Setiap tahun, majalah perniagaan Malaysian Business menyenaraikan 40 orang paling kaya menurut kajian kumpulan editorial majalah tersebut. Isu untuk 16 Februari 2010 menyenaraikan taikun-taikun yang berjaya menembusi senarai elit pada tahun ini. Muka hadapan majalah tersebut menceritakan segala-galanya. Selain nombor 40 yang begitu terpampang besar bagi menarik perhatian, kelihatan juga frasa "Big Gainers" yang memberikan maksud jutawan yang telah memperoleh pertambahan pendapatan yang besar (maka disebut "Big"). Antara wajah yang terpampang untuk senarai Big Gainers adalah pemilik Maxis, pemilik IOI, orang besar AMBank dan anak Tun Dr Mahathir (pemilik disini adalah dalam konotasi mudah dan dipermudahkan). Bagi senarai orang kaya baru pula ("New") terpampang pula wajah adik kepada PM Najib,
Begitula hebatnya taikun-taikun ini. Menurut editor kanan majalah tersebut, pendapatan taikun-taikun ini telah meningkat 62.3 % berbanding tahun sebelum dan didapati juga bilangan yang bertaraf bilionaire juga bertambah. Malah, berasaskan graf kasar pada muka 18 majalah tersebut, "kejatuhan" yang dinikmati oleh taikun-taikun ini pada tahun 2009 (RM96.3 bilion) kelihatan tidak substantial langsung kerana pendapatan mereka pada nilai terdekat (RM 116.86 bilion) adalah pada tahun 2007; setahun sebelum keuntungan besar-besaran pada 2008 (RM 171.9 bilion). Malah, pendapatan agreget taikun-taikun ini sebelum 2007 tidak sampai pun ke tahap RM 100 bilion. Seolah-olah "kejatuhan" nilai kekayaan pada 2009 sekadar satu readjustment kepada pola peningkatan kekayaan pada masa akan datang. Kita masih tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan tetapi kita tetap boleh ramal....
Satu graf boleh menceritakan segala-galanya.
Menurut Charles Raj dalam satu temu bual bagi Buletin Utama, nilai kekayaan orang kaya Malaysia mungkin lebih tinggi daripada yang dianggarkan oleh Malaysian Business. Beliau ada menyebut tentang transparent sebagai salah satu faktor yang menghambat pengiraan anggaran yang lebih tepat berkait kekayaan taikun-taikun Malaysia. Perkara tersebut mudah difahami. Adalah logik untuk orang mengelak cukai daripada dikenakan cukai. Maka, adalah mudah juga difahami untuk orang mendiamkan diri tentang harta yang mereka ada berbanding mewar-warkan kepada seluruh dunia tentang harta yang dia ada. Kita pun kena faham situasi tersebut.
Laporan tersebut membawa kepada persoalan; apakah dengan meningkatnya pendapatan orang paling kaya di Malaysia memberi impak/kesan kepada RAKYAT Malaysia? Apakah dengan bertambah kaya orang yang kaya, rakyat semakin kaya? Persoalan inilah yang perlu dijawab oleh pihak perangkaan, pembuat dasar sebelum mengenakan apa-apa tindakan yang bakal mengundang reaksi negatif masyarakat Malaysia umumnya. Siapakah yang dimaksudkan oleh pembuat dasar sebagai orang yang kaya?
Isu subsidi petrol yang hendak ditarik balik sebenarnya berkait rapat dengan isu pendapatan RAKYAT Malaysia pada umumnya. Pihak menteri dan PM sendiri telah sepenuh daya usaha menghebahkan kepada rakyat jelata bahawa menjelang bulan Mei 2010 nanti, kerajaan akan melaksanakan mekanisme baru harga petrol yang antara lain meletakkan syarat kewarganegaraan sebagai syarat mendapat petrol bersubsidi. Akan tetapi, bukan masalah warganegara yang menjadi persoalan rakyat melainkan tafsiran kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh kerajaan BARISAN NASIONAL tentang SIAPA YANG LAYAK MENDAPAT SUBSIDI. Secara mudahnya, 40 orang taikun yang tersenarai dalam Malaysian Business sebagai yang paling kaya di Malaysia sudah seharusnya terkeluar daripada senarai mereka yang mendapat subsidi seandainya pendapatan yang menjadi ukuran kerajaan memberikan subsidi.
Maka, apakah ukuran kerajaan bagi menjustifikasikan mereka yang berpendapatan tinggi, sederhana dan rendah? Perkara tersebut masih menjadi enigma walaupun ura-ura kuat mengatakan bahawa kapasiti enginlah yang menjadi penentu kepada mereka yang membayar harga pasaran dan mereka yang membayar harga bersubsidi. Kita pernah merasai panorama tersebut pada waktu bila...ya? Oh, ya! Tahun Pak Lah menjalankan dasar yang menjerat leher beliau dan menjadikan beliau daripada PM kesukaan ramai kepada PM dibenci/dikutuk ramai! Pada ketika itu, kapasiti enjinlah yang menjadi galang-ganti kayu pengukur pendapatan rakyat Malaysia! Kenderaan 2000 cc tidak mendapat rebet petrol RM625. Maka, seandainya seorang pekerja eksekutif swasta dengan anak seramai lima orang dan terpaksa membeli kereta sebesar Naza Ria juga diiktiraf sebagai orang berpendapatan tinggi walaupun mereka ini terpaksa membayar cukai pendapatan, cukai itu dan ini dan juga menyediakan keperluan untuk lima orang anak!
Golongan ini sudah memberikan isyarat yang hampir sama kepada kerajaan PM Najib sekarang ini. Sudah banyak sekali artikel dalam ruangan "surat" dipaparkan tentang desakan golongan berpendapatan sederhana ini disiarkan. Sudahlah satu ketika dahulu anak tidak mendapat buku teks, segala cukai yang orang lain tidak perlu bayar, mereka perlu bayar. Mereka sebagai penjana ekonomi negara dengan pelbagai caj yang dikenakan ke atas mereka; maka apakah mereka juga perlu dinafikan hak mereka sebagai rakyat Malaysia untuk menikmati subsidi kerajaan yang seharusnya dinikmati oleh semua rakyat Malaysia? Seandainya mekanisme tersebut benar-benar dilaksanakan, apakah mereka ini tarafnya sama sahaja dengan orang yang tidak mempunyai kad pengenalan Malaysia kerana walau dengan kad pengenalan pun, mereka ini akan dilayan sebagaimana yang bukan warganegara!?
Maka, pada hari sepatutnya diumumkan mekanisma baru subsidi, menteri bertanggungjawab bertindak menangguhkan pengumuman tersebut bagi mengelak dirinya dan regim PM Najib sebagai anti-establishment kerana bimbang populariti kerajaan BN pimpinan PM Najib menurun secara tiba-tiba walaupun kerajaan PR pada masa tersebut mengalami situasi yang amat sukar. Tindakan tersebut merupakan satu tindakan bijak, namun sampai bila boleh ditahan?
Penulis pun tertanya-tanya apakah terdapat bukti empirikal yang boleh dikemukan oleh Pak Menteri terhadap korelasi/regrasi hubungan antara pemilik kereta berkapasiti 2000cc dengan pendapatan rakyat di negara ini berasaskan tanggungan, perbelanjaan diri dan keluarga. Sebabnya kita perlu faham bahawa dengan gaji RM3000 pun belum tentu seseorang itu boleh memenuhi segala keperluannya seandainya dia duduk di Kuala Lumpur atau Johor Bahru (lebih lagi di kawasan kuih RM2 untuk lima keping).
Satu isu yang mungkin kita terlepas pandang apabila begitu hype membaca profil taikun-taikun dalam Malaysian Business adalah dalam ruangan Salleh's Say yang ditulis oleh mantan Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur, Datuk Salleh Majid. Dalam artikel tersebut, beliau memetik gambaran yang diberikan oleh usahawan-usahawan bumiputera (yang banyaknya Melayu) tentang betapa nasib mereka nampaknya tidak ada satu menteri pun yang menjaga mereka. Pemecahan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Kopersi (MeCD) yang dilaksanakan oleh PM Najib seolah-olah merupakan satu agenda bebaur politik bagi menunjukkan betapa kerajaan BN dibawah pimpinannya cuba untuk memenangi hati semua rakyat tanpa mengira bangsa. Pun begitu langkah tersebut bakal memakan diri dan memberikan kesan negatif seandainya tidak ada satu badan selia pun yang bertanggung jawab untuk menjaga kebajikan dan memastikan kelangsungan rangka program yang telah mereka rancang. Justeru agensi yang menjaga amanah bumiputera harus bergiat cergas bagi menjamin peningkatan pendapatan bumiputera bagi menghadapi pelbagai dasar yang mungkin tidak menyediakan "keistimewaan" bumiputera lagi.
Memerhatikan kekayaan mereka yang telah mencapai tahap tersebut, mungkin kita tertanya-tanya apakah kita akan sampai ke puncak sana jua. Ada yang menjadikannya sebagai motivasi untuk terus berjaya. Ada yang menjadi pesimis kerana merasakan orang-orang kaya ini sudah pasti mempunyai kabel yang kuat dengan ahli politik (tak kira sama ada BN atau pembangkang; sama sahaja...)untuk turut serta bersama-sama senarai elit. Satu perkara yang semua terpaksa akur adalah bukanlah satu jenayah seandainya seseorang itu kaya. Dalam Islam pun, mencari rezeki yang halal itu juga merupakan tuntutan agama. Yang berada diwajibkan zakat kepada yang memerlukan. Bagaimanapun, dengan keadaan dunia yang sudah menjadi serba moden, pembandaran yang semakin menjadi-jadi, kampung jadi pekan, pekan jadi bandar, bandar jadi bandar besar/bandar satelit, maka adalah terma kaya itu sesuatu yang absolute atau relatif. Sudah ada kajian-kajian yang memperkenalkan istilah miskin bandar. Maka pembuat dasar seharusnya mengambil kira kesemua aspek ini bagi membuat sesuatu dasar yang akan memberikan kesan kepada kuasa beli-perbelanjaan-simpanan rakyat. Alternatif ekonomi masa kini masih samar dan perlu dibangunkan. Janganlan sampai kesemua orang rakus menagih kekayaan, menggunakan sepenuhnya gagasan kapitalisme untuk meraih keuntungan, tiba-tiba bom jangka meletup. Maka segala-galanya mungkin kembali ke zaman batu semula.
Tatkala itu, carta Pareto pun belum tentu dapat menerangkan segala-galanya.
No comments:
Post a Comment