ibaratkan sebagai firaun kecil adalah pengkhianat perjuangan PKR yang menegakkan keadilan sejagat. Nyata sekali, di sebalik namanya yang begitu mempersona, PKR kini mengalami krisis kepimpinan yang sangat sukar kerana mereka telah diserapi oleh pemimpin maha zalim yang akan menghancurkan bukan sahaja PKR, malah negara Malaysia andainya mereka memerintah! Keadilan yang didokong oleh PKR kini sekadar pada nama kerana menurut Zulkifli, PKR mempunyai pemimpin yang zalim yang tunjang perjuangan mereka bukan keadilan sejagat.

Apa yang berlaku kepada Zulkifli dan Pakatan Rakyat merupakan satu contoh terbaik bahawa dalam politik, apa sahaja boleh berlaku. Kawan boleh jadi lawan. Idealisme bahawa keluarnya ahli PKR daripada parti tersebut dan pemecatan Zulkifli sebagai "membersihkan" parti seolah-olah sekadar hendak menutup kepincangan yang ada. Pemimpin seperti Zulkifli, Zaharin dan lain-lainnya bukanlah penyokong UMNO. Mereka mempunyai satu prinsip perjuangan yang jelas untuk menegakkan keadilan sejagat. Namun, kini apabila mereka tidak lagi bersama parti yang meletakkan "keadilan" sebagai wadah perjuangan, apakah parti tersebut benar-benar adil dan boleh berlaku adil?

Moga pembersihan PKR benar-benar membersihkan parti tersebut. Atau, yang tertinggal dalam PKR adalah pejuang kezaliman (firaun) yang bertopengkan keadilan.

No comments: