Friday, February 26, 2010

Ancaman Mossad dan pihak luar

Penulis jarang sekali menonton rancangan yang hampir larut malam yang ditayangkan di TV1 yang membincangkan isu antarabangsa. Maklumlah, dengan persekitaran politik dan semasa di tanah air yang jauh lebih terasa di sanubari; pelbagai isu menarik hendak diulas. Kes buang bayi, Liaw Tong Lai di"tai-ci", isu royalti minyak, isu kenderaan berat tersadai di tepi lebuh raya yang mengundang kemalangan, isu sebat dalam konteks syariah di Malaysia dan pelbagai lagi.

Namun, berita tentang pembunuhan pegawai penting Hamas oleh sekumpulan perisikan Israel menarik perhatian penulis. Mossad. Perkataan itu benar-benar menarik perhatian penulis pada awalnya kerana taraf organisasi tersebut samalah seperti CIA, MI6 dan perisikan cerdik pandai yang lain. Yang menjadikan berita tersebut sensasi dan mendapat perhatian adalah betapa gambar suspek-suspek yang menjadi dalang pembunuhan tersebut berjaya disiarkan oleh polis Dubai sekaligus menjadikan pembunuhan yang pada awalnya kontroversi; kini diselimuti dengan kontroversi-kontroversi yang lain pula. Seolah-olah teori konspirasi antara negara-negara Eropah dan Barat dengan Israel kini ke tahap "menjadi nyata senyata kristal" setelah selama ini keadaan hanya boleh disimpulkan sebagai "berlapik sini berlapik sana, samar sini dan samar sana."

Ulasan penel yang hadir dalam bual-bicara pada Ahad malam tersebut (21/02/2010) cukup membuka mata kita terhadap kelicikan barat dan Israel untuk melakukan apa yang dikatakan sebagai penaklukan dunia. Melalui apa yang dibincangkan oleh penel jemputan, Prof Dr Redzuan Othman, tiga perkara yang boleh penulis simpulkan.

Pertama adalah berkenaan dengan kewujudan Mossad iaitu ejen perisikan pintar Israel. Kebanyakkan pembunuhan berprofil tinggi yang melibatkan pemimpin kanan Hamas, pejuang Palastin, Lubnan dan Syira. Tidak mustahil, mereka sebenarnya merancang untuk membunuh pemimpin tertinggi Iran pula. Sebagai status perisikan cerdik pandai yang sama taraf dengan 007, mereka dibolehkan membunuh siapa sahaja tanpa mengundang sebarang kesan terhadap diri mereka sendiri oleh kerajaan mereka. Kegiatan mereka biasanya akan dibuat-buat "tak tahu" oleh kerajaan. Namun, hakikatnya pemimpin kanan kerajaan tersebut jualah yang menjadi mastermind kepada segala kegiatan mereka. Kadang-kala, bagi memenuhi kehendak ordinate dan mengelakkan konflik daripada berlaku, superior kumpulan ini (i.e ketua bagi agensi perisikan) lebih tahu dan lebih terlibat dalam segala operasi yang mereka jalankan berbanding pak menteri, PM mahupun Presiden sendiri. Hal inilah yang dimaksudkan dengan "black bag operation."

Kedua, penglibatan secara langsung barat dalam memenuhi kehendak Israel. Israel adalah sebagai budak merengek yang tidak henti-henti memekak tiap-tiap masa bagi mencari perhatian dan memenuhi kehendak fisiologi dan psikologi diri. Mereka tidak adapun rasa bersalah walau sedetik pun di dalam hati mereka. Dalam hal pembunuhan terkantoi tadi, salah satu kenyataan Israel/Mossad adalah passport yang digunakan oleh agen Mossad itu merupakan passport yang tulen. (bukan dipalsukan) Bayangkan, agen Mossad ini berjaya "menulenkan" passport daripada negara-negara yang kononnya begitu ketat sekali kawalan keselamatan mereka seperti Britain, Jerman dan digunakan sebagai identiti mereka bagi melakukan pembunuhan di negara orang! Ataupun Baratlah sebenarnya yang menyediakan passport yang sudah semestinya tulen untuk digunakan oleh pembunuh Mossad tadi ! Dapat dilihat disini bahawa tindakan kedua-dua mereka adalah lebih bersifat mutually exclusive. Barat akan menyediakan segala-gala benda yang mereka boleh sediakan bagi memberi peluang Israel untuk menghancurkan seteru-seterunya dan Israel pula menjadi penyumbang ekonomi terbesar untuk Barat. Barat akan menutup kedua-dua belah mata mereka apabila Israel membunuh ratusan atau ribuan pejuang-pejuang Islam dan akan melenting bagaikan orang kena gigit dek lipan apabila pejuang Islam berjaya membunuh seorang atau dua orang Israel. Barat akan sentiasa menghalalkan operasi Israel terhadap negara Islam seperti Lubnan, Syria (atau mungkin Iran) atas dasar "Israel menyerang mereka kerana bimbang mereka akan menyerang Israel dahulu. Jadi, bagi mengelakkan Israel daripada diserang, maka sewajarnya Israel menyerang mereka dahulu." Hal inilah yang menjadi justifikasi setiap peperangan membabitkan Israel. Israel bukan mempertahankan diri sebaliknya menyerang orang lain bagi "mempertahankan diri.". Ideologi ini telah meresap sebati dengan Amerika Syarikat apabila rakyat mereka mengiktiraf terkorbannya tentera US di negara-negara yang mereka takluki sebagai "mati kerana perang mempertahankan Amerika Syarikat." Dalam sejarah peperangan moden Amerika Syarikat, TIADA SATUPUN peperangan tersebut berlaku DALAM Amerika Syarikat sendiri. Siapa yang ambil peduli?

Ketiga adalah kewujudan Mossad di negara-negara lain selain Israel sendiri. Menurut Prof Redzuan, Mossad mempunyai "cawangan" mereka di Singapura dan mantan PM Singapura sendiri mengakui menggunakan khidmat Mossad. Hal ini merupakan perkara yang paling menggerunkan kerana walaupun negara kita tidak mengiktiraf negara Israel dan tiada hubungan diplomatik dengan mereka, apakah kebarangkalian penggunaan passport tulen negara lain yang dibekalkan kepada agen Mossad untuk memasuki negara kita tidak berlaku! Kebolehan mereka bergerak ala-ala James Bond ini merupakan sesuatu yang sangat menggerunkan. Mossad boleh masuk ke dalam negara kita sebagai pelancong atau peniaga atau apa sahaja bagi merisik maklumat penting dalam negara. Perkara ini merupakan sesuatu yang kedengaran paranoia, malah mungkin ada yang akan mempersoalkan "ada apa dengan Malaysia" atau "pemimpin mana yang ada di Malaysia yang mereka nak bunuh." Namun, segala kebarangkalian tidak boleh kita ketepikan kerana sifat Malaysia sebagai negara yang menjadi pendulu ekonomi Islam tidak boleh kita ketepikan. Seharusnya entiti keselamatan seperti PDRM, ATM dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bagi mengenalpasti sebarang ancaman luar terutamanya daripada si licik yang berpassportkan orang lain. Kerajaan Malaysia juga perlu berhati-hati dalam mengadakan hubungan ekonomi dengan entiti barat kerana kini semakin terbukti bahawa barat semakin "terdesak" untuk menyokong Israel dalam segala tindak- tanduk rejim Zionis tersebut. Campur tangan asing dalam undang-undang negara juga perlu diperhatikan kerana seakan-akan mereka mempunyai kepentingan dalam hal tersebut. Maklumlah, Barat tidak pernah hendak masuk campur urusan "rumah tangga" negara lain melainkan mereka ada kepentingan terhadap negara tersebut. Lihat sahaja kes Iraq; US dan sekutunya begitu kuat berteriak kepada dunia bahawa serangan terhadap negara teluk tersebut adalah kerana bagi memusnahkan senjata pemusnah besar-besaran (WMD) dan apabila tidak dijumpai senjata tersebut, mereka tukar topik pula dengan mengatakan bahawa mereka sebenarnya mahu mengembalikan demokrasi kepada rakyat Iraq. Tidak mustahil alasan yang sama digunakan bagi menghuru-harakan Malaysia. Hal ini disebabkan negara kita telah dijaja oleh ahli politik (yang merasakan dirinya malaikat) sebagai negara yang mengamalkan penghapusan etnik, tidak adil kepada rakyat jelata, tidak demokratik, melakukan penindasan terhadap agama dan bangsa, negara pemerintahan kuku besi dan melakukan kezaliman berleluasa. Lebih teruk lagi adalah ungkapan-ungkapan inilah yang dipetik oleh agensi berita antarabangsa bagi menggambarkan Malaysia!

Sebagai intiha, apa yang hendak kita insafi sekarang adalah betapa kita hendaklah bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan yang akan berlaku kepada negara kita. Ada ketika, tatkala kita sedang begitu ghairah untuk menegakkan kebenaran dan pada ketika itu pula, ada pula pihak-pihak yang entah dari mana entah, menyokong kita, maka seharusnya kita bermuhasabah apakah kebenaran yang kita cuba tegakkan benar-benar tegak dan betul? Satu lagi perkara adalah keselamatan negara dari segi dalam dan luar. Apakah negara kita benar-benar telah melengkapkan dirinya bagi mencegah sebarang ancaman daripada luar dan dalam? Diharapkan kaedah seperti ISA benar-benar berkesan bagi menghadapi sebarang kemungkinan ancaman pihak-pihak tertentu untuk memecah-belahkan negara kita dan seterusnya menakluki negara dengan cara moden pula.

Bagaikan doa yang sering khatib baca; Ya Allah, jauhilah negeri dan negara kami ini dari segala kekacauan dan huru-hara. Semoga kami dalam keadaan aman dan damai, hidup tenteram dan bahagia, menjalin mahhabbah, bersatu-padu menentang musuh-musuh dan penderhaka.

Kepada-Mu Ya Allah, doa kami pohon untuk diperkenan dan diterima....

No comments: