Tuesday, February 9, 2010

(Penyokong) Anwar dan mata lebamnya

Skandal mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan skandal yang boleh kita kategorikan sebagai malar hijau. Masakan tidak? Sudah dua kali Anwar dihadapkan dengan tuduhan meliwat orang, maka kedua-dua kali itulah gambar mata lebam Anwar menjadi papan mogok tunjuk perasaan penyokongnya. Maka sekoyong-koyonglah penyokong beliau datang memenuhi ruang mahkamah di Kuala Lumpur dan bertakbir dan melaungkan ungkapan "reformasi!" bagi menunjukkan betapa kuatnya sokongan mereka terhadap mantan Timbalan Perdana Menteri dan bakal Perdana Menteri dari Pakatan Rakyat tersebut. Yang mereka julang adalah gambar mata lebam Anwar Ibrahim. Maka pada masa itu, semua orang yang menyertai tunjuk perasaan tersebut mengaku bahawa Allah itu Maha Besar.

Kita sering melihat betapa orang begitu menghormati orang lain dengan menjulang dan menggantung gambar. Menjadi satu tradisi untuk menggantung gambar orang yang dihormati contohnya gambar raja, perdana menteri, presiden dan sebagainya di dinding lobi bangunan. Maka ada kemungkinan gambar Anwar mata lebam itulah yang akan menjadi gambar yang digantung di dinding pejabat, lobi bangunan bagi mengenangkan betapa beliau merupakan seorang pejuang keadilan dan mengenangkan betapa sukarnya beliau memperjuangkan keadilan sejagat untuk rakyat Malaysia.

Anwar adalah ikon keadilan. Beliau dan gambar mata lebamnya merupakan bukti bahawa penganiayaan terhadap manusia tidak mengenal pangkat. Beliau merupakan bakal PM Malaysia yang paling popular di mata masyarakat dunia. Segala-galanya hampir beliau miliki. Dari zaman beliau muda di dalam Angkatan Belia Islam Malaysia, beliau dilihat sebagai seorang yang cukup berkarisma. Malah, PAS juga dikatakan sudah menadah dua tangan untuk menyambut kehadiran beliau ke dalam parti tersebut. Maka seharusnya kita terfikir akan sebab apakah beliau tidak pula memasuki parti tersebut sebaliknya memasuki UMNO dan BN yang pada pendapat beliau (masa kini) sebagai parti yang begitu korup dan mengamalkan dasar-dasar penindasan kaum? Maklumlah, semasa jadi bakal PM, hampir segalanya sudah dikecapi. Sayang sekali beliau tidak sempat merasa kerusi PM; dipecat kerana salah guna kuasa dan perlakuan luar tabii – maka imej inilah yang berjaya menaikkan beliau sebagai orang teraniaya dan kini berjuang menegakkan keadilan.

Dunia luar lebih menghargai Anwar. Suara Anwar lebih dipetik berbanding pemimpin lain di Malaysia (mungkin lebih lagi berbanding PM Najib sendiri!) Anwar mempunyai hubungan awam (PR) yang baik dikalangan wartawan antarabangsa. Kononnya beliau telah dilantik sebagai profesor di sebuah universiti di Amerika Syarikat sejurus selepas beliau dibebaskan dari penjara. Begitulah hebatnya Anwar. Anwar mungkin boleh disenaraikan sebagai bakal penerima nobel keadilan (kalau adalah..) kerana perjuangan beliau yang tiada galang-gantinya. Tiada pemimpin Malaysia yang diangkat begitu tinggi di mata media antarabangsa berbanding Anwar. Puncak kepada kegemilangan Anwar pasca-1998 adalah apabila beliau diiktiraf oleh sebuah persidangan sebagai Menteri Parlimen Malaysia! Begitulah gahnya Anwar.

Anwar dan reformasi memang tidak boleh dipisahkan. Walaupun telah banyak tunjuk perasaan berlangsung sebelum Anwar, Anwarlah yang mencetuskan keazaman yang tinggi untuk penyokong-penyokongnya terus menjulang gambar mata lebamnya sebagai pembakar semangat bagi memperjuangkan keadilan yang telah dicalar. Mata lebam itu merupakan simbol kepada kezaliman yang tidak boleh dimaafkan. Lebam di mata itu menjadi saksi betapa keadilan yang diperjuangkan tidak lagi boleh ditahan-tahan. Gambar mata lebam itu merupakan gambar paling significant dalam mengungkapkan perjuangan Anwar. Sebab itulah gambar itulah yang akan dibawa ke hulu dan ke hilir bagi mengenangkan kezaliman yang telah dilakukan terhadap diri Anwar yang begitu tulus dalam perjuangan beliau menegakkan kebenaran dan keadilan sejagat.

Maka walaupun berlaku perbezaan pendapat, perbezaan prinsip yang sangat ketara antara kesekularan DAP, perjuangan hududa-Allah PAS, Anwarlah melalui PKR bertindak sebagai penampan kepada perbezaan tersebut. Walaupun berlaku keretakan sini sana dalam pakatan rakyat, kesemuanya akan selesai dengan impak Anwar. Anwarlah penyatu matlamat bersama PKR-DAP-PAS dalam membentuk harapan baru untuk manusiawi di negara bertuah Malaysia yang saban hari hanyut dengan kezaliman, ketidakadilan, penuh dengan unsur perkauman.

Anwar digambarkan sebagai Wirawan dalam Novel Agung magnum opus Sasterawan Negara Datuk Dr Shahnon Ahmad. Wirawan yang berjuang bagi menyahkan tahi dan najis keluar melalui saluran yang secara saintifiknya digelar rektum. Namun, bukankah wirawan itu sendiri yang berada di dalam kolon itu juga merupakan tahi? Tanyalah Shahnon Ahmad sama ada wirawan itu merupakan jenis julap atau serat tidak larut yang membantu membersihkan usus kecil dan usus besar daripada sebarang masalah ketidakhadaman dan masalah penyerapan. Mungkin melalui itulah kita dapat ketahui bagaimanakah ungkapan berikut hadir dalam carutan orang Inggeris – Holy S**T!

Nota hujung

Penulis bukan pengarang S**T. Ulasan berkaitan novel tersebut adalah ulasan apa yang ada dalam novel tersebut. Novel tersebut perlu dilihat dari aspek kesusasteraan dan tidak dilihat secara zahir. Hal inilah yang dikatakan pada bab awal pengarang novel tersebut.

No comments: