Bermula minggu lepas, disebalik rakyat Malaysia yang berbangsa Cina menyambut Tahun Baru Cina, tiba-tiba wujud pula polemik baru dalam politik tanah air apabila dikhabarkan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang tidak membenarkan perarakan sambutan Maulidur Rasul SAW sebaliknya digantikan dengan majlis lain. Maka perkara sedemikian telah menimbulkan rasa kurang senang oleh masyarakat Melayu Pulau Pinang seterusnya dijadikan sebagai satu topik perbualan dan perbincangan negara bukan sahaja dalam lingkungan politik, malah perbincangan akademik tentang sama ada wujudkah apa yang dikatakan sebagai Maulidur Rasul.
Penulis suatu ketika dahulu sewaktu belajar di sekolah hampir setiap tahun menyambut sambutan tersebut. Sekolah agama akan adakan satu hari perarakan berselawat dari satu check point kembali semula ke sekolah. Kemudian, pelajar akan mendengar ceramah daripada penceramah jemputan dan kemuncak segala-galanya adalah jamuan makan berkumpulan dengan beralaskan dulang/talam besar.
Sambutan sebegini sebenarnya meriah bagi budak-budak. Pada ketika ini, mereka akan berselawat dan berzanji sambil berarak beramai-ramai, memegang sepanduk dan sebagainya. Biasanya, ustaz yang dijemput untuk memberi ceramah pun akan menceritakan kisah Nabi SAW; satu kisah yang walaupun selalu didengar, tidak pernah terasa bosan mendengarnya. Hinggalah mereka ke tahap remaja-belia, maka selebihnya adalah bergantung kepada diri mereka sendiri bagi menghayati sambutan tersebut sendiri.
Hukum menyambutnya, berarak kerananya; sama ada bidaah ke tidak, boleh ke tidak, harus ke tidak, baik ke tidak, adat ke tidak, maka itu terpulanglah kepada pembaca dan masyarakat Islam untuk menafsirnya. Penulis kira telah banyak sekali perbincangan, perbahasan sama ada di televisyen, di radio hatta di blog tentangnya. Penulis dapati beberapa versi tentang sejarah Maulid tersebut. Maka seharusnya kita memahami konteks tertentu kewujudan sambutan tersebut dan bagaimanakah sambutan tersebut boleh menyerap masuk ke dalam masyarakat Melayu Islam di Malaysia sehingga sambutan tersebut menjadi satu sambutan tahunan dalam negara kita. Negeri Johor misalnya, mengadakan sambutan Maulidur Rasul pada peringkat kampung, sekolah, daerah sehingga berbulan-bulan. Sudah pastilah sambutan sebegini diharapkan dapat menghidupkan ruh Islami dalam diri umat Islam mengenangkan perjuangan Rasulullah SAW menegakkan syiar Islam.
Pada hemat penulis, kewujudan sambutan sebegini tujuannya memberikan motivasi kepada umat Islam bagi memperingati Rasulullah SAW. Almaklumlah, nama pun manusia – al insan – nasiya – pelupa. Kita kadang-kala lebih ingat kepada orang lain sehinggakan kita lupa junjungan besar Nabi SAW. Kita diperingatkan dengan kelebihan selawat, kisah-kisah perjuangan dan sunnah-sunnah Nabi SAW dan kesemuanya ini sebenarnya memberi maksud yang baik. Justeru, seharusnya semangat sedemikian diharapkan kekal bukan sahaja untuk dua tiga bulan, malah untuk sepanjang hayat kita. Kalaupun kita tidak dapat hendak menghayati sepenuhnya, dapat meringankan lidah untuk berselawat pun jadilah.... laksanakanlah sunnah mana yang mampu.
Barangsiapa berselawat kepada Nabi SAW sekali, maka Allah akan mendoakan kepadanya sepuluh kali.... Amalkanlah kerana amalan ini mudah.
No comments:
Post a Comment